PERKONGSIAN : ‘SYAHADAH DOKTOR MUSLIM’

Published November 17, 2013 by wana93

Alhamdulillah. Aku bersyukur kepada-Nya kerana aku masih bernafas pagi ini. Dan aku bersyukur kerana aku masih memiliki nikmat iman dan Islam dalam diriku. Aku juga bersyukur atas segala yang telah Allah beri pada aku selama ini. Harapnya, aku mampu menterjemahkan rasa syukurku dengan perbuatanku yang mahu mentaati Allah dan Rasul-Nya dalam setiap perkara.

Semalam merupakan hari yang sangat indah bagiku. Juga merupakan hari yang amat penat untuk tubuh lemahku. Aku bersama 3 sahabat seperjuanganku, berjaulah bersama untuk menghadiri seminar ‘Syahadah Doktor Muslim’ anjuran Medical Student Club USIM. Jam 7 pagi lagi aku bersama mereka sudah mula untuk bergerak. Bergerak pukul 7 pagi, pulang semula ke teratak jam 7.45 malam. Penat yang berbaloi! ^^,

Dari KTM Nillai > Bandar Tasik Selatan > Cheras > Masjid Mukhlisin, Alam Damai. Aku bersama sahabatku menaiki 3 kemudahan iaitu komuter, LRT dan teksi.

Hampir dua jam juga perjalanan untuk sampai ke destinasi tersebut dek kerana terdapat beberapa mehnah yang mahu menguji niat kami, sama ada benar-benar ikhlas mahu ke majlis ilmu atau sebaliknya. Apapun, alhamdulillah! :)

'SYAHADAH DOKTOR MUSLIM'

‘SYAHADAH DOKTOR MUSLIM’

SLOT 1 : Bersama Ustaz Hasrizal Abdul Jamil

(APA ERTINYA SAYA MENGANUT ISLAM)

Aku dan sahabatku sempat mendengar slot ini setengah jam lebih saja kerana kami sampai agak lewat, lebih kurang pukul 9.10 pagi. Ustaz Hasrizal berkongsi 6 ciri-ciri ilmu yang disebut oleh Dr.Yusuf al-Qardhawi, iaitu :-

1) Ilmu-ilmu Islam. Contohnya,  Al-Quran, Hadith, Tasawuf, Akidah dan sebagainya.

2) Ilmu tentang bahasa.

3) Ilmu berkaitan dengan kemanusiaan. Ilmu sosial seperti Sosiologi dan sebagainya. Meraikan ilmu kemanusiaan.

4) Ilmu sains. Peraturan alam, sistem perkumuhan dan sebagainya. Kalau kita nak sesuatu yang berkualiti, ikut peraturannya.

5) Ilmu untuk memahami realiti. Berzina lebih mudah daripada berkahwin. Tetapi, bercerai lebih mudah daripada berzina dan berkahwin. Sebab self control lemah. Berlaku perceraian setiap 15 minit.

6) Ilmu berkaitan sejarah. Setiap kita, mesti ada pemahaman tentang sejarah. Tentang Andalusia, zaman Abbasiyah dan lain-lain lagi.

Kesimpulan : Kita mestilah handle kehidupan kita sebagai seorang Muslim. How we perceive Islam? Kita adalah seorang anak dan perlu menjalankan tanggungjawab seorang anak yang Muslim, suami isteri yang Muslim, guru yang Muslim dan sebagainya. Sekarang, banyak berlaku pemisahan antara agama dan kehidupan manusia. Lebih terkenal sebagai sekularisme.

Untuk membangkitkan Muslim beramal dengan Islam, kita mesti menggunakan Islam dalam apa jua situasi. Nak makan, ikut cara Islam. Nak susun fail, ikut cara Islam. Dan semuanya, pastikan kita sentiasa bawa Islam bersama.

SLOT 2 : Bersama Mantan Presiden SPMM USIM, akhi Farid Hadhari

(TUNTUTAN SYAHADAH)

Islam adalah satu nama yang Allah dah beri untuk agama kita. Islam itu juga bermaksud menyerahkan diri. Kepada siapa? Kepada Allah. Islam ni macam sistem. Contoh, sistem pernafasan kita dah sempurna. Boleh tak kalau kita tahan nafas selama 1 jam? Mestilah tak boleh kan? Jadi, kalau kita tak ikut sistem, ia akan bawa mudarat. Begitu juga dengan Islam. Islam adalah cara hidup yang sempurna. Bilamana kita redhai sistem pernafasan kita berfungsi dengan baik dan sempurna, maka, kita juga akan meredhai sistem kehidupan kita yang telah Islam gariskan dan tetapkan. Kerana ia adalah daripada Allah iaitu Tuhan yang sama menciptakan sistem pernafasan kita.

Bila agama tak diperjuangkan, sistem akan rosak. Tuntutan meneruskan kerja-kerja dakwah selepas kewafatan Nabi tergalas pada diri setiap kita. Sesuatu amanah yang berat, mustahil dapat dipikul oleh hati yang kotor. Ada beberapa kisah Sirah yang akhi Farid Hadhari cerita, bagaimana cintanya mereka ini pada Nabi Sollallahu ‘Alaihi Wasalam.

Kisah 1

Bilal Bin Rabah. Kita semua tahu kisah yang Bilal tak mampu lagi melaungkan azan di Madinah dan keluar dari Madinah kerana terlalu rindu pada Nabi Muhammad. Kita juga tahu yang Bilal kemudiannya, kembali melaungkan azan selepas beberapa ketika. Tapi, ada sesuatu yang kita mungkin tak tahu. Di mana Bilal Bin Rabah pergi selepas keluar dari Madinah? Dan apa pula sebab yang menyebabkan Bilal kembali melaungkan azan di Madinah?

Dalam buku ‘Tarikh al-Dimaj’ ada menceritakan yang Bilal pergi ke Jurusalem selepas keluar dari Madinah. Bilal bersama beberapa lagi pergi berperang untuk membebaskan Jurusalem. Jadi di sini, baru aku tahu. Dan, akhi Farid Hadhari menanam semangat pada aku dan semua dengan satu kata-katanya yang menarik jiwa ini iaitu bila Nabi wafat, sepatutnya kita menyebarkan agama Islam. Bukan kita mengenang nostalgia dan berqasidah semata-mata. Qasidah tak salah. Tapi yang utamanya, kita perlu bergerak dan menyebarkan Islam kalau kita benar-benar sayang dan cinta pada Baginda Nabi Muhammad.

Lisan perlu digunakan sebaiknya dalam nak menyampaikan dan menyebarkan Islam. Lisan menyampaikan hujah dan sebagainya. Perbuatan juga amat penting dalam penyebaran Islam. Apa yang kita buat untuk menggerakkan kerja-kerja Islam?

Kebenaran itu sangat penting. Dan pnetingnya kebenaran ini, ditentukan pada orang-orang yang benar, yang menyampaikan kebenaran. Dalam kitab Usul ‘Ishrin karya Imam Hassan Al-Banna ada menyebut bahawa Islam itu syumul (lengkap dan merangkumi semua). Kita tak sekadar menyampaikan tapi perlu menterjemahkan ia dalam diri kita. Penyucian jiwa adalah sangat penting sebelum kita nak memikul dan menerima satu tugasan berat. Sesuatu amanah mustahil dipikul oleh hati yang kotor.

Ibarat kita nak beri seseorang minum. Airnya sangat sedap tetapi kita letak ia di dalam gelas kaca yang kotor dan berkulat. Ada tak yang nak minum? Mestilah tak kan? Jadi, macam tu juga. Kita perlu mendahulukan konsep tazkiyyatun nafs (pembersihan diri/hati). Jangan kita pisahkan agama dari kehidupan. Jangan jadi sekularisme. Jumpa Allah dan rasa diperhati oleh Allah ketika di atas sejadah saja, kemudian, dah tak rasa apa-apa. Dah rasa bebas! Tak boleh macam tu!

Ada 3 perkara yang perlu kita laksanakan dalam dakwah iaitu :-

1) Melaui ilmu. Kita perlu mendalami ilmu. Belajar dan terus belajar.

2) Banyakkan berzikir.

3) Banyakkan membaca kisah-kisah para salafussoleh. Kerana kisah mereka adalah benar.

Kisah 2

Saidina Sawwad. Dalam perbarisan untuk satu peperangan, perut Saidina Sawwad terkehadapan sedikit daripada barisan. Lalu, Nabi memukul sedikit perutnya dengan panah. Lalu, Saidina Sawwad marah. Dia nak balas qisas. Nabi tak marah. Nabi menyelak bajunya untuk membenarkan Saidina Sawwad memukul perutnya. Akan tetapi, Saidina Sawwad tidak memukul. Dia terus memeluk Baginda Nabi Muhammad.

Kisah 3

Muaz dan Muawwiz. Berumur 13 dan 14 tahun. Kisah ini agak panjang. Saya ringkaskan, mungkin boleh baca lebih lanjut dalam buku-buku Sirah Nabawiyah. Sangat menarik! Mereka berdua berjaya membunuh Abu Jahal. Kerana cinta pada Baginda Nabi Muhammad, mereka berdua sanggup berkorban. Muawwiz bertemu syahid. Muaz pula cedera parah hingga tangannya terpaksa dipotong. Waktu itu, Muaz mahu berjumpa dengan Rasulullah, sedangkan tangannya berada dalam keadaan separuh terpotong. Berdarah banyak. Muaz jalan bergesot, terasa berat tangan yang terpotong separuh itu. Lalu, dia meletakkan kakinya ke atas tangan yang separuh itu dan memotong separuh yang masih berbaki. Katanya, “Wahai tangan, engkau menyusahkan aku untuk berjumpa dengan Nabi.” Maka, dia potong lagi separuh. Barulah jalannya agak laju menuju ke arah Nabi. MasyaAllah! Hebat bukan? Di usia yang muda, mereka sudah mahu berjuang dan berkorban di jalan-Nya. Hati mereka sudah bertaut pada cinta Nabi Muhammad.

Akhir sekali, 3 cara untuk berjaya yang dikongsi oleh akhi Farid Hadhari adalah :-

1) Bertakwalah pada Allah

2) Bersabarlah

3) Jangan terburu-buru

Bulatan Gembira

Selepas habis slot ke-2, semua duduk dalam bulatan gembira. Diskusi bersama. Aku terasa sangat kerdil duduk bersama pelajar-pelajar medik. Seharian aku jadi pelajar medik. Hehe. Mereka hebat dan baik sangat. Doktor mempunyai ruang dakwah yang sangat luas.

Ketika isu sekularime dibangkitkan, kami bertukar-tukar pandangan. Aku ambil peluang itu untuk berkongsi sesuatu yang telah aku pelajari dalam bidang aku, Pengajian Akidah dan Agama. Aku berkongsi serba sedikit tentang ajaran sesat, sekularisme, falsafah sikit mana yang berkaitan dan beberapa lagi. Seronok bila dapat diskusi sama-sama macam ni. :)

Dan, aku tertarik dengan kata-kata seorang kakak senior dalam bulatan gembira kumpulanku itu.

“Sekularisme ni kita dah nampak. Ada dalam politik negara kita, cara pembelajaran kita iaitu bila agama, agama saja. Bila sains, sains saja. Dan sebagainya lagi. Tapi, pernah tak kita tanya diri kita? Dalam diri kita ni ada sekularisme ke tak? Kita amalkan sekularisme ke tak? Sebagai contoh, kalau waktu solat, kita solat awal. Bagus. Masuk waktu, terus ambil wudhuk unuk solat. Tapi, bila tiba waktu kelas dan kuliah, kita suka datang lambat. Kita tak tepati masa. Itu pun sekularisme. Sebab masa juga adalah daripada agama. Allah bersumpah demi masa dalam Surah al-Asr.”

Dan dari situ, aku tersedar. Sekularisme dalam diri. Rupanya, selama ini, ada sekularisme yang mengalir dalam diri aku.  :(

Macam mana kita nak tahu? Okey. Contoh situasi :-

1) Seorang lelaki solat di awal waktu. Selepas Maghrib, dia baca al-Quran. Dia suka menonton filem-filem cinta English. Ada bermacam-macam aksi tak senonoh dan dia banyak terlihat aurat pelakon tersebut. Dia juga suka melayan jiwanya dengan angan-angan kosong berdendangkan lagu-lagu cinta yang jiwang.

2) Seorang perempuan sangat minat cerita Korea. Dia mendownload dan menonton cerita tersebut hingga suka melewat-lewatkan solat. Solat Zohor pukul 3.30 kerana mahu habiskan tonton cerita Korea di laptopnya. Dia kata, “Better late than never.”

3) Seorang lelaki/perempuan sangat minat cerita Hindustan. Dia sangat suka melihat tari-menari pelakon-pelakon Hindustan yang hensem dan cantik itu. Dia juga sanggup melewatkan solat hanya kerana sebuah cerita Hindustan.

Situasi di atas adalah contoh bagaimana seseorang itu, dalam dirinya, sudah tertanam sekularisme. Bilamana seseorang itu hanya dapat merasai bahawa Allah itu ada dalam solat dan di atas sejadah saja.

“Aku dah solat! Selesai urusan aku dengan Allah. Lepas ni, aku nak pergi tengok wayang pula! Cerita KL Gangster 2!”

Percayalah. Seorang yang menjaga dirinya dengan baik dan yakin bahawa Allah itu sentiasa memerhatikannya 24 jam, dia takkan selesa untuk menjejakkan kaki ke tempat-tempat berlakunya fitnah dan maksiat.

“Alhamdulillah, dah mengaji semuka hari ni. Solat Isyak pun dah. So, lepas ni boleh layan cerita Korea lama-lama. Aku nak tidur lambatlah. Nak tengok fillem Hindustan juga.”

Percayalah. Seorang yang menjaga dirinya dengan baik dan yakin bahawa Allah itu sentiasa memerhatikannya 24 jam, rasa berTuhankan Allah, maka dia takkan suka untuk membazir waktu demi memenuhi tuntutan hiburan yang tidak punya nilai-nilai Islam itu.

“Awak, jom kita singgah masjid kejap. Dah masuk waktu solat ni.” Kata seorang pakwe kepada makwenya, sambil berpegangan tangan menuju ke masjid.

Percayalah. Seorang yang menjaga dirinya dengan baik dan yakin bahawa Allah itu sentiasa memerhatikannya 24 jam, rasa berTuhankan Allah, maka dia takkan melakukan perkara yang Allah larang. Selagi belum halal, belum akad nikah, selagi itu perlu ada batas dalam pergaulan.

“Relakslah. Awal lagi. Kelas mula pukul 8. Kita pergi 8.15 pun tak apa. Yang penting, dah solat Subuh. Boleh tidur balik sekejap.”

Percayalah. Seorang yang menjaga dirinya dengan baik dan yakin bahawa Allah itu sentiasa memerhatikannya 24 jam, rasa berTuhankan Allah, maka dia takkan suka melewat-lewatkan sesuatu urusan yang baik. Dia mahu berusaha untuk menepati waktu.

Tak guna kita berapi-api dalam ceramah dan hujah kita, tapi, dalam diri kita ada sekularisme yang tidak kita sedari dan tidak mahu kita ambil peduli. Lebih malang lagi, apabila kita memandangnya sebagai satu perkara kecil dan biasa dan tidak mahu bertindak merubah apa-apa.

Moga kita dapat muhasabah dan koreksi diri kita semula. Jom berubah kerana-Nya! Dunia ini kan sementara saja.. Akhirat itu yang sepatutnya kita utamakan sebab ia adalah alam abadi kita selamanya.. ~.^

SLOT 3 : Bersama Mantan YDP MPP USIM, akhi Razif Fuad

(BEDAH BUKU BELIAU : TIP SEBAGAI MUSLIM BERTAKWA)

Akhi Razif (juga merupakan pelajar tahun 4, Pengajian Akidah dan Agama) memulakan slot dengan pengenalan kepada Ibn Sina. Kerana peserta seminar adalah daripada pelajar Medik. Seperti yang kita tahu, kitab Qanun al-Tib adalah karya Ibn Sina yang menajdi rujukan perubatan di seluruh negara. Ayah Ibn Sina adalah seorang Syiah Ismailiyyah. Tapi, Ibn Sina bukanlah seorang  Syiah. :)

Ibn Sina seorang hafiz pada usia 8/10 tahun. Usia semuda itu, 30 juzuk Al-Quran sudah terpasak dalam jiwa dan dirinya. Ibn Sina meninggal di Parsi (1037). Beliau suka baca buku-buku falsafah Aristotle. 40 kali beliau baca buku falsafah Aristotle, beliau tak faham-faham. Satu hari, ketika di pasar, beliau terjumpa satu buku ringkasan falsafah Aristotle karangan Al-Farabi. Barulah beliau faham. Akan tetapi, buku ringkasan tersebut bukanlah pemikiran falsafah sebenar Aristotle, akan tetapi, buku ringkasan tentang falsafah Aristotle yang asalnya ditulis oleh anak murid Aristotle.

Peranan Doktor Ummah ada 3, iaitu :-

1) Tauhid – Tanamkan akidah yang kukuh. Hanya pada Allah.

2) Takwa – Lebih kepada ‘awareness of God’.

3) Tawakkal – Kita kena ingat satu perkara. Kerja doktor adalah mengubati, yang membaikkan seseorang penyakit adalah Allah, bukan doktor.

Antara isi yang dikupas dalam buku pertama akhi Razif, Tip Sebagai Muslim Bertakwa adalah ‘Apa itu Takwa?’

Syed Qutb di dalam Tafsir Fi Zilalil Quran mentafsirkan takwa sebagai perasaan yang peka di dalam hati nurani, perasaan yang halus dalam kesedaran, perasaan takut dan waspada yang berterusan dan berhati-hati daripada terkena duri kehidupan.  Manusia ditarik oleh pelbagai dorongan nafsu, tamak haloba dan impian yang menggunung.

Imam Abu al-Laits al-Samarqandi rahimahullah berkata, sifat takut kepada Allah SWT terbukti dengan tujuh perkara iaitu :-

1) Menjaga lidah daripada dusta, mengumpat dan bicara yang sia-sia dan haram.

2) Menjaga perut dengan cara tidak makan kecuali yang halal dan sekadar hajat sahaja (tidak berlebihan).

3) Menjaga penglihatan dengan cara tidak melihat yang haram.

4) Menjaga tangan daripada maksiat dan menggunakannya untuk taat kepada Allah semata-mata.

5) Menjaga kaki daripada maksiat dan daripada melangkah ke tempat-tempat yang tidak diredhai Allah.

6) Menjaga hati dengan cara membersihkannya daripada hasad dengki, iri hati dan sebagainya.

7) Menjaga amalan taatnya, supaya ia benar-benar tulus ikhlas kepada Allah SWT dan selamat daripada riyak dan nifak.

Antara kisah takwa yang dicerita oleh akhi Razif adalah berkenaan kisah Umar al-Khattab dan sepotong daging. Pada suatu hari, Umar al-Khattab mengunjungi anaknya, Abdullah. Beliau terpandang sepotong daging di rumah anaknya lalu bertanya, “Mengapakah ada daging di sini?”

Abdullah menjawab, “Saya teringin hendak makan daging. Jadi, saya membelinya.”

Umar membalas, “Adakah setiap kali teringin sesuatu, engkau terus memakannya? Cukuplah pembaziran yang dilakukan oleh seseorang. Setiap kali dia menginginkan sesuatu, lalu dia memakannya.”

Apa yang cuba mahu disampaikan di sini adalah, adakah setiap kali kita teringin dan mahu sesuatu yang lebih bersifat kehendak, bukan keperluan, maka kita terus mahu membeli dan memilikinya? Adakah setiap kali kita rasa mengidam nak makan Chicken Chop atau Nasi Arab, kita terus pergi membelinya? Adakah setiap kali kita nampak beg tangan cantik dan kasut baru yang cantik, kita terus mahu memilikinya? Agak-agak, berapa banyak dah pembaziran yang pernah kita lakukan?

Kalau kita nak tahu, Allah dekat dengan kita ke tak, cuba kita koreksi diri kita. Di mana kita letakkan Allah dalam hati dan diri kita?

Kepada para doktor, selamat menjadi doktor muslim yang bertakwa! :D

Banyak lagi sebenarnya pasal takwa ini. Jadi, sangat bermanfaat kiranya kita semua memiliki buku kecil yang comel ini. Aku dah ada. Kau ada? Hehe. Kalau belum ada, bolehlah cari dan beli. :)

TIP SEBAGAI MUSLIM BERTAKWA

TIP SEBAGAI MUSLIM BERTAKWA

Rasanya, setakat ini sahaja perkongsianku pada kali ini. Banyak ilmu yang aku dapat sepanjang program yang bermanfaat ini. Doakan aku mampu istiqamah dan mampu berubah ke arah yang lebih baik lagi. InsyaAllah, sama-sama kita usaha ye! ^_^

Jauh perjalanan, luas pemandangan, ilmu ditambahkan dan meneroka bumi Tuhan. :)

Akhir sekali, mari kita renungkan ayat ini. Aku sematkan ayat ini selalu dalam hati aku. Supaya aku sedar dan muhasabah diri selalu. Dan mahu bergerak!

Kerja-kerja Islam itu bukan dilakukan pada waktu lapang, tapi kita perlu melapangkan waktu kita untuk melakukan kerja-kerja Islam. Dunia ini tempat kita berpenat. Syurga di sana tempat kita berehat. Biar kita lelah dan penat dalam melaksanakan kerja-kerja Islam yang bermanfaat. Jangan kita penat dan sibuk dengan aktiviti-aktiviti maksiat.

Ingatlah. Islam takkan tertegak. Andai Islam dalam diri tak tertegak. Moga Allah redha. Wassalam. :)

11/17/2013

Nilai, Negeri Sembilan

Bumi Allah

About these ads

2 comments on “PERKONGSIAN : ‘SYAHADAH DOKTOR MUSLIM’

  • Di kesempatan ini, saya nak ambil peluang untuk betulkan dan berkongsi tentang Ibn Sina. Seperti perkongsian di atas, Ibn Sina adalah seorang yang bukan Syiah.

    Akan tetapi, saya temui sesuatu, yang saya rasa nak kongsi dengan semua.
    Semasa kelas untuk subjek Ilahiyat wa Nubuwwat baru-baru ini, pensyarah ada menyentuh tentang seorang ulama’ falsafah yang hebat dan popular. Ibn Sina.

    “Ibn Sina adalah seorang penganut Syiah Ismailiyyah Batiniyyah. Kerana pandangannya banyak ikut mazhab Syiah. Salah satu pandangan Ibn Sina adalah pengetahuan Allah itu tidak menyeluruh dan tidak terperinci dan Allah hanya cipta 1 benda saja di dunia ini, yang lain, tercipta dengan beranak-pinak dan sebagainya. Ibn Sina juga mengatakan bahawa pada hari kebangkitan nanti, hanya rohani saja akan dibangkitkan, tidak bersama fizikal. Jadi, pandangan ini yang menyebabkan Imam Ghazali membantah dan menolak pandangan ulama’ falsafah seperti Ibn Sina dalam kitab karangannya, Tahafut al-Falsafah.”

    Saat itu, baru saya tahu. Ingatkan, bapa Ibn Sina saja yang Syiah. Dan, saya terbuka hati nak tahu lebih lanjut. Tak sempat nak ke perpustakaan, saya gunakan kemudahan yang ada dulu iaitu Google. Jumpa artikel ini.

    http://penaminangreturn.blogspot.com/2013/08/ibnu-sina-seorang-syiah.html#axzz2lwRxgMMn

    Dan, dari bacaan ini, saya temukan beberapa hujah yang sama seperti apa yang pensyarah saya beritahu. Beliau memang pakar dalam bidang Akidah/Ilmu Kalam. Sungguh! Kita ini masih jahil. Jadi, jangan malas untuk terus belajar dan belajar terutama bab-bab agama.

    Terasa berat memikul tanggungjawab sebagai seorang pelajar bidang Akidah. Perjalanan masih jauh. Banyak cabarannya. Saya ada kenalan Syiah. Orang Syiah memang hebat dalam berhujah. Kalau kita tak belajar, nescaya kita yang akan rugi dan cepat percaya dengan dalil-dalil palsu ciptaan mereka.

    Wallahua’lam.

  • Leave a Reply

    Fill in your details below or click an icon to log in:

    WordPress.com Logo

    You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

    Twitter picture

    You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

    Facebook photo

    You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

    Google+ photo

    You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

    Connecting to %s

    Follow

    Get every new post delivered to your Inbox.

    Join 125 other followers

    %d bloggers like this: