MEMBINA SEBUAH UKHUWAH

Published January 19, 2014 by wana93

Hidup ini takkan sempurna jika tiada kasih sayang dan rasa cinta. Hidup ini juga takkan terbina tanpa wujudnya ukhuwah. Kerana, kita hanya akan kuat dan kukuh dengan berjemaah! Kita hanya akan terus teguh tanpa goyah dengan berjemaah!

Ukhuwah merupakan asas binaan kepada sesebuah pembangunan dan pembinaan masyarakat yang kuat dan mantap. Tanpa asas, tak mungkin sesuatu binaan itu dapat dibina dan kekal ketahanannya. Ia akan mudah hancur, musnah dan runtuh! Tanpa asas, pastinya kita akan lemah dan goyah dengan pelbagai cabaran dan dugaan yang datangnya dalam bentuk yang kita sendiri kadangkala sukar dan payah mahu mengahadapinya!

564413_2370974409880_1869008783_n

Jika kita mahu membina sebuah ukhuwah yang utuh dan mantap, ada banyak cara! Tapi, 2 perkara asas ini yang kita perlu usahakan dalam setiap pembinaan ukhuwah. Iaitu :-

1) Bertunjangkan Allah Yang Maha Esa

Ukhuwah yang dibina, tunjangnya mestilah bertunjangkan Allah Yang Maha Esa. Bukan selain-Nya.

Kita semua punya kelebihan dan keistimewaan masing-masing. Tapi, bukan untuk kita menyombong dan membangga diri. Sebaliknya, untuk sama-sama saling membantu.

Jika anda bijak pandai, alhamdulillah.
Jika anda kaya, alhamdulillah.
Bersyukur itu perlu. Bukan setakat di bibir, tapi, dalam pengaplikasian hidup kita. Itu yang utamanya. Bukan dengan memandang rendah pada seseorang yang mungkin tidak sehebat diri anda, bukan dengan menghina insan lain yang serba tak upaya dan bukan juga untuk memperlekehkan manusia yang mungkin tidak sebijak dan sepandai diri anda.

Daripada Abdullah bin Amr r.a., beliau berkata : “Rasulullah SAW bukanlah peribadi seseorang Muslim itu yang berkata dan berbuat yang tidak senonoh. Baginda bersabda : ‘Sesungguhnya orang yang terbaik daripada kalangan kamu adalah orang yang paling baik akhlaknya di antara kamu.’ ” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Tetapi,ingat! Bukan kerana kekayaannya, kita dekat dengannya. Kerana kepandaiannya, kita jadi sahabat baiknya dengan meminggirkan sahabat-sahabat  yang lain. Bukan juga kerana luaran yang kacak dan cantik serta popular, kita mahu bersahabat dengannya. Jika kerana itulah nilai ukhuwah yang dibina, memang takkan kekal. Sebab apa?

1) Kalau dia jatuh miskin, pasti kita akan menjauhinya. Hilang sudah erti persahabatan.
2) Kalau dia hilang ingatan, kemudian, tak sebijak dulu, kita pasti akan meninggalkannya kerana dia sudah tidak berguna lagi untuk kita. Hilang sudah erti sebuah ukhuwah.
3) Kalau dia kemalangan, ada parut di muka, ada cacat celanya, pasti kita sudah tidak mahu mengaku kawan lagi. Hilang sudah semua yang dibina.

Sepandai mana pun kita, sekaya mana pun kita, taraf kita semua tetap sama.
Hanyalah hamba-Nya. Pekerja kepada Dia. Bukan kita yang menilai diri kita. Tapi, Dia yang Maha Adil akan menilai diri kita.

“…maka janganlah kamu menganggap diri kamu suci. Dialah yang paling mengetahui siapa orang yang bertakwa.” (Surah al-Najm : 32)

Allah tak pandang luaran kita. Apa yang Allah nilai adalah hati kita, ada takwa atau sifar takwa. Jadi, kita perlu sentiasa check up hati kita untuk memastikan ianya berada dalam keadaan iman yang bertambah dan punya takwa. Insya-Allah.

Jadikan Allah itu matlamat sebenar kita. Biar Allah menjadi matlamat utama dalam hidup kita. Bukan kerana cinta manusia, baru kita mahu mendekati Allah. Bukan kerana mahu berjaya dalam periksa, baru kita merapati Allah. Bukan! Andai begitulah hakikatnya, pasti kita akan cepat lupakan-Nya bila Dia sudah memberi apa yang kita mahu. Boleh jadi juga, kita akan berputus asa untuk berdoa dan mengharap pada-Nya bila Dia tidak memberi apa yang kita mohonkan.

Jangan sesekali bersikap begitu. Jangan jadikan cinta, kejayaan dan lain-lain lagi sebagai matlamat utama. Sebaliknya, jadikan semua itu bermatlamatkan Allah Yang Maha Esa. Kita bercinta dan berkasih sayang dengan manusia kerana Allah. Kita mahu berjaya dalam pelajaran kerana Allah. Kita mahu gapai apa yang kita impikan adalah kerana Allah. Itulah matlamat sebenar hidup. Semuanya kerana Allah.

“Dan Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk beribadah kepada-Ku.” (Surah Adz-Dzariyat : 56)

Jadi, jangan sombong! Allah sangat tidak menyukai orang yang sombong!

“…janganlah kamu berjalan di muka bumi dengan angkuh. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang yang sombong lagi membanggakan diri.” (Surah Luqman : 18)

9504_592781160801763_416231837_n

2) Bersadurkan Akhlak Mahmudah

Bilamana kita berukhuwah, hidup sentiasa dalam berjemaah, maka, perkara penting yang perlu kita jaga dan ambil berat adalah adab dan akhlak. Saduran yang perlu kita sadur dalam diri kita adalah saduran akhlak mahmudah, bukan mazmumah!

Akhlak yang baik, akan mampu menawan hati insan sekeliling. Tapi, jika akhlak kita buruk, hati kita kotor, nescaya kita takkan mampu untuk menawan hati insan sekeliling. Hati dan diri saling berkait dalam usaha membina akhlak dan sahsiah yang mahmudah.

Daripada Abu Dzar bin Junadah dan Abu Abdul Rahman Mu’adz bin Jabal r.a. meriwayatkan, bahawa Rasulullah SAW bersabda : “Bertakwalah kepada Allah di mana sahaja engkau berada. Ikutilah segera kejahatan dengan kebaikan, nescaya kebaikan itu menghapuskannya, dan bergaullah sesama manusia dengan budi pekerti yang baik.” (Riwayat Ahmad, al-Tirmizi dan al-Hakim)

Rasulullah SAW sendiri sudah menunjukkan qudwah hasanah Baginda terhadap para sahabat dan semua golongan ketika di zaman Baginda SAW. Sesungguhnya, akhlak merupakan asas ketamadunan manusia. Tanpa akhlak yang baik, nescaya runtuhlah sesebuah tamadun itu!

Akhlak juga merupakan dasar tertegaknya sebuah peradaban. Tanpanya, dasar itu akan runtuh jua! Akhlak itu adalah sesuatu yang tinggi nilainya dan kita tidak mampu mahu hidup dalam keadaan aman dan damai kecuali dengan menghidupkan akhlak dalam diri kita.

Antara akhlak yang baik yang perlu kita usahakan dalam ukhuwah kita adalah seperti bantu-membantu dalam kerja-kerja berpahala, bersangka baik dengan setiap insan, memberi kata-kata semangat dan motivasi pada sahabat yang sedang dilanda duka, memudahkan urusannya dan tidak menyusahkannya, bergurau senda dengan kadar yang sederhana, tidak menyakiti hati dan perasaannya serta banyak lagi. Inilah jalannya untuk kita sentiasa berakhlak dengan akhlak mahmudah.

Semoga sepasang mata milik kita mampu melihat kebaikan orang lain. Semoga sekeping hati milik kita mampu memaafkan kesalahan. Semoga minda yang dimiliki kita mampu melupakan kepahitan. Semoga jiwa yang dimiliki kita tidak pernah rapuh imannya.

Moga ukhuwah kita dibina atas dasar kerana Allah.
Bagaimana?
Semaikan iman dan takwa dalam setiap pertemuan kita.
Terima orang sekeliling kita seadanya.
Bantu mereka yang lemah, bukan meminggirkan mereka.
Sama-sama perbaiki diri ke arah yang lebih baik.

Sama-sama berusaha untuk meningkatkan kualiti akhlak dalam diri.

995432_498872966853842_1071561432_n

Kesimpulan

Ukhuwah yang mantap adalah ukhuwah yang dibina atas dasar kerana Allah Yang Maha Satu. Ukhuwah yang teguh adalah ukhuwah yang di dalamnya kaya dengan saduran akhlak mahmudah. Ukhuwah itu tersangatlah indah, andai benar kita ikhlas mahu berukhuwah kerana-Nya. Setujuilah sahabatmu dalam perkara yang bukan maksiat. Itu sahabat yang sebenar. Dia yang mahu ajak, bawa dan bersama dengan kita, hingga ke Syurga-Nya. :)

Oleh itu, mari ubah! Kita semua punya kekuatan kerana kita ada Allah Yang Maha Kuasa. Jadi, mari sama-sama kita bina ukhuwah yang stabil, kukuh dan mantap berteraskan dua asas yang penting tadi. Biar ukhuwah kita, tidak sekadar di waktu suka, gembira dan bahagia saja bermesra, akan tetapi, di waktu sukar, susah dan payah juga, kita ada bersama. Untuk hadapi semua. InsyaAllah.

“Berbuat baiklah kamu sekalian (ihsan) sesungguhnya Allah SWT kasih kepada orang yang berbuat baik.” (Surah Al-Baqarah : 195)

Sucikan hati untuk melahir cinta di hati insani. Raikan insan sekeliling dengan budi pekerti. Fokuskan hati kepada akhirat. Bukan mengejar dunia yang penuh tipu daya ini.

Selamat membina sebuah ukhuwah yang teguh kerana-Nya!

Moga Allah redha kita semua! :)

 

 

About these ads

3 comments on “MEMBINA SEBUAH UKHUWAH

    • yup..benar.. harapnya, ukhuwah kita, benar kerana Allah.. :)
      ingatkan saya andai saya terleka dan terlupa.. :)
      teguri saya andai saya buat salah dan silap serta melakukan dosa.. :)

  • Leave a Reply

    Fill in your details below or click an icon to log in:

    WordPress.com Logo

    You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

    Twitter picture

    You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

    Facebook photo

    You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

    Google+ photo

    You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

    Connecting to %s

    Follow

    Get every new post delivered to your Inbox.

    Join 139 other followers

    %d bloggers like this: