MUJAHADAH : SEBUAH PAHIT YANG MANIS

Published April 11, 2014 by wana93

Mahu mencapai ke puncak tertinggi sebuah gunung itu amatlah payah. Pelbagai liku dan rintangan serta halangan perlu dilepasi dan dilalui terlebih dahulu. Apatah lagi mahu istiqamah dalam sebuah mujahadah untuk mengejar dan merebut cinta tertinggi dalam hidup iaitu cinta Ilahi. Mujahadah itu bermaksud usaha yang bersungguh-sungguh dalam meninggalkan larangan Allah dan melaksanakan perintah-Nya. Mujahadah juga bermakna berkorban akan sesuatu kerana Allah. Bukan mengorbankan Allah kerana sesuatu!

mujahadah-ilustrasi-_120515190057-821

Hanya dengan mengingati-Nya, hati akan menjadi tenang. Sungguh! DIA pemilik ketenangan yang dicari.

Di saat muda-mudi sibuk berpacaran sana sini, sibuk berhibur sana sini, tapi, kita berusaha untuk terus muhasabah diri dan mahu merapat dengan Ilahi, itu mujahadah!

Di saat muda-mudi sibuk melakukan maksiat sana sini, sibuk mahu ke konsert sana sini, kita bersama rakan-rakan sebaya kita sibuk bergerak menggerakkan kerja-kerja Islam, itu mujahadah!

Saat kawan-kawan di rumah sewa semuanya tidur lambat melayan ‘movie’ Korea, Hindustan dan sebagainya hingga bangun lewat untuk Subuh, kita pula berusaha untuk seimbangkan waktu tidur dan merajinkan diri untuk bersujud pada Ilahi tika waktu dinihari, itu mujahadah!

Saat semua sibuk melayan cerita-cerita cinta di televisyen, sibuk bermesej dan ber’gayut’ dengan pakwe makwe masing-masing, kita pula duduk berteleku menghadap dan menghadam isi buku, cuba memahami intipati kitab, membuka kamus bagai, itu mujahadah!

Saat insan sebaya kita asyik membaca gosip-gosip hiburan, sibuk merancang untuk menonton wayang, mendengar lagu-lagu cinta yang membuatkan fikiran berada di awang-awangan, kita pula sibuk menyusun jadual, mengatur waktu untuk memenuhi dan menghadiri majlis-majlis ilmu agama untuk bekalan tambahan buat diri yang masih lagi jahil.

Imam Ahmad bin Sahl al-Balkhi berkata : “Musuhmu yang sebenar ada empat iaitu :
1) Dunia. Senjatanya makhluk dan penjaranya ‘uzlah.
2) Syaitan. Senjatanya kenyang dan penjaranya lapar.
3) Nafsu. Senjatanya tidur dan penjaranya berjaga malam.
4) Hawa. Senjatanya bercakap dan penjaranya diam.”

Ibrahim bin Adham berkata : “Seseorang hamba tidak akan mencapai darjat orang-orang yang soleh sehingga mampu mengatasi lima rintangan : Pertama, menutup pintu nikmat dan membuka pintu kesulitan. Kedua, menutup pintu kemuliaan dan mebuka pintu kehinaan. Ketiga, menutup pintu istirehat dan membuka pintu mujahadah. Keempat, menutup pintu kaya dan membuka pintu kefakiran. Kelima, menutup pintu angan-angan dan membuka pintu ke arah persiapan kematian.”

Ramai yang kata bahawa mujahadah ini adalah sesuatu yang susah dan payah. Ya! Benar! Ada juga yang kata bahawa mujahadah ini adalah sesuatu yang amat pahit untuk kita lakukan terhadap diri kita. Ya! Benar! Namun, segala susah, payah dan pahit itu akan terasa indah andai kita benar-benar punya rasa cinta dan kasih pada Allah, Rasulullah dan Islam.

Bilamana hati dan diri sudah melekat bersama dunia dan seisinya, maka, kita akan rasa sukar untuk me’rasai’ dan men’jiwai’ keindahan dan kemanisan sebuah mujahadah yang diri usaha untuk laksanakan.

Daripada Ibn Umar r.a., beliau berkata : Rasulullah s.a.w. memegang bahuku lalu bersabda : “Jadilah kamu di dunia ini seperti seorang pengembara atau perantau di jalan.” (Riwayat al-Bukhari)

Dunia adalah penjara bagi seorang Mukmin itu. Manakala, ianya Syurga bagi orang-orang kafir. Kerana apa dunia digelar penjara untuk orang Mukmin? Kerana di dalamnya, kita tidak bebas melakukan apa saja, setiap perkara ada hitungan sama ada dosa atau pahala dan banyak lagi sebab. Manakala, dunia dianggap seperti Syurga bagi orang kafir kerana mereka fikir, di sini (dunia) adalah segala-galanya. Mereka boleh lakukan apa saja tanpa menilai ianya adalah dosa ataupun pahala.

Daripada Abu Hurairah r.a., Nabi s.a.w. bersabda yang bermaksud : “Dunia penjara orang Mukmin dan Syurga orang kafir.” (Riwayat al-Tirmizi dan al-Hakim)    

Awal Yang Pahit, Manis Di Penghujung

mujahadah

Mujahadah – Sebuah pahit yang manis :’)

Mujahadah itu amat payah kerana Syurga Allah itu sangat indah. Mujahadah itu pahit pada permulaannya sahaja. Kemanisannya akan dirasai saat kaki sudah bertapak di Syurga Ilahi nanti. (Allahumma Ameen!)

Pernahkah kita merasai gula-gula yang pahit pada mula kita menggigitnya, namun, manis bila kita sudah mengunyahnya? Begitulah mujahadah. Hanya pada permulaannya saja, mungkin, kita akan rasa keperitan dan kepahitan. Kerana, Allah mahu menguji, apa benar mujahadah kita kerana-Nya? Sebab itu, Dia datangkan ujian dan cubaan untuk kita, yang bergelar hamba-Nya.

“Apakah manusia itu mengira bahwa mereka dibiarkan (saja) mengatakan: “Kami telah beriman”, sedang mereka tidak diuji lagi?” (Surah al-Ankabuut : 2)

Bagaimana mungkin kita hanya bergoyang kaki saja di dunia ini, kemudian, mati dan terus boleh masuk Syurga? Andai begitu, senangnya mahu masuk Syurga! Tidak perlu kepada mujahadah dan sebagainya. Namun, hakikatnya adalah sebaliknya. Syurga Allah itu terlalu mahal dan untuk mendapatkan sesuatu yang mahal, perlu kepada pengorbanan yang bersungguh-sungguh. Iaitu, mujahadah!

Andai kita selak kisah cinta dalam lipatan sejarah, pasti kita akan bertemu dengan nama insan-insan hebat yang mana, Syurga menunggu kehadirannya. Bagaimana mereka bertemu dengan kebenaran setelah menentang Islam itu sendiri? Bagaimana hati mereka diketuk dengan sapaan hidayah-Nya, setelah mereka membunuh ramai insan yang tidak berdosa?

Kita ini sering leka dengan maksiat. Kita ini sering terlupa dengan nikmat yang dibuai dunia. Kita ini sering alpa dengan dosa-dosa yang pernah kita lakukan. Hingga semua itu, menutup mata hati kita untuk melihat dan mengenal cinta Allah yang sebenar.

“Dan barang siapa yang buta (hatinya) di dunia ini, niscaya di akhirat (nanti) ia akan lebih buta (pula) dan lebih tersesat dari jalan (yang benar).” (Surah al-Israa’ : 72)

Biarlah permulaan penghijrahan hidup kita dihiasi dengan ujian, dugaan dan cubaan sepanjang kita menuju ke arah mujahadah kerana-Nya. Asalkan di akhir natijah hidup kita nanti, Syurga Allah yang bakal kita kecapi. InsyaAllah.

Jika kita yakin dan percaya dengan rahmat dan kasih sayang Allah, maka, kita akan dihinggapi rasa ketenangan sentiasa. Tidak ada gundah yang tidak berpenghujung. Tidak ada rasa sedih dan resah yang tidak akan berakhir. Ujian dan dugaan akan terus datang untuk menguji kita. Semua itu hanya akan berakhir bilamana nafas kita di dunia ini juga berakhir.

“Yang menjadikan mati dan hidup, supaya Dia menguji kamu, siapa di antara kamu yang lebih baik amalnya. Dan Dia Maha Perkasa lagi Maha Pengampun.” (Surah al-Mulk : 2)

Imam Hanbali pernah ditanya oleh anaknya, “Ayah, bila kita boleh berehat?”
Maka, jawab Imam Hanbali, “Kita hanya akan berehat bila kita benar-benar sudah menjejak ke Syurga”.

MasyaAllah! Jadi, dunia ini adalah tempat untuk kita berpenat! Kerana Syurga adalah tempat rehat kita yang sebenar-benarnya!
Imam al-Ghazali pernah mengatakan bahawa seseorang tidak akan dapat menjadi hamba Allah dengan sebenarnya jika masih mencintai dunia.

Allah s.w.t. mengingatkan kita : “dan tidak (dinamakan) kehidupan dunia melainkan permainan yang sia-sia dan hiburan yang melalaikan.” (Surah Al-An’am, 6:32)

Keep struggle and strive for mardhotillah! ^^

Keep struggle and strive for mardhotillah! ^^

Terus Istiqamah Dalam Mujahadah!

Maka, jika kita sudah mengetahui betapa mahalnya Syurga Allah itu, perlulah kita berusaha dengan lebih keras dan bersungguh-sungguh dalam mahu memenangi redha dan rahmat Ilahi, untuk kita ke Syurga-Nya. Usaha dan amalan ke arah kerja-kerja Islam perlu ditingkatkan. Ibadah juga perlu seiring ditingkatkan. Fokuskan hati untuk lebih mencintai akhirat, bukan menjadikan dunia sebagai keutamaan!

Ilmu dan amal perlu digandakan bagi menangkis godaan-godaan dan bisikan-bisikan syaitan durjana yang mahu menjahanamkan kita. Hubungan yang mantap dan utuh antara kita dengan manusia, dan yang lebih penting, hubungan kita dengan Pencipta kita, perlu kita titikberatkan untuk memastikan diri kita terus terpelihara dalam redha-Nya.

Moga, langkah kita terus istiqamah dalam memperjuangkan sebuah mujahadah! Kerana mujahadah itu adalah sebuah pahit yang manis, andai benar mujahadah kita kerana-Nya. Jangan dihitung pahitnya sebuah mujahadah, akan tetapi, renunglah akan manisnya Syurga yang dijanjikan Allah. :)

Moga Allah redha kita semua. :)

*Aku menulis untuk ingatan diriku sendiri khususnya. Kerana aku insan lemah, mudah sangat rebah! Makanya, aku perlu akan sebuah mujahadah! Dan, aku mahu kita sama-sama bergerak menuju Allah! :”)

~Teratak Desa Anggerik, Bumi Nilai, Malaysia, Galaksi Bima Sakti,  11/4/2014~

About these ads

4 comments on “MUJAHADAH : SEBUAH PAHIT YANG MANIS

    • haza min fadhli Rabbi.. alhamdulillah.. moga bermanfaat..
      insyaAllah.. biidznillah, diri ini sendiri masih banyak yang perlu diperbaiki lagi.. enti mampu jd lebih hebat.. biar hasil pena menyentuh jiwa-jiwa ummat.. :)

  • Leave a Reply

    Fill in your details below or click an icon to log in:

    WordPress.com Logo

    You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

    Twitter picture

    You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

    Facebook photo

    You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

    Google+ photo

    You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

    Connecting to %s

    Follow

    Get every new post delivered to your Inbox.

    Join 137 other followers

    %d bloggers like this: