batas pergaulan dalam islam

All posts tagged batas pergaulan dalam islam

IKHTILAT DALAM STUDYGROUP

Published January 27, 2013 by wana93

Alhamdulillah, semester satu sudah pun selesai. Ada 7 lagi semester menanti di hadapan! ^,^ Di kesempatan yang ada ni, saya nak berkongsi sesuatu dengan anda semua. Entri ni juga untuk menjawab beberapa soalan. Tentang ikhtilat (percampuran lelaki dan perempuan) dalam studygroup atau discussion group.

Selalunya, di sekolah, studygroup atau discussion group biasa dibuat bersama jantina yang serupa. Kadang-kadang sahaja melibatkan perbincangan bersama lain jantina (lelaki dan perempuan). Tapi, berbeza dengan alam universiti.

Alam universiti merupakan satu alam yang agak asing bagi diri saya. Maklumlah, baru nak menyesuaikan diri dengan keadaan sekeliling, dengan biah (suasana) baru. Alam ini lebih terbuka dan berpotensi mendedahkan diri kita pada keburukan andai kita gagal mengawal dan mendidik diri, andai kita leka dengan keseronokan yang bersifat lagha dan andai kita gagal memilih kawan yang mampu memimpin kita ke arah kebenaran.

Di universiti, study group atau discussion group biasanya melibatkan ikhtilat iaitu percampuran antara lelaki dan perempuan. Kadang-kadang, kita yang tentukan. Kadang-kadang, pensyarah yang suruh campur. Sebab, lelaki berpotensi jadi guard untuk pelajar-pelajar muslimah.

People_Group_Study

Apa kata ulama kontemporari?

Islam merupakan agama yang sempurna dan tidak membebankan. Wanita sejak zaman permulaan islam tidak lepas bebas dan tidak pula hanya terpenjara di rumah sahaja. Bahkan mereka aktif keluar bersama kaum lelaki (dalam suasana terkawal saya ingin tegaskan) contohnya, pergi ke masjid untuk solat berjemaah, mencari ilmu, menolong jiran tetangga dan sebagainya.

Wanita juga keluar melakukan dakwah, amar makruf dan nahi mungkar, menghadiri majlis ilmu, menyertai perang jihad, mencari rezeki atau berkerjaya, berpolitik, mendapatkan hiburan yang baik, menghadiri perayaan dan menyertai jemaah atau kumpulan yang membawa manfaat .

Firman Allah swt:

“Dan orang-orang beriman lelaki dan perempuan itu, setengahnya menjadi penolong bagi setengah yang lain, mereka menyuruh berbuat makruf dan mencegah kemungkaran.” (At-taubah, ayat 71)

Tiada halangan lelaki dan perempuan ajnabi berkawan serta liqa’ atau pertemuan untuk bekerjasama dalam perkara-perkara kebaikan, seperti menuntut ilmu, menjalankan program-program kebajikan dan jihad.

Ikhtilat dalam urusan keperluan seperti bekerja atau belajar, hukumnya harus. Tetapi, ada syaratnya. Antara syarat-syarat utama adalah :-

1. Pertemuan dan kerjasama itu hendaklah dalam suasana serius.

2. Menahan/menundukkan pandangan.

3. Menghindari berjabat tangan.

4. Mengenakan pakaian yang menepati kaedah Syara’.

5. Tidak bersesakan dan lebih elok jika ada jarak pemisahan.

6. Menghindari khulwah (berdua-duaan di tempat yang sunyi), namun boleh jika:

a)     Khulwah di kawasan awam yang ada ramai orang.

b)     Beberapa lelaki dan seorang perempuan.

c)     Seorang lelaki dan beberapa orang perempuan.

7. Tidak terlalu lama dan berulang.

8. Menghindari tempat yang mencurigakan.

9. Menjauhi perbuatan maksiat dan dosa.

Rujuk dan baca lebih lanjut di : Blog fikrahhalaqah.com > Hukum Berikhtilat Mengikut Pandangan Ulama Kontemporari dan Kaedah Usul

Dalam buku Ciri-ciri Unggul Masyarakat Islam yang Kita Idamkan oleh Prof. Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradhawi, beliau telah menyentuh beberapa poin-poin penting berkaitan isu percampuran antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram. Iaitu :-

1. Tidak bercampur dengan lelaki/wanita asing (bukan mahram) kecuali kerana keperluan yang mendesak, kemaslahatan yang dibenarkan, dengan kadar yang mencukupi. Contohnya, solat di masjid, menuntut ilmu dan bantu-membantu atas dasar kebaikan serta ketakwaan.

2. Wanita tidak dihalang daripada menyertai untuk berkhidmat kepada masyarakatnya. Di samping itu, tidak mengabaikan batas-batas syarak dalam pertemuan dengan lelaki.

3. Merendahkan pandangan serta menjaga kemuliaan dan kesucian. (Syeikh memberi panduan boleh memandang atas dasar urusan tetapi tidak berlama-lama ketika memandang.)

4. Berasa malu dan menutup pakaian serta perhiasan tetapi tidak dalam bentuk yang menyukarkan.

5.Tidak menampakkan perhiasan wanita yang tersembunyi seperti rambut, leher, tengkuk, dua lengan dan dua betis kecuali kepada suaminya dan lelaki mahram.

6. Berhati-hati semasa mengatur langkah dan pertuturan.

7. Menjauhkan semua perkara yang boleh merangsang.

8. Mengelakkan diri daripada khalwat.

Kesimpulan

Berurusan dengan ajnabi (bukan mahram) hanya ketika ada urusan bukan ketika diri merasa bosan. Apa yang kita mahu dalam sesuatu urusan itu sudah semestinya redha Allah, bukan murka-Nya. Kan? ^_^

Sama-sama kita berusaha menjaga diri, menjaga batas pergaulan dan menjaga hati. Jaga Islam dalam diri kita baik-baik. Jaga iman, jaga pandangan, jaga amal dan jangan nakal-nakal. :)

Wallahua’lam..

JOM DENGAR TARBIAH

Published December 5, 2011 by wana93

Firman Allah s.w.t. :  Katakanlah kepada laki-laki yang beriman: Hendaklah mereka menahan pandangannya dan memelihara kemaluannya. (An-Nuur: 30)

Dan katakanlah kepada wanita yang beriman: Hendaklah mereka menahan pandangannya dan memelihara kemaluannya. (An-Nuur: 31)

Jom sama-sama kita dengar ceramah ni. Sebarkan dan sama-sama kita amalkan manfaat dan kebaikannya. Khas untuk kita semua, muslim dan muslimah. :)

KERANA MARUAH AGAMA

Published March 27, 2011 by wana93

Kisah Benar (nama samaran)…. :

M mengajak aku untuk pergi ke satu kem selama 2 hari 1 malam. Aku bosan, sebab tu aku setuju dengan ajakannya bersama S dan N.

Sampai di sana, tempatnya indah dengan ciptaan Tuhan namun dicemari dengan pelbagai maksiat yang tersmbunyi di mata kasarku pada mulanya. Setelah beberapa jam mengikuti program tersebut, aku dan rakan-rakanku agak terkejut dengan “kejutan budaya” seperti homoseksual (gay, lesbian) dan biseksual, heteroseksual dan banyak lagi.

M berkata, dia tidak menyangka bahawa kem kali ini benar-benar berbeza daripada sebelumnya. Kami tidak menyalahkannya kerana kami mendapat satu pengalaman yang mengejutkan. Bayangkan! Kami serumah dengan mereka-mereka yang “pengkid”. Mungkin ada juga yang Lesbian antara mereka.

Bukan niat ingin menghina, tetapi ingin menyatakan pendapat. Pergaulan yang terlalu bebas menyebabkan kami terasa begitu asing. Lelaki dan perempuan bersalaman, bertepuk tampar dan banyak lagi. Inikah perwatakan Islam? Mereka tahu gunakan nama Tuhan dalam mempertahankan perkara batil (contohnya: Allah dah bagi kita rambut yang cantik, terima jela. Tapi, bukan nak pakai tudung). Malah memerli orang yang pakai tudung.)

Katakanlah kepada orang laki-laki yang beriman: “Hendaklah mereka menahan pandangannya, dan memelihara kemaluannya; yang demikian itu adalah lebih suci bagi mereka, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang mereka perbuat”. (Surah an-Nur : ayat 30)


“dan janganlah kamu mendekati zina; sesungguhnya zina itu adalah sutu perbuatan keji dan jalan yang buruk.” (Surah al-Israa’ : ayat 32)

“..sesungguhnya pendengaran, penglihatan juga hati, semua anggota itu tetap akan ditanya tentang apa yang dilakukannya (selama di dunia).” (Surah al-Israa’ :ayat 36)

Kami terpaksa menipu untuk pulang dari kem tersebut pada waktu malam kerana dua sebab. Satu, tidur. Dua, salah seorang sahabat kami diarahkan berlakon bersama lelaki dalam keadaan baring di lantai sambil bertentang mata. Dia risau dan kami juga risau. Jadi, kami buat satu perancangan untuk membebaskan diri kami dripada dibelenggu dosa dan maksiat. Mana taknya, perempuan, tapi merokok dan mengaku pernah menghisap shisha. Na’uzubillah..

Bila ada lelaki yang cuba mendekati, aku akan menjauh. Biarlah mereka nak kata aku ni tak sporting ke, sombong ke.. Biarlah.. Asalkan Allah suka dengan sikap aku yang cuba nak memelihara ni..

Dari Maqil bin Yasar .a. berkata; Seandainya kepala seseorang ditusuk dengan jarum besi itu masih lebih baik daripada menyentuh kaum wanita yang tidak halal baginya. (Hadis Hasan Riwayat Thabrani dalam Mujam Kabir)

M menghubungi saudaranya dan menceritakan segala-galanya. Saudara M juga berasa terkejut dan risau dengan keadaan kami lalu kami sepakat membuat keputusan untuk tinggalkan kem pada malam tersebut juga. Kami terpaksa menipu orang yang kami hormati di kem itu kerana ini.

Apapun, sebenarnya, kem ini best! CUMA!! Pergaulan yang terlampau bebas dan pakaian yang terlampau bebas serta terdedah menyebabkan kami rasa sungguh kecewa dan kesian.

Pengajaran : Jagalah diri sebaik mungkin kerana diri akan mudah hanyut dengan ajakan rakan sebaya andai iman dan takwa dalam hati sudah hilang dalam diri.

Semoga Allah menghadiahkan nur hidayah-Nya pada mereka-mereka yang memerlukan petunjuk. Amin… :)

p/s : Cerita ini tidak ada kena mengena dengan yang hidup atau yang mati. Ambillah pengjaran dan jadikan pedoman.

Wassalam…

BATAS PERGAULAN ANTARA LELAKI DAN PEREMPUAN DALAM ISLAM

Published October 31, 2009 by wana93

Etika pergaulan dan batas pergaulan di antara lelaki dan wanita menurut Islam :
1. Menundukkan pandangan

ALLAH memerintahkan kaum lelaki untuk menundukkan pandangannya, sebagaimana firman-NYA; Katakanlah kepada laki-laki yang beriman: Hendaklah mereka menahan pandangannya dan memelihara kemaluannya. (An-Nuur: 30)

Sebagaimana hal ini juga diperintahkan kepada kaum wanita beriman, ALLAH berfirman; Dan katakanlah kepada wanita yang beriman: Hendaklah mereka menahan pandangannya dan memelihara kemaluannya. (An-Nuur: 31)

2. Menutup Aurat

ALLAH berfirman : ..dan jangan lah mereka menampakkan perhiasannya, kecuali yang biasa nampak daripadanya. Dan hendaklah mereka melabuhkan kain tudung ke dadanya. (An-Nur: 31)

Juga Firman-NYA; Hai nabi, katakanlah kepada isteri-isterimu, anak-anak perempuanmu dan isteri-isteri orang mukmin: Hendaklah mereka melabuhkan jilbabnya ke seluruh tubuh mereka.(Al-Ahzab : 59)

Yang demikian itu supaya mereka lebih mudah dikenali, kerana itu mereka tidak diganggu. Dan ALLAH adalah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. (An-Nur: 59).

Perintah menutup aurat juga berlaku bagi semua jenis.

Dari Abu Daud Said al-Khudri .a. berkata: Rasulullah SAW bersabda: Janganlah seseorang lelaki memandang aurat lelaki, begitu juga dengan wanita jangan melihat aurat wanita.

3. Adanya pembatas antara lelaki dengan wanita;

Kalau ada sebuah keperluan terhadap kaum yang berbeza jenis, harus disampaikan dari balik tabir pembatas. Sebagaimana firman-NYA; Dan apabila kalian meminta sesuatu kepada mereka (para wanita) maka mintalah dari balik hijab. (Al-Ahzaab: 53)

4. Tidak berdua-duaan Di Antara Lelaki Dan Perempuan

Dari Ibnu Abbas .a. berkata: Saya mendengar Rasulullah SAW bersabda: Janganlah seorang lelaki berdua-duaan (khalwat) dengan wanita kecuali bersama mahramnya. (Hadis Riwayat Bukhari & Muslim)

Dari Jabir bin Samurah berkata; Rasulullah SAW bersabda: Janganlah salah seorang dari kalian berdua-duan dengan seorang wanita, kerana syaitan akan menjadi ketiganya. (Hadis Riwayat Ahmad & Tirmidzi dengan sanad yang sahih)

5. Tidak Melunakkan Ucapan (Percakapan)

Seorang wanita dilarang melunakkan ucapannya ketika berbicara selain kepada suaminya. Firman ALLAH SWT; Hai isteri-isteri Nabi, kamu sekalian tidaklah seperti wanita yang lain, jika kamu bertakwa. Maka janganlah kamu tunduk dalam berbicara (berkata-kata yang menggoda) sehingga berkeinginan orang yang ada penyakit di dalam hatinya tetapi ucapkanlah perkataan-perkataan yang baik. (Al-Ahzaab: 32)

Berkata Imam Ibnu Kathir; Ini adalah beberapa etika yang diperintahkan oleh ALLAH kepada para isteri Rasulullah SAW serta kepada para wanita mukminah lainnya, iaitu hendaklah dia kalau berbicara dengan orang lain tanpa suara merdu, dalam pengertian janganlah seorang wanita berbicara dengan orang lain sebagaimana dia berbicara dengan suaminya. (Tafsir Ibnu Kathir 3/350)

6. Tidak Menyentuh Kaum Berlawanan Jenis

Dari Maqil bin Yasar .a. berkata; Seandainya kepala seseorang ditusuk dengan jarum besi itu masih lebih baik daripada menyentuh kaum wanita yang tidak halal baginnya. (Hadis Hasan Riwayat Thabrani dalam Mujam Kabir)

Berkata Syaikh al-Abani Rahimahullah; Dalam hadis ini terdapat ancaman keras terhadap orang-orang yang menyentuh wanita yang tidak halal baginya. (Ash-Shohihah 1/44)

Rasulullah SAW tidak pernah menyentuh wanita meskipun dalam saat-saat penting seperti membaiat dan lain-lainnya. Dari Aishah berkata; Demi ALLAH, tangan Rasulullah tidak pernah menyentuh tangan wanita sama sekali meskipun saat membaiat. (Hadis Riwayat Bukhari)

Inilah sebahagian etika pergaulan lelaki dan wanita selain mahram, yang mana apabila seseorang melanggar semuanya atau sebahagiannya saja akan menjadi dosa zina baginya.

Daripada Abu Hurairah r.a., bahawa Nabi s.a.w. bersabda : “Telah ditetapkan bagi setiap anak Adam bahagian dosa daripada zina yang pasti akan ditemuinya. Kedua mata dosanya melihat, kedua telinga dosanya mendengar, lidah dosanya membicarakannya, kedua tangan dosanya memegang, kedua kaki dosanya melangkah, dan hati dosanya membayangkan atau mengangan-angankan. Semua itu akan dinyatakan atau tidak oleh kemaluannya.” (Riwayat Muslim)

*Al-Bukhari juga meriwayatkan hadis ini secara ringkas.

Padahal ALLAH SWT telah melarang perbuatan zina dan segala sesuatu yang boleh mendekati kepada perbuatan zina. Sebagaimana Firman-NYA; Dan janganlah kamu mendekati zina, sesungguhnya zina itu adalah suatu perbuatan yang keji dan jalan yang buruk. (al-Isra: 32)

‘Muslimah Solehah Pada Pandangan Allah’ : Itu buruan kita :)

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 129 other followers