CEDERA SEKEPING HATI

Published May 26, 2011 by wana93

Pernahkah kita terfikir bagaimana agaknya sekeping hati yang tersimpan elok di dalam tubuh kita boleh tercedera sedangkan badan kita sihat sejahtera?? Seringkali kita mendengar keluhan seperti ini…

“Aku sakit hatilah dengan dia tu!”

“Aku menangis dalam hati, tak ada siapa yang tahu..”

“Hati aku terseksa sebab rindukan dia.”

Bagaimana hati boleh cedera? Bagaimana hati boleh sakit? Bagaimana hati boleh menangis? Apakah kita dapat mendengar tangisan hati kita sendiri? Benarkah hati kita terseksa? Bagaimana seksaannya itu? Apakah kita merasai sakitnya hati kita apabila ada orang menyakiti kita?

Walaupun zahirnya, hati itu tersimpan rapi di dalam tubuh kita tanpa ada sebarang marabahaya yang boleh menyakiti dan melukainya,namun, secara batin, hati kita sebenarnya selalu cedera dan akan parah jika tidak segera diubati.

BAGAIMANA HATI BOLEH CEDERA?

Hati kita boleh cedera dengan beberapa faktor dalaman dan luaran. Antaranya:
Faktor Dalaman :
– Hasutan syaitan yang menyuruh agar melakukan kemungkaran.
– Nafsu amarah yang sentisa mengajak kepada kemaksiatan.
– Lemah iman di dada.
– Berdendam dan su’uzon(buruk sangka) dengan manusia.

Faktor Luaran :
– Pengaruh negatif gejala sosial (pergaulan bebas dll)
– Pengaruh TV (menonton cerita-cerita maksiat dan tak bermanfaat)
– Malas pergi ke majlis-majlis ilmu.
– Malas membaca buku-buku ilmiah.
– Keadaan sekeliling yang sentiasa bergelumang dengan dosa dan noda.

Faktor Dalaman akan menyebabkan hati kita cedera dan luka kerana kesannya amat buruk kepada batin kita. Hati akan berasa lemah dan lesu tanpa iman untuk melawan gelodak nafsu. Hati juga akan berasa berat hati tanpa takwa di jiwa untuk menolak undangan syaitan durjana ke arah kemaksiatan. Sekali kita berbuat dosa, titik hitam akan tercalit di hati kita. Bukankah itu menunjukkan bahawa hati kita sudah mula cedera?

Ibn Mas’ud berkata : “ Dosa itu menggoncangkan hati.”

Faktor Luaran juga menyebabkan hati semakin terluka dan akan bertambah parah kerana kesannya amatlah zahir. Jika kita terus-terusan melakukan maksiat dan kejahatan, diri kita sendiri akan berubah menjadi apa yang kita usahakan. Sebab itulah wujudnya pencuri, perompak, perogol, pelacur, pelumba haram dan banyak lagi gejala yang tidak sihat untuk kita ikuti. Ketandusan ilmu pengetahuan akan menyebabkan kita jahil dan buta dalam melakukan sesuatu perkara. Kekontangan ilmu juga akan menjadikan kita seorang yang jahil agama. Bagaimana kita ingin mengetahui sesuatu perkara itu baik dan berpahala atau sebaliknya tanpa wujudnya ilmu di minda kita? Akal semata-mata bukan penentuan segalanya.

SEMBUHKAN HATI KITA

Hati yang tidak dididik dan diasuh dengan cermat akan mudah luntur dan cair dengan pujuk rayu nafsu dan syaitan. Hati yang lemah iman juga akan senang dan amat mudah untuk dipengaruhi. Hati yang lalai akan sentiasa berada dalam keadaan alpa andai tiada bimbingan tarbiyah dan tazkirah. Hati yang penuh dengan calitan hitam tidak akan sedar akan dosa yang dilakukannya. Baginya, dosa biasa yang dilakukannya itu adalah perkara biasa.

Hati perlu disuntik dengan jarum takutkan api Neraka Allah agar diri tidak lagi berani untuk berbuat maksiat. Hati juga perlu sentiasa disiram dengan akhlak yang murni seperti merendah diri agar tidak timbul perasaan riak dan bangga dalam diri dan menyebabkan hati menjadi layu serta tidak bertenaga. Hati memerlukan tazkirah agar kita sentiasa mengingati mati.

Firman Allah yang bermaksud : “Orang Mukmin ialah orang yang ketika nama Allah disebut, hati mereka gementar…” (Surah Al-Anfal : 2)

Hati juga memerlukan sifat malu. Malu untuk melakukan maksiat dan kejahatan pada-Nya. Andai hati sudah malu, masakan tidak diri kita juga akan merasakan rasa yang sama? Pasti! Kita pasti akan rasa malu untuk melakukan perkara maksiat kerana anggota ini milik-Nya. Takkan kita nak buat maksiat dengan anugerah anggota badan pinjaman-Nya ini? Tidak malukah kita?

Daripada Imran bin Hussain r.a., Nabi SAW bersabda : “Malu tidak mendatangkan suatu hasil pun melainkan kebaikan.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Daripada Abu Abdillah al-Nukman bin Basyir r.a. berkata bahawa beliau mendengar Rasulullah SAW bersabda : “…Ingatlah, bahawa dalam jasad itu ada segumpal daging. Jika ia baik, baiklah jasad seluruhnya. Jika ia rosak, rosaklah jasad seluruhnya. Ketahuilah, bahawa segumpal daging itu adalah hati.” (Riwayat Bukhari, Muslim dan Abu Daud)

Hati yang baik ialah hati yang sentiasa ingatkan Allah, memuji kebesaran-Nya, mentaati segala perintah-Nya dan menjauhi serta menghindari larangan-Nya. Hati yang baik juga sentiasa bersih daripada sifat mazmumah seperti dendam, benci, riak dan takbur serta bangga diri.

Hati yang rosak pula ialah hati yang telah dipengaruhi dan dikuasai sepenuhnya oleh nafsu dan syahwat yang jahat hingga tidak diendahkan lagi halal haramnya. Hati yang rosak juga sudah dianggap mati hayatnya untuk berhubung dan bertasbih pada-Nya.

Sembuhkanlah hati kita. Jangan cederakannya lagi dengan luka-luka dosa dan noda. Jangan parahkan ia dengan kesakitan dan kesengsaraan jiwa. Jangan rosakkan ia dengan perbuatan maksiat dan kejahatan. Mujahadahlah! Kerana selagi denyut nafas masih bernadi, syaitan dan nafsu akan sentiasa menjadi musuh utama kita yang tersembunyi. Mujahadah itu memang payah dan pahit kerana Syurga itu sememangnya indah dan manis.

Manfaatkanlah hati kita sebaik-baiknya. Bersyukurlah atas pinjaman-Nya yang amat berharga ini. Hargailah ia dan manfaatkan sebaiknya. Jangan sesekali membutakan hati kita dengan keasyikan duniawi semata-mata. Jaga dan peliharalah hati agar kita bisa memperoleh haruman Syurga di sana nanti.

Firman Allah yang bermaksud : “Maka tidak pernahkah kamu berjalan di bumi, sehingga hati (akal) mereka dapat memahami, telinga mereka dapat mendengar? Sebenarnya, bukan mata itu yang buta, tetapi yang buta ialah hati yang di dalam dada.” (Surah al-Hajj : 46)

2 comments on “CEDERA SEKEPING HATI

  • assalamualaikum~~tanx mningatkan dan sudi berkngsi ilmu..semoga kita sentiasa dilindungiNya dari sebarang prkara yg lagho dan mungkar..insyaallah..so meangful ^^

  • Leave a Reply

    Fill in your details below or click an icon to log in:

    WordPress.com Logo

    You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

    Twitter picture

    You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

    Facebook photo

    You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

    Google+ photo

    You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

    Connecting to %s

    %d bloggers like this: