PELUANG RAMADHAN, BERSYUKURLAH!

Published July 31, 2011 by wana93

Pertama sekali, marilah kita merafa’kan setinggi-tinggi penghargaan dan kesyukuran pada Allah Yang Maha Esa kerana kita masih diberi pinjaman nafas dan masih bernyawa untuk meneruskan titian kehidupan walau mehnah ujian sering bertandang. Ramadhan kian menjelma. Sebelum memulakan topik tentang berpuasa, saya ingin berkongsi sesuatu pada anda semua. Betapa kita mesti bersyukur! Ucaplah Alhamdulillah..

Lebih kurang dalam dua minggu lepas, sehari selepas hari kelahiran saya, keesokan malamnya, saya dikejutkan dengan satu berita kematian sepupu lelaki saya yang berada di Kuantan, Pahang. Kemalangan jalan raya. Ada tersiar di dalam surat khabar (Sinar, yang saya baca). Dia sebagai penumpang dan sahabatnya pemandu. Kedua-duanya maut. Innalillahi wa inna ilahi raji’un. Mari kita sedekahkan al-fatihah pada arwah.

Tiap-tiap yang berjiwa pasti akan merasai mati…” (Surah Al-Ankabuut : 57)

Apa yang ingin saya kongsi di sini ialah kita mestilah bersyukur kerana masih berpeluang menemui bulan Ramadhan. Berpeluang untuk berpuasa dan mentarbiyah diri. Berpeluang untuk memperbaiki kelemahan dan kekurangan diri. Berpeluang berbakti di Bumi Allah. Masih berpeluang untuk meminta maaf dan memaafkan. Masih berpeluang untuk memohon rahmat dan keampunan Allah. Masih berpeluang untuk bersama-sama dengan insan kesayangan. Arwah sepupu saya baru sahaja mendapat cahaya mata tak kurang 5 bulan yang lepas kalau tak silap saya. Betapa pilunya hati seorang isteri yang kehilangan suami dalam keadaan sebegitu tragis.

Tidakkah kita patut bersyukur? Kerana kita masih berpeluang untuk melihat dan hidup bersama-sama keluarga tercinta. Kita kena sentiasa ingat bahawa mati itu pasti, hidup tak pasti. Kita tak pasti sampai bila kita akan terus hidup tetapi apa yang pasti, kita semua akan merasai mati. Bersediakah kita?? Sudah cukupkah amalan kita?? Layakkah Syurga untuk kita huni?? Hanya diri yang tahu…

 

REBUT PELUANG

Ramadhan datang setahun sekali. Tak semua orang dapat menikmati. Tak semua dapat merasai. Tak semua dapat menghayati. Jadi, rebutlah segala kebaikan dan ganjaran serta bonus yang disediakan Allah dalam bulan Ramadhan ini.

Jadilah pemurah dengan ikhlas bersedekah. Jadilah peramah dengan membantu sahabat menyelesaikan masalah. Jadilah soleh dan solehah dengan meningkatkan ibadah pada Allah. Jadilah pemaaf dengan meminta maaf dan memaafkan.

Daripada Zaid bin Khalid al-Juhani r.a., Nabi s.a.w. bersabda : “Siapa yang memberi makanan kepada seseorang untuk berbuka puasa, nescaya ia mendapat ganjaran yang sama dengan orang yang berpuasa itu.” (Riwayat al-Tirmizi)

Firman Allah s.w.t. yang bermaksud : “(Beberapa hari yang ditentukan itu ialah) bulan Ramadan, bulan yang di dalamnya diturunkan (permulaan) Al Qur’an sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu dan pembeda (antara yang hak dan yang batil). Karena itu, barang siapa di antara kamu hadir (di negeri tempat tinggalnya) di bulan itu, maka hendaklah ia berpuasa pada bulan itu, dan barang siapa sakit atau dalam perjalanan (lalu ia berbuka), maka (wajiblah baginya berpuasa), sebanyak hari yang ditinggalkannya itu, pada hari-hari yang lain. Allah menghendaki kemudahan bagimu, dan tidak menghendaki kesukaran bagimu. Dan hendaklah kamu mencukupkan bilangannya dan hendaklah kamu mengagungkan Allah atas petunjuk-Nya yang diberikan kepadamu, supaya kamu bersyukur.” (Surah al-Baqarah : 185)

 

ISTIMEWA RAMADHAN

Antara amalan-amalan sunat di bulan Ramadhan :

  • Memperbanyakkan mentadabbur al-quran dan berzikir
  • Solat Terawih dan witir
  • Bersahur dan melambatkannya
  • Berbuka dengan tamar dan menyegerakannya
  • Qiamulail
  • Memperbanyakkan sedekah

Bila sebut Ramadhan, pasti kita akan terus membayangkan tentang keistimewaan malam Lailatul Qadar. Marilah sama-sama kita berusaha untuk memperbanyakkan amal ibadah pada malam tersebut meskipun kita tidak mengetahui bila. Mulakanlah usaha kita itu dari awal Ramadhan hinggalah ke akhirnya. Jangan tunggu 10 malam terakhir baru kita nak sungguh-sungguh buat ibadah dan sebagainya. Semoga kita semua berjaya bertemu dengan hari istimewa itu. Insya-Allah. Amin…

Firman Allah s.w.t. : “Sesungguhnya Kami telah menurunkannya (Al Qur’an) pada malam kemuliaan. Dan tahukah kamu apakah malam kemuliaan itu? Malam kemuliaan itu lebih baik dari seribu bulan. Pada malam itu turun malaikat-malaikat dan malaikat Jibril dengan izin Tuhannya untuk mengatur segala urusan. Malam itu (penuh) kesejahteraan sampai terbit fajar.” (Surah al-Qadr : 1-5)

Malam Lailatul Qadar ini dirahsiakan untuk mendorong hamba-Nya berlumba-lumba melakukan ibadah dengan bersungguh-sungguh. Hayya nastabiqul khairat! Mari kita berlumba-lumba ke arah kebaikan!

Ramadhan juga ada kelebihan dan tersirat dengan pelbagai keistimewaan. Antaranya :

  • Diwajibkan berpuasa
  • Diturunkan al-quran
  • Solat Terawih
  • Lailatul Qadar
  • Pahala amalan digandakan
  • Syaitan dibelenggu
  • Kemenangan dalam Perang Badar
  • Pembukaan Kota Mekah
  • Pintu Syurga dibuka
  • Pintu Neraka ditutup

 

HIKMAH BERPUASA

Puasa banyak kelebihannya. Mengikut teori perubatan, berpuasa dapat menjauhkan diri daripada pelbagai penyakit. Orang yang menjalani pembedahan dimestikan berpuasa. Ini sesuai dengan maksud hadis, perut adalah tempat punca datangnya penyakit.

Antara hikmah lainnya, :

  • Meningkatkan ketakwaan
  • Melahirkan rasa kesyukuran
  • Menjaga kesihatan rohani dan jasmani
  • Membentuk akhlak mulia
  • Melatih diri bersabar dan berdisiplin
  • Diampunkan dosa yang lalu
  • Mendidik nafsu dan mentarbiyah jiwa dll

Daripada Abu Hurairah r.a. berkata, sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud : “Puasa adalah penghalang daripada api neraka. Bau mulut orang yang berpuasa lebih harum daripada kasturi di sisi Allah.” (Riwayat al-Tirmizi)

Daripada Abu Hurairah r.a., daripada Nabi s.a.w. bersabda yang bermaksud : “Sesiapa yang berpuasa Ramadhan dengan penuh keimanan dan keinsafan, diampunkan Allah segala dosa-dosa yang lalu.” (Riwayat al-Bukhari)

Semoga Ramadhan tahun ini lebih baik daripada Ramadhan tahun-tahun lepas. Dan semoga kita diberi pinjaman nafas untuk menghabiskan Ramadhan. Dan semoga kita dapat bertemu lagi dengan Ramadhan yang akan datang. Amin..

Wallahua’lam…

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: