10.8.2011. Tarikh keramat itu telah menemukan abahku dengan Yang Maha Esa. Tarikh itu jugalah hari lahirnya. Doaku, semoga arwah abahku bahagia di alam baru. Semoga Allah mengampuni segala dosanya. Al-fatihah.
Masa berlalu begitu pantas. Memintas batas waktu. Terasa cepat segala yang berlaku. Seakan tidak percaya. Inilah hakikatnya. Tidak ada seorang anak pun yang mengimpikan gelaran ‘anak yatim’. Bukan senang nak terima kenyataan bahawa aku dan adik-beradik yang lain sudah bergelar ‘anak yatim’. Tetapi, aku tak pernah menyalahkan takdir. Jauh sekali menyalahkan Allah. Ujian Allah adalah tarbiyah untuk diri kita. Aku akui, setiap yang bernyawa pasti akan merasai mati. Sama ada kita bersedia atau tidak, mati itu sesuatu yang amat pasti. Aku reda dengan pemergian abah.
“Tiap-tiap yang berjiwa pasti akan merasai mati…” (Surah Al-Ankabuut : 57)
Setelah abah kritikal selama 2 hari 1 malam di hospital, 10.8.2011, pukul 1 tengahari, abah menghembuskan nafas terakhir dalam keadaan tidak sedarkan diri. Abah memang penghidap darah tinggi dan kencing manis. Sebelum ini, masih boleh dikawal. Cuma, tahun ni, abah agak kerap ke hospital. Segalanya telah Allah tentukan. Kita yang masih bernyawa perlu teruskan perjuangan. Betul tak? Kita hanya meminjam, Allah pemilik nyawa kita. Bila-bila masa Dia boleh tarik pinjaman-Nya.
“Kemudian, sesudah itu, sesungguhnya kamu sekalian benar-benar akan mati. Kemudian, sesungguhnya kamu sekalian akan dibangkitkan (dari kuburmu) di hari kiamat.” (Surah al-mukminun : 15-16)
Berbicara tak semudah nak melakukannya. Aku sedang dalam peperiksaan percubaan ketika abah dalam keadaan kritikal. 3 hari aku tak hadirkan diri. Dua kertas aku tangguhkan. Dan aku yakin,keputusan peperiksaan percubaan ini, pasti aku banyak ‘down’. Mungkin ada yang gagal. Aku sudah beritahu ibu akan hal ini. Ibu memahami. Ibu mengharapkan agar aku buat yang terbaik untuk peperiksaan sebenar pada bulan 10 nanti. Sebenarnya, aku sudah punya target sendiri untuk peperiksaan percubaan ini. Namun, semangatku seakan hilang dan pergi bersama abah. Aku memang tak boleh fokus. Hanya air mata menjadi teman setia di kala malam sepi.
Sepanjang malam peperiksaan, fikiranku memang tak fokus. Walaupun buku di depan mata, namun, fikiranku jauh melayang. Raut wajah abah sering muncul di ingatanku. Nuraniku amat merinduinya. Aku selak saat-saat manis aku bersamanya. Walaupun abahku seorang yang agak garang, namun, dia sebenarnya penyayang.
Ya! Aku memang sedih. Itu lumrah. Bila insan yang kita sayang pergi meninggalkan kita buat selamanya, tipu kalau kita cakap tak sedih. Aku memang sedih. Aku banyak termenung. Kadang-kadang, aku tak tahu apa yang aku fikirkan. Kawan aku cakap, aku dah tak seceria dulu. Aku asyik murung. Ya. Aku tak kuat dan tak tabah. Tapi, aku tahu. Allah lebih sayangkan abahku. Aku tahu, semua ini terselit seribu hikmah yang hanya Dia mengetahui.
“Janganlah kamu bersikap lemah, dan janganlah (pula) kamu bersedih hati, padahal kamulah orang-orang yang paling tinggi (darjatnya), jika kamu orang-orang yang beriman.” (Surah al-‘imran : 139)
Suatu hari, seorang rakan sepejabat abah datang ke rumah. Dia membawa buah tangan dan sehelai kertas. Kertas itu adalah pesanan terakhir abahku khas untuk anak-anaknya.
WAHAI ANAKKU WANI, AYAH SAYANG PADAMU DARI DUNIA HINGGA AKHIR HAYAT. OLEH ITU, JAGALAH DIRIMU SEBAIK MUNGKIN. DENGAR CAKAP AYAH DAN IBU YA SAYANG.
WAHAI ANAKKU WANA, AYAH DAN EMAK SAYANG PADAMU. JAGALAH DIRIMU SEBAIK YANG BOLEH DAN IKUT CAKAP IBU DAN AYAH DEMI MENCAPAI CITA-CITAMU.
WAHAI FARIS, IBU DAN AYAH SANGAT SAYANG PADAMU. OLEH ITU, IKUT PERINTAH ALLAH DAN DENGAR CAKAP IBU DAN AYAH.
WAHAI ANAKKU FIRDAUS, IBU DAN AYAH SANGAT SAYANG DENGAN FIRDAUS. OLEH ITU, DENGAR CAKAP IBU DAN AYAH SERTA BUAT APA YANG ALLAH SURUH SUPAYA HIDUP SELAMAT DUNIA DAN AKHIRAT.
WAHAI ABANG, AYAH DAN IBU SANGAT SAYANG PADA ABANG DAN DENGAR CAKAP IBU DAN AYAH SERTA IKUT PERINTAH ALLAH UNTUK HIDUP BAHAGIA.
Satu persatu manik jernih singgah di pipiku. Kata sahabat abah, dia terjumpa tulisan tersebut di dalam komputer abah di pejabat. Dia hanya tolong print. Hati yang sayu bertambah pilu tatkala membaca kata-kata terakhir abah. Abah memang seorang penyayang. Abah seakan tahu bahawa masanya sudah tiba. Hati anak mana yang tak pilu membaca dan menghayati kata-kata terakhir daripada abah tercinta. Aku takkan sesekali lupakan abah. Setiap hari, aku hadiahkan al-fatihah dan yasin pada arwah abah, atuk, sahabat baikku dan seluruh umat islam yang telah kembali ke pangkuan-Nya. Semoga aku akan istiqamah.
Daripada Abu Hurairah r.a., Nabi s.a.w. bersabda yang bermaksud : “Apabila seseorang mati, terputuslah daripadanya amalannya melainkan tiga ; sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat dan anak soleh yang berdoa kepadanya.” (Riwayat al-Tirmizi)
Sekarang, aku sedang cuba untuk membina kembali semangat baru. Akan ku manfaatkan sebaik mungkin kata-kata perangsang abah padaku. Ibu adalah harta yang paling bernilai dalam hidupku. Aku akan usaha dan buat yang terbaik untuk peperiksaan sebenar STAM. Memang menjadi impianku untuk menyambung pelajaran ke Timur Tengah seperti Mesir. Namun, mungkin aku harus batalkan impianku itu. Aku akan buat yang terbaik dalam peperiksaan dan sambung belajar di dalam negara saja. Apapun, aku takkan lupa akan impian aku untuk ke Timur Tengah kerana itulah impian utama yang sering aku tulis sewaktu belajar di awal tingkatan lagi. Andai ada rezeki, insya-Allah. Biarlah ia tersemat di kalbu. Cukuplah ibu menjadi penawar segala yang berlaku.
Aku sedang bina semula semangatku. Aku akan mulakan dari awal. Bukan mudah nak motivasikan diri balik. Aku akan cuba yang terbaik. Aku akan cuba ceria seperti selalu. Insya-Allah. Aku tahu, kawan-kawanku selalu ada untukku. Aku bahagia kerana kawan-kawanku tak lekang memberi semangat. Aku akan cuba. Segala-galanya kerana Allah. Barulah dinamakan ikhlas. Semoga aku ikhlas dalam setiap hela nafas.
Ya Allah, di saat ini, aku sangat memerlukan kekuatan dan ketabahan. Berikanlah aku kekuatan dan ketabahan serta kekentalan hati dan jiwa untuk terus tegar menghadapi mehnah dan ujian dari-Mu. Aku tidak pernah putus untuk terus berharap pada-Mu. Semoga imanku bertambah. Semoga aku semakin akrab dengan-Mu.
Daripada Abu Said al-Khudri r.a. dan Abu Hurairah r.a., Nabi s.a.w. bersabda yang bermaksud : “Tidak menimpa seorang Mukmin suatu penyakit yang berpanjangan, kepayahan, sebarang jenis kesakitan, dan kesedihan malahan kedukacitaan melainkan dihapuskan sebahagian dosa-dosanya.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)
Ramai insan kesayanganku telah pergi menghadap Ilahi. Ya Allah, bilakah giliranku pula? Adakah aku sudah bersedia? Apakah sudah cukup amal ibadahku untuk ku persembahkan di hadapan-Mu?
Kematian tidak menunggu kita. Kita yang menunggu mati. Semoga kita sentiasa ingat mati dan bersedia untuk menghadapinya. Insya-Allah.
Jika SENDIRI jangan merasa sepi. Ada ALLAH yang MENGAWASI
Jika SEDIH jangan pendam dalam hati. Ada ALLAH tempat BERBAGI
Jika MARAH, jaga fikiran & hati. Ada ALLAH tempat MENENANGKAN DIRI
Jika SUSAH jangan merasa pilu. Ada ALLAH tempat MENGADU
Jika GAGAL jangan berputus asa. Ada ALLAH tempat MEMINTA
Jika BAHAGIA jangan menjadi lupa. Ada ALLAH tempat MEMUJA
INGAT ADA ALLAH DI SETIAP WAKTU KITA….. 🙂
-16.8.2011-
salam ukhti,
pertama sekali, salam takziah akak titipkan kepada syazana atas pemergian ayahnda tersayang pada 10/8/2011 yang lalu. Benar dik, setiap yang hidup itu pasti akan merasai mati termasuk diri kita. waallahu’alam bila dan dimana tempatnya. itu rahsia Allah.
Akak tahu, syazana pasti tak pernah mengimpikan gelaran anak yatim tu kan? sama juga seperti akak. pada tanggal 10/8/2003 juga ayah akak di seru illahi semasa di pangkuan mak akak disebabkan konplikasi jantung. ketika umur yang masih mentah 11 tahun. akak kdg2 tak mengerti. kenapa perlu ada nya mati? kenapa Allah nak ambil ayah akak sedangkan ketika itu kami sangat memerlukan ayah sebagai ketua keluarga? makin di pikirkan makin banyak persoalan yang timbul.. makin deras juga mutiara air mata menitik. Mana tidaknya, ayah yang selama ini mencium kita, menyayangi kita dengan sepenuh hati telah di panggil oleh-Nya. Kenapa sebegitu awal ?
itu cerita 8 tahun yang lalu. Alhamdulillah, sekarang ni akak dapat menyesuaikan diri dgn gelaran anak yatim itu dan Alhamdulillah, aturan Allah itu juga semakin akak paham, kenapa perlu ada itu dan ini..untuk apa dan kenapa? Kalau syazana nak tahu, nabi sayang tau anak yatim. jadi kita sangaaat beruntung mendapat gelaran tu. sekarang ini, apa yang perlu. bukak minda dan serahkan hati kepada Dia. Mengadulah sebanyak mungkin apa yang hendak di adu. Hasbunallah wani’mal Wakil . lagi bulan barakah ini, banyak kan bersedeqah al-fatihah kepada ayah agar roh di cucuri rahmat. ingat ye syazana, semakin Allah menguji kita..semakin hati kita dekat menghampirinya. Dan tidaklah Allah membebankan seseorang itu, melainkan mengikut kadar kemampuannya. InshaAllah syazana boleh ! 🙂
Nabi SAW bersabda:
” Apabila Allah mencintai seorang hamba, Dia mengujinya.
Jika ia sangat mencintai-Nya, maka Allah mencubanya.”
Akhir kalam, buat yang terbaik untuk STAM 2011 ! jadikan ibu penguat dalam setiap perbuatan yang kita lakukan. saat ini, yang kita ada ibu dan adik beradik yang lain dalam kehidupan kita. Allah itu yang sudah pasti, jaga family sebaik yang mungkin ye . sematkan dalam hati innallaha ma’ana .
kita merancang dan Allah jua merancang, tetapi sebaik-baik perancangan jua datang dari Dia 🙂
salam mahabbah,
senior stam 2010.
wana.. kuatkn smgat k… u must strong…
kak salsabil : InsyaAllah…terima kasih atas kata2 penuh hikmah dan cerita realiti utk motivasi sbg penguat meneguhkan semangat juang yang pernah runtuh..tetapi insyaAllah, semangat itu sudah mula mekar dan subur kembali di jiwa ini..doakan saya ye kak..syukran..
sakinah : syukran sahabatku kerana sering memberi mesej kata2 perangsang..aku bersyukur dan beruntung krn memilikmu sbg sahabat dan temanku..insyaAllah..syukran..
salam takziah,ana bru thu brita pmrgian ayhandamu…
b’sabarlh..ssngguhnya Allah tdak akn mnguji hambaNya mlebihi kemampuannya…drimu insan yg tlh dpilih oleh Allah untk mnrima ujian sbgini,krna Allah thu drimu mampu untk mnghadpinya….
jika ujian ini yg ana trima,blum tntu ana dpat mnghdapinya…
bi taufiq wan najah fil imtihan…Allah tdak nilai apa yg kta dpat,tpi apa yg kta ushakan…do the best..
insya-Allah..
syukran kerana mendoakan ana..
utk enta juga, semoga berjaya hidup di dunia dan akhirat..
afwan ya ukhti..insyaAllah..
ameen…