TANYA SAMA HATI..

Published October 7, 2011 by wana93

Hati. Di dalamnya terselit pelbagai rasa suka dan duka. Tanggungjawab sekeping hati amat besar untuk diri kita.

Daripada Abu Abdullah al-Nukman bin Basyir r.a. berkata bahawa beliau mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud : “…Ingatlah,bahawa setiap raja ada larangannya dan ingatlah,bahawa larangan Allah adalah apa-apa yang diharamkan-Nya. Ingatlah,bahawa dalam jasad itu ada segumpal daging. Jika ia baik,baiklah jasad seluruhnya. Jika ia rosak,rosaklah jasad seluruhnya. Ketahuilah,bahawa segumpal daging itu adalah hati.” (Riwayat Bukhari,Muslim dan Abu Daud)

Kadang-kadang,diri ini tertanya sendiri sesama hati. Apakah hatiku elok? Apakah hatiku baik? Sihatkah iman di hatiku? Bertenagakah takwa dalam hatiku?

Kadang-kadang,kita lebih memikirkan pandangan manusia daripada pandangan Yang Maha Esa. Kadang-kadang,pandangan manusia terhadap diri kita menghalang kita untuk melaksanakan sebaik-baik ibadah pada-Nya.

Imam al-Ghazali pernah mengatakan bahawa seseorang tidak akan dapat menjadi hamba Allah dengan sebenarnya jika masih mencintai dunia.

Allah s.w.t. mengingatkan kita : “dan tidak (dinamakan) kehidupan dunia melainkan permainan yang sia-sia dan hiburan yang melalaikan.” (Surah Al-An’am, 6:32)

Sebagai contoh,pernah seorang ustaz memberi tazkirah pada pelajarnya,akhir zaman ini,hendak tegur atau menasihati seseorang,hendak menegakkan kebenaran Islam,ibarat menggenggam bara api. Keadaan persekitaran banyak mempengaruhi dan menguasai tingkah kita.

Sebab itu kita perlukan sekeping hati yang sentiasa takut dan berasa malu untuk melakukan maksiat pada Allah. Hati kena sentiasa istiqamah. Kerana itulah, selalu kita berdoa, “Wahai Tuhan yang membolak-balikkan hati, tetapkanlah hatiku pada jalan agama-Mu dan ketaatan pada-Mu.”

Contoh lain,akhir zaman ni,bila kita memakai tudung labuh, berstoking, berjubah atau berbaju kurung atau baju panjang dan melintasi orang ramai yang ada dalam satu tempat tu,pasti kita akan ditegur, “Hai ustazah!” / “Tunjuk alim la tu!”  (memperli) dan lain-lain lagi. Bila kita cuba menjaga batas pergaulan,tidak berdating,tidak bercinta, kita dilabel sombong dan ketinggalan zaman.

“(iaitu) orang-orang yang mengingat Allah sambil berdiri, duduk atau dalam keadaan berbaring, dan mereka memikirkan tentang penciptaan langit dan bumi (seraya berkata), ‘ya Tuhan kami, tidaklah Engkau menciptakan semua ini sia-sia ; Maha Suci Engkau, lindungilah kami dari azab Neraka’..” (Surah al-imran : 191)

Bila kita asyik memikirkan semua pandangan negatif masyarakat pada keindahan Islam memelihara agama, pasti sukar kita hendak membuktikan betapa kita cinta pada Ilahi. Kadang-kadang, hati ni terfikir sendiri. Hati mengaku cintakan Ilahi, tapi jasad takut hendak berjuang kerana-Nya. Gara-gara ungkapan perli,hina,kita jadikan itu sebagai alasan untuk kita tidak mematuhi peraturan Allah.

Abu Hurairah r.a. meriwayatkan, bahawa Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam telah bersabda yang bermaksud: “Islam bermula sebagai sesuatu yang dianggap asing dan ganjil. Dan ia akan kembali sebagaimana permulaannya, dianggap asing dan ganjil. Maka, beruntunglah orang-orang yang ganjil” [Hadith Muslim no. 145]

Cuba kita singkap sirah Nabi kita, Rasulullah s.a.w. Lagi berat cubaan dan ujian yang diterima baginda. Hati kita terlalu lemah untuk menghadapi ujian berbentuk kata-kata perli. Jiwa kita terlalu sayangkan isi dunia sehingga sanggup berjauhan dengan cinta-Nya. Hati ini barangkali sudah terlalu kotor dihiasi dosa dan noda duniawi.

Duhai hati! Ingatlah! Syurga Allah itu tidak murah. Ia tersedia buat diri yang memiliki hati dan jiwa yang dipenuhi dengan iman dan takwa pada Allah. Sanggup berkorban kerana Allah. Ikhlas kerana Allah.

Duhai hati! Lapangkanlah dadamu dengan memaafkan mereka yang sering memperli, mengata dan menyakitimu. Kerana sesungguhnya, Allah telah memperlihatkan aib mereka padamu, maka sebab itulah kau mudah terasa hati. Sedang kau masih dikasihi manusia kerana Allah masih menutup aibmu.

Duhai hati! Kasihilah mereka yang jahil kerana mereka berbuat dosa dalam keadaan tidak mengetahui. Sebaliknya kau yang mengetahui pernah berbuat dosa dalam keadaan mengetahui.

Duhai hati! Sedarlah! Janganlah kau lupa! Dunia ini hanya sementara. Dunia ini penuh tipu daya. Dunia ini penjara bagimu yang berhati mukmin.

Daripada Abu Hurairah r.a., Nabi s.a.w. bersabda yang bermaksud : “Dunia penjara orang Mukmin dan Syurga orang kafir.” (Riwayat al-Tirmizi dan al-Hakim)    

Duhai hati! Bukankah kau mahu tersenarai dalam golongan ghuraba’? Golongan kecil yang dianggap asing dan ganjil kerana masih berpegang dan mengamalkan cara hidup Islam. Ingatlah hati! Golongan itu sentiasa akan ditapis dan ditapis. Kau pasti boleh, duhai hati..! Ikhlaslah duhai hati..!

One comment on “TANYA SAMA HATI..

  • Leave a Reply

    Fill in your details below or click an icon to log in:

    WordPress.com Logo

    You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

    Twitter picture

    You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

    Facebook photo

    You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

    Google+ photo

    You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

    Connecting to %s

    %d bloggers like this: