SERONOK BERKONGSI ILMU

Published November 15, 2011 by wana93

Alhamdulillah, program Tahsin Solat yang dijalankan di sekolah pada hari ini bergerak seperti yang direncana. Syukur, segalanya dipermudahkan-Nya. Program ini diadakan khas untuk adik-adik tingkatan 1 dan 2. Kami, pelajar-pelajar STAM, selaku fasilator diberi tanggungjawab untuk berkongsi dan membimbing mereka dalam menaik taraf  kualiti solat dan wuduk. Di samping itu, kami juga belajar bersama. Seronok! 🙂

Usai membahagikan tugas dan kumpulan, masing-masing memulakan tanggungjawab. Saya dan seorang rakan, Aina, mendapat kumpulan adik-adik tingkatan 1. Mula-mula, agak kekok nak beramah mesra. Tapi, akhirnya, mesra juga. Sebelum memulakan tugas, kami bertaaruf sesama mereka dalam kumpulan masing-masing. Yelah, tak kenal maka tak cinta kan..? Dah kenal, senanglah nak bercinta..bercinta dengan ilmu yang bakal dikongsi. 🙂

Saya dan rakan menanyakan kepada adik-adik tentang apa itu wuduk dan rukun-rukun wuduk. Semuanya tahu. Bijak kan..? Alhamdulillah. Semasa bawa adik-adik ni berwuduk, ada dalam 2 hingga ke 4 orang yang agak mengambil ringan soal menggosok celah-celah jari kaki dan cara memasukkan air ke dalam hidung. Memasukkan air ke dalam hidung memanglah perkara sunat, tapi, kita kena ambil tahu juga. Betul tak? Air mestilah betul-betul mengalir masuk ke dalam hidung dan mengeluarkannya semula. Jari-jari kaki pula mesti digosok celah-celahnya agar sempurna sucinya.

Saya banyak merujuk buku ‘Indahnya Hidup Bersyariat’. Dalam tu, memang banyak asas-asas fardu ain yang boleh kita pelajari dan ketahui dengan lebih mendalam lagi. Usai berwuduk, giliran solat pula mengambil alih. Solat dibuat secara beramai-ramai kerana kesuntukan masa. Tak sempat kami nak perhati seorang-seorang. Satu kumpulan ada 10 orang. Lama tu kalau nak semak seorang-seorang dalam kumpulan. Alternatifnya, saya dan rakan semak sekali 10 orang bersama-sama. Kami perhatikan dan betulkan apa yang salah dan silap. Pelbagai cara yang mereka tanya.

“Kak! Kalau tangan letak macam ni boleh ke?”

“Kak! Ada orang kata kena letak tangan macam ni. Batul ke?”

Saya hanya menjawab,

“Cara solat ada banyak pandangan ikut banyak mazhab. Ada macam tu, ada macam ni. Adik cari balik sumber tu, mazhab mana, dan kalau adik yakin, teruskanlah.”

Selesai amali, kami berehat sebentar sementara menunggu untuk solat Zohor berjemaah. Bila tanya, ada soalan? Memang banyak soalan mereka. Alhamdulillah, dari situ, saya dan rakan belajar bersama. Mereka banyak bertanyakan soal masbuk (makmum yang ketinggalan) iaitu makmum yang tidak mendapat masa yang cukup untuk membaca al-Fatihah bersama imam.

Jawapannya, saya ambil daripada buku rujukan ‘Indahnya Hidup Bersyariat’ :

MASBUK

Ini disebabkan semasa ia masuk berjemaah, imam sedang rukuk atau hampir-hampir rukuk. Orang yang berkeadaan begini sekiranya ia dapati imam sedang rukuk, maka hendaklah ia terus bertakbir serta niat sekali dan setelah berdiri sebentar (lamanya dalam kadar bacaan Subhanallah) teruskanlah rukuk bersama imam.

Sekiranya dapat berhenti bersama imam semasa rukuk, maka itu dikira satu rakaat walaupun tidak membaca al-Fatihah kerana orang yang masbuk al-Fatihahnya ditanggung oleh imam.

Sekiranya ia berkesempatan berdiri bersama imam dalam masa yang singkat, hendaklah ia membaca al-Fatihah sekadar mana yang dapat dan teruskan mengikut imam dalam rukuk dengan syarat dapat berhenti bersama dalam rukuk itu.

 

MUAFIK

Iaitu makmum yang mempunyai masa yang cukup bersama imam untuk membaca al-Fatihah dengan bacaan yang sederhana.

Jika sekiranya ia (muafik) masih belum selesai memabaca al-Fatihah sedangkan imam telah rukuk, maka hendaklah ia menghabiskan al-Fatihah itu sehingga imam selesai sujud yang kedua.

Sekiranya makmum masih tidak selesai juga sedangkan imam sudah pun bangun berdiri ataupun duduk tahiyat akhir, maka hendaklah makmum itu memilih sama ada berpisah dengan niat mufaraqah (berpisah)  ataupun terus mengikut perbuatan imam dan rakaat itu tidak diambil kira. Jika tidak berbuat salah satu antara kedua hal tersebut, maka batallah solatnya.

Baki masa yang ada, kami berdua cuba untuk berborak mesra bersama adik-adik tu. Mulalah, soalan mereka keluar daripada topik program hari ini. Tapi takpelah, semuanya dah selesai. Alhamdulillah. Masa yang ada semacam tak cukup. Masih banyak lagi yang ingin kami kongsi bersama adik-adik. Beruntunglah sebab adik-adik semua masih bersekolah. Ada cikgu yang marah dan tegur bila buat salah. Untung laaaa… 🙂

Soalan pertama mereka : Kak, betul ke couple tu haram? Boleh ke tak?

Sudah diduga, pasti soalan itu akan meniti di bibir mereka. Maklumlah, gejala ini sudah semakin merebak dalam kalangan remaja. Meraka remaja. Mereka berhak bertanya dan mereka juga berhak mendapatkan jawapannya. Saya dan rakan tersenyum dan meminta seorang adik mengambil terjemahan al-quran.

Saya membaca terjemahan ayat 32, surah al-Israa’ yang bermaksud ; Dan janganlah kamu mendekati zina ; sesungguhnya zina itu adalah suatu perbuatan yang keji dan suatu jalan yang buruk.”

Saya cuba mencari satu jalan cerita yang mudah untuk mereka fahami maksud ayat Allah ini. Contohnya, dewan. Ada seorang ketua mengarahkan kita supaya tidak mendekati dewan itu. Ketua itu bukan saja tidak membenarkan kita masuk ke dalam dewan, tapi, nak mendekatinya pun tak boleh. Berhampiran dewan itu, terdapat banyak gerai jualan. Kita lupa dan lalai dengan peringatan ketua kita. Kita terus melangkah menuju ke gerai jualan yang terletak berhampiran dengan dewan tersebut. Gerai yang banyak itu semakin hampir dengan pintu masuk dewan. Kita terus leka membeli dan tanpa sedar, kita dah pun memasuki dewan tersebut.

Macam itu juga dengan maksud ayat 32, surah al-Israa’ ini. Kita memang tahu bahawa zina itu haram hukumnya. Ayat ini bukan saja melarang kita melakukan zina, malah, mendekati zina itu pun Allah sudah larang. Gejala couple inilah salah satu cara untuk kita mendekati zina. Boleh juga baca yang ini : Pelihara Mukaddimah Zina

Mula-mula, kita berkenalan dengan seseorang, kemudian, bermesej pula. Kemudian, melalui telefon pula. Tak puas, mula mengatur pertemuan. Tak cukup dengan itu, tangan mulalah nak pegang-pegang. Dan sebagainya lagi.

Kita boleh menghindarkan diri daripada terlibat dengan gejala yang bermaksiat ini. Antaranya, dengan cara :

1)      Saya pernah baca satu buku ustaz Hasrizal. Tak pasti buku yang mana 1, yang pasti, isi dalam buku tu macam ni. Kalau kita nak buat sesuatu yang kita tahu salah, berdosa, tak elok, buruk, tapi kita nak buat juga. Letakkan jari tangan kita atas api. Kalau lepas jari pertama, letak di jari kedua pula. Begitulah seterusnya. Persoalannya, lepaskah 1 jari kita melepasi api di dunia? Mustahil bukan. Dari situ, kita akan teringat betapa azabnya lagi api di dalam Neraka nanti.

2)      Perlu ada rasa takut pada Allah. Dengan rasa takut itu, diri akan merasa sering diperhati dan berasa malu untuk melakukan maksiat di hadapan-Nya.

3)      Perlu ada rasa malu. Malu dalam pakaian, aurat, pergaulan dan lain-lain lagi. Tanpa malu, segalanya mungkin terjadi. Saya menyentuh maksud ayat 59, surah al-Ahzab yang menekankan cara pemakaian seorang muslimah. Malu boleh dibina dalam diri berdasarkan ilmu yang kita ketahui. Jika kita jaga adab dan pemakaian Islam yang sempurna, mestilah kita akan berasa malu untuk melakukan maksiat dalam berpakaian sesempurna itu.

4)      Rajinkan diri untuk menghadiri majlis ilmu, tazkirah dan kem-kem bermanfaat yang berunsurkan tarbiah islamiah, bukan kem yang melalaikan yang hanya tahu membina keseronokan semata-mata.

Soalan kedua mereka : Kak, macam mana pula dengan pemakaian tudung? Boleh ke kalau pakai tudung tiga segi biasa tu? Tapi tak silang, pin dekat depan.

Boleh tu memanglah boleh. Tudung. Asalkan tutup bahagian depan dan belakang. Tudung yang tak menampakkan perhiasan kita sebagai seorang perempuan. Seelok-eloknya, biarlah tudung kita tu labuh menutupi setiap aspek aurat. Pakai tudung tiga segi yang 60 inci pun boleh kalau tak suka pakai tudung labuh bulat. Jangan jarang dan nipis sudahlah.

Seorang adik sempat membacakan terjemahan ayat 31, surah al-Nur, yang bermaksud : Katakanlah kepada wanita yang beriman: “Hendaklah mereka menahan pandangannya, dan memelihara kemaluannya, dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya, kecuali yang (biasa) nampak daripadanya. Dan hendaklah mereka menutupkan kain tudung ke dadanya, dan janganlah menampakkan perhiasannya, kecuali kepada suami mereka, atau ayah mereka, atau ayah suami mereka, atau putra-putra mereka, atau putra-putra suami mereka, atau saudara-saudara laki-laki mereka, atau putra-putra saudara laki-laki mereka, atau putra-putra saudara perempuan mereka, atau wanita-wanita Islam, atau budak-budak yang mereka miliki, atau pelayan-pelayan laki-laki yang tidak mempunyai keinginan (terhadap wanita) atau anak-anak yang belum mengerti tentang aurat wanita. Dan janganlah mereka memukulkan kakinya agar diketahui perhiasan yang mereka sembunyikan. Dan bertobatlah kamu sekalian kepada Allah, hai orang-orang yang beriman supaya kamu beruntung.

Soalan ketiga mereka : Stoking pula?

Ustaz saya pernah cakap, perempuan paling susah nak jaga adalah stoking. Betullah tu. Penutupan aurat yang sempurna memerlukan kita untuk memakai stoking. Kesemuanya adalah aurat kecuali muka dan tapak tangan. Memang perempuan kena banyak menjaga. Kita kena sentiasa prihatin soal aurat kita sebab ramai perempuan masuk Neraka kan.. Takut bila memikirkan soal kehidupan kita di alam akhirat nanti. Syurga atau Neraka pengakhiran hidup kita?? Wallahua’lam.

Sama-samalah kita cuba berusaha untuk mengamalkan segala suruhan dan perintah-Nya dengan sebaik dan sesempurna mungkin kerana jangan sesekali kita lupa bahawa taraf manusia adalah hamba. Hamba kepada Allah Yang Maha Esa.

Advertisements

4 comments on “SERONOK BERKONGSI ILMU

  • nak minta izin amik gambo kartun ni..leh?hehehe!!
    yang ustaz hasrizal tu rasenya dalam
    aku terima nikahnya dgn bercinta sampai ke syurga kot..hehehe!!
    memang banyak dugaannye ni kalau nak kenal lelaki..
    kadang2 pening kite Dbuatnye..
    nak kawal semue2 tu..
    nak bercinta dgn cara yang halal,
    tapi lom ade nampak cam ne kalau yang sedia ada banyak cam haram..
    mean kalau kite kuar bawak org ketiga pon kalau X dari pihak die pasti kite ada terpandang mata die..then tup!syaitan baling panah kat mata hati kite..cakap hensome jugak r die ni kan..tu lom lagi kuar berdua g shoping2, makan2..huhuhhuhu!!
    sekadar ingatkan diri sendiri juga..

    • boleh3..
      kartun2 tu p0n sy c0py.. 🙂

      ye..memang dua2 buku yg saudari sebut tu adalah buku ustaz Hasrizal..
      dah baca?? terbaik kan?? hehe..

      bercinta dgn cara yang halal??
      hanya dgn NIKAH..
      kerana itulah satu2nya hubungan cinta yg diiktiraf-Nya.. 🙂

      Semoga kita sentiasa ambil pengajaran drpd setiap kejadian yg berlaku di sekeliling kita..
      sama2 kita belajar daripada keadaan sekeliling kita..
      belajar untuk jadi lebih matang dan melaksanakan syariat hidup yang tepat di sisi-Nya..

  • Leave a Reply

    Fill in your details below or click an icon to log in:

    WordPress.com Logo

    You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

    Twitter picture

    You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

    Facebook photo

    You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

    Google+ photo

    You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

    Connecting to %s

    %d bloggers like this: