ADAKAH KITA BENAR-BENAR BERJAYA???

Published December 12, 2011 by wana93

Apakah definisi sebenar sebuah kejayaan? Benarkah kita, sebagai pelajar, sebagai anak, sebagai manusia dan yang paling penting, sebagai hamba-Nya, telah benar-benar berjaya? BERJAYA yang bagaimanakah kita?

belajar dan terus belajar!

 

PELAJAR YANG BERJAYA

Insan yang memegang watak sebagai seorang pelajar pasti mengimpikan kejayaan besar dalam pelajaran menjadi miliknya. 5A, 9A, 10A, MUMTAZ dan lain-lain pangkat kecemerlangan lagi ingin digapai oleh golongan pelajar. Begitu juga dengan menggenggam Diploma, Ijazah, Master dan peringkat lebih tinggi lagi. Sebagai pelajar, kita mesti ingin mencapai setiap tangga kejayaan ini kan?

Untuk apa sebenarnya kita hendak berjaya?

Untuk menggembirakan ibu bapa? Untuk mudah mencari kerja semata-mata?

Untuk mengisi masa dengan perkara bermanfaat?

Untuk bangga diri dan takbur dengan kejayaan kita?

Untuk membangunkan Islam? Untuk berkongsi bersama ummah?

Untuk menyombong diri daripada-Nya? Untuk lupa daratan?

Untuk bongkak dengan murabbi sendiri?

Semoga usaha jerih payah yang kita bina dan lakukan selama ini adalah untuk berjaya kerana-Nya. Untuk menggembirakan dan menghadiahkan senyum jernih terhadap bibir ibu bapa tercinta. Juga untuk membahagiakan para murabbi tersayang. Dan, untuk membangunkan Islam, agama kebenaran yang satu. Aslim Taslam! Pilih Islam, anda selamat. 🙂

Tidak ada makna dalam sebuah kamus hidup orang yang berjaya itu andai peribadi dan pekertinya lupa daratan dan menyombong diri daripada masyarakat dan juga yang menganugerahkannya kejayaan, yakni Dia. Sekalipun kejayaan seseorang itu akan dikenang oleh ramai orang, namun, jika tidak menyumbang kepada pembangunan Islam dan berpaling dari akidah yang satu, apa gunanya? Tak gitu?

Apa yang penting, kita terus-terusan berusaha tanpa ada rasa putus asa. Percayalah, kejayaan akan menjelma juga. Andai bukan di dunia, pasti di akhirat nanti ada buah hasilnya. Yakinlah dengan kuasa-Nya. Manfaatkan juga ilmu yang telah dipelajari dan mempraktikkannya untuk menghadapi dunia yang penuh tipu daya ini. Jangan hanya tahu, tapi tak amalkan.

“Dan orang-orang yang apabila diberi peringatan dengan ayat-ayat Tuhan mereka, mereka tidaklah menghadapinya sebagai orang-orang yang tuli dan buta.” (Surah Al-Furqaan :73)


ANAK YANG BERJAYA

Bila sudah berjaya, pasti kita akan menapak ke peringkat yang lebih tinggi, yakni di universiti. Tak kiralah di universiti mana sekalipun, ujian dan dugaan pasti akan menerjah diri kita. Saat itu, jangan sesekali kita lupa akan nasihat dan motivasi ibu bapa. Bebelan mereka punya seribu makna buat kita yang bergelar anak. Mereka veteran. Lebih dahulu makan garam daripada kita. Mereka berhak memberi kita nasihat yang akan menyuntik semangat dan cita-cita kita daripada terus rapuh dimamah pengaruh dan suasana negatif yang sering dihadapi diri.

Bukan dengan melupakan ibu bapa tercinta. Tiada panggilan telefon bertanya khabar. Tiada surat dan warkah meluah rindu terhadap mereka. Apatah lagi langsung tidak bersua wajah ke wajah untuk mendakap kasih mereka setelah sekian lama. Janganlah sampai ke tahap begitu ya!

Parah kita kalau ibu bapa terasa hati dengan kita. Ingat, Syurga di bawah tapak kaki ibu. Reda Allah pula bergantung pada reda ibu dan bapa kita. Doa ibu dan bapa itu adalah tiket untuk kita mencapai kejayaan dalam setiap perkara yang dilakukan. Kejayaan dalam pelajaran, pekerjaan, rumah tangga dan lain-lain lagi. Restu mereka amat memberi efek pada hidup kita.

usahalah menjadi anak yang baik

Sama-samalah kita berusaha sedaya upaya untuk jadi anak yang berjaya! ^^,

“Sembahlah Allah dan janganlah kamu mempersekutukan-Nya dengan sesuatu pun. Dan berbuat baiklah kepada dua orang ibu bapamu, karib-kerabat, anak-anak yatim, orang-orang miskin, tetangga yang dekat dan tetangga yang jauh, teman sejawat, ibnu sabil dan hamba sahayamu. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang sombong dan membangga-banggakan diri,” (Surah Al-Nisaa’ : 36)

 

MANUSIA YANG BERJAYA

Manusia yang berjaya pula adalah manusia yang paling banyak memberi manfaat dan kebaikan untuk manusia lain. Bukan hanya untuk dirinya sendiri, tetapi untuk manusia lain, masyarakat lain. Bukan yang menyelamatkan diri sendiri saja dari dibaham api Neraka, tapi, menyelamatkan menusia lain juga.

Hai orang-orang yang beriman, peliharalah dirimu dan keluargamu dari api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu; penjaganya malaikat-malaikat yang kasar, yang keras, yang tidak mendurhakai Allah terhadap apa yang diperintahkan-Nya kepada mereka dan selalu mengerjakan apa yang diperintahkan.” (Surah Al-Tahriim : 6)

Tanda sayang seorang Muslim pada saudaranya ialah apabila dia menyampaikan kebenaran agar diri dan saudaranya itu terlepas daripada azab dan murka-Nya. Lebih indah lagi apabila mekarnya suasana berpesan-pesan dengan kebenaran dan berpesan-pesan dengan kesabaran. ^^

“kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal saleh dan nasihat menasihati supaya menaati kebenaran dan nasihat menasihati supaya menetapi kesabaran.” (Surah Al-‘Ashr : 3)

Semoga kita juga berusaha untuk menjadi manusia yang berjaya dalam reda-Nya. 🙂

 

HAMBA YANG BERJAYA

Hamba. Ya. Itu adalah kita. Jangan sesekali kita lupa. Taraf manusia hanyalah hamba. Hamba pada Allah Yang Maha Esa. Bukan hamba dunia. Bukan hamba nafsu. Tapi hanyalah hamba kepada Allah Yang Maha Satu.

Hidup terasa tenang apabila Allah sebagai teman. Segala aktiviti dan perbuatan yang ingin kita kerjakan dirasakan indah lantaran naluri seorang hamba yang ingin mempamerkan persembahan yang terbaik untuk Tuhannya. Bukan kerana ingin riak. Bukan kerana terpaksa. Bukan kerana ingin meninggi diri. Tapi kerana Allahurabbi.

“Katakanlah: “Hai hamba-hambaKu yang beriman, bertakwalah kepada Tuhanmu”. Orang-orang yang berbuat baik di dunia ini memperoleh kebaikan. Dan bumi Allah itu adalah luas. Sesungguhnya hanya orang-orang yang bersabarlah yang dicukupkan pahala mereka tanpa batas.” (Surah Al-Zumar : 10)

Hamba yang berjaya di sisi-Nya ialah hamba yang hatinya sarat dengan rasa ikhlas dan takwa pada-Nya. Hati-hati ini akan sentiasa ditapis dan ditapis dengan ujian dan dugaan yang kadang-kadang membuatkan hati rapuh. Namun, dek kerana rasa cinta, kasih dan rindu pada Allah, hati itu kembali tegar menghadapi seribu rintangan di hadapan. Moga hati itu milik kita. Penuh takwa dan iman pada-Nya.

Daripada Abu Hurairah r.a., Nabi s.a.w. bersabda : “Sesungguhnya Allah tidak melihat kepada jasad atau rupa bentuk kamu tetapi Allah melihat kepada hati-hati kamu.” (Riwayat Muslim)

Untuk memiliki yang kuat, tabah dan tegar dengan ujian dan dugaan-Nya, bukanlah mudah. Usaha dan tarbiah amat perlu untuk mendidik hati dan jiwa agar reda dengan ketetapan Allah. Ujian dan derita itu tarbiah untuk kita. Bahagia dan tawa itu satu anugerah. Bersyukurlah! ^^,

 

AZAM MENDAMBA SYURGA

Bukan sekadar mendamba. Bukan sekadar ingin. Tapi, kita cuba berusaha untuk masuk ke dalam senarai penghuni Syurga Ilahi. Kita cuba untuk memilikinya. Meski diri sedar. Kita hanyalah hamba. Manusia biasa. Bergelumang dengan dosa dan noda. Namun, adakah kita mahu terus-terusan digelumangi dosa dan noda? Bila kita mahu insaf? Bila mahu bertaubat?

“(iaitu) orang-orang yang mengingat Allah sambil berdiri, duduk atau dalam keadaan berbaring, dan mereka memikirkan tentang penciptaan langit dan bumi (seraya berkata), ‘ya Tuhan kami, tidaklah Engkau menciptakan semua ini sia-sia ; Maha Suci Engkau, lindungilah kami dari azab Neraka’..” (Surah al-imran : 191)

Mati itu pasti. Bila, di mana, bagaimana, pada usia berapa, kita tak pernah tahu dan takkan pernah tahu. Itu semua rahsia-Nya. Apa yang perlu, kita kena sentiasa bersedia. Bersedia untuk menghadapi sebuah kematian.

“Hai orang-orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah sebenar-benar takwa kepada-Nya; dan janganlah sekali-kali kamu mati melainkan dalam keadaan beragama Islam.” (Surah Ali Imran : 102)

Syurga Allah itu ada. Indah dan penub kenikmatan. Syurga di sana lebih indah dan lebih nikmat berbanding syurga dunia. Tugas kita, berusaha untuk menggapai reda dan rahmat-Nya. Memenangi restu-Nya. Agar kita selamat dari api Neraka yang membakar selamanya.

Daripada Abu Hurairah r.a., Nabi s.a.w. bersabda : “Allah ‘Azzawajalla berfirman : ‘Aku sediakan untuk hamba-Ku yang soleh suatu yang tidak pernah dipandang dengan mata. Tidak pernah didengar dengan telinga dan tidak pernah terlintas di hati manusia.’ ” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Sama-sama kita ikhlaskan hati menuntut ilmu kerana Allah.

Sama-sama kita lapangkan dada menerima teguran berhikmah.

Sama-sama kita lebarkan senyuman menghadapi sebuah mehnah.

Sama-sama kita belajar mencintai Tuhan kita, Allah.

Sama-sama kita berusaha untuk berjaya dalam apa jua bidang tanpa mengalah.

Sama-sama kita berusaha untuk berjaya menguat akidah.

Sama-sama kita berdikari memperkasa sebuah ukhuwah fisabilillah.

 

Moga hasilnya nanti, sebuah Jannah. ^^,

7 comments on “ADAKAH KITA BENAR-BENAR BERJAYA???

  • kadang2 saya terfikir kenapa bangsa kita mundur?
    adakah kita yang Xmahu berjaya?
    adakah kerana kita memang dijadikan sebagai mundur?-kerana saling dengki mendengki
    atau kita cepat lupa bila berada Datas..lupa orang yang Dbawah yang bersusah payah nak berada sama tinggi dengan kita yang dah berjaya..
    sedangkan kita dulu pun sama bersusah payah untuk berjaya..

    • kalau tanya saya, jawapannya mudah saja..
      sebab kita mundur agama dan semakin jauh dari-Nya..
      zaman Nabi s.a.w. dahulu, zaman para sahabat,
      mereka semua hebat2 belaka..
      sebab mereka berpegang teguh dgn agama Allah..
      tidak lupa daratan..
      tidak berpaling setelah Allah memberi kemenangan..

      Salahuddin Al-Ayubi..
      banyak pengajaran yg boleh kita cungkil drpd kisah beliau..
      2/3 dunia di bawah kekuasaan Islam ketika itu..
      beliau sentiasa dekat dengan Allah..
      bertahajud dan bijak menyusun strategi.. ^^

      Allah dah bagi tips untuk kita semua berjaya dan menang..
      tertera dalam surah Al-Mukminun ayat 2..
      1st sekali mestilah khusyuk dalam solat..
      ketika azan dilaungkan pun sama..
      ‘Hayya A’la Solat..Hayya A’la Falah..’
      Betapa solat itu penting..
      khusyuk itu penting. 😉

      yang penting, D.U.I.T. :
      Doa, Usaha, Istiqamah dan Tawakkal..
      InsyaAllah.. 🙂

  • Allah hu akbar!
    camne nak khusyuk?susah sgt nak khusyuk..
    then kalau kite solat tapi still wat dose kecil dan besar apakah penawar bagi masalah itu?

    • khusyuk. fokus. memerlukan kepada pemerhatian.
      pandang tempat sujud. fahami maksud ayat yang kita baca (itu sebaiknya).
      sebelum solat, istighfar dahulu. ikhlas.
      fokuskan seluruh hati dan fikiran dengan nama-Nya.
      cinta yang satu! ^^

      “…Sesungguhnya solat itu mencegah dari (perbuatan-perbuatan) keji dan mungkar. Dan sesungguhnya mengingat Allah (solat) adalah lebih besar (keutamaannya dari ibadah-ibadah yang lain). Dan Allah mengetahui apa yang kamu kerjakan.” (Al-Ankabut : 45)

      patutnya, solat itu mencegah diri kita daripada melakukan dosa kan? ^^
      tapi, disebabkan kita ni manusia..
      pelupa..
      sering melakukan dosa..

      Bila kita sudah mengetahui sesuatu perkara itu tidak bermanfaat dan hanya akan menambahkan dosa, tetapi adakalanya kita buat juga. Kenapa?? Kerana iman itu bertambah dan berkurang..

      “Dia-lah yang telah menurunkan ketenangan ke dalam hati orang-orang mukmin supaya keimanan mereka bertambah di samping keimanan mereka (yang telah ada). Dan kepunyaan Allah-lah tentara langit dan bumi dan adalah Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana.” (Surah Al-Fath : 4)

      Bila iman kita berkurang, nafsu dan syaitan akan bergabung tenaga untuk mempengaruhi kita dengan sesuatu yang sia-sia dan berdosa. Kita perlu risau andai iman kita berkurang. Banyak contoh untuk remaja khusunya. Couple sana sini, mesej dan berborak dengan yang bukan mahram hingga lewat malam tanpa ada perkara penting, berdating tiap hari, berseronok hingga lupa solat dan lain-lain lagi.

      “….karena sesungguhnya nafsu itu selalu menyuruh kepada kejahatan, kecuali nafsu yang diberi rahmat oleh Tuhanku. Sesungguhnya Tuhanku Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” (Surah Yusuf : 53)

      Saya pernah baca satu buku ustaz Hasrizal. Tak pasti buku yang mana 1, yang pasti, isi dalam buku tu macam ni. Kalau kita nak buat sesuatu yang kita tahu salah, berdosa, tak elok, buruk, tapi kita nak buat juga. Letakkan jari tangan kita atas api. Kalau lepas jari pertama, letak di jari kedua pula. Begitulah seterusnya. Persoalannya, lepaskah 1 jari kita melepasi api di dunia? Mustahil bukan. Dari situ, kita akan teringat betapa azabnya lagi api di dalam Neraka nanti. Dari situ, sedikit sebanyak insyaAllah akan bantu kita untuk hindari dosa. Dan, jangan berdiam diri dengan dosa. Bangkitlah dengan beristighfar dan memohon keampunan-Nya. Moga Dia reda. ^_^

    • insyaAllah.. sekarang ni, emel saya agak kelembapan sikit nak bukanya.. kalau saudari nak emel saya pun boleh.. 🙂 muslimahsingle93@gmail.com InsyaAllah, mana yang boleh saya bantu, saya jawab.. mana yang saya tak tahu, saya akan cakap tak tahu.. kita sama2 berkongsi ilmu k.. 🙂

  • Leave a Reply

    Fill in your details below or click an icon to log in:

    WordPress.com Logo

    You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

    Twitter picture

    You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

    Facebook photo

    You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

    Google+ photo

    You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

    Connecting to %s

    %d bloggers like this: