NABI YANG SELALU TIADA MAKAN

Published February 6, 2012 by wana93

Kita pernah membaca cerita Nabi Muhammad s.a.w. yang dikisahkan selalu mengalami lapar, perut kosong kerana tidak makan, hingga ada waktunya terpaksa perutnya diikat dengan batu. Sukar hendak kita bayangkan bagaimana perut kosong yang perlu dibantu supaya tidak terasa terlalu pedih kelaparan, dengan mengikatkan ketul-ketul batu pada perut itu.

Dalam buku Muhammad s.a.w. Insan Teladan Sepanjang Zaman hasil karya Tok Guru Dato’ Nik Aziz Nik Mat (2008), antara lain digambarkan sewaktu membuat persiapan Perang Ahzab, Rasulullah s.a.w. turut bersama-sama dengan para sahabat, memerah keringat menggali parit untuk benteng pertahanan.

Baginda turut memunggah tanah dan batu-batu yang berat, menyebabkan seluruh fizikal merasai sakit, terasa pedih hingga ke pangkal hati. Untuk mengurangkan kepedihan akibat rasa lapar, Rasulullah s.a.w. mengambil beberapa ketul batu, kemudian dibalut dengan kain dan mengikat ketat pada perutnya. Baginda berbuat begitu selain untuk mengurangkan rasa lapar, juga untuk mengelakkan daripada kecederaan akibat bekerja berat dalam keadaan perut kosong.

Dalam buku Meraih Keampunan Allah karangan Jamilah al-Mashri (2004), terdapat pula cerita yang diriwayatkan Imam Ahmad dan Tabrani, bahawa pada suatu hari, Fatimah memberikan sekeping roti kepada ayahnya Muhammad s.a.w. Nabi mengambil dan berkata : “Ini adalah makanan pertama yang dimakan oleh ayahmu sejak tiga hari yang lalu.”

Bayangkan! Rasulullah tiga hari tak makan! Ada pula riwayat bahawa Abu Hurairah berkata, “Aku menemui Nabi s.a.w. ketika baginda sedang solat sambil duduk, lalu aku bertanya : ‘Wahai Rasulullah, aku melihatmu solat dalam keadaan duduk. Apa yang menimpamu?’ Baginda menjawab : ‘Lapar, wahai Abu Hurairah’.”

Dan ada beberapa peristiwa lagi sirah Rasulullah, yang menyebabkan kita berfikir – alangkah berbezanya dan jauhnya perbezaan antara corak hidup kita hari ini dengan corak hidup Rasulullah dan para sahabat di zaman itu.

Tentulah ini bukan cerita tentang kedhoifan. Nabi Muhammad s.a.w. mempunyai segala peluang untuk menjadi orang terkaya di zaman itu, sekiranya baginda memilih untuk menjadi kaya. Baginda sendiri sejak muda telah terkenal dengan bakat berniaganya, hingga tokoh korporat zaman itu, Siti Khadijah, mengamanahkan perniagaan kepada baginda s.a.w.

Para sahabat seperti Othman bin Affan dan Abdul Rahman bin Auf adalah orang-orang kaya yang banyak harta dan sentiasa mahu menyumbang. Kemudian, hasil rampasan perang pun, boleh memberikan kekayaan kepada Nabi s.a.w. sekiranya baginda mahu mengambil bahagiannya.

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Al-Bukhari, daripada Umar Al-Khattab, katanya : Pada suatu hari, saya masuk menemui Rasulullah s.a.w. di rumahnya, baginda sedang berbaring di atas pasir. Baginda tidak menggunakan sebarang alas untuk mengalaskan antara tubuhnya dengan pasir. Kesan-kesan pasir jelas kelihatan di bahagian rusuknya.

Begitulah Rasulullah s.a.w. Bukan baginda tidak mampu. Kalau baginda mahu, bukan baginda tidak mampu untuk mengadakan lantai yang beralas atau membina rumah yang besar dan mewah sekalipun. Baginda mampu mengadakan semua itu, kalaulah itu yang baginda pilih. Tetapi, baginda tidak memilih yang itu.

Betapa zuhudnya baginda s.a.w. Membaca sirah Rasulullah s.a.w. dan para sahabat berulangkali dari pelbagai sudut, akan membuatkan kita merasai perbezaan corak hidup mereka yang ketara itu.

Kita seringkali kekenyangan, seringkali diberi kemewahan. Kita juga seringkali merungut, itu tak sedap, itu tak kena dan macam-macam. Kita juga selalu merungut, tilam ni keras, simen ni panas dan lain-lain lagi.

Nabi s.a.w pula??

Akhirnya Rasulullah mengangkat jubahnya. Para sahabat amat terkejut.

Perut baginda yang kempis, kelihatan dililiti sehelai kain yang berisi batu kerikil, buat untuk menahan rasa lapar baginda.

Batu-batu kecil itulah yang menimbulkan bunyi-bunyi halus setiap kali bergeraknya tubuh baginda.

“Ya Rasulullah! Adakah bila tuan menyatakan lapar dan tidak punya makanan kami tidak akan mendapatkannya buat tuan?”

Lalu baginda menjawab dengan lembut, “Tidak para sahabatku. Aku tahu, apa pun akan engkau korbankan demi Rasulmu. Tetapi apakah akan aku jawab di hadapan ALLAH nanti, apabila aku sebagai pemimpin menjadi beban kepada umatnya?”

“Biarlah kelaparan ini sebagai hadiah ALLAH buatku, agar umatku kelak tidak ada yang kelaparan di dunia ini lebih-lebih lagi tiada yang kelaparan di Akhirat kelak.”

Subhanallah… hebatnya pengorbanan dan kasih sayang yang ada pada baginda.

Bagaimana kasih sayang kita kepada Rasulullah S.A.W. ??

Jika ku soal pada hati tentang apa yang diingini, pastilah aku ingin menjadi salah seorang pengikut yang amat setia padamu dan amat patuh pada ajaran yang dibawa olehmu. Pastinya aku ingin menjadi semulia insan yang berada di sampingmu wahai kekasih Allah.

Duhai diri, apakah mungkin fantasi menjadi realiti andai dirimu masih dibelenggu kejahilan, tersesat di dunia yang sementara, pujuklah hati, bawa hatimu kepada Ilahi.


Allahumma solli ‘ala sayyidina Muhammad..

♥ Salam Maulidur Rasul ♥

One comment on “NABI YANG SELALU TIADA MAKAN

  • Leave a Reply

    Fill in your details below or click an icon to log in:

    WordPress.com Logo

    You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

    Twitter picture

    You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

    Facebook photo

    You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

    Google+ photo

    You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

    Connecting to %s

    %d bloggers like this: