Ada beberapa adab yang harus diperhatikan oleh para penuntut ilmu yang di antaranya ialah :-
1) Mensucikan hati daripada fikiran kotor dan mengikhlaskan niat kerana Allah, agar jiwanya bersedia menerima ilmu, menghafal dan mengembangkannya.
Daripada Abu Abdillah al-Nukman bin Basyir r.a. berkata bahawa beliau mendengar Rasulullah SAW bersabda : “…Ingatlah, bahawa dalam jasad itu ada segumpal daging. Jika ia baik, baiklah jasad seluruhnya. Jika ia rosak, rosaklah jasad seluruhnya. Ketahuilah, bahawa segumpal daging itu adalah hati.” (Riwayat al- Bukhari, Muslim dan Abu Daud)
2) Memutuskan hubungan dengan segala yang melalaikan diri daripada kesungguhan dalam menuntut ilmu. Selain itu, hendaknya seorang penuntut ilmu selalu merasa cukup dengan makanan yang sedia ada, bersabar akan kekerasan hidup, merendahkan diri di hadapan ilmu dan guru, kerana hanya dengan sifat tawadhu’ ilmu boleh diperoleh.
Imam al-Syafi’e pernah berkata : “Orang yang mencari ilmu dengan kebongkakan dan kesombongan hati, tidak akan mendapatkannya. Tetapi bila ia menuntutnya dengan kerendahan hati, kesengsaraan hidup dan bersifat tawadhu’ di hadapan ulamak, maka pastilah ia akan mendapatkannya.”
3) Berjuang tidak kenal lelah dalam belajar dan memiliki semangat yang tinggi. Selagi masih mampu mengejar ilmu yang banyak, janganlah merasa cukup dengan ilmu yang sedia ada. Janganlah menunda-nunda masa, apatah lagi dalam mencari kebaikan. Namun, jangan pula memaksa diri melakukan sesuatu yang sulit, kerana hal itu terkadang akan membuatkan jemu. Namun, sulit atau tidaknya sesuatu perbuatan, itu bergantung kepada kemampuan masing-masing.
Aku, Buku dan Cinta
Dr. ‘Aidh Bin Abdullah Al-Qarni