2 HARI KURSUS PRA PERKAHWINAN

Published May 26, 2013 by wana93

 Alhamdulillah, selesai sudah saya menimba ilmu rumah tangga selama 2 hari dalam Kursus Pra Perkahwinan di USIM ni. Saya dah pun memiliki sijil Kursus Pra Perkahwinan. Banyak pendedahan yang saya dapat. Banyak juga ilmu baru yang saya temui dalam kursus ni. Balik daripada kursus ni, tangan saya mula rasa ‘gatal’. Bukan rasa ‘gatal’ nak kahwin ye! Tapi, rasa ‘gatal’ nak menaip ni haaa. Nak berkongsi ilmu dan pengalaman dengan anda semua. Jadi, jom kita teroka ye! 🙂

 Apa yang saya nukilkan ini hanyalah ringkasan dan bahagian-bahagian yang saya rasa, penting untuk kita semua tahu.

 Ada yang seronok, ada juga yang seram. =.=

Untuk pengetahuan, kesemua para penceramah yang hadir memberi ‘talk’ adalah daripada Jabatan Agama Islam Negeri Sembilan. Kecuali bab kesihatan, tu orang bahagian kesihatan.

Sihir Cinta

Pengarah syarikat yang menguruskan kursus pra perkahwinan ini memulakan kata-kata aluannya dengan menceritakan kepada kami serba sedikit tentang tanda-tanda kita disihir oleh cinta. Salah satu tandanya adalah setiap minit dan saat, kita mesti nak tengok muka si dia, si kekasih hati kita. Kalau tak dapat, kita rasa asyik nak meroyan saja. Ni dah lebih daripada ‘majnun’. Hehe.

Saya suka dengar cerita ustaz tadi. Ustaz tu kata, nikah itu tersangatlah indah. Tapi, kenapa ramai yang bercerai? Sangatlah rugi. Ustaz tu bertugas di mana dia memang berhadapan dengan pelbagai kes rumah tangga. Banyak nasihatnya tadi. Dia bercerita, semasa dia lepas nikah, dia terus buat solat sunat nikah. Lepas solat tu, dia doa 3 perkara ni :-
1) Ya Allah, kekalkan hubungan aku dan isteriku hingga akhir hayat. Cukuplah dia sebagai isteriku, kekasih hatiku, jantung hatiku, penyejuk mataku.
2) Ya Allah, aku tak nak sesekali melafazkan talak pada isteriku. Peliharalah kami.
3) Ya Allah, aku tak nak pukul atau menyakiti isteriku. Jagalah kami.

188526_3958478806528_1979053908_n

Akidah dan Ibadah

Kemudian, berbicara soal akidah pula bersama ustazah Tuty. Antara isi-isi pentingnya adalah :-

1) Akidah adalah landasan kita. Tanpanya, semua perkara jadi sia-sia.

2) Belajar agama bukan semata-mata untuk nak nikah sahaja! Ingat tu ye!

3) Jangan suka mengumpat, mengutuk dan menyakiti hati orang lain.

4) Iman kita, kadang-kadang naik, kadang-kadang menurun. Macam mana kita nak tahu iman kita kurang dan menurun? Banyak sikap negatif yang kita buat dan banyak perkara mazmumah yang kita lakukan.

5) Rukun Islam dan Rukun Iman adalah perkara asas! Jangan sampai tak tahu! (Sebab ada beberapa peserta yang tak tahu, mereka bukan pelajar tetapi orang luar). Perkara pertama kena didik anak-anak adalah dua perkara asas ni.

Seterusnya, cara hidup Islam. Semak hubungan kita dengan Allah, hubungan kita dengan manusia dan hubungan kita dengan alam. Apa peranan akidah dalam rumah tangga?

1) Sebagai benteng menghadapi masalah.

2) Membina pergaulan yang baik.

3) Asas pengurusan keluarga.

4) Sikap bertanggungjawab.

5) Semangat bersama.

6) Rasa bersyukur dan qana’ah (rasa cukup)

Ustazah Tuty juga membicarakan soal akidah ini. Antara peranan ibadah ialah menambah keimanan kita pada Allah. Selain itu, untuk kawalan diri kita daripada melakukan perkara-perkara maksiat. Ibadah juga berupaya menguatkan rohani kita. Dalam satu hadis Nabi S.A.W., Baginda bersabda yang bermaksud, “Amalan yang paling Allah suka adalah solat tepat pada waktunya…” Tapi, kita sekarang ni, amalan yang paling kita suka adalah melambat-lambatkan solat! 😦

Ada yang baru 2 minggu kahwin, dah nak bercerai! Sebab apa? Sebab isteri tak pandai potong ketam! Bila dah kahwin ni, perkara kecil pun boleh jadi masalah besar. Adoyaiii!

Akhlak dan Hubungan Suami Isteri

“Sesungguhnya aku (Muhammad) diutus untuk menyempurnakan akhlak yang mulia.” (Riwayat al-Baihaqi)

Untuk slot ni, penceramahnya adalah ustazah Hashimah. Katanya, semakin isteri banyak bercakap, tu tandanya semakin sayang isteri pada si suami. (Memang lumrah perempuan suka berleter. Kan? Huhu.) Apa yang penting, suami dan isteri yang bertakwa. Kajian menunjukkan 40% punca masalah dalam rumah tangga adalah tidak solat. Bila kita abaikan solat, maka, kita akan rasa kosong!

Nabi Muhammad S.A.W. menjadi teladan terbaik untuk kita semua. 🙂

Banyak isu-isu yang timbul di awal perkahwinan. Antaranya, masalah nak menyesuaikan diri dan mengenali kelemahan serta kelebihan masing-masing. Tuntutan selepas kahwin banyak memerlukan duit. Jadi, menyimpanlah dari sekarang dan jangan membazir! Selalunya, sebelum kahwin, perempuan akan banyak merajuk. Tapi, lepas kahwin, lelaki pula akan kuat merajuk. (Ek? Wallahua’lam..) 😉

Kalau dengan mengalah, dapat selamatkan rumah tangga kita, maka, mengalahlah. Orang lelaki lebih suka pendam. Kalau sia sayang ke, cinta ke, kena lafazkan dekat isteri sebab isteri nakkan penghargaan. Isteri suka dengar lafaz cinta daripada suami. ^_^

Bergurau sendalah dengan pasangan halal kita. Perempuan kena tahu masak. Biar suami rasa air tangan kita. Kalau tak tahu sangat, ‘Google’ kan ada! Hehe.

Motivasi

Hari kedua pula, pengarah kursus memberi suntikan motivasi dan keinsafan dalam diri kami. Beliau menyentuh bab ibu bapa. Memang melelehlah air mata saya waktu tu. Siapa tak tersentuh jiwanya bila bab ibu bapa diketengahkan? Lagi-lagi, di saat saya hanya punya ibu. Tanpa abah. Memang rindu saya tak dapat nak diluah!

Beliau menasihati kami sepertimana seorang ayah menasihati anaknya. Kejayaan perlu bersama keredhaan ibu dan bapa kita. Kalau ibu bapa sudah tiada, maka, buatlah satu amalan yang membolehkan kita hantar pahala pada kedua mereka. Ingat! Doa anak yang soleh dan solehah, insyaAllah, sampai kepada mereka. Jangan sesekali buat maksiat!

Ramai yang hantar ibu bapa ke rumah orang tua adalah daripada mereka yang berpelajaran dan berpendapatan tinggi serta berkerjaya. Kereta mewah, rumah mewah tapi abaikan tanggungjawab sebagai seorang anak! Kasih sayang pada mak ayah, kita kena tunjuk!

250272_4216673501234_577836199_n

Kesihatan

Jangan sesekali abaikan. Jauhi rokok! (Rasanya, dah tahu, fatwa muzakarah kebangsaan kata HARAM.) 🙂 Mengikut kajian, setiap tahun, 10 ribu perokok berhenti merokok. Baguslah! Tapi, yang tak bagusnya, mereka berhenti merokok sebab mereka mati. So, fikir-fikirkanlah ya. 🙂

Pengurusan Sumber Keluarga

Haa, ni slot ustaz Muhamad. Katanya, CINTA remaja itu bermaksud :-

C-Ceria (bila bercinta)

I-Indah (semuanya indah bila bercinta)

N-Nikmat (memang rasa nikmat bila time bercinta)

T-Tabah (tabah menunggu sang pencinta)

A-Asyik (asyik saja bila dah bercinta)

Selalunya, masalah perceraian berlaku disebabkan kewangan yang tak stabil. Kita terutama kaum lelaki, sebagai ketua keluarga, kena pandai cari duit. Jangan tahu nak kahwin saja, tapi, duit tak ada! Perempuan pun, kena sediakan untuk diri juga.

Pendidikan agama kena titikberatkan. Apabila si suami kurang titikberatkan pendidikan agama, bila agama diletak bawah kaki, maka, kesannya amatlah malang untuk diri dan keluarga kita!

Ustaz ni banyak bercerita tentang pengalamannya mengajar di sebuah sekolah pedalaman selama 3 tahun lebih. Dan beberapa pengalaman lain.

1) Kisah seorang pelajar tingkatan 4 yang ditangkap di Terminal One dalam keadaan ber’cantum’ lelaki dan perempuan. Masih berpakaian sekolah!

2) Kisah kedua, pelajar tingkatan 2 pula. Ustaz ni mengajar subjek agama, tentang pengharaman arak. Hari tu, budak tu siap bawa arak. Selidik punya selidik, dekat rumah budak tu, berderet botol arak! Dia dan keluarganya memang dah biasa minum arak.

3) Kerana kurang didikan agama, para peserta kursus kahwin (zaman ustaz tu dulu), 99 % peratus tak reti tulis syahadah. Padahal, semua berkereta mewah, berkerjaya mewah.

4) Ada kes ayah tak reti azan apabila anak dilahirkan.

Dan, cerita-cerita inilah yang banyak sedarkan diri saya! Beliau nasihatkan suruh kami, dan anda yang belajar agama, tahu agama, turun padang! Umat kita sedang nazak! Sebenarnya! 😦

Kita kena dekati mereka-mereka yang bermasalah ni. Jangan jadikan tudung labuh dan kopiah tu sebagai alasan untuk kita tak boleh nak dekati mereka.

Ada satu kisah lagi, seorang muslimah bertudung labuh (saya sedih sebenarnya bila dengar cerita ni sebab saya juga bertudung labuh. orang akan salahkan tudung labuh. yang salah, ‘tudung labuh’ juga!) Si muslimah ni kutuk-kutuk seorang sahabat yang sakan bercinta. Time tu, dia semester satu. Naik semester 2, si muslimah tu ditangkap basah bersama dengan seorang ‘ustaz’ di dalam surau, di balik tirai! Na’uzubillah.. 😦

Komunikasi

Bermula dengan idea iaitu melalui pembacaan, pemerhatian dan diskusi. Masalah yang lebih kurang sama, tapi, ni persoalan zuriat. Baru 3 bulan kahwin, isteri belum mengandung lagi, suami dah nak ceraikan! Si suami kembali pada keksaih lama!

Komunikasilah dengan cara yang baik dan hormat bila berada dengan pasangan kita. Jangan tengking!

Pengurusan Stress/Konflik

Stress merupakan gangguan emosi yang lumrah yang sering kita hadapi. Ustaz Tengku namanya. Banyak juga beliau cerita pasal kes-kes rumah tangga. Menurut kajian, 1-5 tahun perkahwinan, akan ada pasangan yang berlaku perceraian. Banyaknya sebab masalah kewangan. Bila nak kahwin, kewangan kena ambil berat! Bab agama yang paling penting!

Nak kahwin, mesti kerana Allah. Kalau sebab nafsu, memang kita takkan bahagia. Banyak kes yang beliau jumpa. Antaranya :-

1) Si suami pijak perut isteri yang sedang mengandung. Tapi alhamdulillah, anak tersebut tak gugur dan selamat dilahirkan.

2) Ada yang nikah hari Sabtu, kenduri hari Ahad, pagi Isnin tu dah nak bercerai! Semua sebab nak cari kepuasan serta nak ikut nafsu sahaja!

3) Ada perempuan nak kahwin dengan lelaki Syiah. Ustaz tu terus batalkan. Mana boleh kan?!

Don’t try to have what you love but love what you have.. 🙂

Ustaz tu sempat menguji kami, kaum Hawa. Hanya dengan satu persoalan.

“Firman Allah dan dalam hadis ada menyebut tentang poligami dibolehkan. Anda setuju?”

Kami, kaum Hawa, pun menjawab, “Setuju…..” Sambil semua buat muka. (Takde soalan lain ke ustaz ni? Hehe.)

Dan, soalan sama diajukan pada para Adam. cuma, ditambah, “Nak ke?”

Apa lagi, sukalah diorang. Nak saja jawapannya.

Ustaz tu pun beritahu, baguslah sebab kamu bersetuju bahawa poligami dibolehkan. Ada pihak kaum Hawa yang lain pula, tak bersetuju malah membantah serta mencemuh hukum Al-Quran. Na’uzubillah. Poligami memang dibenarkan dan dibolehkan dalam Islam. Tapi, bukan sewenang-wenangnya. Ada syarat-syaratnya. 🙂

Pembubaran Perkahwinan

Bab ni saya tak cerita pasal talak, fasakh dan semua lagi tu. Panjang kot. Bolehlah anda rujuk buku Feqah ya.

Buku Rujukan yang dibekalkan. :) Agak seram sebenarnya tajuk tu walaupun indah.

Buku Rujukan yang dibekalkan. 🙂 Agak seram sebenarnya tajuk tu walaupun indah.

 

Saya nak cerita sikit je pasal ni sebab tak naklah kan kita semua jadi benda ni. Biarlah kita nikah sekali saja. Kekal hingga ke Syurga. 🙂

Statistik perceraian di negeri Seremban saja, menunjukkan setiap hari, 20 orang yang bercerai! Bayangkan! Baru kat Seremban, belum lagi dekat Malaysia! Na’uzubillah.

Sediakan dan Bentengkan Dirimu

Untuk kesimpulannya, ini adalah rasa dan luahan serta nasihat untuk diri saya sendiri. Sesungguhnya, pernikahan itu sesuatu yang indah. Janganlah kita cemari dan kotorkan ia dengan cerita-cerita yang menyeramkan remaja seperti saya mendengarnya. Sudah cukup cukup sudahlah!

Dan para pemuda pemudi, termasuklah diri saya ni, mari kita sediakan bekalan kita. Bekalan ilmu agama. Banyak lagi yang perlu kita tempuh sebelum nak bergelar suami dan isteri ni. Ya benar, di zaman yang serba fanaa ini, zaman fitnah, memang ustaz dan ustazah ramai yang menggalakkan kita kahwin awal. Jika anda sudah punya calon yang beragama, maka, segerakanlah pernikahan itu. Jika belum ada (samalah kita ye), jangan pakai tangkap muat saja. Ingat! Nikah bukanlah sesuatu yang remeh-temeh. Ia berkait rapat dengan akhirat kita. Nak cari, cari yang beragama, berakhlak, yang boleh bimbing dan bawa kita dekat dengan Allah. Yang penting, ibu bapa restu. Kerana di situlah letaknya keberkatan seorang anak. 🙂

Tak semua masalah, kahwin adalah penyelesaiannya. Kalau kita tak bergerak ke arah bersedia, hanya nak seronok-seronok saja, kemudian, terburu-buru hendak menikah sebab terlalu ikutka kehendak nafsu, maka, bagaimana pengakhiran ikatan suci itu nanti? Adakah bahagia di hujungnya? Adakah kes cerai semakin meningkat?

Jadi, sama-sama kita fikirkan. Remaja yang beriman, yang soleh, kita bijak jauhi zina! Ingat Allah, ingat Rasulullah, ingat ibu bapa, ingat Syurga dan ingat juga Neraka. Bentengkan dirimu dengan iman dan takwa pada-Nya. Ya, benar, perkahwinan itu indah. Jika ia dibina atas matlamat kerana Allah. Jika ia berlandaskan Al-Quran dan Sunnah.

“Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah Dia menciptakan untukmu isteri-isteri dari jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan dijadikan-Nya di antaramu rasa kasih dan sayang. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi kaum yang berfikir.” (Surah Rum : 21)

Redhalah dengan suami dan isteri masing-masing. Terima seadanya. Kita kan saling melengkapi.

Nikah itu mudah, tanggungjawabnya itu yang payah. Jadi, be ready lah! 🙂

Jagalah batas pergaulan kita. Jaga anggota kita daripada memandang, mendengar dan melakukan sesuatu yang boleh mengundang murka Allah. Cinta kerana Allah, bahagia akan hadir dalam hidup kita. Cinta kerana nafsu, takkan kita temui bahagia di dalamnya. Cintai dirimu daripada dibaham api neraka.

“Hai orang-orang yang beriman, peliharalah dirimu dan keluargamu dari api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu; penjaganya malaikat-malaikat yang kasar, yang keras, yang tidak menderhakai Allah terhadap apa yang diperintahkan-Nya kepada mereka dan selalu mengerjakan apa yang diperintahkan.” (At-Tahrim : 6)

Jauhi zina, hindari maksiat, banyakkan taubat, sibukkan diri dengan ilmu dan ibadah. Kita mampu mengubahnya! 😉

-Wallahua’lam-

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: