BILA AGAMA HANYA ADA PADA BELAJAR

Published December 5, 2013 by wana93

1463173_677606492258932_1522022272_n

Seorang pelajar agama. Dia  bersekolah agama, dari kecil hinggalah ke universiti. Dia sudah belajar banyak perkara. Tentang Allah, Rasul, aurat, pergaulan, akhlak, adab, tentang Syurga, tentang Neraka dan banyak perkara lagi. Namun, apabila usianya semakin menginjak dewasa, dia mula mahu rasa bebas. Dia mahu ikut sahabat-sahabatnya yang sudah mula sibuk mencari pasangan hidup dengan cara yang tidak bersyariat iaitu ber’couple’, ber’dating’ dan ber’chatting’. Katanya, dia lain sedikit. Nak ‘couple islamik’! Sedikit demi sedikit, sikapnya mula berubah. Lebih dekat melekat bersama telefon bimbitnya, asyik bermesej nasihat dan tazkirah dengan insan pilihan hatinya. Katanya, mahu saling ingat-mengingati. Sharing is caring. Kadang-kadang, mahu juga mendengar suara dan berborak mesra bersama si dia dan lain-lain lagi.

Seorang pelajar agama. Dia  bersekolah agama, dari kecil hinggalah ke universiti. Dia sudah belajar banyak perkara. Tentang Allah, Rasul, aurat, pergaulan, akhlak, adab, tentang Syurga, tentang Neraka dan banyak perkara lagi. Dia cuba berusaha untuk menjaga batas pergaulannya di alam realiti bersama para ajnabi. Namun, di alam maya seperti Facebook, Twitter dan sebagainya, dia sangat sakan membalas komen-komen kosong yang tidak berisi dan bukan kerana keperluan. Lebih kepada borak-borak kosong bersama ajnabi.

Seorang pelajar agama. Dia  bersekolah agama, dari kecil hinggalah ke universiti. Dia sudah belajar banyak perkara. Tentang Allah, Rasul, aurat, pergaulan, akhlak, adab, tentang Syurga, tentang Neraka dan banyak perkara lagi. Dia cuba berusaha untuk menjaga batas pergaulannya di alam maya. Dia hanya berkongsi perkara-perkara bermanfaat dan nasihat berunsur tazkirah  di lama sosialnya. Namun, di alam realiti, dia amat jauh berbeza dengan sikapnya di alam maya. Dia suka berborak sakan bersama kawan-kawan berlainan jantina. Malah, siap bergelak-tawa dan bertepuk tampar dengan buku lagi. Waaah! Alangkah bahagianya!

Ini baru bab ikhtilat. Tak masuk lagi bab-bab yang lain seperti aurat, masa, akhlak dan lain-lain. Di sekolah, kita bertudung dengan sempurna dan mengenakan pakaian yang mengikut syariat. Namun, habis sekolah, mahu ‘outing’ bersama teman-teman, tudung pun ditanggal. Pakaian syariat juga sudah tidak dihirau. Katanya, tidak fleksibel untuk anak-anak muda zaman sekarang! Kita baik dan berbudi bila bercakap dengan sahabat-sahabat kita, namun, bilamana kita bercakap dengan ibu bapa, suara kita tinggi dan asyik mahu melawan cakap sahaja.

Sesungguhnya, agama bukan ada pada belajar saja. Agama juga bukanlah untuk memenuhi subjek dalam pembelajaran kita saja. Tidak!

“Hai orang-orang yang beriman, masuklah kamu ke dalam Islam secara keseluruhannya, dan janganlah kamu turut langkah-langkah setan. Sesungguhnya setan itu musuh yang nyata bagimu. Tetapi jika kamu menyimpang (dari jalan Allah) sesudah datang kepadamu bukti-bukti kebenaran, maka ketahuilah, bahwasanya Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.” (Surah Al-Baqarah : 208-209)

“Dan tidaklah patut bagi laki-laki yang mukmin dan tidak (pula) bagi perempuan yang mukmin, apabila Allah dan Rasul-Nya telah menetapkan suatu ketetapan, akan ada bagi mereka pilihan (yang lain) tentang urusan mereka. Dan barang siapa menderhakai Allah dan Rasul-Nya maka sungguhlah dia telah sesat, sesat yang nyata.” (Surah Al-Ahzab : 36)

Jangan sesekali pisahkan agama daripada kehidupan kita. Agama bukan hanya pada belajar. Agama bukan hanya ada pada solat dan di atas sejadah saja. Agama bukan hanya ada pada makna nama kita saja. Tapi, agama Islam itu adalah syumul iaitu sempurna dan merangkumi semua aspek dalam hidup kita ini. Andai diri dan agama dipisahkan, maka, tidak sempurnalah diri kita. Akan terserlah banyak tompokan jahiliah dalam hati dan diri kita. Bila diri kita mula berjinak dan sentiasa disogok dengan hedonisme iaitu hiburan yang melampau, dengan perkara-perkara yang melalaikan diri dan melemahkan iman, maka, akan bermula dan berlakulah perkara-perkara yang akan memisahkan diri kita dengan agama kita. Sanggup melambat-lambatkan solat hanya untuk memenuhi tuntutan hiburan seperti menonton filem cinta atau menghadirkan diri ke konsert-konsert yang dipenuhi dengan aksi tari-menari dan sebagainya.

Daripada kita bangun tidur, hinggalah kita kembali tidur, semua itu perlu kita libatkan agama Islam yang tinggi, suci dan mulia ini. Perlu kita hadirkan rasa diperhati oleh Allah setiap masa dan ketika, di mana jua, ketika kita sendiri mahupun bersama orang ramai. Bagaimana mahu wujudkan perasaan seperti itu? Kita mestilah percaya dan yakin bahawa Allah itu Maha Satu dan ada. Hanya dengan keyakinan yang mantap, kukuh dan teguh, akan menimbulkan satu rasa bahawa Allah ada dan sentiasa perhati segala yang berkaitan dengan kita. Allah tahu segala-galanya. Walau kita sembunyikan di dalam hati, namun, Dia tetap Maha Mengetahui. Muraqabah iaitu pengawasan daripada Allah itu sangat-sangat penting. Kita merasa Allah sentiasa mengawasi kita.

“Dan bertawakallah kepada (Allah) Yang Maha Perkasa lagi Maha Penyayang, Yang melihat kamu ketika kamu berdiri (untuk sembahyang), dan (melihat pula) perubahan gerak badanmu di antara orang-orang yang sujud. Sesungguhnya Dia adalah Yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.” (Al-Syua’araa : 217-220)

Sesungguhnya, setiap ilmu yang kita pelajari, khusunya ilmu agama itu bukan hanya untuk kita tahu dan belajar saja. Akan tetapi, perlu diamalkan dan dipraktik dalam kehidupan kita di duniawi yang sementara ini. Tajdid niat kita semula.

Semoga belajar kita kerana Allah, bukan untuk periksa semata-mata. Semoga peperiksaan yang bakal kita hadapi  dalam pembelajaran juga adalah kerana Allah. Semoga kita mampu dan sentiasa berusaha untuk beramal dengan apa yang telah kita pelajari. Ilmu tanpa amal itu ibarat pokok yang tidak punya buah. Amal tanpa ilmu yang betul pula adalah sia-sia. Jadi, ilmu kita perlu betul untuk melaksanakan amal yang betul dan tidak menyalahi syariat. 🙂

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: