PERKONGSIAN : SEMINAR PEMURNIAN AKIDAH

Published December 18, 2013 by wana93

Alhamdulillah. Saya dan 39 sahabat wakil daripada mahasiswa/i Pengajian Akidah dan Agama, USIM berkesempatan menyertai satu majlis ilmu iaitu SEMINAR PEMURNIAN AKIDAH, ‘Kejernihan Akidah Tembok Cabaran Mendatang’.

MEMORI – AHAD, 15 DISEMBER 2013, MASJID AL-AZIM, PANDAN INDAH, SELANGOR.

Saya rasa amat gembira dan bersyukur sangat pada-Nya kerana dapat hadir ke seminar yang tajuknya sangat berkait rapat dengan bidang yang sedang saya dan sahabat-sahabat mengaji dan mendalami di universiti ini. Dari pagi hinggalah ke petang, majlis ilmu ini telah berjalan dengan lancar sekali. Tahniah bagi pihak penganjur iaitu Tinta Qalbu dan Masjid Al-Azim, Pnadan Indah. Di sini, insyaAllah, akan saya kongsikan serba sedikit tentang ilmu yang telah saya dapat dan saya rasa penting untuk kita semua tahu. Sharing is caring kan? ^^

1441225_609486995776528_211654641_n

Slot 1 -BERPEGANG KEPADA AKIDAH AHLI SUNNAH WAL JAMAAH
(Ustaz Ahmad Fauwaz Fadzil Noor, Penceramah Bebas)

Ahli Sunnah Wal Jamaah ialah aliran yang meneruskan warisan Nabi SAW. Aliran ini sentiasa memperjuangkan kebenaran dan menangkis segala serangan musuh Islam dari segenap sudut tanpa mengira penat dan lelah.

Di Malaysia, mazhab yang dipegang oleh umat Islam ialah mazhab al-Asya’irah. Selain itu, ia juga dipegang di kawasan Nusantara berkurun lamanya (hasil kajian Mohd Faizul Bin Azmi). Akidah inilah yang menyatupadukan umat Islam di Malaysia sejak sekian lama.

Imam al-Qardawi dalam ceramahnya di Muktamar Akidah, Mesir, menyatakan ahli Sunnah terbahagi kepada 3 golongan iaitu 1) Al-Asya’ari 2) Al-Maturidiah 3) Ahli Hadis

Ia bertepatan dengan kenyataan Imam al-Amidi (pakar usul feqh) ,

“Kumpulan yang berjaya (al-Firqah al-Najiah) adalah al-Asya’irah, al-Salafiyah daripada ahli hadis dan ahli sunnah wal jamaah. Hal ini kerana mereka tidak mencampurkan dalam akidah mereka perkara-perkara yang berkaitan dengan bidaah yang dilakukan oleh al-Qadariyah, Syiah, al-Khawarij, al-Murjiah..”

Imam al-Bagdadi menyatakan,

“Ahli sunnah wal jamaah merangkumi banyak aliran iaitu mazhab feqh, mazhab hadis, bahasa Arab dan tasawuf.”

Ustaz Fauwaz memberitahu bahawa usul Tasawuf menjadi kuat kerana berasaskan Al-Quran dan Sunnah. Juga, kata-kata para sahabat Baginda SAW. Contoh ulama’ Tasawuf adalah Sheikh Abdul Qadir Jailani. Saya juga pernah baca buku beliau, ‘Haqaiq A’n Tasawuf’. Dah ada versi Bahasa Melayu. Seronok sangat membacanya! Imam Ibn Taimiyah sendiri mengakui ketasawufan Sheikh Abdul Qadir Jailani.

Imam Al-Ghazali mendefinisikan Ahli Sunnah Wal Jamaah dengan katanya,

“Sesiapa yang beriktikad dengan apa yang disebut dalam Al–Quran dan Sunnah serta Athar dengan penuh yakin, maka, dia ialah ahli kebenaran dan kumpulan Sunnah.

Iaitu beriman dengan Allah, dengan sifat-sifatNya, sehinggalah berimman dengan kemuliaan sahabat Nabi dengan mengikut tertib bermula dengan Abu Bakar, Umar, Uthman dan Ali, bersangka baik dengan semua sahabat dan memuji mereka.”  (Boleh rujuk di Ihya’ Ulumuddin, Jilid 1)

Ahli Sunnah bukanlah yang suka mengkafirkan dan memaki hamun para sahabat Nabi Muhammad SAW. Antara keistimewaan Ahli Sunnah Wal Jamaah adalah seperti berikut :-

1) Wasatiyah iaitu bersederhana.

2) Tidak mudah mengkafirkan orang.

3) Sentiasa bersangka baik.

Kita ada takwil dan tafwidh dalam menafsirkan ayat Al-Quran berkenaan sifat-sifat Allah. Ahli Sunnah Wal Jamaah adalah satu manhaj yang boleh menyatupadukan semua umat di dunia ini.

Beberapa pesanan ustaz Fauwaz :

1) Sebagai pelajar, kita jangan cepat menghukum orang. Lagi-lagi nak mengutuk para alim ulamak. Mereka hafaz 30 juzuk, hafaz sunan sittah, hafaz kitab-kitab, dah mengaji banyak kitab dengan ramai sheikh dan banyak lagi. Tapi kita, baru belajar sikit dah nak berlagak pandai. Hormati ulamak. Kita nak kutuk ulamak, kita ni jahil lagi sebenarnya!

2) Orang takkan faham sunnah kecuali dengan membaca Al-Quran. Ada sebahagian orang yang mendahulukan sunnah daripada Al-Quran. Kita tak mahu jadi Asya’irah yang ekstrem.

3) Bersangka baik dengan orang. Kalau tak suka, diam. Doakan yang baik-baik saja.

4) Cadangan buku rujukan : Aliran Mazhab-mazhab Islam (Tuan Guru Hj Abd Hadi Awang)

Kita bukan diutus untuk membongkar kesalahan ulamak. Kita kena belajar banyak. Bukan semua salafi itu wahabi. Tapi, semua wahabi adalah salafi. 🙂

Ustaz banyak sebut nama kitab-kitab tulisan ulamak. Banyak lagi yang saya belum teroka dan masih tak tahu. 😦

Ohh jahilnya diriku! 😦

Slot 2 -ANCAMAN2 PENGARUH MODEN TERHADAP AKIDAH (Dr Azmil bin Zainal Abidin, Pensyarah Jabatan Akidah & Pemikiran Islam, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya)

Dalam slot ini, ustaz banyak menerangkan tentang Pluralisme agama, Feminisme dan ‘Islam’ Liberal. Semua ini berkait rapat dengan agenda sekularisasi. Cumanya, di sini, sebagai umum, saya hanya coretkan serba sedikit saja kerana isinya sangat panjang dan perlu kepada pemahaman yang mendalam.

Sekularisme – Ajaran yang menganjurkan pemisahan agama daripada urusan negara dan kehidupan.

Pluralisme – Fahaman yang menyamakan semua agama iaitu dalam erti kata semua agama adalah benar dan menuju keselamatan yang abadi / Syurga.

Feminisme – Fahaman yang menuntut persamaan di antara lelaki dan wanita (gender equality). Mereka memperjuangkan apa yang dianggap hak asasi wanita termasuklah hak pengguguran sah di sisi undang-undang, pencegahan kehamilan, perlindungan daripada keganasan rumah tangga, penganiayaan seks dan lain-lain yang merentasi sempadan agama, budaya, sosial dan bangsa.

‘Islam’ Liberal – Penyerapan faham liberalisme dalam memahami dan menafsirkan ajaran Islam. Liberalisme adalah faham yang mempercayai, mengutama dan menekankan kebebasan individu.

Kesimpulannya, pluralisme agama adalah contoh fahaman yang membina penyauan manusia dengan merelakan kekufuran dan kesyirikan. Ikatan seperti ini bakal membawa penyesalan di akhirat kelak.

“Dan berkata Ibrahim: “Sesungguhnya berhala-berhala yang kamu sembah selain Allah adalah untuk menciptakan perasaan kasih sayang di antara kamu dalam kehidupan dunia ini kemudian di hari kiamat sebahagian kamu mengingkari sebahagian (yang lain) dan sebahagian kamu melaknati sebahagian (yang lain); dan tempat kembalimu ialah neraka, dan sekali-kali tak ada bagimu para penolongpun.” (Surah al-Ankabuut : 25)

Slot 3 -CABARAN AKIDAH SEPANJANG ZAMAN  (Ustaz Mohd Nasim Abdul Rauf, Pakar Kaji Syiah)

Slot ini banyak menyentuh tentang Akidah sesat mazhab Syiah. Banyak video yang ustaz tunjuk pada kami, para peserta. Video Melayu kita dah semakin ramai yang menganut akidah Syiah ini, yang memuja Ali, Husin, yang memuja imam-imam 12 mereka dan banyak lagi. Lebih menyedihkan, apabila anak-anak kecil kita juga sudah terlibat sama. 😦

Memang ada segolongan kecil Syiah yang tidak sesat dan masih Islam, tetapi, bilangannya sangat kecil dan berada di Yaman. Di Malaysia kini, virus Syiah Ismailiah, Batiniyyah, Isna Ashara dan banyak lagi semakin menghuni dalam diri penduduknya, tua dan muda.

Di antara bahaya dan percanggahan ajaran Syiah dengan Islam ialah :-

1) Bahaya kepada akidah.

2) Bahaya kepada syariat.

3) Bahaya kepada akhlak.

4) Bahaya kepada ummat.

5) Bahaya kepada negara.

Penjelasannya sangat panjang. Saya hanya kongsi serba sedikit saja.

Bahaya kepada akidah

Muhammad bin Yaakub al-Kulaini meriwayatkan dalam “Ushul Kahfi” dari Abi Abdillah, kata beliau, “Sesungguhnya dunia dan akhirat adalah kepunyaan imam. Dia boleh meletakkannya di mana dikehendaki dan memberikan kepada sesiapa yang dikehendakinya. Itu adalah kebenaran daripada pihak Allah kepadanya.” (al-Kafi jilid 1 hal:409, bab “dunia ini semuanya kepunyaan imam”)

Sedangkan Allah telah berfirman di dalam al-Quran yang berbunyi,

“….. sesungguhnya bumi (ini) kepunyaan Allah; dipusakakan-Nya kepada siapa yang dikehendaki-Nya dari hamba-hamba-Nya. Dan kesudahan yang baik adalah bagi orang-orang yang bertakwa”. (Surah al-A’raf : 128)

Kepercayaan dan kebergantungan mereka pada imam-imam 12, telah merampas sifat-sifat keTuhanan Allah. Mereka juga mengharap dan meminta syafaat imam-imam mereka. Tapi, kita mengharap syafaat Nabi Muhammad tercinta. Ustaz Nasim ada tunjuk video bagaimana mereka mencederakan diri sendiri saat memperingati hari kematian Ali, Husin dan tentang saat-saat kematian seorang Syiah. Di saat sakaratul maut, dia menyebut-nyebur nama Ali, Husin dan imam-imam yang mereka puja itu. Bukankah itu sudah menyalahi akidah yang sohih?

Banyak lagi sebenarnya. Namun, saya hanya mampu berkongsi dan menaip sampai di sini saja. Moga ada ilmu dan manfaatnya. Untuk nak tahu lebih lanjut lagi, bolehlah baca buku-buku tentang kesesatan akidah Syiah ini. Antara buku yang saya kira baik untuk pembacaan adalah buku ‘Agenda Politik Syiah’ daripada pensyarah saya sendiri, Dr. Kamaluddin Nurdin. Beliau merupakan pakar dalam bab-bab Syiah ni. Juga, buku tulisan ustaz Nasim sendiri yang merupakan Pengkaji Syiah, ‘Syiah : Benarkah Berasal Daripada Ajaran Ahl Al-Bait?’ Juga buku, ‘Kenapa Aku Meninggalkan Syiah?’ tulisan terjemahan Sheikh Al-Allamah Dr. Husain Al-Musawi. Best!

Pernah ada orang cakap, “Sia-sia saja kaji pasal Syiah ni..”

Tapi, saya rasa tak sia-sia pun! Rasa berbaloi! Sebab kita tahu apa kesesatan mereka, apa akidah yang cuba mereka serapkan dalam diri mereka dan banyak lagi. Kalau tak ada yang kaji, tak ada yang peduli, nescaya, habislah negara dan ummat kita ini. Akan terjadinya masalah dan pembunuhan di merata-rata tempat.

3 USTAZ YANG HEBAT ILMUNYA.. :)

3 USTAZ YANG HEBAT ILMUNYA.. 🙂

AKHIR KATA

CYMERA_20131215_224232

Belajar, belajar dan terus belajar hinggalah hela nafas ini berhenti berfungsi. Banyak lagi kitab yang perlu kita baca, kaji dan dalami intipatinya. Moga Allah beri kita petunjuk selalu.

Mari sama-sama kita mantapkan Akidah yang sohih dalam diri kita. Sama-sama kita tingkatkan ilmu pengetahuan agama sebagai perisai untuk kita menjawab hujah-hujah Syiah dan ajaran-ajaran sesat yang lain. Jangan disebabkan kejahilan kita, Islam tergadai!

 

 

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: