Engkau masih ingat saat itu. Saat di mana nenek menyapa, mendoakan engkau.
“Nanti kahwinlah cepat-cepat. Kesian kau tinggal sorang-sorang. Kakak dah kahwin. Nenek doakan kau dapat ustaz.”
Kini, hatiku selalu berbisik,
“Nek, tak sempat nenek nak tengok cucu nenek yang ni kahwin..”
Engkau masih ingat detik itu. Detik di mana engkau sedang demam, terbaring di dalam kamar, dan nenek mula menjenguk masuk melalui pintu kamar.
“Tak sihat lagi ya? Cepat-cepatlah baik ya..”
Kini, engkau merasa rindu akan detik itu.
Engkau juga masih ingat waktu itu. Waktu semasa engkau sudah bersiap untuk melangkah pulang ke bumi universiti, meneruskan perjuangan menuntut ilmu, nenek sempat bertanya selepas engkau menyalaminya.
“Nak balik dah? Bila cuti lagi? Belajar elok-eloklah ya. Biar cucu nenek ni jadi ustazah.”
Hatimu selalu bertekad, “Insya-Allah, nek..”
16.2.2014
Sudah hampir dua minggu nenek tidak dapat berjalan menggunakan tongkatnya. Bukan itu saja, malah, nenek juga tidak mampu untuk duduk. Sejak nenek jatuh semasa keluar bilik air dua minggu lalu, kaki kiri nenek, terutama bahagian betis dan pehanya, terasa amat sakit sangat. Sejak itu juga, nenek semakin uzur. Nenek tak mampu bangun lagi.
Engkau hanya mampu membantu menyuapkan makanan ke dalam mulut nenek, menyuakan minuman untuk kelegaan tekaknya. Engkau juga hanya mampu membantu ibu dan adik-beradik engkau menguruskan nenek. Nenek memang memakai lampin dewasa. Ibulah yang banyak berkorban untuk nenek. Masa ibu banyak dihabiskan untuk menjaga dan menguruskan nenek. Ibu walau kadang-kadang pening dengan kerenah nenek yang pelbagai itu, namun, ibu sangat sayang akan nenek. Buktinya, ibu menjaga nenek, iaitu ibunya sendiri, hingga hujung nyawa.
Nenek duduk di rumah hadapan. Namun, dek kerana makcik engkau masih gagah bekerja, mencurah bakti untuk mendidik anak-anak bangsa, maka, nenek engkau dijaga di rumah engkau, di lorong belakang. Nenek juga sangat selesa di rumah itu. Kerana cucunya ada. Dan nenek memang suka melihat aksi cucu-cucunya yang bermacam itu. Rumah engkau sudah pun seperti rumah nenek.
Sepanjang nenek uzur, tidak mampu berjalan mahupun duduk, engkau, ibu, makcik, pakcik dan adik-beradikmu kerap kali saling membantu untuk menukar lampin nenek. Tak mudah. Sebab kaki nenek sangat sakit dirasainya. Nenek akan menjerit sambil menahan sakit apabila kakinya dipegang dan diangkat, semasa mahu menukar lampin. Kadangkala, nenek akan marah apabila sudah terasa amat sakit. Namun, engkau tak mampu buat apa-apa. Engkau hanya mampu melihat dan memegang tangan nenek sambil menyuruh nenek berzikir untuk menahan sakit. Lampinnya harus ditukar untuk mengelakkan bau busuk dan mudarat-mudarat yang lain.
Engkau tahu, tak ramai yang mampu dan sanggup menukar lampin orang dewasa, namun, ibu dan makcikmu telah membuktikan bahawa mereka mampu dan sanggup atas nama kerana mereka adalah seorang anak yang punya tanggungjawab. Maka, engkau pun membantu sebagai semangat, motivasi dan kesedaran buat diri engkau, di masa akan datang. Engkau juga mahu menjadi seperti mereka, yang menjaga orang tuanya, hingga hujung nyawa.
Dua tiga hari sebelum tarikh menjejak ke 16 haribulan 2, nenek semakin lemah. Makan tak nak, minum pun macam tak tertelan. Nafas nenek kuat seperti orang yang sedang berdengkur. Bukan engkau saja yang risau, malah, ibu dan makcikmu lebih risau. Nenek juga sudah tidak menjerit dan marah-marah apabila kerja-kerja menukar lampin dilakukan. Cuma, riak wajah nenek masih menahan sakit dan perit.
Hari itu, 16 haribulan 2, usai menguruskan nenek, engkau dan makcikmu menyuakan air suam dan jus sebagai penyegar tekak nenek. Kemudian, engkau bergegas ke masjid untuk bertemu dengan adik-adik usrah engkau. Makcik dan adik beserta abang engkau bergegas keluar untuk membeli barang keperluan di kedai.
Tinggallah ibu seorang diri di rumah, bersama nenek. Ibu mahu menyegarkan diri di bilik air. Sebelum ke bilik air, ibu menjenguk nenek. Nafas nenek semankin kuat. Hati ibu terasa sesuatu yang tidak enak. Ibu membisik sesuatu. Sejak dua tiga hari yang lepas, ibu sering berbisik di telinga nenek, kalimah toyyibah iaitu Syahadah – La Ilaha Illallah. Kemudian, ibu ke bilik air. Sekejap cuma. Kerana atmanya berasa resah dan tidak tenang. Setelah keluar dari bilik air, ibu terus melihat nenek.
Ibu tidak mendengar sebarang dengkuran daripada tubuh lemah nenek. Nafas nenek seakan sudah menyepi. Ibu makin resah. Ibu cuba mengangkat kaki kiri nenek yang sakit. Mahu lihat reaksi nenek. Ternyata, reaksinya negatif. Sah! Nenek telah meninggalkan ibu engkau buat selama-lamanya. Nenek juga telah pergi meninggalkan engkau, makcik engkau, adik-beradik engkau dan lain-lain lagi.
Engkau mendapat mesej daripada adik engkau,
“Aku ambil kau dekat masjid sekarang. Nenek dah tak ada, jam 5.50 petang tadi.”
Engkau yang sedang berusrah bersama adik-adik usrah engkau, membaca mesej itu dengan riak wajah yang muram, terkejut dan sedih. Engkau bergegas keluar dan pulang ke rumah. Ramai sanak-saudara yang sudah mula memasuki pintu rumah. Sekujur tubuh mati milik nenek kemas diselimutkan. Engkau menyepikan diri sebentar di dalam bilik. Menangis dan terus menangis. Engkau merintih,
“Ya Allah, sungguh! Mati itu benar! Atuk belah ibu dan abah sudah pergi. Tiga tahun lepas, abah pun sudah pergi. Dan hari ini, nenekku pula pergi menghadap-Mu. Ya Allah, kumpulkan mereka dalam kalangan orang-orang beriman dan soleh.”
Malam itu, nenek belah arwah bapa engkau dan beberapa saudara jauhmu datang. Engkau agak terkejut kerana engkau tahu, nenek di kampung itu jua sedang tidak sihat. Engkau sudah lama tidak menjenguknya. Lantaran tiada kenderaan mahu pulang dan sibuk dengan pelajaran. Engkau rindu nenek yang satu lagi itu. Akhirnya, engkau berpeluang bertemunya. Engkau bertanya khabarnya dan berborak dengannya. Jenazah nenek akan dikebumikan pada esok hari.
17.2.2014
Engkau merasa bagaimana mahu memandikan jenazah. Engkau juga melihat bagaimana ibu, makcik dan beberapa saudaramu yang memandikan jenazah nenek bersama, dibantu oleh 3 orang wakil ahli masjid sebagai panduan. Engkau bersyukur kerana engkau diberi peluang.
Usai dikafan, disembahyang dan dikebumikan, engkau tidak putus-puus berdoa. Kenduri tahlil berjalan seperti biasa, 3 hari 3 malam di rumah engkau. Kerana mengikut adat, menghormati saudara-mara engkau yang lebih tua, maka, engkau banyak diam dan hanya mengikut. Alhamdulillah, segalanya berjalan lancar. Moga, ada antara para hadirin yang hadir, doanya dimakbulkan.
Mungkin, bagi insan lain, itu hanyalah nenek. Tak perlu sedih sangat. Tapi bagi engkau, nenek itu adalah salah satu cinta yang menghiasi cinta-cinta dalam hati engkau. Nenek itulah yang engkau rapat. Nenek itulah teman gaduh engkau, teman bergurau senda dan sebagainya. Nenek tak pernah lupa nama engkau dan adik-beradik engkau tapi nenek sering lupa nama-nama insan lain. Nenek itu tinggal di rumah engkau, maka, engkau sudah rasa sebati dengan kehadirannya. Dan, kehilangannya pasti membuat engkau bersedih.
Ramai yang tak tahu keperitan dan liku yang telah dan sedang engkau hadapi. Tak ramai yang tahu betapa engkau telah banyak menangis dan menangis. Hanya Allah Maha Tahu. Tapi ramai yang tahu bahawa senyuman engkau selalu engkau simbah pada insan sekeliling yang engkau kenali. Kerana senyuman itu adalah untuk dirimu sendiri.
Tadah tangan, sedekah al-Fatihah.
Muhasabah Diri
Moga Allah terima amalan kita. Moga Allah ampunkan dosa-dosa kita. Sesungguhnya, mati itu benar! Mati itu pasti! Jangan dikira berapa ramai orang yang meinggal setiap hari, akan tetapi, kiralah diri kita sendiri, berapa banyak bekalan dan persediaan kita untuk nak menghadapi hari kematian diri kita sendiri nanti?
Mati itu penghapus segala kelazatan. Mati juga merupakan peringatan yang paling berkesan buat hati-hati yang hidup. Mati adalah muhasabah buat diri kita sendiri. Mati itu dekat dengan kita.
Syarat untuk mati adalah hidup dan bernyawa. Dna kita ada syarat itu. Kita pasti mati. Lalu, kenapa kita hidup di dunia yang sementara ini seakan mati itu tiada? Kenapa kita hidup dalam keadaan seperti Allah itu tidak wujud untuk memerhatikan kita? Kenapa kita beraksi di bumi ini seakan terlupa akan adanya Syurga dan Neraka?
“Tiap-tiap yang berjiwa pasti akan merasai mati…” (Surah Al-Ankabuut : 57)
Mari, ketuk diri, muhasabah hati. Hidupkan hati agar kita mampu merasa bahawa mati itu pasti! Ingat, mati itu bukan untuk orang tua sahaja, tapi, mati adalah untuk kita semua yang bernyawa. Mari, sediakan diri!