DI PONDOK ITU…

Published July 30, 2014 by wana93

Assalamualaikum semua.

Bismillah. Alhamdulillah, kita masih diberi keizinan oleh Allah untuk bernafas dan meniti hari demi hari. Entahkan sampai bila pinjamanNya ini, hanya Dia Yang Maha Mengetahui.

Sebenarnya, hatiku sudah menyimpan rindu pada sebuah pondok di Kelantan. 17 hari aku meluangkan cuti semesterku di Pondok Tunjong, Kelantan untuk menyertai Daurah Muslimat Pengajian Kitab. Ada 5 buah kitab yang sempat aku pelajari. Tapi sayang, tak sempat habis. Dan, khabarnya akan ada sambungan dalam bulan Syawal ini. Namun, aku tak dapat nak sertainya. Nak pergi daurah yang ni pun kena pujuk ibu untuk beri keizinan nak lepas anaknya ni pergi jauh. Hehe. Alhamdulillah, inilah pengalaman pertama aku berdaurah. Best!

Dari 1 Julai 2014 hinggalah 17 Julai 2014 (hari lahirku), aku berada di sana, jauh daripada ibuku. Kadang, selang dua tiga hari, pasti aku akan telefon ibuku. Bertanya khabarnya, bercerita tentangku di pondok itu dan banyak lagi. Sepanjang aku di sana, bersama sahabatku, banyak yang aku pelajari. Banyak yang menginsafkan diri ini. Saat 17 Julai menjelma, aku merasa bahawa pengalaman berdaurah di pondok itu selama 17 hari adalah hadiah paling bermakna dalam hidupku, hingga saat ini.

Seronok! Setiap hari, aku berkesempatan untuk pergi solat berjemaah di masjid pondok itu kerana jaraknya yang dekat iaitu berhadapan dengan pondok. Aku berkesempatan menunaikan solat sunat Taraweh di Masjid Muhammadi. Juga, dapat berkunjung ke bazar Ramadan di Kota Bharu.

Jika nak dicerita satu persatu, maka, blog ini bukanlah tempatnya kerana ia akan jadi berjela-jela panjangnya nanti. Akan tetapi, disebabkan aku ingin berkongsi ‘sesuatu’ yang aku rasakan bererti dan bermanfaat buat diri ini dan kita semua, maka, akan aku nukilkan ceritera daurah dan jaulahku di Kelantan dalam bentuk puisi. Silakan membaca dengan mata hati. Moga-moga, ada manfaatnya nanti.

Pondok Tunjong, Kelantan

Pondok Tunjong, Kelantan

Di sana..

Aku menemukan suatu hikmah yang sangat berharga..

Bertemu dan berkenalan dengan insan yang lebih kurang seusiaku..

Ada yang sebaya, ada yang muda setahun dua..

Datang dari pelbagai universiti..

Berjurusan itu, berjurusan ini..

Ada yang berkait dengan jurusan agama..

Ada juga yang tidak berkait langsung dengan agama..

Ada yang 30 juzuk sudah terpasak kemas di dada..

Namun dirinya tetap bersederhana dan tidak meninggi diri..

Ada juga yang sudah berumur..

Namun sanggup meluangkan masa untuk menambah ilmu agama..

Ada yang berlatarbelakangkan agama..

Dan ada juga yang baru berhijrah mahu menujuNya..

Ya!

Agama itu sememangnya fitrah..

Hati, diri dan naluri yang masih haus akan ilmu ukhrawi..

Tetap mahu menambah ilmu agama dan mencari wasilah untuk lebih dekat denganNya..

Di sana..

Aku belajar untuk berusaha keluar dari zon hidup selesa..

Aku lebih berdikari, lebih menerima kekurangan..

Aku bersikap lebih terbuka dalam bertukar pendapat bersama mereka..

Dan atmaku terasa tenang dan seronok sekali!

Rasa ini, rasa yang jarang-jarang dapat aku rasai..

Ustaz-ustaz yang mengajar di sana..

Bukanlah calang-calang ustaz..

Ada produk Yaman, Madinah dan sebagainya..

Walau kesihatanku teruji saat seminggu yang terakhir..

Namun, aku gagahkan diri untuk terus hadir ke kelas..

Aku tidak mahu ponteng walau hanya sekali!

Amatlah rugi andai aku bersikap acuh tak acuh sebegitu..

Dan kemuncak pada ujian kesihatanku..

Adalah pada hari ke-18 dan 19..

Badan mula rasa panas, muntah-muntah juga makin menjadi..

Ditambah pula dengan sakit perut yang amat..

Dan alhamdulillah, hari ke-20..

Kesihatanku kembali pulih..

Saat itu, aku sedar, betapa sihat itu satu nikmat!

 

Memori kami di Pondok Pasir Tumboh.

Memori kami di Pondok Pasir Tumboh.

Di pondok itu, aku berkesempatan melawat Pondok Pasir Tumboh. Pondok itu lagi ketat peraturannya. Semua pelajarnya diwajibkan berpurdah.

Di pondok Tunjong itu juga, aku mengenali insan-insan yang berjiwa kental. Yang hatinya kuat bertekad mahu berhijrah kerana Allah. Walau ada antara mereka yang masih merangkak dalam membaca Al-Quran, tidak mahir membaca tulisan Jawi, namun, semangat dan azam mereka untuk datang belajar dan menadah ilmu itu, tetap ada! Aku kagum! Kerana ada saja manusia yang tidak mahu belajar dan tidak mahu ambil tahu langsung tentang Al-Quran dan isinya.

5 kitab yang diajar di pondok itu bertulisan Jawi lama. Bagi mereka yang tidak tahu membaca Jawi, mereka membeli kitab-kitab tersebut dalam versi tulisan rumi. Alhamdulillah, tiap yang susah, ada kemudahannya kan? Tinggal kita saja, nak atau tak nak. 🙂

5 kitab yang dipelajari

5 kitab yang dipelajari

Di pondok itu, ramai juga yang berpurdah. Aku juga ada belajar memakai purdah. Tenang aku melihat mereka. Dan, kebanyakan mereka adalah berasal bukan dari sekolah agama. Kami ada lebih kurang 30 orang. Saat ustaz bertanya, “Siapa yang asal dari sekolah Arab? Sekolah agama?” Tak sampai 10 orang yang angkat tangan. Dan, aku semakin kagum dengan mereka.

Suatu hari itu, aku sangat terkesan dengan penerangan ustaz untuk kitab “Muhimmah”. Kitab yang menerangkan tentang peranan dan tanggungjawab suami dan isteri. Saat itu, ustaz menerangkan tentang hadis Nabi dan cerita Saidina Umar. Andai boleh dibenarkan manusia sujud sesama makhluk, maka Nabi pasti sudah perintahkan supaya perempuan sujud pada suaminya. Dan jika kaki hingga pertengahan mukanya berdarah, bernanah, dan si isteri menjilatnya, itu masih belum tertunai hak suaminya.

Dan, saat itu juga, aku sedar. Hatiku berbisik perlahan, mengingatkanku, “Aku belum layak dan aku sendiri belum mampu untuk memikul sebuah amanah dan tanggungjawab yang BERAT itu. Buat masa ini. Noktah!”

Berat. Dan, tersangat berat.
Jarang kita menitikberatkan dalil-dalil Al-Quran dan Sunnah yang berkaitan dengan hal ini.
Bagaimana peristiwa israk mikraj, Nabi melihat ramai wanita diazab di Neraka.
Kerana apa?
Salah satunya adalah kerana menyakiti suaminya.
Juga kerana berhias untuk orang lain, bukan untuk suaminya.
Banyak lagi. (Boleh baca kitab ‘Muhimmah’. Ada versi tulisan rumi.)

Namun, percayalah.
Bilamana masanya sudah tiba, Allah tahu, saat itu, kita sudah mampu nak memikul sebuah amanah dan tanggungjawab yang BERAT itu.
So, just get ready yourself! Belajar dan teruslah belajar! 🙂

Hari terakhir di pondok itu, ada sedikit majlis perpisahan. Ceramah sempena bulan Ramadan. Daripada seorang ustaz, yang juga merupakan bekas murid di pondok tersebut. Produk keluaran Madinah. Sangat hebat dan sentap butir bicaranya. Lancar menyebut ayat-ayat Al-Quran dan hadis serta menghuraikannya. Segala kata-kata dan nasihatnya, insyaAllah akan aku cuba untuk mengamalkannya.

Antara isi tazkirahnya (saya ambil point saja) :-

– Kesilapan kita adalah kita lalai daripada mengingati Allah.

-Bila berdosa, kita mesti istighfar.

-Baca Al-Quran kerana Al-Quran akan beri syafaat pada para pembacanya pada hari Kiamat nanti.

-Jangan bercakap-cakap hal dunia di dalam masjid. Fokuskan hanya kepada Allah!

-Jaga mak ayah dengan sebaik-baik jagaan. Jangan jadi anak derhaka. Tak cium bau Syurga!

-Semaikan selawat, tanamkan cinta pada Rasulullah. Qiamulail dan selalulah istighfar.

Alhamdulillah, selesai!

Alhamdulillah, selesai!

>> Daurah Muslimat di Pondok Tunjong <<

Banyak lagi memori indah di pondok itu. Usai berdaurah, aku meluangkan masa ke Kota Bharu bersama saudara dan sahabatku. Tak banyak sangat yang aku shoppingkan semasa di Pasar Siti Khadijah dan lain-lain tempat tu lantaran kesihatanku saat itu amat tidak  menyenangkanku. Namun, aku puas hati dan gembira. Alhamdulillah. 🙂

Dan sebenarnya, aku mengimpikan kematianku adalah pada hari lahirku tahun ini, 17 Julai 2014, kerana tarikh itu mulia, berada di dalam bulan Ramadan. Akan tetapi, Allah masih mahu meminjamkan nafas ini padaku. Moga aku dan kita semua dapat menggunakan nikmat pinjamanNya ini untuk mengerjakan ketaatan dan kebaikan, bukan untuk kemungkaran dan kemaksiatan. 🙂

~Tak mudah mencapai darjat solehah pada pandangan Allah, melainkan terus istiqamah dan terus mujahadah!

Selamat Hari Raya Aidilfitri. Maaf Zahir dan Batin.

Taqabbalalallahu Minna Wa Minkum.

Pray4Gaza!

SupprortGaza!

 

Hamba Yang Serba Berdosa,

29/7/2014,

2 Syawal,

Rumahku Syurgaku,

Kampung Delek Kiri, Klang,

Bumi MilikNya.

15 comments on “DI PONDOK ITU…

  • assalamualaikum ukhti..ana nak tanya, daurah tu pihak pondok selalu buat ker? ana rasa berminat nak sertai daurah tersebut. mohon pencerahan daripada ukhti.

  • Hai assalamualaikum, saya ada baca blog awak mengenai sekolah pondok. Boleh saya tahu lagi bagaimana dengan pendaftaran dan bayaran untuk mengikuti kelas belajar kitab?
    -saya harap awak balas dan membantu. Saya betul2 ingin menimba ilmu pondok. Boleh ambil contact fon saya kalau perlu 🙂

    • waalaikumussalam warahmatullah.. saya tak berapa nak tahu sangat tentang itu sebab yang saya pernah join ni, sekali tu saja dalam bulan Ramadan.. jadi, takut ianya berbeza.. mungkin boleh tanya pihak berkenaan..

      ini link Fb Pondok Tunjong di Kelantan..
      https://www.facebook.com/pondok.tunjong

      Moga dipermudahkan urusan di bawah redhaNya..

  • Leave a Reply

    Fill in your details below or click an icon to log in:

    WordPress.com Logo

    You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

    Facebook photo

    You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

    Connecting to %s

    %d bloggers like this: