WANITA : AURAT TERJAGA, MARUAH TERPELIHARA

Published February 11, 2015 by wana93

Assalamualaikum dunia.

Bismillah. Alhamdulillah. Subhanallah. Allahu Akbar.

Apa khabar iman? Moga semakin sihat dan semakin dekat dengan-Nya.

423021_505413022835547_446310517_n

Beberapa hari yang lepas, ketika duduk berdua bersama seorang sahabat perempuan, saya dan dia sempat berbual, berkongsi rasa dan bertukar cerita. Saya dan dia jarang bersua muka sebenarnya. Dan aturan-Nya, kami mula rapat sejak bekerjasama dalam satu program di universiti.

Bila sudah rancak bercerita, tiba-tiba, masuk topik cinta. Bercerita dan berkongsi rasa bahagia apabila ada sahabat-sahabat yang telah pun memasuki gerbang perkahwinan. Alhamdulillah.

Bila saya tanya dia, bila dia nak kahwin, dia akan tanya soalan yang sama pada saya pula. Jawapan kami sama, “Bila tiba saatnya nanti, insya-Allah.” Saya tertarik dengan satu ‘trademark’nya berkenaan lelaki iaitu “ayat jantan”. Mungkin, agak kasar bahasanya sebab dia memang jenis yang ‘gila-gila’ tapi sangat lembut hatinya. Dia selalu bagi idea dan kata-kata yang bernas pada saya.

Dia mula berkongsi cerita.

Bukan dirinya tak pernah ada orang suka atau minat, akan tetapi, dia cuba ‘keras’kan hati dan diri daripada ‘cair’ dengan warkah cinta palsu sang lelaki. Itu yang dia selalu beritahu, “ayat jantan”. Dia ada kawan-kawan rapat yang pernah berkongsi cerita cinta pada dirinya. Pernah ada dua sahabat karibnya, hanya kerana sukakan seorang lelaki yang sama, mereka berdua jadi seperti musuh, berdengki, dan sebagainya. Si lelaki itu pula, sesuka hati dia mempermainkan perasaan orang. Dua-dua dia nak. Tak berlaku jujur pula tu. Akhir sekali, dua sahabat karib itu tak ada apa-apa dah dengan si lelaki. Si lelaki itu pula bertunang dengan perempuan lain. Itu kisah cinta monyet di alam sekolah menengah.

Sahabat saya bercerita lagi. Dia bagaikan sudah ‘masak’ dengan cinta-cinta yang ada di sekelilingnya dari dahulu hingga kini. Macam-macam versi cinta daripada kisah kawan-kawannya ada. Sebab tu, katanya, bila dia berkawan dengan lelaki, dan tiba-tiba, bila si lelaki seakan mahu mengajak kepada perubahan status ‘kawan’ kepada ‘kahwin’, dia seakan mengelak dan cuba mengelak. Katanya, belum bersedia. Katanya lagi, jika benar lelaki mahukan kita, mesti dia dah datang rumah bawa mak ayah dia jumpa famili kita. Baginya, biarlah kawan sekadar kawan. Yang penting, kita pandai dan tahu jaga batasan. Dia ada ramai kawan dan dia memang ‘masuk’ dengan semua jenis manusia.

Hari itu, saya banyakkan mendengar daripada berbicara. Kadang, sedih bila dengar, ada yang kahwin muda, kemudian dilanda masalah, akhirnya bercerai. (Na’uzubillah!)

Saya hanya menambah sedikit isi,

“Kahwin ni, kita, sebagai perempuan, mestilah nakkan itu perkahwinan awal dan akhir kita. Kan? Kahwin ni, bukan soal dunia saja, tapi lebih kepada soal akhirat. Sebab tu, kita kena ‘memilih’ dan ‘banyak songeh’ sikit dalam bab calon suami. Sebab, dia yang akan bimbing dan pimpin kita untuk ke Syurga sana.

Lagi satu, kalau kita dah kahwin, serius, sangat penting untuk kita jaga cerita dan aib suami kita. Jaga diri kita daripada mengeluh, mengumpat suami atau menjaja perihal masalah rumahtangga kita. Pernah ada kes, si isteri selalu mengeluh pasal suami dan rumahtangganya di FB, Twitter dan sebagainya. Akhirnya, bercerai.”

Aurat 1 - Betul

Aurat 2 - Salah

Saya juga ingin kongsikan di sini, luahan rasa seorang sahabat perempuan. Ceritanya ini, buat saya termenung dan terfikir panjang semasa pulang dari Nilai nak ke Telok Gadong, menaiki KTM, tempoh hari.

Usai saya dan dia melaksanakan suatu urusan di sebuah sekolah menengah kebangsaan, kami duduk bersama menunggu teksi.

“Dulu kan, saya tak nak masuk sekolah menengah agama lepas habis UPSR. Alhamdulillah, ayah paksa. Kalau tak, tak tahulah saya jadi manusia ke apa sekarang ni.” Dia mula bersuara.

“Maksudnya?” Tanya saya inginkan pencerahan.

“Dulu masa sekolah rendah kan, kita tak tahu apa-apa lagi, asyik nak ikut kawan saja. Kawan-kawan semua tak nak sekolah menengah agama. Tu yang saya dulu pun tak nak. Tapi, ayah paksa juga sebab semua adik-beradik sekolah menengah agama. Bila fikir balik sekarang, alhamdulillah sangat ayah paksa masuk sekolah menengah agama. Sebab, tengok kawan-kawan kita yang dulu tak nak sekolah agama tu, sekarang, macam-macam dah jadi.” Luah dia.

“Macam-macam jadi? Kenapa? Teruk sangat ke?” Tanya saya lagi. Mahu tahu lebih dalam lagi ceritanya.

“Ayah saya jurunikah. Jadi, memang selalu ada orang datang nak jumpa dengan ayah untuk urusan akad nikah bagai ni. Pernah suatu hari, ayah kepada kawan saya ni, datang. Lepas dah selesai urusan dengan ayah saya, dia pun balik. Ayah saya beritahu yang anaknya, perempuan, kawan saya, nak nikah. Tapi, buat dekat pejabatnya saja. Tak buat secara besar-besaran pun. Sebab, anaknya dah terlanjur. Mengandung sebulan dah.” Perlahan suaranya bercerita. Ada nada sedih di situ.

“Mengandung? Ooo..patutlah nak nikah dekat pejabat saja.. Rasa takut bila dengar macam ni. Selalu baca dekat surat khabar saja. Tapi, bila awak cerita, baru tahu, benda macam ni tak mustahil berlaku pada kenalan-kenalan kita.” Respon saya.

“Ada lagi seorang tu, kena ‘tangkap basah’. Dua kali dah. Yang kali kedua ni, dia dengan lelaki tu kena nikah. Jiran sebelah rumahnya yang beritahu pihak berkenaan sebab dah lama perhatikan, asyik berdua saja dalam rumah sewa tu. Satu lagi kes pula, jumpa ayah sebab nak nikahkan anaknya dengan kawannya. Kawannya tu lebih kurang umur 30-an macam tu. Tak kahwin lagi. Anaknya ni pula, dah pernah kahwin masa umur 17, lepas tu bercerai umur 18. Nak nikah dengan kawan ayahnya ni sebab dah terlanjur.” Akhirinya.

1452466_10151705865646612_877022708_n

Bibir saya asyik mengulang kalimat istighfar. Hati seakan bergetar bila dengar cerita-cerita realiti sebegitu. Bukan lagi cerita dalam drama atau novel. Akan tetapi, inilah cerita ummah hari ini!

Selalunya, kita baca di akhbar berkenaan kes ‘tangkap basah’, ‘remaja terlanjur’, ‘remaja hamil dipaksa nikah’ dan sebagainya. Tapi, bila benda-benda sebegitu berlaku pada kenalan atau sekeliling yang dekat dengan kita, kita akan rasa ‘lain’. Ini realiti, bukan fantasi drama atau novel lagi. Sedarlah, ummah semakin parah! Dan kita, masih berada di zon selesa kita, tanpa berbuat apa-apa, tanpa rasa prihatin malah lebih seringkali hanya menuding jari.

Wanita solehah sepatutnya menjadi perhiasan dunia tetapi sekarang, dunia pula yang menjadi perhiasan wanita.

Sahabat saya ni, dah bertunang. Insya-Allah, bakal berkahwin tahun ni. Saya masih tak berjaya ‘korek’ siapa bakal suaminya tu. Tapi, macam dapat agak, mungkin senior kami. Jeng jeng jeng. ~ ~ Tak apa, kita doakan yang baik-baik saja. Moga dipermudahkan urusan menuju sebuah pernikahan.

Kami muhasabah bersama. Saya meluahkan sesuatu padanya,

“Pernah ada orang tanya saya pasal nikah muda atau kahwin awal. Saya kata pada dia, nikah ni, bukan soal perlumbaan. Bukan soal siapa cepat dia menang, siapa lambat dia kalah! Tapi, nikah ni, soal pembinaan ummah. Bukan umur yang tentukan kita dah bersedia untuk kahwin atau belum, akan tetapi, diri kita sendiri, kematangan kita, persediaan dan tanggungjawab kita tu macam mana. Semuanya ini perlukan pemikiran jangka masa yang panjang, bukan setakat fikirkan kebahagiaan hidup berdua di dunia ini semata!”

Dia juga menambah,

“Saya suka dengan cerita seorang kawan saya ni. Dia jadi fasilitator untuk satu program di luar universiti. Ada lelaki tu, yang uruskan program tu, berkenan dengan dia. Lelaki tu mesej dia untuk datang ke rumah bagai. Dia datang bawa mak ayah dia sekali. Alhamdulillah, kahwin.”

“Ada orang, dia rasa tercabar atau cemburu bila tengok kawan-kawan sekeliling dia dah mula ramai yang bertunang dan berkahwin. Dia rasa dirinya tak laku, lantas mahu cepat-cepat kahwin. Tu pun masalah juga tu.”

Benar. Ada sesetengah yang jenis macam tu. Rasa tercabar, cemburu dan rasa dirinya tak laku. Lalu, dia cuba merendahkan martabat dirinya, daripada seorang yang menjaga kepada seorang yang sudah tidak menjaga, daripada seorang yang pemalu kepada seorang yang sudah tidak ada rasa malu apabila berjumpa dan berhubung dengan insan bergelar lelaki. Semuanya itu sebagai usaha untuk mencari calon suami katanya. Ohh..semudah itukah?

Jika kita belum mampu untuk berkahwin, maka, adalah lebih utama untuk kita mengikut apa yang telah dianjurkan oleh Baginda Nabi s.a.w. iaitu dengan membiasakan diri berpuasa. Kerana puasa itu adalah perisai, boleh mengurangkan keinginan dan mengajar kita untuk bersabar serta memperteguh keimanan dan ketakwaan dalam diri kepada Allah, seperti yang disimpulkan dalam sabda Baginda s.a.w yang bermaksud :

“Hai para pemuda! Barangsiapa di antara kamu sudah ada kemampuan, hendaklah dia berkahwin kerana perkahwinan itu lebih menjamin pandangan dan lebih kuat membentengi kemaluan. Tetapi barangsiapa yang tidak ada kemampuan (untuk berkahwin), maka hendaklah dia berpuasa kerana puasa itu menjadi pelindung kepadanya.” (Riwayat al-Bukhari)

Tertarik dengan status di FB,

“Duduk di kerusi sebagai seorang “sahabat” saya bahagia melihat ramai kenalan menyempurnakan agama. Tetapi berdiri atas title seorang “ustazah” di institusi agama, menyesakkan dada menghadapi dilema kes perceraian yang acapkali disalahkan pada hilang kesefahaman.

Apabila nikah letaknya hanya pada cinta, maka apabila hilang cinta muncullah rasa benci. Apabila diikat 2 jiwa dengan agama, timbullah kekeruhan apa pun, Tuhan akan sentiasa menjadi rujukan dan pilihan disaat kekeliruan. Allahul musta’an. Selamat blaka deh!”

Deep. Sangat deep.

Sebab itulah, Nabi anjurkan ‘AGAMA’ sebagai dasar pemilihan yang UTAMA bagi calon suami/isteri. Bukan kerana cantik/hensem semata, bukan kerana kaya harta semata. Jadi, bagi yang masih bujang (ni pesanan untuk saya sendiri juga), yang masih mencari, carilah ‘YANG BERAGAMA’. InsyaAllah, di situ ada bahagia dan ketenangan yang diimpi. Sebelum ‘mencar’i, sibukkan diri untuk ‘menjadi’ dahulu.

Soal nikah, bukan soal perlumbaan. Siapa nikah awal, dia menang! Siapa nikah lambat, dia kalah! No! Bukan! Tapi, nikah adalah soal amanah, tanggungjawab membina ummah, dan banyak lagi. Bukan sekadar I LOVE U semata. Bukan tentang I + U sahaja. Jika ‘AGAMA’ dalam diri masih terumbang-ambing, lalu, mahu terburu-buru nikah dek kerana mahu berlumba dengan sahabat, maka, apakah natijah sebuah pernikahan itu nanti?

Teruskan belajar dan belajar untuk tafaqquh fiddin.
Tambah amal.
Tambah iman.
Jangan dihabiskan seluruh masa, fikiran, fokus dan persediaan kita ke arah nak tulang rusuk itu, nak tulang rusuk macam ni, nak nikah macam artis tu, nak kaya, nak kereta besar dan lain-lain! Ada perkara yang lebih memerlukan fokus dan persediaan kita iaitu ‘MATI’. 🙂

Teringat rancangan NONA pernah memaparkan kisah si isteri berlaku curang pada suami gara-gara lelaki yang baru dikenalinya di FB. Mula-mula mesej, lepas tu jumpa dan selalu berhubung. Akhirnya, si suami dapat hack FB isterinya, baca semua mesej-mesej cintan-cintun si isteri dengan lelaki itu, si suami pun menceraikannya. Si isteri kini menyesal. Hilang suami dan ditipu oleh lelaki itu.

Kepada yang dah berkahwin : Jaga dan peliharalah rumah tanggamu dengan sebaiknya. Hargai dan syukuri nikmat suami dan isteri masing-masing. Itu amanah dan tanggungjawabmu. Moga kekal bahagia hingga ke Syurga.

Kepada yang belum berkahwin (ingatan buat saya sendiri) : Jaga dan peliharalah dirimu, moga jodohmu juga terpelihara. Lebihkan hati-hati dalam soal hati. Jangan mudah ikut telunjuk syaitan. Hindari ‘mukaddimah zina’. Moga Allah jaga kita semua.

Antara buku yang saya syorkan agar kita, sebagai wanita (lelaki pun KENA baca), MESTI baca dan ambil tahu tentangnya :-

1) HALAL & HARAM DALAM ISLAM – Dr. Yusuf al-Qaradhawi (terjemahan oleh Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri)

2) WANITA DAMBAAN SYURGA : FIKAH WANITA – Mohd Zuhdi Ahmad Khasasi

3) UNTUKMU WANITA – Ustaz Zaharuddin Abd Rahman

4) BILA ZINA MENJADI BUDAYA – Mohd Syamil & Adriana Balqis

5) WANITA SOLEHAH AWAK KAT MANA? – Hikmatul Islam

6) BIDAYATUL HIDAYAH – Imam Ghazali

7) TARBIAH SENTAP – Adnin Roslan

Akhir sekali, untukmu Adam dan Hawa, sama-samalah kita usaha untuk jaga dan pelihara diri kita daripada melakukan maksiat dan kemungkaran. Jangan diundang murka-Nya. ‘Cinta’kah itu andai akhirnya diri dan keluarga mendapat malu? ‘Cinta’kah itu andai akhirnya diri mendapat penghinaan? ‘Cinta’kah itu andai tingkah akhirnya cuba mengundang murka-Nya?

Menundukkan pandangan ialah kunci keselamatan seorang Muslim dalam memelihara hati dan akalnya daripada “taklukan” hawa nafsu.

Jaga mata kita daripada pemandangan maksiat..

Jaga mata kita daripada pemandangan maksiat..

“Katakanlah kepada orang laki-laki yang beriman: “Hendaklah mereka menahan pandangannya, dan memelihara kemaluannya; yang demikian itu adalah lebih suci bagi mereka, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang mereka perbuat”.

Katakanlah kepada wanita yang beriman: “Hendaklah mereka menahan pandangannya, dan memelihara kemaluannya, dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya, kecuali yang (biasa) nampak daripadanya…” (Surah an-Nur : 30-31)

Seorang penyair pernah mengungkapkan :

Mulanya pandangan, lalu senyuman, lalu memberi salam, barulah berbicara lalu berjanji dan duduk bersemuka.

Ya.
Memang cinta itu fitrah.
Tapi, fitrah itu perlu diurus.
Agar tidak terbabas dari landasan yang lurus.

Adakah sama manusia yang mencintai Tuhan dan manusia yang berTuhankan cinta?

1378484_10202418948834788_3772597272813311486_n

Jangan kita hanya sembang kencang, tapi, dalam gerak kerja, kita kecundang!

Bila kalian sudah bertunang, maka, itu bukanlah lesen untuk menghalalkan pegang-pegang tangan, bermanja mesra atau berhubung 24 jam. Jagalah batasan kalian dan jagalah diri kalian daripada dibolak-balikkan hati kerana ujian semasa bertunang juga ada. Jika ada yang cuba mahu ‘mencuri’ diri kalian, maka, ‘pekakkan’ telinga daripada mendengar rayuan-rayuan itu. ‘Butakan’ mata daripada melihat kehenseman/kecantikan yang lain. ‘Bisukan’ lidah daripada memuji kelebihan insan lain. Begitu juga bila kalian sudah berkahwin. Jagalah ia sebaiknya, biar kekal hingga menuju-Nya. Tundukkan pandangan, nescaya kita akan hargai nikmat pasangan halal di depan mata kita dengan penuh ketenangan dan kebahagiaan, tanpa sibuk memandang dan memikirkan insan lain yang tidak halal untuk kita. Yang belum berkahwin pula, lagilah perlu menjaga diri, moga-moga, jodoh kita terpelihara. Tak payah sibuk nak bercinta. ber’couple’, ber’dating bagai. Sibukkan diri kita dengan ilmu, dengan dakwah, dengan tarbiah, dengan turun ke lapangan masyarakat dan buat perkara-perkara berfaedah!

Kahwin bukanlah solusi utama untuk setiap masalah seperti pergaulan bebas, suka tengok gambar atau video-video lucah , suka berhubung dengan berlainan jantina tanpa urusan, suka lepak hingga lewat malam dan banyak lagi, malah, soal masalah itu semua perlu diri selesaikan sebelum menuju sebuah perkahwinan! Jika diri masih di takuk lama, masih dengan perangai lama, masih tidak taubat nasuha, kemudian, mahu berkahwin, apakah benar, selepas berkahwin dia takkan ulangi perkara-perkara itu lagi??

Rasa banyak yang saya nak kongsikan di sini berkaitan wanita, akan tetapi, cukuplah setakat ini dahulu untuk perkongsian kali ini. Insya-Allah, andai ada kesempatan masa lagi, saya akan kongsikan nota-nota penting buat wanita pula.

Boleh baca entri tentang PELIHARA MUKADDIMAH ZINA dan khusus UNTUKMU SAUDARIKU SAYANG. Dialu-alukan juga untuk baca tentang KEHIDUPAN, CINTA DAN PERSAHABATAN. 🙂

Sejujurnya, saya memang dah lama tak menulis soal hati, soal cinta bagai ni. Selalunya, saya sentuh bab-bab ni dalam cerpen saja. Sebab, saya mahu fokuskan diri pada pelajaran yang memerlukan perhatian lebih daripada memikirkan soal hati, cinta bagai ni. Banyak lagi buku dan kitab yang belum saya tekuni. Banyak masa diperlukan untuk memahami ilmu itu dan ini. Akan tetapi, bila dicerita akan kisah-kisah realiti berkaitan wanita yang amat ‘menakutkan’ itu, maka, saya cuba nak buat sesuatu. Kadang-kadang, saya ditanya tentang penyelesaian kepada masalah rumah tangga oleh yang dah berkahwin (di FB), walhal, saya masih belum berkahwin. Masih tak tahu banyak perkara lagi. Namun, kerana saya seorang wanita, dan saya sayang akan kalian, maka, saya cuba kongsi apa yang termampu. Insya-Allah. (Boleh fikir sendiri pasal isu remaja kita yang dipeluk cium oleh K-POP, pasal kes segelintir budak sekolah agama yang terlanjur bagai dan banyak lagi isu sebenarnya. Cuba luangkan masa dan ambil tahu serta buatlah ‘sesuatu’ ikut kemampuan kita. Mulakan dengan diri kita dahulu.)

Ada orang pernah cakap, “Perempuan tak payah belajar tinggi-tinggi. Nanti, ke dapur juga tempatnya.”

Ya. Betul. Ayat kedua tu betul, tapi, ayat pertama tu, saya kurang setuju. Ilmu itu penting. Bukan saja dalam dunia kerjaya, akan tetapi, dalam rumah tangga juga perlu ada ilmu. Jadi isteri, jadi ibu, jadi anak, jadi hamba, segalanya ada ilmu-ilmu tertentu. Ilmu inilah yang akan mengeluarkan kita daripada kejahilan. Ilmu yang kita pelajari inilah yang boleh kita kongsikan pada anak-anak nanti. Ilmu itu pelbagai dan ilmu yang terbaik adalah ilmu mengenal Allah, Pencipta kita.

Auratmu adalah maruahmu. Jaga dan peliharalah ia sebaiknya. Jangan sewenang-wenangnya ditayang dan didedahkan. Jadilah seperti pohon semalu itu. Tetap teguh menjaga maruah diri. Jika didekati lelaki ajnabi. Masih ada duri yang membenteng diri. Biar diajak dan digoda. Namun iman masih teguh di dada. Biar mereka berasa terluka. Itulah benteng perisai hawa nafsu durjana.

392418_205853926185421_100002824457244_330689_1339078092_n

Wanita, dirimu begitu berharga! Wanita adalah perhiasan dunia. Sebaik-baik perhiasan adalah ‘Wanita Solehah’.

Percayalah.

Dengan memperbanyak melakukan perkara-perkara kebaikan, secara automatik, masa untuk melakukan perkara-perkara buruk dan sia-sia, akan berkurang.

Tak perlu tunggu jadi baik, baru nak buat baik. Tapi, buatlah baik dalam usaha nak jadi baik.

“Dan Allah menyukai orang-orang yang berbuat kebaikan.” (3:148)

Masa kita di dunia ini sangat pendek. Tanggungjawab, tugasan dan amanah kita lebih banyak daripada masa yang kita ada. Entahkan sempat, entahkan tidak. Jangan tunggu esok, jangan kata ‘nanti’, tapi, mulakan SEKARANG!

Kita semakin menuju dunia akhir zaman. Jangan terlalu ‘selesa’ dan jangan terlalu ‘tidur lena’. Buka ‘mata’ dan lihatlah ‘dunia’.

Mari sama-sama kita istighfar.

Mari sama-sama kita solat sunat taubat.

Mari, tunduk, patuh dan kembali pada-Nya.

Moga ada manfaat dan hikmah untuk diteladani bersama. Wallahu’alam.

 

Rumahku Syurgaku,

Kampung Delek Kiri, Klang, Selangor,

Galaksi Bima Sakti, Bumi Milik-Nya.

11.30 pm, 10/2/2015

3 comments on “WANITA : AURAT TERJAGA, MARUAH TERPELIHARA

    • terima kasih ats perkongsian yg cukup bermakna sprti sy seorang wanita…
      insyallah noor syazana bakal jd penulis hbat pd msa akn dtg..
      jom sma2 kita ingat matlamat dan tujuan hidup dimuka bumi ni..

  • Leave a Reply

    Fill in your details below or click an icon to log in:

    WordPress.com Logo

    You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

    Twitter picture

    You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

    Facebook photo

    You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

    Google+ photo

    You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

    Connecting to %s

    %d bloggers like this: