BERSUNGGUH MEMOHON KEAMPUNAN TUHAN

Published June 25, 2016 by wana93

Alhamdulillah. Nikmat di bulan Ramadhan. Kita masih diberi ruang dan peluang olehNya untuk menghirup udara dan bernafas serta nikmati malam-malam akhir di bulan mulia ini.

“Hai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertakwa.” (Surah Al-Baqarah : 183)

Kita semua sedar dan tahu, bahawa takwa adalah salah satu misi yang perlu dicapai dalam menjalani fasa puasa ini.

Daripada Abu Dzar Jundub bin Junadah dan Abu Abdul Rahman Mua’dz bin Jabal r.a. meriwayatkan, bahawa Rasulullah SAW bersabda (maksudnya) : “Bertakwalah kepada Allah di mana sahaja engkau berada. Ikutilah segera kejahatan dengan kebaikan, necsaya kebaikan itu menghapuskannya, dan bergaullah sesama manusia dengan budi pekerti yang baik.” (Riwayat Ahmad, al-Tirmizi dan al-Hakim)

Takwa dari sudut makna umunya adalah takut kepada Allah. Umar Bin Abd Aziz berkata : “Bukanlah takwa semata-mata puasa siang hari, qiam pada waktu malam dan bergabung antara keduanya, tetapi takwa yang sebenar meninggalkan apa yang dihramkan Allah dan menunaikan perintah Allah.”

Talq Bin Habib pula berkata : “Takwa ialah kamu beramal untuk mentaati Allah atas cahaya daripada Allah yang kamu harap pahala Allah. Kamu meninggalkan maksiat atas cahaya daripada Allah kerana kamu takut azab Allah.”

Mu’az Bin Jabal R.A. berkata : “Orang yang bertakwa ialah mereka yang takut kepada syirik iaitu beribadat kepada berhala dan benar-benar mengikhlaskan semata-mata kerana Allah dalam ibadat.”

“Sesungguhnya perbuatan-perbuatan yang baik itu menghapuskan (dosa) perbuatan-perbuatan yang buruk. Itulah peringatan bagi orang-orang yang ingat.” (Surah Hud : 114)

Buatlah kebaikan sentiasa. Balaslah kejahatan orang pada kita dengan kebaikan. Jangan sesekali kejahatan atau keburukan dibalas dengan kejahatan atau keburukan juga.

tasbih.jpg

Mujahadah Nafsu

Misi mencapai takwa tidak semudah bicara dan tulisan. Ianya memerlukan mujahadah dan kesanggupan yang tinggi dari seorang hamba untuk Sang Khaliq (Pencipta). Berapa ramai yang hidupkan saki baki Ramadhan, 10 malam terakhir dengan I’tikaf, zikir, baca Al-Quran, qiamullail dan yang sewaktu dengannya?

Berapa ramai juga yang semangat rayanya berkobar-kobar di akhir-akhir Ramadhan ini, sakan membeli-belah di malam hari, sakan bermain mercun dan bunga api, sakan mendengar lagu-lagu raya? Ramai yang mencari Lailatul Qadar di pusat membeli belah kerana masa inilah harga baju raya, kuih raya, perabot semuanya berdiskaun! Khemah jualan di tepi jalan dipenuhi dengan manusia. Hingga lewat malam. Pulang 2 ke 3 pagi. Kemudian terus lena kepenatan. Dinihari berlalu begitu saja. Sepi. Kosong. Sedang Ramadhan juga semakin melangkah pergi, berlalu ingin meninggalkan kita.

Jika dalam bulan-bulan lain, hari-hari lain, kita sering beralasan itu dan ini untuk menghadap, membelek dan membaca Al-Quran. Apa salahnya 10 malam terakhir ini kita sibukkan diri dengan membaca dan menghayati isi surat cinta Ilahi? Kalau bukan hari ini, kalau bukan sekarang, bila lagi? Yakinkah kita akan bertemu dengan bulan mulia ini di tahun akan datang? Tiada siapa dapat menjamin berapa panjang usia umurnya.

Jika dalam bulan-bulan lain, hari-hari lain, kita sering mengalah dan turutkan nafsu sahaja. Apa salahnya kita kuatkan jati diri dalaman kita di akhir Ramadhan ini untuk melawan nafsu diri sendiri? Sampai bila mahu turutkan nafsu? Sampai bila mahu bermalasan dalam beribadah? Sampai bila mahu terus tenggelam dalam lautan maksiat? Sampai bila mahu terus selesa dan seronok dalam maksiat?

Nafsu yang bersifat khianat, hendaklah kita membuangnya dan sempitkan segala dorongannya. Mujahadah nafsu merupakan sepayah-payahnya kerana mujahadah yang lain tidak dapat dilakukan tanpa mujahadah nafsu. Dua perkara dalam mujahadah nafsu :-

  • Perbuatan taat.
  • Meninggalkan maksiat.

Benarlah kata Zu al-Nun al-Misri : “Sesungguhnya masuknya kerosakan kepada makhluk dengan sebab enam perkara :

  • Lemah niat dan azam untuk beramal dengan akhirat.
  • Jadilah tubuh badan mereka tergadai untuk nafsu syahwat mereka.
  • Mereka dikalahkan oleh panjangnya angan-angan beserta dekatnya ajal.
  • Sanggup berkorban untuk keredhaan makhluk daripada keredhaan Khaliq.
  • Mengikut hawa nafsu dan meninggalkan sunnah Nabi SAW mereka.
  • Mereka menjadikan gelincir lidah sebagai hujah dan menyembunyikan kelebihan.”

“dan janganlah kamu mengikuti hawa nafsu, karena ia akan menyesatkan kamu dari jalan Allah.” (Surah Saad : 26)

Bersungguh Memohon Keampunan Tuhan

Di bulan yang mulia ini, berbaki 10 malam terakhir ini, marilah sama-sama kita bersungguh-sungguh memohon keampunan Tuhan kita. Sungguh, Dia Maha Penerima Taubat! Dia Maha Pengampun!

Jangan sesekali kita sombong untuk berdoa dan meminta padaNya. Jangan juga kita lokek untuk berzikir padaNya.

Sabda Nabi SAW (maksudnya) : “Setiap anak Adam itu melakukan kesalahan dan yang terbaik dari kalangan yang melakukan kesalahan itu adalah yang bertaubat.” (Riwayat al-Tirmizi dan Ibn Majah)

“Hai orang-orang yang beriman, bertaubatlah kepada Allah dengan taubat nasuha, mudah-mudahan Tuhan kamu akan menghapus kesalahan-kesalahanmu..” (Surah at-Tahrim : 8)

Taubat nasuha?

Ibn Kathir telah berkata di dalam tafsirnya : “Ertinya ialah taubat yang benar dan tegas, yang dapat menghapuskan kesalahan-kesalahan lalu, menghuraikan kekusutan orang yang bertaubat, menghimpunkan dan menyucikan kekotoran yang dilakukannya.”

Al-Hasan Al-Basri berkata : “Ia bererti seseorang hamba yang menyesal terhadap kesilapan lalu dan berazam tidak mengulanginya.”

Muhammad Ibn Ka’ab al-Qurazi berkata : “Ia (taubat nasuha) mengandungi empat perkara :

  1. Istighfar dengan lidah.
  2. Meninggalkan dengan anggota.
  3. Berazam tidak kembali melakukannya dengan penuh perasaan.
  4. Menjauhkan diri daripada teman-teman yang buruk.”

Semoga di dalam fasa Ramadhan yang masih berbaki ini, kita dapat manfaatkan sama-sama untuk mencapai takwa dan memohon keampunanNya di samping menghidupkan malam-malam terakhir dengan amal ibadah untuk bertemu dengan Lailatul Qadar. Satu malam yang lebih baik daripada seribu bulan.

Lailatul Qadr  Wallpapers.jpg

 

Semoga bulan ini juga dijadikan bulan untuk kita mentarbiah diri kita ke arah yang lebih baik dan bersedia fizikal mental spiritual dan sebagainya untuk menghadapi bulan-bulan akan datang. Moga redha Allah sentiasa memayungi kita semua. Wallahua’lam.

13501917_10204956087221662_2480116947660354653_n

Doa khusus yang diajar Nabi SAW kepada Aisyah yang bertanya soalan khusus kepada Baginda berkenaan doa yang petut dibaca apabila bertemu malam Lailatul Qadar. Jom amalkan bersama. 🙂 

#TarbiahRamadhan

#MogaMisiTakwaTercapai

11.00 pm

25/6/2016

Rumahku Syurgaku.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: