PERKONGSIAN : PELAJAR TAHUN AKHIR & ‘THESIS’ SERTA LATIHAN INDUSTRI

Published September 13, 2016 by wana93

Bismillah..

Assalamualaikum dan apa khabar para pembaca semua? Sudah lama saya menyepi kan? Menyepi sebentar saja daripada blog ini. Di Facebook, saya masih seperti biasa. Insya-Allah. Terima kasih pada beberapa pembaca blog ini yang ada menghantar mesej pertanyaan dan perkongsian di Inbox FB saya. Maaf kerana ada yang saya lambat respon    dan balas.

Untuk kali ini, saya ingin berkongsi satu jawapan yang agak panjang daripada persoalan yang dilontarkan oleh para junior, khususnya yang sedang berada di tahun akhir. Kebanyakan soalan mereka berkisar tentang :-

“Akak, boleh kongsi tak tips nak buat tesis yang berkualiti dan macam mana pemilihan tempat kita nak praktikal nanti?”

“Akak, boleh tak bagi taujihat sedikit berkenaan tesis. Dah jadi pelajar tahun akhir ni, macam-macam benda nak kena fikir.”

“Akak, tempat kita praktikal nanti akan sama dengan bidang kita ni ke?”

Ada beberapa lagi soalan yang sama waktu dengannya. Walaupun saya bukanlah pelajar terbaik pun dalam pengajian saya, tapi, bolehlah kongsi apa yang saya tahu dan ada pengalaman di dalamnya. Insya-Allah.

PELAJAR TAHUN AKHIR & ‘THESIS’

img_20160122_152220

Gambar ‘thesis’ yang telah lengkap dan sedia untuk diserah kepada SV.

Bila dah bergelar pelajar tahun akhir, kita dah boleh ‘pencen’ daripada kesibukan persatuan-persatuan di universiti. Beri peluang pada adik-adik junior pula untuk merasa dan mengasah ‘soft skill’ dalam diri mereka. Jika mereka perlukan bantuan, dorongan dan nasihat, sila jangan lokek. Luangkan masa untuk bersama mereka. Tapi, jangan pula langsung tak ikuti majlis-majlis ilmu yang ada di sekeliling kita. Jika ada ruang dan peluang, pergilah! Boleh menambah ilmu dan menjadikan kita seorang yang cinta akan majlis ilmu.

Seterusnya, inilah masa yang paling seronok untuk kita fokus dan bersungguh-sungguh. Bukanlah maksudnya sebelum ni tak payah fokus pun boleh. Maksudnya, fokus dan kesungguhan kita akan lebih meningkat bila kita dah kurang atau dah ‘pencen’ daripada dunia persatuan dan yang sewaktu dengannya. Seronok dapat berlama-lama di perpustakaan, mencari bahan-bahan kajian, berdiskusi dengan sahabat sepengajian dan pelbagai aktiviti lagi.

Waktu ini juga kita sudah semakin serius dalam menguruskan jadual harian kita. Buat ‘chekclist’. Setiap hari, tugasan kita akan semakin banyak. Selalunya, ‘assignment’ dan ‘presentation’ saja, tapi tahun ini, tahun akhir, kita ditambah dengan satu lagi tugasan berat iaitu kajian penulisan ilmiah atau ‘thesis’. Tugasan ini jika dipandang remeh, akan menghasilkan natijah yang tidak bagus. Jika kita tidak serius melaksanakannya, maka, akan datanglah masalah seperti tidak cukup masa nak buat ‘thesis’, tak cukup bahan dan pelbagai lagi alas an yang bakal kita berikan kelak. ‘Thesis’ kita adalah tanggungjawab kita! Buatlah sehabis baik untuk menjaga kualitinya!

Saat ini juga, kita diajar untuk membaca dan mengorek kajian-kajian lama yang pernah menyentuh isu atau ada kaitan dengan tajuk kajian penulisan ilmiah kita. Sebab itu kena pandai cari dan bahagikan masa. Tak ada ruang untuk bermain-main sakan dah!

Bila kita mulakan awal, mula mencari bahan awal, menulis awal, urusan kita akan mudah selepas itu. Supervisor boleh semakkan kita punya dahulu untuk kita betulkan apa-apa yang salah dan tak kena. Kemudian, boleh kita terus untuk langkah seterusnya pula. Jika kita buat lambat, baru nak bagi SV semak semasa tarikh akhir dah nak tamat, memang jawabnya ‘Takdang nak semaklah! Lantaklah! Aku hantar jelah! Tawakkal!’. Itu sepatutnya tidak berlaku apabila kita sudah berada di tahun akhir. Malah, adab dengan guru/pensyarah/SV juga sepatutnya semakin tinggi dan semakin beradab.

Hubungan dengan SV dan pensyarah sangat penting. Bukan mudah seorang murid nak dapatkan keberkatan seorang guru. Antara adab-adab dengan syeikh (guru) ialah :

  • Jangan memaki guru
  • Jangan sakiti guru
  • Jangan sakiti hatinya
  • Jangan takbur dan sombong dengan guru
  • Jangan tinggikan suara dengan guru
  • Jangan bermasam muka dengan guru
  • Jangan menghina guru

Ini antara adab yang dikongsi di dalam buku ‘Tinta Nasihat untuk Penuntut Ilmu’ oleh Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri. Ini antara buku yang sangat saya suka untuk menyelaknya berkali-kali, bagi memotivasikan diri di kala malas menjelma dan bagi menaikkan semangat diri untuk terus menadah ilmu kerana-Nya. Selain itu, saya suka syorkan pada kalian, penuntut ilmu, untuk kita memiliki dan baca serta hadam buku ‘Ikon Syabab’ dan ‘Ikon Syabab 2’ oleh ustaz Umar Muhammad Noor. Pelbagai cerita dan tokoh remaja terdahulu yang telah berjaya menggoncang dunia dengan kuasa muda mereka secara berilmu, beradab dan memiliki peribadi Islam yang hebat. Buku ini menjadi inspirasi buat diri yang sering leka dan alpa. Tanpa ikon yang menjadi ikutan, seorang remaja boleh karam dalam lautan hiburan yang melalaikan.

LATIHAN INDUSTRI

img-20160610-wa0008

Saya dan sahabat praktikal USIM. Saat ini, kami ditugaskan untuk program luar.

Bukan semua orang bertuah, akan dapat tempat latihan industrinya sama dengan bidang pengajiannya. Namun, itu bukanlah alasan untuk kita tidak berusaha mencari dan memohon bahagian latihan industri. Bila sebut berkenaan ‘Latihan Industri’ atau tempat kita bakal bakal berpraktikal, maka, yang utama sekali adalah kemahiran ‘soft skill’. Di sini letaknya kelebihan pelajar-pelajar yang pernah aktif berpersatuan dan berprogram sewaktu menjalani liku-liku kehidupan sebagai seorang mahasiswa. Banyak sebenarnya kemahiran yang kita dapat apabila kita bergerak aktif atau melibatkan diri di dalam persatuan dan program-program. Antaranya, kemahiran berkomunikasi, kemahiran bekerjasama secara pasukan, kemahiran membuat surat rasmi, kemahiran menguruskan program dan pelbagai lagi.

Kemahiran-kemahiran inilah kebanyakannya digunakan di dalam fasa ‘internship’ kita. Kita tidak dilatih terus untuk berdebat berkenaan perbandingan agama jika kita berada di bidang itu. Kita mungkin diarah untuk menganjurkan sebuah seminar berkenaan perbandingan agama. Di situ, kemahiran menguruskan program, komunikasi dan surat-menyurat sangat penting. Itu pun jika kita berada di atas gelanggang latihan industri yang berkaitan.

Jika tidak, kita boleh jadikan sesuatu itu sebagai ilmu baru dan tambahan dalam diri kita. Sebagai contoh, saya sendiri, menjalani latihan industri di Majlis Agama Islam. Walau bahagian yang saya ditempatkan itu ada sedikit kaitan dengan bidang, namun, banyaknya adalah tidak ada kaitan. Saya belajar untuk berhadapan dengan asnaf, terkadang kena marah dengan asnaf, keluar menguruskan program bersama pegawai, mencatat minit mesyuarat, mengambil aduan kes dan lain-lain lagi. Semua itu tidak dipelajari di alam universiti akan tetapi diambil sebagai satu bidang ilmu yang baru. Lagi pula, semasa latihan industri, saya banyak juga terlibat dengan program-program luar. Jadi, pengalaman serba sedikit yang ada semasa melibatkan diri dengan persatuan dan program di univerisiti, diaplikasi dan dimanfaatkan sebaiknya. Jangan difikir itu adalah sia-sia. Tidak sama sekali!

Saya masih ingat, bulan pertama semasa praktikal, saya menerima beberapa mesej daripada sahabat-sahabat seperjuangan untuk meminta contoh kertas kerja dan laporan serta minit mesyuarat. Ada dalam kalangan mereka ditugaskan untuk membuat kertas kerja program. Sebab apa mereka minta pada saya? Sebab saya pernah dan selalu kena jadi S/U semasa di universiti dulu. Saya kongsi dan bagi sajalah apa yang ada. ‘Sharing is caring’. Jangan pernah merasa bahawa diri kita ini sempurna, tiada cela. Jangan sesekali memandang rendah akan seseorang. Selalulah bersangka baik dengan semua orang.

Saya masih ingat, dulu, semasa berada di tahun 1 dan awal tahun 2, saya tidak aktif. Akhir tahun 2 rasanya baru saya cuba-cuba untuk libatkan diri dengan program dan persatuan. Permulaan saya adalah dengan menjadi MC bersama sahabat-sahabat lain untuk program Seminar Kebangsaan Pengajian Akidah Dan Agama. Selepas itu, saya terinspirasi dengan beberapa senior yang sangat komited dalam menuntut ilmu. Suka pergi daurah, rapat dengan pensyarah dan tuan-tuan guru, suka ke majlis ilmu dan sebagainya lagi. Sejujurnya, (saya harap senior-senior tak baca post ni.haha) saya suka tengok perkongsian di FB senior-senior yang saya sebutkan cirinya tadi. Antaranya, senior Razif Fuad, senior Amin Suhaimi, senior Syed Hashim (lebih dikenali dengan Man Ana Man Anta), senior Hakimi Salleh, senior Amir Syazani dll. Asyik lelaki saja, perempuan tak ada ke cik kak oi?

Mestilah ada. Antara yang saya suka ‘stalk’ FBnya dan punya ciri-ciri di atas juga adalah senior kak Siti Najwa Lothpi, senior kak Rafezza, senior kak Afifah dll. Dan saya terjumpa satu video di Youtube masa tu, rakaman ziarah geng senior Razif Fuad dan senior Amin bersama seorang tuan guru di Kedah. Mereka juga terkenal dengan geng kitab atau geng ulat buku. Dari situ, saya rasa sangat cemburu! Cemburu sebab mereka sukakan ilmu dan rajin dampingi guru! Mereka sentiasa sibuk dengan ilmu! Saat itu, saya juga berazam untuk contohi mereka, apa yang saya mampu kerana saya seorang perempuan. Jadi, banyak batasannya. Namun, apa yang baik dan boleh dijadikan contoh, kita ikuti. Kan? Sebab tu saya gembira dan sayang geng-geng saya yang sudi dan rajin teman ke majlis ilmu, daurah, bedah kitab dll. Terima kasih sahabat-sahabatku sayang!

“Dan katakanlah : Wahai Tuhanku! Tambahkanlah untukku ilmu.” (Surah Toha : 114)

Seorang ulama tabiin, Abu Nasr Yahya Bin Abi Kathir al-Yamani, pernah berkata, “Seseorang itu tidak mampu menguasai ilmu dengan kerehatan tubuh badan.”

Nasihat akhir saya, jangan terlalu memilih tempat praktikal. Namun, jangan terlalu jauh atau lari sangat daripada bidang kerana kita akan ditugaskan untuk membuat laporan dan membentangkan hasil latihan industri kita serta mengaitkannya dengan bidang kita. Kalau lari jauh sangat, takut kita yang tak ada idea untuk diisi dalam laporan dan pembentangan pula nanti. Kerana semua itu diambil kira oleh SV masing-masing. Contohnya, kita ambil bidang agama, tetapi melakukan latihan industri di kedai fotostat saja. Lantaran malas mencari dan memohon tempat praktikal yang lebih sesuai.

Bila dah berjaya mohon tempat praktikal, buatlah sehabis baik. Baik dengan pegawai, bos, dan sekeliling. Tak rugi pun buat baik. Bila tak tahu atau kurang jelas, terus tanya minta pencerahan. Jangan berdiam diri saja. Bila tengah tak ada kerja nak buat, tanya dan mintalah kerja! ‘Masukkan’ diri kalian dalam suasana kerja mereka.

Selain dampingi guru atau pensyarah, rapatkan diri juga dengan para senior! Selain ukhuwah, banyak perkara kita boleh belajar dan kutip daripada mereka.

Semoga perkongsian yang sedikit ini, ada manfaatnya untuk para pembaca, khususnya pelajar tahun akhir. Selamat menyiapkan ‘thesis’ kalian! Cintailah ‘thesis’ kalian, nescaya kalian pasti akan melakukan yang terbaik untuknya!

Semoga berjaya dunia dan akhirat. Doakan saya juga.

Wassalam..

Rumahku Syurgaku,

Malaysia,

Galaksi Bima Sakti.

12/9/2016

10.37 pm

 

Advertisements

2 comments on “PERKONGSIAN : PELAJAR TAHUN AKHIR & ‘THESIS’ SERTA LATIHAN INDUSTRI

  • Leave a Reply

    Fill in your details below or click an icon to log in:

    WordPress.com Logo

    You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

    Twitter picture

    You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

    Facebook photo

    You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

    Google+ photo

    You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

    Connecting to %s

    %d bloggers like this: