Alhamdulillah. Alhamdulillah. Alhamdulillah.
Tarikh 20/11/2016 telah menjadi satu tarikh yang mencipta kenangan indah dalam diari hidupku selama 23 tahun umurku (setakat ini). Hari Graduasi buat aku dan sahabat-sahabatku di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).
Kebanyakan pelajar memang gembira saat bergraduasi. Gembira kerana telah berjaya tamatkan belajar setelah hampir 4 tahun berhempas pulas. Hari Graduasi juga amat memberi makna dan bahagia pada insan bergelar ibu dan bapa. Mereka bahagia kerana anak mereka sudah tamat belajar, sudah berjaya dan sudah semakin membesar. Mereka bahagia kerana tidak sia-sia penat lelah mereka mencari nafkah untuk menampung sara hidup anak mereka, pelajaran anak mereka dan pelbagai lagi. Hari Graduasi hanya secebis hadiah seorang anak kepada ibu bapanya.
Mungkin, sesetengah orang suka mengeluarkan kata-kata perli, berbunyi,
“Gembira sangat konvo tu, dah ada kerja tetap ke?”
Ya, mungkin kadang itu adalah gurauan. Jika saya yang kena pun, saya cuba untuk tidak terasa hati. Rezeki milik-Nya. Bukan kita tak usaha mencari. Bukan kita tak pernah langsung ‘apply’ mana-mana. Bukan kita tak pernah dipanggil ke temuduga dan peperiksaan bertulis. Takkan nak jawapan secepat itu? Lagi satu, bukan semua orang suka bekerja, ada yang suka mencipta peluang pekerjaan kepada orang, ada yang suka bekerja secara sendiri. Ada yang suka nak jadi usahawan bisnes. Tak semua suka kerja pejabat, ada yang suka menulis, ada yang suka menghadap laptop mereka grafik, ada yang suka berkebun, ada yang minat ‘photographer’. Ada yang dapat kerja sementara untuk jadi guru, itu pun rezeki. Jangan sesekali pandang remeh pada sekecil-kecil rezeki. Syukur selalu.
Mereka dulu pun merasa konvo dan gembira. Bila tiba hari kita, salahkah kita nak raikan kegembiraan ini?
Bagi saya, kegembiraan ini khas untuk ibu. Saya sudah tidak punya abah. Al-Fatihah buat abah. Ibu saya adalah ibu dan abah saat ini. Insan yang telah melahirkan diri ini. Yang telah banyak berkorban harta, masa, jiwa dan raga untuk anak-anaknya. Yang telah banyak menempuh liku dan onak duri ujian sendirian tanpa suami di sisi. Hanya anak penguat jiwa dan hati si ibu. Memang ibu tak pernah tahu bahawa anaknya ini pernah menangis semasa belajar di universiti, anaknya ini agak sibuk dan aktif berpersatuan, anaknya ini pernah ‘down’ dalam belajar, namun, itu semua tidak diri ini cerita. Tapi, percayalah. Kita tak cerita pun, ibu tahu juga. Bila kita balik, ibu bagi kata semangat dan nasihat. Bila tengok kita tak keluar bilik sebab menaip assignment bagai, ibu ketuk bilik ingatkan suruh makan dulu. :’)
APA MISI SELEPAS GRADUASI?
Jika ditanya secara peribadi, misi saya selepas graduasi ada 3 perkara yang menjadi prioriti saya. Pertama, saya sangat berhajat untuk sambung ke peringkat Master. Doakan saya. Kedua, saya nak focus bangunkan team bisnes Hamare di samping saya nak mencari peluang pekerjaan dahulu kerana masih permulaan. Misi saya dan sahabat-sahabat dalam Hamare sangat besar. Bukan mudah nak lalui tempoh 3 tahun survive. Mudah-mudahan Allah redha. Doakan kami. Saya nak belajar sambil bekerja jika ada rezeki, ruang dan peluang. Lagi satu, meraikan harapan ibu. Ketiga, saya nak berbakti pada masyarakat. Wadahnya pelbagai. Jadi, saya cuba posisikan diri saya di dalam wadah yang sesuai, insya-Allah. Mudah-mudahan. Sekarang, masih berkhidmat di tempat praktikal dahulu. Alhamdulillah, banyak pengalaman hidup yang saya dapat apabila berada di sana. Dari sudut pemfailan, sistem, komunikasi bersama golongan yang sosial dan bermasalah serta banyak lagi. Doakan saya.
Kahwin? Ya. Itu fitrah. Jika datangnya saat waktu yang tepat, orang yang tepat dan keadaan yang tepat, sudah pasti kita menerima, bukan? Kahwin bukan soal siapa cepat, siapa lambat. Jika belum masanya, sabarlah. Just go with the flow. Usaha perbaiki diri dan tambahkan ilmu lagi, mudah-mudahan kita akan dapat capai rasa cinta yang mendalam terhadap-Nya dahulu, sebelum hadir si kekasih halal di sisi kita nanti. Kan? Tahniah dan selamat pengantin baru pada yang baru berkahwin. Hadiah konvo mereka ada yang dah dapat suami, isteri dan juga anak. Tahniah!
Bagi yang masih ‘jomblo happy’ macam saya, kita juga wajib bersyukur. Jangan bersedih. Rezeki itu mestilah kita luaskan maknanya. Tidak terhenti pada makna material dan kahwin saja. Tapi, rezeki juga datang dalam pelbagai aspek. Kesihatan, kebahagiaan, kawan-kawan yang baik, dapat pergi travel ke luar negara, dapat guru yang baik, dapat keluarga yang penyayang, dapat tadah kitab dengan murabbi, itu semua adalah rezeki. Syukuri dan hargailah.
Jasa guru dan pensyarah jangan sesekali dilupa. Sentiasa jaga hubungan dengan mereka. Pastikan adab adalah nombor satu.
Antara secebis pesanan yang sangat mendalam maknanya dan boleh dijadikan panduan kita adalah nasihat daripada seorang senior yang saya kagum dan cemburu dengannya. Kagum dan cemburu dengan ketekunannya dalam menuntut ilmu.
“Ala kulli hal, pesanan dan peringatan dari saya sebagai hamba Allah yang dha’if dan masih jahil ni, agar terus menuntut ilmu walaupun setelah bergelar graduan, kerana pada pengalaman dan kajian saya, apa yang kita belajar di universiti bukanlah banyak mana dan tak sedalam mana, tapi yang akan membuatkan tahap pengetahuan dan ilmu kita itu meningkat ialah dengan proses pembelajaran yang berterusan.
Oleh itu, teruskan pembacaan,teruskan ulangkaji, mengajar dan menulis ilmu2 yang telah kita pelajari kerana proses nak menjadi seorang berilmu itu bukanlah sekejap. Jangan kita berpegang kepada sijil yang kita ada kerana kalau kita berbuat demikian maka kita ditipu oleh luaran.
Saya dah hampir 6 tahun grad masih lagi teruskan proses belajar, apa yang saya nasihat itulah yang saya amalkan sejak grad sampai sekarang. Subhanallah, saya nampak apa yang saya belajar lepas grad dengan apa yang saya belajar masa di universiti, ilmu terlalu luas, jangan sesekali stop belajar walaupun tak sambung belajar.
Saya tak pernah pegang ilmu seseorang bergantung pada sijil yang dia ada, sekarang saya makin nampak hakikat tu.”
ILMU
Bila berbicara tentang ilmu, saya selalu teringat satu kata-kata ulama’ dahulu, seorang ulama tabiin, Abu Nasr Yahya Bin Abi Kathir al-Yamani, pernah berkata, “Seseorang itu tidak mampu menguasai ilmu dengan kerehatan tubuh badan.”
Antara poin yang pernah saya kongsikan bersama junior saya dalam bab ilmu, suka saya sarankan pada mereka untuk membaca 4 buku asas ini, iaitu :-
1) Aku, Buku Dan Cinta (Tulisan Dr. ‘Aidh Abdullah Al-Qarni)
2) Tinta Nasihat Untuk Penuntut Ilmu (Tulisan Dr. Zulkifli Al-Bakri)
3) Ikon Syabab (Tulisan ustaz Umar Muhammad Noor)
4) Ikon Syabab 2 (Tulisan ustaz Muhammad Noor)
Ini antara buku yang suka saya baca, bilamana ingin dapatkan semangat dan motivasi diri dalam mencari mutiara ilmu.
Untuk menulis sesuatu pula, sasterawan negara kita, A. Samad Said berpesan, perlu ada 4 perkara, iaitu :-
1) Membaca
2) Membaca
3) Membaca
4) Menulis
Tulislah yang baik-baik, agar natijahnya juga yang baik-baik. Menulis untuk Syurga, melukis juga untuk Syurga.
Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud : “Sesiapa yang Allah menghendaki kebaikan baginya maka dia diberikan kefahaman dalam agama..” (Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)
Teruskan belajar dan belajar, hingga hujung nyawa! Jalan kita masih panjang, namun umur kita sangat pendek. Manfaatkanlah sebaiknya.
‘Selesai graduasi, bukan bermakna langkah ini sudah terhenti. Malah, langkah ini akan terus mendaki, untuk mengutip mutiara ilmu, yang sangat luas di muka bumi ini. Semoga dapat dimanfaatkan buat diri, keluarga dan ummah. Doakan.’
Masih budak jahil,
Graduan Ijazah Sarjana Muda Pengajian Akidah Dan Agama,
Universiti Sains Islam Malaysia.
all the best syazana love u muah ;p
Thanks ye my frend.. 🙂 bittaufiq too..