“HAAA??! RAMAI BUDAK-BUDAK PENGKID?!”
Itu reaksi pertama aku saat aku dan beberapa sahabat terjebak dalam satu program sosial bersama remaja. Waktu itu, aku sendiri tak tahu macam mana aku dan sahabat-sahabatku boleh terlibat sama jadi peserta.
Rupa-rupanya, apa yang aku dapat tahu adalah, program itu merupakan program jati diri dan semacam pemulihan juga, untuk remaja-remaja yang pengkid dan juga Gay. Bayangkan, aku termasuk sahabat-sahabatku saja yang memakai tudung. Yang lain semuanya remaja perempuan yang ‘free hair dan kebanyakannya berambut pendek. Ala-ala lelaki sikit.
Beberapa orang peserta remaja lelaki juga terlibat sama. Waktu itu, aku masih tingkatan 5, jadi, agak ‘culture shock’ jugalah. Iyalah, dah dapat tahu hakikat sebenar program tu. Memang menyeramkan! Bahaya! Bayangkan, dapat serumah dengan pengkid, yang sememangnya mereka ada kecenderungan untuk suka kepada perempuan. Pengkid berbeza dengan tomboy tapi berada di bawah kumpulan yang sama iaitu di bawah istilah Transgender. Transgender bukanlah bermaksud tukar jantina sahaja. Ianya juga istilah yang memayungi kumpulan mak nyah, pengkid, tomboy, transeksual,transverstit atau cross dresser, drag queen atau drag king dan lain-lain lagi.
Masa tu, aku dan sahabat-sahabatku terus fikir sesuatu. Cara nak lepaskan diri daripada program ini. Programnya 2 hari 1 malam tak silap aku. Memang kena bermalam. Malam tu pula, kumpulan sahabat aku kena berlakon. Babak dia, dia kena berlakon baring depan peserta. Agak-agak sahabat aku tu nak tak? Memang tak nak lah jawapannya!
Sahabat aku terus telefon pakciknya. Pakciknya pun beritahu idea untuk lepaskan diri. Pakciknya bertanggungjawab ambil aku dan sahabat-sahabatku di tempat kejadian. Kami sepakat menitiskan air mata selepas mendapat panggilan. Ada kematian keluarga dan pakcik sahabat aku tu datang ambil kami. Memang mulanya rasa bersalah sebab macam menipu. Tak baik kan? Tapi, ianya juga adalah taktik untuk kami ‘selamatkan’ diri kami yang rasa terancam saat itu. Hehe.
Ada seorang pengkid tu, puji aku dan sahabatku, “Comellah korang berdua ni..”
Matanya tak lepas daripada menatap aku dan sahabatku. Kami senyum saja dan buat-buat ‘cool’, walau dalam hati rasa macam nak lari. Risau terjebak! Fikir macam-macam perkara negatif dah! Tak perasan comel pun. Tak ada masa nak rasa bangga orang puji waktu tu. Haha.
Tapi, itulah reaksi pertama aku. Reaksi aku yang dulu. Biasalah, masa tu, tak matang lagi. Tak kenal lagi dunia luar yang sebenar. Selesa sangat dengan suasana yang baik, yang soleh solehah. Iyalah, sekolah agama pula kan? Pakai tudung labuh, kawan-kawan pun ramai yang bertudung labuh, baik-baik, tiba-tiba kena ‘campak’ dekat orang-orang macam tu. Reaksi sekarang? Nanti kita sambung cerita ya.
Gay. Gay adalah lelaki (lelaki asli ya), yang cenderung dan minat dengan lelaki juga. Bukan minat biasa-biasa, tapi minat sampai boleh jatuh cinta dan lakukan hubungan sesama jenis bersama. Kali pertama aku bertemu dengan Gay ini adalah semasa aku masih belajar di sebuah IPTA di Malaysia. Dalam 2/3 tahun yang lepas. Waktu tu, aku dan sahabat jadi urusetia untuk satu program luar. Tak ada kaitan dengan IPTA ataupun persatuan. Cuma, saja nak cari pengalaman baru. Jadi urusetia untuk program Reka Fesyen. Macam tak percaya saja boleh terlibat. Hehe.
Dekat situlah, aku dan sahabat dipertemukan dengan seorang insan yang sangat hebat dalam bidang fesyen dan gubahan pelamin. Dia kacak tapi bermuka ‘jambu’ orang kata. Gayanya lembut dan pemakaiannya pun nak sama dengan perempuan. Cuma, program tu, penganjur dah beritahu supaya ‘behave’ dalam pemakaian. Hehe. P.A dia lelaki, dua orang. Pendek kata, seorang Mak Nyah dan dua orang lagi Gay. Mak Nyah tu bawah Gay, cuma beza pada penampilan dan perwatakan saja. Kecenderungan sama, minat lelaki.
Masa tu, aku dan sahabat dah mula rasa boleh ‘adapt’ situasi macam tu. Mungkin sebab dia minat lelaki, bukan minat aku dan sahabatku. Hehe. Tapi, tak, bukan macam tu. Kami cuba sesuaikan diri dengan mereka. Dah jadi urusetia, memang kena selalu dengan mereka. Panggil mereka turun kalau dah lewat, makan bersama dan sediakan peralatan untuk perkongsian mereka dalam program.
Mereka okay dan tak ‘judge’ kita kalau kita okay dan tak ‘judge’ mereka. Dua ke tiga hari program tu berlangsung, banyak juga perkara baru yang aku dan sahabatku dapat. Kena perli dan kena ‘bahan’ tu, aku dan sahabatku dah boleh tahan dah. Kami cuba jadi hati kering. Tak nak terasa hati langsung dengan mereka. Bayangkan, ayat ni diorang bagi dekat kami, saat tengah makan bersama penganjur dan beberapa orang lain,
“Alaaa.. ni budak-budak ustazah ni, harap je pakai tudung labuh, tapi kalau suruh poligami mahu jadi gaduh. Hampeh saja.”
Lebih kurang macam ni ayatnya. Semua gelak, kami pun gelak saja. Tapi, terharu sebab penganjur kami ‘back-up’ kami.
“Weh, stok-stok solehah macam ni la yang penuh dekat Syurga nanti tau.”
Fuuhh! Terasa zaaappp juga. Dalam hati, “Ameen..” Tapi, itulah, mereka anggap ini adalah gurauan dan kami meraikan. Tak terasa hati pun. ‘Chill’ saja. Inilah antara pengalaman pertama dan reaksi aku yang dulu. Kini, aku yang dulu bukanlah yang sekarang. Maksudnya? Aku dah ‘reda’ ke dengan perangai sesama jenis mereka ni? Dah sokong golongan LGBT pula ke ni?
Sabar. Sabar. Jangan buat spekulasi lagi. Kita tunggu sambungannya nanti. Haaa, sambungannya itulah yang menjadi titik permulaan aku menulis buku bertajuk Hidayah Di Balik Jeriji Besi. Menulis untuk berkongsi, menulis untuk memberi harapan dan solusi, menulis untuk sama-sama cakna dan peduli akan isu sebegini yang dah semakin tumbuh bagai cendawan selepas hujan. Sebuah buku yang menghimpunkan 13 cerpen inspirasi kisah benar, daripada aku dan sahabatku. Dua daripadanya adalah kisah pengalaman aku bersama geng LGBT semasa praktikal. Semoga bermanfaat. Apa-apa boleh roger dekat Hamare Group.
p/s : Ada yang nak sambungan kisah saya ni tak? Hehe..