PUISI JIWAKU

All posts in the PUISI JIWAKU category

UKHUWAH INI

Published July 31, 2013 by wana93

love1

Hadirmu dalam hidupku,

Itu aturan-Nya..

Kenalmu di muka buku,

Mencipta rasa bahagia..

Meski kita belum saling bertemu,

Namun ukhuwah telah pun terjalin mesra..

Meski hanya bertanya khabar dirimu,

Sudah membuat diri berasa lega..

Meski hanya mendengar suara daripada panggilan rindu,

Namun rasa dekat dan akrab selalu ada di jiwa..

Ukhuwah ini,

Moga benar kerana Ilahi..

Ukhuwah ini,

Banyak mematangkan diri..

Ukhuwah ini,

Membuahkan ketenangan hati..

Ukhuwah ini,

Banyak menguatkan diri..

Ukhuwah ini,

Mengutuh keyakinan pada Ilahi..

Ukhuwah ini,

Moga Allah redhai..

Ya Habibah.. Uhibbuki Fillah..

#khas untuk adik saudari seislamku, Nur Habibah.  Tiba-tiba rasa rindu. Lepas baca balik mesej-mesej lepas kita dalam inobx tu, tangan ni bergerak menaip sesuatu. Hehe. Ukhuwah ini tersangatlah indah hingga akak tak mampu nak menterjemahkan ia melalui bait-bait kata. Doaku, selalu ada untukmu. Moga Allah sentiasa menjagamu. Selalu. Tiap waktu. Kalau kita ‘belum’ diperrtemukan di dunia, moga-moga kita dapat bertemu di Syurga-Nya. 🙂

TERIMA KASIH GURU

Published May 17, 2011 by wana93

ePy teAcHers Day


Guru..
Kali pertama aku jejakkan kaki ke sekolah..
Aku seolah-olah seperti seorang budak kecil..
Yang nakal dan sentiasa buat salah..
Tapi kau yang mengajarku menggunakan fungsi sebuah pensil..

Guru..
Seringkali ketika aku berada di sekolah..
Aku dan rakan-rakan yang lain asyik kena marah..
Namun, aku pasrah dan tidak kisah..
Kerana engkau seorang guru yang tegas dan sentiasa tabah..

Guru..
Kerana marahmu iu tanda sayang..
Kerana dendamu itu petanda cinta..
Kini aku telah berjaya dengan cemerlang..
Aku menjadi seorang insan yang berguna..

Guru..
Kata-kata nasihat dalam luahan amarahmu memberi seribu makna..
Peringatanmu menjadi pembakar semangat dan kekuatan..
Untuk aku terus bangun dan tidak terlena..
Dalam perjuangan menjejak cita-cita yang penuh dengan cabaran..

Guru..
Setiap bait katamu mempunyai aura sebuah doa..
Maka doakanlah agar aku dan rakan-rakanku berjaya..
Senyumanmu tulus menembus di kalbu..
Maka restuilah aku dan rakan-rakanku dalam meneroka ilmu..

Guru..
Bebelanmu bukan omong kosong..
Tapi penuh dengan mutiara berharga untuk dikutip..
Tazkirahmu tidak pernah ku lupa dan ku buang..
Tetapi akan ku aplikasikan dalam menempuh setiap dugaan hidup..

Guru..
Aku memang sering menyakiti hati dan perasaanmu..
Kekadang tersalah tingkah dan bicara terhadapmu..
Kekadang juga kerana sikapku yang sering malas menuntut ilmu..
Maafkanlah..maafkanlah segala kesalahanku…

Guru..
Aku selalu lalai dan alpa..
Kau yang sering mengingatkan aku..
Aku sering buat salah dan dosa..
Kau yang menegur dan mengajarku..

Guru..
Kau mencurahkan ilmu dengan ikhlas..
Kau mendidik dengan didikan seorang ibu dan bapa..
Kau langsung tidak pernah meminta untuk dibalas..
Sungguh, kasihmu mekar di sanubariku untuk selamanya.

Guru..
Sejujurnya, aku memang tidak mampu untuk membalas jasamu..
Aku memang tak mampu nak menghitung segala baktimu..
Aku hanya mampu mendoakan kesejahteraanmu..
Semoga kau beroleh keredaan-Nya dalam setiap urusanmu..

Guru..
Hanya ucapan tulus dariku sebagai hadiah baktimu..
Dan doa seorang murid terhadap seorang guru..
TERIMA KASIH GURU..
Moga Allah memberkati perjalanan hidupmu..

MAAFKAN KAMI CIKGU!

DOAKAN KAMI CIKGU!

TERIMA KASIH CIKGU!

 

“SAYA SAYANG CIKGU SAYA!!” 🙂

MUHASABAH SEORANG INSAN

Published April 12, 2011 by wana93

Masa berlalu memintas zaman
Bagai tak sedar hari yang dilalui..
Semakin hampir dengan akhir zaman
Semakin jauh dari bimbingan hidayah Ilahi..

Maksiat duniawi semakin memenuhi
Ruang kelopak Bumi yang sudah mula layu..
Fatamorgana menghiasi jalan menuju Pencipta diri
Dosa dan noda melata tanpa rasa sayu..

Penduduk Bumi seakan lupa
Bahawa Kiamat itu pasti datang..
Penghuni dunia seakan sudah bersedia
Menghadapi hari dahsyat yang tidak diundang..

Pengumpulan dosa dan noda
Lebih banyak daripada amal dan pahala..
Penolakan untuk berdakwah dan beribadah
Lebih ketara berbanding menolak ajakan wanita..

Pangkat, harta dan wanita cantik semakin menjadi dambaan
Setiap makhluk bernafsu yang bernama insan..
Tazkirah dan tarbiyah terpaksa dipinggirkan
Demi mengejar nikmat dunia yang lebih menguntungkan..

Halal dan haram sudah tidak dipeduli
Yang pasti, hajat dihati tercapai jua..
Perintah Allah dilanggar penuh bangga diri
Tanpa wujud sesal di jiwa..

Aurat semakin dibuka-buka
Menutup rambut menayang betis..
Memakai baju ketat bukan main lagi suka
Bila orang tegur, pandai pula bersikap sinis..

Pandangan mata sudah tidak dikawal lagi
Memandang apa saja yang dirasakan nikmat..
Sampai terlupa adanya Yang Maha Memerhati
Tidak kira masa dan juga tempat..

Tangan dan kaki juga mula rasa bebas dan senang hati
Menyentuh dan melangkah ke arah maksiat..
Jari mula menari di atas bahu ajnabi
Kaki pula bahagia menuju ke tempat maksiat..

Mulut begitu bahagia mengata jiran
Bergelak tawa dalam mendedahkan aib insan..
Telinga pula khusyuk mendengar umpatan
Hingga alunan azan tidak dihiraukan..

Bila manusia sudah jahil akan agama
Iblis dan syaitan bertepuk gembira.
Bila maksiat dan dosa sudah berkeliaran
Maka Nerakalah yang bakal dihidangkan..

Manusia alpa bahawa suatu saat nanti
Setiap anggota tubuh akan ditanya dan dihakimi..
Mulut akan diam membisu seribu bahasa..
Hanya mata, tangan, kaki dan hati akan berkata-kata..

Risaukanlah diri kita..
Andai hati dan jiwa tidak merasa gementar..
Tatkala nama Allah Yang Maha Agung dilaungkan..

Carilah kembali..
Di mana hilangnya iman dan takwa dalam diri..
Setelah diluput oleh dosa yang semakin bertakung di kolam hati..

Jangan sesekali kita lupa..
Bahawa balasan Allah itu pasti akan menimpa..
Setiap pelaku dosa dan noda…

Jangan pernah kita lupa..
Bahawa Allah sentiasa ada bersama..
Untuk memerhati setiap gerak dan tingkah laku hamba-Nya..

YA ALLAH, AKU LUPA!

Published March 4, 2011 by wana93

Bila umur semakin dewasa..
Aku semakin tunjuk kuasa..
Kata Abah aku balas berjela-jela..
Nasihat Ibu aku buat selamba..

Bila jiwa remajaku semakin bergelora..
Cinta manusia mula berbunga..
Warkah biru jadi penghias rasa..
Bayangan kasih menjadi pemula..

Dalam belajar, aku tak amanah..
Aku selalu buat tak endah..
Aku tak suka bila guru marah..
Aku malas nak buat kerja sekolah..

Ya ALLAH, aku lupa!
Aku lupa dengan perintah-MU..
ENGKAU memerintahkan hamba-MU untuk taat pada kedua ibu bapa..
“..berbuat baiklah terhadap kedua orang ibu bapa..” (Surah al-an’am : 151)
Aku selalu melawan kata-kata mereka..
Ampunkan aku..

Ya ALLAH, aku lupa!
ENGKAU menyuruh agar hamba-MU tidak mendekati zina..
“Dan janganlah kamu mendekati zina; sesungguhnya zina itu adalah suatu perbuatan yang keji dan suatu jalan yang buruk.” (Surah al-isra’ : 32)
Aku ingkar..
Ibu bapaku memberi amanah untuk belajar tapi aku abaikan..
Aku bermain cinta..
Aku berdosa..
Ampunkan aku, ALLAH!

Bila hidup semakin selesa..
Rumah semakin besar dan berharta..
Sifat kedekut mula terasa..
Takut miskin menjadi punca..

Bila dunia semakin alpa..
Penyakit lalai mula menghinggap penduduknya..
Lebih-lebih lagi manusia..
Hingga hari Kematian dan Kiamat seakan dilupa..

Ya ALLAH, aku lupa!
Harta dan kekayaan takkan kekal..
“Musa berkata: “Ya Tuhan kami, sesungguhnya Engkau telah memberi kepada Fir’aun dan pemuka-pemuka kaumnya perhiasan dan harta kekayaan dalam kehidupan dunia, ya Tuhan kami akibatnya mereka menyesatkan (manusia) dari jalan Engkau. Ya Tuhan kami, binasakanlah harta benda mereka, dan kunci matilah hati mereka, maka mereka tidak beriman hingga mereka melihat siksaan yang pedih.” (Surah Yunus : 88)
Tapi ilmu, iman dan amal yang akan menemani kita nanti..
Ampunkan aku, ya ALLAH!

Ya ALLAH, aku lupa!
Bahawa mati itu pasti..
“Kemudian, sesudah itu, sesungguhnya kamu sekalian benar-benar akan mati. Kemudian, sesungguhnya kamu sekalian akan dibangkitkan (dari kuburmu) di hari kiamat.” (Surah al-mukminun : 15-16)
Aku lupa, ya ALLAH!
“Tiap-tiap yang berjiwa akan merasakan mati..” (Surah al-ankabut : 57)
Aku lupa dan aku tak sediakan bekal untuk menghadapi hari itu..
Ampunkan aku, ALLAH!

Ya ALLAH, sesungguhnya, aku manusia biasa..
Manusia itu pelupa..
Maka, ingatkanlah aku, ya ALLAH..
Ingatkan hati aku agar tidak lupakan-MU..
Ingatkan jiwa aku supaya sentiasa dekat dengan kalam-MU..
Ingatkan aku tentang pertemuan aku dan ENGKAU..

Ya ALLAH..
Hindarkan dan jauhkan aku daripada perkara-perkara lagha..
Lupakan aku pada perbuatan-perbuatan dosa dan noda..
Kerana itu semua berpunca daripada nafsu diriku sendiri..
Yang hanya akan menutup mata hati dan telingaku dari kebenaran-MU..
Ampunkan aku, ya ALLAH!

AIR MATA DOSA

Published July 17, 2010 by wana93

Hitam..
Dosa dan noda bertompok hitam..
Melekat dalam hati nurani..
Sukar untuk sucikannya kembali..
Payah untuk melunturkannya..
Melainkan dengan taubat nasuha seorang insani..

Banyak..
Tak terhitung hati mereka yang telah aku sakiti..
Tak ternilai budi seorang teman terhadap diri ini..
Aku hanya membalasnya dengan kasih amarah..
Memarutkan luka di hati yang semakin bernanah..
Hingga Dia aku hindari..

Mintalah keampunan dariNya

Gersang..
Kering kontang ibarat padang jarak padang tekukur..
Itu yang ku rasakan saat diri ini akur..
Itulah balasan terhadap hati..
Selama ini tak pernah mensyukuri..
Hanya tahu tunduk pada godaan syaitan dan nafsu duniawi..

Dosa..
Merangkul erat segumpal darah..
Tak pernah rasa nak mengalah..
Asyik membabitkan aku dan jiwa ku..
Berada ke lembah kehinaan dan kehancuran..
Serta kancah kemaksiatan..

Say NO to Maksiat!!

Diri..
Berasa amat kecewa dan terluka..
Dengan sikap syaitan durjana..
Yang hanya tahu membuat kejahatan..
Yang berasa nikmat melakukan kemaksiatan..
Tapi tamak dengan amal soleh..

Air mata..
Menitis satu demi satu..
Saat aku bertaubat dan berteleku..
Di atas sejadah menghadap Tuhan Yang Maha Satu..
Memohon restu keampunan dan hidayah Ilahi..
Air mata dosa berjujuhan ke pipi..
Sebagai bukti ketulusan hati..

Carilah cintaNya 😉

UNTUKMU ADAM DAN HAWA

Published April 3, 2010 by wana93

Adam..

Kau bilang dirimu hebat dan kuat ibarat pahlawan,

Gagah perkasa seperti Badang,

Kau gunakan Hawa sebagai umpan,

Untuk membuktikan kelelakianmu yang hanya temberang.

Hawa..

Kau bangga dengan kecantikan lahiriah yang ada padamu,

Kau sanjung tinggi Adam yang terpikat dengan keindahan rupamu,

Kau tersenyum manis saat Adam melihat lenggok tubuhmu,

Tapi kau marah dan benci bila ada segelintir Adam yang menegurmu.

Adam..

Kadangkala kekacakan yang ada padamu,

Bisa membuat Hawa lemah dan cair ibarat ais terkena api,

Hati yang rapuh mudah luluh dan tunduk pada nafsu,

Jiwa yang halus mudah pula jatuh hati.

Hawa..

Iblis menggunakanmu sebagai umpan untuk memerangkap Adam,

Ambillah kesempatan ini untuk memperdayakan Iblis,

Selamatkanlah Adam dari cengkaman api yang tidak akan terpadam,

Jatuhkanlah musuh Islam dengan akal satumu yang genius.

Adam..

Kata-kata manis nistamu bisa menggoda sanubari Hawa,

Senyum nakalmu membuatkan Hawa semakin suka,

Lembutmu dalam berbicara membuatkan Hawa senang mendekatimu,

Sikap prihatinmu menjadikan Hawa tergilakan perhatianmu.

Hawa..

Sikap tak endahmu menjadikan Adam berani terhadapmu,

Berani mengambil peluang untuk menyentuh maruahmu,

Ketidaktegasanmu membuatkan Adam semakin suka akan dirimu,

Hingga kau pun hanyut dengan dunia cinta palsu.

Adam..

Kau bilang akalmu sembilan mengalahkan nafsumu yang satu,

Gunakanlah akalmu itu untuk mendidik nafsumu yang boleh membinasakan Hawa,

Cerdikkanlah akalmu itu dengan berjihad menentang nafsu,

Agar Hawa terpelihara sentiasa dalam jagaan taqwa.

Hawa..

Lenggok tubuhmu bisa membuat Adam terpaku dan mata menjadi sepi,

Lembut suaramu bisa mencairkan hati lelaki Adam,

Longgarkanlah pakaianmu agar tubuhmu tertutup rapi,

Tegaskanlah suaramu supaya syaitan tidak berpeluang merasuk Adam.

Oleh itu Adam..

Bersikap tegaslah dengan Hawa dalam setiap urusanmu,

Kau harus kuat dan sabar dalam membimbing Hawa yang semakin liar,

Kau harus terus berjuang menentang hawa nafsumu,

Agar nafsu Hawa tidak terus-terusan menular.

Adam..

Di mana imanmu saat matamu melihat Hawa berpakaian tidak cukup kain?

Di mana kau letakkan Allah saat hawa nafsu menjadi Tuhanmu?

Hawa meminta agar kau bersikap tegas dan berani dalam perjuangan,

Agar Hawa takut untuk menggoda dan mendekatimu.

Begitu juga Hawa..

Di mana malumu saat kau menayangkan perhiasanmu kepada ajnabi?

Di mana taqwamu saat syaitan menempiaskan bisikannya untuk menggoda Adam?

Adam menyeru agar kau pelihara maruahmu supaya tidak dicemari,

Agar kawalan nafsu sentiasa  berada dalam pegangan iman Adam.

Hawa..

Mahalkanlah senyummu yang bisa menawan hati lelaki,

Jagalah dan peliharalah aurat dan maruah dirimu,

Untuk membentengi nafsu yang sangat dibenci,

Agar kau suci terpelihara saat Adam datang menyuntingmu.

Hawa..

Memang Adam mudah cair dengan keanggunan wajahmu,

Namun, itu bukanlah yang Adam impikan,

Adam mengimpikan Hawa yang kuat pegangan agama sebagai penyuci kalbu,

Adam juga menginginkan Hawa yang sopan berpakaian dan memelihara pandangan.

Untukmu Adam :

Jadilah Adam yang berpendidikan tinggi dalam bab agama agar bisa membimbing Hawa dari menjadi mangsa godaan syaitan. Jadilah Adam yang murah dengan kata-kata nasihat dan teguran yang boleh memperbaiki Hawa. Jadilah Adam yang sentiasa berjuang menentang nafsu dan memelihara dirinya untuk Hawa tercinta, iaitu, isteri. Jadilah juga Adam yang bertanggungjawab menjadi ketua keluarga, imam dalam solat jemaah dan pemimpin agama seperti yang diimpi oleh kebanyakan Hawa.

Untukmu Hawa :

Jadilah Hawa yang tinggi dengan didikan agama, merendah diri dengan akhlak mulia dan baik hati. Jadilah Hawa yang malu dan menjaga aurat serta maruah diri dari sewenang-wenangnya ditonton oleh ajnabi. Jadilah Hawa yang sentiasa haus akan ilmu nasihat dan teguran sebagai persiapan menjadi Hawa yang solehah untuk suami tercinta. Jadilah juga seorang Hawa yang bisa menjadi anak, ibu dan isteri solehah serta hambaNya yang beriman dan bertaqwa seperti yang diidami oleh kaum Adam.

PENUNTUT SIJIL PADANG MAHSYAR

Published December 9, 2009 by wana93

Manusia dicipta oleh Yang Maha Kuasa sebagai penuntut

Di muka bumiNya untuk menuntut

Pengajian ilmu-ilmu menghadapi hari akhirat

Yang pasti akan menjelang tiba

Tanpa pengetahuan siapa pun

Kerana kedahsyatan hari akhir zaman itu adalah rahsiaNya!

 

Al-Quran dan As-Sunnah dibekalkanNya

Sebagai guru yang akan memberi panduan dalam kehidupan

Penuntut-penuntut yang menuntut ilmu

Untuk memperoleh kejayaan yang abadi

Dengan genggaman sijil di tangan

Syurga neraka bakal menentukan masa depan setiap penuntut!

 

Sebelum memperoleh sijil kemenangan

Banyak destinasi yang perlu dilawati oleh setiap penuntut

Penuntut perlu menziarahi universiti alam barzakh

Selepas kematian datang menjemput setiap penuntut

Lambat atau cepat tak siapa yang tahu

Kalimah ‘syahadah’ penentu kejayaan menghadapi sakaratul maut!

 

Penuntut perlu meneruskan perjalanan seterusnya

Selepas dibangkitkan semula daripada kematian

Dan dihimpunkan semua penuntut di padang Mahsyar

Tanpa sebarang pakaian dan alat solek

Dengan keadaan matahari terik sejengkal di atas kepala

Tersenyum dan gelisah hanya amalan setiap penuntut yang tahu!

 

Penuntut yang beramal soleh dan beriman

Akan sentiasa senyum tanpa sebarang resah

Sebaliknya penuntut yang kufur dan tidak beriman

Akan merasa resah dan gelisah serta takut

Kerana menunggu hari penantian yang bertahun-tahun lamanya

Untuk mengambil sijil padang Mahsyar!

 

Al-Mizan menjadi penentu arah kehidupan

Penimbang segala ilmu yang telah penuntut amalkan

Berat amalan baik akan menerima ganjaran syurga

Berat amalan jahat akan menerima balasan neraka

Saat inilah buku-buku amalan para penuntut diberi kepada pemiliknya

Buku yang selama ini menjadi catatan para Malaikat!

 

Titian As-Sirat menjadi destinasi terakhir para penuntut

Bakal menentukan masa depan setiap penuntut di bumi akhirat ini

Syurga berada di hujung titian

Api marak Neraka pula berada di bawah titian

Semoga para penuntut dapat meniti As-Sirat dengan jayanya

Agar kemenangan mendapat Syurga menjadi kejayaan idaman buat para penuntut!

TATKALA HATI DIDUGA

Published October 25, 2009 by wana93

Kadang-kadang hati ini terasa sunyi sepi

Kadang-kadang juga jiwa ini terasa kosong tidak berisi

Masa itulah yang telah memunculkan satu rasa

Cinta yang tiba-tiba menyelinap masuk di kamar hati

Rindu juga tiba-tiba menjelma jauh di sudut hati

Semuanya datang bagaikan satu mimpi yang tak pasti

Mengapa??

 

Ya Rabbana,

Mengapa perasaan ini tiba-tiba hadir

Dikala aku sedang mencari-cari cintaMu

Mengapa rindu ini harus ada

Saat hatiku sedang cuba untuk merindui syahid di jalanMu

Mengapa mesti aku berharap pada cinta yang tak pasti

Sedangkan Kau harapan yang patut aku sandarkan..

 

Ya Rahim,

Aku sedar siapa diriku ini

Aku hanyalah hambaMu yang hina dengan longgokan dosa

Hari-hariku tidak terlepas dari berbuat dosa

Tatkala hati ini diduga oleh bisikan syaitan durjana

Aku hampir ketandusan iman di dada

Aku hampir hanyut ditelan gelombang nafsu cinta..

 

Ya Rahman,

Mungkin inilah ujian untukku dariMu

Sebagai kiffarah dosa-dosa yang pernah aku lakukan

Mungkin inilah juga dugaanMu

Terpaksa ku hadapinya dengan bekalan iman yang masih bersisa

Walaupun aku sedar

Jiwa ini terlalu kotor untuk menagih redhaMu..

 

Ya Ghafur,

Berilah aku kekuatan dan keteguhan iman

Untukku menepis dugaan cinta yang datang ini

Bantulah aku untuk bangkit dan bermujahadah

Melawan mainan perasaan ini

Tiada siapa yang layak membantuku tika ini

Melainkan Engkau,Ya Allah..

 

 Ya Rabbul Izzati,

Teguhkanlah hatiku ini dengan kubu keimanan

Untukku serahkan cinta ini hanya padaMu

Untukku salurkan rindu ini hanya buatMu

Untukku sandarkan harapan ini hanya untukMu

Untukku mudah menggapai pohon redhaMu

Agar aku sentiasa mendapat belaian kasih sayang dariMu..

 

Ya Allah,

Engkau ampunkanlah segala dosa-dosaku

Sesungguhnya Engkau Maha Pengampun

Aku sedar dosaku menggunung tinggi tidak bertepi

Berkenankah Kau menerima doaku ini

Layakkah aku menerima cinta manusia

Sedangkan cintaMu masih belum kutemui..

 

Pintaku Ya Allah,

Berilah aku petunjuk dan hidayahMu

Agar aku bertemu dengan cinta yang mencintaiMu

Hadirkanlah seorang putera agama pilihanMu

Untuk bersama denganku menggapai redha dan cintaMu

Jangan biarkan maksiat mencemarkan kesucian yang dibina

Peliharalah hubungan cintaku dengan payung rahmatMu

Agar cinta yang dibina kekal bahagia dan abadi

Di destinasi syurga Firdausi..

Nabi saw. bersabda: Salah satu di antara kalian tidak beriman sebelum ia mencintai saudaranya (atau beliau bersabda: tetangganya) seperti mencintai diri sendiri. (Shahih Muslim No.64) 

Paling kuat tali hubungan keimanan ialah cinta kerana Allah dan benci kerana Allah. (HR. Ath-Thabrani)

HIKAYAT DOA SEBUAH CINTA

Published August 26, 2009 by wana93

Dalam mencari sebuah hikayat cinta

Hati yang tulus murni amat sukar ditemui

Sukar mencari jiwa yang menerima seadanya

Cinta manusia hanyalah pinjaman di duniawi

Cinta ILAHI jualah yang kekal selamanya

Hanya insan terpilih akan memiliki cinta sejati di uhkrawi…


Hadirkanlah dalam cerita hidupku

Seorang insan bernama teman

Yang sentiasa berada di dalam doaku

Bersama diriku menempuh onak perjuangan

Rela sehidup semati dalam pimpinan agamaMu

Agar dapat merasakan kemanisan iman…


Temukanlah aku dengan cinta yang mencintaiMu

Cintakanlah hatiku dengan cinta yang merindui syahid fisabilillah

Bukan cinta yang berlandaskan hawa nafsu

Kerana syaitan akan menjadi pemisah

Antara cinta hakiki dan cinta palsu

Yang hanya menyebabkan hati terbelah dan berpecah…


Berilah hatiku kekuatan dan ketabahan

Dalam mencari cinta seorang insan

Bersenjatakan kekebalan iman

Berperisaikan doa dan kesabaran

Dalam mengahadapi dunia yang penuh kepura-puraan

Menjadi sebuah permainan hidup yang mensia-siakan…


Satukanlah hatiku ini dengan sekeping hati murni

Yang membawa aku ke arah jalan kebenaran ILAHI

Yang bisa menjadi bukti lafaz cinta suci

Pada pandangan ALLAHURABBI

Agar berkekalan hingga ke syurga abadi

Dan berbahagia di taman indah firdausi…


Bisakah dicari dalam dunia yang fana’ ini

Seorang teman hidup idaman hati

Yang memiliki keteguhan iman yang tinggi

Dan mempunyai hati yang tulus suci

Serta kaya dengan budi pekerti dan akhlak terpuji

Dalam menghulurkan cinta sejati???

Semoga cinta yang sejati akan ku temui

Semoga hari itu akan menjadi saksi

Pertemuan dua hati murni di hadapan ILAHI

Di depan pintu gerbang syurga hakiki dan abadi…

SUJUD CINTA SEORANG HAMBA

Published August 26, 2009 by wana93

Di atas hamparan sejadah suci

Hamba menadah kedua telapak tangan ini

Bagi memohon keampunan dan rahmat dariMu

Agar diberikan hamba hidayah serta taufiqMu

Supaya tidak tersimpang hamba dari jalanMu…


Hati hamba merasa hambar dan sunyi

Tanpa iman dan semangat taqwa dalam hati

Jiwa hamba kosong dan takkan berisi

Melainkan dengan redha Yang Maha Mengetahui

Yang menemukan hamba dalam bingkisan restu Yang Maha Mengasihani…


Saat tasbih mengisi ruang kosong di jari-jari

Mulut dan hati hamba bersatu berzikir mengingat ILAHI

Jiwa hamba terisi dengan munajat di malam hari

Diri ini hamba abdikan buat Pencipta langit dan bumi

Moga dosa-dosa lampau dapat dihapusi dan diampuni…


Kening ini hamba rapatkan di atas hamparan murni

Sujud dahi hamba mencecah ke bumi

Tanda syukur hamba akan kebesaran ILAHI

Tidak terukur nilai cintaMu yang tinggi

Tidak terhitung nilai kasihMu yang bertambah setiap hari…


Ya Rabbul Izzati…

Sudikah Kau menerima cinta hamba yang hina dengan longgokan dosa ini??

Semoga keampunan mendapat tempat untuk hamba yang sering lupa diri

Semoga rahmatMu sentiasa hadir menemani

Agar kehidupan duniawi dan ukhrawi hamba diredhai …


Hamba amat mendambakan cinta dariMu

Hamba juga mengharapkan pertemuan denganMu

Diri hamba ini dahaga akan belaian kasihMu

Hamparan sejadah suci hamba buktikan padaMu

Sujud cinta hamba hanyalah untuk Tuhan yang berkuasa di atas segala sesuatu…

(ade masuk kat iluvislam.com)