REALITI ISU SOSIAL REMAJA : CAKNAKAH KITA?

Published February 28, 2017 by wana93

Tahukah anda, seramai 54,614 orang, anak luar nikah yang wujud pada tahun 2014? (baca berita lengkap di : http://www.bharian.com.my/node/192319)

Sekarang kita berada pada tahun 2017. Saban tahun, minggu berganti minggu, bulan berganti bulan, berita-berita sebegini tak pernah lekang. Malah, setiap tahun, makin bertambah. Seiring dengan kes-kes penagih dadah, penyakit kronik dan pelbagai lagi.

Saya tak pasti, sama ada pembaca blog saya ini sudah tahu atau belum. Tapi, suka untuk saya kongsikan insyaAllah. Selama hampir setahun (11 bulan) saya dan beberapa sahabat berpraktikal dan bekerja secara kontrak di bahagian yang sektor pembangunan sosial.

Saat itu, kami ditempatkan di bahagian yang menuntut diri untuk berdepan dengan golongan masalah sosial seperti remaja yang mengandung luar nikah, LGBT, bekas penagih dadah dan lain-lain. Pada mulanya, kami agak terkejut juga. Maklumlah, mungkin kerana kami  dah selesa dengan ‘biah’ yang baik-baik. Sedih dan pilu memikirkan mereka yang terlibat kebanyakannya adalah anak-anak muda. Ada yang sebaya kami dan ada juga yang lebih muda. Yang sudah berumur juga tidak kurang sikitnya.

Sebelum habis praktikal, saya dan sahabat sebulat suara mengajak beberapa lagi sahabat kami untuk sama-sama merealisasikan sebuah usaha kecil. Ingin ‘menyampaikan’ sesuatu di luar sana, melalui ‘kepakaran’ masing-masing. Bergabung. Perkara sebegini memerlukan insan yang berjiwa besar, bukan semangat semata-mata. Kami terfikir, ini realiti sekarang. Kita risau, kita gundah itu dan ini, tapi, apa usaha kita?

16174628_1574658512564224_8901167971816217376_n

Team Hamare.

Alhamdulillah, buku sulung berjaya diterbitkan dengan izin-Nya. Saya dan sahabat, Siti Nor Hayati sebagai penulis buku, Akmal Khairunnisa sebagai illustrator yang melukis secara santai 3 illustrasi tarbiah yang terselit di dalam buku ini. Paling utama adalah team Graphic Designer, Najibah Yusoff yang membuat cover buku dan menyusun susunan isi di dalam buku ini, serta dibantu oleh seorang ahli lagi, Wan Nurul Huda yang saat itu sibuk mengurus tempahan design. Moga-moga, ada manfaatnya buat ummah. Doakan semoga kami dapat mengembangkan lagi empayar Hamare ini dengan membawa masuk bakat-bakat muda yang lain untuk sama-sama menyumbang manfaat buat ummah.

16388344_1177943802323931_7605996835679865225_n

Saya menyentuh isu berkenaan realiti sosial remaja. Saya cuba olah dan menyampaikan dalam bentuk cerpen. Antara tajuknya adalah Jalan Pulang, Ukhuwah Bersama LGBT, Aku Anak HIV, Hidayah Di Balik Gerigi Besi (tentang Transgender Muallaf) dan lain-lain lagi. Manakala, sahabat saya, menulis tentang kehidupan sang remaja yang berkait dengan gelora rasa, persahabatan yang ingin sampai ke Syurga, saat kehilangan ayah tercinta dan sebagainya. Antara tajuknya adalah Shameless, Sahabat Sorga, Abi Habibi dan lain-lain lagi.

Buku ini memuatkan 13 cerpen, inspirasi KISAH BENAR. Bukan kisah dongengan, fantasi dan khayalan! Ini antara secebis usaha saya dan sahabat untuk ‘menyampaikan’. Buat bacaan ibu bapa yang ada anak remaja, buat kakak abang yang punya adik remaja, buat cikgu yang mengajar anak-anak remaja dan juga buat remaja itu sendiri.

Ada yang tidak tahu, ada yang tidak ambil tahu dan ada juga yang buat-buat tak tahu. Isu sosial sebegini (zina, anak luar nikah, penyakit kronik dan lain-lain), tidak hanya berlaku pada remaja sekolah menengah biasa, akan tetapi, tidak terlepas juga, datang daripada remaja yang bersekolah di sekolah agama atau universiti islam.

16265470_1858772514398871_8301467434802749672_n

16923476_10206609004623564_1709401869_n.jpg

Maka, di sini peranan kita bersama. Sentiasa cakna akan anak-anak remaja kita. Beri meraka bahan bacaan yang bermanfaat dan membuka minda. Isi masa mereka dengan pelbagai aktiviti bermanfaat. Betulkan dan perbaiki apa yang tidak betul dalam diri mereka.

Buku ini bukan untuk menyalahkan dan menuding kesalahan pada mereka yang terlibat dengan masalah sosial. Namun, buku ini bertujuan untuk memberitahu pada kita bahawa realiti ini wujud pada zaman kita, zaman tumbesaran generasi Y kita pada hari ini. Buku ini juga cuba memberi solusi dan harapan pada setiap liku dan masalah-masalah yang berlaku.

Sebagai contoh, kebanyakan kita pada hari ini, suka memandang serong dan memandang sebelah mata saja pada golongan LGBT. Ada yang geli nak dekati mereka, ada yang menyampah dan benci dengan watak mereka dan pelbagai lagi tohmahan dilempar kepada mereka. Jadi, penulis cuba membawa pembaca kepada satu kisah benar. Kisah di mana penulis sendiri bersama rakannya berdepan dengan golongan sebegini. Bagaimana reaksi mereka terhadap kita yang dianggap golongan ‘orang agama’ dan apa respon dan tingkah kita terhadap mereka. Bukan bermakna ingin menghalalkan yang haram, namun, jika dilihat dari satu sudut lain, qudwah itu amat penting untuk membentuk hikmah dalam misi kita berdakwah.

17035443_10206639883835525_659422651_n

17092302_10206639884155533_149437277_n

Ini antara ‘feedback’ pembaca buku ‘Hidayah Di Balik Gerigi Besi & Shameless’. Dua dalam satu! Untuk selanjutnya, ada di sini.

 ‘Hidayah Di Balik Gerigi Besi & Shameless’

129 mukasurat.
3 mukasurat berwarna.
Memuatkan 13 cerpen yang diinspirasi daripada kisah benar.
Edisi kemaskini.
Terselit 3 karya digital illustrasi tarbiah.
Terselit juga pengenalan Hamare.

Ramai manusia yang hanya menilai dari luaran, tanpa periksa asal usul dalaman diri. Seakan mereka lebih memahami soal hati dan diri ini. Walhal, hanya Allah yang memahami segala rasa diri dan hati hamba-Nya ini. Isu ummah sangat banyak. Terutama yang melibatkan remaja dengan permasalahan sosial. Semoga cerpen santai yang diketengahkan ini, mampu membuka minda kita semua. Semoga kita mampu mengaplikasi segala kebaikan untuk dijadikan solusi ummah, agar kita sama-sama ke Syurga-Nya.

“Syurga dicipta, bukan untuk seorang saja, bahkan buat semua hamba-Nya, yang ingin pulang ke pangkuan-Nya.”

“Bagaimana ingin dekati golongan sosial andai diri jahil agama?”

“Bagaimana ingin menyelamatkan sahabat yang telah terlanjur?”

“Apakah tugas kita me’Neraka’kan manusia saja, sedang kita juga adalah pendosa?”

“Apakah manusia itu mengira bahawa mereka akan dibiarkan hanya dengan mengatakan: “Kami telah beriman,” dan mereka tidak diuji ?” (Surah Al-‘Ankabuut : 2)

Semoga buku ini sampai kepada para pembaca, tidak sekadar ditatap mata, akan tetapi, sampai mesejnya pada jiwa-jiwa yang membaca dan beroleh redha-Nya. Hidup ini singkat. Jom sebarkan manfaat.

Untuk maklumat lanjut berkenaan buku sulung Hamare ini, boleh rujuk di sini.

Wallahua’lam.

Seorang hamba, @Rumahku Syurgaku, @BumiMilikAllah.

28/2/2017, 9.38 pm.

 

 

HIMPUNAN 355 : USAHA MENYOKONG KEBENARAN

Published February 19, 2017 by wana93

Alhamdulillah. Syukur ke hadrat Ilahi, kerana diri ini diberi rezeki, ruang dan peluang untuk turun dan hadir bersama di dalam Himpunan RUU 355 di Padang Merbok, KL pada 18/2/2017.

Saya pergi bersama geng para pemuda, pemudi dan belia bersama sebuah bas. Kali pertama hadir di dalam himpunan besar seperti ini. Niat di hati, cuma satu. Ingin ambil tahu lebih lagi soal isu pindaan akta 355 ini dan pastilah ingin menyatakan hasrat menyokong apa-apa yang baik untuk ummah.

Apakah itu RUU 355?

RUU ialah singkatan daripada Rang Undang-Undang 355. Ia merupakan usul persendirian yang dicadangkan oleh Ahli Parlimen Marang iaitu Yang Berhormat Tuan Guru Abdul Hadi Awang. Ia bertujuan memperkasakan peranan Mahkamah Syariah.

Bila majlis diisi juga dengan hiburan yang tidak melalaikan. Ada nasyid daripada kumpulan Shoutul Amal, NowSeeHeart dan lain-lain lagi. Bila majlis juga diisi dengan sesi soal jawab bersama Ustaz Azhar Idrus yang disertai bersama oleh Hafiz Hamidun dan ustaz Haslin Bollywood yang berkerusi roda. Beliau baru beberapa belas hari keluar dari hospital setelah hampir 3 bulan lebih terlantar di hospital.

16831610_10206587877175391_850286921_n

Sesi soal jawab bersama Ustaz Azhar Idrus

Di sana, saya melihat sesuatu yang amat menakjubkan. (Maklumlah, baru pertama kali dapat sertai himpunan besar seperti ini). Antaranya, saya tertanya-tanya sendiri,

‘Kenapa ada warga tua yang bertongkat dan berkerusi roda sanggup datang ?

Kenapa ada ibu yang bawa bayi ikut suami sanggup datang ?

Kenapa ramai anak muda yang turun datang ?

Kenapa ibu bapa bawa anak-anak mereka datang ?

Kenapa ramai yang sanggup duduk di tepi bukit, tepi jalan, parking jauh-jauh, jalan kaki dan sebagainya ?

Kenapa ramai yang masih berkumpul walau hujan lebat saat Maghrib hingga ke Isyak ?

Kenapa ramai yang sanggup datang walau dari jauh, Kedah, Kelantan, Terengganu dan lain-lain lagi ?’

Jawapan yang boleh saya simpulkan, berdasarkan pemerhatian tingkah mereka,

“Ingin melihat Islam didaulatkan. Ingin buktikan usaha pada Allah. Ingin lihat masa depan Islam dengan melihat anak-anak muda yang turun padang. Ingin nyatakan sokongan terhadap kebaikan umat Islam. Inginkan penjelasan terhadap isu yang dibangkitkan. Ingin berada di majlis ilmu bersama agamawan yang turut hadir.”

Teruja bila saya sendiri mendengar wakil Persatuan Penceramah Bukan Islam, orang India, memberi ceramah yang begitu berisi sekali! Dikoreknya isi buku Sejarah dan diceritakan perihal Sirah Baginda S.A.W. Tidak usik langsung perihal orang bukan Islam, jadi, kenapa takut sangat? Maksudnya, pindaan akta ini tidak akan mengganggu gugat hak-hak orang bukan Islam. Tapi, ada antara mereka yang tetap membantah dan menentang. Hingga wakil daripada persatuan ini memberitahu, beliau berkata, kalau ada yang tak faham lagi, boleh jumpa beliau untuk penjelasan. Power!

Saya juga merasa teruja apabila melihat sendiri suasana di mana semua parti politik datang untuk menyatakan sokongan terhadap cadangan pindaan RUU 355. Tak kira hijau dan biru dan lain-lain lagi. Setelah hampir 33 tahun tidak diubah dan ditambah baik. Isu ini jangan kita sempitkan dengan politik sahaja. Isu ini adalah isu ummah, untuk semua, khususnya orang Islam.

Saat hujan lebat, dalam waktu Maghrib ke Isyak, saya bersama sahabat berada di Masjid Bukit Aman. Hujan berhenti lebih kurang jam 9 lebih tak silap. Baru saya ke padang semula.

Pidato ringkas juga melibatkan banyak perwakilan daripada pimpinan parti, wakil pertubuhan, wakil NGO yang pelbagai tampil menyatakan sokongan mereka terhadap pindaan akta ini.

16809755_10206587876495374_1823022313_n

Mufti Wilayah Persekutuan, Dr. Zulkifli Mohammad Al-Bakri juga turut serta memberi kata sokongan.

“Memperkasakan syariat Islam ini adalah tanda seseorang menzahirkan kehambaan kpd Allah S.W.T.

Saya berharap, walau apa keadaan sekalipun bila kita bertemu ayat Allah maka kita dengar dan kita taat.” (FB MUFTI WILAYAH PERSEKUTUAN)

Menteri Besar Kelantan dan Presiden PAS sendiri turun ke lapangan untuk memberi kata harapan dan penerangan. Yang tak tahu, boleh jadi tahu. Yang tak jelas, sudah diperjelas. Yang salah faham, sudah tidak ada salah faham.

Bilamana ada pemidato yang beritahu bahawa gejala sosial, anak luar nikah semakin meningkat, hampir 150 – 500 ribu anak luar nikah yang wujud sejak tahun lepas dan 10 tahun lepas. Bagaimana 10 tahun akan datang ini? Ada yang agak terkejut bilamana disebutkan sebegitu. Mungkin sebab diri dah biasa dengan gejala yang baik-baik, ambil tahu perkara yang baik-baik dan sebagainya.

Jika ingin tahu, realiti ummah kita hari ini, suka saya syorkan buku kami, buku sulung Hamare yang mengumpulkan 13 cerpen inspirasi kisah benar. Kisah tentang isu sosial remaja dan kehidupan sang remaja. Saya menyentuh kisah berkaitan LGBT, anak luar nikah, hiburan melampau anak muda dan beberapa lagi. Manakala sahabat saya menyentuh tentang liku hidup sang remaja, yang berkait dengan persahabatan, keluarga dan beberapa lagi. Antara tajuknya, boleh rujuk gambar di bawah ini.

15107201_1824033127872810_3382852939901265481_n

Buku dua dalam satu yang ditulis oleh saya dan sahabat. Buku sulung kami. Sumbangan kecil kami buat ummah. InsyaAllah.

Saya juga syorkan agar kita membaca buku-buku yang berkaitan dan ambil cakna seperti buku ‘Suami Gay Isteri Maknyah’, buku ‘Budak Cliche’ yang memuatkan tentang perkara yang berkaitan dengan pelbagai isu anak muda, novel ‘Semusim Di Barzakh’ yang juga merupakan inspirasi kisah benar. Banyak kisah yang perlu kita baca dan ambil cakna, selain daripada gosip dan artis, selain daripada menyalahkan dan mengkritik saja. Pupuk minat membaca dengan belikan anak-anak remaja kita bahan bacaan yang berkualiti. Komik juga ada kualitinya. Bukan semata hiburan. Sudah banyak buku dan komik yang terbit untuk menyebarkan manfaat dan kebaikan serta ingin menjadi solusi. Tinggal kita saja, mahu pilih itu atau ini.

Sekurang-kurangnya, ini merupakan usaha kecil untuk menyampaikan. Usaha kecil untuk menjadi solusi daripada asyik mengutuk, mengeluh dan mengkritik saja.

Mahasiswa juga turut turun bersama. Wakil pidato daripada mahasiswa juga ada iaitu saudara Presiden Gamis (Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia), Muhammad Syukri bin Alimar Shidi. 

“Kita diberi ruang oleh Allah, diberi kehidupan oleh Allah, nyawa kita diberikan oleh Allah kepada kita, maka apa yang kita mahu berikan kepada Allah semula? Kalau bukan untuk tegakkan Islam di muka bumi ini.” (FB GAMIS OFFICIAL)

Sama juga seperti himpunan ini, ia hanya usaha kecil untuk memberitahu kebenaran setelah ditentang hebat oleh beberapa pihak. Saya juga baru tahu, saat di perhimpunan itu, ada juga rupanya pihak yang membuat program Bantahan Pindaan Akta 355 itu.

Apa yang boleh kita lakukan seterusnya? Sama ada usul pindaan akta ini akan diluluskan atau tidak pada bulan Mac nanti, di parlimen, tugas kita adalah menyampaikan kebenaran. Jika perkara itu adalah kebaikan dan kebenaran, maka, sama-sama kita sampaikan. Dengan kefahaman, bukan dengan ikut-ikutan semata.

  1. Boleh baca secara lebih terperinci berkaitan dengan pendapat Mufti Wilayah Persekutuan berkaitan dengan isu cadangan pindaan akta 355 ini. Boleh dapatkan buku beliau sendiri.

    16708336_743598085804977_6472626873287118662_n

    Beli, baca dan fahamkan ia. InsyaAllah. Saya pun baru nak beli online. Semalam tak jumpa pula jualan buku ini. Tak perasan mungkin.

  2. Dalam kenyataan sama, Zulkifli menyatakan ahli parlimen bukan Islam pula perlu menyokong pindaan tersebut.“Pindaan ini sama sekali tidak terpakai kepada golongan bukan Islam kerana akta itu sendiri menjelaskan bahawa ia hanya melibatkan orang Islam sahaja. Akta itu sudah sedia ada wujud dan hanya akan dipinda dan diberi penambahbaikan.

    “Ia bukan satu usaha jalan belakang ke arah perlaksanaan hudud kerana pemerkasaan sistem kehakiman Islam secara menyeluruh adalah yang sangat diperlukan oleh umat Islam dan Malaysia,” katanya.

    Dalam pada itu, beliau berpendapat, mana-mana pihak menentang perkara kebaikan bukan daripada fitrahnya yang baik tetapi nafsu yang cuba menafikan akan hakikat kebenaran.

    Justeru itu katanya, apabila ada pihak yang membina kebaikan, semua pihak perlulah menyatakan sokongan.

    “Kami menyeru agar ahli parlimen menyokong RUU pindaan Akta 355 kerana ia dibentang oleh wakil rakyat yang membawa aspirasi para pengundi Islam yang mahukan pemerkasaan Mahkamah Syariah di Malaysia.

    “Kami juga menyeru agar ahli parlimen sekalian menyokong pindaan ini untuk menunjukkan tanggungjawab seorang ahli parlimen yang juga mewakili keperluan dan kebajikan rakyat beragama Islam di kawasan Parlimen masing-masing,” katanya.

    Tambahnya, “sekali lagi kami tegaskan bahawa melihat kepada maslahat untuk membina sebuah negara yang maju dan berdaya saing adalah menjadi tuntutan utama kepada kita semua menyokong pindaan Akta 355.”

    Cadangan pindaan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (Akta 355) adalah untuk memperkasa mahkamah syariah yang ketika ini dibataskan kuasa hukuman kepada kadar maksimum penjara tiga tahun, denda RM5,000, enam kali sebatan syar’ie. Ini antara yang tercatat di dalam media Sinar Harian .

  3. Memberitahu rakan atau jiran kita yang bukan beragama Islam agar tidak salah faham dan berasa terancam dengan isu cadangan pindaan akta ini. Juga kepada orang Islam sendiri. Ini 10 salah faham terhadap pindaan akta 355.
  4. Menambahkan kecaknaan kita pada isu sosial anak muda dan remaja serta belia. Banyakkan pembacaan buku-buku yang bermanfaat dan ada kebaikan. Belikan buku terbaik untuk anak-anak remaja kita.
  5. Rujuk yang tidak jelas pada yang ‘ahli’, bukan sekadar menurut nafsu semata.
  6. Sama-sama kita amalkan Islam dalam diri dan buktikan dengan tingkah kita sebagai seorang Muslim, Mukmin. Islam takkan tertegak, selagi Islam dalam diri tak tertegak!

Semoga Malaysia terus aman dan damai serta terus mendaulatkan Islam sebagai yang tertinggi. Bila tengok keadaan ini (ramai yang hadir menyatakan sokongan kepada cadangan untuk pindaan akta 355) ramai sebenarnya yang sayang akan Islam. Doakan yang baik-baik insyaAllah.

Ini hanya sekadar coretan cakna. Moga Allah redha kita semua. Wallahua’lam.

Seorang hamba, 10.58 pm, 19/2/2107 @ Rumahku Syurgaku.

MISI SELEPAS GRADUASI

Published December 1, 2016 by wana93

Alhamdulillah. Alhamdulillah. Alhamdulillah.

Tarikh 20/11/2016 telah menjadi satu tarikh yang mencipta kenangan indah dalam diari hidupku selama 23 tahun umurku (setakat ini). Hari Graduasi buat aku dan sahabat-sahabatku di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

Kebanyakan pelajar memang gembira saat bergraduasi. Gembira kerana telah berjaya tamatkan belajar setelah hampir 4 tahun berhempas pulas. Hari Graduasi juga amat memberi makna dan bahagia pada insan bergelar ibu dan bapa. Mereka bahagia kerana anak mereka sudah tamat belajar, sudah berjaya dan sudah semakin membesar. Mereka bahagia kerana tidak sia-sia penat lelah mereka mencari nafkah untuk menampung sara hidup anak mereka, pelajaran anak mereka dan pelbagai lagi. Hari Graduasi hanya secebis hadiah seorang anak kepada ibu bapanya.

Mungkin, sesetengah orang suka mengeluarkan kata-kata perli, berbunyi,

“Gembira sangat konvo tu, dah ada kerja tetap ke?”

Ya, mungkin kadang itu adalah gurauan. Jika saya yang kena pun, saya cuba untuk tidak terasa hati. Rezeki milik-Nya. Bukan kita tak usaha mencari. Bukan kita tak pernah langsung ‘apply’ mana-mana. Bukan kita tak pernah dipanggil ke temuduga dan peperiksaan bertulis. Takkan nak jawapan secepat itu? Lagi satu, bukan semua orang suka bekerja, ada yang suka mencipta peluang pekerjaan kepada orang, ada yang suka bekerja secara sendiri. Ada yang suka nak jadi usahawan bisnes. Tak semua suka kerja pejabat, ada yang suka menulis, ada yang suka menghadap laptop mereka grafik, ada yang suka berkebun, ada yang minat ‘photographer’. Ada yang dapat kerja sementara untuk jadi guru, itu pun rezeki. Jangan sesekali pandang remeh pada sekecil-kecil rezeki. Syukur selalu.

Mereka dulu pun merasa konvo dan gembira. Bila tiba hari kita, salahkah kita nak raikan kegembiraan ini?

Bagi saya, kegembiraan ini khas untuk ibu. Saya sudah tidak punya abah. Al-Fatihah buat abah. Ibu saya adalah ibu dan abah saat ini. Insan yang telah melahirkan diri ini. Yang telah banyak berkorban harta, masa, jiwa dan raga untuk anak-anaknya. Yang telah banyak menempuh liku dan onak duri ujian sendirian tanpa suami di sisi. Hanya anak penguat jiwa dan hati si ibu. Memang ibu tak pernah tahu bahawa anaknya ini pernah menangis semasa belajar di universiti, anaknya ini agak sibuk dan aktif berpersatuan, anaknya ini pernah ‘down’ dalam belajar, namun, itu semua tidak diri ini cerita. Tapi, percayalah. Kita tak cerita pun, ibu tahu juga. Bila kita balik, ibu bagi kata semangat dan nasihat. Bila tengok kita tak keluar bilik sebab menaip assignment bagai, ibu ketuk bilik ingatkan suruh makan dulu. :’)

15134678_10205969230509611_4950339717752025301_n

APA MISI SELEPAS GRADUASI?

15134589_1825659604376829_3951534927804192326_n

Jika ditanya secara peribadi, misi saya selepas graduasi ada 3 perkara yang menjadi prioriti saya. Pertama, saya sangat berhajat untuk sambung ke peringkat Master. Doakan saya. Kedua, saya nak focus bangunkan team bisnes Hamare di samping saya nak mencari peluang pekerjaan dahulu kerana masih permulaan. Misi saya dan sahabat-sahabat dalam Hamare sangat besar. Bukan mudah nak lalui tempoh 3 tahun survive. Mudah-mudahan Allah redha. Doakan kami. Saya nak belajar sambil bekerja jika ada rezeki, ruang dan peluang. Lagi satu, meraikan harapan ibu. Ketiga, saya nak berbakti pada masyarakat. Wadahnya pelbagai. Jadi, saya cuba posisikan diri saya di dalam wadah yang sesuai, insya-Allah. Mudah-mudahan. Sekarang, masih berkhidmat di tempat praktikal dahulu. Alhamdulillah, banyak pengalaman hidup yang saya dapat apabila berada di sana. Dari sudut pemfailan, sistem, komunikasi bersama golongan yang sosial dan bermasalah serta banyak lagi. Doakan saya.

Kahwin? Ya. Itu fitrah. Jika datangnya saat waktu yang tepat, orang yang tepat dan keadaan yang tepat, sudah pasti kita menerima, bukan? Kahwin bukan soal siapa cepat, siapa lambat. Jika belum masanya, sabarlah. Just go with the flow. Usaha perbaiki diri dan tambahkan ilmu lagi, mudah-mudahan kita akan dapat capai rasa cinta yang mendalam terhadap-Nya dahulu, sebelum hadir si kekasih halal di sisi kita nanti. Kan? Tahniah dan selamat pengantin baru pada yang baru berkahwin. Hadiah konvo mereka ada yang dah dapat suami, isteri dan juga anak. Tahniah!

Bagi yang masih ‘jomblo happy’ macam saya, kita juga wajib bersyukur. Jangan bersedih. Rezeki itu mestilah kita luaskan maknanya. Tidak terhenti pada makna material dan kahwin saja. Tapi, rezeki juga datang dalam pelbagai aspek. Kesihatan, kebahagiaan, kawan-kawan yang baik, dapat pergi travel ke luar negara, dapat guru yang baik, dapat keluarga yang penyayang, dapat tadah kitab dengan murabbi, itu semua adalah rezeki. Syukuri dan hargailah.

Jasa guru dan pensyarah jangan sesekali dilupa. Sentiasa jaga hubungan dengan mereka. Pastikan adab adalah nombor satu.

Antara secebis pesanan yang sangat mendalam maknanya dan boleh dijadikan panduan kita adalah nasihat daripada seorang senior yang saya kagum dan cemburu dengannya. Kagum dan cemburu dengan ketekunannya dalam menuntut ilmu.

“Ala kulli hal, pesanan dan peringatan dari saya sebagai hamba Allah yang dha’if dan masih jahil ni, agar terus menuntut ilmu walaupun setelah bergelar graduan, kerana pada pengalaman dan kajian saya, apa yang kita belajar di universiti bukanlah banyak mana dan tak sedalam mana, tapi yang akan membuatkan tahap pengetahuan dan ilmu kita itu meningkat ialah dengan proses pembelajaran yang berterusan.

Oleh itu, teruskan pembacaan,teruskan ulangkaji, mengajar dan menulis ilmu2 yang telah kita pelajari kerana proses nak menjadi seorang berilmu itu bukanlah sekejap. Jangan kita berpegang kepada sijil yang kita ada kerana kalau kita berbuat demikian maka kita ditipu oleh luaran.

Saya dah hampir 6 tahun grad masih lagi teruskan proses belajar, apa yang saya nasihat itulah yang saya amalkan sejak grad sampai sekarang. Subhanallah, saya nampak apa yang saya belajar lepas grad dengan apa yang saya belajar masa di universiti, ilmu terlalu luas, jangan sesekali stop belajar walaupun tak sambung belajar.

Saya tak pernah pegang ilmu seseorang bergantung pada sijil yang dia ada, sekarang saya makin nampak hakikat tu.”

ILMU

Bila berbicara tentang ilmu, saya selalu teringat satu kata-kata ulama’ dahulu, seorang ulama tabiin, Abu Nasr Yahya Bin Abi Kathir al-Yamani, pernah berkata, “Seseorang itu tidak mampu menguasai ilmu dengan kerehatan tubuh badan.”

Antara poin yang pernah saya kongsikan bersama junior saya dalam bab ilmu, suka saya sarankan pada mereka untuk membaca 4 buku asas ini, iaitu :-
1) Aku, Buku Dan Cinta (Tulisan Dr. ‘Aidh Abdullah Al-Qarni)
2) Tinta Nasihat Untuk Penuntut Ilmu (Tulisan Dr. Zulkifli Al-Bakri)
3) Ikon Syabab (Tulisan ustaz Umar Muhammad Noor)
4) Ikon Syabab 2 (Tulisan ustaz Muhammad Noor)

Ini antara buku yang suka saya baca, bilamana ingin dapatkan semangat dan motivasi diri dalam mencari mutiara ilmu.

Untuk menulis sesuatu pula, sasterawan negara kita, A. Samad Said berpesan, perlu ada 4 perkara, iaitu :-
1) Membaca
2) Membaca
3) Membaca
4) Menulis

Tulislah yang baik-baik, agar natijahnya juga yang baik-baik. Menulis untuk Syurga, melukis juga untuk Syurga.

Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud : “Sesiapa yang Allah menghendaki kebaikan baginya maka dia diberikan kefahaman dalam agama..” (Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

Teruskan belajar dan belajar, hingga hujung nyawa! Jalan kita masih panjang, namun umur kita sangat pendek. Manfaatkanlah sebaiknya.

‘Selesai graduasi, bukan bermakna langkah ini sudah terhenti. Malah, langkah ini akan terus mendaki, untuk mengutip mutiara ilmu, yang sangat luas di muka bumi ini. Semoga dapat dimanfaatkan buat diri, keluarga dan ummah. Doakan.’

Masih budak jahil,

Graduan Ijazah Sarjana Muda Pengajian Akidah Dan Agama,

Universiti Sains Islam Malaysia.

USAHA KECIL BUAT UMMAH

Published November 15, 2016 by wana93

Bismillah.

Assalamualaikum semua. Semoga kalian berada dalam keadaan sihat jasad dan sihat iman sentiasa.

Pertama sekali, mari sama-sama ringankan lidah untuk mengucap tahmid pada-Nya. Alhamdulillah. Alhamdulillah. Alhamdulillah.

DARIPADA NIAT MENJADI BAKTI

Di kesempatan ruang masa yang ada ini, ingin saya kongsikan sesuatu kepada pembaca semua, khususnya yang mengenali saya di alam blogging ini atau di alam realiti.

Dahulu, saya memang mempunyai impian untuk ada buku sendiri, memandangkan saya ni jenis yang suka dan minat menulis. Saya juga jenis yang ulat buku juga mungkin. Saya suka menulis tentang apa yang berlaku di sekeliling saya, pengalaman sekeliling dan diri serta perjalanan liku yang dilalui. Saya suka berkongsi apa yang saya rasa ada manfaatnya. Mudah-mudahan.

Bila melangkah ke alam universiti, saya bertemu dengan sahabat yang juga sekepala dengan saya. Jenis yang suka menulis dan membaca serta ada blog sendiri juga. Kami menjadi rapat. Tak sangka, dia juga punya impian seperti saya untuk ada buku sendiri yang mengumpulkan hasil-hasil penulisan cerpen kami.

Selesai saja belajar, saya bersama 4 sahabat berbincang dan merancang strategi untuk menerbitkan sebuah buku ‘self-publish’. Niat kami, ingin menyumbang sesuatu sebagai hadiah buat manfaat ummah. Niat kami, ingin menyampaikan walau secebis kebaikan. Biar nanti, bila kami sudah dipanggil Ilahi, ada sesuatu yang kami tinggalkan pada ummah ini. Kami cuba walau usaha ini kecil saja jika nak dibandingkan dengan nilai dan usaha dakwah junjungan besar, Nabi Muhammad S.A.W. kita. Kami cuba melalui bidang yang kami minat.

Jadi, tarikh 14/11/2016, alhamdulillah, buku telah siap dicetak! Buku pertama dan sebagai langkah pemula bagi kami berlima untuk terus melangkah dan memperbaiki segala kekurangan dengan lebih baik lagi. InsyaAllah.

15037178_1823288347947288_7812815011412999855_n.jpg

APA KEISTIMEWAAN BUKU ITU?

  • Penampilan dua penulis blogger muda di dalam satu buku!
  • Memuatkan 13 cerpen santai berbentuk tarbiah!
  • Menampilkan 13 kisah yang diinspirasi daripada kisah benar!
  • Kisah berkenaan isu dan permasalahan sosial seperti gejala sosial, LGBT, dan banyak lagi, khususnya buat golongan remaja!
  • Berkisarkan liku dan cabaran yang perlu dihadapi oleh muda mudi dalam mengharungi usia sebagai seorang Muslim!
  • Istimewa 3 karya illustrasi tarbiah khas untuk anda!

14993335_1823288357947287_5026274645948954378_n

Belum lagi saya buka untuk order, tapi dah ramai yang bertanya tentang buku tersebut. Alhamdulillah.

Saya tak janjikan kesempurnaan pada buku pertama ini. Kerana, mentor saya pernah berpesan, daripada hasil pertama kita akan lihat banyak kelemahan. Itu adalah proses pembelajaran untuk tambah baik dan ‘upgrade’ lagi. Kalau kita nakkan semuanya sempurna, memang takkan terbitlah buku nampak gayanya.

Buku ini mungkin ada kekurangannya tersendiri. Cuma, itulah, saya dan sahabat-sahabat sentiasa berbalik pada niat kami. Bukan mahu cari populariti, bukan mahu cari nama dan dikenali, bukan mahu mengejar kaya dan pelbagai alasan duniawi lagi.

Niat kami adalah ingin meninggalkan sesuatu yang bermanfaat buat ummah khususnya remaja dalam apa yang kami minati dan ingin dalami sebelum kami yang pergi meninggalkan bumi ini. Kami juga berharap agar para muda-mudi dan remaja khususnya pelajar universiti dapat memiliki dan membaca buku ini.

Saya dan team Hamare cuba meletakkan harga yang murah dan berpatutan, namun, kami terikat dengan kos cetakan yang semakin bertambah. Kami bukan daripada kalangan yang sudah punya pendapatan tetap. Kami masih bekerja sementara, mencari pengalaman di sana sini dan masih menggali ilmu. Jadi, kami usaha yang termampu untuk menghasilkan sebuah buku ‘self-publish’. Asalkan kami ada sesuatu untuk ummah. Buku ini kecil nilai usahanya jika ingin dibandingkan dengan usaha dakwah Nabi suatu ketika dahulu. Tapi, kami usaha menjadi solusi. Kami cuba menyusun rapi perancangan untuk projek dakwah Hamare.

15094264_1823288391280617_472569855113419707_n

KENAPA #PROJEKDAKWAH?

Kerana kami ini berjiwa besar dan punyai misi yang besar juga. Bukan sekadar mahu pembaca membaca buku, malah, ingin mengajak pembaca untuk infak sekali. Sama-sama dapat pahala. Syok kan?

Bagaimana?

New Timeline FB.jpg

Sebahagian daripada hasil jualan yang kami dapat melalui buku ini, akan disalurkan untuk projek-projek dakwah yang telah kami rancangkan seperti sumbangan pembinaan tahfiz/madrasah yang ada di Malaysia, sumbangan infak untuk pembangunan ummah, sumbangan anak yatim dan yang berkaitan dengan perkara ummah. Kita tak perlu tunggu kaya untuk memberi sedikit sumbangan. Cukuplah bekerjasama mencari solusi untuk terus dapat menyumbang walau sedikit, asalkan istiqamah dan ada usaha ke arah itu.

Jadi, tidak ada rasa rugi, malah, rasa beruntung kerana bukan saja memiliki buku, membaca intipati cerita yang diinspirasi daripada kisah benar, bahkan, dapat sama-sama menyumbang ke arah kebaikan dan manfaat ummah insyaAllah. Kami juga dalam peracangan untuk kolaborasi dalam hal-hal kesukarelawan yang melibatkan turun ke lapangan seperti gelandangan dan lain-lain lagi. Doakan misi kami ini. Segalanya akan di’update’ di page Hamare jika dapat dilaksana nanti.

Selain itu, jika selepas ini ada permintaan tambahan cetakan lagi, insyaAllah, dengan bajet yang ada, kami ingin berikan secara PERCUMA kepada beberapa asnaf yang pernah terlibat dengan masalah sosial seperti LGBT, zina dan sebagainya untuk memberi sedikit pembacaan rohani dan motivasi buat jiwa-jiwa mereka. Untuk cetakan pertama ini, kami telah peruntukkan sebanyak 20 buah buku PERCUMA untuk diberi kepada perpustakaan sekolah dan universiti kami serta beberapa asnaf. Doakan moga kami terus melangkah laju dan maju untuk ummah!

Doakan, moga usaha kecil buat ummah ini, Allah kira dan diterima sebagai bekalan pencen kubur. Jika nak kenali lebih lanjut, siapakah 5 sahabat di sebalik nama HAMARE ini, bolehlah beli dan miliki serta baca buku ini ya. Boleh juga hadiahkan buat sahabat-sahabat anda. Setiap pembelian akan diberi button badge Hamare secara PERCUMA. 🙂

14364647_1796636027279187_299662848982486608_n

Maklumat lanjut, boleh lawat FB Page Hamare .

LIKE PAGE FB : Hamare
FOLLOW INSTAGRAM : Hamare.Official
FOLLOW TWITTER : @Off_Hamare
EMEL : projekhamare@gmail.com

“Tanggungjawab yang kita ada lebih banyak daripada masa yang kita ada.”

PENCARI CINTA ILAHI, Malaysia, Galaksi Bima Sakti.

ADA APA DENGAN ‘HAMARE’?

Published September 21, 2016 by wana93

Assalamualaikum semua! Alhamdulillah! Apa khabar hari ini? Moga dalam redha-Nya selalu. 🙂

Terima kasih sebab sudi baca dan kongsikan perkongsian saya sebelum ini yang berkait dengan pelajar tahun akhir, ‘thesis’ dan latihan industri. Semoga tersebar manfaatnya, mudah-mudahan.

Hari ini, saya nak kenalkan ‘HAMARE’ pada pembaca setia blog saya dan juga pengunjung blog saya serta yang mengenali diri saya secara langsung atau tidak langsung.

Bismillah..jom berkenalan!

THE HAMARE PROJECT COLLECTION

(SA0390226-D)

13346531_1747639268845530_5496127822894218520_n

Logo HAMARE

HAMARE merupakan langkah permulaan 5 sekawan anak muda ke medan penulisan pentarbiahan santai dan dunia penerbitan seperti buku dan yang sewaktu dengannya.

MISI

Merealisasikan sesuatu yang berpotensi memberi manfaat kepada ummah melalui medium tinta pena atau penulisan dan media seperti poster, video, illustrator dan lain-lain.

VISI

Dengan Bismillah, Kepada Ummah, Untuk Lillah.

SASARAN

Khas untuk remaja. Umum untuk tatapan dan manfaat semua kerana seputar isu masyarakat yang semakin lama semakin parah.

HAMARE berasal daripada perkataan bahasa Urdu. HAMARE membawa maksud ‘kami’ atau ‘kita’. Perkataan ini dipilih sebagai nama tema kami kerana ianya digerakkan secara kerjasama 5 sahabat. Iaitu kami. HAMARE berkonsepkan labu dan pelepah pena atas beberapa aspek. Labu dipilih kerana ia sentiasa berusaha untuk hidup. Walau sering terhalang oleh batu-batan, batu kerikil dan batang pokok, namun, ia terus menjalar menyebar manfaat dan hidup membesar. Pelepah pena pula merupakan medium kami untuk menyebarkan manfaat melalui tinta pena.

13962769_1779807422295381_6265374025585289800_n

Misi kami besar dan kami baru bermula step by step dari bawah. HAMARE terdiri daripada  2 orang penulis blog iaitu saya dan seorang sahabat, Qalam Jiwa dan seorang sahabat jua pelukis illustrator yang minat melukis serta berbakat dalam seni khat (Artzsketch) serta dua orang sahabat yang cenderung dan berbakat dalam Multimedia dan Editing sebagai Graphic Designer HAMARE (G Collection & Cak Ud) 

HAMARE diasaskan untuk membantu mengasah bakat kami berlima supaya dapat  menghadiahkan sesuatu pada ummah mengikut keperluan dan kemampuan kami sendiri. HAMARE bersedia menerima tempahan rekabentuk untuk banner, poster, bunting dan yang berkaitan dengannya. HAMARE juga sedang dalam proses akhir untuk menerbitkan sebuah buku sulung yang menggabungkan dua tajuk iaitu ‘Hidayah Di Balik Gerigi Besi’ dan ‘Shameless’. Insya-Allah, penerbitan buku secara ‘self-pubish’. Kami menerima tempahan design (design sahaja) dan button badge (design&printing) untuk semua majlis atau program untuk menambah dana misi kami ini. Boleh lihat testimoni di sini , banyak lagi yang akan di-update dari semasa ke semasa.

HAMARE juga bersedia menerima tempahan Penanda Buku Kaligrafi Ringkas (Hand-made) untuk anda.

14095895_1785899798352810_4743344692903905047_n

Contoh ‘Simple Bookmark Calligraphy (Hnad-Made)’ oleh team HAMARE

Buku ini memberi pendedahan dan perkongsian berkaitan dengan realiti kehidupan khususnya buat remaja. Buku ini berbentuk santai tetapi penuh dengan isi yang hendak disampaikan melalui kumpulan cerpen. Istimewa diselit bersama beberapa karya illustrator team HAMARE sendiri. Doakan semoga projek HAMARE ini berjaya, mendapat sokongan dan semakin lebar serta luas empayarnya sebagai salah satu usaha dakwah kami untuk ummah. Insya-Allah.

gabung

Bakal terbit, November 2016, insya-Allah.

Misi besar kami ingin menyampaikan sesuatu yang bermanfaat khususnya kepada golongan sosial seperti LGBT, obses hiburan, putus asa di jalan kebaikan dan banyak lagi. Ada antara kami yang memiliki sedikit pengalaman bersama dekati dan berpogram dengan golongan Mak Nyah sebegini. Kami juga ingin muda-mudi kini untuk dapatkan karya kami kerana cerpen santai berbentuk realiti ini adalah hasil keadaan sekeliling. Ada solusi yang ingin dikongsi bersama. Akhir sekali, misi kami adalah untuk memanfaatkan minat dan bakat kami ke arah dunia dakwah, sebagai bekalan bila kami sudah tiada di dunia yang fanaa’ ini. Diri akan mati, namun, biarlah tulisan dan lukisan dakwah ke arah kebaikan terus ada dan hidup subur tersebar.

14087474_1393023087394435_66013261_o.jpg

14292493_1790812247861565_1082074733519755809_n

Doakan kami!

Jika ingin tahu siapa kami, siapa HAMARE ini dengan lebih lanjut, nantikan buku sulung terbitan HAMARE! Ada pengenalan ringkas berkenaan profil diri team HAMARE. Jika anda sudah baca posting ini, sudi-sudilah untuk komen ‘Saya dah baca..’ dan kenalkan sekali diri anda, dari mana, untuk saya kenal dan tahu tentang pembaca blog saya. Terima kasih buat semua!

#SupportHamare

#ProjekHamare

#ProjekDakwah

LIKE& SHARE FB PAGE : Hamare 

FOLLOW INSTAGRAM : Hamare.Official

FOLLOW TWITTER : @Off_Hamare

WHATSAPP :📱 +6 011-35692793

Wassalam.. 🙂

PERKONGSIAN : PELAJAR TAHUN AKHIR & ‘THESIS’ SERTA LATIHAN INDUSTRI

Published September 13, 2016 by wana93

Bismillah..

Assalamualaikum dan apa khabar para pembaca semua? Sudah lama saya menyepi kan? Menyepi sebentar saja daripada blog ini. Di Facebook, saya masih seperti biasa. Insya-Allah. Terima kasih pada beberapa pembaca blog ini yang ada menghantar mesej pertanyaan dan perkongsian di Inbox FB saya. Maaf kerana ada yang saya lambat respon    dan balas.

Untuk kali ini, saya ingin berkongsi satu jawapan yang agak panjang daripada persoalan yang dilontarkan oleh para junior, khususnya yang sedang berada di tahun akhir. Kebanyakan soalan mereka berkisar tentang :-

“Akak, boleh kongsi tak tips nak buat tesis yang berkualiti dan macam mana pemilihan tempat kita nak praktikal nanti?”

“Akak, boleh tak bagi taujihat sedikit berkenaan tesis. Dah jadi pelajar tahun akhir ni, macam-macam benda nak kena fikir.”

“Akak, tempat kita praktikal nanti akan sama dengan bidang kita ni ke?”

Ada beberapa lagi soalan yang sama waktu dengannya. Walaupun saya bukanlah pelajar terbaik pun dalam pengajian saya, tapi, bolehlah kongsi apa yang saya tahu dan ada pengalaman di dalamnya. Insya-Allah.

PELAJAR TAHUN AKHIR & ‘THESIS’

img_20160122_152220

Gambar ‘thesis’ yang telah lengkap dan sedia untuk diserah kepada SV.

Bila dah bergelar pelajar tahun akhir, kita dah boleh ‘pencen’ daripada kesibukan persatuan-persatuan di universiti. Beri peluang pada adik-adik junior pula untuk merasa dan mengasah ‘soft skill’ dalam diri mereka. Jika mereka perlukan bantuan, dorongan dan nasihat, sila jangan lokek. Luangkan masa untuk bersama mereka. Tapi, jangan pula langsung tak ikuti majlis-majlis ilmu yang ada di sekeliling kita. Jika ada ruang dan peluang, pergilah! Boleh menambah ilmu dan menjadikan kita seorang yang cinta akan majlis ilmu.

Seterusnya, inilah masa yang paling seronok untuk kita fokus dan bersungguh-sungguh. Bukanlah maksudnya sebelum ni tak payah fokus pun boleh. Maksudnya, fokus dan kesungguhan kita akan lebih meningkat bila kita dah kurang atau dah ‘pencen’ daripada dunia persatuan dan yang sewaktu dengannya. Seronok dapat berlama-lama di perpustakaan, mencari bahan-bahan kajian, berdiskusi dengan sahabat sepengajian dan pelbagai aktiviti lagi.

Waktu ini juga kita sudah semakin serius dalam menguruskan jadual harian kita. Buat ‘chekclist’. Setiap hari, tugasan kita akan semakin banyak. Selalunya, ‘assignment’ dan ‘presentation’ saja, tapi tahun ini, tahun akhir, kita ditambah dengan satu lagi tugasan berat iaitu kajian penulisan ilmiah atau ‘thesis’. Tugasan ini jika dipandang remeh, akan menghasilkan natijah yang tidak bagus. Jika kita tidak serius melaksanakannya, maka, akan datanglah masalah seperti tidak cukup masa nak buat ‘thesis’, tak cukup bahan dan pelbagai lagi alas an yang bakal kita berikan kelak. ‘Thesis’ kita adalah tanggungjawab kita! Buatlah sehabis baik untuk menjaga kualitinya!

Saat ini juga, kita diajar untuk membaca dan mengorek kajian-kajian lama yang pernah menyentuh isu atau ada kaitan dengan tajuk kajian penulisan ilmiah kita. Sebab itu kena pandai cari dan bahagikan masa. Tak ada ruang untuk bermain-main sakan dah!

Bila kita mulakan awal, mula mencari bahan awal, menulis awal, urusan kita akan mudah selepas itu. Supervisor boleh semakkan kita punya dahulu untuk kita betulkan apa-apa yang salah dan tak kena. Kemudian, boleh kita terus untuk langkah seterusnya pula. Jika kita buat lambat, baru nak bagi SV semak semasa tarikh akhir dah nak tamat, memang jawabnya ‘Takdang nak semaklah! Lantaklah! Aku hantar jelah! Tawakkal!’. Itu sepatutnya tidak berlaku apabila kita sudah berada di tahun akhir. Malah, adab dengan guru/pensyarah/SV juga sepatutnya semakin tinggi dan semakin beradab.

Hubungan dengan SV dan pensyarah sangat penting. Bukan mudah seorang murid nak dapatkan keberkatan seorang guru. Antara adab-adab dengan syeikh (guru) ialah :

  • Jangan memaki guru
  • Jangan sakiti guru
  • Jangan sakiti hatinya
  • Jangan takbur dan sombong dengan guru
  • Jangan tinggikan suara dengan guru
  • Jangan bermasam muka dengan guru
  • Jangan menghina guru

Ini antara adab yang dikongsi di dalam buku ‘Tinta Nasihat untuk Penuntut Ilmu’ oleh Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri. Ini antara buku yang sangat saya suka untuk menyelaknya berkali-kali, bagi memotivasikan diri di kala malas menjelma dan bagi menaikkan semangat diri untuk terus menadah ilmu kerana-Nya. Selain itu, saya suka syorkan pada kalian, penuntut ilmu, untuk kita memiliki dan baca serta hadam buku ‘Ikon Syabab’ dan ‘Ikon Syabab 2’ oleh ustaz Umar Muhammad Noor. Pelbagai cerita dan tokoh remaja terdahulu yang telah berjaya menggoncang dunia dengan kuasa muda mereka secara berilmu, beradab dan memiliki peribadi Islam yang hebat. Buku ini menjadi inspirasi buat diri yang sering leka dan alpa. Tanpa ikon yang menjadi ikutan, seorang remaja boleh karam dalam lautan hiburan yang melalaikan.

LATIHAN INDUSTRI

img-20160610-wa0008

Saya dan sahabat praktikal USIM. Saat ini, kami ditugaskan untuk program luar.

Bukan semua orang bertuah, akan dapat tempat latihan industrinya sama dengan bidang pengajiannya. Namun, itu bukanlah alasan untuk kita tidak berusaha mencari dan memohon bahagian latihan industri. Bila sebut berkenaan ‘Latihan Industri’ atau tempat kita bakal bakal berpraktikal, maka, yang utama sekali adalah kemahiran ‘soft skill’. Di sini letaknya kelebihan pelajar-pelajar yang pernah aktif berpersatuan dan berprogram sewaktu menjalani liku-liku kehidupan sebagai seorang mahasiswa. Banyak sebenarnya kemahiran yang kita dapat apabila kita bergerak aktif atau melibatkan diri di dalam persatuan dan program-program. Antaranya, kemahiran berkomunikasi, kemahiran bekerjasama secara pasukan, kemahiran membuat surat rasmi, kemahiran menguruskan program dan pelbagai lagi.

Kemahiran-kemahiran inilah kebanyakannya digunakan di dalam fasa ‘internship’ kita. Kita tidak dilatih terus untuk berdebat berkenaan perbandingan agama jika kita berada di bidang itu. Kita mungkin diarah untuk menganjurkan sebuah seminar berkenaan perbandingan agama. Di situ, kemahiran menguruskan program, komunikasi dan surat-menyurat sangat penting. Itu pun jika kita berada di atas gelanggang latihan industri yang berkaitan.

Jika tidak, kita boleh jadikan sesuatu itu sebagai ilmu baru dan tambahan dalam diri kita. Sebagai contoh, saya sendiri, menjalani latihan industri di Majlis Agama Islam. Walau bahagian yang saya ditempatkan itu ada sedikit kaitan dengan bidang, namun, banyaknya adalah tidak ada kaitan. Saya belajar untuk berhadapan dengan asnaf, terkadang kena marah dengan asnaf, keluar menguruskan program bersama pegawai, mencatat minit mesyuarat, mengambil aduan kes dan lain-lain lagi. Semua itu tidak dipelajari di alam universiti akan tetapi diambil sebagai satu bidang ilmu yang baru. Lagi pula, semasa latihan industri, saya banyak juga terlibat dengan program-program luar. Jadi, pengalaman serba sedikit yang ada semasa melibatkan diri dengan persatuan dan program di univerisiti, diaplikasi dan dimanfaatkan sebaiknya. Jangan difikir itu adalah sia-sia. Tidak sama sekali!

Saya masih ingat, bulan pertama semasa praktikal, saya menerima beberapa mesej daripada sahabat-sahabat seperjuangan untuk meminta contoh kertas kerja dan laporan serta minit mesyuarat. Ada dalam kalangan mereka ditugaskan untuk membuat kertas kerja program. Sebab apa mereka minta pada saya? Sebab saya pernah dan selalu kena jadi S/U semasa di universiti dulu. Saya kongsi dan bagi sajalah apa yang ada. ‘Sharing is caring’. Jangan pernah merasa bahawa diri kita ini sempurna, tiada cela. Jangan sesekali memandang rendah akan seseorang. Selalulah bersangka baik dengan semua orang.

Saya masih ingat, dulu, semasa berada di tahun 1 dan awal tahun 2, saya tidak aktif. Akhir tahun 2 rasanya baru saya cuba-cuba untuk libatkan diri dengan program dan persatuan. Permulaan saya adalah dengan menjadi MC bersama sahabat-sahabat lain untuk program Seminar Kebangsaan Pengajian Akidah Dan Agama. Selepas itu, saya terinspirasi dengan beberapa senior yang sangat komited dalam menuntut ilmu. Suka pergi daurah, rapat dengan pensyarah dan tuan-tuan guru, suka ke majlis ilmu dan sebagainya lagi. Sejujurnya, (saya harap senior-senior tak baca post ni.haha) saya suka tengok perkongsian di FB senior-senior yang saya sebutkan cirinya tadi. Antaranya, senior Razif Fuad, senior Amin Suhaimi, senior Syed Hashim (lebih dikenali dengan Man Ana Man Anta), senior Hakimi Salleh, senior Amir Syazani dll. Asyik lelaki saja, perempuan tak ada ke cik kak oi?

Mestilah ada. Antara yang saya suka ‘stalk’ FBnya dan punya ciri-ciri di atas juga adalah senior kak Siti Najwa Lothpi, senior kak Rafezza, senior kak Afifah dll. Dan saya terjumpa satu video di Youtube masa tu, rakaman ziarah geng senior Razif Fuad dan senior Amin bersama seorang tuan guru di Kedah. Mereka juga terkenal dengan geng kitab atau geng ulat buku. Dari situ, saya rasa sangat cemburu! Cemburu sebab mereka sukakan ilmu dan rajin dampingi guru! Mereka sentiasa sibuk dengan ilmu! Saat itu, saya juga berazam untuk contohi mereka, apa yang saya mampu kerana saya seorang perempuan. Jadi, banyak batasannya. Namun, apa yang baik dan boleh dijadikan contoh, kita ikuti. Kan? Sebab tu saya gembira dan sayang geng-geng saya yang sudi dan rajin teman ke majlis ilmu, daurah, bedah kitab dll. Terima kasih sahabat-sahabatku sayang!

“Dan katakanlah : Wahai Tuhanku! Tambahkanlah untukku ilmu.” (Surah Toha : 114)

Seorang ulama tabiin, Abu Nasr Yahya Bin Abi Kathir al-Yamani, pernah berkata, “Seseorang itu tidak mampu menguasai ilmu dengan kerehatan tubuh badan.”

Nasihat akhir saya, jangan terlalu memilih tempat praktikal. Namun, jangan terlalu jauh atau lari sangat daripada bidang kerana kita akan ditugaskan untuk membuat laporan dan membentangkan hasil latihan industri kita serta mengaitkannya dengan bidang kita. Kalau lari jauh sangat, takut kita yang tak ada idea untuk diisi dalam laporan dan pembentangan pula nanti. Kerana semua itu diambil kira oleh SV masing-masing. Contohnya, kita ambil bidang agama, tetapi melakukan latihan industri di kedai fotostat saja. Lantaran malas mencari dan memohon tempat praktikal yang lebih sesuai.

Bila dah berjaya mohon tempat praktikal, buatlah sehabis baik. Baik dengan pegawai, bos, dan sekeliling. Tak rugi pun buat baik. Bila tak tahu atau kurang jelas, terus tanya minta pencerahan. Jangan berdiam diri saja. Bila tengah tak ada kerja nak buat, tanya dan mintalah kerja! ‘Masukkan’ diri kalian dalam suasana kerja mereka.

Selain dampingi guru atau pensyarah, rapatkan diri juga dengan para senior! Selain ukhuwah, banyak perkara kita boleh belajar dan kutip daripada mereka.

Semoga perkongsian yang sedikit ini, ada manfaatnya untuk para pembaca, khususnya pelajar tahun akhir. Selamat menyiapkan ‘thesis’ kalian! Cintailah ‘thesis’ kalian, nescaya kalian pasti akan melakukan yang terbaik untuknya!

Semoga berjaya dunia dan akhirat. Doakan saya juga.

Wassalam..

Rumahku Syurgaku,

Malaysia,

Galaksi Bima Sakti.

12/9/2016

10.37 pm

 

BERSUNGGUH MEMOHON KEAMPUNAN TUHAN

Published June 25, 2016 by wana93

Alhamdulillah. Nikmat di bulan Ramadhan. Kita masih diberi ruang dan peluang olehNya untuk menghirup udara dan bernafas serta nikmati malam-malam akhir di bulan mulia ini.

“Hai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertakwa.” (Surah Al-Baqarah : 183)

Kita semua sedar dan tahu, bahawa takwa adalah salah satu misi yang perlu dicapai dalam menjalani fasa puasa ini.

Daripada Abu Dzar Jundub bin Junadah dan Abu Abdul Rahman Mua’dz bin Jabal r.a. meriwayatkan, bahawa Rasulullah SAW bersabda (maksudnya) : “Bertakwalah kepada Allah di mana sahaja engkau berada. Ikutilah segera kejahatan dengan kebaikan, necsaya kebaikan itu menghapuskannya, dan bergaullah sesama manusia dengan budi pekerti yang baik.” (Riwayat Ahmad, al-Tirmizi dan al-Hakim)

Takwa dari sudut makna umunya adalah takut kepada Allah. Umar Bin Abd Aziz berkata : “Bukanlah takwa semata-mata puasa siang hari, qiam pada waktu malam dan bergabung antara keduanya, tetapi takwa yang sebenar meninggalkan apa yang dihramkan Allah dan menunaikan perintah Allah.”

Talq Bin Habib pula berkata : “Takwa ialah kamu beramal untuk mentaati Allah atas cahaya daripada Allah yang kamu harap pahala Allah. Kamu meninggalkan maksiat atas cahaya daripada Allah kerana kamu takut azab Allah.”

Mu’az Bin Jabal R.A. berkata : “Orang yang bertakwa ialah mereka yang takut kepada syirik iaitu beribadat kepada berhala dan benar-benar mengikhlaskan semata-mata kerana Allah dalam ibadat.”

“Sesungguhnya perbuatan-perbuatan yang baik itu menghapuskan (dosa) perbuatan-perbuatan yang buruk. Itulah peringatan bagi orang-orang yang ingat.” (Surah Hud : 114)

Buatlah kebaikan sentiasa. Balaslah kejahatan orang pada kita dengan kebaikan. Jangan sesekali kejahatan atau keburukan dibalas dengan kejahatan atau keburukan juga.

tasbih.jpg

Mujahadah Nafsu

Misi mencapai takwa tidak semudah bicara dan tulisan. Ianya memerlukan mujahadah dan kesanggupan yang tinggi dari seorang hamba untuk Sang Khaliq (Pencipta). Berapa ramai yang hidupkan saki baki Ramadhan, 10 malam terakhir dengan I’tikaf, zikir, baca Al-Quran, qiamullail dan yang sewaktu dengannya?

Berapa ramai juga yang semangat rayanya berkobar-kobar di akhir-akhir Ramadhan ini, sakan membeli-belah di malam hari, sakan bermain mercun dan bunga api, sakan mendengar lagu-lagu raya? Ramai yang mencari Lailatul Qadar di pusat membeli belah kerana masa inilah harga baju raya, kuih raya, perabot semuanya berdiskaun! Khemah jualan di tepi jalan dipenuhi dengan manusia. Hingga lewat malam. Pulang 2 ke 3 pagi. Kemudian terus lena kepenatan. Dinihari berlalu begitu saja. Sepi. Kosong. Sedang Ramadhan juga semakin melangkah pergi, berlalu ingin meninggalkan kita.

Jika dalam bulan-bulan lain, hari-hari lain, kita sering beralasan itu dan ini untuk menghadap, membelek dan membaca Al-Quran. Apa salahnya 10 malam terakhir ini kita sibukkan diri dengan membaca dan menghayati isi surat cinta Ilahi? Kalau bukan hari ini, kalau bukan sekarang, bila lagi? Yakinkah kita akan bertemu dengan bulan mulia ini di tahun akan datang? Tiada siapa dapat menjamin berapa panjang usia umurnya.

Jika dalam bulan-bulan lain, hari-hari lain, kita sering mengalah dan turutkan nafsu sahaja. Apa salahnya kita kuatkan jati diri dalaman kita di akhir Ramadhan ini untuk melawan nafsu diri sendiri? Sampai bila mahu turutkan nafsu? Sampai bila mahu bermalasan dalam beribadah? Sampai bila mahu terus tenggelam dalam lautan maksiat? Sampai bila mahu terus selesa dan seronok dalam maksiat?

Nafsu yang bersifat khianat, hendaklah kita membuangnya dan sempitkan segala dorongannya. Mujahadah nafsu merupakan sepayah-payahnya kerana mujahadah yang lain tidak dapat dilakukan tanpa mujahadah nafsu. Dua perkara dalam mujahadah nafsu :-

  • Perbuatan taat.
  • Meninggalkan maksiat.

Benarlah kata Zu al-Nun al-Misri : “Sesungguhnya masuknya kerosakan kepada makhluk dengan sebab enam perkara :

  • Lemah niat dan azam untuk beramal dengan akhirat.
  • Jadilah tubuh badan mereka tergadai untuk nafsu syahwat mereka.
  • Mereka dikalahkan oleh panjangnya angan-angan beserta dekatnya ajal.
  • Sanggup berkorban untuk keredhaan makhluk daripada keredhaan Khaliq.
  • Mengikut hawa nafsu dan meninggalkan sunnah Nabi SAW mereka.
  • Mereka menjadikan gelincir lidah sebagai hujah dan menyembunyikan kelebihan.”

“dan janganlah kamu mengikuti hawa nafsu, karena ia akan menyesatkan kamu dari jalan Allah.” (Surah Saad : 26)

Bersungguh Memohon Keampunan Tuhan

Di bulan yang mulia ini, berbaki 10 malam terakhir ini, marilah sama-sama kita bersungguh-sungguh memohon keampunan Tuhan kita. Sungguh, Dia Maha Penerima Taubat! Dia Maha Pengampun!

Jangan sesekali kita sombong untuk berdoa dan meminta padaNya. Jangan juga kita lokek untuk berzikir padaNya.

Sabda Nabi SAW (maksudnya) : “Setiap anak Adam itu melakukan kesalahan dan yang terbaik dari kalangan yang melakukan kesalahan itu adalah yang bertaubat.” (Riwayat al-Tirmizi dan Ibn Majah)

“Hai orang-orang yang beriman, bertaubatlah kepada Allah dengan taubat nasuha, mudah-mudahan Tuhan kamu akan menghapus kesalahan-kesalahanmu..” (Surah at-Tahrim : 8)

Taubat nasuha?

Ibn Kathir telah berkata di dalam tafsirnya : “Ertinya ialah taubat yang benar dan tegas, yang dapat menghapuskan kesalahan-kesalahan lalu, menghuraikan kekusutan orang yang bertaubat, menghimpunkan dan menyucikan kekotoran yang dilakukannya.”

Al-Hasan Al-Basri berkata : “Ia bererti seseorang hamba yang menyesal terhadap kesilapan lalu dan berazam tidak mengulanginya.”

Muhammad Ibn Ka’ab al-Qurazi berkata : “Ia (taubat nasuha) mengandungi empat perkara :

  1. Istighfar dengan lidah.
  2. Meninggalkan dengan anggota.
  3. Berazam tidak kembali melakukannya dengan penuh perasaan.
  4. Menjauhkan diri daripada teman-teman yang buruk.”

Semoga di dalam fasa Ramadhan yang masih berbaki ini, kita dapat manfaatkan sama-sama untuk mencapai takwa dan memohon keampunanNya di samping menghidupkan malam-malam terakhir dengan amal ibadah untuk bertemu dengan Lailatul Qadar. Satu malam yang lebih baik daripada seribu bulan.

Lailatul Qadr  Wallpapers.jpg

 

Semoga bulan ini juga dijadikan bulan untuk kita mentarbiah diri kita ke arah yang lebih baik dan bersedia fizikal mental spiritual dan sebagainya untuk menghadapi bulan-bulan akan datang. Moga redha Allah sentiasa memayungi kita semua. Wallahua’lam.

13501917_10204956087221662_2480116947660354653_n

Doa khusus yang diajar Nabi SAW kepada Aisyah yang bertanya soalan khusus kepada Baginda berkenaan doa yang petut dibaca apabila bertemu malam Lailatul Qadar. Jom amalkan bersama. 🙂 

#TarbiahRamadhan

#MogaMisiTakwaTercapai

11.00 pm

25/6/2016

Rumahku Syurgaku.

KEMBARA SYAHADAH DI BUMI KOREA

Published January 24, 2016 by wana93

Assalamualaikum semua!

Semoga kita semua sihat sentiasa untuk terus bersemangat melaksanakan perintahNya dan menjauhi laranganNya. InsyaAllah.

Saya pasti, ada yang rindukan ‘update’ daripada blog tercinta saya ini. (Ayat poyo + perasan). Apa pun, saya ingin memohon maaf terlebih dahulu kerana sudah agak lama membiarkan blog ini ‘bersarang’. Baru sedar, last ‘update’ pada bulan Mac 2015. Hoho. Segala komen berbentuk pertanyaan, jika saya tahu, saya akan respon secepat mungkin insyaAllah. Jika saya tak tahu, maka, tak tahulah jawapannya nanti. 🙂

Now, im back! Alhamdulillah dah boleh kembali aktif menulis dan menaip sebab ada ruang masa dan peluang. Lama tak ‘update’ sebab terlalu sibuk dengan semester 7 yang baru saja berakhir. Fokus lebih kepada projek tahun akhir iaitu Tesis. (Nanti ada masa saya akan kongsi pasal tesis saya pula insyaAllah). Lepas ni, ke dunia ‘Internship’ pula. Mohon doakan saya k!

OK! Jom kembali kepada tajuk asal iaitu Kembara Syahadah Di Bumi Korea.

Sebenarnya, saya tak nak taip panjang-panjang untuk 1st entri 2016. Biarlah gambar dan video yang berbicara. Ok?

12112461_777242759065868_7247694021630532954_n

Family TAD2, GEN4 

11214117_10203735590189999_187972697329048067_n.jpg

Family TAD2 @ Seoul, Korea

Khas buat yang mengenali saya dan istimewa buat ahli Family TAD2, Gen4. Sungguh, saya sayang kalian semua kerana Allah! Moga ukhuwah ini, benar keranaNya.

“Lawatan Antarabangsa”

940914_10153228740517014_5427299232535960396_n.jpg

Dapat juga masuk Surat Khabar.. Kenangan.. 🙂

 

tad2.jpg

Sebenarnya rindu, saja nak toleh ke belakang! :’)

Fi hifzillah wa fi amanillah..

11.57 pm,

Rumahku Syurgaku.

PEMUDA, PEMUDI DAN PRIORITI

Published March 14, 2015 by wana93

10922644_810672669000525_248600816417287578_n

“Dia lamar aku. Tapi aku tak nak. Aku tetap tak berkenan.” Luah seorang sahabat karib saya. Panjang lebar ceritanya sebelum itu.

“Wah! Kenapa tak nak?” Usik saya sambil tergelak kecil.

Kami berdua merupakan sahabat karib. Perkara sebegini, bukanlah pertama kali untuk kami. Eh, silap! Untuk dia! ;p

“Sepatutnya, kalau nak lamar, pergilah jumpa terus terang dengan mak ayah aku. Ni tanya aku, mesej aku ayat-ayat jiwang ‘Islamik’, memang taklah kan!” Luahnya lagi.

“Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah Dia menciptakan untukmu isteri-isteri dari jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan dijadikan-Nya di antaramu rasa kasih dan sayang. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi kaum yang berfikir.” (Surah Rum : 21)

Lelaki. Ya. Lelaki. Kalau rasa dah berkenan, dah ada kemampuan, keyakinan dan langkah persediaan bagai untuk nak kahwin, pergilah jumpa sendiri mak ayah si perempuan tersebut. Comfirm si perempuan akan berfikir banyak kali sama ada nak terima ke nak tolak. Ini tidak, dahlah si perempuan jenis yang mahu ‘menjaga’, tiba-tiba, dapat lamaran mesej personal macam tu, ditambah pula perisa ayat-ayat cinta ‘Islamik’, memang terus jadi tak berkenanlah jawabnya. Lepas tu, nak suruh buat keputusan cepat-cepat pula. Kita ada istisyarah (perbincangan) dan istikharah. Semua itu memerlukan masa. Bukan sesaat dua dah boleh bagi jawapan terus!

Lagi satu, perlu diingat, perempuan bukanlah bahan eksperimen ya. Bukan! Lamaran ditolak, kemudian, pergi melamar perempuan lain pula! Siapa yang tak fikir banyak kali kalau berada dalam situasi macam tu?

“Aku tengok dia tu biasa-biasa saja. Maksud aku, aku nak lelaki yang tahu ‘menjaga’.” Katanya lagi.

“Kalau kau nak yang ‘menjaga’, kau pun kenalah ‘menjaga’ juga. Jangan biarkan lelaki anggap kita ni, senang-senang saja boleh dilamar sebegitu, senang-senang saja nak terima dia sebegitu. Sebab tu, aku banyak kali pesan dah, termasuklah diri aku sendiri, kalau nak mesej lelaki ke, nak apa ke, pastikan atas dasar urusan sahaja. Bukan atas dasar suka-suka, nak hilangkan bosan dan sebagainya. Kita tak boleh terlalu baik dengan lelaki dan lelaki tak boleh terlalu baik dengan kita. Ingat tu! Kalau masuk mesej yang tak ada matlamat, melalut dan merepek, abaikan. Tak payah balas. Simple.” Akhiri saya.

10356719_10202612629516684_7865483957685994681_n

Sebenarnya, sebagai sahabat karib, saya bahagia apabila dia masih tegas dengan prinsip dirinya. Kadang-kadang, kita kena tegas supaya kita tak terbabas. Kalau kita lihat hari ini, berapa ramai yang dah hanyut dalam jerat cinta palsu? Kata cinta, tapi, tetap buat perkara-perkara yang Allah tak suka. Kita ini cintakan Tuhan atau berTuhankan cinta?

Berapa ramai juga yang menggunakan jenama ‘Islam’ sebagai asas cinta ‘suci’nya?

“InsyaAllah, kita kahwin lagi 3-4 tahun. Tak payah bertunang dulu. Tunang lama-lama, parah juga. Jadi, yang penting, saya dah ‘booking’ awak. Saya beritahu awal-awal supaya kita sama-sama dapat jaga diri untuk membina baitul muslim yang Allah redhai nanti.”

“Ana lebih suka cari pasangan hidup yang fikrahnya sama dengan ana. Boleh buat kerja-kerja Islam bersama, tunaikan tanggungjawab pada ummah bersama dan banyak lagi. Sebab tu ana nak melamar enti.”

Sudah cukup cukup sudah. Asyik reti menabur janji berbakul-bakul. Perempuan, jangan buang masa menanti ‘cinta’ seperti itu. Buang masa. Kalau kita fikir betul-betul, banyak lagi sebenarnya perkara yang perlu kita beratkan, perlu kita fikirkan dan perlu kita bertindak.

Ummah.

Ummah perlukan kita.

Pemuda dan pemudi.

Penyambung legasi dan generasi.

Kalau kita fikir dalam-dalam lagi, kita selalu kata nak penuhkan hati kita dengan cinta Ilahi, tapi, kalau dah hari-hari asyik bermesej, asyik bercerita pasal lelaki/perempuan ajnabi (bukan mahram), cinta siapa yang akan penuhi hati kita nanti? Adakah mulut akan lebih banyak berzikir, fikiran akan lebih kerap ingat mati jika diri selalu menyebut sang ajnabi? Fikir-fikirkan. Hati-hati dalam menjaga hati. Sama-sama kita peringatkan diri.

10420067_10202612627756640_3499330091289841353_n

Bukanlah salah jika sudah jodoh kahwin di usia muda, ketika diri masih belajar di universiti, silakan. Tak ada masalah. Cumanya, bagi yang rasa ‘termotivasi’ nak ikut macam tu juga, yang resah menanti si ‘dia’ tak muncul tiba, ingatlah, ada banyak perkara utama dan prioriti lain yang perlu kita fikirkan dan kita tunaikan. Jangan terburu-buru dan bersikap gopoh!

Daripada Abu Hurairah r.a. berkata, bahawa Rasulullah SAW bersabda : “Sebahagian daripada tanda baiknya (kualiti) keislaman seseorang ialah meninggalkan sesuatu yang tidak bermanfaat baginya.” (Riwayat al-Tirmizi, Ibn Majah, Ahmad dan al-Baihaqi)

Beberapa hari yang lepas, saya berkesempatan pergi ke sebuah program ‘Diskusi Buku : Sehingga Para Pemuda Mengerti’sebuah terjemahan buku daripada penulis asalnya yang bernama Dr. Abdullah Nasih Ulwan. Panelnya adalah ustaz Shamsul Hakim (pensyarah USIM) dan ustaz Razif Fuad (alumni USIM). Jadi, ada beberapa perkara yang mahu saya kongsikan bersama di sini. Insya-Allah, semoga bermanfaat.

SEHINGGA PARA PEMUDA MENGERTI

555977_611768438850348_1699354321_n

Realiti kehidupan pemuda pemudi sekarang berada pada tahap yang amat membimbangkan. Kita disibukkan dan dihanyutkan dengan hiburan, K-POP, leka dengan drama-drama cinta yang mengarut di televisyen, semakin malas membaca buku, semakin liat ke majlis ilmu dan sebagainya.

Siapakah pemuda? Junaid menaqalkan kata-kata daripada Imam Qurtubi, pemuda itu adalah mereka yang berbuat baik kepada orang, tidak menyusahkan orang dan tidak merungut tentang orang sekeliling.

Usia kita yang masih muda ini, sepatutnya dimanfaatkan sepenuhnya fikirannya, gerak kerjanya untuk Islam. Bukan disibukkan dengan memikir soal tulang rusuk bergetar bagai! Imam Nawawi terlalu sibuk dengan ilmu, sehingga beliau tidak berkahwin.

Di dalam Al-Quran, Allah telah menceritakan beberapa kisah kepemudaan. Antaranya, kisah Ashabul Ukhdud, kisah Nabi Yusuf, kisah Nabi Musa, kisah Ashabul Kahfi dan sebagainya. Di dalam buku ‘Sehingga Para Pemuda Mengerti’, penulis meringkaskan bahawa terdapat 5 ciri yang perlu ada dalam diri Muslim iaitu :-

  • Mempunyai keimanan yang teguh pada Allah
  • Ikhlas
  • Kuatnya iltizam
  • Istiqamah
  • Adanya pengorbanan

Antara sebab kenapa pemuda pemudi hari ini semakin rosak, semakin hanyut adalah kerana hilangnya matlamat. Matlamat umpama destinasi kita. Tanpa matlamat, pasti kita tak ada arah tujuan. Terumbang-ambing dan mudah goyah apabila ditimpa musibah.

Daripada Ibn Umar r.a., beliau berkata : Rasulullah s.a.w. memegang bahuku lalu bersabda : “Jadilah kamu di dunia ini seperti seorang pengembara atau perantau di jalan.” (Riwayat al-Bukhari)

Selain itu, kita tidak merasa kerugian. Kerugian yang bagaimana? Kerugian ilmu. Kita tak punya ‘rasa kerugian’ itu. Imam al-Muzani membaca Risalah sebanyak 500 kali. Beliau tidak jemu.

Sheikhul Islam Zakariyya al-Ansori. Beliau seorang yang suka menghabiskan masanya untuk membaca buku. Hingga dikatakan, jika tetamu yang datang di rumahnya terlalu lama berada di situ, maka, dia akan tegas dan marah. Kerana dia mahu membaca buku dan tidak mahu membuang masa.

Ummul Kiram. Beliau merupakan seorang periwayat hadis. Wanita. Hidupnya hampir 100 tahun, namun, beliau tidak berkahwin. Beliau memanfaatkan hidupnya dengan hadis. Ternyata, keperluan wanita dalam bidang ilmu amat diperlukan.

11057850_10202612628876668_1120130812348594243_n

Pemuda pemudi juga mudah gopoh. Semuanya mahu cepat. Nak kaya cepat, nak habis kelas cepat dan banyak perkara lagi, semuanya mahu cepat! Terlalu gopoh!

“Sekiranya hafalan-hafalan kamu tidak ada KESEDARAN, maka, buku-buku itu takkan ada MANFAAT.”

4 tahun di universiti (kalau Degree), cukupkah bekalan kita untuk nak taburkan bakti pada ummah? Nak membantu masyarakat sekeliling yang semakin parah? Kita bukan sekadar nak bantu keluarga, akan tetapi, ummah sekeliling juga. Cukupkah sekadar 4 tahun itu sahaja? Dengan kita main-main dalam belajar, tak serius, selalu ponteng kelas dan kuliah, selalu bemalasan dan beralasan bila diberi tugasan dan kerja, sibuk fikir tulang rusuk kanan kiri je dan pelbagai lagi. Yakinkah kita sudah ‘cukup berilmu’?

Akhir sekali, kita perlu usahakan 2 langkah ini. Pertama, tewaskan diri sendiri! Sedarlah, ummah sedang parah. Tewaskan diri sendiri yang malas, yang selesa, yang rasa biasa dan macam-macam lagi. Kedua, mohonlah kekuatan daripada Allah untuk sempurnakan azam dan iltizam diri kita.

Sibukkan diri dengan perkara-perkara yang membawa kepada kebaikan dan ketaatan, jika tidak, kita akan disibukkan oleh perkara-perkara yang membawa kepada kejahatan dan kemaksiatan.

“Cinta itu hasilnya dua perkara. Pertama – cinta itu berhasil menjauhkan engkau daripada Pencipta. Kedua – cinta itu berhasil mendekatkan engkau dengan Pencipta.”

“Cinta itu adalah apa-apa yang membawa ke Syurga. Yang mengheret ke Neraka, itu bukan cinta.”

7.45 pm

Rumahku Syurgaku,

Klang, Malaysia, Bumi Milik-Nya,

Galaksi Bima Sakti.

SELAMAT BEREHAT MURABBI UMMAH

Published February 13, 2015 by wana93

Bismillah.

Saat ini, detik ini, saya pasti, bukan saya seorang saja yang merasa kehilangannya. Bukan saya seorang saja yang merasa pilu dan hiba atas pemergiannya. Bukan saya seorang saja yang membelek kenangan bersamanya. Tapi, selautan manusia telah menjadi saksi akan kemuliaan dirinya. Ribuan, mungkin hampir jutaan manusia telah mengiringi jenazahnya.

IMG_23339970823327

Subhanallah

Subhanallah

Betapa ramainya jiwa manusia yang mencintainya. Betapa banyaknya mata yang menangisi pemergiannya. Betapa banyaknya tembakan doa daripada ummah untuknya.

Terfikirkah kita, “Bagaimana agaknya keadaan ummah semasa pemergian Nabi Muhammad s.a.w yang tercinta?”

IMG_38422522646111

“Tiap-tiap yang berjiwa pasti akan merasai mati…” (Surah Al-Ankabuut : 57)

Jika sebelum ini, kurang malah jarang sekali media massa yang popular mahu khabarkan berita tentangnya, mahu kongsikan perkembangannya, mahu berinya ruang untuk menerang dan berbicara, akan tetapi, sejak pemergiannya, media massa mula sibuk menyediakan ruang untuk merakam pemergiannya, namanya pula dinaikkan media massa semula, kemuliaannya mula disebarluaskan dan lain-lain lagi.

Alam menjadi saksi selayaknya untuk 'dia', hamba pilihan Allah yang mulia. :')

Alam menjadi saksi selayaknya untuk ‘dia’, hamba pilihan Allah yang mulia. :’)

“Kemudian, sesudah itu, sesungguhnya kamu sekalian benar-benar akan mati. Kemudian, sesungguhnya kamu sekalian akan dibangkitkan (dari kuburmu) di hari kiamat.” (Surah al-mukminun : 15-16)

12 Februari 2015

Tarikh itu pastinya menjadi tarikh keramat buat kita semua, lebih-lebih lagi buat pencinta ulamak, buat penggerak-penggerak jemaah Islam kerana tarikh itu merupakan tarikh pemergian seorang ulamak Nusantara yang amat disegani dan dihormati, Tuan Guru Nik Aziz Bin Nik Mat. Tarikh yang sama juga merupakan tarikh pemergian Imam Hasan Al-Banna – pengasas Ikhwanul Muslimin.

Mendapat perkhabaran pemergian TGNA, hati dan fikiran terasa lemah semacam. Saya hanya setia menanti perkembangan di atas talian online saja (melalui FB dan Whatsap, tv takde astro Awani, nak tengok live tv kelantan, internet tak laju), tak berkesempatan untuk nak ke bumi Kelantan sana. Beberapa muslimin PEDAMAI berkesempatan untuk ke sana. Mereka begitu bersemangat! Saya sangat kagum dengan semangat mereka! Semangat pemuda!

Tangan cepat-cepat membuka lappy, mahu membelek kembali satu-satunya kenangan saya dan sahabat-sahabat PEDAMAI (Pemuda Masjid Ahmadi, Rantau Panjang, Klang) bersama dengan arwah TGNA. Rupanya, Syawal tahun lepas (3/8/2014), dalam misi Kembara Ulamak , merupakan pertemuan terakhir kami bersama beliau. Antara pesanannya yang masih segar dalam ingatan :

“Kita kena jadi soleh dan muslih. Soleh – Diri sendiri. Muslih – melebaikan orang lain (maksudnya, membaikkan orang lain).”

“Pemuda kena pantas!”

-Dalam Kenangan-

-Dalam Kenangan-

Tarikh yang sama juga merupakan tarikh pemergian seorang pensyarah yang amat mesra dan baik, pensyarah di Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan (FKP), USIM. Beliau pernah mengajar subjek ‘Research Methodology’ di kuliah semasa saya berada dalam Tahun 2 di universiti itu. Beliau seorang yang penyayang.

10359551_10152584351517014_5623853972576926488_n

Al-Fatihah untuk dua insan mulia ini. Moga Syurga menjadi tempat ‘berehat’ kalian.

Kematian Yang Menghidupkan

Sungguh, ‘kematian’ ini adalah kematian yang menghidupkan! Suasananya seakan sama saat pemergian Ahmad Ammar di Turki sana. Bezanya, arwah Ahmad Ammar adalah seorang yang tidak dikenali semasa hayatnya, akan tetapi tersingkap peribadinya yang mulia dan kebaikannya saat selepas pemergiannya. Jenazahnya dikebumikan di negara Turki sana. Ramai manusia mengiringi jenazahnya. Arwah TGNA pula adalah seorang yang sangat dikenali dan dikagumi ramai semasa hayatnya kerana beliau merupakan ulamak dan selepas pemergiannya, banyak jiwa dan hati yang menangis! Lautan manusia hadir membanjiri Kg Pulau Melaka, Kota Bharu, Kelantan.

Subhanallah

Subhanallah

Jika diamati betul-betul, sungguh-sungguh, jika dimengerti sedalam-dalamnya, perjuangan ini panjang jalannya! Tidak terhenti dengan ‘kematian’! Para ‘alim ulamak, ustaz dan asatizah, murabbi pasti akan kembali pada-Nya, hanya Rabb yang kekal abadi. Bukan bererti, mereka telah pergi, kita pun dah hilang semangat dan terus berhenti! Tidak! Bahkan ianya menghidupkan hati-hati kita, jiwa-jiwa kita dan semangat muda-mudi kita untuk teruskan perjuangan dakwah dan tarbiah serta gerakan-gerakan Islam.

Apabila golongan-golongan tua ‘direhatkan’, maka, golongan-golongan muda mestilah lebih keras dan tekun untuk ‘bekerja’. Dunia ini tempat untuk kita berpenat, akhirat sana tempat untuk kita berehat. Jalan ini, jalan dakwah, tarbiah dan perjuangan adalah sunnah terbesar Nabi Muhammad s.a.w. Jalan ini bermatlamatkan satu iaitu mahu Islam dijulang dan didaulatkan!

Andai semasa hayat TGNA, kita tidak berapa kenal akan dirinya, tidak pernah bersua dengannya, tidak pernah membaca buku-buku tintanya, tidak pernah mendengar ceramah/kuliahnya, maka, jangan berasa hina dan kecewa! Gagahkan diri! Ubah diri! Kenali dirinya agar bertambah cinta pada golongan ulamak, bacalah buku-buku hasil tintanya, cuba dengar ceramah/kuliahnya yang ada dalam Youtube, CD dan lain-lain lagi. Nescaya, kita akan rasa ‘sesuatu’ terhadapnya. Bukan rasa benci, bukan rasa mahu menghina dan mengutuk para ulamak akan tetapi rasa kasih, sayang dan cinta pada golongan ulamak. Jika ada yang berbeza pandangan dalam isu politik, maka, itu terpulang pada individu itu sendiri. Akan tetapi, jasa beliau dalam gerabak politik, dakwah, tarbiah dan perjuangan Islam, memang tak dapat disangkal! Ramai sudah kader-kader dakwah yang lahir hasil daripada tarbiah dirinya.

Kenal Untuk Cinta

Kenal Untuk Cinta

Akhir kalam, suka untuk saya kongsikan di sini, firman Allah Ta’ala yang bermaksud :

“Dan hamba-hamba Tuhan Yang Maha Penyayang itu (ialah) orang-orang yang berjalan di atas bumi dengan rendah hati dan apabila orang-orang jahil menyapa mereka, mereka mengucapkan kata-kata yang baik. Dan orang yang melalui malam hari dengan bersujud dan berdiri untuk Tuhan mereka. Dan orang-orang yang berkata: “Ya Tuhan kami, jauhkan azab Jahanam dari kami, sesungguhnya azabnya itu adalah kebinasaan yang kekal”. Sesungguhnya Jahanam itu seburuk-buruk tempat menetap dan tempat kediaman. Dan orang-orang yang apabila membelanjakan (harta), mereka tidak berlebih-lebihan, dan tidak (pula) kikir, dan adalah (pembelanjaan itu) di tengah-tengah antara yang demikian. Dan orang-orang yang tidak menyembah tuhan yang lain beserta Allah dan tidak membunuh jiwa yang diharamkan Allah (membunuhnya) kecuali dengan (alasan) yang benar, dan tidak berzina, barang siapa yang melakukan demikian itu, niscaya dia mendapat (pembalasan) dosa (nya), (yakni) akan dilipat gandakan azab untuknya pada hari kiamat dan dia akan kekal dalam azab itu, dalam keadaan terhina, kecuali orang-orang yang bertobat, beriman dan mengerjakan amal saleh; maka kejahatan mereka diganti Allah dengan kebajikan. Dan adalah Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. Dan orang yang bertaubat dan mengerjakan amal soleh, maka sesungguhnya dia bertaubat kepada Allah dengan taubat yang sebenar-benarnya. ” (Surah Al-Furqan : 63-71)

Dalam satu buku tulisan arwah TGNA, “PEMISAH ANTARA IMAN DAN KUFUR” (cetakan pertama : 1996), ayat di atas ada disebut dalam satu topik iaitu ‘Sifat-sifat Hamba Allah Yang Mendapat Kemuliaan’. Buku ini merupakan buku pertama TGNA yang saya baca. Selepas itu, barulah saya seronok nak mencari dan membaca buku-buku tulisan beliau lagi. Sungguh, sifat-sifat yang mulia itu ada pada diri arwah TGNA.

Selamat berehat murabbi ummah

Selamat berehat murabbi ummah

Selamat berehat murabbi ummah, moga kita dapat bersua di akhirat sana, di hadapan Allah! Insya-Allah! Nabi Muhammad s.a.w yang kita rindui dan cintai juga telah lama pergi, namun, tetap menjadi tugas kita untuk  menyambung wasilah dakwah, tarbiah dan perjuangan Baginda s.a.w.

Moga Allah redha.

Pemuda pemudi! Bangkitlah! Tanggungjawab, tugas dan amanah kita lebih banyak daripada masa yang kita ada! 

Ismail bin Abi Uwais telah menceritakan kepada kami, berkata Malik, telah menceritakan kepadaku daripada Hisyam bin Urwah daripada ayahnya daripada Abdillah bin Amru bin al-Asr r.anhuma katanya : Aku mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda : “Sesungguhnya Allah SWT tidak menghapus ilmu pengetahuan dengan cara mengambil sekaligus daripada hamba-hamba-Nya. Tetapi Allah SWT menghapus ilmu pengetahuan itu dengan kematian ulama sehingga tiada lagi yang ‘alim. Ketika itu, orang ramai melantik ketua-ketua mereka dari kalangan yang jahil dan apabila mereka ditanya, mereka memberi fatwa dengan sewenang-wenangnya tanpa berpandukan ilmu pengetahuan. Maka mereka sesat lagi menyesatkan.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Kalau sebelum ni, kita malas belajar! Ubahlah! Rajinkan belajar dan menuntut ilmu terutama ilmu agama! Ambil peluang untuk kenali, dekati, ziarahi, tadah kitab dan belajar dengan para ‘alim ulamak, para ustaz dan asatizah, sebelum mereka ‘dipanggil pulang’. Rajinkan diri untuk hadir ke majlis-majlis ilmu. Kalau sebelum ni, kita asyik beralasan, tak sempat nak buat kerja-kerja Islam, tak sempat nak turun ke lapangan untuk kerja-kerja dakwah dan tarbiah, maka, ubahlah! Susun masa dan gerak kerja kita! Percayalah, makin kita sibuk, makin kita pandai nak urus masa! Jangan pernah biarkan hati dan diri melekat pada duniawi! Tajdid kembali niat kita, moga benar hanya kerana-Nya!

Ingat, “Dalam jemaah, kita bukan forever alone!” 

Ingat, “Islam takkan tertegak, andai Islan dalam diri tak tertegak!”

Terus bergerak dan melangkah!

*Termotivasi bila baca perkongsian bahawa TGNA istiqamah dalam qiamulail dan solat sunat Dhuha*

*Jom dengar ‘Langkah Pejuang’*

~Mereka sudah kembali ke ‘pangkuan’ Allah, kita pula, masih ‘bakal jenazah’. Benarlah, mati itu pasti. Hidup, kita tak pernah pasti, sampai bila…~

4.00 pm,

Kampung Delek Kiri, Klang, Selangor,

Malaysia, Bumi Milik-Nya.

13/2/2015.