Islam

All posts tagged Islam

ISU LGBT, ZAKAT DAN SALAH FAHAM NETIZEN

Published September 6, 2018 by wana93

Bismillah.

Alhamdulillah, masih diberi kesempatan masa untuk menulis di sini. Untuk makluman, saya dah beberapa hari tak menulis perkongsian di laman media sosial Facebook kerana telah di’block’ sekejap tempoh hari. Mula-mula seminggu, lepas tu, kena block’ lagi, 3 hari pula.

Semua perkongsian saya berkaitan dengan info dan kesedaran LGBT, telah dipadam oleh pihak FB. Status saya yang lama, berkaitan dengan cakna LGBT juga telah dipadam. Saya memang ada menulis perkongsian khas berkaitan dengan Siri Cakna LGBT. Dah ada beberapa yang telah dipadam, jadi, saya akan ‘hide’kan dan sambung perkongsian untuk dijadikan sebuah EBOOK khas nanti. Itu yang terfikir saat ini. Mungkin juga akan dikogsi di blog ini.

Oh ya, FB page Hamare Group juga telah hilang daripada radar. Doakan kami dapat semula FB page tersebut.

Baru-baru ini, saya ada program bersama PU Amin dan cikgu Ery dalam satu forum bertajuk Barah LGBT : Cegah Sebelum Parah di Dataran Masjid Nurul Amin, Kg. Delek, Klang. Kali kedua saya berprogram bersama PU Amin (kali pertama berforum di USIM).  Saya meminta sahabat untuk rakamkan LIVE forum tersebut di salah satu FB ‘backup’ kami. Alhamdulillah, ada 1.5K orang yang sempat menontonnya setelah FB ‘detect’ dan padam.

39914689_10209860252622732_127000701179002880_n

Bukan itu saja, sebelum program berlangsung, saya bersama team Hamare Group dan pihak Kelab Remaja Masjid berusaha membuat promosi secara besar-besaran di laman FB. Tak lama kemudian, FB page semua di’block’. Ada beberapa orang antara kami juga, FB personal pun di’block’. Semua gambar poster juga dipadam oleh pihak FB (walaupun kami tak tulis pun perkataan “LGBT” dalam status kami).

Nampak tak betapa licik dan lajunya ‘mereka-mereka’ yang PRO-LGBT ini dalam membuat ‘report’ dan bersepakat untuk menyekat program-program yang berkaitan dengan kesedaran dan kecaknaan kita terhadap isu LGBT.

Jika 2 tahun lepas, saya sering juga cerita dan berkongsi perihal cakna LGBT ini di FB sendiri. Cerita untuk memberi pengajaran dan mengambil ‘ibrah hasil daripada pengalaman saya berpogram bersama mereka, berkawan dengan mereka, dekati mereka dari sudut pendekatan dakwah dan pelbagai lagi. Siap ada EBOOK STORI LGBT lagi. Namun, tak pernah kena ‘block’ pula waktu itu. Tapi kini, tidak lagi.

LGBT LAYAK DAPAT ZAKAT : SALAH FAHAM TAJUK BERITA YANG MENGUNDANG PERSEPSI NEGATIF MASYARAKAT

41067999_10156909383199883_2055416501409677312_n.jpgIni satu lagi isu yang sedang hangat diperkatakan. Saya tak mampu nak tahan tangan ini daripada menaip dan betulkan persepsi kerana saya pernah berada di tempat itu, dua tahun yang lepas. Hampir setahun berada di tempat itu, banyak perkara yang diri peroleh sebenarnya, selain pengalaman yang sangat berharga!

40969245_10156513045056221_5057880318153850880_n.jpg

Saya membuka ‘slide’ pembentangan yang pernah saya sediakan untuk dibentang dan diberi kepada pensyarah saya, sewaktu saya praktikal di Sektor Pembangunan Sosial, Bahagian Pemulihan Al-Riqab, MAIS, Klang ini, 2 tahun lepas. Saya melihat kembali apa yang pernah saya tulis di dalam ‘slide’ tersebut.

Sebelum itu, suka untuk saya kongsikan serba sedikit berkaitan pengenalan maksud al-Riqab yang diambil daripada sini.

Di dalam al-Quran, Allah s.w.t telah meletakkan kedudukan asnaf ar-riqab di dalam senarai penerima zakat pada posisi kelima. Iaitu, dimulai dengan asnaf fakir, miskin, amil, mualaf dan yang ke lima ar-riqab, sebagaimana firman Allah s.w.t dalam surah al-Taubah: 60.

Ar-riqab, jika dilihat dari segi definisi umum bermaksud “hamba mukatab” yang membeli atau menebus dirinya sendiri untuk bebas daripada tuannya secara beransur-ansur. Maka, fuqaha’ menyatakan bahawa istilah ini adalah merupakan satu kiasan yang menunjukkan bahawa perhambaan adalah satu bentuk ikatan yang mengikat seseorang itu daripada menikmati kebebasan sebagaimana menurut pandangan al-Qaradawi. Berdasarkan pemerhatian penyelidik, terdapat sedikit perbezaan definisi ar-riqab di kalangan ulama’.

Namun perselisihan ini tidaklah terlalu besar tetapi lebih membawa kepada maksud hamba atau pembebasan. Justeru itu, timbul isu mengenai kewujudan asnaf ar-riqab pada masa kini yang mana tidak terdapat dimana-mana negara lagi yang mengamalkan sistem penghambaan. Sekiranya benar asnaf ini tidak wujud lagi, bagaimanakah kedudukan dana zakat yang diperuntukkan kepada asnaf ini? atau adakah wujud pentafsiran lain tentang definisi ar-riqab pada masa kini?. Justeru kajian ini perlu dijalankan bagi melihat semula kedudukan asnaf ar-riqab sebagai penerima zakat pada masa kini, golongan-golongan lain yang berkemungkinan boleh dikategorikan di bawah asnaf ini dan perkara-perkara lain yang berkaitan dengannya khususnya dari segi bantuan dan kaedah pemberian zakat kepada golongan ini sekiranya mereka layak menerimanya.

Ini pula, antara isi yang saya pernah kongsikan dalam pembentangan berkenaan dengan praktikal saya.

Fungsi Bahagian Pemulihan Al-Riqab :

  • Memperkasa dan menguatkuasa undang-undang Riqab melalui Fatwa, Peraturan, SOP dan yang berkaitan.
  • Membangun dan melaksana modul Riqab dengan teratur berkesan.
  • Meningkatkan hubungan kerjasama dengan agensi luar bagi membebaskan asnaf Riqab.
  • Membebaskan mereka yang terjebak  dalam masalah sosial dan akidah agar kembali  bertaubat.
  • Mengawal selia pusat Pemulihan Akidah dan akhlak serta menyelaras Rumah Pemulihan Al-Riqab.
  • Mencegah penularan penyakit  sosial dan akidah di kalangan masyarakat  Islam.

“Belenggu adalah kuasa luaran atau keadaan yang merampas dan menjatuhkan maruah dan kebebasan seorang muslim.” (Keputusan Fatwa Negeri Selangor yang telah diwartakan pada 7 Jun 2012)

Kriteria penerima bantuan :

  • Beragama Islam
  • Tiada sumber kewangan yang cukup dan halal
  • Seseorang yang disahkan ingin membebaskan dirinya dari dibelenggu yang dihadapi

Jenis-jenis Al-Riqab :

  • Masalah Sosial
  • Masalah Penyakit Kronik
  • Masalah Akidah

FATWA JENIS PENERIMA ASNAF AL-RIQAB NEGERI SELANGOR DAN APA-APA YANG BERKAITAN DENGANNYA >> Rujuk di sini

Senarai jenis penerima agihan asnaf Al-Riqab berikut adalah layak menerima bantuan zakat Al-Riqab melalui perantara mana-mana institusi, pusat, NGO Islam dan individu perseorangan yang dibenarkan oleh undang-undang dan Hukum Syara’ yang berfungsi melaksanakan tugas-tugas membebas, mengurus, melindungi, merawat dan memulih asnaf Al-Riqab supaya dapat menjalani kehidupan sempurna secara Islam.

  • Masalah sosial:

(a) Terbelenggu dengan dadah: i. Penagih dadah. ii. Bekas penagih dadah.

(b) Terbelenggu dengan masalah jenayah syariah: i. Minum arak. ii. Zina. iii. Judi. iv. Khalwat v. Buang anak vi. Mengandung luar nikah. vii. Mempersendakan Al-Quran dan Hadis. viii. Sumbang mahram. ix. Persetubuhan haram. x. Muncikari (ibu ayam). xi. Menjual atau memberikan anak kepada orang bukan Islam. xii. Dan lain-lain yang berkaitan Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Selangor) 1995.

(c) Terbelenggu dengan amalan salah Islam: i. Tidak solat. ii. Tidak puasa. iii. Buang anak. iv. Usaha ingin bunuh diri. v. Hidup bersama pelacur

(d) Terbelenggu dengan gaya hidup songsang: i. Pelacur. ii. Lesbian. iii. Mak Nyah (Transexual). iv. Gay. v. Homoseksual. vi. Gigolo. vii. Biseksual. viii. Pengkid. ix. Tomboy. x. Bersedudukan dengan orang bukan Islam.

(e) Terbelenggu dengan kes juvana: i. Gangster. ii. Jenayah melibatkan harta benda. iii. Pergaduhan yang nelibatkan kecederaan. iv. Kes rompak. v. Pecah rumah. vi. Kes rogol. vii. Jenayah yang melibatkan peralatan senjata yang merbahaya. viii. Ugutan yang melibatkan keganasan.

(f) Terbelenggu dengan penyakit kronik : i. Penyakit HIV/AIDS. ii. Kanser/barah. iii. Tibi. iv. Hepatitis. v. Dan lan-lain.

  • Masalah Akidah:

(a) Terbelenggu dengan masalah syirik dan khurafat: i. Doktrin palsu. ii. Mengaku menjadi nabi. iii. Menghina Islam. iv. Pemujaan salah. v. Mempersendakan Al-Quran dan Hadis.

(b) Memurnikan akidah orang Isalam yang terpesong i. Orang yang ingin/berhasrat murtad. ii. Orang yang dalam proses Istitabah.

Bertarikh 14 Mei 2012 (Boleh rujuk di sini)

Untuk makluman, Bahagian Pemulihan Al-Riqab, Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) melalui Unit Prihatin sebagai satu unit khusus yang bertanggungjawab melaksanakan program kepada golongan LGBT. Tujuan program-program ini diadakan adalah bagi melaksanakan rawatan, pemulihan, perlindungan dan pengawalan kepada asnaf Al Riqab khusus golongan LGBT. Selain itu, program ini juga adalah medium dalam menyampaikan dakwah dan ilmu Islam kepada golongan ini.

Pecahan program-program di MAIS yang melibatkan golongan LGBT ini ialah melalui 4 fasa iaitu:

Fasa 1: Ziarah ke rumah dan outreach di lapangan
Fasa 2: Jalinan kerjasama dan Program Penghayatan Islam
Fasa 3: Kelas Bimbingan Agama, Perawatan dan Pemulihan serta bantuan dan kebajikan
Fasa 4: Pengukuhan dan Rawatan Spiritual Islam (Rawatan Khusus)

Kesan daripada program yang telah dilaksanakan oleh MAIS ialah membuang salah anggap golongan LGBT terhadap institusi Islam. Dalam masa yang sama program ini juga dapat membuka peluang yang luas kepada golongan ini untuk dekat dengan pendakwah dan secara tidak langsung dapat menarik minat golongan LGBT untuk mendalami ilmu asas agama Islam.

Saya sendiri pernah bersama-sama dalam FASA 2 hinggalah ke FASA 4. Tesis saya semasa Degree di USIM juga berkait rapat dengan perubatan Islam iaitu Rawatan Spiritual Islam yang disebut di dalam FASA 4 ini. Alhamdulillah, kini saya sedang menyambung pengajian peringkat seterusnya di UMP dan kali ini, kajian saya terhadap keberkesanannya pula dalam pemulihan golongan bernafsu songsang ini, khususnya golongan Gay. Doakan saya. Moga bermanfaat buat ummah!

USAHA BUAT UMMAH

Itu antara usaha yang MAIS laksanakan. Sebagai insan biasa yang memiliki semangat dan cita-cita yang luar biasa, saya dan Team Hamare Group juga tidak berdiam diri saja melihat gejala LGBT ini semakin merebak dan menular dalam kalangan anak-anak muda kita, khususnya!

Apa yang kami mampu laksanakan dan usahakan adalah :-

  • Menerbitkan buku yang berinti mesej ‘mesra remaja’. Antaranya, yang berkait rapat dengan isu LGBT adalah buku bertajuk “Hidayah Di Balik Jeriji Besi” dan juga “LGBT Mencari Syurga : Siri Sekuel 1”. Buku-buku ini ditulis berdasarkan inspirasi kisah benar. Buku pertama telah pun terbit pada hujung 2016. Buku LGBT Mencari Syurga itu pula, buku baru untuk tahun ini. Buku itu juga mendapat sokongan dan kata-kata aluan daripada Pengurus Bahagian Pemulihan al-Riqab, MAIS. Bacalah untuk ketahui perjalanan mendekati komuniti tersebut dari sudut dakwah. Buku ini berfokus pada 3M iaitu Mengenali, Menghadapi dan Mencegah/Menangani. Moga bermanfaat.
  • Misi Jelajah Sekolah 2018 (yang berfokus pada topik Motivasi Media Sosial & juga Cakna LGBT) selain memenuhi permintaan sekolah yang inginkan kem, bengkel, dan lain-lain. Program bedah buku, bedah filem serta kem-kem lain juga turut disediakan sebagai oleh perkhidmatan pihak kami.
  • Menyampaikan mesej melalui video-video pendek dan juga ‘quote-quote’ bermanfaat. (Kami aktif di FB page Hamare Group yang baru nak cecah 36K followers tapi kini, page tersebut sedang ‘unavailable’). Boleh FOLLOW FB page kami, Hamare Publication dan Motivasi Media Sosial Instagram kami @hamaregroup serta boleh FOLLOW channel YouTube kami di sini.
  • Komited untuk mencari ruang dan peluang yang ada di sekolah/kolej/ipta/masjid/surau untuk berkongsi info, pendedahan serta beberapa perkara penting berkaitan dengan isu-isu sosial remaja seperti LGBT, Jenayah Seksual, Media Sosial dan banyak lagi. Jom sama-sama kita selamatkan generasi anak-anak muda-mudi kita!

Akhir sekali, mari sama-sama kita lihat kenyataan daripada Mufti Negeri Selangor kita ini. Moga bermanfaat.

Sekian, secebis perkongsian daripada saya. Moga dapat membantu menjernihkan salah faham netizen terhadap institusi zakat dan institusi agama kita.

Usah kita mudah terpedaya dengan tajuk-tajuk berita saja. Usah kita terpedaya dengan ‘permainan mereka’ yang sengaja membangkitkan isu yang sudah lama bermula dan dilaksanakan ini. Sama-sama kita doakan yang baik-baik buat Malaysia kita dan sama-sama kita sokong dan berusaha untuk mendaulatkan hukum Allah. Sudah-sudahlah kita mengikut akal dan nafsu sahaja. Bebas, jangan sampai terbabas!

Moga sama-sama kita terus berusaha dalam bidang masing-masing, untuk generasi kita ini. Biar lelah kita kerana Dia, bukan kerana habuan dunia.

Yang benar,

Noor Syazana Binti Abd Hamid,

Hamba Allah selamanya.

 

PRU 14 : PILIHAN DI TANGAN KITA

Published May 8, 2018 by wana93

Bismillah.

Berbaki 2 hari saja lagi, sebelum saya dan kita semua, iaitu rakyat Malaysia yang layak dan telah daftar undi, akan menunaikan tanggungjawab mengundi di tempat masing-masing. Siapa yang undi awal, dah pun mengundi. Alhamdulillah.

Alhamdulillah, ini kali kedua rasanya saya menulis serba sedikit berkaitan dengan PRU. Bezanya, PRU yang lepas, saya belum cukup umur dan belum layak nak mengundi. Tapi, tahun ini, alhamdulillah, dah cukup umur dan dah layak serta yang paling penting, dah daftar mengundi. Hehe.

Sebelum kita cerita lebih tentang 3 penjuru iaitu BN, PH dan PAS, jom baca dan ambil tahu dulu berkenaan pemimpin. Supaya kita tak salah dalam nak memilih pemimpin kita sendiri nanti. 🙂

Print

SURAT CINTA BUAT PEMIMPIN

Ini antara tajuk yang ada dalam buku 20 Checklist Akhlak, tulisan ustaz Syed Mohd Norhisyam Tuan Padang, terbitan Telaga Biru. Bagi saya, tajuk ini sangat berkait dengan keadaan kita yang sekarang ini, yang ingin memilih pemimpin kita sendiri.

Rasulullah S.A.W. menjadi ketua pemimpin di Madinah al-Munawwarah selama sekitar sepuluh tahun dan melaksanakan pelbagai tindakan dalam mentadbir sebuah negara. Baginda memberi ancaman kepada pemimpin-pemimpin yang tidak melaksanakan tanggungjawab dengan sempurna.

Rasulullah S.A.W. bersabda, ertinya : “Tidak ada sesiapa yang menguruskan rakyatnya dalam kalangan Muslimin, lalu dia mati dalam keadaan membohongi mereka (tidak adil dan meninggalkan amar makruf nahi mungkar), melainkan Allah mengharamkan baginya Syurga.” (Riwayat al-Bukhari)

Hadis ini ialah bukti cinta Baginda kepada umatnya yang dilantik menjadi pemimpin. Baginda memberi peringatan untuk menyelamatkan mereka daripada terjerumus ke jurang Neraka. Menerusi kitab al-Kabair (Dosa-dosa Besar), Imam al-Dzahabi menyatakan bahawa seseorang pemimpin yang menzalimi dan menganiaya rakyatnya adalah suatu dosa besar sehingga beliau menjadikan perbahasan mengenainya sebagai satu bab tersendiri dalam kitab tersebut.

Bahkan, Rasulullah S.A.W. pernah mendoakan secara khusus kepada umatnya yang dilantik menjadi pemimpin, ertinya :

“Ya Allah, sesiapa yang memegang suatu urusan umatku, lalu ia bersikap keras terhadap mereka, maka susahkanlah ia. Manakala sesiapa yang memegang suatu urusan umatku, lalu ia berlembut dengan mereka, maka Engkau berlembutlah dengannya.” (Riwayat Muslim)

Contoh pemimpin yang paling adil di atas muka bumi ini ialah Rasulullah S.A.W. dan diikuti oleh para Khulafa’ al-Rashidin. Rasulullah S.A.W. menjadi Ketua Pemimpin di Madinah al-Munawwarah selama sekitar sepuluh tahun dan melaksanakan pelbagai tindakan dalam mentadbir sebuah negara. Baginda menjadi decision maker dalam pelbagai perkara, berdasarkan bimbingan wahyu daripada Allah S.W.T.

Baginda menyusun ekonomi negara, membimbing ummah di masjid, menjadi ketua di medan perang, mendengar aduan serta keluhan masyarakat, menerima lawatan delegasi-delegasi dari negara jiran dan sebagainya.

Selain itu, Baginda juga menyebarkan kasih sayang sesama masyarakat pelbagai bangsa dan kepercayaan sehingga ramai yang tertarik dengan keindahan Islam lantas mengucap dua kalimah syahadah.

Baginda kemudiannya diganti oleh para khalifah yang telah menyaksikan sendiri asas-asas kepimpinan yang ditonjolkan oleh Rasulullah S.A.W. Hal ini sama ada dalam aspek keperibadian dan juga perlaksanaan dasar-dasar negara, lalu mereka meneruskan kesinambungan sistem ini di samping penambahbaikan dalam aspek teknikal dan perlaksanaan bagi menyesuaikannya dengan pertambahan jumlah umat Islam.

Di sinilah rahsia kekuatan umat Islam pada zaman tersebut. Apabila asas kekuatan ini diabaikan dan kepimpinan Rasulullah S.A.W. tidak lagi dijadikan panduan utama, maka umat Islam akan menjadi lemah dan lesu. Tiada cara lain untuk mengembalikan kegemilangan Islam melainkan dengan satu kaedah, iaitu benar-benar berusaha untuk mencontohi Rasulullah S.A.W. dalam mentadbir negara dan membimbing ummah.

Kepimpinan ialah suatu amanah yang sangat besar dan penting dalam Islam. Sayidina Abu Bakar dan Sayidina Umar al-Khattab sanggup meninggalkan jenazah Rasulullah S.A.W. yang belum disempurnakan urusan pengebumiannya, lantas menuju ke Saqifah Bani Sa’idah bagi menyelesaikan isu pemilihan khalifah yang akan menggantikan Rasulullah S.A.W. sebagai pemimpin negara.

Mereka berdua ialah insan yang paling menyayangi Rasulullah S.A.W. dan paling disayangi oleh Baginda tetapi memilih untuk hadir ke “parlimen” Bani Sa’idah bagi memilih pemimpin baharu untuk Madinah dan menyerahkan urusan pengebumian jasad Rasulullah S.A.W. kepada Sayidina Ali bin Abi Talib, al-Zubair bin al-’Awwam dan ‘Abbas bin Abdul Muttalib.

Di sinilah berlakunya perbincangan hangat dalam kalangan golongan Muhajirin dan Ansar yang berakhir dengan persetujuan melantik Sayidina Abu Bakar al-Siddiq sebagai khalifah yang akan memimpin negara.

Sayidina Abu Bakar al-Siddiq telah menyampaikan satu ucapan yang sangat jelas menggambarkan dasar-dasar kepimpinannya sangat telus dan adil.

Setelah selesai baiah, beliau naik ke mimbar lantas berkata,

“Wahai sekalian manusia, sesungguhnya aku telah dilantik untuk mentadbir kalian sedangkan aku bukanlah orang yang terbaik dalam kalangan kalian. Sekiranya aku melakukan kebaikan, bantulah daku. Sekiranya aku melakukan kezaliman, betulkanlah daku. Kebenaran ialah suatu amanah dan pembohongan ialah suatu pengkhianatan.

Orang yang lemah dalam kalangan kalian adalah kuat dan mulia di sisiku, sehinggalah aku hapuskan masalahnya, insya-Allah, dan orang yang kuat dalam kalangan kalian adalah lemah di sisiku, sehinggalah aku mengambil hak daripadanya (yang wajib dia serahkan), insya-Allah. Tidaklah suatu kaum itu meninggalkan kewajipan jihad di jalan Allah, melainkan Allah merendahkan mereka dengan kehinaan. Tidaklah tersebar kemaksiatan dalam suatu kaum melainkan Allah menurunkan bala ke atas mereka secara menyeluruh.” (Al-Bidayah wa an-Nihayah karangan Ibn Katsir.)

Manusia akan bersama para pemimpin masing-masing di akhirat kelak sehingga ada yang menyesal kerana tersilap memilih pemimpin yang membawa mereka jauh daripada menghambakan diri kepada Allah ketika di dunia. Mereka menyesal dan menuduh bahawa pemimpin tersebutlah yang menjadi sebab mereka terhumban ke Neraka.

Luahan penyesalan ini disebutkan dalam al-Quran,

“(Ingatlah) ketika orang-orang yang diikuti (para pemimpin) berlepas diri daripada para pengikutnya dalam keadaan mereka melihat sendiri azab (di akhirat) serta terputus segala hubungan. Para pengikut berkata, ‘(Alangkah eloknya) kalau kami mempunyai satu peluang lagi, lalu kami berlepas diri daripada mereka sebagaimana mereka berlepas diri daripada kami (pada saat ini).’ Demikianlah Allah memperlihatkan amalan-amalan mereka kepada mereka sebagai penyesalan yang amat sangat kepada mereka, dan mereka pula tidak akan dapat keluar dari Neraka.” (Surah al-Baqarah : 166-167)

NAK PILIH SIAPA? NAK PANGKAH SIAPA?

Ini memang soalan popular. Lagi-lagi buat anak muda macam saya, yang baru pertama kali nak mengundi. Kalau dia cakna, dia ambil peduli, soalan ni mungkin takkan datang daripada dirinya. Sebab dia dah tahu, dia nak undi dan pilih siapa. Dia dah baca, dia dah ikuti perkembangan, dia dah turun padang bersama untuk lihat keadaan sekitarnya, dia dah tengok ‘live’ yang sentiasa ada, dia dah ‘join’ program yang dianjurkan serta pelbagai lagi!

PRU 14 kali ini, kita melihat, sudah ramai calon-calon yang mempunyai kredibiliti dan lulusan akademik yang tinggi (tahap PhD) mula ditonjolkan bersama kepakaran bidang masing-masing.

BARISAN NASIONAL

Barisan Nasional, ada tiga orang yang amat saya kagumi,  yang masuk bertanding kali ini, iaitu Dr. Aysraf Wajdi dan Dr. Tengku Asmadi dan juga ustaz Syamsul Debat. Kita berharap dan berdoa, semoga hadirnya mereka ke dalam bidang ini, dapat menegur apa yang salah dan dapat membaiki apa yang patut di dalam BN itu sendiri. 🙂

31289849_2093574877339215_7125682938638488739_n

31318406_10155733647232408_5288104386424209408_n

31282262_233568734044258_4805187403352375296_n

PAKATAN HARAPAN (PH)

Untuk Pakatan Harapan (PH), walaupun memang ada calon yang  berkredibiliti seperti ustaz dan memiliki PhD juga,  namun kali ini, maaf. Saya tidak memilih PH. Seharusnya, insan yang bergelar ustaz dan yang memiliki kredibiliti di dalam parti itu, wajar menasihati dan membimbing serta melaksanakan amanah amar makruf nahi mungkar, sekiranya terdapat unsur-unsur yang tidak baik.

Antara sebab kenapa PH bukan pilihan saya adalah :-

  1. Ada DAP di dalamnya.

Kita tahu, ini bukan sebab kaum. Tidak! Saya pasti, kita tahu dan sedar akan peranan si DAP ini. Mereka sangat anti-Islam. Antara sebab PAS dah tak bersama dengan mereka adalah kerana ini juga.

31496366_1138125462994098_1504162478374780928_n

Dengarkan perkongsian dan pendedahan oleh ustaz Dr. Zamri ini, Ancaman DAP dan Sekutunya dan ADAKAH KITA LUPA?

2. Ada calon yang memperjuangkan ideologi-ideologi sebagai solusi. Sepatutnya, Islam adalah solusi, bukan ideologi-ideologi yang datang daripada akal manusia yang cetek ini.

Antaranya adalah Maria Chin. Antara orang kuat dalam SIS (Sister in Islam) juga.

Maria Chin aktif terlibat dalam NGO-NGO hak asasi manusia dan feminisme yang pro LGBT (Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender) dan organisasi yang telah di fatwakan sesat oleh Mufti Selangor iaitu Sister in Islam.

Antaranya;

1. WDC (Women Development Collective)
2. EMPOWER (Persatuan Kesedaran Komuniti Selangor)
3. SIS (Sister In Islam).

Kita tidak menentang golongan LGBT ini, namun, kita tidak mahu perbuatan songsang itu diterima dan dianggap halal oleh masyarakat, terutamanya Islam. Saya sendiri, pernah turun ke lapangan, berprogram dan bersama dengan golongan LGBT ini seperti Mak Nyah dan Gay. Sempat saya berkongsi cerita berkenaan mereka dalam buku sulung saya, Hidayah Di Balik Jeriji Besi dan terbaru, bakal terbit, LGBT Mencari Syurga! Hingga kini, saya masih berkawan dengan golongan sebegini,  yang mana, mereka dalam proses untuk berubah ke arah yang Allah reda. 🙂

Saya sendiri tak mahu ambil risiko, memangkah dan mengundi seseorang yang seperti ini dan kumpulan yang bersama dengan orang sebegini. Bukan kerana benci, tapi, kerana ingin mengambil langkah berhati-hati. Dakwah kita berjalan seperti biasa untuk mereka-mereka ini. Santuni dan dekati serta ambil peduli. Namun, untuk diangkat menjadi pemimpin kawasan, walau sekecil-kecil dalam kuasa pimpinan, mungkin kita boleh fikir lagi sekali.

3. Politik fitnah dan kebencian serta serangan

Itu yang saya nampak berdasarkan video-video PH yang viral. Ada video yang tersebar, orang PH sedang menghalau dan memarahi seorang ustaz yang sedang beri kuliah di dalam surau. Terbaru, video Tun M dalam himpunan bersama PH, menyebut bahawa ‘Mangsa Memali mati katak, bukan mati syahid’ telah menimbulkan kekecewaan ramai pihak. Walau selepas itu, dengan mudahnya, beliau meminta maaf (tapi meletakkan salah pada orang lain pula).

Selain itu, sebaran ‘flyers’ yang rumah saya terima, ada daripada ketiga-tiga parti ini. BN, PH dan juga PAS. Apa yang tak syok adalah, PH menyelitkan sekali ‘flyers’ yang mempunyai mesej buruk, mengundang benci dan ‘menyerang’ BN. ‘Flyers’ PAS dan BN masing-masing fokus menekankan kelebihan mereka dan memperkenalkan calon mereka, tanpa memperlekehkan pihak yang lain. Berpolitiklah secara matang.

Video orang Cina yang sedang berucap, memperkatakan mereka sedang ‘mengkudakan’ Tun M juga telah tersebar dan disiarkan di TV. No komen. Hurm.

Saya hormat Nik Omar yang menjadi calon PH di Kelantan. Namun, saya juga risau dan bimbang, ada unsur-unsur ‘memperalatkan’ dan ‘mempergunakan’ beliau dalam PH sendiri. Moga Allah pelihara beliau dan kita semua.

Banyak lagi sebenarnya kepincangan yang berlaku. Kena rajin membaca dan ambil cakna ya. Saya pun tak mahu jadi golongan yang ‘menyerang’, tapi, nak jadi golongan yang memberi penerangan. 🙂

Untuk membentuk kerajaan, kita perlukan majoriti kemenangan untuk parti, bukan sekadar calon saja. Kerana politik adalah perjuangan secara berjemaah dan berkumpulan, bukan perjuangan individu dan seorang diri. Memang setiap parti ada kelemahan dan kekurangan tersendiri, tak sempurna, namun, selagi kita ada pilihan yang kurang mudaratnya dan beri banyak kelebihan dan kebaikan, khususnya yang sentiasa berusaha ingin mendaulatkan Islam sebagai dasar dan prinsip, itulah yang kita kena pilih.

PAS

Baru-baru ini, rekod PAS bersih daripada sebarang siasatan berkenaan rasuah. Info ini adalah fakta daripada SPRM.

30124372_176875839624698_5654891767414128640_n

Kali ini, gelombang hijaunya lain macam. Ramai calon-calon yang saya kagumi dikedepankan. Ustaz Zulkifli (Mudir Pondok Baitul Qurro’ Wal Fuqoha’, Melaka), Ustaz Fawwaz Mat Jan (Pulau Pinang), Ustaz Dr. Zamri Mantop, Ustaz Ahmad Dusuki dan beberapa orang lagi. Ada antara mereka yang sanggup tinggalkan dunia realiti TV, kemasyhuran dan terjun ke dunia siasah (politik) ini untuk ummah.

Antara calon-calon yang memiliki PhD pula adalah :-

Ini membuktikan bahawa thaqafah/ilmu amat dititikberatkan oleh PAS, selain pakar dalam bidang masing-masing.

31519405_10215354338722414_4755616821644156407_n

Bukti PAS serius mahu mentadbir negara tercinta ini. Pelbagai usaha telah diwujudkan bagi membentuk Malaysia Sejahtera! PAS banyak menerangkan manifesto dan kelebihan-kelebihannya, di samping menjawab isu fitnah yang saban kali menyapa parti ini.

Jom tonton video ini : Ayuh, Selamatkan Malaysia!

PAS mahu realisasikan Kerajaan Teknokrat!

Apakah itu Kerajaan Teknokrat?

• Teknokrat memberi maksud seseorang yang mempunyai kepakaran teknikal sesuatu bidang yang mempunyai kuasa politik (kamus Dewan Bahasa). Tekno (tekhne) perkataan Greek bermaksud kemahiran/kepakaran.

• Kerajaan Teknokrat (KT) adalah sebuah pemerintahan yang diterajui oleh kumpulan pakar yang mempunyai ilmu, keupayaan dan kemampuan intelektual, dan keupayaan kemahiran yang tinggi dalam bidang masing-masing samada bidang pentadbiran, ekonomi, keselamatan, pendidikan, kesihatan, sosial dan lain-lain.

• Gabungan dari kalangan orang politik dan teknokrat juga dipanggil kerajaan teknokrat jika dominasi teknokrat adalah lebih besar. Golongan teknokrat mungkin juga terlibat dalam aktiviti politik kepartian dan mungkin ahli parti-parti politik tertentu, tetapi umumnya lebih dikenali kerana kepakarannya.

Jom tonton Video Resume PAS!

Non-Muslim juga ada diketengahkan oleh PAS sendiri dan non-muslim juga ramai yang menyokong PAS. Saya pernah berborak dengan beberapa warga India dan Cina di tempat saya. Mereka rasa aman, selamat dan selesa dengan calon PAS, N44 Dun Selat Klang, Dr. Halimah Ali yang dah dua penggal memegang Dun Selat Klang. Semoga kemenagan berpihak pada beliau lagi, untuk PRU 14 ini.

29791038_1606736789439932_8923749206021967986_n

Bersama calon N44, Dr. Halimah Ali (bertudung hijau)

TIPS NAK MEMILIH PEMIMPIN

Ustaz Muhammad Yaakub Yusra (Pengarah Urusan Kompleks Dakwah Darul Murtadha) memberitahu, antaranya :

  • Pastikan dia taat kepada Allah
  • Mestilah orang yang takut kepada Allah

Dan jangan sesekali kita tinggalkan istikharah.

Link video lengkap : Memilih Pemimpin Yang Baik

Ini pula, tips daripada ustaz Dr. Zamri Mantop. Ada 3 tips yang dikongsi olehnya, iaitu :

  • Solat berjemaah di masjid
  • Baik akhlaknya
  • Menekankan pembangunan manusia berbanding pembangunan kebendaan.

Link video lengkap : 3 Tips Memilih Pemimpin

Jemput baca juga : Manifesto dan Janji Pilihan Raya

LAYAKKAH PAS MEMIMPIN NEGARA?

Terkadang, saya rasa pelik. Kita marah dan tak suka orang yang ada rasuah, tapi, kita tak nak sokong orang yang rekodnya bersih daripada sebarang siasatan berkaitan rasuah.

Kita marah dan tak suka dengan politik yang kotor, yang penuh dengan serangan, fitnah dan penipuan, tapi kita tak nak sokong orang yang berusaha memperjuangkan politik secara matang, sihat dan sejahtera berpandukan al-quran dan sunnah.

Saya berkesempatan untuk ‘join’ bersama yang lain ke Penamaan Calon tempoh hari. Perarakan dimulakan dengan solat berjemaah. Solat sunat Dhuha, kemudian solat sunat Hajat kemudian berdoa. Sepanjang bergerak dan berjalan ramai-ramai bersama calon ke tempat penamaan calon, zikir dan selawat serta takbir yang dikumandangkan bersama.

Terkadang, saya sendiri terfikir.

“Kenapa ada pakcik makcik yang dah tua, dah berumur, masih sanggup turun dan berjalan bersama? Turun ke ‘flashmob’ bagai? Turun menyantuni warga kampung dan lain-lain?”

Saya temui jawapan apabila saya sendiri turun bersama mereka. Itu antara bukti dan usaha yang mereka dapat lakukan, untuk agama Islam yang tercinta ini. Memang nak tegakkan syariat, tidak mudah. Sekurang-kurangnya, usaha tu ada. Dan moga-moga, Allah terima.

PAS juga bukan untuk Muslim saja, malah, untuk non-muslim. Mereka rasa ‘selamat’ dan selesa dengan PAS kerana PAS untuk semua dan bersikap adil, insya-Allah, tanpa mengira bangsa, kaum, pangkat, harta dan sebagainya.

Ini saja perkongsian ringkas saya berkaitan dengan PRU 14 yang bakal menjelma ini. Selamat mengundi dan semoga kita buat pilihan yang bijak, berdasarkan info, fakta dan ilmu, tidak sekadar emosi dan ikut-ikutan.

31444999_10211496247871356_2217794796666224640_n

Untuk kalian yang suka membaca dan mengkaji, lagi dan lagi, silakan. Pastikan kita ikuti perkongsian info yang betul, melalui wadah yang betul.

Ini antara FB yang suka untuk saya sarankan kita baca dan ikuti :-

  1. Ahmad Zulqurnain Ghazzali
  2. Afyan Mat Rawi
  3. Abdul Muien Abadi
  4. Wan Syafiq
  5. Jabatan Profesional Muda
  6. Profesional Istiqamah
  7. Gerakan Pengundi Sedar

Nak baca dan nak kenal siapa itu Nik Adli, yang baru-baru ini timbul berita beliau melarang Tun M ziarah kubur ayahnya, arwah TG Nik Aziz, boleh baca dekat sini, senior saya yang tulis : Nik Adli Nik Abdul Aziz, Siapa Dia?

Boleh juga ikuti page FB Tuan Guru Haji Hadi Awang, Tun Mahathir dan juga Najib Razak. Tak ada masalah. Hehe.

Pilihlah yang baik-baik. Moga natijahnya nanti adalah yang baik. Ya, PAS bukanlah agama, hanya parti. Namun, usaha PAS yang dari dulu hingga sekarang yang masih berpegang kuat dengan prinsip dan melaksanakan apa yang patut untuk negara tercinta ini, wajar diberi peluang. Kalau kita tak ukur dan nilai dengan agama, nak ukur dan nilai dengan apa lagi? Calon-calon yang diketengahkan juga memiliki pengalaman dalam kepimpinan, selain punyai kredibiliti dalam bidang kepakaran ilmu masing-masing.

Kalau kita perasan dan perhatikan, ramai para ustaz,  asatizah dan agamawan yang memilih dan memberi sokongan pada wadah PAS, sama ada secara terbuka atau pun secara diam. Kerana apa? Parti ini yang sentiasa komited nak mengangkat dasar Islam ke puncaknya! Insya-Allah.

Jemput baca : Hukum Mengundi Calon Bukan Muslim

Segala apa yang kita buat, semuanya bersangkut paut dengan agama, sebagai seorang Muslim. Kita tak mahu jadi sekular iaitu memisahkan agama daripada kehidupan. Untuk PRU 14 ini, pilihan di tangan kita!

Kita tetap bersaudara dan bersahabat, walau berbeza parti, pandangan dan pendapat. Kita raikan. Peace no war. 🙂

Selamat mengundi, 9 Mei 2018 ini! 🙂

Noor Syazana,

Pertama kali nak mengundi.

#UP

#SejahteraBersamaIslam

 

 

 

 

PERKONGSIAN : ‘SYAHADAH DOKTOR MUSLIM’

Published November 17, 2013 by wana93

Alhamdulillah. Aku bersyukur kepada-Nya kerana aku masih bernafas pagi ini. Dan aku bersyukur kerana aku masih memiliki nikmat iman dan Islam dalam diriku. Aku juga bersyukur atas segala yang telah Allah beri pada aku selama ini. Harapnya, aku mampu menterjemahkan rasa syukurku dengan perbuatanku yang mahu mentaati Allah dan Rasul-Nya dalam setiap perkara.

Semalam merupakan hari yang sangat indah bagiku. Juga merupakan hari yang amat penat untuk tubuh lemahku. Aku bersama 3 sahabat seperjuanganku, berjaulah bersama untuk menghadiri seminar ‘Syahadah Doktor Muslim’ anjuran Medical Student Club USIM. Jam 7 pagi lagi aku bersama mereka sudah mula untuk bergerak. Bergerak pukul 7 pagi, pulang semula ke teratak jam 7.45 malam. Penat yang berbaloi! ^^,

Dari KTM Nillai > Bandar Tasik Selatan > Cheras > Masjid Mukhlisin, Alam Damai. Aku bersama sahabatku menaiki 3 kemudahan iaitu komuter, LRT dan teksi.

Hampir dua jam juga perjalanan untuk sampai ke destinasi tersebut dek kerana terdapat beberapa mehnah yang mahu menguji niat kami, sama ada benar-benar ikhlas mahu ke majlis ilmu atau sebaliknya. Apapun, alhamdulillah! 🙂

'SYAHADAH DOKTOR MUSLIM'

‘SYAHADAH DOKTOR MUSLIM’

SLOT 1 : Bersama Ustaz Hasrizal Abdul Jamil

(APA ERTINYA SAYA MENGANUT ISLAM)

Aku dan sahabatku sempat mendengar slot ini setengah jam lebih saja kerana kami sampai agak lewat, lebih kurang pukul 9.10 pagi. Ustaz Hasrizal berkongsi 6 ciri-ciri ilmu yang disebut oleh Dr.Yusuf al-Qardhawi, iaitu :-

1) Ilmu-ilmu Islam. Contohnya,  Al-Quran, Hadith, Tasawuf, Akidah dan sebagainya.

2) Ilmu tentang bahasa.

3) Ilmu berkaitan dengan kemanusiaan. Ilmu sosial seperti Sosiologi dan sebagainya. Meraikan ilmu kemanusiaan.

4) Ilmu sains. Peraturan alam, sistem perkumuhan dan sebagainya. Kalau kita nak sesuatu yang berkualiti, ikut peraturannya.

5) Ilmu untuk memahami realiti. Berzina lebih mudah daripada berkahwin. Tetapi, bercerai lebih mudah daripada berzina dan berkahwin. Sebab self control lemah. Berlaku perceraian setiap 15 minit.

6) Ilmu berkaitan sejarah. Setiap kita, mesti ada pemahaman tentang sejarah. Tentang Andalusia, zaman Abbasiyah dan lain-lain lagi.

Kesimpulan : Kita mestilah handle kehidupan kita sebagai seorang Muslim. How we perceive Islam? Kita adalah seorang anak dan perlu menjalankan tanggungjawab seorang anak yang Muslim, suami isteri yang Muslim, guru yang Muslim dan sebagainya. Sekarang, banyak berlaku pemisahan antara agama dan kehidupan manusia. Lebih terkenal sebagai sekularisme.

Untuk membangkitkan Muslim beramal dengan Islam, kita mesti menggunakan Islam dalam apa jua situasi. Nak makan, ikut cara Islam. Nak susun fail, ikut cara Islam. Dan semuanya, pastikan kita sentiasa bawa Islam bersama.

SLOT 2 : Bersama Mantan Presiden SPMM USIM, akhi Farid Hadhari

(TUNTUTAN SYAHADAH)

Islam adalah satu nama yang Allah dah beri untuk agama kita. Islam itu juga bermaksud menyerahkan diri. Kepada siapa? Kepada Allah. Islam ni macam sistem. Contoh, sistem pernafasan kita dah sempurna. Boleh tak kalau kita tahan nafas selama 1 jam? Mestilah tak boleh kan? Jadi, kalau kita tak ikut sistem, ia akan bawa mudarat. Begitu juga dengan Islam. Islam adalah cara hidup yang sempurna. Bilamana kita redhai sistem pernafasan kita berfungsi dengan baik dan sempurna, maka, kita juga akan meredhai sistem kehidupan kita yang telah Islam gariskan dan tetapkan. Kerana ia adalah daripada Allah iaitu Tuhan yang sama menciptakan sistem pernafasan kita.

Bila agama tak diperjuangkan, sistem akan rosak. Tuntutan meneruskan kerja-kerja dakwah selepas kewafatan Nabi tergalas pada diri setiap kita. Sesuatu amanah yang berat, mustahil dapat dipikul oleh hati yang kotor. Ada beberapa kisah Sirah yang akhi Farid Hadhari cerita, bagaimana cintanya mereka ini pada Nabi Sollallahu ‘Alaihi Wasalam.

Kisah 1

Bilal Bin Rabah. Kita semua tahu kisah yang Bilal tak mampu lagi melaungkan azan di Madinah dan keluar dari Madinah kerana terlalu rindu pada Nabi Muhammad. Kita juga tahu yang Bilal kemudiannya, kembali melaungkan azan selepas beberapa ketika. Tapi, ada sesuatu yang kita mungkin tak tahu. Di mana Bilal Bin Rabah pergi selepas keluar dari Madinah? Dan apa pula sebab yang menyebabkan Bilal kembali melaungkan azan di Madinah?

Dalam buku ‘Tarikh al-Dimaj’ ada menceritakan yang Bilal pergi ke Jurusalem selepas keluar dari Madinah. Bilal bersama beberapa lagi pergi berperang untuk membebaskan Jurusalem. Jadi di sini, baru aku tahu. Dan, akhi Farid Hadhari menanam semangat pada aku dan semua dengan satu kata-katanya yang menarik jiwa ini iaitu bila Nabi wafat, sepatutnya kita menyebarkan agama Islam. Bukan kita mengenang nostalgia dan berqasidah semata-mata. Qasidah tak salah. Tapi yang utamanya, kita perlu bergerak dan menyebarkan Islam kalau kita benar-benar sayang dan cinta pada Baginda Nabi Muhammad.

Lisan perlu digunakan sebaiknya dalam nak menyampaikan dan menyebarkan Islam. Lisan menyampaikan hujah dan sebagainya. Perbuatan juga amat penting dalam penyebaran Islam. Apa yang kita buat untuk menggerakkan kerja-kerja Islam?

Kebenaran itu sangat penting. Dan pnetingnya kebenaran ini, ditentukan pada orang-orang yang benar, yang menyampaikan kebenaran. Dalam kitab Usul ‘Ishrin karya Imam Hassan Al-Banna ada menyebut bahawa Islam itu syumul (lengkap dan merangkumi semua). Kita tak sekadar menyampaikan tapi perlu menterjemahkan ia dalam diri kita. Penyucian jiwa adalah sangat penting sebelum kita nak memikul dan menerima satu tugasan berat. Sesuatu amanah mustahil dipikul oleh hati yang kotor.

Ibarat kita nak beri seseorang minum. Airnya sangat sedap tetapi kita letak ia di dalam gelas kaca yang kotor dan berkulat. Ada tak yang nak minum? Mestilah tak kan? Jadi, macam tu juga. Kita perlu mendahulukan konsep tazkiyyatun nafs (pembersihan diri/hati). Jangan kita pisahkan agama dari kehidupan. Jangan jadi sekularisme. Jumpa Allah dan rasa diperhati oleh Allah ketika di atas sejadah saja, kemudian, dah tak rasa apa-apa. Dah rasa bebas! Tak boleh macam tu!

Ada 3 perkara yang perlu kita laksanakan dalam dakwah iaitu :-

1) Melaui ilmu. Kita perlu mendalami ilmu. Belajar dan terus belajar.

2) Banyakkan berzikir.

3) Banyakkan membaca kisah-kisah para salafussoleh. Kerana kisah mereka adalah benar.

Kisah 2

Saidina Sawwad. Dalam perbarisan untuk satu peperangan, perut Saidina Sawwad terkehadapan sedikit daripada barisan. Lalu, Nabi memukul sedikit perutnya dengan panah. Lalu, Saidina Sawwad marah. Dia nak balas qisas. Nabi tak marah. Nabi menyelak bajunya untuk membenarkan Saidina Sawwad memukul perutnya. Akan tetapi, Saidina Sawwad tidak memukul. Dia terus memeluk Baginda Nabi Muhammad.

Kisah 3

Muaz dan Muawwiz. Berumur 13 dan 14 tahun. Kisah ini agak panjang. Saya ringkaskan, mungkin boleh baca lebih lanjut dalam buku-buku Sirah Nabawiyah. Sangat menarik! Mereka berdua berjaya membunuh Abu Jahal. Kerana cinta pada Baginda Nabi Muhammad, mereka berdua sanggup berkorban. Muawwiz bertemu syahid. Muaz pula cedera parah hingga tangannya terpaksa dipotong. Waktu itu, Muaz mahu berjumpa dengan Rasulullah, sedangkan tangannya berada dalam keadaan separuh terpotong. Berdarah banyak. Muaz jalan bergesot, terasa berat tangan yang terpotong separuh itu. Lalu, dia meletakkan kakinya ke atas tangan yang separuh itu dan memotong separuh yang masih berbaki. Katanya, “Wahai tangan, engkau menyusahkan aku untuk berjumpa dengan Nabi.” Maka, dia potong lagi separuh. Barulah jalannya agak laju menuju ke arah Nabi. MasyaAllah! Hebat bukan? Di usia yang muda, mereka sudah mahu berjuang dan berkorban di jalan-Nya. Hati mereka sudah bertaut pada cinta Nabi Muhammad.

Akhir sekali, 3 cara untuk berjaya yang dikongsi oleh akhi Farid Hadhari adalah :-

1) Bertakwalah pada Allah

2) Bersabarlah

3) Jangan terburu-buru

Bulatan Gembira

Selepas habis slot ke-2, semua duduk dalam bulatan gembira. Diskusi bersama. Aku terasa sangat kerdil duduk bersama pelajar-pelajar medik. Seharian aku jadi pelajar medik. Hehe. Mereka hebat dan baik sangat. Doktor mempunyai ruang dakwah yang sangat luas.

Ketika isu sekularime dibangkitkan, kami bertukar-tukar pandangan. Aku ambil peluang itu untuk berkongsi sesuatu yang telah aku pelajari dalam bidang aku, Pengajian Akidah dan Agama. Aku berkongsi serba sedikit tentang ajaran sesat, sekularisme, falsafah sikit mana yang berkaitan dan beberapa lagi. Seronok bila dapat diskusi sama-sama macam ni. 🙂

Dan, aku tertarik dengan kata-kata seorang kakak senior dalam bulatan gembira kumpulanku itu.

“Sekularisme ni kita dah nampak. Ada dalam politik negara kita, cara pembelajaran kita iaitu bila agama, agama saja. Bila sains, sains saja. Dan sebagainya lagi. Tapi, pernah tak kita tanya diri kita? Dalam diri kita ni ada sekularisme ke tak? Kita amalkan sekularisme ke tak? Sebagai contoh, kalau waktu solat, kita solat awal. Bagus. Masuk waktu, terus ambil wudhuk unuk solat. Tapi, bila tiba waktu kelas dan kuliah, kita suka datang lambat. Kita tak tepati masa. Itu pun sekularisme. Sebab masa juga adalah daripada agama. Allah bersumpah demi masa dalam Surah al-Asr.”

Dan dari situ, aku tersedar. Sekularisme dalam diri. Rupanya, selama ini, ada sekularisme yang mengalir dalam diri aku.  😦

Macam mana kita nak tahu? Okey. Contoh situasi :-

1) Seorang lelaki solat di awal waktu. Selepas Maghrib, dia baca al-Quran. Dia suka menonton filem-filem cinta English. Ada bermacam-macam aksi tak senonoh dan dia banyak terlihat aurat pelakon tersebut. Dia juga suka melayan jiwanya dengan angan-angan kosong berdendangkan lagu-lagu cinta yang jiwang.

2) Seorang perempuan sangat minat cerita Korea. Dia mendownload dan menonton cerita tersebut hingga suka melewat-lewatkan solat. Solat Zohor pukul 3.30 kerana mahu habiskan tonton cerita Korea di laptopnya. Dia kata, “Better late than never.”

3) Seorang lelaki/perempuan sangat minat cerita Hindustan. Dia sangat suka melihat tari-menari pelakon-pelakon Hindustan yang hensem dan cantik itu. Dia juga sanggup melewatkan solat hanya kerana sebuah cerita Hindustan.

Situasi di atas adalah contoh bagaimana seseorang itu, dalam dirinya, sudah tertanam sekularisme. Bilamana seseorang itu hanya dapat merasai bahawa Allah itu ada dalam solat dan di atas sejadah saja.

“Aku dah solat! Selesai urusan aku dengan Allah. Lepas ni, aku nak pergi tengok wayang pula! Cerita KL Gangster 2!”

Percayalah. Seorang yang menjaga dirinya dengan baik dan yakin bahawa Allah itu sentiasa memerhatikannya 24 jam, dia takkan selesa untuk menjejakkan kaki ke tempat-tempat berlakunya fitnah dan maksiat.

“Alhamdulillah, dah mengaji semuka hari ni. Solat Isyak pun dah. So, lepas ni boleh layan cerita Korea lama-lama. Aku nak tidur lambatlah. Nak tengok fillem Hindustan juga.”

Percayalah. Seorang yang menjaga dirinya dengan baik dan yakin bahawa Allah itu sentiasa memerhatikannya 24 jam, rasa berTuhankan Allah, maka dia takkan suka untuk membazir waktu demi memenuhi tuntutan hiburan yang tidak punya nilai-nilai Islam itu.

“Awak, jom kita singgah masjid kejap. Dah masuk waktu solat ni.” Kata seorang pakwe kepada makwenya, sambil berpegangan tangan menuju ke masjid.

Percayalah. Seorang yang menjaga dirinya dengan baik dan yakin bahawa Allah itu sentiasa memerhatikannya 24 jam, rasa berTuhankan Allah, maka dia takkan melakukan perkara yang Allah larang. Selagi belum halal, belum akad nikah, selagi itu perlu ada batas dalam pergaulan.

“Relakslah. Awal lagi. Kelas mula pukul 8. Kita pergi 8.15 pun tak apa. Yang penting, dah solat Subuh. Boleh tidur balik sekejap.”

Percayalah. Seorang yang menjaga dirinya dengan baik dan yakin bahawa Allah itu sentiasa memerhatikannya 24 jam, rasa berTuhankan Allah, maka dia takkan suka melewat-lewatkan sesuatu urusan yang baik. Dia mahu berusaha untuk menepati waktu.

Tak guna kita berapi-api dalam ceramah dan hujah kita, tapi, dalam diri kita ada sekularisme yang tidak kita sedari dan tidak mahu kita ambil peduli. Lebih malang lagi, apabila kita memandangnya sebagai satu perkara kecil dan biasa dan tidak mahu bertindak merubah apa-apa.

Moga kita dapat muhasabah dan koreksi diri kita semula. Jom berubah kerana-Nya! Dunia ini kan sementara saja.. Akhirat itu yang sepatutnya kita utamakan sebab ia adalah alam abadi kita selamanya.. ~.^

SLOT 3 : Bersama Mantan YDP MPP USIM, akhi Razif Fuad

(BEDAH BUKU BELIAU : TIP SEBAGAI MUSLIM BERTAKWA)

Akhi Razif (juga merupakan pelajar tahun 4, Pengajian Akidah dan Agama) memulakan slot dengan pengenalan kepada Ibn Sina. Kerana peserta seminar adalah daripada pelajar Medik. Seperti yang kita tahu, kitab Qanun al-Tib adalah karya Ibn Sina yang menajdi rujukan perubatan di seluruh negara. Ayah Ibn Sina adalah seorang Syiah Ismailiyyah. Tapi, Ibn Sina bukanlah seorang  Syiah. 🙂

Ibn Sina seorang hafiz pada usia 8/10 tahun. Usia semuda itu, 30 juzuk Al-Quran sudah terpasak dalam jiwa dan dirinya. Ibn Sina meninggal di Parsi (1037). Beliau suka baca buku-buku falsafah Aristotle. 40 kali beliau baca buku falsafah Aristotle, beliau tak faham-faham. Satu hari, ketika di pasar, beliau terjumpa satu buku ringkasan falsafah Aristotle karangan Al-Farabi. Barulah beliau faham. Akan tetapi, buku ringkasan tersebut bukanlah pemikiran falsafah sebenar Aristotle, akan tetapi, buku ringkasan tentang falsafah Aristotle yang asalnya ditulis oleh anak murid Aristotle.

Peranan Doktor Ummah ada 3, iaitu :-

1) Tauhid – Tanamkan akidah yang kukuh. Hanya pada Allah.

2) Takwa – Lebih kepada ‘awareness of God’.

3) Tawakkal – Kita kena ingat satu perkara. Kerja doktor adalah mengubati, yang membaikkan seseorang penyakit adalah Allah, bukan doktor.

Antara isi yang dikupas dalam buku pertama akhi Razif, Tip Sebagai Muslim Bertakwa adalah ‘Apa itu Takwa?’

Syed Qutb di dalam Tafsir Fi Zilalil Quran mentafsirkan takwa sebagai perasaan yang peka di dalam hati nurani, perasaan yang halus dalam kesedaran, perasaan takut dan waspada yang berterusan dan berhati-hati daripada terkena duri kehidupan.  Manusia ditarik oleh pelbagai dorongan nafsu, tamak haloba dan impian yang menggunung.

Imam Abu al-Laits al-Samarqandi rahimahullah berkata, sifat takut kepada Allah SWT terbukti dengan tujuh perkara iaitu :-

1) Menjaga lidah daripada dusta, mengumpat dan bicara yang sia-sia dan haram.

2) Menjaga perut dengan cara tidak makan kecuali yang halal dan sekadar hajat sahaja (tidak berlebihan).

3) Menjaga penglihatan dengan cara tidak melihat yang haram.

4) Menjaga tangan daripada maksiat dan menggunakannya untuk taat kepada Allah semata-mata.

5) Menjaga kaki daripada maksiat dan daripada melangkah ke tempat-tempat yang tidak diredhai Allah.

6) Menjaga hati dengan cara membersihkannya daripada hasad dengki, iri hati dan sebagainya.

7) Menjaga amalan taatnya, supaya ia benar-benar tulus ikhlas kepada Allah SWT dan selamat daripada riyak dan nifak.

Antara kisah takwa yang dicerita oleh akhi Razif adalah berkenaan kisah Umar al-Khattab dan sepotong daging. Pada suatu hari, Umar al-Khattab mengunjungi anaknya, Abdullah. Beliau terpandang sepotong daging di rumah anaknya lalu bertanya, “Mengapakah ada daging di sini?”

Abdullah menjawab, “Saya teringin hendak makan daging. Jadi, saya membelinya.”

Umar membalas, “Adakah setiap kali teringin sesuatu, engkau terus memakannya? Cukuplah pembaziran yang dilakukan oleh seseorang. Setiap kali dia menginginkan sesuatu, lalu dia memakannya.”

Apa yang cuba mahu disampaikan di sini adalah, adakah setiap kali kita teringin dan mahu sesuatu yang lebih bersifat kehendak, bukan keperluan, maka kita terus mahu membeli dan memilikinya? Adakah setiap kali kita rasa mengidam nak makan Chicken Chop atau Nasi Arab, kita terus pergi membelinya? Adakah setiap kali kita nampak beg tangan cantik dan kasut baru yang cantik, kita terus mahu memilikinya? Agak-agak, berapa banyak dah pembaziran yang pernah kita lakukan?

Kalau kita nak tahu, Allah dekat dengan kita ke tak, cuba kita koreksi diri kita. Di mana kita letakkan Allah dalam hati dan diri kita?

Kepada para doktor, selamat menjadi doktor muslim yang bertakwa! 😀

Banyak lagi sebenarnya pasal takwa ini. Jadi, sangat bermanfaat kiranya kita semua memiliki buku kecil yang comel ini. Aku dah ada. Kau ada? Hehe. Kalau belum ada, bolehlah cari dan beli. 🙂

TIP SEBAGAI MUSLIM BERTAKWA

TIP SEBAGAI MUSLIM BERTAKWA

Rasanya, setakat ini sahaja perkongsianku pada kali ini. Banyak ilmu yang aku dapat sepanjang program yang bermanfaat ini. Doakan aku mampu istiqamah dan mampu berubah ke arah yang lebih baik lagi. InsyaAllah, sama-sama kita usaha ye! ^_^

Jauh perjalanan, luas pemandangan, ilmu ditambahkan dan meneroka bumi Tuhan. 🙂

Akhir sekali, mari kita renungkan ayat ini. Aku sematkan ayat ini selalu dalam hati aku. Supaya aku sedar dan muhasabah diri selalu. Dan mahu bergerak!

Kerja-kerja Islam itu bukan dilakukan pada waktu lapang, tapi kita perlu melapangkan waktu kita untuk melakukan kerja-kerja Islam. Dunia ini tempat kita berpenat. Syurga di sana tempat kita berehat. Biar kita lelah dan penat dalam melaksanakan kerja-kerja Islam yang bermanfaat. Jangan kita penat dan sibuk dengan aktiviti-aktiviti maksiat.

Ingatlah. Islam takkan tertegak. Andai Islam dalam diri tak tertegak. Moga Allah redha. Wassalam. 🙂

11/17/2013

Nilai, Negeri Sembilan

Bumi Allah