MAIS

All posts tagged MAIS

ISU LGBT, ZAKAT DAN SALAH FAHAM NETIZEN

Published September 6, 2018 by wana93

Bismillah.

Alhamdulillah, masih diberi kesempatan masa untuk menulis di sini. Untuk makluman, saya dah beberapa hari tak menulis perkongsian di laman media sosial Facebook kerana telah di’block’ sekejap tempoh hari. Mula-mula seminggu, lepas tu, kena block’ lagi, 3 hari pula.

Semua perkongsian saya berkaitan dengan info dan kesedaran LGBT, telah dipadam oleh pihak FB. Status saya yang lama, berkaitan dengan cakna LGBT juga telah dipadam. Saya memang ada menulis perkongsian khas berkaitan dengan Siri Cakna LGBT. Dah ada beberapa yang telah dipadam, jadi, saya akan ‘hide’kan dan sambung perkongsian untuk dijadikan sebuah EBOOK khas nanti. Itu yang terfikir saat ini. Mungkin juga akan dikogsi di blog ini.

Oh ya, FB page Hamare Group juga telah hilang daripada radar. Doakan kami dapat semula FB page tersebut.

Baru-baru ini, saya ada program bersama PU Amin dan cikgu Ery dalam satu forum bertajuk Barah LGBT : Cegah Sebelum Parah di Dataran Masjid Nurul Amin, Kg. Delek, Klang. Kali kedua saya berprogram bersama PU Amin (kali pertama berforum di USIM).  Saya meminta sahabat untuk rakamkan LIVE forum tersebut di salah satu FB ‘backup’ kami. Alhamdulillah, ada 1.5K orang yang sempat menontonnya setelah FB ‘detect’ dan padam.

39914689_10209860252622732_127000701179002880_n

Bukan itu saja, sebelum program berlangsung, saya bersama team Hamare Group dan pihak Kelab Remaja Masjid berusaha membuat promosi secara besar-besaran di laman FB. Tak lama kemudian, FB page semua di’block’. Ada beberapa orang antara kami juga, FB personal pun di’block’. Semua gambar poster juga dipadam oleh pihak FB (walaupun kami tak tulis pun perkataan “LGBT” dalam status kami).

Nampak tak betapa licik dan lajunya ‘mereka-mereka’ yang PRO-LGBT ini dalam membuat ‘report’ dan bersepakat untuk menyekat program-program yang berkaitan dengan kesedaran dan kecaknaan kita terhadap isu LGBT.

Jika 2 tahun lepas, saya sering juga cerita dan berkongsi perihal cakna LGBT ini di FB sendiri. Cerita untuk memberi pengajaran dan mengambil ‘ibrah hasil daripada pengalaman saya berpogram bersama mereka, berkawan dengan mereka, dekati mereka dari sudut pendekatan dakwah dan pelbagai lagi. Siap ada EBOOK STORI LGBT lagi. Namun, tak pernah kena ‘block’ pula waktu itu. Tapi kini, tidak lagi.

LGBT LAYAK DAPAT ZAKAT : SALAH FAHAM TAJUK BERITA YANG MENGUNDANG PERSEPSI NEGATIF MASYARAKAT

41067999_10156909383199883_2055416501409677312_n.jpgIni satu lagi isu yang sedang hangat diperkatakan. Saya tak mampu nak tahan tangan ini daripada menaip dan betulkan persepsi kerana saya pernah berada di tempat itu, dua tahun yang lepas. Hampir setahun berada di tempat itu, banyak perkara yang diri peroleh sebenarnya, selain pengalaman yang sangat berharga!

40969245_10156513045056221_5057880318153850880_n.jpg

Saya membuka ‘slide’ pembentangan yang pernah saya sediakan untuk dibentang dan diberi kepada pensyarah saya, sewaktu saya praktikal di Sektor Pembangunan Sosial, Bahagian Pemulihan Al-Riqab, MAIS, Klang ini, 2 tahun lepas. Saya melihat kembali apa yang pernah saya tulis di dalam ‘slide’ tersebut.

Sebelum itu, suka untuk saya kongsikan serba sedikit berkaitan pengenalan maksud al-Riqab yang diambil daripada sini.

Di dalam al-Quran, Allah s.w.t telah meletakkan kedudukan asnaf ar-riqab di dalam senarai penerima zakat pada posisi kelima. Iaitu, dimulai dengan asnaf fakir, miskin, amil, mualaf dan yang ke lima ar-riqab, sebagaimana firman Allah s.w.t dalam surah al-Taubah: 60.

Ar-riqab, jika dilihat dari segi definisi umum bermaksud “hamba mukatab” yang membeli atau menebus dirinya sendiri untuk bebas daripada tuannya secara beransur-ansur. Maka, fuqaha’ menyatakan bahawa istilah ini adalah merupakan satu kiasan yang menunjukkan bahawa perhambaan adalah satu bentuk ikatan yang mengikat seseorang itu daripada menikmati kebebasan sebagaimana menurut pandangan al-Qaradawi. Berdasarkan pemerhatian penyelidik, terdapat sedikit perbezaan definisi ar-riqab di kalangan ulama’.

Namun perselisihan ini tidaklah terlalu besar tetapi lebih membawa kepada maksud hamba atau pembebasan. Justeru itu, timbul isu mengenai kewujudan asnaf ar-riqab pada masa kini yang mana tidak terdapat dimana-mana negara lagi yang mengamalkan sistem penghambaan. Sekiranya benar asnaf ini tidak wujud lagi, bagaimanakah kedudukan dana zakat yang diperuntukkan kepada asnaf ini? atau adakah wujud pentafsiran lain tentang definisi ar-riqab pada masa kini?. Justeru kajian ini perlu dijalankan bagi melihat semula kedudukan asnaf ar-riqab sebagai penerima zakat pada masa kini, golongan-golongan lain yang berkemungkinan boleh dikategorikan di bawah asnaf ini dan perkara-perkara lain yang berkaitan dengannya khususnya dari segi bantuan dan kaedah pemberian zakat kepada golongan ini sekiranya mereka layak menerimanya.

Ini pula, antara isi yang saya pernah kongsikan dalam pembentangan berkenaan dengan praktikal saya.

Fungsi Bahagian Pemulihan Al-Riqab :

  • Memperkasa dan menguatkuasa undang-undang Riqab melalui Fatwa, Peraturan, SOP dan yang berkaitan.
  • Membangun dan melaksana modul Riqab dengan teratur berkesan.
  • Meningkatkan hubungan kerjasama dengan agensi luar bagi membebaskan asnaf Riqab.
  • Membebaskan mereka yang terjebak  dalam masalah sosial dan akidah agar kembali  bertaubat.
  • Mengawal selia pusat Pemulihan Akidah dan akhlak serta menyelaras Rumah Pemulihan Al-Riqab.
  • Mencegah penularan penyakit  sosial dan akidah di kalangan masyarakat  Islam.

“Belenggu adalah kuasa luaran atau keadaan yang merampas dan menjatuhkan maruah dan kebebasan seorang muslim.” (Keputusan Fatwa Negeri Selangor yang telah diwartakan pada 7 Jun 2012)

Kriteria penerima bantuan :

  • Beragama Islam
  • Tiada sumber kewangan yang cukup dan halal
  • Seseorang yang disahkan ingin membebaskan dirinya dari dibelenggu yang dihadapi

Jenis-jenis Al-Riqab :

  • Masalah Sosial
  • Masalah Penyakit Kronik
  • Masalah Akidah

FATWA JENIS PENERIMA ASNAF AL-RIQAB NEGERI SELANGOR DAN APA-APA YANG BERKAITAN DENGANNYA >> Rujuk di sini

Senarai jenis penerima agihan asnaf Al-Riqab berikut adalah layak menerima bantuan zakat Al-Riqab melalui perantara mana-mana institusi, pusat, NGO Islam dan individu perseorangan yang dibenarkan oleh undang-undang dan Hukum Syara’ yang berfungsi melaksanakan tugas-tugas membebas, mengurus, melindungi, merawat dan memulih asnaf Al-Riqab supaya dapat menjalani kehidupan sempurna secara Islam.

  • Masalah sosial:

(a) Terbelenggu dengan dadah: i. Penagih dadah. ii. Bekas penagih dadah.

(b) Terbelenggu dengan masalah jenayah syariah: i. Minum arak. ii. Zina. iii. Judi. iv. Khalwat v. Buang anak vi. Mengandung luar nikah. vii. Mempersendakan Al-Quran dan Hadis. viii. Sumbang mahram. ix. Persetubuhan haram. x. Muncikari (ibu ayam). xi. Menjual atau memberikan anak kepada orang bukan Islam. xii. Dan lain-lain yang berkaitan Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Selangor) 1995.

(c) Terbelenggu dengan amalan salah Islam: i. Tidak solat. ii. Tidak puasa. iii. Buang anak. iv. Usaha ingin bunuh diri. v. Hidup bersama pelacur

(d) Terbelenggu dengan gaya hidup songsang: i. Pelacur. ii. Lesbian. iii. Mak Nyah (Transexual). iv. Gay. v. Homoseksual. vi. Gigolo. vii. Biseksual. viii. Pengkid. ix. Tomboy. x. Bersedudukan dengan orang bukan Islam.

(e) Terbelenggu dengan kes juvana: i. Gangster. ii. Jenayah melibatkan harta benda. iii. Pergaduhan yang nelibatkan kecederaan. iv. Kes rompak. v. Pecah rumah. vi. Kes rogol. vii. Jenayah yang melibatkan peralatan senjata yang merbahaya. viii. Ugutan yang melibatkan keganasan.

(f) Terbelenggu dengan penyakit kronik : i. Penyakit HIV/AIDS. ii. Kanser/barah. iii. Tibi. iv. Hepatitis. v. Dan lan-lain.

  • Masalah Akidah:

(a) Terbelenggu dengan masalah syirik dan khurafat: i. Doktrin palsu. ii. Mengaku menjadi nabi. iii. Menghina Islam. iv. Pemujaan salah. v. Mempersendakan Al-Quran dan Hadis.

(b) Memurnikan akidah orang Isalam yang terpesong i. Orang yang ingin/berhasrat murtad. ii. Orang yang dalam proses Istitabah.

Bertarikh 14 Mei 2012 (Boleh rujuk di sini)

Untuk makluman, Bahagian Pemulihan Al-Riqab, Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) melalui Unit Prihatin sebagai satu unit khusus yang bertanggungjawab melaksanakan program kepada golongan LGBT. Tujuan program-program ini diadakan adalah bagi melaksanakan rawatan, pemulihan, perlindungan dan pengawalan kepada asnaf Al Riqab khusus golongan LGBT. Selain itu, program ini juga adalah medium dalam menyampaikan dakwah dan ilmu Islam kepada golongan ini.

Pecahan program-program di MAIS yang melibatkan golongan LGBT ini ialah melalui 4 fasa iaitu:

Fasa 1: Ziarah ke rumah dan outreach di lapangan
Fasa 2: Jalinan kerjasama dan Program Penghayatan Islam
Fasa 3: Kelas Bimbingan Agama, Perawatan dan Pemulihan serta bantuan dan kebajikan
Fasa 4: Pengukuhan dan Rawatan Spiritual Islam (Rawatan Khusus)

Kesan daripada program yang telah dilaksanakan oleh MAIS ialah membuang salah anggap golongan LGBT terhadap institusi Islam. Dalam masa yang sama program ini juga dapat membuka peluang yang luas kepada golongan ini untuk dekat dengan pendakwah dan secara tidak langsung dapat menarik minat golongan LGBT untuk mendalami ilmu asas agama Islam.

Saya sendiri pernah bersama-sama dalam FASA 2 hinggalah ke FASA 4. Tesis saya semasa Degree di USIM juga berkait rapat dengan perubatan Islam iaitu Rawatan Spiritual Islam yang disebut di dalam FASA 4 ini. Alhamdulillah, kini saya sedang menyambung pengajian peringkat seterusnya di UMP dan kali ini, kajian saya terhadap keberkesanannya pula dalam pemulihan golongan bernafsu songsang ini, khususnya golongan Gay. Doakan saya. Moga bermanfaat buat ummah!

USAHA BUAT UMMAH

Itu antara usaha yang MAIS laksanakan. Sebagai insan biasa yang memiliki semangat dan cita-cita yang luar biasa, saya dan Team Hamare Group juga tidak berdiam diri saja melihat gejala LGBT ini semakin merebak dan menular dalam kalangan anak-anak muda kita, khususnya!

Apa yang kami mampu laksanakan dan usahakan adalah :-

  • Menerbitkan buku yang berinti mesej ‘mesra remaja’. Antaranya, yang berkait rapat dengan isu LGBT adalah buku bertajuk “Hidayah Di Balik Jeriji Besi” dan juga “LGBT Mencari Syurga : Siri Sekuel 1”. Buku-buku ini ditulis berdasarkan inspirasi kisah benar. Buku pertama telah pun terbit pada hujung 2016. Buku LGBT Mencari Syurga itu pula, buku baru untuk tahun ini. Buku itu juga mendapat sokongan dan kata-kata aluan daripada Pengurus Bahagian Pemulihan al-Riqab, MAIS. Bacalah untuk ketahui perjalanan mendekati komuniti tersebut dari sudut dakwah. Buku ini berfokus pada 3M iaitu Mengenali, Menghadapi dan Mencegah/Menangani. Moga bermanfaat.
  • Misi Jelajah Sekolah 2018 (yang berfokus pada topik Motivasi Media Sosial & juga Cakna LGBT) selain memenuhi permintaan sekolah yang inginkan kem, bengkel, dan lain-lain. Program bedah buku, bedah filem serta kem-kem lain juga turut disediakan sebagai oleh perkhidmatan pihak kami.
  • Menyampaikan mesej melalui video-video pendek dan juga ‘quote-quote’ bermanfaat. (Kami aktif di FB page Hamare Group yang baru nak cecah 36K followers tapi kini, page tersebut sedang ‘unavailable’). Boleh FOLLOW FB page kami, Hamare Publication dan Motivasi Media Sosial Instagram kami @hamaregroup serta boleh FOLLOW channel YouTube kami di sini.
  • Komited untuk mencari ruang dan peluang yang ada di sekolah/kolej/ipta/masjid/surau untuk berkongsi info, pendedahan serta beberapa perkara penting berkaitan dengan isu-isu sosial remaja seperti LGBT, Jenayah Seksual, Media Sosial dan banyak lagi. Jom sama-sama kita selamatkan generasi anak-anak muda-mudi kita!

Akhir sekali, mari sama-sama kita lihat kenyataan daripada Mufti Negeri Selangor kita ini. Moga bermanfaat.

Sekian, secebis perkongsian daripada saya. Moga dapat membantu menjernihkan salah faham netizen terhadap institusi zakat dan institusi agama kita.

Usah kita mudah terpedaya dengan tajuk-tajuk berita saja. Usah kita terpedaya dengan ‘permainan mereka’ yang sengaja membangkitkan isu yang sudah lama bermula dan dilaksanakan ini. Sama-sama kita doakan yang baik-baik buat Malaysia kita dan sama-sama kita sokong dan berusaha untuk mendaulatkan hukum Allah. Sudah-sudahlah kita mengikut akal dan nafsu sahaja. Bebas, jangan sampai terbabas!

Moga sama-sama kita terus berusaha dalam bidang masing-masing, untuk generasi kita ini. Biar lelah kita kerana Dia, bukan kerana habuan dunia.

Yang benar,

Noor Syazana Binti Abd Hamid,

Hamba Allah selamanya.