muhasabah diri

All posts tagged muhasabah diri

ISU LGBT, ZAKAT DAN SALAH FAHAM NETIZEN

Published September 6, 2018 by wana93

Bismillah.

Alhamdulillah, masih diberi kesempatan masa untuk menulis di sini. Untuk makluman, saya dah beberapa hari tak menulis perkongsian di laman media sosial Facebook kerana telah di’block’ sekejap tempoh hari. Mula-mula seminggu, lepas tu, kena block’ lagi, 3 hari pula.

Semua perkongsian saya berkaitan dengan info dan kesedaran LGBT, telah dipadam oleh pihak FB. Status saya yang lama, berkaitan dengan cakna LGBT juga telah dipadam. Saya memang ada menulis perkongsian khas berkaitan dengan Siri Cakna LGBT. Dah ada beberapa yang telah dipadam, jadi, saya akan ‘hide’kan dan sambung perkongsian untuk dijadikan sebuah EBOOK khas nanti. Itu yang terfikir saat ini. Mungkin juga akan dikogsi di blog ini.

Oh ya, FB page Hamare Group juga telah hilang daripada radar. Doakan kami dapat semula FB page tersebut.

Baru-baru ini, saya ada program bersama PU Amin dan cikgu Ery dalam satu forum bertajuk Barah LGBT : Cegah Sebelum Parah di Dataran Masjid Nurul Amin, Kg. Delek, Klang. Kali kedua saya berprogram bersama PU Amin (kali pertama berforum di USIM).  Saya meminta sahabat untuk rakamkan LIVE forum tersebut di salah satu FB ‘backup’ kami. Alhamdulillah, ada 1.5K orang yang sempat menontonnya setelah FB ‘detect’ dan padam.

39914689_10209860252622732_127000701179002880_n

Bukan itu saja, sebelum program berlangsung, saya bersama team Hamare Group dan pihak Kelab Remaja Masjid berusaha membuat promosi secara besar-besaran di laman FB. Tak lama kemudian, FB page semua di’block’. Ada beberapa orang antara kami juga, FB personal pun di’block’. Semua gambar poster juga dipadam oleh pihak FB (walaupun kami tak tulis pun perkataan “LGBT” dalam status kami).

Nampak tak betapa licik dan lajunya ‘mereka-mereka’ yang PRO-LGBT ini dalam membuat ‘report’ dan bersepakat untuk menyekat program-program yang berkaitan dengan kesedaran dan kecaknaan kita terhadap isu LGBT.

Jika 2 tahun lepas, saya sering juga cerita dan berkongsi perihal cakna LGBT ini di FB sendiri. Cerita untuk memberi pengajaran dan mengambil ‘ibrah hasil daripada pengalaman saya berpogram bersama mereka, berkawan dengan mereka, dekati mereka dari sudut pendekatan dakwah dan pelbagai lagi. Siap ada EBOOK STORI LGBT lagi. Namun, tak pernah kena ‘block’ pula waktu itu. Tapi kini, tidak lagi.

LGBT LAYAK DAPAT ZAKAT : SALAH FAHAM TAJUK BERITA YANG MENGUNDANG PERSEPSI NEGATIF MASYARAKAT

41067999_10156909383199883_2055416501409677312_n.jpgIni satu lagi isu yang sedang hangat diperkatakan. Saya tak mampu nak tahan tangan ini daripada menaip dan betulkan persepsi kerana saya pernah berada di tempat itu, dua tahun yang lepas. Hampir setahun berada di tempat itu, banyak perkara yang diri peroleh sebenarnya, selain pengalaman yang sangat berharga!

40969245_10156513045056221_5057880318153850880_n.jpg

Saya membuka ‘slide’ pembentangan yang pernah saya sediakan untuk dibentang dan diberi kepada pensyarah saya, sewaktu saya praktikal di Sektor Pembangunan Sosial, Bahagian Pemulihan Al-Riqab, MAIS, Klang ini, 2 tahun lepas. Saya melihat kembali apa yang pernah saya tulis di dalam ‘slide’ tersebut.

Sebelum itu, suka untuk saya kongsikan serba sedikit berkaitan pengenalan maksud al-Riqab yang diambil daripada sini.

Di dalam al-Quran, Allah s.w.t telah meletakkan kedudukan asnaf ar-riqab di dalam senarai penerima zakat pada posisi kelima. Iaitu, dimulai dengan asnaf fakir, miskin, amil, mualaf dan yang ke lima ar-riqab, sebagaimana firman Allah s.w.t dalam surah al-Taubah: 60.

Ar-riqab, jika dilihat dari segi definisi umum bermaksud “hamba mukatab” yang membeli atau menebus dirinya sendiri untuk bebas daripada tuannya secara beransur-ansur. Maka, fuqaha’ menyatakan bahawa istilah ini adalah merupakan satu kiasan yang menunjukkan bahawa perhambaan adalah satu bentuk ikatan yang mengikat seseorang itu daripada menikmati kebebasan sebagaimana menurut pandangan al-Qaradawi. Berdasarkan pemerhatian penyelidik, terdapat sedikit perbezaan definisi ar-riqab di kalangan ulama’.

Namun perselisihan ini tidaklah terlalu besar tetapi lebih membawa kepada maksud hamba atau pembebasan. Justeru itu, timbul isu mengenai kewujudan asnaf ar-riqab pada masa kini yang mana tidak terdapat dimana-mana negara lagi yang mengamalkan sistem penghambaan. Sekiranya benar asnaf ini tidak wujud lagi, bagaimanakah kedudukan dana zakat yang diperuntukkan kepada asnaf ini? atau adakah wujud pentafsiran lain tentang definisi ar-riqab pada masa kini?. Justeru kajian ini perlu dijalankan bagi melihat semula kedudukan asnaf ar-riqab sebagai penerima zakat pada masa kini, golongan-golongan lain yang berkemungkinan boleh dikategorikan di bawah asnaf ini dan perkara-perkara lain yang berkaitan dengannya khususnya dari segi bantuan dan kaedah pemberian zakat kepada golongan ini sekiranya mereka layak menerimanya.

Ini pula, antara isi yang saya pernah kongsikan dalam pembentangan berkenaan dengan praktikal saya.

Fungsi Bahagian Pemulihan Al-Riqab :

  • Memperkasa dan menguatkuasa undang-undang Riqab melalui Fatwa, Peraturan, SOP dan yang berkaitan.
  • Membangun dan melaksana modul Riqab dengan teratur berkesan.
  • Meningkatkan hubungan kerjasama dengan agensi luar bagi membebaskan asnaf Riqab.
  • Membebaskan mereka yang terjebak  dalam masalah sosial dan akidah agar kembali  bertaubat.
  • Mengawal selia pusat Pemulihan Akidah dan akhlak serta menyelaras Rumah Pemulihan Al-Riqab.
  • Mencegah penularan penyakit  sosial dan akidah di kalangan masyarakat  Islam.

“Belenggu adalah kuasa luaran atau keadaan yang merampas dan menjatuhkan maruah dan kebebasan seorang muslim.” (Keputusan Fatwa Negeri Selangor yang telah diwartakan pada 7 Jun 2012)

Kriteria penerima bantuan :

  • Beragama Islam
  • Tiada sumber kewangan yang cukup dan halal
  • Seseorang yang disahkan ingin membebaskan dirinya dari dibelenggu yang dihadapi

Jenis-jenis Al-Riqab :

  • Masalah Sosial
  • Masalah Penyakit Kronik
  • Masalah Akidah

FATWA JENIS PENERIMA ASNAF AL-RIQAB NEGERI SELANGOR DAN APA-APA YANG BERKAITAN DENGANNYA >> Rujuk di sini

Senarai jenis penerima agihan asnaf Al-Riqab berikut adalah layak menerima bantuan zakat Al-Riqab melalui perantara mana-mana institusi, pusat, NGO Islam dan individu perseorangan yang dibenarkan oleh undang-undang dan Hukum Syara’ yang berfungsi melaksanakan tugas-tugas membebas, mengurus, melindungi, merawat dan memulih asnaf Al-Riqab supaya dapat menjalani kehidupan sempurna secara Islam.

  • Masalah sosial:

(a) Terbelenggu dengan dadah: i. Penagih dadah. ii. Bekas penagih dadah.

(b) Terbelenggu dengan masalah jenayah syariah: i. Minum arak. ii. Zina. iii. Judi. iv. Khalwat v. Buang anak vi. Mengandung luar nikah. vii. Mempersendakan Al-Quran dan Hadis. viii. Sumbang mahram. ix. Persetubuhan haram. x. Muncikari (ibu ayam). xi. Menjual atau memberikan anak kepada orang bukan Islam. xii. Dan lain-lain yang berkaitan Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Selangor) 1995.

(c) Terbelenggu dengan amalan salah Islam: i. Tidak solat. ii. Tidak puasa. iii. Buang anak. iv. Usaha ingin bunuh diri. v. Hidup bersama pelacur

(d) Terbelenggu dengan gaya hidup songsang: i. Pelacur. ii. Lesbian. iii. Mak Nyah (Transexual). iv. Gay. v. Homoseksual. vi. Gigolo. vii. Biseksual. viii. Pengkid. ix. Tomboy. x. Bersedudukan dengan orang bukan Islam.

(e) Terbelenggu dengan kes juvana: i. Gangster. ii. Jenayah melibatkan harta benda. iii. Pergaduhan yang nelibatkan kecederaan. iv. Kes rompak. v. Pecah rumah. vi. Kes rogol. vii. Jenayah yang melibatkan peralatan senjata yang merbahaya. viii. Ugutan yang melibatkan keganasan.

(f) Terbelenggu dengan penyakit kronik : i. Penyakit HIV/AIDS. ii. Kanser/barah. iii. Tibi. iv. Hepatitis. v. Dan lan-lain.

  • Masalah Akidah:

(a) Terbelenggu dengan masalah syirik dan khurafat: i. Doktrin palsu. ii. Mengaku menjadi nabi. iii. Menghina Islam. iv. Pemujaan salah. v. Mempersendakan Al-Quran dan Hadis.

(b) Memurnikan akidah orang Isalam yang terpesong i. Orang yang ingin/berhasrat murtad. ii. Orang yang dalam proses Istitabah.

Bertarikh 14 Mei 2012 (Boleh rujuk di sini)

Untuk makluman, Bahagian Pemulihan Al-Riqab, Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) melalui Unit Prihatin sebagai satu unit khusus yang bertanggungjawab melaksanakan program kepada golongan LGBT. Tujuan program-program ini diadakan adalah bagi melaksanakan rawatan, pemulihan, perlindungan dan pengawalan kepada asnaf Al Riqab khusus golongan LGBT. Selain itu, program ini juga adalah medium dalam menyampaikan dakwah dan ilmu Islam kepada golongan ini.

Pecahan program-program di MAIS yang melibatkan golongan LGBT ini ialah melalui 4 fasa iaitu:

Fasa 1: Ziarah ke rumah dan outreach di lapangan
Fasa 2: Jalinan kerjasama dan Program Penghayatan Islam
Fasa 3: Kelas Bimbingan Agama, Perawatan dan Pemulihan serta bantuan dan kebajikan
Fasa 4: Pengukuhan dan Rawatan Spiritual Islam (Rawatan Khusus)

Kesan daripada program yang telah dilaksanakan oleh MAIS ialah membuang salah anggap golongan LGBT terhadap institusi Islam. Dalam masa yang sama program ini juga dapat membuka peluang yang luas kepada golongan ini untuk dekat dengan pendakwah dan secara tidak langsung dapat menarik minat golongan LGBT untuk mendalami ilmu asas agama Islam.

Saya sendiri pernah bersama-sama dalam FASA 2 hinggalah ke FASA 4. Tesis saya semasa Degree di USIM juga berkait rapat dengan perubatan Islam iaitu Rawatan Spiritual Islam yang disebut di dalam FASA 4 ini. Alhamdulillah, kini saya sedang menyambung pengajian peringkat seterusnya di UMP dan kali ini, kajian saya terhadap keberkesanannya pula dalam pemulihan golongan bernafsu songsang ini, khususnya golongan Gay. Doakan saya. Moga bermanfaat buat ummah!

USAHA BUAT UMMAH

Itu antara usaha yang MAIS laksanakan. Sebagai insan biasa yang memiliki semangat dan cita-cita yang luar biasa, saya dan Team Hamare Group juga tidak berdiam diri saja melihat gejala LGBT ini semakin merebak dan menular dalam kalangan anak-anak muda kita, khususnya!

Apa yang kami mampu laksanakan dan usahakan adalah :-

  • Menerbitkan buku yang berinti mesej ‘mesra remaja’. Antaranya, yang berkait rapat dengan isu LGBT adalah buku bertajuk “Hidayah Di Balik Jeriji Besi” dan juga “LGBT Mencari Syurga : Siri Sekuel 1”. Buku-buku ini ditulis berdasarkan inspirasi kisah benar. Buku pertama telah pun terbit pada hujung 2016. Buku LGBT Mencari Syurga itu pula, buku baru untuk tahun ini. Buku itu juga mendapat sokongan dan kata-kata aluan daripada Pengurus Bahagian Pemulihan al-Riqab, MAIS. Bacalah untuk ketahui perjalanan mendekati komuniti tersebut dari sudut dakwah. Buku ini berfokus pada 3M iaitu Mengenali, Menghadapi dan Mencegah/Menangani. Moga bermanfaat.
  • Misi Jelajah Sekolah 2018 (yang berfokus pada topik Motivasi Media Sosial & juga Cakna LGBT) selain memenuhi permintaan sekolah yang inginkan kem, bengkel, dan lain-lain. Program bedah buku, bedah filem serta kem-kem lain juga turut disediakan sebagai oleh perkhidmatan pihak kami.
  • Menyampaikan mesej melalui video-video pendek dan juga ‘quote-quote’ bermanfaat. (Kami aktif di FB page Hamare Group yang baru nak cecah 36K followers tapi kini, page tersebut sedang ‘unavailable’). Boleh FOLLOW FB page kami, Hamare Publication dan Motivasi Media Sosial Instagram kami @hamaregroup serta boleh FOLLOW channel YouTube kami di sini.
  • Komited untuk mencari ruang dan peluang yang ada di sekolah/kolej/ipta/masjid/surau untuk berkongsi info, pendedahan serta beberapa perkara penting berkaitan dengan isu-isu sosial remaja seperti LGBT, Jenayah Seksual, Media Sosial dan banyak lagi. Jom sama-sama kita selamatkan generasi anak-anak muda-mudi kita!

Akhir sekali, mari sama-sama kita lihat kenyataan daripada Mufti Negeri Selangor kita ini. Moga bermanfaat.

Sekian, secebis perkongsian daripada saya. Moga dapat membantu menjernihkan salah faham netizen terhadap institusi zakat dan institusi agama kita.

Usah kita mudah terpedaya dengan tajuk-tajuk berita saja. Usah kita terpedaya dengan ‘permainan mereka’ yang sengaja membangkitkan isu yang sudah lama bermula dan dilaksanakan ini. Sama-sama kita doakan yang baik-baik buat Malaysia kita dan sama-sama kita sokong dan berusaha untuk mendaulatkan hukum Allah. Sudah-sudahlah kita mengikut akal dan nafsu sahaja. Bebas, jangan sampai terbabas!

Moga sama-sama kita terus berusaha dalam bidang masing-masing, untuk generasi kita ini. Biar lelah kita kerana Dia, bukan kerana habuan dunia.

Yang benar,

Noor Syazana Binti Abd Hamid,

Hamba Allah selamanya.

 

KEMBARA ULAMAK

Published August 6, 2014 by wana93

Bismillah. Selawat dan salam ke atas Nabi Muhammad S.A.W.yang dicintai lagi dirindui. Alhamdulillah. Walaupun lappy saya sedang kong baterinya, chargernya pula sudah punah secara tiba-tiba, namun, saya masih mencari ruang dan peluang yang ada untuk menaip (masa taip ni, pagi, guna komputer rumah) dan berkongsi tentang hikmah sepanjang jaulah saya dan sahabat-sahabat PEDAMAI ke Kelantan dan Terengganu. Memang penuh ranjau, onak duri ujian dan dugaan serta tribulasi sepanjang perjalanan kami yang mencecah hampir 400km lebih itu.

1/8/2014 (Jumaat)

Sebahagian daripada kami..

Sebahagian daripada kami..

Usai Solat Asar, kami bertolak. Dalam rancangan, pukul 6 petang kami dah kena mula bergerak. Namun, dek kerana beberapa kemusykilan, kami bertolak lewat sejam. Pukul 7 lebih baru kami bertolak. Semuanya ada 7 kereta, 33 orang yang terdiri daripada 22 muslimin dan 11 muslimat. 5 kereta bergerak dahulu. 2 lagi menyusul malamnya.

Untuk permulaan, Alhamdulillah. Segalanya berjalan lancar. 🙂

2/8/2014 (Sabtu)

Tepat Subuh, kami sampai di Kelantan. Kami merehatkan diri dan menguruskan urusan kendiri di majsid Kubang Kerian hingga ke pagi. Masing-masing memang kepenatan. Lebih-lebih lagi driver.

Setelah mengambil dua lagi sahabat kami di situ, kami terus bergerak ke Terengganu. Plan terus bertukar. Rumah Tuan Guru Haji Hadi Awang akan kami serbu dahulu. Targetnya, lepas Zohor kami dah kena berada di rumah TG.

Dan, alkisahnya, tarikh ini jugalah menjadi tarikh keramat buat kami semua. Kerana apa? Kerana 3 buah kereta kami terlibat dalam kemalangan jalan raya. Kereta Avanza, Naza Ria dan BMW Klasik (tak tahu namanya apa). Saya naik bersama BMW Klasik tu. Memang agak terkejut juga bila kereta belakang (Naza Ria) terlanggar kereta tu. Kereta Naza Ria tu adalah kereta arwah abah saya. Kereta tu memang dah agak lama tapi masih berfungsi hingga kini walau ada beberapa yang tak berapa nak kena sangat. Tu yang saya risau kalau-kalau berlaku apa-apa pada kereta tu, takut akan memberi kesan pada anggota kereta tu di bahagian lain pula. Akan memakan kos pula nanti. Dan akan menyusahkan mereka pula. Tak naklah jadi macam tu.

Tapi alhamdulillah, tak ada kerosakan yang teruk berlaku. Nombor flat sedikit patah. Kereta BMW Klasik tu pula, bumper (betul ke?) bawahnya retak, macam nak pecah. Saya ingatkan dua kereta ni saja, rupanya, ada lagi satu iaitu Avanza. Lagi teruk! Pecah bahagaian lampu depan dan kemek. Berlanggar dengan Peugeot (kereta orang lain, bukan dengan kereta kami). Peugeot tu tak ada apa sangat kerosakannya.

Jadi, kami semua sangkut di situ hampir setengah jam lebih. Masing-masing memikirkan masa. Masing-masing memikirkan nasib 3 kereta tersebut. Setelah beberapa orang musyawah, keputusan pun dibuat. 5 kereta teruskan perjalanan dahulu kerana lepas Zohor, dah kena ada di rumah TG Haji Hadi Awang. 2 kereta lagi termasuk Avanza, terpaksa menyusul kemudian lantaran menguruskan urusan saman dan sebagainya bersama pemilik kereta Peugeot tersebut.

Alhamdulillah, dalam pukul 2 lebih, kami sampai ke perkarangan Masjid Russila di Terengganu. Rumah Tuan Guru Haji Hadi Awang terletak bersebelahan dengan masjid itu. Kami pun menuju ke rumah TG. Menunggu dan menanti beliau.

Camera 360

Setelah nampak kelibat TG, kami pun naik ke teratak TG. Wakil muslimin daripada pihak kami memulakan majlis dengan memberitahu kami ini daripada mana dan tujuan kami ke situ. Setelah itu, kami mengajukan beberapa soalan. Hajatnya banyak soalan nak ditanya, namun, melihatkan keadaan TG yang tak berapa nak sihat, tak boleh banyak cakap sangat, maka, kami pun bertanya seringkas mungkin.

Antara soalan yang kami ajukan, berkaitan dengan Tahaluf Siyasi. Ini respon TG kepada kami,

“Tahaluf Siyasi ni adalah persefahaman dalam isu pilihan raya. Kita tak boleh rasuah dan sebagainya. Kita bekerjasama atas nama Melayu, itu tak boleh, tapi, atas nama Islam, itu boleh! Kita tak boleh berpisah dengan politik. Nabi pun berpolitik. Nak bina masjid pun kena ada politiknya, melibatkan kerajaan, pihak itu dan pihak ini. Harga barang naik turun berkaitan dengan politik.”

Kami juga bertanya soal muslimat yang kurang aktif dan cakna dalam politik. TG menjawab ringkas (saya tak berapa nak pick up bab ni),

“Sebenarnya, muslimat kita lebih berilmu. Ramai.”

Dan akhir sekali, antara nasihat dan pesanan TG pada kami adalah :

  • Banyakkan ilmu.
  • Cari ilmu dengan ikhlas.
  • Apa yang boleh amal, amalkan! Cita-cita nak melaksanakan kena ada!
  • Kena ada iman, amal soleh dan mesti berjemaah. Tak boleh seorang-seorang. Dan saling berpesan dengan kebenaran dan berpesan dengan kesabaran.

Kami mengambil kesempatan untuk mengabdikan kenangan indah itu dalam bentuk gambar. Kami bergambar bersama beliau. Kemudian, isteri TG melayani kami sebagai tetamunya. Kami dihidangi air dan kuih raya. Para muslimin duduk di ruang tamu utama bersama TG. Kami yang muslimat duduk bersama Ummi. Kami berborak dan bertanya khabar.

Bersama TG Haji Hadi Awang

Bersama TG Haji Hadi Awang

“Ummi, kesihatan ayah cik (TG) macam mana?”

“Ayah cik masih tak berapa nak sihat. Dia ulang alik ke HUSM dan IJN.”

“Ummi..bagilah kami nasihat pula..”

“Nasihat Ummi sama saja dengan nasihat ayah cik.. Hidup dalam perjuangan banyak ujian. Ujian tu dapat tingkatkan iman kita. Tapi kita kena yakin yang Allah akan tolong orang yang tolong agama Allah..”

Ringkas pesanan Ummi, namun, bermakna buat diri kami yang masih muda ini. Ummi bercerita bahawa dia memiliki 11 anak dan kini, 18 cucu. Alhamdulillah!

Saya sempat meminta sahabat muslimin mintakan tandatangan TG pada buku milik saya, tulisan TG Haji Hadi Awang, “Muqaddimah Aqidah Muslimin”. Alhamdulillah, dapat!

Selesai pertemuan tersebut, kami singgah ke masjid sebelah untuk menunaikan solat jamak takdim dan berehat sebentar sambil menunggu ketibaan dua buah kereta yang tersangkut tadi. Kemudian, diteruskan. Kami kembali semula ke Kelantan untuk ke rumah TG Nik Aziz pula esok paginya.

Saya dan sahabat-sahabat muslimat yang hanya duduk di belakang sebagai penumpang pun dah terasa penat lelahnya, asyik terlelap saja. Apatah lagi para driver, para muslimin sekalian. Mesti lagi penat kan? Namun, mereka tetap gagahkan mata untuk terus memandu! Terima kasih!

Mesyuarat tergempar diadakan pada malam itu. Di hentian sebuah masjid. Berkaitan dengan jaulah, kereta yang kemalangan dan banyak lagi. Hampir saja jaulah ini terhenti setakat ini! Dan alhamdulillah, kesimpulannya, jaulah ini diteruskan! Nampak semangatnya di situ! Walau diuji dengan pelbagai cubaan, namun, tekad yang yang dirancang tetap mahu diteruskan! Dah alang-alang sampai dari jauh, biar selesai sampai habis! Dah alang-alang susah, biarlah kita susah sama-sama! Tak gitu? ^^

3/8/2014 (Ahad)

Lebih kurang jam 2 pagi kami tiba di masjid Kubang Kerian. Tak ingat nama masjid tu apa. Yang pastinya, masjid tu dah jadi tempat penginapan kami yang sedang bermusafir ini. Siap sanggup cari plug, gosok jubah dan tudung di kawasan lalu lalang orang, di tepi dinding lantaran plug dalam masjid banyak yang tak berfungsi. Perempuan dan iron memang tak boleh dipisahkan. Hehe. Kekemasan dalam berpakaian itu penting. 🙂

Camera 360

Kami masing-masing terlantar kepenatan. Mata semua dah terasa berat yang amat. Apa yang bagusnya nak cerita kat sini, para muslimin tak tidur dalam masjid. Mereka tidur di luar masjid (kot). Di perkarangan luar masjid. Jadi bodyguard sekali mungkin. Bagus! Terima kasih lagi sekali yea!

Usai solat Subuh berjemaah, masing-masing mula menyiapkan diri. Kemudian, kami yang muslimat, membuat bulatan dan membaca Mathurat bersama. Selesai bacaan Mathurat, saya bersuara pada seorang akak,

“Akak, dah alang-alang kita buat bulatan gembira ni, eloklah kalau ada pengisian sikit sementara menunggu masa nak turun..”

“Rasanya, yang bersuara boleh mula kot..”

“Eh..saya bagi cadangan..mana boleh saya..”

“Boleh.. Syazana kan baru balik dari belajar kat pondok kan? Haaa, kongsilah dengan kitorang..ceritalah sikit..”

Dan, saya hanya menunduk akur dengan permintaan mereka. Mungkin, ini peluang yang saya ada untuk berkongsi walau sedikit.

“Okey.. InsyaAllah, saya nak kongsi sikit ilmu dan pengalaman yang saya dapat dari sana. Banyak sebenarnya kalau nak cerita semua. Tapi, saya cerita yang ringkas dan apa yang saya ingat jela ye. Saya ni pelupa juga orangnya. Hehe.

Saya masih ingat satu kata-kata seorang ustaz di sana, masa tu, ustaz tengah terangkan bab berkaitan dengan ibu bapa. Masa baby, memang payah kan nak jaga baby, tukar lampin bagai, menangis tak henti-henti dan banyak lagi. Ibu bapa, walau susah macam mana sekalipun, mereka akan jaga kita iaitu anak-anaknya dengan sebaik-baik jagaan, dari kita kecil sampailah kita dah membesar ni. Dan, tak pernah terlintas dalam hati seorang ibu dan bapa, mengharap dan berdoa agar anaknya itu mati.

Tapi, berbeza dengan kita, anaknya, bila kita kena jaga ibu bapa kita yang dah semakin berumur, semakin uzur. Mungkin, yang pernah jaga orang tua yang uzur tahu macam mana susahnya, kita kena tukar lampin diorang, layan kerenah diorang dan sebagainya. Dan, pasti akan terlintas di fikiran anaknya itu, “Bila orang tua ni nak mati?” (Moga kita bukan anak yang sebegitu, Na’uzubillah!)

Jadi, itu bezanya kita dengan ibu bapa kita. Dan lagi satu, suka saya nak kongsi pasal isi kitab “Muhimmah”. Kitab tu bertulisan Jawi lama. Dalam rumi pun ada dah. Tu salah satu kitab yang saya belajar kat pondok tu. Kitab tu cerita pasal tanggungjawab suami dan isteri. Selalu kita dengar yang sweet-sweet saja kan? Jarang kita nak dengar pasal beratnya tanggungjawab dan balasannya. Masa Israk Mikraj, Nabi tengok ramai perempuan dekat Neraka, sebab apa? Sebab tak tutup aurat, suka mengumpat, menyakiti suami dan banyak lagi. Ustaz ada beritahu tentang hadis yang menyebut, 3 golongan yang Allah haramkan masuk Syurga iaitu peminum arak (segala yang berkaitan dengan arak), anak derhaka dan suami yang dayus. Bagaimana lelaki yang dayus itu? Dia membiarkan anak isterinya, kakak adiknya, membuat maksiat dan mendedahkan aurat. Dia tak tegur dan langsung tidak menasihatinya.

Dan terakhir, saya nak kongsi sikit pasal ikhtilat. Antara kita, lelaki dan perempuan, memang kena jaga. Sebab dari mata, akan turun ke hati. Dari situ, kita kena hati-hati. Kalau kita tak jaga mata, hati kita akan bermasalah. Perempuan nak jaga lidah lebih susah daripada nak jaga mata. Tapi lelaki, nak jaga mata lebih susah daripada nak jaga lidah. Saya cadangkan nanti bacalah blog Santai Tarbawi. Blog tu memang terbaik dan memang sentap! Mungkin, sesetengah menganggap yang blog tu syadid, tapi bagi diri saya sendiri, saya suka blog yang tegas macam tu. Kalau soal hati, soal menjaga diri, kita memang kena tegas sebab hati kita ni lembut dan lemah. Saya pernah baca satu status kat FB, ayatnya lebih kurang cenggini,

Tak semestinya kau bergerak melakukan kerja-kerja Islam, kau boleh berikhtilat sesuka hati tanpa batas! Tak semestinya kau bersongkok, berjubah dan bertudung labuh, kau boleh sesuka hati bergelak ketawa bagai dengan sang ajnabi! Tak semestinya kau aktif menggerakkan urusan itu dan ini, kau bebas bersms dan bergayut panjang dengan sang ajnabi!

Jadi, macam itulah. Kita kadang-kadang lupa dan selalu ambil ringan bab ikhtilat ni. Jadi, sama-sama kita muhasabah diri kita. Saling ingat-mengingatkan dan saling tegur mana yang salah dan tak kena. Jangan sampai kita menghalalkan yang haram dan mengharamkan yang halal. Syadid jangan sampai jumud dan mengambil ringan jangan sampai hanyut! InsyaAllah..rasanya tu saja setakat ni..”

“Perghh..sangat terkesan!”

“Sentap kot..”

Saya rasa lega sebenarnya sebab dapat kongsi pasal benda ni semua. Alhamdulillah. Saya harap hati-hati mereka dan hati saya sendiri dapat memahami dan memuhasabah kembali diri sendiri. Usai berbulatan gembira yang sebentar itu, kami pun turun untuk bergerak menuju ke rumah TG Nik Aziz.

Jam 9.30 pagi, kami dapat bertemu dengan seorang ulamak yang sangat dikenali ini. Beliau sangat tawaduk dan seorang yang sederhana. TG meminta kerusi dan mahu duduk di halaman rumahnya yang tika itu matahari pagi sedang hangat memancar. Kami sebenarnya kasihan melihat keadaan TG. Tetap mahu keluar melayani kami sebagai tetamunya. Sama-sama kita doakan kesihatan yang berterusan buat TG kita ini.

TG Nik Aziz bersama kami..

TG Nik Aziz bersama kami..

Tuan Guru Nik Aziz terus memberi nasihat dan mutiara berharga pada kami. Ini antara yang saya ingat dan saya sempat catit :

  • 1435 Hijrah. Jarang orang nak sebut tahun hijrah. Sedikit demi sedikit, pengaruh Islam mula dilapah.
  • Hijrah – angkat, kumpul dan pindah dari 1 negeri ke 1 negeri yang lain.
  • Nabi Muhammad berhijrah. Dalam hijrahnya, banyak pengorbanan. Pengorbanan yang perlu kita hidupkan.
  • Nabi Muhammad bukan intelektual, tapi Baginda menjadi Rasul. Baginda tak pandai menulis. Sebab apa? Sebab kalau Baginda pandai menulis, nanti Baginda akan dituduh meniru tulisan orang lain bila Baginda mahu menyebarkan isi wahyu yang diterima.
  • Tugas membawa agama – ahli rekabentuk. *bab ni saya kurang jelas sikit sebab suara TG agak perlahan*
  • Tiap-tiap tahun, berlaku Haji. Nabi jumpa orang-orang Haji di Mina dan bertemu dengan qabilah tertentu. Ada dalam 70 orang. Nabi melantik Nuqaba iaitu ketua cawangan daripada kalangan mereka sendiri. Banyak cara Nabi guna dalam dakwahnya.
  • Kita kena jadi soleh dan muslih.
  • Soleh – Diri sendiri. Muslih – melebaikan orang lain (maksudnya, membaikkan orang lain).

Hampir 20 minit saja masa yang kami sempat untuk mendengar mutiara berharga daripada TG kerana TG ada urusam selepas itu. Sahabat-sahabat muslimin sempat bergambar kenangan bersama TG Nik Aziz. Kami yang muslimat hanya sempat bergambar kenangan di hadapan rumah TG.

Bersama TG Nik Aziz..

Bersama TG Nik Aziz..

Gambar atas : Kami sama2 menuntut di bumi USIM. Gambar bawah : Ex-student junior + senior SAM Sultan Hisamuddin Sg.Bertih..

Gambar atas : Kami sama2 menuntut di bumi USIM.
Gambar bawah : Ex-student junior + senior SAM Sultan Hisamuddin Sg.Bertih..

Usai berada di rumah TG, kami semua terus melanjutkan perjalanan, menyinggah ke Pasar Siti Khadijah. Lebih kurang 1 jam lebih kami di situ. Membeli-belah apa yang patut. Kemudian, kami mengorak langkah untuk bergerak ke Terengganu, singgah pula membeli keropok losong di sana, selepas solat Zohor dan Asar, jamak takdim. Alhamdulillah, semuanya berjalan lancar.

Kami selamat kembali ke Masjid Ahmadi, Rantau Panjang, Klang pada jam 4.30 pagi, Isnin, 4/8/2014. Alhamdulillah. Selesai sudah ‘Kembara Ulamak’ 2014! Tahniah dan terima kasih PEDAMAI! 😀

Alhamdulillah, done! ^_^

Alhamdulillah, done! ^_^

**Bagi yang masih tertanya-tanya, siapakah PEDAMAI? Bolehlah luangkan masa untuk menonton video ini.

**Di sini, saya kenal mereka. Di sini juga, saya belajar erti perjuangan, pengorbanan dan erti sebuah persahabatan kerana-Nya. Ya. Moga benar kerana-Nya. Banyak juga perkongsian ilmu yang saya dapat di sini. Dan, saya sayang mereka semua. Kerana-Nya. InsyaAllah.

**Tanzim baru telah pun diketahui pada mesyuarat yang lalu. Bakal berkuatkuasa bulan 9 ini. Doakan semoga kami mampu memikul amanah dan tanggungjawab ini kerana-Nya untuk agama tercinta untuk ummah tersayang! Doakan semoga kami terus thabat atas jalan dakwah dan tarbiah! Ubah diri kita dan ajak orang lain juga! InsyaAllah. Uhibbukum fillah! :’)

6/8/2014,

11 a.m.,

Rumahku Syurgaku,

Kampung Delek Kiri,

Klang, Bumi Milik-Nya.

MUJAHADAH : SEBUAH PAHIT YANG MANIS

Published April 11, 2014 by wana93

Mahu mencapai ke puncak tertinggi sebuah gunung itu amatlah payah. Pelbagai liku dan rintangan serta halangan perlu dilepasi dan dilalui terlebih dahulu. Apatah lagi mahu istiqamah dalam sebuah mujahadah untuk mengejar dan merebut cinta tertinggi dalam hidup iaitu cinta Ilahi. Mujahadah itu bermaksud usaha yang bersungguh-sungguh dalam meninggalkan larangan Allah dan melaksanakan perintah-Nya. Mujahadah juga bermakna berkorban akan sesuatu kerana Allah. Bukan mengorbankan Allah kerana sesuatu!

mujahadah-ilustrasi-_120515190057-821

Hanya dengan mengingati-Nya, hati akan menjadi tenang. Sungguh! DIA pemilik ketenangan yang dicari.

Di saat muda-mudi sibuk berpacaran sana sini, sibuk berhibur sana sini, tapi, kita berusaha untuk terus muhasabah diri dan mahu merapat dengan Ilahi, itu mujahadah!

Di saat muda-mudi sibuk melakukan maksiat sana sini, sibuk mahu ke konsert sana sini, kita bersama rakan-rakan sebaya kita sibuk bergerak menggerakkan kerja-kerja Islam, itu mujahadah!

Saat kawan-kawan di rumah sewa semuanya tidur lambat melayan ‘movie’ Korea, Hindustan dan sebagainya hingga bangun lewat untuk Subuh, kita pula berusaha untuk seimbangkan waktu tidur dan merajinkan diri untuk bersujud pada Ilahi tika waktu dinihari, itu mujahadah!

Saat semua sibuk melayan cerita-cerita cinta di televisyen, sibuk bermesej dan ber’gayut’ dengan pakwe makwe masing-masing, kita pula duduk berteleku menghadap dan menghadam isi buku, cuba memahami intipati kitab, membuka kamus bagai, itu mujahadah!

Saat insan sebaya kita asyik membaca gosip-gosip hiburan, sibuk merancang untuk menonton wayang, mendengar lagu-lagu cinta yang membuatkan fikiran berada di awang-awangan, kita pula sibuk menyusun jadual, mengatur waktu untuk memenuhi dan menghadiri majlis-majlis ilmu agama untuk bekalan tambahan buat diri yang masih lagi jahil.

Imam Ahmad bin Sahl al-Balkhi berkata : “Musuhmu yang sebenar ada empat iaitu :
1) Dunia. Senjatanya makhluk dan penjaranya ‘uzlah.
2) Syaitan. Senjatanya kenyang dan penjaranya lapar.
3) Nafsu. Senjatanya tidur dan penjaranya berjaga malam.
4) Hawa. Senjatanya bercakap dan penjaranya diam.”

Ibrahim bin Adham berkata : “Seseorang hamba tidak akan mencapai darjat orang-orang yang soleh sehingga mampu mengatasi lima rintangan : Pertama, menutup pintu nikmat dan membuka pintu kesulitan. Kedua, menutup pintu kemuliaan dan mebuka pintu kehinaan. Ketiga, menutup pintu istirehat dan membuka pintu mujahadah. Keempat, menutup pintu kaya dan membuka pintu kefakiran. Kelima, menutup pintu angan-angan dan membuka pintu ke arah persiapan kematian.”

Ramai yang kata bahawa mujahadah ini adalah sesuatu yang susah dan payah. Ya! Benar! Ada juga yang kata bahawa mujahadah ini adalah sesuatu yang amat pahit untuk kita lakukan terhadap diri kita. Ya! Benar! Namun, segala susah, payah dan pahit itu akan terasa indah andai kita benar-benar punya rasa cinta dan kasih pada Allah, Rasulullah dan Islam.

Bilamana hati dan diri sudah melekat bersama dunia dan seisinya, maka, kita akan rasa sukar untuk me’rasai’ dan men’jiwai’ keindahan dan kemanisan sebuah mujahadah yang diri usaha untuk laksanakan.

Daripada Ibn Umar r.a., beliau berkata : Rasulullah s.a.w. memegang bahuku lalu bersabda : “Jadilah kamu di dunia ini seperti seorang pengembara atau perantau di jalan.” (Riwayat al-Bukhari)

Dunia adalah penjara bagi seorang Mukmin itu. Manakala, ianya Syurga bagi orang-orang kafir. Kerana apa dunia digelar penjara untuk orang Mukmin? Kerana di dalamnya, kita tidak bebas melakukan apa saja, setiap perkara ada hitungan sama ada dosa atau pahala dan banyak lagi sebab. Manakala, dunia dianggap seperti Syurga bagi orang kafir kerana mereka fikir, di sini (dunia) adalah segala-galanya. Mereka boleh lakukan apa saja tanpa menilai ianya adalah dosa ataupun pahala.

Daripada Abu Hurairah r.a., Nabi s.a.w. bersabda yang bermaksud : “Dunia penjara orang Mukmin dan Syurga orang kafir.” (Riwayat al-Tirmizi dan al-Hakim)    

Awal Yang Pahit, Manis Di Penghujung

mujahadah

Mujahadah – Sebuah pahit yang manis :’)

Mujahadah itu amat payah kerana Syurga Allah itu sangat indah. Mujahadah itu pahit pada permulaannya sahaja. Kemanisannya akan dirasai saat kaki sudah bertapak di Syurga Ilahi nanti. (Allahumma Ameen!)

Pernahkah kita merasai gula-gula yang pahit pada mula kita menggigitnya, namun, manis bila kita sudah mengunyahnya? Begitulah mujahadah. Hanya pada permulaannya saja, mungkin, kita akan rasa keperitan dan kepahitan. Kerana, Allah mahu menguji, apa benar mujahadah kita kerana-Nya? Sebab itu, Dia datangkan ujian dan cubaan untuk kita, yang bergelar hamba-Nya.

“Apakah manusia itu mengira bahwa mereka dibiarkan (saja) mengatakan: “Kami telah beriman”, sedang mereka tidak diuji lagi?” (Surah al-Ankabuut : 2)

Bagaimana mungkin kita hanya bergoyang kaki saja di dunia ini, kemudian, mati dan terus boleh masuk Syurga? Andai begitu, senangnya mahu masuk Syurga! Tidak perlu kepada mujahadah dan sebagainya. Namun, hakikatnya adalah sebaliknya. Syurga Allah itu terlalu mahal dan untuk mendapatkan sesuatu yang mahal, perlu kepada pengorbanan yang bersungguh-sungguh. Iaitu, mujahadah!

Andai kita selak kisah cinta dalam lipatan sejarah, pasti kita akan bertemu dengan nama insan-insan hebat yang mana, Syurga menunggu kehadirannya. Bagaimana mereka bertemu dengan kebenaran setelah menentang Islam itu sendiri? Bagaimana hati mereka diketuk dengan sapaan hidayah-Nya, setelah mereka membunuh ramai insan yang tidak berdosa?

Kita ini sering leka dengan maksiat. Kita ini sering terlupa dengan nikmat yang dibuai dunia. Kita ini sering alpa dengan dosa-dosa yang pernah kita lakukan. Hingga semua itu, menutup mata hati kita untuk melihat dan mengenal cinta Allah yang sebenar.

“Dan barang siapa yang buta (hatinya) di dunia ini, niscaya di akhirat (nanti) ia akan lebih buta (pula) dan lebih tersesat dari jalan (yang benar).” (Surah al-Israa’ : 72)

Biarlah permulaan penghijrahan hidup kita dihiasi dengan ujian, dugaan dan cubaan sepanjang kita menuju ke arah mujahadah kerana-Nya. Asalkan di akhir natijah hidup kita nanti, Syurga Allah yang bakal kita kecapi. InsyaAllah.

Jika kita yakin dan percaya dengan rahmat dan kasih sayang Allah, maka, kita akan dihinggapi rasa ketenangan sentiasa. Tidak ada gundah yang tidak berpenghujung. Tidak ada rasa sedih dan resah yang tidak akan berakhir. Ujian dan dugaan akan terus datang untuk menguji kita. Semua itu hanya akan berakhir bilamana nafas kita di dunia ini juga berakhir.

“Yang menjadikan mati dan hidup, supaya Dia menguji kamu, siapa di antara kamu yang lebih baik amalnya. Dan Dia Maha Perkasa lagi Maha Pengampun.” (Surah al-Mulk : 2)

Imam Hanbali pernah ditanya oleh anaknya, “Ayah, bila kita boleh berehat?”
Maka, jawab Imam Hanbali, “Kita hanya akan berehat bila kita benar-benar sudah menjejak ke Syurga”.

MasyaAllah! Jadi, dunia ini adalah tempat untuk kita berpenat! Kerana Syurga adalah tempat rehat kita yang sebenar-benarnya!
Imam al-Ghazali pernah mengatakan bahawa seseorang tidak akan dapat menjadi hamba Allah dengan sebenarnya jika masih mencintai dunia.

Allah s.w.t. mengingatkan kita : “dan tidak (dinamakan) kehidupan dunia melainkan permainan yang sia-sia dan hiburan yang melalaikan.” (Surah Al-An’am, 6:32)

Keep struggle and strive for mardhotillah! ^^

Keep struggle and strive for mardhotillah! ^^

Terus Istiqamah Dalam Mujahadah!

Maka, jika kita sudah mengetahui betapa mahalnya Syurga Allah itu, perlulah kita berusaha dengan lebih keras dan bersungguh-sungguh dalam mahu memenangi redha dan rahmat Ilahi, untuk kita ke Syurga-Nya. Usaha dan amalan ke arah kerja-kerja Islam perlu ditingkatkan. Ibadah juga perlu seiring ditingkatkan. Fokuskan hati untuk lebih mencintai akhirat, bukan menjadikan dunia sebagai keutamaan!

Ilmu dan amal perlu digandakan bagi menangkis godaan-godaan dan bisikan-bisikan syaitan durjana yang mahu menjahanamkan kita. Hubungan yang mantap dan utuh antara kita dengan manusia, dan yang lebih penting, hubungan kita dengan Pencipta kita, perlu kita titikberatkan untuk memastikan diri kita terus terpelihara dalam redha-Nya.

Moga, langkah kita terus istiqamah dalam memperjuangkan sebuah mujahadah! Kerana mujahadah itu adalah sebuah pahit yang manis, andai benar mujahadah kita kerana-Nya. Jangan dihitung pahitnya sebuah mujahadah, akan tetapi, renunglah akan manisnya Syurga yang dijanjikan Allah. 🙂

Moga Allah redha kita semua. 🙂

*Aku menulis untuk ingatan diriku sendiri khususnya. Kerana aku insan lemah, mudah sangat rebah! Makanya, aku perlu akan sebuah mujahadah! Dan, aku mahu kita sama-sama bergerak menuju Allah! :”)

~Teratak Desa Anggerik, Bumi Nilai, Malaysia, Galaksi Bima Sakti,  11/4/2014~

AIR MATA KESEDIHAN

Published April 13, 2013 by wana93

Terkadang, bila hati disapa rasa sedih, bila jiwa dilanda duka lara, maka, pasti kita akan rasa kurang bersemangat. Kadang-kadang, kita cuba pura-pura kuat dengan menaip atau menulis atau bercakap kata-kata semangat pada insan lain. Walhal, ianya untuk diri kita sendiri! Kita cuba mahu bangkit dengan menjadikan diri sendiri sebagai pemangkinnya! Dan bila Allah mahu campakkan rasa sedih dan duka itu pada diri kita, maka pasti! Pasti akan hadir juga air mata yang mengalir hiba.. :”)

Sahabat sejati.. :)

Sahabat sejati.. 🙂

Kita tahu, apa yang perlu kita lakukan tatkala rasa duka nestapa itu hadir dalam hidup. Ya, kita tahu! Tapi, kita juga mahu rasa dinasihati dan diberi kata-kata semangat. Kerana kita perlu! Kita juga manusia biasa yang amatlah rapuh jiwanya. :”)

“Tak tahu kenapa, tapi, hati ini kuat mengatakan yang anda sedang mempunyai masalah. Mungkin ya, mungkin tidak. Apapun, moga kuat! Sebenarnya, ujian yang Allah berrikan pada kita terlalu kecil jika nak dibandingkan ujian para nabi, sahabat-sahabat..sangat kecil! Apapun, kita tak boleh nak ubah takdir..tapi kita boleh MERESPON takdir dengan cara yang baik. Contoh : Dengan tak marah-marah..

Cuba baca kisah Saidina Uthman. Beliau difitnah,dituduh,dicaci maki waktu zaman pemerintahannya. Tapi, betapa mulianya hati dia. Dia tak marah! Malah dia bersabar dan masih mempertahankan agama Allah sehingga beliau dibunuh. Sangat sedih kalau baca sejarah Saidina Uthman.

Kadang-kadang, kita kata kita ni sabar. Sebenarnya, kalau kita nak tahu TAHAP kesabaran kita, waktu kita diuji.. Kita boleh nilai diri kita sejauh mana kesabaran kita..”

Itulah nukilan semangat yang diberi oleh seorang sahabat sejati saya yang sangat jauh jaraknya dengan saya tetapi hati kami sangat dekat dan saling bertaut. Saya sayangkannya kerana Allah!

Terkadang, kita tahu semua itu. Tetapi, kadang-kadang, kita perlu insan-insan terdekat untuk memberitahu kita! Untuk memberi semangat pada kita! :”)

Jangan bersedih lagi ya! Kadang-kadang, diri kita ni rasa bersendirian, tapi, kalam-Nya sentiasa mengingatkan kita bahawa kita punya Dia sebagai Tuhan dan juga peneman 🙂

PERKONGSIAN : NASIHAT SENIOR

Published March 18, 2013 by wana93

Alhamdulillah, malam semalam (17/3/2013), pukul 10-11 malam telah selesai perjumpaan pelajar tahun 1 Pengajian Akidah dan Agama dengan seorang abang senior, tahun 3. Merupakan MPP USIM juga iaitu akhi Mohamad Razif Bin Muhamad Fuad. Sesi pertemuan selama 1 jam itu amatlah berharga bagi diri yang baru menapak ke univerisiti ini. Tapi sayang, pelajar lelaki yang hadir hanya 3 orang. Ish ish, tak patut. Lelaki kan pemimpin? =p

Tak apalah, mungkin, ada halnya yang tersendiri. Hanya mampu bersangka baik. 😉

Di kesempatan ini, saya nak berkongsi dengan anda semua tentang apa yang saya dapat sepanjang 1 jam tu. Saya rakam. Sebab saya tahu, banyak yang best akan dibicarakan. Dan saya simpan kata-kata tu sebagai semangat untuk diri yang serba tak sempurna ini. Masih banyak yang perlu diperbaiki, masih banyak yang perlu dipelajari dan masih banyak yang perlu dikaji terutama bab agama.

555977_611768438850348_1699354321_n

Saya memang suka berkongsi kalau sesuatu itu bermanfaat. Bolehlah sedia sikit-sikit pahala untuk pencen kubur nanti. Insya-Allah, sama-samalah ya. :’) Okey, jom baca!

* Masalah pelajar tahun 1 :

– susah nak sesuaikan diri dengan pensyarah Arab.

– agak lemah dalam penguasaan Bahasa Arab.

– lemah juga berbahasa Inggeris.

– agak lemah dalam subjek Akhlak dan Dakwah kerana Bahasa Arabnya.

*  Sebenarnya, dulu tak ada program Akidah ni. Tan Sri Abd Shukor yang cadangkan program ni. Beliau merupakan pensyarah di FKP Usim dan merupakan pengerusi majlis fatwa kebangsaan. Beliau merupakan anak Melayu pertama yang dapat PHD Usuluddin di Mesir. Program Akidah ni dibuat sebab nak wujudkan asas. Tak senang! Ada yang bangkang, ada yang tak setuju. Katanya, pelajar Akidah tak ada masa depan.

*  Sebab apa orang tak kenal program Pengajian Akidah dan Agama ni? Sebab baru ke, sebab pelajarnya yang tak menonjol? Program kita ni adalah satu program yang hebat dan kuat di USIM. Sebab fokus kita pada 4 perkara iaitu :- Akidah, Tasawwuf, Falsafah dan Perbandingan Agama. Tahun 2, tahun 3 nanti, kita akan belajar tentang agama-agama (Kristian, Hindu dll.) Kita juga akan belajar perbandingan falsafah Islam dan Barat. Banyak sebenarnya. Dan memang susah pun. Sebab tu kena mula dari sekarang!

*  Kalau program Dakwah, diorang banyak ke lapangan. Jumpa dengan orang asli, dengan masyarakat dan macam-macam. Tapi, budak program Akidah macam kita ni, kena duduk dalam library baca buku, mengaji kitab-kitab. Tugas kita, jaga akidah 1 Malaysia ni. Berat tak? Agak-agak cukup ke dengan ilmu yang cukup-cukup makan kita belajar Akidah selama 4 tahun di USIM ni? Cukup ke nak berdepan dengan masyarakat? Cukup ke nak lontarkan hujah? Boleh tak nak jaga akidah orang sekeliling kita ni dengan ilmu yang kita ada sekarang? Dengan Bahasa Arab dan Inggeris yang masih lemah lagi.

*  Pelajar Akidah, tak boleh lari daripada dua perkara ni :- Talaqqi (belajar dengan berjumpa guru) dan mengaji (kaji kitab-kitab).

*  Imam mazhab akidah kita siapa? Abu Hasan Ash’ari. Imam mazhab Feqah kita siapa? Imam Syafi’e. Imam Tasawwuf kita siapa? Imam Al-Ghazali. Pelajar Akidah kena tahu asas-asas ni semua. Kena rajin membacalah.

*  Jangan sampai sehari tu, tak baca apa pun! Kita dah pun dipilih dan terpilih masuk ke bidang Akidah ni. Jadi, kena bersedia! 5/10 tahun lagi, siapa nak ganti para ustaz/ustazah? Siapa nak jawab persoalan-persoalan semasa Akidah kalau bukan kita?

*  Dr.Najib (pensyarah kami dari Sudan). Orangnya hebat. Ilmunya tinggi. Beliau berasal daripada golongan miskin. Umur dah 40 tahun lebih tapi tak kahwin lagi. Bukanlah fokus utamanya, tak kahwin lagi. Tapi, nak fokus dekat sini, beliau ni sambung belajar sampai PHD di Malaysia. Beliau fokus belajar! Walaupun cakapnya loghat Sudan. Bila kita tak faham, kenalah rajin sembang. Beliau sangat-sangat hargai bila ada pelajar yang datang jumpa dan bertanya dengan dia. Cuba adakan perbincangan atau soal jawab dengan para pensyarah.

*  Allah dah pilih kita untuk masuk ke dalam bidang Akidah ni. Maknanya, ada hikmah. Allah pilih sebab Dia tahu kita mampu. Ada akal dan minda yang sihat. Bezanya, sedar ke tak sedar, rajin ke tak rajin.

*  Subjek kita sebenarnya makin susah dan makin mendalam. Tak mula daripada sekarang, bila nak berjaya? Mak ayah hantar ke universiti dengan perasaan bangga dan gembira. Tapi kita? Ingatlah jasa mak ayah kita ya.

*  Kerja-kerja assignment tu sebenarnya kita dapat ilmu luar kelas. Dari situ, sepatutnya dah ada kesedaran.

*  Masalah pelajar Akidah ni sebenarnya, tak tahu nama kitab dan nama penulis. Contoh kitab Imam Al-Ghazali : Bidayatul Hidayah dan Ihya’ Ulumuddin.

*  Beli buku agama, hafaz bahagian rujukan tu. Kan ada banyak nama-nama kitab dan penulis. Ada internet, cuba cari maklumat. Jangan asyik Facebook saja!

*  Mula-mula tu, memang payah tapi lama-lama nanti akan mudah. Buat jadual sebab kerja kita banyak.

*  Untuk praktikal, ada yang dihantar ke pejabat agama. Ada yang sampai ke Indonesia. Ada yang diletakkan ke bahagian Rundingan Akidah. Rundingan Akidah ni, orang-orang yang nak murtad, kena rujuk kita dulu. Boleh ke kita pujuk diorang supaya tak murtad? Dengan kebolehan bahasa kita yang kurang, macam mana kita nak berhujah?

*  Bilamana ada subjek yang tak faham, terus jumpa pensyarah. Sembang-sembang dan boraklah dengan mereka.

*  Ilmu datang daripada Allah. Bukan daripada buku atau pensyarah. Buku atau pensyarah hanyalah perantara. Mereka hanya menyampaikan. Kefahaman ilmu datang daripada Allah. Berkat hubungan kita dengan pensyarah. Ada masalah, datang dekat pensyarah. Makin tak faham, makin dekat dengan pensyarah.

*  Nak mantapkan Bahasa Arab dan Inggeris, rajinkan bersembang dengan foreigner. Pastikan MUET lepas Band 3 ke atas!

*  Kita ni untung! Orang lain semua rugi sebab tak belajar apa yang kita belajar. Diorang belajar cabang tapi kita belajar akar iaitu Akidah.

*  Letak kitab, letak kamus! Cadangan kitab untuk dibaca dan dirujuk :- 1) Al-Iman (Dr.Naim Yasin). 2) Tabsit Fil ‘Aqo’ed (Hasan Ayu). 3) Mukaddimah Akidah Muslim (Dr.Hadi Haji Awang).

*  Jangan ada 1 hari tanpa membaca! Pelajar agama kena dekat dengan Al-Quran. Kena hafaz Al-Quran, apa yang mampu, untuk kita jadikan dalil. Kena hafaz hadis-hadis.

*  Tidur jangan lama-lama. Ulama’-ulama’ dulu tidurnya sekejap saja. Ada ulama’ sakit. Penawarnya adalah dengan membaca buku. Ada ulama’ mati sebab dihempap dengan buku-buku.

*  Badi’uzzaman (Risalah Annur). Dia dulu tak cerdik. Satu hari, dia jumpa dengan orang miskin. Dia bagi makanan. Sejak tu, dia rasa macam dia faham akan ilmu. Dia banyak tulis kitab-kitab. Itu semua berkat.

*  Kadang-kadang, kita kena tengok amalan-amalan sampingan kita ni. Itu yang akan bantu kita. Jaga hubungan dengan Allah. Sebab ilmu tu datang daripada Allah. Jaga hubungan dengan manusia – jaga pergaulan kita. Kadang-kadang, disebabkan perkara yang kita tak sedar, contohnya tak jaga pergaulan, Allah boleh tarik ilmu dan kefahaman daripada diri kita.

*  Nak sentiasa bersemangat? 1) Banyakkan baca hadis-hadis  tentang ilmu. 2) Banyakkan baca ayat-ayat Al-Quran tentang ilmu. 3) Baca kisah-kisah ulama’. 4) Ingat balik tujuan mak ayag hantar kita ke universiti, untuk belajar.

Itu saja nota yang saya rasa penting untuk kita semua. Kata-kata nasihat tu memang terbaik! Bagi sesiapa yang mahu ambil dan manfaatkan untuk dirinya dan insan sekeliling. 🙂

Lagi satu, saya gembira jugalah sebab dapat tandatangan akhi Razif. Syukran. Huhu. Tu pun minta tolong kawan lelaki yang ambilkan. Seganlah kan nak minta sendiri.

58844_4545152026345_1531539163_n

MPP USIM ni, baru berjinak dengan dunia penulisan. Memang terbaik! Bukunya, ‘Tip Sebagai Muslim Bertakwa’. Saya dah beli dan dah baca pun. Dah khatam dua kali dah. Sebab saya suka isi dalam buku tu. Lebih-lebih lagi tentang Takwa dan Tips Mengurus Nafsu. Amat-amat bermanfaat. Ilmu pun bertambah, insya-Allah. Ni blog beliau :- Raziffuad

Sesungguhnya, saya amat-amat cemburu. Bukan cemburu buta kerana cinta palsu manusia. Tapi cemburu kerana ada insan yang bersengkang mata mengaji kitab-kitab turath dan suka menadah ilmu daripada murabbinya. Sesungguhnya, saya amat cemburu. Bukan cemburu dengan pasangan couple yang tidak halal dan suka berbuat dosa. Tapi cemburu bila dapat tahu, ada insan yang punya 3 rak almari di dalam biliknya, dan dipenuhi dengan kitab-kitab dan buku-buku agama. Bajunya hanya digantung dalam bilik. Tanyalah tentang tamadun dan sejarah-sejarah Islam padanya, pasti dijawabnya dengan lekas. Saya juga cemburu! Bukan cemburu dengan manusia yang suka berwarkah cinta palsu sana sini. Tapi cemburu dengan insan yang hebat Bahasa Arabnya dan mampu bercakap Bahasa Arab dengan laju dan lancar.

Akhir kalam, wahai pelajar agama, mari sedarkan diri kita! Kita memegang amanah yang bukan remeh-temeh! Amanah yang telah Allah tetapkan untuk kita memikulnya. Teruskan perjuangan kita ya! Lillahi Ta’ala! ^__^

Moga Allah redha kita semua.. :”)

JANGAN SOMBONG YE!

Published March 3, 2013 by wana93

Setiap kita, termasuklah diri yang menulis ini, punya kelemahan dan kekurangan masing-masing. Itu semua bukan untuk disesali, tapi, untuk diperbaiki dan belajar daripada kesilapan diri sendiri.

480446_462216987160571_73739462_n

Sebenarnya, kita juga punya kelebihan dan keistimewaan masing-masing. Tapi, bukan untuk kita menyombong dan membangga diri. Sebaliknya, untuk sama-sama saling membantu.

Jika anda bijak pandai, alhamdulillah. 🙂
Jika anda kaya, alhamdulillah. 🙂
Bersyukur itu perlu. Bukan setakat di bibir, tapi, dalam pengaplikasian hidup kita. Itu yang utamanya. Bukan dengan memandang rendah pada seseorang yang mungkin tidak sehebat diri anda, bukan dengan menghina insan lain yang serba tak upaya dan bukan juga untuk memperlekehkan manusia yang mungkin tidak sebijak dan sepandai diri anda. 🙂

Daripada Abdullah bin Amr r.a., beliau berkata : “Rasulullah SAW bukanlah peribadi seseorang Muslim itu yang berkata dan berbuat yang tidak senonoh. Baginda bersabda : ‘Sesungguhnya orang yang terbaik daripada kalangan kamu adalah orang yang paling baik akhlaknya di antara kamu.’ ” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Tetapi,ingat! Bukan kerana kekayaannya, kita dekat dengannya. Kerana kepandaiannya, kita jadi sahabat baiknya dengan meminggirkan sahabat-sahabat  yang lain. Bukan juga kerana luaran yang hensem dan cantik serta popular, kita mahu bersahabat dengannya. Jika kerana itulah nilai ukhuwah yang dibina, memang takkan kekal. Sebab apa?

1) Kalau dia jatuh miskin, pasti kita akan menjauhinya. Hilang sudah erti persahabatan.
2) Kalau dia hilang ingatan, kemudian, tak sebijak dulu, kita pasti akan meninggalkannya kerana dia sudah tidak berguna lagi untuk kita. Hilang sudah erti sebuah ukhuwah.
3) Kalau dia kemalangan, ada parut di muka, ada cacat celanya, pasti kita sudah tidak mahu mengaku kawan lagi. Hilang sudah semua yang dibina.

Sepandai mana pun kita, sekaya mana pun kita, taraf kita semua tetap sama.
Hanyalah hamba-Nya. Pekerja kepada Dia.
Bukan kita yang menilai diri kita. Tapi, Dia yang Maha Adil akan menilai diri kita.

“…maka janganlah kamu menganggap diri kamu suci. Dialah yang paling mengetahui siapa orang yang bertakwa.” (Surah al-Najm : 32)

Allah tak pandang luaran kita. Apa yang Allah nilai adalah hati kita, ada takwa atau sifar takwa. Jadi, kita perlu sentiasa check up hati kita untuk memastikan ianya berada dalam keadaan iman yang bertambah dan punya takwa. Insya-Allah.

Semoga sepasang mata milik kita mampu melihat kebaikan orang lain. Semoga sekeping hati milik kita mampu memaafkan kesalahan. Semoga minda yang dimiliki kita mampu melupakan kepahitan. Semoga jiwa yang dimiliki kita tidak pernah rapuh imannya. 🙂

Moga ukhuwah kita dibina atas dasar kerana Allah.
Bagaimana?
Semaikan iman dan takwa dalam setiap pertemuan kita. 🙂
Terima orang sekeliling kita seadanya. 🙂
Bantu mereka yang lemah, bukan meminggirkan mereka. 🙂
Sama-sama perbaiki diri ke arah yang lebih baik. 🙂

Jadikan Allah itu matlamat sebenar kita. Biar Allah menjadi matlamat utama dalam hidup kita. Bukan kerana cinta manusia, baru kita mahu mendekati Allah. Bukan kerana mahu berjaya dalam periksa, baru kita merapati Allah. Bukan! Andai begitulah hakikatnya, pasti kita akan cepat lupakan-Nya bila Dia sudah memberi apa yang kita mahu. Boleh jadi juga, kita akan berputus asa untuk berdoa dan mengharap pada-Nya bila Dia tidak memberi apa yang kita mohonkan.

Jangan sesekali bersikap begitu. Jangan jadikan cinta, kejayaan dan lain-lain lagi sebagai matlamat utama. Sebaliknya, jadikan semua itu bermatlamatkan Allah Yang Maha Esa. Kita bercinta dan berkasih sayang dengan manusia kerana Allah. Kita mahu berjaya dalam pelajaran kerana Allah. Kita mahu gapai apa yang kita impikan adalah kerana Allah. Itulah matlamat sebenar hidup. Semuanya kerana Allah.

“Dan Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk beribadah kepada-Ku.” (Surah Adz-Dzariyat : 56)

Jadi, jangan sombong ye! Sebab Allah tak suka orang yang sombong! ^_^

“…janganlah kamu berjalan di muka bumi dengan angkuh. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang yang sombong lagi membanggakan diri.” (Surah Luqman : 18)

Fokuskan hati kepada akhirat. Bukan mengejar dunia yang penuh tipu daya ni. ~.^
Wahai diri, teruskan langkahmu! Walau kamu sendiri. Kerana Allah selalu di sisi. :’)

-Muhasabah Hamba Yang Serba Berdosa-

DI MANA ISLAM DI HATIKU?

Published February 12, 2013 by wana93

Tahniah kepada kerajaan yang ‘bertungkus lumus’ memberikan hiburan yang ‘terbaik’ untuk rakyat tercinta. Cuma, rugi seribu kali rugi, kerajaan masih belum ‘bertungkus lumus’ memberi rakyat tercinta didikan tarbiah Islam yang sebenar dan menghidupkan sunnah perjuangan dalam diri umat Islam. Umat masih dahagakan ilmu agama.

Tahniah kepada Malaysia sebab ‘kaya’ dan ‘mampu’ menjemput serta mengajak artis-artis dan penari-penari Korea ‘beraksi’ di pentas negara tercinta kita. Cuma sayang seribu kali sayang, kita tak ‘kaya’ dan tak ‘mampu’ nak membentuk negara Malaysia ini menjadi negara Islam yang sebenar. Negara kita hanyalah negara yang diduduki majoriti orang Melayu yang beragama Islam.

20130212_104840

Sekarang, sedang kecoh dan kepoh pasal fenomena Oppa Gangnam Style yang dikatakan hangat dan mendapat sambutan ramai di Pulau Pinang. Tahniah! Rakyat memang terhibur! Terhibur sangat!

Tanya dirimu wahai aku, kamu dan kita semua :-

“Di mana Allah di hatiku?”

“Di mana sunnah dalam hidupku?”

“Di mana Islam di hatiku?”

Satu kisah benar. Suatu petang, saya belikan nenek roti canai. Tengah tunggu-tunggu, nampak budak-budak sekolah rendah agama balik. Tetiba, saya terpandang budak laki ni, dia mencuri perhatian saya. Maybe, darjah 3/4 kot. Sambil naik basikal, masih berpakaian sekolah dan bersampin, dia nyanyi.

“Opp..opp..oppa gangnam style..!!” (sambil buat aksinya)

Saya geleng kepala jelah. Kuat betul fenomena rap Korea ni kan? Belum lagi lagu-lagu, penyanyi-penyanyi, pelakon-pelakon dan filem-filem Korea yang semakin mendapat sambutan anak2 muda-mudi termasuklah pelajar sekolah rendah..

~Andai Rasulullah ada pada saat ini..melihat kita, umat yang Baginda sayangi..~ 😥

Bagaimana perawakan Islam yang sebenar itu dapat dibentuk dalam diri andai hiburan lagha yang tak ada nilai Islam menghuni dan menguasai hati dan diri? Bagaimana mahu membentuk negara Islam yang sebenar andai ‘isi’ negara itu sendiri jauh daripada lifestyle Islam?

Dari Abu Mas’ud, Uqbah bin Amr Al-Anshari Al-Badri r.a, katanya : ” Telah bersabda Rasulullah SAW : ‘ Di antara sabda para Nabi yang terdahulu yang masih dipakai untuk orang ramai ( sehingga kini ) ialah : Jika engkau tiada malu, buatlah sesuka hati kamu.” (Riwayat al-Bukhari dan Abu Daud)

*Kta cakap banyak pun, tak guna! Kalau diri sendiri masih jahil dan tidak mahu berubah membaiki diri ke arah yang lebih baik. Kita nak salahkan mana-mana pihak pun, tak guna! Kalau diri sendiri masih liat dan malas nak solat di awal waktu terutama solat Subuh. Kerana apa? Kerana solat yang baik dan khusyuk, akan melahirkan insan yang hebat, yang taat pada-Nya dan benci akan maksiat. Sama-sama berusaha kerana Allah untuk negara tercinta! Takut-takut, kita semua akan ‘terkena’ tempias murka-Nya disebabkan sudah terlalu banyak ‘hiburan-hiburan’ yang bersadurkan Jahiliah dan tersasar daripada landasan Islam mengelilingi kita. 😥

-Muhasabah Hamba Yang Serba Berdosa-

LA TAHZAN WAHAI DAIE…

Published February 10, 2013 by wana93

Sesungguhnya, tugas yang dipikul kita semua memang tidak ringan. Terkadang, rasa berat bahu yang menggalas tanggungjawab. Terkadang, rasa tak mampu dan mahu berputus asa! Terkadang, air mata sebuah tabah laju mengalir melemahkan jiwa!

Tetapi, saat kita menangis di atas sejadah sambil hati dan mulut mengadu pada-Nya, subhanallah! Ada satu ketenangan yang menyelinap masuk ke dalam jiwa. Ada juga satu penyesalan yang mengetuk hati.

‘Mengapa aku harus berhenti menyampaikan?’

‘Mengapa aku harus melayan rasa putus asa yang dinanti syaitan?’

‘Mengapa aku terlalu pedulikan pandangan manusia yang menjauhkan aku daripada-Nya?’

Dan, saat itu, merupakan momen yang paling indah! Di mana hati ini meminta bersungguh-sungguh pada-Nya. Menangis ikhlas memohon keampunannya. Memohon pinjaman kekuatan dan ketabahan untuk meneruskan langkah dan perjuangan dalam berdakwah! Memohon diberi kesabaran yang tinggi untuk membawa manusia kembali pada Allah!

Dan, kita yakin bahawa Allah itu Maha Mendengar. Allah itu tidak pernah memungkiri janji-Nya. Syurga menjadi matlamat untuk segala usaha-usaha kita. Redha-Nya menjadi fokus utama dalam setiap tindakan.

416961_318268004902037_100001565202666_965323_1326324612_n

Ingatlah, sebagai daie, penyeru, pengajak dan penyampai kepada kebenaran, kita sememangnya pasti diuji dan diuji serta diuji! Jalan ini telah pun dilalui Nabi-nabi terdahulu. Jalan ini telah pun ditelusuri oleh para ulamak. Maka, jalan ini juga yang perlu kita ambil untuk mengikut jejak langkah mereka. Tak ramai yang mahu ambil jalan ini kerana risiko untuk dikeji, dipulau, dicerca, dihina, diperli dan dikecewakan manusia  adalah tinggi! Kerana Allah, maka, teruslah melangkah! Biar kita lelah dan penat dengan kebaikan, jangan kita seronok dan teruja dengan kemaksiatan!

Bila engkau sudah berusaha, sudah cuba menyampaikan dengan pelbagai senimu dalam berdakwah, jika ‘dia’ masih tidak mahu menerima kebenaran, masih mahu duduk dalam kancah kejahilan, maka, teruskan usahamu dengan berdoa. Doa dan terus berdoa. Kerana doa itu merupakan salah satu wasilah dalam berdakwah. Tanpanya, putus asa dan cepat lelah akan mengakhiri perjuangan ini. Muhasabah diri kita. Kita menyeru, mengajak dan menyampaikan adalah kerana kita sayang dan mahu dirinya sama-sama ke Syurga. Jika ‘dia’ makin menolak kita, makin menyisihkan kita, makin tak pedulikan kita, jangan putus asa! Biarpun sakit dan pedih, teruskanlah! Doa dan terus berdoa kerana Dia Maha Mendengar. Hati itu Allah yang pegang. Hanya Dia mampu mencurahkan hidayah pada si ‘dia’. Bukan semua manusia suka mahu tahu dan terima kebenaran. Bukan semua manusia juga suka untuk terus berada dalam kejahilan dan kemaksiatan yang membutakan mata hati. Mata hati yang buta itulah akan menjadi penghalang untuk kita memandang kebenaran Al-Quran dan Sunnah.

Hakikatnya, saya sedang menegur dan memotivasikan diri yang serba berdosa ini! Mungkin, perasaan saya yang sensitif, kadang-kadang membuat diri ini lemah dan mahu menangis. Ya! Menangis itu sebenarnya ‘kekuatan’ untuk diri sendiri. Untuk melegakan rasa di jiwa. Sama-sama kita saling mendoakan ya! Sama-sama kita muhasabah diri! :”)

La Tahzan wahai daie! Allah sentiasa bersamamu…

RINDUKU PADA INSAN ITU

Published December 30, 2012 by wana93

Entah kenapa, makin hari, makin membuak rasa rinduku pada abah. Itu baru aku, anaknya. Agak-agak, macam mana perasaan ibuku? :”)

2013 bakal menjelma. Sudah setahun 4 bulan abah pergi. Perginya, takkan kembali. Aku sentiasa berdoa dan berharap agar aku dan keluargaku akan berjumpa dan berkumpul di Syurga. :”)

 

Dulu masa kecil, aku kuat merajuk, asyik nak merajuk saja..

Dia pula suka memujuk, tak pernah rasa jemu..

Kalau orang lain, komfem dah jemu..

Terkadang, dia memang tegas dan garang, mengikut waktu..

Hanya untuk mengingatkan anak-anaknya yang sering lupa dan alpa..

 

Dulu masa kecil, aku sering mahu ditemankan..

Aku takut untuk tidur seorang diri..

Biasalah, budak kecil lagi..

Dia selalu juga temankan diri ini..

Tak sanggup agaknya lihat aku kemurungan..

 

Pernah dia berpesan,

“Asyik nak berteman je..nanti dalam kubur, kita sorang2 juga..kita sendiri juga..”

 

Dia adalah abahku..

Abah yang paling aku sayang walaupun kadang-kadang garang..

Abah yang hanya ada 1 dalam dunia ni! :”)

 

Berkopiah putih itu abah tercinta saya..sebelahnya yang pink pegang 'yoyo' tu, anak perempuannya yang kuat merajuk.. :) *saya rindu suasana ni..dulu.. :')

Berkopiah putih itu abah tercinta saya..sebelahnya yang pink pegang ‘yoyo’ tu, anak perempuannya yang kuat merajuk.. 🙂 *saya rindu suasana ni..dulu.. :’)

 

*Saat yang paling aku nanti adalah ‘aku mahu bertemu abah dalam mimpi’. Aku selalu ingin mimpi abah. Baru 2 kali aku mimpi abah. :”) Serius! Aku rindu pada abah! :”) Lagi2, bila tengah sedih, pasti air mataku semakin membanjiri bila terkenang pada abah.. :”)

*Doakan abah saya bahagia di alam ‘sana’ yaaa.. 🙂

*Kepada yang masih ada kedua ibu bapa, hargai dan sayangilah mereka sebaiknya ya! ^^ Saya sayang ibu saya. 🙂 Saya sayang arwah abah saya. 🙂

*Jom kita dengar melalui hati nasyid yang saya gemar dengar saat duka dan rindu mula menyapa kalbu…

http://www.youtube.com/watch?v=J3u9s81n4uo