PENGENALAN : APA ITU LGBT?

Published April 21, 2017 by wana93

Assalamualaikum dan hai semua!

Maaf sebab tak sempat nak aktif update di blog selalu.

Baru-baru ini, ada sahabat mesej saya. Tanya tentang LGBT. Dia sedang menyiapkan kajian Master mengenai LGBT dan dadah. Teruja juga saya mendengarnya. Cemburu pun ada tapi bahagia untuk dia, sebab berjaya sambung belajar! Cemburu perkara baik, takpe kan? Hehe. Boleh jadi motivasi buat diri. Kan?

Sebelum saya bercerita lebih lanjut, mungkin ada yang masih tertanya-tanya, apa itu LGBT? Lelaki Gila Baling Topi ke? (Gurau saja. Jangan marah. Jangan kecam. Hehe.)

LGBT1

Komuniti LGBT ini melibatkan golongan Lesbian (lebih dikenali dengan Women Sex Women iaitu WSW), Gay (lebih dikenali dengan Men Sex Men iaitu MSM), Biseksual dan Transgender. Mereka ada komuniti tersendiri. Dan tanpa kita sedar, komuniti ini semakin membiak besar juga.

Namun, stigma masyarakat terhadap golongan LGBT perlu terbuka. Bukan mahu menghalalkan perkara yang haram. Bukan juga mahu menggalakkan keinginan mereka. Akan tetapi, untuk seseorang itu ‘masuk’ dan cuba fahami komuniti mereka di samping memberi pencerahan Islam yang sebenar kepada mereka. Seseorang takkan dapat memahami seseorang yang lain atau sesuatu komuniti itu jika diri tidak dekati dan terus menghukum serta meminggirkan mereka. Itulah stigma. Islam itu fokusnya membantu, bukan membiarkan mereka kekal jahil dan dibelenggu  sebegitu. (Ambil ayat daripada cerpen saya, ‘Ukhuwah Bersama LGBT’)

Maksudnya di sini, membantu golongan sebegini dalam memberi program berbentuk penghayatan tentang Islam, kelas-kelas agama dan juga rawatan pemulihan. Ini antara usaha yang MAIS dan JAKIM lakukan, hingga saat ini.

Baiklah, berbalik kepada sahabat saya tadi. Dia bertanya tentang LGBT dan dia nak temubual golongan yang terlibat itu. Identiti dirahsiakan. Saya hanya mampu mencadangkan agar dia berurusan terus dengan NGO atau wakil yang terlibat seperti MAIS/JAKIM. Cuma, pesan saya pada dia, sebenarnya, amat susah nak dapatkan ‘the real story’ daripada mereka, lebih-lebih lagi kalau kita tak kenal dan tak pernah nak dekati mereka.

Apa yang saya beritahu ini adalah berdasarkan pengalaman saya sendiri. Opss! Jangan salah faham! Bukan pengalaman saya jadi golongan LGBT, tapi, pengalaman bersama dengan mereka.

Hampir setahun juga saya terlibat dengan aktiviti dan program bersama golongan sebegini. (Boleh baca sejarah awal dengan lebih lanjut dalam buku sulung Hamare yang bertajuk, ‘Hidayah Di Balik Gerigi Besi & Shameless’ yang saya ada tulis bersama sahabat-sahabat saya. Sebuah wadah perasaan yang diolah dalam bentuk cerpen, inspirasi daripada kisah benar. Salah satunya, ‘Ukhuwah Bersama LGBT’.)

Poster 1

 

Baru-baru ini, saya dan sahabat diberi peluang untuk membantu urusetia program penghayatan Islam bersama komuniti ini. Selama 3 hari 2 malam juga. Namun, apa yang berbeza adalah penerimaan mereka.

Pada awal-awal dahulu, memang biasa kami diperli. Mereka macam layan tak layan saja kami. Maklumlah, kami perempuan kan.  Maksudnya, macam tak nak bercakap sangat dengan kami. Kebanyakannya adalah Mak Nyah. Jadi, mereka pun rasa diri mereka macam kami, perempuan. Cemburu bila kami bercakap dengan ustaz.

Tapi, kali ini, ada yang memang kami dah saling kenal, dah rajin berjumpa waktu urusan di pejabat tahun lepas, jadi, makin mesra. Makin senang nak dibuat kawan. Cuma, peril-perli tu memang biasa dah bagi mereka. Kita memang tak boleh nak terasa hati atau merajuklah kan. Tak ada siapa nak pujuk pun. Hehe.

Program yang saya sertai itu, agak mencabar juga bagi saya. Mana taknya, pertama kali bersenam aerobik dengan golongan sebegitu. Siap terjebak berkayak bersama lagi. Kerjasama dalam satu kumpulan buat kayak sendiri pakai tong dan ikat kayu dengan tali. (Memang dalam hati, istighfar banyak kali.)

Itulah hakikatnya. Tapi, kami tetap menjaga batas, tidaklah sampai terbabas. Jika kita memandang mereka dengan pandangan yang menggelikan, menjijikkan, maka, memang kita takkan mampu nak dekati mereka. Takkan mampu nak tunjuk qudwah pada mereka. Tapi, jika kita pandang mereka dengan pandangan yang kasihan, pandangan rahmat, maka, kita akan tergerak untuk bantu mereka. Cuba dekati dan perlahan-lahan fahamkan mereka.

Satu yang saya dapat perhatikan, dalam program sebegitu, dua kali mereka menitiskan air mata. Pertama, saat seorang ustaz bercerita tentang cinta kita kepada Nabi Muhammad S.A.W. Tentang pemergian Baginda S.A.W. Air mata mereka menitis. Itu tanda hati mereka masih hidup. Bila ada satu aktiviti tentang akidah, ibadah dan lain-lain, setiap seorang mengeluarkan hujah masing-masing, persis seperti ustaz. Namun, itulah, kita doakan moga pintu hati mereka terbuka untuk amalkan apa yang mereka ucapkan. Bukan mereka tak tahu halal haram, dosa pahala. Cuma, tak buat dan bertindak saja. Kita doakan mereka. Untuk kita juga yang sering leka dan alpa ini.

Keduanya, saat seorang penceramah bercerita tentang kisah persahabatan. Sahabat yang sentiasa nak ajak kita buat baik dan nak masuk Syurga sama-sama dengan kita. Mereka menangis sebab waktu itu, memang ada antara mereka yang saling tak puas hati dan seakan berpuak-puak. Selepas bersalaman dan berpelukan, masing-masing meminta maaf.

Saya agak segan bila bertemu dengan seorang anak muda. Dia datang menegur saya dahulu, sebab saya tak perasan kelibatnya. Saya malu sebab dia dah baca buku yang saya tulis tu. Memang ada kisah tentang komuniti mereka dan apa yang pernah kami lalui. Namun, saya bahagia, teruja dan terharu dengan kata-katanya,

“Akak, saya dah baca buku akak tu. Yang akak ada cerita pasal program kita hari tu. Bagus sangat kak. Saya kagum dengan akak dan team akak. Cuma, saya nak cadangkan, untuk buku seterusnya kan, akak buat lebih banyak ayat yang memotivasikan diri, macam dalam Anime. Dan akak kekalkan gaya inspirasi kisah benar macam ni sebab kita dah terlalu banyak kisah-kisah khayalan dan dongengan pasal cinta dan macam-macam.”

Itu kata-kata yang keluar daripada mulut seorang anak muda. Dia bukan Mak Nyah. Dia ada kecenderungan pada lelaki. Dia antara pemuda yang pernah saya dan sahabat tahu kisahnya. Tapi, dia masih punya iman. Dia tak pernah buat perkara-perkara yang melampaui batas. Dia dah mula suka baca buku-buku yang bermanfaat. Kita doakan semoga dia akan sembuh dan kembali pada fitrahnya, iaitu cenderung kepada wanita. Bukan sesama jenis.

Saya juga sangat terharu apabila saya dapat bertemu dan berborak dengan watak utama, insan yang saya kongsi kisahnya dalam buku sulung Hamare tu. Hidayah Di Balik Gerigi Besi, menceritakan kisah seorang Transgender Muallaf. Seorang India Muslim. Rohit Firdaus nama samaran yang saya letak dalam buku tu. InsyaAllah, jika ada kesempatan dan feedback positif, saya akan sambung cerita dia dalam tajuk seterusnya, Hidayah Di Balik Gerigi Besi II. Ada yang nak baca ke? Cuba komen sikit nanti ye. Hehe.**Kalau nak baca, kenalah dapatkan buku sulung kami dulu ye! Baru tahu asal usul cerita dia. Stok terakhir dah tak banyak tau. 🙂

F10

F4

Kadang, ada antara kita yang tak ambil cakna. Tak tahu pun apa isu itu dan ini. LGBT ini hanya salah satu isu ummah saja. Yang semakin rancak melanda remaja dan juga belia. Kita perlu cakna agar kita lebih menjaga dan mendidik diri dan keluarga kita. Saya pernah bertemu dengan seorang bapa, dia menitiskan air mata di hadapan saya. Cerita tentang anak lelakinya. Dia menyesal tak ambil peduli. Anaknya kini cenderung untuk jadi perempuan, Mak Nyah. Sewaktu kecil, anaknya itu memang minat barang-barang make-up dan beg tangan kakak-kakaknya. Selalu kena marah dengan kakak sebab beg tangannya hilang. Si anak lelaki yang sorokkan. Dia tak sedar, rupanya anaknya itu mula berubah sikit demi sikit. Lagi-lagi bila dah bertemu geng LGBT ini.

Ingatkah kita akan kisah kaum Nabi Lut yang ditenggelamkan? Itu azab yang kaum Nabi Lut dapat daripada perbuatan keji mereka (‘mendatangi’ kaum sejenis). (Mari rujuk dan buka Al-Quran, surah An-Naml : ayat 54-58)

Moga sama-sama kita cakna dan peduli akan semua. InsyaAllah. Muhasabah bersama.

Baiklah, saya kongsikan antara bahan bacaan buku dan artikel yang pernah saya baca berkaitan isu ini.

chs8cvvwuaacggc

  • http://www.islam.gov.my/images/ePenerbitan/Hadis-hadis_Sahih_Berkaitan_Perlakuan_LGBT.pdf
  • Memahami Lesbian, Gay, Biseksual Dan Transgender (LGBT) Dari Perspektif Muslim (Oleh JAKIM)
  • Bila Zina Menjadi Budaya (Mohd Syamil & Adriana Balqis, Oleh Mustread)
  • Suami Gay Isteri Mak Nyah | Nafsu Songsang Yang Terlaknat (Mohd Khairul Anwar Ismail, Oleh PTS)
  • Rahsia Merawat Golongan Songsang (Dr. Jahid Sidek, Artikel UMUM, Majalah Al-Islam, Mei 2012)
  • Kehidupan Seorang Mak Nyah : Satu Kajian Kes di Kuching, Sarawak (helaian Projek Ilmiah, UMS, 2006)
  • Emosi Individu Gay Dalam Menjalani Kehidupan (Helaian Projek Ilmiah, UMS, 2008)
  • Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender: Perspektif Undang-undang Jenayah Syariah (Mahfudzah Mohamad, (2015) 19 JUUM 26-39)
  • Isu Transgender : Satu Tinjauan Umum (JAIS, R&D Jun 2016)
  • Alternatif Keagamaan Dan Kaunseling; Sebagai Rawatan Utama Mengatasi Permasalahan Homoseksualiti (Journal of Human Development and Communication, Volume 3, 2014, UniMAP)

Ramai yang berbicara tentang LGBT, tapi, tak ramai yang menganggap ia sebagai suatu penyakit yang perlu kepada rawatan dan pemulihan. Saya ada cita-cita untuk menyambung Master dan ingin mengetengahkan tajuk rawatan Islam (Rawatan Refleksologi Islam-Fokus tajuk kajian saya dalam Tesis Degree tahun lepas) dan mahu kaitkan dengan pemulihan LGBT ini. Mohon doakan saya, moga ada rezeki, ruang dan peluang ye! J

Jika kalian yang baca ini, ada sumber dan ada rujukan lain dalam isu seperti ini, bolehlah kongsi di ruangan komen. Saya amat hargai. Terima kasih.

Itu saja untuk perkongsian kali ini.

Hidup ini singkat. Jom sebarkan manfaat.

Wallahua’lam.

Noor Syazana,

5.50 pm,

@Rumahku Syurgaku.

 

 

2 comments on “PENGENALAN : APA ITU LGBT?

  • Leave a comment