BUKU BAKAL TERBIT : LGBT MENCARI SYURGA!

Published February 4, 2018 by wana93

Alhamdulillah.

Segala puji bagi Allah, Tuhan semesta alam. Setelah terbitnya buku sulung, Hidayah Di Balik Jeriji Besi yang kini sudah masuk cetakan ke-3 dalam edisi kemaskini, buku bakal terbit ini muncul sebagai Siri Sekuel Pertama yang membawa fokus terhadap isu sosial yang bertajuk LGBT sahaja iaitu Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender.

Jika dalam buku #HDBJB, ada 13 kompilasi cerpen inspirasi kisah benar yang dikongsi oleh saya dan sahabat, Siti Nor Hayati. Juga ada terselit bersama 3 illustrasi tarbiah oleh sahabat saya juga, Akmal Khairunnisa’. Namun, buku yang bakal terbit ini, bukanlah kompilasi cerpen. Namun, sebuah buku yang bersiri, insya-Allah.

LGBT Mencari Syurga!

Tajuknya saja sudah mengundang pelbagai persepsi. Benarlah, jangan kita ‘hukum’ sesuatu hanya daripada luaran sahaja. Pepatah Inggeris kata, “Don’t judge a book by its cover.”

Buku ini ditulis bukan untuk ‘menghalalkan’ agenda dan perlakuan songsang golongan LGBT yang wujud di sekeliling kita. Jauh sekali untuk menyokong mereka. Namun, apa yang mahu ditekankan di sini adalah konsep 3M iaitu Mengenali, Menghadapi dan Mencegah/Menangani.

Buku ini cuba dihadirkan sebagai salah satu usaha untuk memberi solusi. Bagaimana cara untuk kita kenal golongan LGBT ini? Siapakah mereka? Apa yang menyebabkan mereka terjebak di dalam kancah golongan songsang ini? Kenapa kita kena kenali mereka? Apakah kesannya?

Bagaimana pula langkah yang perlu kita ambil ketika kita dihadapkan atau bertemu dengan golongan sebegini? Perlu kita dekati atau perlu kita jauhi dan membenci sahaja?

Akhir sekali, apa pula tindakan atau langkah untuk kita mencegah diri daripada terlibat sama dan terjebak dengan golongan seperti ini? Apa yang kita boleh lakukan untuk diri kita, anak-anak, keluarga dan masyarakat terdekat kita?

Isu LGBT ini, jika kita lihat dan cakna pada media dan akhbar-akhbar, ianya sudah semakin rancak berkembang dan membiak, bagai cendawan yang tumbuh selepas hujan. Isu sebegini tidak boleh kita remehkan dan melihat ia sebagai salah satu isu kecil saja.

Telah banyak kes yang melibatkan orang Islam sendiri, terjebak dengan gejala maksiat sebegini. Antaranya :

 

 

Kerana kesannya sudah mula merebak masuk, bukan hanya dalam kalangan warga belia yang dah berumur, malah, remaja sekolah rendah, menengah dan universiti juga ada terlibat sama.

Kita juga telah beberapa kali digemparkan dengan berita perkahwinan Gay, Melayu – Inggeris di Australia. Juga ada beberapa lagi di luar negara.

Untuk Siri Sekuel 1 ini, saya kongsikan khas berkenaan salah satu daripada 3M di atas tadi iaitu Mengenali. Oleh sebab buku ini buku bersiri, jadi, saya akan kupas secara satu per satu, dalam gaya santai dan tidak terlalu ilmiah kerana target pembaca saya adalah golongan remaja khususnya selain guru dan ibu bapa juga. Saya tidak mahu menggunakan ayat yang terlalu tinggi dan sukar untuk mereka fahami. Cuma, saya tetap akan selitkan beberapa fakta dan info yang perlu kita tahu berkaitan isu LGBT ini.

Jangan kita terkejut, masih ada lagi dan ramai yang belum tahu, dan ada yang masih bertanya pada saya, “LGBT tu apa weh?”

Buku ini saya tulis dengan lebih terperinci, bagaimana permulaan saya terlibat dengan golongan sebegini. Bagi yang dah pernah baca Ebook Stori LGBT saya, pasti tahu serba sedikit. Namun, buku ini ada kelainannya kerana fokus pada 3M yang telah disebutkan tadi.

Saya juga berharap, agar akan ada nanti, golongan yang digelar sebagai LGBT untuk membaca buku ini, terutamanya mereka yang Muslim. Biar mereka tahu, mereka masih ada harapan untuk berubah dan menuju Syurga-Nya!

Apabila kita berhadapan dengan perkara sebegini, perkara yang mengundang maksiat, kita cuma ada 2 pilihan, iaitu :-

1) Nak tarik orang masuk Syurga
2) Nak tarik orang masuk Neraka

Ini adalah sudut pandang dakwah. Bukalah ruang untuk kita pandang dengan rahmah. Jangan kita buat kerja Tuhan. Terus cop Neraka buat mereka dan biarkan mereka terus hanyut saja tanpa kita berusaha selamatkan mereka.

Contoh, kawan kita tak solat. Kita terus cop Neraka dekat dia. Sepatutnya, kita kena ajak dia solat dulu. Tunjukkan usaha kita nak tarik dia masuk Syurga. Jangan cepat putus asa kalau sekali ajak dia tak nak. Usaha berkali-kali, tanpa jemu. 

Kita tak boleh pukul rata semua orang. Bukan semua yang terjebak tu tak boleh berubah dah. Ada antara mereka yang memang betul-betul dah bertaubat dan kembali ke pangkal jalan. Ada yang dah mula usaha untuk tinggalkan dunia gelap itu meski terkadang dia jatuh kembali.

Buku LGBT MENCARI SYURGA ini tentang apa sebenarnya?

Ikuti sebuah kisah perjalanan seorang muslimah bernama Nur Alisya Raihana dalam meniti kehidupannya sebagai seorang insan biasa yang ditakdirkan bertemu dengan golongan LGBT, lalu, golongan itu terus hadir menghiasi diari hidupnya, hingga kini.

Siapakah LGBT itu? Bagaimana muslimah itu boleh terjebak bersama mereka yang dikatakan songsang itu? Berdosakah dia? Apakah tidak ada jalan lain untuk golongan yang selalu dicop Neraka itu untuk menuju Syurga-Nya?

Ikuti Siri Sekuel 1 ini untuk ketahui jawapannya. Sebuah inspirasi kisah benar. Tapi sebelum tu, nak tanya ni, mana satu yang jadi pilihan hati korang? Kaver A, B atau C?

 

poster

Korang boleh undi dan tinggalkan komen dekat ruangan FB Page Hamare Group di sini : Undi Kaver Buku LGBT

Terima kasih yang sudi mengundi. Insya-Allah, saya dan team akan masukkan nama-nama korang yang mengundi kaver terpilih tu dalam halaman Penghargaan buku ini nanti. Doakan dan nantikan!

-Noor Syazana-

7.45pm @Rumahku Syurgaku.

Seorang hamba yang serba berdosa, yang berusaha menulis untuk-Nya, yang berusaha menyampaikan apa yang diri tahu, belajar dan lalui, yang berusaha turun ke lapangan semampunya untuk sebarkan dakwah, motivasi dan inspirasi dan yang berusaha untuk tarik manusia masuk ke Syurga bersama-sama!

Hidup ini singkat. Jom sebarkan manfaat! 🙂

Berhentilah bermaksiat. Jom kita mulakan tingkah taat! 🙂

 

Leave a comment