CERPEN HATIKU

All posts in the CERPEN HATIKU category

MELAKAR CINTA DI ATAS CITA (SIRI 1)

Published September 29, 2018 by wana93

IMG-20180725-WA0006

Sudah hampir dua minggu aku cuba menyepikan diri. Mencari ruang untuk aku cas energi dalaman aku yang sedang rapuh saat ini. Aku masih mampu mengukir senyuman di hadapan insan, namun, dalam hatiku ini, aku benar-benar rasa tewas!

Itulah yang sering diperkatakan berkenaan seorang perempuan. Mampu tersenyum saat tertekan dan masih tetap ketawa walau hatinya sedang merana.

Aku mula menyiapkan lambakan tugas yang menanti diriku. Satu per satu tugas dapat diselesaikan mengikut ‘schedule’ yang telah aku tetapkan. Syukur, ya Allah!

Saat-saat begini, aku memang suka termenung sendiri. Melayan perasaan di jiwa yang sedang dilanda resah, gelisah dan tak tentu arah. Aku teringat akan satu pesanan yang pernah aku titipkan buat sahabatku,

“Andai tak ada orang nak bagi dorongan, semangat atau motivasi dekat diri kita, jangan mudah lemau. Kita yang kena dorong dan bagi semangat dekat diri sendiri dulu dan juga orang lain. Sebab apa? Sebab hidup kita tak lama. Manfaatkan sebaiknya.”

Pipiku tiba-tiba terasa hangat dengan linangan air mata. Entah bila ia bertakung. Tahu-tahu, dah jatuh ke pipi. Aku berdiri di hadapan cermin. Aku cuba untuk mengukir sebuah senyuman. Apa pun yang berlaku, hidup ini perlu diteruskan. Kerana aku sendiri tak tahu, entah berapa lama lagi masa yang aku ada, untuk menabur bakti, menanam amal dan memberi khidmat pada ummah.

Aku tak boleh mengalah! Aku tak boleh layankan bisikan syaitan yang tak pernah mengalah!

Aku mengatur langkah ke mejaku. Mula menaip kerja-kerjaku yang masih berbaki. Ada perkara yang perlu aku selesaikan, sebelum aku bertemu dengan pensyarahku nanti. Aku sedang menyambung pengajianku ke peringkat Sarjana. Aku juga tak menyangka, aku masih ada rezeki, ruang dan peluang untuk menyambung pengajianku.

“Kenapa kau tolak lamaran dia? Rugi weh! Dia baik, kaki masjid dan disenangi ramai orang. Ramai perempuan minat dia, tapi dia pilih kau. Tapi, kau pula tolak macam tu saja? Kau ada calon lain ke?”

Satu mesej masuk. Bertalu-talu soalan yang menjengah daripada sahabatku. Ini antara sebab yang membuatkan aku memilih untuk menyepi seketika.

“Hahahaha. Nanti jumpa kita borak-borak ya.” Respon aku. Ringkas saja. Malas nak dipanjang-panjangkan. Aku tengah fokus nak siapkan kerja-kerja aku.

Usai solat Asar, telefon genggamku berbunyi. Ada panggilan masuk.

“Assalamualaikum. Aku dah dekat depan rumah kau ni. Jom!” Khayra mulakan bicaranya.

“Weh! Tak cakap pun nak keluar. Kejap-kejap! Bagi aku masa 5 minit.” Aku terus bergegas untuk bersiap. Ala kadar saja. Aku bukan jenis yang bersiap lama-lama. Tak reti nak melawa. Apatah lagi nak ‘make-up’ bagai tu.

Aku minta izin dan beritahu ibu untuk keluar sekejap dengan Khayra. Ibu memang tahu dah anaknya ni selalu keluar dan lepak dengan siapa. Tak pernah lagi ibu tak bagi keluar dengan Khayra. Hahaha.

“Kita nak pergi mana ni Khayra?” tanya aku.

“Pergi rumah si dia.” Jawab Khayra.

“Si dia? Siapa weh?” tanyaku lagi.

“Si dia yang kau tolak lamarannya tu.” Khayra galak gelakkan aku.

“Weh! Kau jangan nak buat hal ya. Aku tak nak ikutlah kalau macam ni.” Aku acah-acah merajuk.

“Guraulah weh! Kita sembang-sembang dekat gerai yang baru buka tu. Jom!” Pujuk Khayra.

Aku dan Khayra ‘merempit’ ke sana. Masing-masing buat pesanan untuk makan dan minum. Aku macam biasalah. Nasi goreng ayam kunyit dengan teh o ais.

“Ok, cerita dekat aku cepat.” Khayra menepuk tanganku.

“Cerita apa? Munafik 2? Aku tak tengok lagi cerita tu.” Sengaja aku nak ubah topik. Malaslah nak cakap pasal topik yang dia nak tahu sangat tu. Entah dia dapat tahu daripada siapa. Tak menyempat aku nak cerita sendiri dekat dia.

“Kau jangan nak mengelak ya. Kenapa kau tolak lamaran dia?” tanya Khayra dengan muka serius.

“Dia layak dapat yang lebih baik kot. Kau sendiri cakap yang dia tu baik, kaki masjid dan disenangi ramai orang. Aku yakin dia boleh dapat yang lebih baik daripada aku.” Jawabku spontan. Itu kan skema jawapan yang dah biasa orang akan cakap. Hahaha.

“Tak payah nak buat ayat drama TV ya. Ceritalah. Aku cuma nak tahu saja. Takkan tiba-tiba kau tolak dia macam tu saja? Mesti ada sebab kan? Ke kau dah berpunya?”

“Kalau aku dah berpunya, tak adalah aku ‘single’ lagi macam sekarang ni. Hahaha. Oklah, aku cerita sikit. Tapi kau jangan heboh-hebohkan dekat geng-geng kita yang lain. Tak ramai yang tahu, jadi, biarlah. Malas nak panjang-panjangkan cerita. Benda dah lepas pun. Aku tak ada masalah pun dia baik, kaki masjid semua tu. Cuma, dia minta aku untuk tinggalkan apa yang aku tengah buat sekarang ni, termasuklah berhenti belajar.” Jawabku dengan tenang.

“Maksudnya? Dia tak nak kau teruskan belajar?” tanya Khayra.

“Yup. Dia pun suruh aku berhenti buat apa yang aku tengah buat ni. Maksudnya, dia tak nak aku sibuk dengan buku, meeting ke, turun padang ke, berkawan dengan Mak Nyah ke dan lain-lain lagi. Dia nak aku jadi suri di hati dia saja kot.” Jawabku sambil tergelak.

“Kenapa dia minta syarat macam tu? Patutnya dia mestilah dah kenal dan faham siapa kau dan tugas kau. Pelik pula aku.” Khayra menggaru kepalanya yang tidak gatal.

“Aku lagi pelik. Tiba-tiba letak syarat macam tu. Patutnya aku yang bagi syarat, sebab dia yang berkenan dekat aku. Hehe.”

“Kau dah beritahu ibu ke? Dah fikir masak-masak? Tak menyesal ke tolak orang sebaik tu? Tak menyesal tolak orang yang jadi dambaan perempuan lain?” tanya Khayra lagi. Dah macam wartawan pula dia ni.

“Memang tak la aku nak beritahu dengan ibu aku. Takkan nak beritahu yang aku nak berhenti belajar sebab nak kahwin? Nak berhenti buat apa yang aku tengah buat ni? Memanglah ibu aku nak sangat tengok anaknya ni kahwin waktu-waktu macam ni. Tapi, mungkin belum tiba saatnya lagi kot. Insya-Allah, aku tak menyesal. Put our trust to Allah.” Akhiri aku dengan senyuman.

“Aku sedihlah. Aku baru nak bahagia, nak tengok kau kahwin.” Khayra buat muka monyok. Adeh!

22448129_486175421781042_7848837887585575293_n.jpg

“”Aku dah mulakan jalan ni. Bila dah mula, aku kena habiskan. Jalan ni memang tak mudah. Tak dibentang dengan karpet merah dan janji-janji manis yang indah. Tapi, jalan ni banyak dekatkan aku dengan Allah. Banyak buat diri aku termuhasabah. Banyak perkara yang menemukan aku dengan pelbagai hikmah.

Terlalu banyak pengorbanan, jatuh bangun, suka duka aku dengan jalan ni. Takkan aku nak tinggalkan semua ni macam tu saja? Hanya disebabkan ingin memenuhi syarat seorang insan yang belum tentu tertulis dia adalah jodoh aku?

Hurm, biarlah. Soal jodoh, lambat ke, cepat ke, aku tak kisah. Yang aku kisah, kenapa makanan kita ni lambat sampai? Dah setengah jam lebih kita berborak ni. Lapar weh!”

Khayra gelak besar. Aku cuba menceriakan keadaan di gerai itu. Aku tak mahu dia sedih atau simpati dengan aku. Sedih dia tu mengalahkan aku. Nasib baik aku tak bercinta. Kalau tak, lagi sedih dan sakit rasanya! Hahaha.

“Sabarlah sikit. Kejap lagi sampailah tu. Habis tu, apa perancangan kau sekarang Husna?” tanya dia lagi.

“Just go with the flow. Insya-Allah, all is well. Kau doakan aku bertemu dengan orang yang sama jiwa dengan aku.”

“Maksudnya?”

“Kau kenal ustazah Fatimah Syarha dengan suaminya, Dr. Farhan Hadi?” tanyaku. Khayra mengangguk.

“Kau kenal puan Felinna Nadea dengan suaminya, tuan Rafie Ramli?” tanyaku lagi. Dia mengangguk lagi.

“Kau kenal senior kita, suami isteri yang berbisnes sama-sama tu dan dalam masa yang sama, ada yang sambung belajar dan sibuk dengan kerja-kerja dakwah dan tarbiah?” tanyaku lagi.

“Kenal-kenal. Aku selalu ‘stalk’ FB senior-senior kita tu. Hehe. Kenapa? Sama ke jiwa kau dengan orang-orang yang kau sebutkan tu?” tanya Khayra dengan penuh rasa ingin tahu.

“Aku nak yang punya jiwa macam tu. Jiwa yang sama-sama usaha untuk bantu ummah dengan bidang yang kita minati, yang sama-sama sibuk untuk selesaikan masalah ummah, yang sama-sama penat di atas jalan dakwah dan tarbiah dan banyak lagi. Walaupun tu semua contoh daripada sudut bisnes, tapi, tetap ada dakwah dan tarbiah untuk ummah.  Doakan, aku bertemu dengan seseorang yang berjiwa seperti itu. Seseorang yang bersedia untuk berkongsi jiwa dan raganya, bukan hanya bersama aku, tetapi juga bersama ummah, kerana Allah.”

Itu antara secebis contoh yang aku beri pada Khayra. Aku mahu dia faham, betapa cinta itu tidak sekadar untuk dua insan. Tapi, cinta itu lebih besar maknanya, untuk ummah dan untuk Allah dan Rasulullah. Aku ingin bernikah dan bercinta di atas jalan dakwah. Ramai ‘role model’ yang telah aku jumpa dan aku mengharapkan, aku juga termasuk dalam kalangan yang seperti itu. Bertemu dengan seseorang yang sentiasa memilih untuk terbang tinggi bersama sayap kita, bukan yang ingin menutup ruang dan mengunci sayap-sayap kita.

Jalan cerita aku dan Khayra serta mereka itu, mungkin berbeza. Takkan pernah sama. Namun, wadah dan matlamat yang aku impikan adalah sama seperti mereka. Mewaqafkan diri buat ummah.

‘Siapakah manusia yang paling BERBAHAGIA?’

‘Manusia yang berhenti nafasnya, namun tidak berhenti PAHALANYA..’

Bersambung…

 

 

SEBELUM AKU BERGELAR ISTERI

Published September 5, 2014 by wana93

Cerah indah cuaca pagi ini. Suasana rumahku riuh-rendah. Kanak-kanak berlari berkejaran diiringi tangisan sang bayi yang baru beberapa bulan melihat dunia menambahkan seri pada hari ini. Mereka itu penyeri dan penghibur hati buat insan-insan yang menyayangi mereka. Ramai saudara-mara dan jiran-jiranku datang untuk membantu meringankan beban. Menolong untuk mengupas bawang, membasuh ayam, menanak nasi, membancuh air, memasak lauk dan lain-lain lagi. Kelihatan juga rakan-rakan karibku sedang rancak berbual sambil beramah mesra bersama guru-guru tercintaku yang hadir.

Hari ini hari istimewa buatku. Hari yang aku mengharapkan berkat, redha dan keampunan daripada Yang Maha Esa. Degupan jantungku semacam saja rasanya hari ini. Resah dan bahagia bercampur menjadi satu rasa yang tidak dapat aku gambarkan dengan kata-kata. Hanya Dia Yang Maha Tahu segalanya.

“Safrina!! Dah siap ke?”

Namaku dilaung ibu dari jauh. Aku bergegas ke arah ibu.

“Macam ini pun okey kan ibu? Ibu kan tahu anak ibu ni macam mana orangnya. Easy and simple person!” Aku sempat buat gaya muka comel dan ‘peace’!

“Iyelah, tak kisah! Asalkan anak ibu ni bahagia selalu.” Ibu mencubit pipiku. Ibu sudah masak dengan gayaku yang serba ringkas, mudah dan sederhana. Aku tidak perlukan ‘Mak Andam’ untuk nampak cantik pada hari istimewaku ini. Aku tidak perlukan bulu mata palsu, eye-shadow, blusher dan entah apa-apa lagi tu. Itu bukan caraku.

“Asalkan Allah redha hari istimewa ni kan ibu..” Tambahku.

“Dah.. Pergi duduk dalam bilik dulu.. Tak payah buat apa-apa, nanti kotor, comot!” Arah ibu padaku. Aku akur dengan arahan ibu. Aku melangkah menuju ke kamar milikku. Ibu tahu sikap anaknya ini – kalau buat kerja-kerja di dapur, memang tak pernah tak comot!

Aku duduk termenung di hadapan cermin. Melihat diriku sendiri. Memandang anak mataku sendiri. Fokusku beralih arah ke atas meja studiku. Di sudut itu, terdampar sebuah Al-Quran. Sebelum aku keluar dari bilik ini, aku mahu membaca kalamullah itu dahulu! Aku mahu rasa dakapan-Nya!

“Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah Dia menciptakan untukmu isteri-isteri dari jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan dijadikan-Nya di antaramu rasa kasih dan sayang. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi kaum yang berfikir.” (Surah Rum : 21)

Kalam Ilahi itu seakan tahu rasa hatiku saat ini. Aku menangis. Menangis sepuasnya hari ini! Menangis sendiri di dalam bilikku yang sunyi! Terkadang, aku sendiri tak percaya dengan apa yang bakal aku hadapi sebentar lagi!

Aku bakal bergelar isteri?

Mampukah aku menjadi penyejuk matanya?

Mampukah aku menjadi penenang jiwanya?

Mampukah aku menjadi peneman setianya?

Mampukah aku menjadi isteri solehah di matanya?

Daripada Abu Hurairah r.a., Nabi s.a.w. bersabda : “Sesungguhnya Allah tidak melihat kepada jasad atau rupa bentuk kamu tetapi Allah melihat kepada hati-hati kamu.” (Riwayat Muslim)

Bermacam persoalan yang kadang-kadang masih aku tanyakan pada diriku. Aku takut, aku resah dan risau sebenarnya. Namun, jauh di benak ini, ada bunga yang sedang berputik, ada bahagia yang dipendam sejak diriku dirisik!

Air mataku terus mengalir. Aku rasa bersyukur, terharu dan bahagia yang amat pada hari ini! Walau resah, risau dan gelisah terus menerus mencuri ‘mood’ aku, namun, aku cuba sorokkan rasa-rasa negatif itu. Aku mahu merasai sebuah bahagia! Aku memandang sebuah buku berwarna merah, ‘Tangis Tawa Kehidupanku’.

Aku mahu singkap sebentar kisah-kisah hidupku yang telah banyak mengajar dan merubah aku untuk jadi lebih baik dan lebih baik lagi! Banyak mehnah, ujian, dugaan dan tribulasi yang telah aku hadapi, sebelum aku bergelar isteri!

********

10612573_10152662278954089_3434212538840886493_n

Aku pernah ‘terpukul’ dengan satu kejadian di universiti tempat aku belajar dahulu. Kejadian itu telah mengajar aku untuk lebih menerima dan elakkan mengeluh! Sebab aku ni, rupanya masih tak bersyukur! Alangkah teruknya diriku ini!

Minggu itu minggu orientasi. Memang sepanjang dua minggu itu, aku agak banyak mengeluh. Mengeluh sebab asyik penat saja. Asyik kena jalan kaki jauh-jauh saja. Asyik nak merungut saja.

“Penatlah kalau hari-hari macam ni..”

“Jauh kot nak jalan kaki ke kelas..adoyaii..”

Itulah aku. Teruk bukan? Maklumlah, masa tu, dah lama tak exercise, sekali dah ‘kena’ baru tahu padan muka!

Suatu hari, aku pulang dari kelas. Aku berjalan kaki seorang diri. Keluhanku waktu itu seakan sudah berkurang. Mungkin kerana sudah menjadi sebahagian daripada rutin kehidupan di universiti iaitu memang pelajar kena berjalan kaki jika bas tiada atau lambat. Sebaik saja kakiku melangkah masuk ke perkarangan asrama kediaman, mataku terpandang dan mula memerhati gerak-geri seseorang. Lelaki.

Aku tak tahu umurnya berapa, tapi, yang pasti, dia adalah pelajar. Dia berjalan menggunakan tongkat. Kakinya seakan tidak boleh berjalan. Kecuali dengan menggunakan tongkat itu. Dari situ, aku seperti mahu menangis! Aku boleh berjalan, boleh berlari tanpa tongkat, tapi, asyik mengeluh saja!

Hatiku beristighfar beberapa kali. Betapa kurangnya syukurku selama ini!

Kemudian, selesai aku solat Maghrib di dalam bilik, aku terus menapak keluar menanti sahabatku untuk pergi ke kelas sama-sama pada malam itu. Lagi sekali, aku melihat orang yang sama. Dia memakai jubah putih sambil cuba berjalan laju menggunakan tongkat untuk pergi ke surau. Usahanya tampak bersungguh-sungguh!

Lagi sekali, aku menangis dalam hati sambil berdoa, “Ya Allah! Permudahkanlah urusan hamba-Mu itu di bawah redha-Mu.”

Pulang ke kelas pada malam itu, aku menaiki bas. Aku berjalan di belakang seorang gadis. Usianya mungkin sama seperti aku.  Pelajar tahun 1 juga ketika itu. Dia berjalan agak pelik, lalu, aku melihat kondisi kakinya. Dia juga mempunyai masalah untuk berjalan dengan normal.

Lagi sekali, aku beristighfar di dalam hati sambil berdoa, ” Ya Allah! Permudahkanlah urusan hamba-Mu itu di bawah redha-Mu.”

Sejak kejadian itu, mulutku lebih banyak diam. Aku tidak mahu beri peluang pada diriku untuk mengeluh da mengeluh lagi. Aku cuba bayangkan macam mana kalau suatu hari nanti, aku sudah tidak boleh berjalan kaki untuk belajar? Bukankah aku juga yang rugi?

Aku malu dengan sikapku dahulu! Lembik! Bukankah Allah lebih menyukai muslim yang kuat? Kuatlah untuk mujahadah! Kuatlah kerana Allah! Sebelum aku bergelar isteri, aku perlu terlebih dahulu bersyukur, tidak mengeluh dan terima bakal suamiku seadanya!

Dari Abu Hurairah r.a., sesungguhnya Rasulullah s.a.w. pernah bersabda yang bermaksud : “Barang siapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, maka hendaklah ia berkata baik atau diam…” (Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

********

Aku juga pernah merasai bagaimana payahnya mujahadah saat diri mula mahu berhijrah. Hijrah ke arah menjadi muslimah solehah mukminah mujahidah. Bisikan-bisikan syaitan seringkali datang mahu mengganggu gugat niat suciku itu.

Daripada tudung biasa, aku biasakan diri memakai tudung labuh seperti berada di sekolah menengah agama. Daripada t-shirt lengan panjang yang biasa, aku biasakan diri memakai t-shirt labuh muslimah. Daripada suka berseluar, aku kini lebih suka berjubah. Daripada on-off pakai stoking dan hand-sock, aku kini sudah berjaya istiqamah memakai keduanya, bila saja aku keluar dari rumah. Bagiku, auratku adalah maruahku! Bagiku juga, perintah Allah itu wajib untuk aku turuti, untuk membuktikan bahawa cintaku pada-Nya adalah benar! Segalanya bermula waktu aku berada di tingkatan 4 lagi. Hatiku mula tersentuh saat membaca novel tarbiah ‘Seindah Mawar Berduri’ dan ‘Tautan Hati’ karya Fatimah Syarha.

Aku mahu kembali mentarbiah diriku dengan tarbiah Islam yang pernah diajar padaku dahulu. Ada saja mata-mata yang memandang pada penampilanku. Pandangan yang pelik dan tak puas hati. Tidak terhenti di situ, aku diuji dengan perasaan. Perasaan mudah terasa hati dengan cakap-cakap orang. Biasalah, bila diri mula nak berubah, akan ada banyak halangan dan rintangan yang datang untuk menapis sejauh manakah tahap keikhlasan diri.

“Eh, ustazahlah..!”

“Wah..dia dah jadi muslimah solehah..!”

“Macam zaman purbalah kau pakai tudung labuh macam ni..”

Aku tetap teguhkan pendirianku. Aku berubah hanya kerana Allah, bukan kerana pandangan manusia. Aku kejar nilaian Allah, bukan nilaian manusia. Biarlah orang nak kata apa, biarlah orang nak bandingkan aku dengan adik-beradikku yang lain dan sebagainya.

Sebelum aku bergelar isteri, aku mestilah belajar menghadapi mehnah ujian dengan tenang dan sentiasa berlapang dada bila ada masalah melanda!

 “…dan hendaklah mereka memaafkan dan berlapang dada. Apakah kamu tidak suka Allah    mengampunimu? Dan Allah Maha Pengampun, Maha Penyayang.” (an-nur:22)

10653537_1548590928693829_4258473030637609805_n

Aku juga sudah lalui bagaimana rasanya bila diri terasa ‘asing’ (ghuraba’). Sungguh! Sangat-sangat menguji! Hingga terkadang, aku jatuh! Dan kerana Allah, aku bangkit semula, tak mahu terus rebah!

Ketika ramai orang di sekelilingku mula menonjolkan aurat masing-masing, tudung disingkat-singkatkan, baju semakin nipis, seluar semakin ketat, kain semakin sendat, fesyen moden semakin dahsyat, aku terus berusaha mengekalkan cara pemakaian Islam yang sebenar. Aku dipandang sinis, diketawakan dan diperlekehkan.

Ketika ramai kawan-kawanku menjerumuskan diri dalam cinta duniawi, ber’couple’ sana sini, huhahuha dengan lelaki, bergelak dan bermesra dengan teman sehati, menonton wayang bersama pasangan sendiri, bergayut di telefon sehingga lewat malam tanpa arah tujuan, bermanja-manjaan bersama kekasih ‘yang tidak halal’, aku terus berusaha untuk berpegang dengan pendirian al-Quran dan as-Sunnah. Aku berusaha memelihara mukaddimah zina. Aku dipulaukan, dikutuk, dijadikan bahan umpatan dan digelak tawa bersama teman. Kata mereka, “Kau ni bajet solehah! Jangan jual mahal sangat, nanti tak laku! Haha..”

Tatkala ramai orang semakin menerima cara hidup yang membelakangkan agama, mendedahkan aurat, bergelumang dengan maksiat, sebagai aras tanda mengukur kemodenan diri, tiba-tiba aku tetap berusaha membungkus tubuh dengan pakaian yang menyembunyikan anggota yang bersangkutan dengan harga diri, aku pernah dicemuh kerana memilih untuk tidak berfesyen seperti manusia yang ramai hari ini.

Saat zina dan arak berleluasa, rasuah dan riba’ bermaharajalela, pergaulan bebas semakin melata, aku berusaha untuk teguh dengan keimanan terhadap Allah. Aku pernah punya pengalaman dicaci dan dihina. Semuanya aku lalui dengan air mata. Tak mampu aku menghitungnya. Moga air mata itu mampu menyelamatkan aku daripada dibaham api Neraka kelak. Moga Allah redha akan diriku yang serba tidak sempurna ini.

Abu Hurairah r.a. meriwayatkan, bahawa Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam telah bersabda yang bermaksud: “Islam bermula sebagai sesuatu yang dianggap asing dan ganjil. Dan ia akan kembali sebagaimana permulaannya, dianggap asing dan ganjil. Maka, beruntunglah orang-orang yang ganjil” [Riwayat Muslim]

********

Aku masih ingat akan pesanan ustazah padaku dan sahabat-sahabat seperjuanganku dahulu. Waktu aku dan mereka meluangkan masa menziarahi dan menyantuni para ustaz dan ustazah. Antara pesanan mereka yang masih aku pegang hingga kini,

“Rebut peluang belajar di universiti. Tak kisahlah belajar di universiti apa pun, yang penting, rebut peluang belajar! Dan, jaga muamalat (pergaulan). Perempuan kena ada rasa malu. Kena ada prinsip diri yang selari dengan Islam, sebab nanti walau dicampak ke mana pun, kita takkan mudah goyah kalau dah ada prinsip diri yang kukuh, yang selari dengan Islam. Apa yang Islam kata betul, kita buat. Apa yang Islam kata salah, walau ada manusia kata benda tu betul, kita tetap tak buat. Jaga diri baik-baik.”

“Fitrah manusia, nakkan yang baik. Jahat macam mana pun, dia mesti nakkan yang baik. Kamu dekat u jangan nak bercintan-cintun, jaga batas pergaulan! Kalo kita nak bina masjid, kena ada asas yang kukuh dan suci. Contoh : Nak bina masjid dekat tapak yang penuh dengan najis khinzir. Kesannya, akan bau busuk nanti. Kan? Bau busuk tu lah dosa yang kita buat dan kita tak nampak. Nak kahwin pun macam tu, asas kena kukuh dan suci, jangan kotori ia dengan maksiat.”

“Kalau kita nak mengaku kita ni baik, pertamanya kena taat pada perintah Allah dan tidak melakukan larangan-Nya.”

Islam datang bukan menghapuskan tapi memurnikan. Ustaz selalu tekankan wanita. Jaga pakaian dan kekalkan perwatakan muslimah. Sumber utama fitnah adalah perempuan. Sebab itulah kita kena jaga dan pelihara diri kita sebaiknya. Momentum iman kena sentiasa jaga dan selalu ukur tahap ibadah kita.

“Jaga akhlak dan istiqamah dalam kebaikan. Persekitaran banyak mempengaruhi kita. Dunia akhir zaman ni, bila kita nak tegur orang, nak tegakkan Islam, bagai menggenggam bara api. Perempuan paling susah nak jaga ialah stoking. Stoking jangan dilupa dan tudung kena jaga. Benda-benda yang tak elok selalunya seronok. Contoh, mesej pakwe sampai tengah malam, dedahkan aurat dan lain-lain lagi. Dan akhir sekali, kena kuat iman supaya tak buat dosa dan maksiat.

Itu antara tazkirah mereka yang selalu buat aku muhasabah diriku. Aku memang selalu ingat dan refresh segala pesan dan tazkirah guru-guruku. Setiap butir bermakna daripada mulut mereka, aku salin dalam satu buku khas yang dinamakan ‘Celoteh Pembakar Semangat’. Buku tu memang aku sayang sebab ianya mengubat kerinduanku pada para murabbiku. Ada yang aku tidak salin tapi tetap tersimpan kemas kata-kata mereka dalam ingatanku lantaran isinya memberi impak terhadap jiwaku.

Peristiwa kehilangan insan tercinta bernama abah, banyak merubah kehidupanku. Aku mula belajar berdikari, mula bersikap lebih matang dalam soal sesuatu dan aku mula rajinkan diri membantu meringankan kerja-kerja ibu di rumah. Aku juga bertambah prihatin dan sentiasa mahu ambil berat soal adik-adik lelakiku. Betapa rindunya aku pada nasihat abah, teguran abah, marah abah, hanya Allah Yang Maha Tahu!

Aku juga lebih menghargai ibuku. Itu hartaku paling berharga saat ini! Aku pernah melihat seorang kenalanku bersikap derhaka pada kedua ibu bapanya. Dia tanpa rasa bersalah, dengan selamba meninggikan suara terhadap orang tuanya itu apabila diminta pertolongan. Dia juga selalu melawan cakap mereka. Katanya, ibu bapa suka mengongkong hidup anaknya. Tapi, bagi aku, dia bertuah! Dia beruntung kerana masih punya peluang untuk berbakti pada ibu bapa.

“Sembahlah Allah dan janganlah kamu mempersekutukan-Nya dengan sesuatu pun. Dan berbuat baiklah kepada dua orang ibu bapamu, karib-kerabat, anak-anak yatim, orang-orang miskin, tetangga yang dekat dan tetangga yang jauh, teman sejawat, ibnu sabil dan hamba sahayamu. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang sombong dan membangga-banggakan diri,” (Surah Al-Nisaa’ : 36)

Sebelum aku bergelar isteri, aku mesti berusaha untuk menjadi seorang anak yang taat dan berbakti. Aku mesti hormat orang tuaku kerana kelak, aku adalah menantu pada kedua orang tua bakal suamiku. Jika aku derhaka pada orang tuaku, maka, tidak mustahil untuk aku derhaka juga pada ibu dan bapa mertuaku kelak.

Aku juga belajar menjadi suri melalui pengalaman menjaga bayi dan memasak serta banyak perkara asas lagi. Memang amat memenatkan! Akan tetapi, segala yang aku buat itu, ada keseronokan! Bahkan, tidak menambah tekanan!

*******

Saat paling indah buatku adalah saat di mana aku berpeluang dan berpengalaman mengaji dan belajar di sebuah pondok. Separuh cuti semesterku habis di pondok itu.

Di sana, aku menemukan suatu hikmah yang sangat berharga. Aku bertemu dan berkenalan dengan insan yang lebih kurang seusiaku. Ada yang sebaya, ada yang muda setahun dua. Mereka datang dari pelbagai universiti yang mengambil pelbagai jenis jurusan.

Ada yang berkait dengan jurusan agama dan ada juga yang tidak berkait langsung dengan agama. Ada yang 30 juzuk sudah terpasak kemas di dada, namun, dirinya tetap bersederhana dan tidak meninggi diri. Ada juga yang sudah berumur, namun, mereka sanggup meluangkan masa untuk menambah ilmu agama. Ada yang memang berlatarbelakangkan agama dan ada juga yang baru berhijrah mahu menujuNya. Agama itu sememangnya fitrah. Hati, diri dan naluri yang masih haus akan ilmu ukhrawi tetap mahu menambah ilmu agama dan mencari wasilah untuk lebih dekat denganNya.

Di sana, aku belajar untuk berusaha keluar dari zon hidup selesa. Aku lebih berdikari, lebih menerima kekurangan dan berrsikap lebih terbuka dalam bertukar pendapat bersama mereka. Atmaku terasa tenang dan seronok sekali! Rasa ini, rasa yang jarang-jarang dapat aku rasai. Ustaz-ustaz yang mengajar di sana bukanlah calang-calang ustaz. Sebaliknya, mereka adalah produk Yaman, Madinah dan sebagainya yang hebat-hebat belaka ilmunya.

Suatu hari itu, aku sangat terkesan dengan penerangan ustaz untuk kitab “Muhimmah”. Kitab yang menerangkan tentang peranan dan tanggungjawab suami dan isteri. Saat itu, ustaz menerangkan tentang hadis Nabi dan cerita Saidina Umar. Andai boleh dibenarkan manusia sujud sesama makhluk, maka Nabi pasti sudah perintahkan supaya perempuan sujud pada suaminya. Dan jika kaki hingga pertengahan mukanya berdarah, bernanah, dan si isteri menjilatnya, itu masih belum tertunai hak suaminya.

Dan, saat itu juga, aku sedar. Hatiku berbisik perlahan, mengingatkanku, “Aku belum layak dan aku sendiri belum mampu untuk memikul sebuah amanah dan tanggungjawab yang berat itu. Buat masa ini. Noktah!”

Berat! Tersangat berat sebenarnya! Jarang kita menitikberatkan dalil-dalil Al-Quran dan Sunnah yang berkaitan dengan hal ini. Bagaimana peristiwa israk mikraj, Nabi melihat ramai wanita diazab di Neraka. Kerana apa? Salah satunya adalah kerana menyakiti suaminya. Juga kerana berhias untuk orang lain, bukan untuk suaminya. Banyak lagi!

Namun, percayalah. Bilamana masanya sudah tiba, Allah tahu, saat itu, aku sudah mampu hendak memikul sebuah amanah dan tanggungjawab yang berat itu. Jadi, aku terus menyiapkan diriku! Aku belajar dan terus belajar! Sebelum aku bergelar isteri, aku mahu mantapkan ilmu agama dalam diri! Sebab itu aku mahu sibukkan diriku dengan majlis ilmu, daurah, usrah, talaqqi, konferens dan sebagainya. Aku juga mahu libatkan diri dalam berbakti untuk ummah dan aku mahu terus bersama menggerakkan kerja-kerja dakwah dan tarbiah Islam!

“Setiap kali ilmuku bertambah, aku bertambah kenal akan kebodohanku.” (Imam Syafie)

*******

Kini, segala duka-duka itu berubah menjadi bahagia di akhirnya. Air mata yang telah dibazirkan dahulu kini menjadi pengubat duka. Hari ini hari pernikahanku. Hari bahagia buat aku dan keluargaku. Aku menutup kembali buku merah itu. Aku mahu suamiku nanti membaca kisah-kisah ‘Tangis Tawa Kehidupanku’. Aku mahu dia merasa istimewa di sisiku. Hadirnya menambah bahagia dalam hidupku.

“Safrina! Nak masuk boleh?”

“Boleh. Masuklah! Pintu tak kunci pun.”

Kelihatan Ainul dan Izzatul, sahabat karibku, muncul di hadapanku. Mujur aku sudah mengelap tangis hibaku.

“Tahniah! Ni hadiah istimewa daripada kami! Khas untuk kau dan suami!”

Mereka menghulurkan hadiah istimewa buatku. Entah apa di dalam balutan itu, aku tak sabar mahu membukanya.

“Safrina! Jom! Mak kau suruh keluar. Semua dah bersedia nak ke masjid tu.” Izzatul menarik tanganku. Tak sempat aku mahu mengoyak balutan hadiah mereka.

Jantungku semakin berdegup kencang. Suasana dalam masjid kelihatan tenang. Bunyi riuh-rendah sudah tidak kedengaran. Aku sudah nampak si dia! Sejuknya mataku memandangnya. Aku cepat-cepat mengalihkan pandanganku. Selagi dia belum sah milikku, aku kena jaga pandanganku.

Usai akad nikah, aku dan dia segera menunaikan solat sunat dua rakaat. Saat tanganku bersalaman dengan tangannya, itulah saat yang aku rasakan nikmat menjadi halal buat si dia yang bergelar suami. Aku bersyukur dengan nikmat ini.

1780625_350778495081338_8689413396225704232_n

Aku teringat semula bagaimana dia mahu ‘memetik’ diriku sebulan yang lepas. Aku langsung tidak menduga bahawa dia adalah jodohku. Usianya tua dua tahun daripadaku. Senior sewaktu aku belajar dahulu. Dia sedang menyambung pengajian Master dan bekerja di sebuah syarikat penterjemahan buku.

Saat pertama kali dia datang ke rumahku bersama ibu bapanya. Aku yang terkejut dan semacam tak percaya! Hingga terkeluar daripada mulutku dahulu,

“Awak ni gila ke nak kahwin dengan saya? Kenapa pilih saya?”

“Saya waras lagi. Jangan risau. Saya pilih awak sebab awak pilihan Ilahi buat diri saya. Memang saya ada niat nak memperisterikan awak.”

Itu jawapannya di hadapan ibuku. Aku yang waktu itu baru selesai pengajian Ijazah dan baru saja menerbitkan sebuah buku. Usiaku 23 tahun. Aku berjaya mencapai cita-citaku untuk menjadi seorang penulis. Aku mahu sebarkan dakwah melalui pena. Aku menerima dirinya kerana dia merupakan orang pertama yang berani tampil di hadapan ibu dan keluargaku, bersama ibu bapanya, meluahkan hasrat sucinya. Agamanya juga memikat diriku.

Sebelum ini, aku pernah saja dilamar dan diajak bercinta akan tetapi di alam maya, bukan secara syar’ie sebegini. Semestinya aku tidak endahkan perkara-perkara tersebut! Aku sentiasa ‘perisaikan’ diriku!

Rasulullah S.A.W. pernah bersabda : “Apabila datang meminang kepada kamu orang yang kamu redhai agama dan akhlaknya, maka hendaklah kamu kahwini akan dia, jika kamu tidak melakukannya nescaya akan berlaku fitnah di atas muka bumi dan kerosakan yang besar.” (Riwayat Tirmizi)

10628733_653687324747542_1291987167585977887_o

Ibu sebak melihat aku kini sudah bergelar isteri.

“Alhamdulillah. Anak ibu dah besar. Jaga suami baik-baik ya.” Pesan ibu padaku.

Aku masih ingat pesan ibu padaku semasa aku bergelar pelajar Tahun 2 di universiti,

“Kalau nak mudahkan kerja ibu, nikahlah lepas dah habis belajar. Lepas selesai Ijazah.”

Aku memahami kemahuan ibu. Aku tak pernah minta untuk berkahwin awal atau kahwin masa belajar. Aku lebih mengutamakan prioriti. Lagipun, saat itu, fikiranku sedang giat dan sibuk dengan pelajaran. Aku mahu fokus belajar sahaja dahulu kerana bidang yang aku dalami ini amat payah dan sukar andai aku tidak punya kesungguhan.

Ramai saja sahabat seperjuangku, seusiaku yang bernikah awal atau kahwin masa belajar. Terpulang pada diri masing-masing. Bagi aku, perkahwinan bukan perlumbaan. Siapa kahwin awal, dia menang! Siapa kahwin lambat, dia kalah! Tak! Nikah bukan begitu! Akan tetapi, nikah adalah soal amanah dan tanggungjawab membina ummah, bukan sekadar cinta dua insan semata. Sebuah perkahwinan itu perlu melihat hingga ke lampin bayi, bukan setakat ke jinjang pelamin sahaja! Sebuah perkahwinan itu juga perlu melihat aspek yang pelbagai dan merangkumi semua, bukan dengan alasan mahu elakkan diri daripada berzina sahaja! Segala masalah yang berkait dengan soal nafsu, hati dan diri kita perlu diselesaikan sebelum berlangsungnya sebuah perkahwinan!

Semua yang hadir melihat peristiwa akad nikahku kembali ke rumah tercintaku. Aku bahagia melihat hantaran untuk diriku. Senaskah Al-Quran, sepasang telekung dan terjemahan Tafsir Fi Zilalil Quran, tulisan Syed Qutb. Sementara di pihak aku memberinya senaskah Al-Quran dan sehelai jubah.

“Terima kasih sebab sudi hadir menambah seri dalam hidup saya.” Lembut ucapan itu keluar dari bibir tulus miliknya, suamiku.

Aku tersenyum lebar melihat tingkahnya. Tanganku dikucup lembut.

“Terima kasih juga sebab sudi hadir menambah bahagia buat diri ini.” Ucapku ringkas.

Azan Zohor berkumandang.

“Kita solat berjemaah dekat rumah boleh? Solat jemaah dengan tetamu yang hadir. Awak jadi imam.” Pintaku.

Impianku tercapai jua akhirnya. Aku mengimpikan solat berjemaah bersama suami dan para tetamu yang hadir dalam meraikan penyatuan dua hati kami. Ruang tamu rumah kelihatan penuh. Alhamdulillah.

Aku sudah bergelar isteri. Moga bahtera kehidupan yang baru dibina ini, kekal bahagia dalam menempuh suka dan duka, kekal bercinta dan berkasih sayang hingga ke Syurga, bertemu dengan-Nya!

***TAMAT***

 

 

 

 

 

ISTIQAMAH SEORANG AMANI

Published September 6, 2013 by wana93

Never_give_up_by_antontang

Nurul Amani Binti Muhammad Saiful, seorang pelajar yang cemerlang dan berwibawa tinggi. Selepas dia berjaya merangkul 5A dalam Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Mumtaz dalam Penilaian Sijil Rendah Agama (PSRA), dia menyambung pembelajarannya ke sebuah sekolah agama berdekatan dengan rumahnya. Dia tak mahu berjauhan dengan keluarga tercinta.

Amani mula terjebak dengan kehidupan gejala sosial yang meruntuhkan akhlak dan perilakunya sebagai seorang muslimah sejak tingkatan 2. Dia tersalah pilih kawan. Dek kerana mahu glamor, dia menyertai kumpulan ‘Gegirlz’ yang dianggotai oleh 4 pelajar perempuan yang selalu mengundang masalah disiplin di sekolah. Sikap dan perlakuan Amani mula berubah. Hal ini dapat dihidu oleh ibu bapa dan adik-beradiknya.

Amani mula mengabaikan pelajaran. Dia banyak menghabiskan masa dengan aktiviti melepak di kedai kopi bersama kumpulan ‘Gegirlz’ ditemani beberapa orang pelajar lelaki. Tudung sebagai pelindung masih dikekalkannya, namun, tidak menepati apa yang telah disyariatkan. Tudungnya pendek dan jarang. Amani suka meluangkan masa untuk menonton filem-filem cinta Hindustan dan Korea di rumah sahabatnya kerana ibu bapanya melarang keras dia pergi ke pawagam. Dia asyik dengan aksi-aksi romantik yang dilakonkan oleh aktres-aktres yang kacak dan cantik itu. Dia seronok melayan lagu-lagu jiwang yang membuatkan dirinya bebas berangang-angan. Walaupun bersekolah di sekolah agama, namun, dia langsung tidak peduli akan apa yang telah dipelajarinya. Dia juga sudah lali dengan nasihat ibu bapanya. Dia mahu bebas daripada sebarang kongkongan!

Ibu bapa Amani membuat keputusan untuk memindahkannya ke sebuah sekolah agama berasrama. Sekolah itu agak jauh. Namun, sekolah itu amat menitikberatkan disiplin, akhlak dan kehidupan para pelajarnya. Tingkatan 4, Amani mula bersekolah dan tinggal di asrama sekolah itu. Dia agak sedih kerana berjauhan daripada keluarga dan sahabat-sahabatnya. Dia tidak suka dengan sekolah ini! Disiplinnya terlalu ketat! Tak boleh pakai tudung pendek! Tak boleh tengok televisyen! Tak boleh baca majalah artis! Tak boleh keluar dengan lelaki! Tak boleh pergi karaoke! Tak boleh nak berhibur! Tak boleh itu, tak boleh ini! Asyik ada ceramah saja! Asyik ada kelas hafazan saja! Asyik ada kuliah saja! Setiap pagi dan petang kena baca Ma’thurat! Dia rasa hidupnya dikongkong! Dua bulan dia terseksa dengan ‘tarbiah mulia’ itu. Amani berasa sepi dan sendiri di situ. Hinggalah suatu hari, Amani bertemu seseorang.

“Assalamualaikum..awak pelajar baru ya?” Gadis berniqab itu memulakan sapaan. Suaranya tenang dan lembut saja.

“Waalaikumussalam..ya..saya pelajar baru. Kenapa? Ada masalah ke?” Tanya Amani dengan nada yang kurang manis didengar. Pandangannya sinis.

“Boleh kita berkawan? Nama saya, Syafawati. Nama awak siapa?” Gadis berniqab itu menghulurkan tangan tanda perkenalan.

Amani menyambut huluran salam itu. Hatinya terasa lunak dengan respon gadis berniqab itu yang masih mahu bercakap dengannya walaupun dia telah bersikap kurang manis.

“Nama saya Amani. Kenapa awak nak kawan dengan saya?” Soal Amani penuh tanda tanya.

“Saya nak kawan dengan awak, kerana Allah.” Jawab Syafawati. Amani tersentak seketika dengan jawapan gadis berniqab itu.

Sejak hari itu, Amani dan Syafawati menjadi sahabat sejati. Amani banyak luangkan masa ke kuliah Dhuha dan ceramah serta seminar bersama Syafawati. Gadis berniqab itulah yang memperkenalkan dirinya dengan cinta. Cinta yang kekal dan abadi, cinta akan Pemilik diri iaitu Ilahi.

*******

 “Awak tahu, saya bukan budak baik macam awak. Saya ni, dulu, jenis yang suka bersosial dengan lelaki. Suka keluar dengan mereka. Saya suka tengok cerita-cerita Hindustan dan Korea. Saya minat sangat!” Luah  Amani pada Syafawati.

“Ooo..sekarang pula macam mana?” Tanya Syafawati.

“Sekarang, alhamdulillah, sejak masuk sekolah ni, saya memang dah tak keluar dengan lelaki. Saya dah sedar, apa yang betul, apa yang salah selepas saya baca novel Fatimah Syarha yang awak bagi pada saya, ‘Tautan Hati’. Alhamdulillah. Masa tazkirah ustaz Safuan semalam pun, saya tahu, saya dah banyak buat salah dan dosa. Ustaz Safuan ingatkan kita pasal ikhtilat. Katanya, kalau kita tak jaga ikhtilat iaitu pergaulan kita dengan lelaki bukan mahram, maka, kita akan senang dijangkiti penyakit hati. Bila mata suka memandang kepada ajnabi, bila mulut suka berbual kosong dengan ajnabi, bila telinga suka mendengar suara ajnabi, bila tangan suka ber’chatting’ dengan ajnabi, bila kaki suka melangkah bersama ajnabi, bila diri suka meraih perhatian ajnabi, maka, kita akan mudah jatuh hati. Dari situ, syaitan akan mula menggerakkan operasi mereka untuk mengheret kita ke arah yang lebih dimurkai Allah. Na’uzubillah!

Cuma, saya susah nak tinggalkan hiburan. Saya minat sangat dengan filem-filem cinta Hindustan dan Korea. Macam mana ya?” Amani bersungguh-sungguh mahu berubah kerana Allah!

“Alhamdulillah, saya seronok dengar perubahan sikap awak. Bersyukurlah, sebab Allah sayang akan awak. Hati manusia, Allah yang pegang. Dia saja yang berhak memberi kita hidayah dan taufik. Memang saya bertuah sebab saya dilahirkan dan dibesarkan dalam biah solehah. Tapi, saya lagi rasa bertuah sebab Allah temukan saya dengan awak. Dalam Islam, hiburan itu tidak salah. Akan tetapi, yang menjadikan hiburan itu salah adalah ‘isi’ hiburan tersebut. Banyak filem cinta hari ini, mendedahkan keruntuhan akhlak dan moral pada penontonnya. Sebagai contoh, terdapat adegan-adegan yang mendedahkan aurat sama ada lelaki atau perempuan, bebas berpegangan tangan sesama bukan mahram, bebas bersosial bersama, tari-menari dan banyak lagi. Kita tahu dan kita belajar, apa itu dosa, apa itu pahala, tapi kadangkala, kita tak sedar yang kita berada di dalam zon selesa mengumpul dosa.” Terang Syafawati.

“Betul cakap awak. Apa lagi ya keburukannya? Kebaikan yang saya dapat setakat ni, saya rasa, saya dah boleh belajar sikit-sikit cakap bahasa Hindustan dan Korea. Hehe. Ada lagi tak? Boleh sama-sama kita bincangkan dan berkongsi pendapat.” Cadang Amani.

“Kalau nak dibandingkan, keburukan yang kita dapat lebih banyak daripada kebaikan. Berlaku pendedahan aurat, berlaku adegan-adegan yang tidak senonoh, berlaku pergaulan bebas yang mungkin akan memberi kesan dalam kehidupan kita dan menambahkan akaun buku dosa kita kerana melihat aurat-aurat mereka.

Lagi satu, orang Korea, kalau mereka ‘tension’, mereka tak ada mengadu atau luah dekat Tuhan mereka (kalau mereka ada  kepercayaan kepada Tuhan). Mereka akan minum arak. Bagi mereka, itu solusi terbaik! Tapi, tidak kita! Kita orang Islam. Kita punya Allah untuk mengadu segala masalah. Kita punya Al-Quran untuk meleraikan segala gundah. Kalau kita sedar, filem-filem Melayu pun sudah banyak meniru dan cenderung ke arah cara Barat. Anak-anak muda pula, ramai yang melayan hiburan sebegini. Sebab itu masalah gejala sosial di negara kita semakin hari, semakin parah!

Kita terlalu obses dengan mereka. Bukan artis Hindustan dan Korea saja, artis-artis mana pun sama. Tak boleh kita jadikan idola, apatah lagi untuk sibuk nak berasa takjub dengannya. Lebih-lebih lagi yang tidak menutup aurat dan tidak mengikut syariat Allah. Kalau kita selidik latar belakang para alim ulamak, kita akan dapati yang mereka tidak berhibur seperti kita hari ini. Bagi mereka, hiburan itu adalah apabila hati dan jiwa berasa tenang dengan Allah. Bagaimana mungkin mereka hendak berhibur secara keterlaluan andai malaikat maut sering menanti masa menarik nyawa dan Allah selalu perhati tingkah mereka? Bagaimana kita dapat jadikan Allah sebagai kekasih hati andai hiburan lagha yang memenuhi segenap ruang hati kita?” Syafawati cuba menghayati apa yang diluahnya.

Pipi Amani terasa hangat dengan linangan air mata yang tiba-tiba hadir membasah.

“Awak okey? Saya minta maaf kalau kata-kata saya menyinggung perasaan awak.” Syafawati dihimpit rasa bersalah. Amani hanya tersenyum sambil mengusap tangisnya.

“Awak tak perlu minta maaf. Saya lagi suka kata-kata awak yang banyak menyedarkan diri saya yang sering terleka. Saya teringat tazkirah ustaz Safuan minggu lepas. Ustaz ada bacakan satu ayat ni, “Dan sungguh, akan Kami isi neraka Jahanam banyak daripada kalangan jin dan manusia. Mereka memiliki hati, (tetapi) tidak dipergunakannya untuk memahami (ayat-ayat Allah) dan mereka memiliki mata (tetapi) tidak dipergunakannya untuk melihat (tanda-tanda kebesaran Allah), dan mereka mempunyai telinga (tetapi) tidak dipergunakannya untuk mendengar (ayat-ayat Allah). Mereka seperti haiwan ternak, bahkan lebih sesat lagi. Mereka itulah orang-orang yang lengah.” (Surah al-A’raf : 179)

Hati kita sering diguna untuk merindui suara-suara penyanyi. Mata kita sibuk memandang gerak tari penyanyi dan penari-penari seksi. Telinga kita pula sering dipenuhi dengan irama-irama lagha. Masa kita banyak terbuang dengan menonton filem-filem cinta yang penuh dusta dan jauh daripada syariat. Terkadang, kita lupa. Kita mengaku yang kita sayang akan Allah dan cinta akan Rasul, tapi, dalam kehidupan kita, sikit sekali kita bersyukur dan berselawat, sikit sekali kita membaca ayat-ayatNya. Kita amat jarang pergi ke surau atau masjid lantaran sibuk pergi ke konsert atau pawagam. Kita jarang sekali mendengar tazkirah dan ceramah dek terlalu suka mendengar lagu dan muzik. Kita sering melewat-lewatkan solat dek kerana khusyuk menonton filem-filem cinta yang tidak memberi apa-apa untuk saham akhirat kita. Bagaimana kita nak melahirkan generasi Al-Fateh andai sajian jiwa kita hanyalah hedonisme semata-mata kan?” Amani mengulas kembali tazkirah ustaz Safuan.

“Awak, doakan saya kuat mujahadah untuk tinggalkan hiburan-hiburan lagha ni ya. Saya betul-betul nak berubah kerana Allah.” Sambung Amani lagi. Matanya bersinar dengan cahaya cinta kepada-Nya.

“Saya selalu doakan yang terbaik untuk awak. Kita boleh gantikan semua hiburan-hiburan lagha tu, dengan hiburan-hiburan yang mendidik jiwa seperti mendengar alunan nasyid, qasidah, mendengar bacaan ayat-ayat suci Al-Quran, berselawat, membaca majalah-majalah Islam seperti Solusi, al-Ustaz, Asuh, Anis, dan Gen-Q. Kita juga boleh menonton video-video pendek berunsurkan cerita-cerita Islami yang di internet dan boleh membaca blog-blog yang bermanfaat untuk mengisi lompong dalam diri. Cerita Upin&Ipin dan Boboi Boy pun seronok juga! Hehe. Sama-sama kita mujahadah ya!” Syafawati bersemangat waja! Amani merangkul erat tubuh Syafawati. Ukhuwah mereka terus bersemi hingga ke saat ini.

*******

Sudah 5 tahun berlalu. Amani semakin selesa dan bahagia dengan keadaan dirinya yang sekarang ini. Dia sudah tidak hidup dalam suasana sosial tanpa batas, dikelilingi hiburan lagu-lagu cinta yang melekakan jiwa serta filem-filem cinta yang merosakkan nilai-nilai murni agama diri sendiri. Dahulu, dia telah memadam kesemua filem-filem Hindustan dan Korea yang memenuhi muatan dalam lappy kesayangannya. Dia benar-benar mahu mujahadah! Terlalu banyak hedonisme yang dihidangkan pada generasi Y pada hari ini. Amani pernah kecundang dahulu. Namun, hidayah Allah telah menyelamatkannya kerana dia masih punya usaha untuk mengislah dirinya.

Kini, dengan izin Allah, dia telah berjaya berada di sebuah universiti tempatan, menyambung perjuangan menuntut ilmu dalam bidang Usuluddin. Sahabat karibnya pula, Syafawati, berada di luar negara, Morocco, berjuang dalam bidang Sains dan Teknologi. Walau dua jasad itu terpisah, namun, hati mereka tetap dekat dan utuh dengan kasih-Nya. Mereka tetap berhubung di alam maya seperti Facebook, WeChat dan Skype.

Amani bakal memasuki Tahun 2 di universiti itu. Dia kini sudah istiqamah bertudung labuh bulat dan mengenakan pakaian takwa pada dirinya. Dia sentiasa ingat akan pesanan seorang motivator terkenal, Prof. Dr. Muhaya, yang pernah berkata, “Apabila kita mahu memakai pakaian, kita ada dua pilihan. Nak Syurga atau Neraka.” Amani sedang menikmati cuti semester selama 2 bulan. Sayangnya, cutinya kini berbaki dua minggu saja lagi. Keputusan peperiksaan akhir bakal keluar tidak lama lagi. Amani terus berdoa dan bertawakkal hanya pada-Nya.

Amani dan sahabatnya, Azrina, ke Nilai, untuk menghadiri jemputan kahwin sana. Sahabat mereka, Hazeera, telah selamat diijab kabulkan minggu lepas. Hari ini, kenduri untuk meraikan mereka diadakan. Amani dan Azrina memenuhi jemputan sahabatnya itu. Mereka menaiki kereta pacuan 4 roda yang dimiliki oleh ibu Azrina.

“Macam mana ya nak mantapkan Bahasa Arab? Kau kan hebat, apa rahsianya?” Amani memulakan bicara. Azrina memang hebat dalam debat Bahasa Arab. Ramai yang kagum akan bakat dan kebolehannya itu.

“Eh kau ni, mana ada hebat! Biasa-biasa sajalah! Yang penting, kena gunakan Bahasa Arab tu. Kena bercakap dalam Bahasa Arab.” Jawab Azrina dengan penuh merendah diri.

“Kadang-kadang, aku cemburu dengan kau. Kau nampak matang dan pandai berdikari. Aku suka!” Puji Amani sambil matanya melerek ke arah Azrina yang sedang khusyuk memandu.

“Aku kena berdikari. Aku jadikan ibu aku sebagai contoh. Ibu aku matang dan pandai berdikari. Aku banyak belajar daripada dia.”

“Ooo..baguslah macam tu. Ayah kau mesti bangga dapat anak macam kau.”

“Erm.. Sebenarnya, ibu dan ayah aku dah bercerai..” Beritahu Azrina kepada Amani.

“Haaa?! Bercerai?! Bila?! Kenapa?!” Bertalu-talu soalan diajukan kepada Azrina. Sebagai sahabat, Amani mahu tahu.

“Dah lama dah. Dua orang kawan aku dekat universiti saja yang tahu hal ni. Ayah aku ada orang lain. Dia dah nak kahwin dah dengan perempuan miang tu.” Sayu suara Azrina bercerita.

“Ooo..pasal orang ketiga. Azrina, aku minta maaf. Aku tak ada niat nak buat kau sedih. Aku cuma nak tahu saja. Erm, kenapa tak poligami? Ibu kau tak nak?”

“Eh tak apa. Poligami? Ayah aku langsung tak ada bincang apa-apa dengan ibu aku. Dia terus jatuhkan talak satu pada ibu aku. Sebab itulah aku kena berdikari. Ibu aku yang ajar aku untuk berdikari dan tak harap belas kasihan orang. Alhamdulillah, ibu aku ada kerja tetap. Jadi, aku bantu ibu aku semampu mungkin. Adik-beradik aku ramai. Alhamdulillah, semuanya jenis yang mendengar kata dan baik-baik belaka. Cuma, adik-adik aku dah tak suka dengan ayah aku. Adik-adik aku macam dah benci dengan insan bernama lelaki. Semua ni gara-gara ayah aku.”

“Kau pun benci ayah kau ke? Walau apa pun, kau kena ingat, itulah ayah kau. Kau kena redha dengan apa yang Allah dah tetapkan untuk kau.” Amani cuba memberi kata semangat untuk diri Azrina.

“Memang aku redha. Tapi, bila aku kenang balik apa yang ayah aku dah buat pada aku, ibu aku dan adik-adik aku, akan muncul perasaan benci dalam diri aku. Dia dah nak kahwin. Lepas tu, sibuk nak tuntut harta dengan ibu aku! Nafkah kami sekeluarga langsung dia tak bagi! Insya-Allah, minggu depan, aku temankan ibu aku pergi mahkamah.”

“Aku doakan yang terbaik untuk kau sekeluarga. Sabarlah! Aku yakin kau tabah! Percayalah, pasti ada hikmah!” Amani hanya mampu memberi kata-kata semangat. Dia tahu, Azrina pasti sukar menerima semua ini.

Sekujur tubuh itu, murah dengan senyuman dan mesra dengan semua orang. Namun, di sebalik kesolehan dan kemantangannya itu, terselit beribu kisah duka di dalamnya. Amani bangga kerana mendapat sahabat yang baik dan tabah seperti Azrina itu. Azrina tidak berputus asa dan tidak menyalahkan takdir.

Perjalanan yang mengambil masa selama 2 jam itu berakhir jua. Mereka sampai di rumah Hazeera tepat jam 12 tengah hari. Usai makan, Amani dan Azrina menyerbu ke arah Hazeera dan suami tercintanya.

“Semoga Allah memberkati kamu berdua dan menghimpunkan kamu berdua dalam kebaikan. Semoga kekal bahagia hingga ke Syurga.” Ucap Amani kepada Hazeera. Mereka bahagia melihat sahabatnya bahagia.

*******

wanitasolehah

Hari ini, Amani tak ke mana-mana. Usai membantu ibu menyidai pakaian dan memasak, dia merehatkan dirinya di dalam bilik. Cuti semester ini, Amani banyak menghabiskan masa membantu ibu tercintanya menguruskan kerja-kerja rumah seperti membasuh dan menyidai pakaian, melipat baju, membasuh pinggan dan juga memasak! Dia kini sudah pandai menyediakan beberapa jenis masakan seperti Kuew Teau KungFu, Nasi Goreng Cili Api, sambal kentang dan beberapa lagi. Cutinya hampir tamat. Dia perlu gunakan masa sebaik mungkin!

“Orang perempuan kena biasakan diri masuk dapur. Bukan untuk makan saja, tapi untuk masak. Nanti dah kahwin, senang, tak payah nak harap dekat suami saja. Kena rajin masak dari sekarang. Kalau tak, nanti dah kahwin, jadi malas nak masak.” Itu pesan ibu Amani setiap kali dia mahu belajar masak.

Telefon genggam Amani berdering kuat. Tanda panggilan masuk.

“Amani! Ada masa lapang tak lepas Zohor nanti? Saya nak ajak awak temankan saya pergi beli barang dekat pasar raya. Boleh?” Haryati mengajak Amani untuk menemaninya.

“Okey, pukul 2 ya. InsyaAllah.” Jawab Amani. Dia sebenarnya ingin berehat, namun, dia juga mahu meluangkan masa bersama sahabat lamanya itu.

“Okey. Terima kasih. Assalamualaikum.”

“Waalaikumussalam..” Akhiri Amani.

Usai membeli barang, Azan Asar mula berkumandang.

“Yati, kita singgah masjid sekejap ya sebelum balik. Kita solat Asar dulu. Jom!” Ajak Amani penuh mesra.

Haryati dan Amani terus menuju ke masjid dengan kenderaan pacuan dua roda itu. Usai solat Asar, mereka berdua berehat sebentar.

“Teringat dulu masa sekolah dekat asrama, pakai tudung labuh, pakai stoking dan handsock. Tapi, sekarang, dah tak ada dah semua tu. Baguslah awak masih istiqamah.” Tiba-tiba Haryati meluahkan bicaranya pada Amani sambil memerhati tingkah Amani yang sedang memakai stoking.

“Kenapa sekarang dah tak pakai semua tu?” Tanya Amani secara spontan sambil tersenyum.

“Entahlah. Macam dah malas saja. Haha.” Jawab dia selamba. Amani hanya tersenyum. 5 tahun di sekolah agama, sudah biasa memakai tudung labuh, stoking, handsock dan menutup aurat dengan sempurna, tapi semua itu hilang sebaik saja diri berhenti sekolah dan menyambung pengajian ke peringkat yang lebih tinggi. Itu baru sentuh bab aurat. Belum lagi bab ikhtilat, akhlak dan lain-lain. Ada persoalan yang muncul di minda Amani.

Haryati suka memakai seluar jeans dan t-shirt yang agak ketat dan itu menampakkan tubuhnya yang gempal itu. Dia juga suka menyilangkan tudungnya yang pendek itu. Satu perkara yang membuatkan Amani suka berkawan dengan Haryati adalah kerana dia jujur dalam perbuatan dan pertanyaannya. Amani tidak pernah berasa malu untuk keluar bersama Haryati. Baginya, dakwah itu mendekati, bukan menjauhi dan menghindari. Amani tidak boleh hendak selesa bergaul dengan para muslimah bertudung labuh sahaja! Itu bukan dakwah namanya.

“Amani, saya ni gemuklah.” Keluh Haryati.

“Bersyukurlah sebab awak masih diberi kesihatan oleh Allah. Kalau awak pakai baju kurung atau jubah yang longgar, mesti tak nampak gemuk. Percayalah!” Amani mengenyitkan mata pada Haryati.

“Saya? Pakai jubah macam awak? Haha.” Haryati tergelak besar. Mana mungkin dia mahu memakai pakaian seperti itu! Tak ada fesyen langsung!

“Kenapa awak gelak ya? Boleh saya tahu?”

“Saya ni, suka berfesyen! Takkan saya nak pakai pakaian macam awak ni?!”

“Eh, apa salahnya! Jubah ni pun salah satu fesyen kan?”

“Memanglah! Tapi, jubah ni fesyen lama! Sekarang ni, banyak dah fesyen baru. Ada jeans, ada blouse dan banyak lagi.”

“Awak, Islam tak pernah halang orang perempuan nak berfesyen. Islam tak anti fesyen. Islam cuma anti dedah aurat dalam berfesyen. Kita sebenanrnya nak popular di mata manusia ke di hadapan Allah?”

“Erm..sekarang kan kita dekat dunia, mestilah nak cantik dan popular di mata manusia. Dekat akhirat nanti, barulah popular di hadapan Allah.”

“Macam mana nak popular di hadapan Allah kalau semasa di dunia kita mengumpul dosa hasil daripada pendedahan aurat kita?” Soal Amani dengan serius. Dia mahu menyedarkan sahabatnya itu. Haryati hanya diam membisu.

“Sepatutnya, kita jadikan dunia ini jambatan untuk kita menuju ke akhirat yang kekal abadi. Bukan tempat untuk kita mendedahkan dan mempamerkan segala keindahan dan kecantikan kita pada manusia semata-mata untuk kepuasan nafsu! Sebaik-baik perhiasan adalah wanita solehah. Kita semua ada peluang nak jadi solehah pada pandangan-Nya. Tinggal kita saja, mahu atau tidak. Haryati, saya tahu, awak sangat baik dan jujur. Saya senang dan suka berkawan dengan awak. Saya minta maaf kalau saya ada sakitkan hati awak.” Amani mendekati Haryati. Dia menghulurkan salam. Haryati menyambut huluran itu. Dia mendakap mesra tubuh Amani!

“Terima kasih! Saya sayang awak!” Ucap Haryati.

“Saya pun sayang awak, kerana Allah!” Balas Amani. Memorinya terbayang seraut wajah manis yang dilindungi niqab, Syafawati. Sungguh! Dia merindui sahabat karibnya itu! Moga Allah lindungi dia selalu.

*******

Pagi Jumaat itu, matahari kelihatan tenang saja. Tidak ‘garang’ cahaya yang disinarkannya. Amani mencapai Al-Quran untuk membaca surah al-Kahfi.

“Amani, aku dah buat keputusan! Aku tetap nak kahwin dengan dia!”

Amani membaca mesej yang dihantar oleh teman sekelasnya dahulu, Laila. Laila tidak sambung belajar. Dia sekarang bekerja sebagai seorang kerani di sebuah syarikat swasta. Di situ, dia berjumpa dengan seorang lelaki yang bagi dirinya, itulah cinta!

“Laila, kau tak boleh percaya lelaki macam tu saja. Kau kena selidik latar belakang dia, agama dan akhlak dia. Jangan diturutkan nafsu dalam mengenali cinta, nanti kita jadi buta.” Itu pesan yang pernah Amani beri pada Laila. Laila pernah bercerita bahawa lelaki itu bercinta dengan dua perempuan iaitu dirinya dan seorang lagi. Namun, kata Laila, lelaki itu sudah melupakan kekasih hati yang seorang lagi, demi meraih cinta si Laila.

Amani membalas mesej Laila,

“Laila, kau fikirlah masak-masak. Ini soal akhirat kita, bukan soal cinta semata-mata. Kalau betul kau yakin dengan agama dan akhlak yang ada pada dia, teruskanlah. Beritahu mak dan ayah kau. Kalau kau tak yakin, jangan sesekali main tangkap muat sahaja. Aku sayang kau, aku tak nak kau merana di kemudian hari.”

Laila membaca mesej Amani dengan reaksi tidak puas hati! Tangannya laju menaip,

“Aku tahulah aku ni bukan ustazah nak bagi tazkirah macam kau, tapi, kau tak rasa apa yang aku rasa. Orang macam kau, ada ke yang nak? Jual mahal saja! Lama-lama, jadi anak dara tua baru tahu! Walaupun pakwe aku tu tak soleh, tapi tak apa, dia baik. Aku boleh bimbing dia sikit-sikit! Mak ayah aku tak kisah! Kau saja yang terlebih kisah! Haha.”

Air mata Amani mengalir membaca mesej Laila. Perlukah dia ceritakan semua kisah yang dia pernah lalui sejak dirinya berhijrah kepada kebaikan? Amani pernah menerima mesej cinta daripada lelaki! Perlukah dia beritahu satu dunia bahawa dirinya pernah menerima lamaran cinta palsu di alam maya?! Bagi Amani, itu semua dusta semata-mata. Itu semua melalaikan jiwa. Bukan dirinya menjual mahal, tetapi maruah diri yang mahu taat pada perintah Allah yang menjadi benteng dirinya selama ini. Dia pernah dilabel sebagai seorang yang sombong dan garang dengan insan bernama lelaki. Biarlah apa orang nak kata, tetapi, Amani lebih pentingkan apa yang Allah kata. Perlahan-lahan, Amani membalas mesej itu.

“Aku bukan ustazah, aku hanya hamba Allah. Aku bahagia sebab aku tak ada peluang nak berpakwe. Aku bahagia menikmati hidup tanpa mengumpul dosa. Terpulang pada kau, Laila. Aku dah sampaikan apa yang patut. Baikkan dan perbaiki diri kita dahulu, barulah kita boleh membimbing insan sekeliling kita. Selamat menjadi wanita solehah. 🙂 ”

Itu mesej terakhir daripada Amani. Mesej itu tidak berbalas. Amani hanya mampu mendoakan agar Allah membuka mata hati Laila supaya tidak buta dengan cinta yang sia-sia. Dia sedar, ramai insan yang jatuh, lemah dan kecewa kerana rasa yang mereka gelar sebagai cinta. Ramai juga yang berjaya, bahagia dan gembira dengan perasaan ini. Persoalannya, bagaimana kita mahu meraih bahagia dalam cinta andai jalan menuju cinta itu dihiasi dengan maksiat yang membawa hati jauh daripada-Nya?

Dia teringat akan satu hadis yang membicarakan, bagaimana seseorang yang beriman dan tidak beriman itu melihat dosa. Dia mahu menjadi seseorang yang ‘peka’ terhadap dosa, bukan bersikap selamba dan tidak punya rasa apa-apa bila melakukan perkara-perkara yang boleh mengundang dosa.

“Orang yang beriman melihat dosanya umpama gunung yang menghempap, manakala ahli maksiat pula melihat dosa itu umpama lalat yang hinggap pada hidung.” (Riwayat Al-Bukhari)

*******

Syafawati pulang bercuti di Malaysia selama dua bulan. Khabar itu amat menggembirakan hati Amani! Cuma, dia sedih kerana esok, dia sudah kembali ke bumi universiti tempatan, tempat dia menadah ilmu.

Hari ini, keputusan peperiksaan akhir akan diumumkan secara online. Hati Amani berdebar tak henti-henti. Atmanya tetap melantun doa pada Ilahi. Dia cuba mempersiapkan emosi sebelum melihat keputusannya. Dia tajdid niatnya semula. Ada orang, dia sibuk kejar pointer. Dia study bagai nak rak siang petang malam utk nak dapatkan pointer tinggi. Dia sanggup solat lambat sebab nak fokus pada study. Bila result keluar, pointer dia tak seperti yang dijangka! Dia tak dapat dekan! Dia kecewa dan sedih!

Ada orang, dia kejar ilmu. Dia tahu yang dirinya banyak benda lagi yang belum dia tahu. So, dia usaha untuk ambil, ingat dan praktikkan apa yang dia belajar. Dia belajar kerana Allah. Dia jaga hubungannya dengan Allah dan manusia sebaiknya. Bila result keluar, pointer dia tak berapa nak tinggi, tak mencapai tahap dekan pun. Mungkin, belum ada rezeki lagi. Tapi, dia redha. Dia terima dengan bahagia ketentuanNya. Itu beza antara orang yang belajar kerana Allah dan orang yang belajar kerana pointer semata. Pointer hanya sekadar nombor. Manusia menilai dengan pointer. Tapi, Dia menilai, setakat mana ilmu yang dipraktikkan?

Perlu diingat, asalkan diri rajin mencari dan mahu geledah ilmu, mahu rapat dengan para murabbi dan berkongsi ilmu serta amalkannya, insyaAllah, kita akan jumpa jalan kejayaan.

“Alhamdulillah..terima kasih Allah..” Ucap Amani setelah melihat keputusan peperiksaan akhirnya itu. Walaupun agak menurun sedikit, tapi, dia masih bersyukur kerana masih di tahap yang agak memuaskan hatinya. Dia teringat pesan seorang pensyarah, “Pointer kena jaga. Sekurang-kurangnya, 3 ke atas.”

Petangnya, Amani mengambil kesempatan yang ada untuk meluangkan masa berdua bersama sahabat sejatinya, Syafawati. Mereka berbulatan gembira berdua. Masa yang ada digunakan sebaiknya untuk mengisi lompong di jiwa. Amani banyak tertarik dengan cerita dan tingkah Syafawati. Walaupun Syafawati menyambung pengajiannya dalam bidang Sains dan Teknologi, namun, perwatakannya mengalahkan budak pengajian agama seperti dirinya. Terasa kerdil dengan kejahilan.

Daripada Abu Hurairah r.a, meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w. telah bersabda yang bermaksud, “Islam bermula sebagai sesuatu yang dianggap asing dan ganjil. Dan ia akan kembali sebagaimana permulaannya, dianggap asing dan ganjil. Maka, beruntunglah orang-orang yang ganjil” (Riwayat Muslim)

Amani mahu dan sentiasa berusaha untuk memasukkan dirinya menjadi sebahagian daripada golongan yang dianggap ‘asing’. Ketika ramai orang di sekelilingnya mula menonjolkan aurat masing-masing, tudung disingkat-singkatkan, baju semakin nipis, seluar semakin ketat, kain semakin sendat, fesyen moden semakin dahsyat, tetapi dia masih mahu mengekalkan cara pemakaian Islam yang sebenar, biarpun kadangkala dirinya dipandang sinis. Ketika ramai kawan-kawan menjerumuskan diri dalam cinta duniawi, ber’couple’ sana sini, tidak menjaga ikhtilat dengan lelaki, bergelak dan bermesra dengan teman sehati, menonton wayang bersama pasangan sendiri, bergayut di telefon sehingga lewat malam tanpa arah tujuan, bermanja-manjaan, tetapi Amani masih mahu tetap berpegang dengan pendirian al-Quran dan as-Sunnah. Dia tetap mahu memelihara mukaddimah zina.

Kadang-kadang, Amani  merasa bahawa dirinya sudah semakin jauh daripada Allah. Kadang-kadang, dia merasa, dirinya sudah tidak merasa manisnya beribadah. Dari situ, Amani kembali muhasabah diri. Dia sedar, bila perasaan itu muncul, dia tidak boleh berlengah-lengah untuk kembali pada Allah. Amani sentiasa berusaha untuk sematkan muraqabah iaitu pengawasan daripada Allah selalu dalam hidupnya. Biar dirnya merasa bahawa Allah sentiasa mengawasi dan memerhati tiap tingkah dan geraknya setiap masa, di mana jua, ketika dia sendirian mahupun bersama orang ramai.

“Ihsan itu adalah engkau beribadah kepada Allah seakan-akan engkau melihat-Nya, jika engkau tidak melihat-Nya maka Dia melihat engkau.” (Riwayat Muslim)

Dia menapak untuk meneruskan perjuangan menuntut ilmu dengan niat yang diperbaharui. Segalanya bermula denga niat. Amani mahu niatnya jelas kerana Allah, bukan kerana selain-Nya. Dia tidak mahu anasir-anasir luar kembali menginap di hatinya. Subjek untuk Tahun 2 semakin mencabar. Dia perlu lebih bersungguh-sungguh! Langkahnya masih jauh! Jalan di hadapannya penuh ranjau dan onak liku! Moga Allah beri kekuatan pada dirinya untuk terus istiqamah di atas jalan kebenaran yang diredhai-Nya.

***TAMAT***

 

 

 

RINDU KASIH DI PAGI SYAWAL

Published August 12, 2013 by wana93

Dia memandang jubah berwarna maroon, bersulamkan corak bunga-bunga kecil berwarna pink. Pandangannya biasa sahaja. Tidak ada riak gembira atau teruja hendak memakai dan menggayakannya. Esok merupakan 1 Syawal bagi meraikan kemenangan Ramadan. Ramai yang bahagia dan teruja hendak menggayakan baju baru, kasut baru, telefon baru, kereta baru dan sebagainya lagi. Kalau boleh, semua nak baru! Tapi hati Sofea sebaliknya. Hiba. Pilu. Dia termenung panjang malam itu. Tudung labuh maroon cair belum digosoknya lagi.

“Errmm..jubah ni tak kedut pun. Tak payahlah aku nak gosok. Tudung ni pula, esok sajalah!” Ujar dirinya.

Dia merebahkan diri selepas selesai membaca sedikit isi buku ‘Apa Ertinya Saya Menganut Islam’ karya almarhum seorang ulamak hebat, Fathi Yakan. Dia memejamkan matanya. Bukan mahu lena, sebaliknya, ingin merasai perasaannya yang sedang dibuai rasa rindu teramat sangat pada seseorang. Ingatannya mula memainkan peranan. Memori tiga tahun lepas diimbas kembali.

*******

Bulan itu, bulan yang sangat mulia. Bulan pesta untuk beribadah bagi orang-orang yang beriman kerana ganjaran pahala kebaikan, amal ibadah dan banyak lagi digandakan pada bulan itu. Ramadan. 10 Ramadan masa itu. Sofea baru pulang dari sekolah. Dia pulang agak lewat kerana meluangkan masa bersama sahabat karibnya untuk mengulangkaji pelajaran. Dia sedang berada di zon peperiksaan percubaan Sijil Tinggi Agama Malaysia. Masih berbaki dua subjek lagi.

Tiba di rumah, kakak dan adik-adiknya sedang menunggu kepulangannya. Sofea berasa agak pelik juga. Dilihatnya, kereta Chevrolet tiada. Hanya Myvi yang berada di hadapan rumah.

“Sofea! Cepat! Jom kita pergi hospital!” Seru kakaknya, Safira.

“Hospital? Siapa sakit?” Soal Sofea. Hatinya berdegup kencang.

“Ayah sakit. Mak dah ada dekat hospital dengan nenek kampung. Dah cepat! Jom!” Safira terus meluru ke arah keretanya tanda mahu pergi sebentar lagi. Sofea tidak sempat menukar pakaian sekolahnya. Dibiarkan sahaja asalkan dirinya dapat pergi ke hospital secepat mungkin! Mujur dia sudah solat Asar di sekolah tadi.

“Abah..” Perlahan suara Sofea menyebut perkataan itu.

Setelah abah kritikal selama 2 hari 1 malam di hospital, 10.8.2011, pukul 1 tengahari, abah menghembuskan nafas terakhir dalam keadaan tidak sedarkan diri. 10.8.2011. Tarikh keramat itu telah menemukan abah Sofea dengan Yang Maha Esa. Tarikh itu jugalah hari lahir abah tercintanya. Kali terakhir abah buka mata dan mampu bercakap, ketika pagi. Abah berborak sekejap bersama ibu dan nenek. Masa tu, Sofea dan adik-beradiknya yang lain masih dalam perjalanan ke hospital.

Abah memang penghidap darah tinggi dan kencing manis. Sebelum ini, masih boleh dikawal. Cuma, tahun itu, abah agak kerap ke hospital. Segalanya telah Allah tentukan. Insan yang masih bernyawa perlu teruskan perjuangan. Sofea sedar bahawa dirinya hanya meminjam, Allah pemilik semua nyawa yang ada di muka bumi ini. Bila-bila masa Dia boleh tarik pinjaman-Nya. Dia berhak mengambilnya semula. Sofea sempat mengucup pipi abahnya sebelum jasad yang tidak bernyawa itu dibawa untuk dimandi dan dikebumikan. Manik jernih asyik mengalir. Satu persatu. Seakan tidak mahu berhenti. Waktu itu, sukarnya menjadi seorang yang tabah!

Masa berlalu begitu pantas. Memintas batas waktu. Terasa cepat segala yang berlaku. Seakan tidak percaya. Inilah hakikatnya. Tidak ada seorang anak pun yang mengimpikan gelaran ‘anak yatim’. Bukan senang nak terima kenyataan bahawa dirinya dan adik-beradik yang lain sudah bergelar ‘anak yatim’. Tetapi, dia tidak pernah menyalahkan takdir. Jauh sekali menyalahkan Allah. Ujian Allah adalah tarbiyah untuk diri kita. Dia akui, setiap yang bernyawa pasti akan merasai mati. Sama ada bersedia atau tidak, mati itu sesuatu yang amat pasti. Sofea reda dengan pemergian abah kesayangannya. Itulah abahnya di dunia dan akhirat!

“Tiap-tiap yang berjiwa pasti akan merasai mati…” (Surah Al-Ankabuut : 57)

“Kemudian, sesudah itu, sesungguhnya kamu sekalian benar-benar akan mati. Kemudian, sesungguhnya kamu sekalian akan dibangkitkan (dari kuburmu) di hari kiamat.” (Surah al-mukminun : 15-16)

Berbicara tak semudah nak melakukannya. Sofea masih ingat, 3 hari dia tidak hadirkan diri semasa abah kritikal walaupun ketika itu, dia sedang menduduki peperiksaan percubaan. Dua kertas dia tangguhkan. Dan dia sendiri memang yakin, keputusan peperiksaan percubaan ini, pasti banyak subjek yang ‘down’. Mungkin ada yang gagal. Sofea sudah beritahu ibu akan hal ini. Ibu memahami. Ibu mengharapkan yang terbaik untuk peperiksaan sebenar nanti. Sebenarnya, dia sudah punya target sendiri untuk peperiksaan percubaan ini. Namun, semangatku seakan hilang dan pergi bersama abah. Sofea memang tidak boleh fokus. Hanya air mata menjadi teman setianya.

Daripada Abu Hurairah r.a., Nabi s.a.w. bersabda yang bermaksud : “Apabila seseorang mati, terputuslah daripadanya amalannya melainkan tiga ; sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat dan anak soleh yang berdoa kepadanya.” (Riwayat al-Tirmizi)

Sepanjang malam peperiksaan, fikirannya memang tidak fokus. Walaupun buku di depan mata, namun, fikiran Sofea jauh melayang. Raut wajah abah sering muncul di ingatannya. Nuraninya amat merindui insan bernama abah itu. Sofea mula menyelak saat-saat manis ketika dia bersama abah tercintanya. Walaupun abahnya seorang yang agak garang, namun, dia sebenarnya penyayang. Sofea rindu suara tegas abah yang menegur salah silapnya.

“Janganlah kamu bersikap lemah, dan janganlah (pula) kamu bersedih hati, padahal kamulah orang-orang yang paling tinggi (darjatnya), jika kamu orang-orang yang beriman.” (Surah al-‘imran : 139)

*******

“Sofea!” Ibu menyeru nama anak perempuannya itu. Sofea lekas sedar daripada lamunan rindunya. Dia mengesat pipi yang dirasakan tiba-tiba basah. Mungkin, manik-manik jernih lantaran terkenang memori kasih itu yang mengalir. Dia mengatur langkah ke dapur. Membantu ibu mengisi kuih-muih di dalam balang. Kemudian, mengisi duit raya di dalam sampul raya pula. Barulah Sofea lena tidur setelah tubuhnya terasa penat. Selalunya, sebelum tidur, dia pasti teringat pesan abahnya. Abahnya sering menemani Sofea tidur semasa kecil kerana Sofea seorang yang agak takut bila kegelapan menyelubungi dirinya. Abah kesayangannya suka mengingatkan, “Asyik nak berteman saja! Nanti dalam kubur, kita seorang diri juga..”

1000136_541405672561375_1737213877_n

1 Syawal 2013. Takbir bergema kuat sekali. Meriah seruan yang mengagungkan Tuhan Yang Maha Agung. Syukur, dirinya masih diberi peluang untuk meraikan hari bahagia bersama keluarga dan sanak-saudara tercinta. Walau tahun ini merupakan tahun ketiga beraya tanpa abah di sisi, Sofea tetap rasa hening di Syawal ini.  Entahlah. Perasaannya tak menentu. Sukar untuk dimengerti. Sungguh! Dia rindu akan kasih abah tercintanya di pagi Syawal. Hanya ungkapan doa yang mampu Sofea pos pada abahnya.

Sofea sudah pun bersiap. Dia lengkap berjubah, digandingkan pula dengan tudung labuh bersama stoking dan juga handsock hitam. Usai menunaikan solat sunat hari raya, Sofea dan keluarga berkumpul di ruang tamu untuk bersalaman dan bermaafan. Sofea teringat memori dia bersalam dan memohon maaf pada abah tercinta. Rindu! Kemudian, mereka berkumpul pula bersama sanak-saudara bagi melaksanakan majlis tahlil bersama mereka. Bermacam ragam ada. Baju raya pula beraneka warna. Suasana berubah ceria dengan semarak warna-warni.

Sofea berusaha untuk menjaga batas pergaulan bersama sanak-saudaranya. Mana yang mahram, dia salami. Mana yang bukan mahram, dia cuba jauhi untuk mengelakkan diri ‘ter’salam apabila mereka menghulurkan tangan. Kadang-kadang, ada yang tak tahu dan tak mahu ambil tahu, tangannya dihulur sesuka hati. Tangannya mahu menyalami semua orang. Itu yang sepatutnya perlu ditekankan. Syawal ini dimulakan dengan ketaatan dan perkara yang meraih redha-Nya, bukan kemungkaran yang bakal mengundang murka-Nya. Dia sering mengingatkan diri dan adik-adiknya akan hal yang sangat penting ini.

Setelah selesai semuanya, barulah dia dan keluarga tercintanya bertolak ke kampung halaman di Sekincan, rumah neneknya, ibu kepada arwah abah kesayangannya. Seronok bila berjumpa dengan nenek dan sepupu-sepupu kesayangannya, lebih-lebih lagi, Mizah. Sofea sempat bergambar berdua bersama sepupu kesayangannya itu. Mereka memang rapat. Ada saja cerita yang mahu dikongsi bila bersua muka. Nenek Sofea pula tak berapa sihat, masih dalam kondisi perlukan rehat.

“Selamat Hari Raya nenek. Minta maaf zahir dan batin ya. Kalau nenek dah sihat sepenuhnya nanti, datanglah duduk dekat rumah kitorang pula.” Sofea mencium tangan dan memeluk neneknya itu. Nenek hanya mengangguk sambil cuba tersenyum.

Mereka sekeluarga bertolak pulang ke rumah pada malam itu juga. Sebelum pulang, Sofea sempat bermain mercun bersama adik-adik dan beberapa orang sepupunya. Seronok juga sekali-sekala dapat main ramai-ramai. Bibir mengukir senyuman, semua rasa bahagia. Diri juga akan tempias merasai rasa bahagia itu. Walau dalam hati, hanya Allah yang ketahui. Terkenang abah bila melihat mereka bergambar dan bergurau senda bersama abah tercinta. Muncul hiba. Apa pun, dia perlu hargai insan tercinta yang masih ada di sisinya- ibu, adik beradik dan sanak saudara serta sahabat-sahabatnya. Untuk mereka, maka tersenyumlah! Buktikan sayang pada mereka dengan tingkah, bukan dengan kata semata-mata. InsyaAllah, akan Sofea usahakan yang terbaik!

Syawal ini, raikanlah kemenangan Ramadan dengan cara yang sederhana tanpa menanggalkan peribadi Rabbani dalam diri. Jaga iman di hati dan semaikan akhlak mulia dalam diri. Moga redha Allah menjadi matlamat diri hingga ke mati.

***TAMAT***

JALAN PULANG

Published June 18, 2013 by wana93

71810_426492617430234_1077642302_n

Aku menjenguk di balik tirai jendela rumah. Hujan lebat sedang membasahi bumi ciptaan Ilahi. Bibirku mengukir senyum. Hujan ini adalah rahmat dan kasih sayang-Nya kepada penduduk bumi yang terdiri daripada manusia, haiwan dan tumbuhan. Sudah sebulan hujan tidak menjengah. Tanah kelihatan gersang. Haiwan pula seakan lemah tak bertenaga. Tumbuhan juga kelihatan suram tak bermaya. Kini, yang dinanti sudah pun tiba. Syukur pada-Nya tidak terkata.

Cuti selama 2 bulan yang sedang aku lalui ini terasa sekejap cuma. Hari-hariku dipenuhi dengan aktiviti yang bermanfaat untuk bekalan hidupku seperti belajar memasak dan menjahit. Aku juga cuba melapangkan waktu untuk mendengar ceramah-ceramah ilmu di masjid. Usrah bersama teman-temanku tidak pernah aku abaikan. Betapa usrah penting untuk mengisi jiwaku. Usrah merupakan medium untuk aku dan sahabat-sahabatku berkongsi rasa, meluah bicara dan bersama menyelesaikan gundah di dada. Usrah juga membawa ahli-ahlinya lebih mendekati dan mengenali Pencipta diri. Semuanya kerana Dia Yang Maha Esa.

KRING! KRING!

Telefon rumah berdering. Ibu menjawab panggilan itu. Aku sedang leka merenung kebesaran Ilahi di balik tirai.

“Ayu Sofea! Panggilan untuk kamu!” Ibu melaung menyeru namaku. Aku tersentak! Aku bergegas mendapatkan telefon rumah.

“Assalamualaikum.” Aku memulakan bicara.

“Waalaikumussalam. Ayu? Kenal saya lagi tak?” Suara yang bergema tersekat-sekat. Mungkin, sedang menahan sebak yang melanda atmanya.

Aku diam sebentar. Cuba mengimbas seketika milik siapakah suara sayu itu? Telinganya seakan pernah mendengar suara itu. Tapi, suatu ketika dahulu, di bangku sekolah menengah.

“Err.. Maya ke ni?” Aku cuba meneka setelah yakin.

“Ya! Saya nak jumpa awak boleh?” Suara Maya makin sayu. Tangisannya mula kedengaran.

Insya-Allah. Kita jumpa di masjid selepas solat Zohor nanti ya?” Aku mencadangkan tempat pertemuan.

Maya terus meletak gagang telefon. Pelik mula menyelubungi diriku. Hatiku mula rasa sesuatu. Tidak enak. Memoriku terkenang berita angin yang pernahku dengar, setahun yang lalu. Ramai sahabat yang memulaukan Maya dek kerana dosanya yang terlalu besar. Maya dibuang universiti kerana ditangkap pihak berkuasa semasa sedang memadu asmara dengan kekasih hati yang tidak halal untuknya. Aku tidak tahu sejauh manakah kebenaran berita angin itu. Pelbagai versi cerita yang ku dengar.

*******

Usai solat berjemaah Zohor di masjid, aku duduk sendirian. Mataku melilau mencari kelibat Maya. Masih belum kelihatan. Aku membuka terjemahan Al-Quran. Surah Luqman menjadi pilihanku.

Bismillahirrahmanirrahim…” Baru saja aku hendak memulakan bacaan, bahuku dicuit seseorang. Aku memalingkan wajahku.

“Maya?” Bibirku cuba mengukir senyuman walau hatiku sedang bercelaru memikirkan apa yang bakal terjadi selepas ini.

“Ayu! Tolong saya!” Tubuh lesu Maya memeluk diriku. Air mata hibanya tiba-tiba membasahi pipiku. Hatiku mengungkap nama-Nya berkali-kali.

“Kenapa ni Maya? Istighfar banyak-banyak dulu ya.” Aku mengusap belakangnya. Saat ini, sahabatku memerlukan perhatian kasih bukan simpati tak bertepi.

Maya duduk berhadapan denganku. Tangisannya kelihatan sudah semakin reda. Wajahnya agak pucat. Aku berusaha semampu mungkin untuk terus tersenyum dan menatap matanya. Aku ingin mendengar cerita kebenaran daripada tulus hatinya.

“Saya dah tak suci! Saya kotor! Semua orang benci saya!” Luah Maya sambil wajahnya ditundukkan. Dia berasa hina dan malu dengan pengakuannya. Aku agak terpempan dengan kebenaran itu. Ternyata, khabar angin yang pernahku dengar adalah benar belaka! Aku menarik nafas sedalam mungkin. Aku cuba tenangkan jiwaku. Boleh saja aku mahu memarahinya! Boleh saja aku tidak menghiraukannya! Tapi, itu bukan caraku.

“Maya, walau seluruh dunia membenci awak, ingatlah, kita ada Allah. Allah amat sayang akan hamba-Nya.” Aku cuba menyuntik semangat ke dalam tubuhnya.

“Walaupun saya dah buat dosa besar?” Soal Maya bersungguh-sungguh. Matanya menatap mataku.

“Maya, keampunan-Nya melebihi kemurkaan-Nya. Bukankah hari ini awak masih hidup? Bukankah sekarang awak masih boleh bernafas? Itu tandanya bahawa Allah masih sayangkan awak. Belum terlambat untuk awak bertaubat. Taubatlah dengan sebenar-benar taubat. Dia suka akan hamba-Nya yang suka bertaubat.” Ada manik-manik jernih yang menitis di pipiku. Aku menyelak helaian terjemahan Al-Quran yang masih kemas ku pegang. Aku mencari Surah Ali-‘Imran ayat 135 dan 136. Aku mengalunkan bacaan dua ayat pendek itu.

“Maknanya?” Maya ingin tahu terjemahan ayat tersebut.

Dan (juga) orang-orang yang apabila mengerjakan perbuatan keji atau menganiaya diri sendiri, mereka ingat akan Allah, lalu memohon ampun terhadap dosa-dosa mereka dan siapa lagi yang dapat mengampuni dosa selain daripada Allah? Dan mereka tidak meneruskan perbuatan kejinya itu, sedang mereka mengetahui.

Mereka itu balasannya ialah keampunan daripada Tuhan mereka dan Surga yang di dalamnya mengalir sungai-sungai, sedang mereka kekal di dalamnya; dan itulah sebaik-baik pahala orang-orang yang beramal.” Aku mengakhiri terjemahan dengan sekuntum senyuman.

Tangisan Maya kembali kedengaran. Azan solat ‘Asar juga mula berkumandang.

“Maya, jom kita solat dulu. Lepas ni, kita sambung bercerita lagi.” Aku mengajaknya untuk mengahadap Allah Yang Maha Esa.

“Err…saya dah lama tak solat! Saya dah lupa bacaannya! Saya malu dengan awak!” Tutur Maya.

“Awak tak perlu rasa malu dengan saya. Tapi, malulah dengan Allah. Nanti saya ajar awak solat semula ya.” Aku mengenyitkan mata sambil tersenyum dan meneruskan langkahku ke tempat wudhuk.

*******

             “Ayu, terima kasih untuk hari ini. Terima kasih sebab awak sudi luangkan masa mendengar kisah kejahilan saya dan sudi mengajar saya solat.” Maya tersenyum. Wajahnya masih tampak pucat.

“Terima kasih juga pada awak sebab sudi ajak saya. Paling penting, kita patut berterima kasih pada Allah sebab Dia yang menggerakkan hati kita untuk bertemu hari ini.” Aku bersalaman dan memeluk tubuhnya. Air mata Maya mengalir laju dalam dakapanku.

“Ayu, awak ada masa free lagi tak minggu ni?”

Insya-Allah ada. Saya cuti 2 bulan.”

“Boleh tak awak temankan saya minggu ni? Tidur di rumah sewa saya. Saya nak minta tolong awak ajarkan saya solat, baca Al-Quran dan banyak lagi. Itu pun kalau awak sudi.”

Insya-Allah. Nanti saya beritahu ibu bapa saya. Saya sentiasa sudi nak tolong kawan sendiri.”

“Okey, saya balik dulu. Jumpa lagi ya kalau tak mati.” Maya terus berjalan laju tanpa menolehku lagi. Aku terpaku seketika. Maya mengingatkan aku akan kematian. Gulp!

Sampai saja di muka pintu rumah, aku mencari kelibat abah dan ibuku. Jumpa! Mereka sedang berborak di dapur. Aku menceritakan segalanya pada kedua-dua insan kesayanganku itu. Mereka memberi respon positif. Mereka membenarkan aku menemani dan mengajar Maya.

“Baguslah dia cari Ayu. Kalau dia cari orang lelaki, lagi bahaya!” Kata abah.

“Bantulah dia sementara Ayu tengah bercuti ni. Ayu tak kisah kan?” Soal ibu.

“Ayu lagi bahagia sebab abah dan ibu benarkan! Terima kasih! Okey, Ayu nak pergi kemas apa yang patut dulu ya! Esok, Ayu minta tolong adik hantar Ayu dekat rumah Maya.” Hatiku riang tak terkata. Harapanku hanya satu. Ingin bawa Maya kembali dalam dakapan Allah!

*******

            “Sedaplah awak masak!” Aku memuji masakan Maya. Siakap tiga rasa dihidangkannya untuk meraikan kedatanganku.

“Biasa sajalah.” Maya hanya tersenyum.

“Serius! Saya cakap betul ni. Sedap! Maklumlah, saya ni bukannya reti sangat nak masak sedap-sedap macam ni.” Aku tersengih.

“Tak apa, awak ada banyak masa lagi. Awak boleh belajar masak dengan mak awak. Awak ada agama. Awak jaga maruah diri dengan baik dan sempurna. Itu yang saya cemburu dengan awak.” Maya merenungku.

“Maya, sama-samalah kita jaga maruah diri sendiri dengan baik hanya kerana-Nya.” Aku hanya mampu tersenyum.

“Saya dah tak ada maruah.” Maya memandang ke lantai. Manik jernih menitis lagi. Aku hanya membisu. Sepi.

“Oh ya, nanti kita solat Zohor berjemaah ya. Awak jadi imam. Lepas tu, awak ajar saya mengaji. Boleh?” Maya bertanya padaku. Dia menyeka air matanya. Aku hanya tersenyum dan mengangguk tanda setuju.

Hari ini, Maya sudah semakin lancar menghafaz bacaan dalam solat. Kini, dia sedang berusaha melancarkan bacaan Al-Quran.

“Ayu, boleh saya tanya sesuatu?”

Aku mengangguk.

“Kenapa awak tak benci saya macam kawan-kawan lain? Adakah kerana awak rasa simpati dengan nasib saya?”

“Tak. Saya langsung tak ada rasa simpati dengan awak. Tapi, sebab saya sayang kawan saya. Kalau kita sayang seseorang, kita mestilah nak bawa dia masuk Syurga kan? Jadi, itu yang sedang saya usahakan. Saya nak kita semua dapat rasa Syurga-Nya. Insya-Allah.”

Maya sebak dengan pengakuan jujurku.

“Tapi, saya orang berdosa. Awak pula, terlalu baik. Saya sepatutnya tak layak jadi kawan awak.” Maya cuba merendahkan martabat dirinya sendiri.

“Kita tak berhak melabelkan seseorang. Saya tak berhak nak melabel sesiapa sebagai orang berdosa. Saya juga tak berhak nak melabel diri sendiri sebagai seorang yang sempurna tanpa dosa. Saya juga manusia. Manusia sememangnya tidak sempurna dan serba berdosa. Sebab itu, taubat amat penting dalam kehidupan kita. Sebelum tidur malam, saya suka memaafkan semua orang. Saya juga gemar melaksanakan solat sunat taubat dua rakaat. Kerana apa? Kerana saya tak boleh jamin esok masih ada untuk saya. Esok mungkin ada, tapi, saya mungkin sudah tiada.” Aku cuba memberi penerangan padanya. Aku tak mahu Maya terus memperkecilkan dirinya.

“Awak tak benci walaupun saya pernah buat sesuatu yang bertentangan dengan agama?” Maya terus mengujiku dengan soalan.

“Percayalah! Saya tak benci awak. Saya hanya benci dosa yang telah awak terlanjur lakukan. Semua orang melakukan dosa. Semua orang juga berhak bertaubat pada-Nya.” Terangku lagi. Memang benar bahawa aku benci akan dosa, tapi bukan pendosa! Kerana aku juga pendosa. Tetapi, harapan selalu ada! Kerana Allah Maha Mendengar segalanya. Jadi, gantunglah setinggi-tinggi harapan hanya pada-Nya. Kelak, diri takkan kecewa!

“Ayu, terima kasih tau! Saya sayang awak!”

“Saya pun sayang awak kerana Allah. Ingat pesan saya. Apabila iman kita semakin tenat, jangan biarkan ia terus melarat dalam maksiat. Segera pulihkan ia dengan taubat agar hubungan dengan Yang Maha Esa kembali rapat.” Aku dan Maya saling berpelukan.

*******

Usai solat ‘Isyak pada malam itu, aku dan Maya meluangkan masa di ruang tamu. Maya mahu meluahkan bicaranya padaku. Aku sentiasa sudi menjadi pendengarnya yang setia. Moga Allah terima taubat Maya yang tampak semakin bersungguh-sungguh.

“Ayu, boleh tak awak temankan saya esok?”

“Pergi mana?”

“Saya nak jumpa mak saya. Dah lama saya tak jumpa dia. Saya berdosa sangat dengan dia. Saya tak nak jadi anak derhaka. Nanti susah nak hembus nafas terakhir saya.”

“Maya, tak baik cakap macam tu. Boleh. Esok kita pergi jumpa mak awak ya.”

“Ayu, awak tak nak tahu ke apa sebenarnya yang dah berlaku pada saya?”

Aku terdiam sebentar. Jauh di sudut hati, aku teringin tahu! Cuma, aku belum ada keberanian untuk bertanya. Aku hanya mengangguk tanda mahu tahu!

“Setahun yang lalu, saya dibuang universiti sebab saya ditangkap sedang melakukan sesuatu dengan seorang pelajar lelaki. Tapi masa tu, saya diperangkap. Bukan atas kemahuan saya! Sejak itu, ibu menghalau saya! Kawan-kawan semua memulaukan saya! Saya bingung dan tak tahu nak pergi ke mana lagi. Satu malam, saya terserempak dengan seorang lelaki. Mukanya kelihatan baik. Dia cuba mengambil berat terhadap saya. Dia bagi saya tinggal di hotel secara percuma. Tanpa fikir panjang, saya pun setuju. Selepas seminggu saya selesa hidup di hotel itu, dia meminta sesuatu sebagai bayaran. Katanya, dia sudah bankrup!

Saya memang tidak punya duit waktu itu. Dia cuba meragut maruah saya sebagai ganti. Dia berjaya! Seharian saya menangis! Hingga saya pengsan dan dibawa ke hospital. Doktor mengesahkan bahawa saya sudah tidak suci! Saya dirogol! Sejak itu, hidup saya jadi kelam dan gelap. Saya langsung tak fikir untuk minta tolong dengan Allah. Saya hidup seakan dunia ini milik saya! Saya hidup dengan seorang kenalan lelaki yang saya anggap kawan. Dia mahu saya jadi isterinya. Saya bahagia! Saya bakal bernikah! Saya sering keluar makan bersamanya. Kami selalu berpegangan tangan dan berpeluk mesra sebelum balik ke rumah sewa masing-masing. Saya bekerja di kedai runcit sahaja. Dia bekerja sebagai kerani. Kami selalu bersikap ‘ringan-ringan’ apabila keluar berdua.

Suatu hari, dia minta saya datang ke rumahnya. Katanya, tidak sihat. Dia ingin saya menjaganya. Saya akur dengan permintaannya kerana saat itu, dialah kekasih hati saya! Kami tidur serumah tapi tidak sekatil! Lama-kelamaan, kami selesa tinggal serumah. Saya suruh dia cepat-cepat nikahi saya. Tapi, katanya, duit belum cukup. Dia selalu bermain kata dengan saya. Kata-kata cintanya mampu mencairkan hati saya. Tangannya sering melekat di tubuh saya! Kami kecundang jua! Katanya, tak apa, saya dan dia bakal berkahwin juga nanti.” Maya menangis semahunya. Betapa sadisnya kisah pahit itu. Aku tak mampu berbicara. Aku hanya mampu menadah telinga, mendengar luahan hatinya. Jiwaku meraung sambil beristighfar berkali-kali!

“Saya malu sebab saya dah cemarkan imej Islam itu sendiri. Saya bertudung tetapi bermaksiat! Doktor mengesahkan saya hamil. Saya beritahu lelaki itu. Dia kata, itu bukan anaknya sebab saya dah dinodai lebih daripada seorang lelaki! Dia mula membenci saya! Dia tinggalkan saya! Dia langsung tak mahu bertanggungjawab! Apabila habis madu, sepah dibuang! Semasa berjalan di tangga, saya terlanggar sesuatu dan jatuh pengsan. Kandungan saya gugur! Saya menangis dan terus menangis di hospital. Sampailah saya jumpa seseorang yang menemukan saya dengan awak, Ayu.”

Aku mengerutkan dahi. Mindaku tertanya-tanya. Siapakah?

“Awak tak beritahu saya pun yang awak sudah bertunang. Tahniah!” Maya menyeka air matanya sambil memegang pipiku. Aku termangu.

“Err…Harith?” Tanyaku.

“Ya. Saya minta tolong dia. Tapi, dia suruh saya minta tolong dengan kawan sejantina. Harith yang bagi saya nombor telefon rumah awak. Dia lelaki yang sangat baik. Bertuah awak dapat dia. Semoga awak dengan dia disatukan.” Maya memegang erat tanganku. Aku pula yang terharu.

Insya-Allah..” Aku tak tahu mahu berkata apa lagi.

“Tapi, sejak saya dengan awak, saya belum pernah nampak lagi Harith jumpa awak. Awak tak ada keluar dengan dia ke?” Maya hairan.

“Keluar dengan dia? Berdua? Oh tidak dan takkan! Bertunang bukanlah lesen untuk menghalalkan yang haram. Saya takkan sesekali mengikut bisikan nafsu dan syaitan. Selagi belum akad, selagi itu saya dan dia menjaga batas. Untuk pengetahuan awak, kami dah lama tak berjumpa dan tak dengar khabar. Awak cerita ni, baru saya tahu.” Aku tersengih saja. Ada satu rasa yang tiba-tiba muncul di kalbu.

“Betul apa yang Allah kata. Lelaki yang baik untuk perempuan yang baik. [Surah Nur : 26]” Maya masih ingat akan ayat Allah yang satu itu. Alhamdulillah!

*******

            “Dah siap? Jom!” Berkobar-kobar semangatku ingin menemani Maya bertemu bondanya.

“Err.. Ayu, boleh tak saya nak pinjam tudung labuh awak? Ada lebih tak?” Maya tersenyum ceria. Namun, wajahnya masih kelihatan pucat. Penat agaknya.

“Ada! Ambillah yang dah gosok di atas kerusi tu!” Aku bahagia dengan permintaan Maya.

Aku dan Maya menaiki teksi. Perjalanan hanya 30 minit dari rumah sewa Maya.

“Assalamualaikum. Mak….” Maya menghulur ucapan salamnya.

“Waalaikumussalam….” Wanita berusia 60-an keluar menampakkan wajahnya. Matanya dibulatkan! Mungkin, terkejut dengan kedatangan anak perempuannya yang sudah lama menghilang.

“Maya??” Wanita itu bernada sayu. Maya hanya menundukkan wajah. Dia berasa malu dan berdosa yang amat dengan ibunya.

Wanita itu berjalan laju dan terus mendakap anaknya! Sungguh tak sangka! Allah Maha Penyayang!

“Mak! Maya minta maaf! Maya sayang mak! Maya rindu mak! Maafkan Maya!” Maya merayu dalam dakapan erat ibunya itu. Air matanya terus mencurah-curah! Dua beranak kembali bersatu. Apabila Allah berkehendakkan pertemuan itu, maka, Kun Fayakun-Nya berkuasa mempertemukan mereka! Itulah kuasa doa yang tulus yang dipohon oleh Maya sejak dia mula mengenal cinta-Nya.

“Maya!” Ibunya menjerit kuat. Maya pengsan! Aku segera mendapatkan dua beranak itu. Mata Maya terbuka namun tenaganya tampak lemah tak berdaya.

“Ayu, terima kasih untuk segalanya. Doakan saya ya! Mak, maafkan Maya. Mak doakan Maya ya.” Suara Maya semakin perlahan.

“Ayu, mak, Maya tengah sakit. Mak, ampunkan Maya….” Ibu Maya hanya mengangguk tanda dirinya sudah memaafkan Maya. Aku kelu seribu bahasa.

Laa Ilaha Illallah….” Lafaz terakhir itu muncul dari bibir Maya. Matanya terus dipejamkan. Aku jadi kelam-kabut tak menentu. Jiran sebelah rumah ibunya datang membantu. Dia merasa urat nadi milik Maya.

Inna Lillahi Wa Inna Ilahi Roji’un….” Kalimah itu muncul jua di bibir insan-insan yang sedang mengelilingi Maya. Air mataku deras mengalir. Namun, jauh di lubuk hatiku, terbit sekelumit rasa bahagia untuknya kerana dia berjaya melafazkan kalimah suci syahadah!

*******

Jenazah Maya selesai dimandikan oleh aku dan ibunya. Allah Maha Besar! Tidak ada sebarang masalah atau kesulitan sepanjang menguruskan jenazah Maya. Malah, ramai yang membantu sepanjang urusan pengkebumian itu. Mungkin, itu petanda bahawa Allah sudah mengampuni dosa-dosa silamnya.

Doa untuk Maya, terus aku kirimkan. Memoriku kembali mengenang kata-kata Maya.

“Saya takut dan bimbang andai malaikat maut menyapa diri ini saat saya masih belum memulakan langkah taubat. Sebab itu, saya cari awak. Saya betul-betul nak selesaikan semuanya dalam minggu ini juga!”

Rupa-rupanya, Maya menghidap penyakit kronik HIV. Doktor kata, itu kesan yang diperolehnya hasil daripada hubungan yang tidak sihat seperti bertukar-tukar pasangan yang tidak diketahui status kesihatan mereka. Maya juga sering batuk-batuk dan kurang selera makan hingga berat badannya susut dengan ketara.

Kisah Maya memberi aku banyak pengajaran. Maya mampu bernafas hingga umurnya dua dekad sahaja. Itu aturan-Nya. Aku dan Maya sebaya namun takdir kami berbeza. Semester 3 bakal aku tempuhi bulan hadapan. Aku meneruskan langkah hidupku berteraskan Islam yang suci dan tinggi. Hidup ini takkan bahagia dan sempurna andai diri mengabaikan agama Islam itu sendiri. Al-Quran dan Sunnah terus terpasak di jiwaku! Dulu, kini dan selamanya!

            Ya Allah, moga Engkau rahmati dan redha ke atas Maya. Moga Engkau menerima taubatnya.

***TAMAT***

AKU CINTA PADAMU…

Published January 24, 2013 by wana93

Hari ini, air mataku mengalir hebat. Sederas air terjun di Niagara. Usai pulang ke kuliah, aku terus merebahkan diri ke atas katil. Aku cuba memejamkan mata yang tidak mahu lena. Makin ku pejam, makin laju air mataku membasahi bumi. Aku tersangatlah lemah pada waktu ini! Jiwaku meraung kesakitan! Perit yang ku rasa, hanya Allah yang dapat memahami.

Azan Asar telah berkumandang. Aku bergegas untuk bangun dan menghadap-Nya. Aku mahu mengadu pada-Nya. Aku mahu luahkan isi hatiku pada-Nya. Agar aku berasa sedikit lega.

Ya Allah, hanya pada-Mu hamba luahkan segala perasaan, segala duka yang melanda jiwa, segala sengsara yang mendiami jiwaku. Ya Allah, aku takkan mampu bina sebuah kekuatan dan ketabahan melainkan dengan bantuan-Mu. Aku takkan mampu tenang melainkan dengan mengingati-Mu. Ya Allah, leraikan resah gelisah di hatiku, hapuskan duka sengsara di jiwaku. Beri aku kekuatan dan ketabahan yang tinggi untuk menempuh alam yang fana’ ini.

Aku meluangkan masa membaca dan memahami ayat-ayat cinta-Nya. Aku berselawat pada Baginda Rasulullah s.a.w. beberapa kali. Air mataku mengalir lagi. Sungguh! Penangan cinta dan rinduku pada Baginda S.A.W. mampu menitiskan manik-manik jernih ini.

Aku teringat perbualan antara aku dan seorang sahabat. Kami baru sahaja selesai solat berjemaah ‘Isyak di masjid. Aku meluahkan yang aku ini kadang-kadang, terbit rasa rindu pada calon suamiku. Si dia yang aku tak tahu siapa, tapi, aku yakin dia tercipta untukku. Allah dah sediakan ‘dia’ untukku. Sahabatku berasa hairan dan pelik dengan kenyataanku. Dia kata, “Itu semua tak logik! Pelik!”

Lalu aku membalas dengan hujahku, “Bila kita tanya orang, apakah kita rindu akan Nabi Muhammad S.A.W.?  Ya!  Jawapannya mestilah rindu! Pernahkah kita terfikir bahawa kita juga sebenarnya sedang mencintai dan merindui seorang insan yang kita tak pernah jumpa dan tak pernah dengar kelibat suaranya. Adakah itu pelik? Adakah itu tidak logik?”

Sahabatku hanya diam mendengar penjelasanku. Dia mengangguk tanda setuju. Aku meneruskan bicara, “Tahu tak, betapa Nabi S.A.W. amat rindu dan amat sayang akan umat yang tak pernah lihat wajah Baginda dan tak pernah dengar suara Baginda, tetapi, umat itu mentaati Baginda S.A.W. Itulah kita! Jadi, tak ada istilah pelik atau tak logik bila terbit rindu di hati kita untuk seseorang yang kita tak pernah jumpa dan tak pernah dengar sayup suaranya.”

Adalah lebih baik menangis dan menitiskan air mata cinta kerana merindui Rasulullah S.A.W. daripada menangis kerana putus cinta!  Remaja sekarang lebih selesa untuk saling ber’couple’ dan ber’dating’ serta saling merindui sesama mereka dengan menggunakan medium SMS, bergayut di telefon dan keluar berdua-duaan! Tapi tidak aku! Aku ingin buktikan cinta aku pada Allah dan Rasul dengan tingkah ketaatan, bukan sekadar berkata-kata dan terus tenggelam dalam kemaksiatan!

“Wahai Rasulullah s.a.w., adakah manusia yang lebih baik daripada kami? (sedangkan) kami Islam bersama-sama kamu dan kami berjihad bersama-sama kamu.” Jawab Baginda s.a.w. : “Ya (ada) iaitu kaum yang berada selepas kamu, mereka beriman denganku, sedangkan mereka tidak pernah melihatku.” (Riwayat Ahmad, Ibn ‘Atsir, al-Thabrani dan lain-lain)

Aku menyeka air mataku yang masih berbaki. Aku cuba ingin membina semangatku kembali. Aku beristighfar berkali-kali. Lantunan selawat pada Baginda S.A.W. tidak aku abaikan. Aku teringat satu kisah yang sememangnya membuatkan aku semakin cinta akan Baginda S.A.W.

Sewaktu membuat persiapan Perang Ahzab, Rasulullah S.A.W. turut bersama-sama dengan para sahabat, memerah keringat menggali parit untuk membina tugu pertahanan. Baginda turut memunggah tanah dan batu-batu yang berat, menyebabkan seluruh fizikal merasai sakit, terasa pedih hingga ke pangkal hati. Untuk mengurangkan kepedihan akibat rasa lapar, Baginda mengambil beberapa ketul batu, kemudian dibalut dengan kain dan mengikat ketat pada perutnya. Baginda berbuat begitu selain untuk mengurangkan rasa lapar, juga untuk mengelakkan daripada kecederaan akibat bekerja berat dalam keadaan perut kosong.

Terdapat pula cerita yang diriwayatkan Imam Ahmad dan Thabrani,  bahawa pada suatu hari, Fatimah memberikan sekeping roti kepada ayahnya, Muhammad S.A.W. Nabi mengambil dan berkata : “Ini adalah makanan pertama yang dimakan oleh ayahmu sejak tiga hari yang lalu.”

Bayangkan! Rasulullah tiga hari tak makan!

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Al-Bukhari, daripada Umar Al-Khattab, katanya : Pada suatu hari, saya masuk menemui Rasulullah S.A.W. di rumahnya, baginda sedang berbaring di atas pasir. Baginda tidak menggunakan sebarang alas untuk mengalaskan antara tubuhnya dengan pasir. Kesan-kesan pasir jelas kelihatan di bahagian rusuknya.

Begitulah Rasulullah S.A.W. Bukan baginda tidak mampu. Kalau Baginda mahu, bukan Baginda tidak mampu untuk mengadakan lantai yang beralas atau membina rumah yang besar dan mewah. Sekalipun Baginda mampu mengadakan semua itu, kalaulah itu yang Baginda pilih. Tetapi, Baginda tidak memilih yang itu!

Betapa zuhudnya Baginda S.A.W. Membaca sirah Rasulullah S.A.W. dan para sahabat berulangkali dari pelbagai sudut, membuatkan aku merasai perbezaan corak hidup mereka yang ketara itu dengan kondisi masa kini.

Tentulah ini bukan cerita tentang kedhoifan. Nabi Muhammad S.A.W. mempunyai segala peluang untuk menjadi orang terkaya di zaman itu, sekiranya Baginda memilih untuk menjadi kaya.

Baginda sendiri sejak muda telah terkenal dengan bakat berniaganya, sehingga tokoh korporat pada zaman itu, Siti Khadijah, mengamanahkan perniagaannya kepada Baginda S.A.W.

Aku ini seringkali kekenyangan, seringkali diberi kemewahan. Tetapi, aku juga seringkali merungut, itu tak sedap, itu tak kena dan macam-macam. Aku selalu merungut, tilam ni keras, simen ni panas dan lain-lain lagi. Nabi S.A.W. pula??

Akhirnya Rasulullah mengangkat jubahnya. Para sahabat amat terkejut. Perut Baginda yang kempis, kelihatan dililiti sehelai kain yang berisi batu kerikil, buat untuk menahan rasa lapar Baginda. Batu-batu kecil itulah yang menimbulkan bunyi-bunyi halus setiap kali bergeraknya tubuh Baginda.

“Ya Rasulullah! Adakah bila tuan menyatakan lapar dan tidak punya makanan kami tidak akan mendapatkannya buat tuan?”

Lalu Baginda menjawab dengan lembut, “Tidak para sahabatku. Aku tahu, apa pun akan engkau korbankan demi Rasulmu. Tetapi apakah akan aku jawab di hadapan ALLAH nanti, apabila aku sebagai pemimpin menjadi beban kepada umatnya?”

“Biarlah kelaparan ini sebagai hadiah ALLAH buatku, agar umatku kelak tidak ada yang kelaparan di dunia ini lebih-lebih lagi tiada yang kelaparan di Akhirat kelak.”

Subhanallah! Hebatnya pengorbanan dan kasih sayang yang ada pada Baginda S.A.W. untuk kita. Bagaimana pula kasih sayang kita terhadap Rasulullah S.A.W. ?

Semangatku seakan pulih dengan muhasabah cinta daripada kisah-kisah Murabbiku, Rasulullah S.A.W. Bila engkau terluka dan kecewa, maka, ingatlah diri bahawa Nabi yang kau cintai lebih banyak mengalami luka dan derita dalam dakwahnya. Bila engkau disisih dan dipinggirkan, maka, ingatlah diri bahawa Rasul tercinta kita pernah merasai bagaimana peritnya hidup apabila dipulaukan insan sekeliling. Namun, Baginda S.A.W. tetap tegar berdiri di atas jalan kebenaran. Utusan Allah itu tetap menyeru dengan kesabaran. Siapa yang bagi kekuatan? Pastilah Allah! Sesungguhnya Allah sentiasa bersamamu!

Aku sentiasa mengharapkan pertemuan dengan Rasul utusan Allah itu. Aku cuba lazimkan selawat agar kelak, selawat itu bakal menjadi saksi untuk aku dapatkan syafaat Nabi kecintaanku. Teruskan melangkah! Bismillah! La tahzan wahai diri!

582257_454167351303084_2077009523_n

Lestarikan cinta kita pada Baginda s.a.w. dengan mengamalkan sunnah-sunnah Baginda s.a.w. Aplikasikan rindu pada Rasul tercinta dengan lisan yang gemar berselawat pada Baginda s.a.w. Buktikan kasih kita pada Baginda s.a.w. dengan bersungguh-sunggguh dalam menuntut ilmu.

Moga-moga, itu tanda cinta!

BIDADARI LINDUNGAN ILAHI

Published January 14, 2013 by wana93

“Assalamualaikum ustazah! Comel ustazah hari ni.” Sapa si kecil yang berusia 9 tahun itu. Hadi namanya. Dia gemar mengusik guru baru itu. Guru itu hanya tersenyum sambil menggelengkan kepalanya. Hatinya terhibur dengan usikan manja anak didiknya itu.

“Waalaikumussalam Hadi. Seorang saja ke? Adam mana?” Tanya guru yang mengajar subjek Imlak Khat tahun 3 itu. Namanya Hana Maisarah. Dia ingin menimba pengalaman menjadi seorang pendidik sebelum menapak ke universiti untuk menyambung pelajaran ke peringkat ijazah.

“Adam tak datanglah zah..” Jawab Hadi. Hana tergelak kecil. Patutlah anak muridnya itu berjalan sendirian sahaja. Kalau tidak, pasti sentiasa berdua dengan si Adam. Adam merupakan kawan baik Hadi. Sehati dan sejiwa. Adam sangat comel. Hadi pula, kurus kering saja orangnya. Tapi, lincah. Sudah menjadi hobi Hana mencubit pipi si comel milik Adam.

“Okeylah,ustazah nak masuk kelas darjah 5 ni.” Hana mengatur langkahnya sambil tangannya melambai mesra ke arah Hadi. Hadi membalas lambaian itu sambil tersenyum. Hadi merupakan seorang pelajar yang agak bijak. Namun, dia amatlah nakal ketika belajar di dalam kelas. Ada sahaja gelagat gila yang berpotensi membuat guru-gurunya pening. Satu kelebihannya, dia suka memujuk dan pandai mengambil hati. Itu yang membuatkan Hana sayang akan pelajarnya yang seorang itu.

Masuk sahaja ke dalam kelas 5 Bertuah, hati Hana tidak putus-putus berdoa. Semoga dia diberi pinjaman kekuatan, kesabaran dan ketabahan untuk mengajar di kelas terakhir tahun 5 itu. Hana tidak pernah bersikap ‘pilih kasih’ dalam menaburkan baktinya sebagai guru. Baginya, setiap kelas, sama sahaja! Namun, sudah menjadi lumrah, kelas terakhir lebih banyak kerenah dan ujian berbanding kelas-kelas pertama. Sikap mereka sendiri yang membuktikan kenyataan ini menjadi benar!

Walau sikap mereka terkadang hilang rasa hormat dan berpotensi membuat guru menghidap penyakit darah tinggi, namun, itu bukanlah alasan untuk Hana tidak mendidik mereka sebaiknya. Hana teruskan usahanya. Dia mengajar subjek Bahasa Arab untuk tahun 5 dan 6. Pelajar perempuan sangat tekun belajar. Mereka menulis dan cuba memahami apa yang Hana sedang sampaikan. Tetapi, pelajar lelaki, kebanyakannya, seakan endah tak endah. Mereka lebih gemar bermain sesama mereka daripada meneroka buku Bahasa Arab yang bagi mereka, itulah subjek yang paling sukar!

“Pelajar lelaki, kalau tak nak belajar, tolong keluar!” Suara Hana sedikit menjerit. Tangannya mencubit lengan seorang pelajar lelaki yang sedari tadi asyik berlari di dalam kelas. Semua murid mula mendapatkan tempat duduk mereka. Mereka agak mendengar kata hari ini. Alhamdulillah, lega sikit jiwa Hana. Dia sebolehnya tidak mahu marah dan meninggi suara. Dia cuba bersabar dalam banyak situasi. Cuma, kadang-kadang, sabarnya memuncak!  Dia terpaksa ‘berkeras’ dengan anak-anak didiknya.

Hari ini, perjalanan seharian Hana amat-amat okay. Dia tidak berasa terlalu penat. Mungkin, tenaganya masih ada lantaran tidak menjerit  di dalam kelas. Alhamdulillah, dia berjaya berbincang jawapan bersama ‘anak-anak’nya sebentar tadi. Hana tahu yang sebenarnya mereka semua boleh! Cuma, sikap malas dan main-main dalam belajar perlu dihapus!

Hana tersenyum sendiri sambil matanya mula berkaca mengenang pengalamannya menjadi guru sementara selama 8 bulan itu. Terlalu banyak rasanya pahit manis yang bertandang. Moga Allah sampaikan rindu di kalbu pada ‘anak-anak’nya itu.

********

Jam tepat menunjukkan pukul 3.00 petang. Hana meregangkan otot-otot mindanya dengan membuka lappy baru miliknya. Makcik Hana yang menghadiahkan laptop itu kerana Hana berjaya melanjutkan pelajarannya ke universiti. Hana mahu meluangkan masa melayari internet sebentar. Seperti biasa, dia ‘menyibukkan’ diri dengan Facebook dan blog kesayangannya.

Hana baru sahaja selesai meng‘approve’ kawan. Satu mesej mengetuk inboxnya. Seorang pelajar tingkatan 4 bertanya perihal cinta padanya. Hana hanya tersenyum membaca isi mesej tersebut. Adik yang bernama Nurin itu bertanya soal couple padanya. Bagi Hana, itu bukanlah soalan pertama yang pernah diaju padanya. Bahkan, dirinya pernah ditanya perihal rumah tangga. Walhal, empunya diri masih belum terlibat dengan alam perkahwinan. Dia bukanlah seorang yang kaya dengan ilmu agama di dada, tapi, dia cuba berkongsi melalui apa yang telah dipelajari dan dibacanya. Apa yang dia tahu, dia akan jawab. Apa yang dia tak tahu, dia akan jujur jawab, “Maaf, saya tak tahu.”

Bagi remaja lain, mungkin, umur 19 tahun masih mereka anggap muda. Namun, bagi diri Hana sendiri, 19 tahun merupakan satu umur yang sudah semakin meningkat tua dan matang. Dia mahu subur dan matang dalam perwatakan Islam. Usamah bin Zaid. Dia dilantik menjadi panglima perang ketika usianya mencecah 18 tahun. Hebat bukan? Tapi, remaja sekarang, umur 18 tahun sudah mula sibuk hendak bercinta. Katanya, ingin mencari cinta sejati. Kata mereka lagi, ingin menghabiskan usia muda sebelum menempuh usia tua. Betapa ceteknya pemikiran sebegitu!

Jika ingin menghabiskan usia muda, maka, habiskan dan manfaatkanlah untuk memperjuangkan Islam! Bukan menggadaikan Islam dengan aktiviti-aktiviti bermaksiat yang saban hari semakin meningkat ibarat cendawan tumbuh selepas hujan. Janganlah terlalu sibuk dengan cinta dunia, sedangkan ilmu agama di dada masih kontang, kitab Al-Quran tak habis khatam, tafsirnya masih belum habis belajar. Apatah lagi kitab-kitab hadis. Sibukkan diri dengan cinta akan ilmu dan perjuangan dahulu. Itu peringatan yang sering ditazkirahkan untuk dirinya!

Assalamualaikum. Apa pendapat akak tentang cinta? Wujudkah couple Islamik?

Hana membaca mesej pertanyaan itu dengan hati yang terbuka. Dia tidak cepat melatah walau sebenarnya banyak hujah yang ingin dia lontarkan. Namun, tangannya terus menyusun kata untuk membalas isi mesej itu. Bagi Hana, dia perlu menjawab segala mesej dan pertanyaan yang bertandang dalam inboxnya. Kerana, ilmu itu perlu dikongsi. Ilmu itu perlu kita sampaikan, bukan untuk disimpan dalam memori otak sahaja!

Waalaikumussalam warahmatullahi wabarakatuh. 🙂

Terima kasih pada adik Nurin kerana sudi berkongsi dan bertanyakan pendapat akak. Erm.. cinta? Cinta dan remaja memang macam tak boleh nak dipisahkan. Betul tak?Betullah kan! Remaja memang tak boleh berpisah daripada cinta Allah. Remaja memang tak boleh dipisahkan dengan cinta Rasul-Nya. Remaja dan cinta terhadap ibu bapa memang tak boleh berpisah! Dan, akhir zaman ini, semakin ramai remaja kita yang hanyut disebabkan virus yang bernama cinta ini! Sebab apa? Sebab, cinta remaja kita bukan lagi atas dasar kerana Allah tetapi atas dasar nafsu serakah! Cinta kita bukan lagi kerana iman akan tetapi hanya kerana gila akan keseronokan. Cinta kita hanya memandang nikmat sementara, tidak memandang pada nikmat yang terbentang luas di Syurga yang kekal selamanya.

Couple islamik? Bagi akak, itu hanya jalan hendak mem’bersih’kan apa yang sudah ternyata ‘kotor’ dan berdosa. Sudah banyak fatwa yang dikeluarkan berkenaan hukum bercouple. Jika couple sudah difatwakan haram, masakan ianya termasuk dalam kesucian Islam? No! Jika pasangan yang bercouple itu tidak punya ikatan yang sah dan halal serta bebas berpegangan tangan, masakan ianya termasuk dalam keadaan Islam yang dikatakan suci itu? No! Sudah tertera dalam al-Quran yang menyatakan ‘Dan janganlah kamu mendekati zina…’.

Nak senang, nak halal, senang saja. Jom nikah! Hehe. Tapi, nikah pun ada syarat-syaratnya. Bukan main-main nak nikah saja! Adikku sayang, rasa suka itu fitrah. Belajar dan menuntut ilmu itu pula satu amanah. 🙂

Maaf  dik. Terpanjang pula  hujah akak. Hehe.

Hana menarik nafasnya. Dia cuba menghadam hasil pendapatnya sendiri. Berdasarkan petunjuk-Nya dan apa yang diketahuinya. Hana tersenyum tanda dia memahami. Dan, dia juga berdoa semoga adik Nurin juga memahami maksud yang sama.

Ooo.. Terima kasih kak. Betul sangat apa yang akak cakapkan tu. Erm, lagi satu, saya nak tanya. Macam mana pula kalau kita tak bercinta, tak bercouple, tapi, dalam masa yang sama, kita rapat dengan lelaki. Maksud saya, selalu berhubung dengan lelaki bukan mahram (sms, call,outing saja-saja).

Hana mengangguk beberapa kali membaca mesej reply dari adik Nurin itu. Dia mengerti! Soalan ini jugalah yang selalu dia tanyakan pada dirinya. Dia gusar! Andai dirinya terlibat sama dalam persoalan ini. Dia tidak mahu terjerumus ke lembah-lembah yang berpotensi membinasakan dirinya!

Haa! Persoalan ini jugalah yang akak selalu tanya dengan diri akak. Takut-takut akak jadi macam tu. Akak tak nak! Sebab, perkara tu boleh menjerumuskan kita juga. Sedikit demi sedikit! Sebab, syaitan tu kan bijak! Sebagai contoh, ada seorang sahabat tu kata dengan kita : “Eh, aku tak couple! Aku call dia tiap pagi sebab nak kejutkan dia solat Subuh. Aku mesej dia tiap hari sebab nak bagi ayat-ayat tazkirah. Aku jumpa dia sebab nak study sama-sama. Nak berjaya sama-sama.” Bukankah itu ‘agenda’ syaitan?

Jadi, kesimpulannya, perkara itu pun perlu kita elakkan dan jauhi. Untuk keselamatan diri di dunia dan akhirat! Kalau perkara itu merupakan satu keperluan seperti pelajaran atau pekerjaan, maka, tak apa. Ia dibolehkan. Namun, jika perkara itu merupakan satu kehendak untuk menghilangkan rasa bosan dan menginginkan keseronokan, maka, itu amatlah membahayakan iman kita! Menjaga hati lebih diutamakan.

431245_10151397878016407_2022928846_n

Nurin membaca mesej itu dengan renungan yang dalam. Jiwanya seakan dicucuk! Ya! Dia tahu, dia sudah semakin tersasar! Dia memang inginkan keseronokan dan kelainan dalam bersahabat. Oleh sebab itu, dia sering bermesej dan berborak dengan insan bernama lelaki di dalam telefon bimbitnya. Atmanya seakan maraung memohon keampunan-Nya. Matanya mula membasah! Dia segera mengucapkan terima kasih pada pemilik nama Hana Maisarah itu. Dia ingin tenangkan diri dengan membaca ayat-ayat cinta Ilahi.

Alhamdulillah, terima kasih banyak-banyak kak. Sayang kak Hana! Moga Allah merahmatimu. Assalamualaikum.

********

Usai bermunajat pagi itu, Hana meluangkan sedikit masa untuk membuka Facebooknya. Jarum jam menunjuk ke arah 5.00 pagi. Dia tahu, ramai sahabatnya yang tidak online pada waktu sebegini. Niatnya, dia ingin membaca satu mesej yang dirasakan amat-amat penting. Daripada seseorang yang sangat-sangat istimewa. Berada di dalam jiwa dan selalu disebut dalam doa.

Nurul Hakimah. Nama itu tersangatlah istimewa di dalam kalbunya. Berumur 18 tahun. Namun, orangnya sangat tabah dan bersikap matang. Dia sudah menganggap Hakimah seperti adik kandungnya. Nurul Hakimah juga, seakan sudah menganggap Hana sebagai kakaknya sendiri. Ceritera ukhuwah antara meraka tersangatlah sweet. Walau bertemu dan berkenalan hanya di muka buku, namun, tautan mahabbah antara mereka seakan seperti kenalan lama yang sudah terpaut kalbu.

Dengan lafaz bismillah, Hana mula membaca…

Adik ingat lagi masa adik kecil , adik pernah terlihat mak sedang menangis sendirian di dapur. Masa itu , adik tengok saja mak menangis . Adik tak tahu kenapa mak menangis . Sampailah adik umur 6 tahun , baru adik tahu apa sebabnya mak menangis . Rupa rupanya abah menduakan mak dengan perempuan Indonesia . Mak tahu pun sebab ada surat kebenaran nikah sampai di rumah . Patutlah selama ini abah jarang balik rumah . Abah tak kirimkan kami duit belanja berbulan-bulan lamanya. Mak terpaksa pinjam duit orang nak beli susu untuk kami . Sampailah suatu masa ini , perempuan itu datang rumah . Mak tetap bagi perempuan itu masuk , mak layan baik perempuan itu . Adik ingat lagi muka perempuan itu , sungguh tak cantik pun kakak . Masa itu adik terfikir mungkin abah kena guna-guna agaknya .

Bulan ke bulan , perempuan itu dah tak kacau abah lagi . Abah dah berubah . Adik tak ingat macam mana abah boleh berubah.
Masa adik darjah 1, abah berhenti kerja sebab kena fitnah dengan rakan sekerja. Abah kan panas baran orangnya, jadi dia berhenti kerja sebagai tanda protes. Saat itu, kami tak punya duit untuk maka.  Jadi , mak terpaksa cari kerja. Mak kerja cleaner di sekolah. Abah pula , duduk rumah saja.  Abah tak ada usaha pun nak cari kerja . 

Dulu, masa tadika, mak selalu hantar adik naik basikal. Mak ajar adik selawat Nabi, surah empat Qul. Tetapi , sejak mak kerja adik rasa sunyi , bila adik balik sekolah, tak ada mak yang tunggu adik depan pintu. Tak ada mak yang temankan adik makan. Tak ada mak yang tengok buku – buku adik. Lepas berhenti kerja, abah tak dapat nak bayar duit kereta. Kereta abah kena tarik. Kami cuma ada motor saja kakak.

Bila abah dah dapat kerja balik , abah ada beli handphone . Dulu abah tak reti nak mesej . Abah minta kakak ajarkan . Mulai saat abah reti mesej , abah mula buat perangai lama .Abah bermesej dengan perempuan lagi . Saat adik baca mesej – mesej abah , hati adik rasa sakit sangat . Adik benci abah ! Kenapa abah buat macam itu kat mak ?
Depan mak, abah baik sangat. Tetapi, dekat belakang, abah menduakan mak!

Adik mula rasa benci yang terlalu pada abah. Bila abah cuba berbual dengan adik, adik cakap nak tak nak saja. Saat pegang tangan abah, adik rasa jijik sangat!

Hana memberhentikan bacaannya. Dia mengusap tangisnya sendiri. Di sebalik kesolehan yang terserlah pada diri Nurul Hakimah, rupanya, dia punya satu kisah yang amat dahsyat. Ya Allah, bantulah Nurul Hakimah! Hana menyambung bacaannya.

Adik selalu menyendiri di rumah. Adik fikir tentang kehidupan adik. Adik selalu fikir Allah kejam. Kenapa adik tak macam orang lain? Kenapa adik lahir dalam keluarga yang macam ini? Kenapa adik punya abah seperti ini?

Masa adik tingkatan 1, emak lambat jelaskan yuran . Adik malu kakak, sangat malu . Kenapa keluarga adik miskin ?Pernah satu masa , kami tak punya  duit nak beli beras kakak . Dekat rumah cuma makan ubi saja. Nasib baik abang di Uniersiti ada duit PTPTN . Abang bagi mak duit untuk beli beras.

Makin lama, adik mula benci, sangat benci pada Allah! Adik penat dengan kehidupan ini kakak . Adik pernah rasa mahu lari rumah. Pernah rasa mahu bunuh diri. Dan paling teruk adik pernah rasa mahu keluar dari Islam! Allah, jahilnya adik kan. Adik rasa Allah tak pernah adil untuk adik. Mak selalu suruh adik solat, tetapi adik degil. Adik tak solat pun. Bila mak minta adik tolong mak, adik selalu memberontak. Adik benci mereka kakak! Adik benci abah , benci emak!

Abah masih dengan sikapnya. Abah makin teruk. Abah dah mula simpan video lucah!

Air mata Hana sudah tidak tertahan lagi! Dia beristighfar berkali-kali. Sungguh dia tidak menyangka, si solehah itu pernah melalui liku-liku yang perit ini. Allah,  hanya Allah yang tahu, betapa semua yang berlaku, punya hikmah!

Tingkatan 3, adik mula kembali pada Dia. Adik mula solat walaupun tak cukup. Bila adik doa, adik cuma doa untuk mak saja. Abah tiada pun dalam doa adik sebab adik benci pada abah! Pernah suatu masa, mak dengan abah gaduh. Abah cakap mak babi kakak! Adik tengok depan-depan dengan seorang abang adik. Adik nak marah abah, tapi adik tak berani. Adik menangis depan abang. Lepas keluar result PMR, adik cuba apply sekolah teknik sebab adik tak tahan duduk di rumah. Tetapi, adik tak dapat pun! Adik rasa kecewa tapi adik mula redha.

Saat adik berada di tingkatan 4, adik mula faham apa itu ujian Allah. Adik mula belajar tentang kesabaran. Tetapi, bila adik sudah mula bina kekuatan, Allah uji adik semula. Allah terus menguji adik dengan abah yang masih menduakan mak tanpa pengetahuan mak. Setiap hari, adik baca mesej abah. Hati adik sakit sangat! Sangat!

Allah saja yang tahu rasa hati ini kakak . Setiap malam adik menangis .
Adik mengenangkan mak yang susah payah cari duit tetapi abah buat mak macam itu .

Masa tingkatan 5, alhamdulillah adik dah berubah.  Adik belajar pakai tudung labuh, pakai handsock .

Tapi ,adik lalui semuanya sendiri. Adik belajar mengenali Allah tanpa pertolongan sesiapa pun .
Terkadang hati rasa sunyi, tapi adik yakin Allah sentiasa ada bersama kan? 

Kakak, adik tak pernah terfikir adik akan seperti sekarang ini. Adik tak pernah bercita – cita mahu ke pondok, bertudung labuh dan berniqab. Tak pernah ada rasa seperti itu dulu.

Sungguh, walaupun rasa pahit, sedih untuk menerima ujian ini, namun, dalam masa yang sama adik sangat bersyukur! Amat-amat bersyukur! Dengan ujian ini, Allah ubah adik menjadi seorang hamba pada Pencipta. Dengan ujian ini, adik dapat mengukur cinta dan kasih adik pada-Nya. Dengan ujian in,i adik dapat jadi seorang yang tabah menghadapi segalanya. Dan dengan ujian ini, adik dapat mengenal hakikat tersirat tentang sebuah ujian.

Alhamdulillah, alhamdulillah..!
Ya Allah , Ya Khabir!
Dengan ujian , adik lebih mengenali Allah!

Subhanallah!

Azan Subuh berkumandang. Hana bergegas untuk berwudhuk. Dia menutup laptopnya. Dia bertekad akan menghabiskan bacaan mesej itu bila ada kelapangan masa nanti. Atmanya terasa hiba dengan kisah seorang bidadari lindungan Ilahi itu. Subhanallah! Kuatnya dia! Tabahnya dia! Moga dirinya dilindungi Ilahi tiap waktu, tiap ketika.

Daripada Abu Said al-Khudri r.a. dan Abu Hurairah r.a., Nabi s.a.w. bersabda yang bermaksud : “Tidak menimpa seorang Mukmin suatu penyakit yang berpanjangan, kepayahan, sebarang jenis kesakitan, dan kesedihan malahan kedukacitaan melainkan dihapuskan sebahagian dosa-dosanya.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

********

Cuti Sabtu dan Ahad ini, Hana memenuhi jemputan sepupunya, kak Hani dan suaminya, abang Mazlan yang mengajak dia menghadiri kenduri kahwin di Kelantan. Hana setuju untuk meraikan mereka berdua dan untuk bertemu dengan ibu tercintanya. Ibunya bakal ke sana bersama kakak dan abang ipar Hana.

Perjalanan yang mengambil masa selama 8 jam itu membuatkan kepala Hana terasa pening yang amat. Tekaknya seakan loya, berasa hendak muntah. Mereka berempat termasuk anak sepupunya, Aliyah, menaiki kereta pacuan empat roda untuk sampai ke destinasi. Setelah sampai di Kelantan, rumah bapa saudaranya, Hana merebahkan diri di atas katil empuk, di bilik tetamu. Sendi-sendi anggotanya perlukan rehat. Matanya terlelap. Dia lena hingga ke pagi.

Usai menghadiri kenduri kahwin, Hana berehat sebentar di ruang tamu. Ibunya baru sahaja pulang. Dia sempat mendakap erat dan mencium ibu tercintanya itu.

“Hana, aku nak beritahu kau sesuatu ni. Aku ada masalah. Nak minta pendapat kau. Boleh tak tolong aku? Ni antara hidup dan mati!” Sepupu Hana, Farhan, mendapatkan posisi untuk duduk berhadapan dengan dirinya. Hana termangu sebentar. Nasib baik ada ramai orang dekat ruang tamu hadapan. Tapi, dia segan juga sebenarnya.Maklumlah, umur dah semakin meningkat, batas pergaulan juga perlu terhad.

“Haa? Masalah apa? Buat aku seram sejuk saja! Ni mesti pasal cinta kan? Betul tak?” Teka Hana.

“Ya. Aku nak cerita ni. Tapi, ni rahsia ya! Antara kita saja tau.” Bersungguh benar Farhan ingin meluahkan masalah cintanya pada Hana. Farhan merupakan pelajar tahfiz, lepasan SPM. Dia sedang menanti keputusan peperiksaannya.

“Aku sebenarnya ada sayang seorang perempuan ni. Kiranya, kitorang bercintalah. Macam tu. Okay, sebagai penghafaz al-quran, memang aku ada rasa bersalah dan rasa berdosa sebab buat benda-benda macam ni, mesej dia selalu tapi aku tak pernah dengar suara dia lagi. Satu hari tu, dia beritahu aku yang dia tak nak berhubung dah. Dia nak putus. Dia pun rasa berdosa juga kot. Dia kata, kawan macam biasa saja. Password Facebook dia, aku pegang dan password Facebook aku, dia pegang. Kitorang ambil tahu hal masing-masing dengan Facebook sahaja. Dia kata, kalau ada jodoh, insyaAllah ada. So, dia bagi aku harapan. Aku pun setuju! Aku pun nak elak daripada berlaku zina hati. Na’uzubillah!” Hana hanya menjadi pendengar setia. Otaknya ligat menyusun ayat untuk dimuntahkan pada sepupunya itu. Dia tahu, Farhan itu lembut hatinya. Kerana itu dia masih punya sebuah rasa berdosa dalam diri. Sebab itu, Farhan mencari dia sebagai medium untuk menyelesaikan masalah remajanya.

“Lama-kelamaan, dia macam dah tak suka aku. Balas mesej aku pun pendek-pendek saja. Tapi, bila dia mesej dengan seorang budak lelaki ni, bukan main panjang lagi ayatnya. Lelaki ni pernah sama kelas dengan aku dulu. Sekarang, lelaki ni dah pindah. Dia budak tahfiz juga dan bagi aku, dia lagi hensem daripada aku. Perempuan tu mesej aku. Dia beritahu yang dia dah tukar password. Dia pun suruh aku tukar password. Dia dah tak nak ada apa-apa dengan aku. Kau nampak tak dekat situ? Dia dah bagi aku harapan. Lepas tu, dia tak nak ada apa-apa dah dengan aku! Dia anak orang kaya, tapi bukan tu yang aku pandang. Dia jenis yang sederhana. Tu yang memikat aku kot.” Hana khusyuk mendengar. Dia tersenyum sambil menggeleng saja sedari tadi. Menunggu perintah dari Farhan untuk berucap.

“Aku kecewa sangat dengan dia. Tapi, dalam masa yang sama, aku tak tahu apa yang aku buat selama ni, betul atau tak. Orang kata, cinta tu buta! Kesimpulannya, aku nak tanya kau. Apa yang aku patut buat sekarang ni? Patut ke aku terima keputusan dia?” Tanya Farhan. Dia memandang Hana dengan mata yang bersinar. Mengharap jawapan yang akan menenangkan gundah gulananya.

“Panjang dan sadis betullah ceritera cinta kau ni. Hehe. Okaylah, first thing first, aku nak tanya kau. Kau ni serius ke suka? Serius ke sayang? Kau betul ke nak jadikan dia isteri? Ke untuk suka-suki kau saja?” Hana cuba menduga sepupunya itu. Maklumlah, ramai lelaki gemar mempermainkan perasaan wanita.

“Serius! Aku suka dia, aku sayang dia! Aku memang ada niat pun nak kahwin dengan dia.” Jawab Farhan dengan nada bersungguhnya.

“Kau ni biar betul? Kau sedar tak yang kau tu baru habis SPM? Sure ke kau dah bersedia nak kahwin? Mana tahu, nanti dekat universiti, kau bakal berjumpa dengan yang lebih baik lagi.” Duga Hana lagi. Dia memang gemar menduga dengan soalan sebelum dia melontarkan isi sebenarnya.

“Kau ingat aku ni nak cari calon ke dekat universiti nanti? Kalau boleh aku tak nak! Aku mengaku, dulu aku memang suka cari perempuan. Tapi, serius! Tu dulu! Sekarang aku dah berubah!” Terserlah semangat keinsafan menerusi kaca matanya.

“Baiklah Farhan. Pertama sekali, terima kasih sebab sudi berkongsi cerita dengan aku. Alhamdulillah sebab perempuan tu minta putus dengan kau. Mana tahu, dia pun nak berubah. Mana tahu, ada lebih baik yang tersedia buat kau. Kau tahu tak, kahwin ni bukan perkara remeh. Perkahwinan melibatkan akhirat kita. Lelaki merupakan imam yang bakal memegang amanah dan tanggungjawab dalam sesebuah keluarga. Macam mana kita nak pimpin keluarga kalau kita gagal pimpin diri kita menuju Syurga-Nya?

“Hai orang-orang yang beriman, peliharalah dirimu dan keluargamu dari api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu; penjaganya malaikat-malaikat yang kasar, yang keras, yang tidak mendurhakai Allah terhadap apa yang diperintahkan-Nya kepada mereka dan selalu mengerjakan apa yang diperintahkan.” (Surah Al-Tahriim : 6)

Kalau betul kita suka dan sayang dekat seseorang, kita mesti nak masuk Syurga dengan dia kan? Tapi, adakah dengan bercinta sedangkan kita tak berusaha nak sediakan diri kita? Adakah dengan mesej-mesej kosong untuk meluah rindu? Kau mesti tahu akan amaran Allah dalam al-Quran yang menyebut ‘dan janganlah kamu mendekati zina’.

Aku bagi kau contoh ya. Ada sebuah dewan besar. Dalam dewan tu, ada macam-macam maksiat. Di sekitar dewan besar tu, ada banyak gerai jualan. Aku dah beritahu kau awal-awal untuk tidak mendekatkan diri dengan dewan besar itu. Kau faham. Kau tak masuk dalam dewan besar tu. Kau cuma nak tengok-tengok gerai jualan yang ada di sekitar gerai tu.  Bila aku dapat tahu, aku marah kau! Sebab apa? Sebab aku dah beritahu awal-awal, “jangan dekati dewan besar tu!”. Memang kau tak masuk dalam dewan besar yang penuh maksiat tu, tapi, kau mendekati dewan besar tu. Jelas tak penerangan aku ni?” Soal Hana. Takut-takut dia hanya syok sendiri sedang Farhan masih tak mengerti.

“Ooo..okay, aku dah makin faham. Teruskan…” Pinta Farhan lagi.

“Kadang-kadang, kita tak sedar. Kita terlupa. Kita kan manusia, memang mudah lupa. Kita terlalu sibuk nak bahagiakan manusia, tapi kita tak pernah cuba nak membahagiakan Dia. Betul tak? Kadang-kadang, kita sibuk nak dapatkan cinta manusia, cinta orang yang kita sayang, tapi kita lupa nak rebut cinta Allah yang semakin hari semakin mencurah-curah dalam hidup. Kadang-kadang, ramai orang menyalahkan budak sekolah agama lantaran tidak sedikit antara mereka bermain cinta di usia muda. Orang akan salahkan ‘sekolah agama’ itu, bukan ‘budak’ yang bersekolah di sekolah agama. Kau budak sekolah tahfiz, penghafaz al-Quran lagi. Ingat senang ke nak kekalkan hafazan kita sampai kita mati? Aku yang hafaz 3-5 surah yang sederhana panjang macam surah Rum ni pun kadang-kadang asyik lupa kalau tak diulang. Inikan lagi 30 juzuk. Jagalah baik-baik. Itu mungkin menjadi peluang untuk selamatkan ahli keluarga kita daripada diazab api Neraka. Memang kita semua manusia biasa, serba berdosa dan serba tak sempurna. Tapi, itu bukanlah alasan untuk kita terus-terusan hanyut dibuai ombak noda.

Lagi satu, ustazah aku selalu pesan. Kita kena ada prinsip yang tegas untuk diri kita sendiri. Prinsip yang kukuh untuk kita jadikan pedoman dalam hidup. Walau kita dicampak ke mana pun, kita tetap boleh hidup berlandaskan syariat-Nya berdasaran prinsip kita. Prinsip aku, ‘Apapun yang aku buat, aku nakkan redha Allah!’ Itu aku. Prinsip tu akan buka langkah kita untuk berhati-hati dalam setiap tindak-tanduk lantaran redha Allah menjadi tumpuan utama diri. Jadi, bina satu prinsip kukuh untuk pedoman hidup kau. Fikirlah untuk jangka masa panjang. Bukan untuk keseronokan jangka masa pendek semata-mata.” Akhiri Hana dengan seukir senyuman. Dia harap, penjelasannya akan sampai ke lubuk hati Farhan. Farhan diam seketika. Hatinya seakan mula diketuk hidayah. Dia mahu buktikan insafnya pada Allah Yang Maha Tahu isi hatinya.

“Hana, terima kasih. Doakan aku tau! InsyaAllah, aku akan bina satu prinsip untuk kebaikan diri aku sendiri.” Farhan tersenyum puas. Gundahnya terasa semakin hilang.

“Boleh aku tanya sesuatu? Kenapa kau cerita dekat aku ya? Bila yang lain tanya, kau berahsia.” Soal Hana.

“Entahlah. Aku rasa selesa meluahkan masalah cinta dengan kau. Kau kan Dr.Cinta.” Farhan ketawa. Hana menahan gelak. Sejak bilalah dia mendapat pangkat Dr.Cinta. Hana bangkit bangun dan menuju ke ruang tamu hadapan untuk bersama dengan saudara-saudara lain. Mujur mereka tahu yang Farhan sedang meminta penyelesaian masalah dan mahu berbincang sesuatu yang penting bersama Hana. Hana tidak suka menimbulkan fitnah.

Farhan masih duduk di atas sofa. Dia termenung jauh. Dia terfikir sesuatu. Dia selalu kecewa dan terluka andai dirinya disakiti oleh kekasih hati sendiri. Tapi, pernahkah Farhan memikirkan sudah berapa banyak kali dirinya mengecewakan si Dia Yang Maha Mengasihani? Kadang, kita terlalu memikirkan manusia hingga terlupa di sisi kita wujudnya kekasih abadi, Allah Yang Maha Esa. Hatinya mengalun istighfar berkali-kali. Dia mahu mencintai Ilahi melebihi isi duniawi!

********

Hari ini, Hana terpaksa pulang ke universiti setelah seminggu bercuti untuk study week. Esok akan bermula kertas peperiksaan pertamanya untuk final exam. Subjek Bahasa Arab II menjadi tumpuan utama minda pada malam ini. Semester satu untuk pengajian ijazahnya bakal berakhir. Namun, itu bukanlah pengakhirannya. Masih ada 7 semester menanti di hari muka. Dia perlu bersedia!

Sepanjang semester satu ini, banyak pengalaman yang telah dikutip oleh diri Hana. Baginya, dunia universiti merupakan satu alam yang gharib (asing) pada awal kemasukannya. Mana tidaknya, sebelum Hana menjejakkan kaki ke universiti, dia telah membaca banyak hal-hal yang agak menyeramkan iman di jiwanya. Antaranya, gejala sosial yang berleluasa seperti pergaulan bebas, khalwat dan buang bayi yang pernah berlaku di sekolah dan universiti. Kes-kes pembunuhan dan pergaduhan antara pelajar universiti juga pernah didengarinya gara-gara merebut kekasih!

Selalunya, di dunia universiti, memang ikhtilat (percampuran lelaki dan perempuan) akan selalu berlaku dalam study group atau discussion group. Kadang-kadang, pensyarah yang suruh lantaran sebab-sebab tertentu. Sebagai contoh, lelaki berfungsi untuk menjadi guard kepada pelajar -pelajar muslimah bergerak ke tempat-tempat tertentu bagi melaksanakan projek atau assignment yang melibatkan mereka keluar dari universiti.

Hana telah melalui pengalaman sebegitu. Ikhtilat bagi tujuan hiburan dan keseronokan serta melalaikan seperti di disko, hukumnya adalah haram. Itu sangat jelas kerana sudah pasti di dalamnya ada bermacam-macam jenis maksiat yang berlaku.

282800_455091091220412_1812960755_n

Ikhtilat dalam urusan keperluan seperti bekerja atau belajar, hukumnya harus. Tetapi, ada syaratnya. Antara syarat-syarat utama adalah :-

1. Pertemuan dan kerjasama itu hendaklah dalam suasana serius.

2. Menahan/menundukkan pandangan.

3. Menghindari berjabat tangan.

4. Mengenakan pakaian yang menepati kaedah Syarak.

5. Tidak bersesakan dan lebih elok jika ada jarak pemisahan.

6. Menghindari khulwah/khalwat (berdua-duaan di tempat yang sunyi), namun boleh jika:

a)     Khulwah di kawasan awam yang ada ramai orang.

b)     Beberapa lelaki dan seorang perempuan.

c)     Seorang lelaki dan beberapa orang perempuan.

7. Tidak terlalu lama dan berulang.

8. Menghindari tempat yang mencurigakan.

9. Menjauhi perbuatan maksiat dan dosa.

Dalam buku Ciri-ciri Unggul Masyarakat Islam yang Kita Idamkan oleh Prof. Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradhawi, beliau telah menyentuh beberapa poin-poin penting berkaitan isu percampuran antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram. Iaitu :-

1. Tidak bercampur dengan lelaki/wanita asing (bukan mahram) kecuali kerana keperluan yang mendesak, kemaslahatan yang dibenarkan, dengan kadar yang mencukupi. Contohnya, solat di masjid, menuntut ilmu dan bantu-membantu atas dasar kebaikan serta ketakwaan.

2. Wanita tidak dihalang daripada menyertai untuk berkhidmat kepada masyarakatnya. Di samping itu, tidak mengabaikan batas-batas syarak dalam pertemuan dengan lelaki.

3. Merendahkan pandangan serta menjaga kemuliaan dan kesucian. (Syeikh memberi panduan boleh memandang atas dasar urusan tetapi tidak berlama-lama ketika memandang.)

4. Berasa malu dan menutup pakaian serta perhiasan tetapi tidak dalam bentuk yang menyukarkan.

5.Tidak menampakkan perhiasan wanita yang tersembunyi seperti rambut, leher, tengkuk, dua lengan dan dua betis kecuali kepada suaminya dan lelaki mahram.

6. Berhati-hati semasa mengatur langkah dan pertuturan.

7. Menjauhkan semua perkara yang boleh merangsang.

8. Mengelakkan diri daripada khalwat.

Bagi Hana, ini semua penting bagi memastikan hatinya lebih tunduk dan terjaga dalam lindungan redha-Nya. Dia berusaha untuk menjaga dan memelihara setiap aspek tersebut. Dia cuba serius dalam setiap pertemuan group discussion yang dilakukan. Cuma, kadang-kadang, terdapat  segelintir ahli group discussion yang suka melama-lamakan pertemuan dengan borak-borak kosong dan gelak tawa. Sempat juga mereka mahu bergosip. Sebab itu, Hana merupakan orang pertama yang selalu minta diri awal untuk kembali ke biliknya. Dia segera selesaikan apa yang patut dan cepat-cepat mengundur diri. Asalkan, bahagian tugasnya sudah selesai, dia lebih selesa pergi dari situ. Barulah lega sedikit jiwanya. Dia tak sanggup mahu meratah sama bangkai saudara sendiri!

Bukan mudah mahu menjaga diri, andai kita tak sayang diri sendiri, andai kita sering bergaul campur dengan orang-orang yang menjauhkan Ilahi dalam diri dan andai kita sering terjebak dengan perkara-perkara yang berpotensi melupakan kita pada ukhrawi.

Saat semua sedang sibuk dilanda cintan-cintun, sibuk ke hulu ke hilir dengan pasangan couple yang dikatakan ‘sweet’ itu, seorang Hana pula sedang sibuk dengan studynya. Dia tidak rasa tergugat pun dengan keadaan sekeliling yang semakin mengagung-agungkan cinta yang tidak halal itu. Hana cuba fokus untuk mengejar ilmu pada usia muda. Kerana mati itu boleh datang pada bila-bila masa. Di samping itu, dia juga sedang mensolehahkan diri demi redha-Nya dan mempersiapkan diri untuk menghadapi hari muka.

“Aku di sini sedang mempersiapkan diriku, sedang berusaha mensolehahkan diriku. Jaga dirimu baik-baik ya.” Bisik Hana pada angin sambil jiwanya berdoa pada Ilahi. Moga dihantar bisikan itu meskipun dia belum tahu siapakah jodohnya. Hana mahu dirinya tercalon dalam kategori bidadari lindungan Ilahi.

********

150985_414483268626146_2057231963_n

Cuaca pagi ini agak mendung. Semendung sekeping hati milik insan bernama Hana Maisarah. Dia menangis hiba. Tangisan simpati berbaur duka. Dia baru terima satu mesej yang menyatakan bahawa ibu Rashidi, telah kembali ke pangkuan Ilahi pada malam tadi. Rashidi merupakan salah seorang anak didiknya. Hana amat rindu akan anak didiknya yang seorang itu. Dia cuba menelefon empunya diri, tetapi gagal dihubungi. Niat di hatinya ingin menziarahi, namun, kekangan waktu menghalang niat yang suci itu. Kenangan bersama Rashidi mula menjelma di benak fikiran Hana.

“Rashidi! Bagi ustazah permainan kamu tu! Ustazah suruh buat kerja, bukan main gasing!” Hana mendesak pelajar tahun 5 itu. Dia leka bermain hingga tak sedar bahawa Hana perhatikannya sedari tadi. Hana merampas gasing itu.

“Tu gasing adik saya…” Beritahu Rashidi. Hana kenal akan adik Rashidi, Zaki. Hana mengajar di kelas Zaki tengahari itu. Dia menceritakan tentang gasing yang telah dirampas dari tangan abangnya, Rashidi. Zaki tiba-tiba menangis.

“Eh, Zaki! Jangan risau. Nanti ustazah pulangkan pada kamu ya. Sebab tu ustazah beritahu kamu. Nanti sebelum balik, jumpa ustazah ya sayang.” Hana tersenyum manis sambil mencubit pipi comel pelajar tahun 3 itu.

“Ustazah Hana…” Zaki menyeru sebaris nama gurunya dengan muka gembira. Hana memandang. Dia tersenyum sambil menuju ke laci mejanya. Dia mengambil sesuatu.

“Lain kali, jangan bagi abang bawa ya. Kamu pun jangan bawa mainan di sekolah. Faham?”

Zaki mengangguk bahagia. Keesokan harinya, Rashidi terserempak dengan Hana.

“Assalamualaikum ustazah…” Tegur Rashidi. Hana tersenyum sambil menjawab salam itu.

“Lawa beg ‘Angry Bird’ ustazah..” Rashidi menahan gelak sambil mengusik ustazahnya. Hana tergelak sama. Peristiwa semalam seakan tak pernah terjadi antara pelajar dan guru itu.

Rashidi seorang pelajar yang gemar mengusik dan mengambil hati guru-gurunya. Hana sentiasa mendoakan agar pelajarnya itu kuat dan tabah menghadapi ujian dan dugaan-Nya. Moga ibu kepada pelajar itu bahagia dalam jagaan-Nya dan doa daripada anaknya. Hana juga pernah merasa bagaimana peritnya kehilangan insan kesayangan. Jiwa yang kukuh serta semangat dan dorongan amat-amat diperlukan. Jika tidak, diri akan dikalahkan oleh bisikan-bisikan syaitan! Andai rasa sunyi menerpa diri, hati perlu segera bangkit menghadam ayat-ayat cinta Ilahi. Jika tidak, pasti nafsu yang akan membelenggu diri.

********

Alhamdulillah, final exam telah pun selesai! Malam semalam, Hana memang struggle habis untuk ulangkaji subjek Tamadun Islam dan Tamadun Asia. Bagi dirinya, subjek itu sedikit rumit kerana ia berkaitan dengan sejarah. Jadi, dia usaha lebih sedikit untuk subjek itu. Otaknya sedikit lega setelah dapat menjawab soalan dengan tenang. Moga keputusan di akhir nanti, akan menatijahkan cemerlang! Allahumma ameen….

Hana kini bercuti selama dua minggu. Sepatutnya sebulan lebih, namun, dia punya kursus bahasa selepas dua minggu cuti. Jadi, Hana berazam untuk lebihkan berbakti dalam membantu kerja-kerja ibunya sepanjang cuti dua minggu ini. Dia mahu sibukkan diri di dapur. Hana juga mahu menghabiskan beberapa buah novel dan buku-buku ilmiah untuk diteladaninya. Dia sememangnya gemar membaca novel dan buku-buku ilmiah agama.

Usai masak menu tengahari, Hana meluangkan masa untuk online sebentar sambil  merehatkan diri. Ada satu mesej diterimanya. Semalam.

Assalamualaikum. Saya suka baca blog awak. Saya suka baca kata-kata awak di Facebook. Saya senang dengan tingkah laku awak yang solehah. Erm…sebenarnya, saya nak beritahu awak sesuatu. Dah lama saya pendam. Saya suka awak. Boleh tak kita couple? Erm, mkasudnya,kita berkenalan dengan lebih terperinci lagi. Sudi tak awak?–Husaini–

Hana sedikit terlopong membaca warkah cinta penuh palsu itu. Hatinya langsung tidak berbunga membaca susunan ayat-ayat yang dikatakan ‘jiwang’ itu. Dia menggeleng berkali-kali. Tak sangka Husaini sebenarnya begitu. Hana membulatkan sebuah tekad.‎”Ahh! Aku tak mahu bercintan-cintun dengan dosa! Kalau benar dan serius dia suka, dia cinta, pasti ini bukan caranya! Aku takkan sesekali terima ajakan untuk ber’couple’ dengannya! Sebab, aku hanya mahu bercouple selepas nikah, bukan dengan jalan yang dimurkai Allah!” Hana tegas dengan prinsip hatinya. Dia terus tekun berusaha menjaga diri daripada godaan-godaan cinta yang kian menerpa. Dia tahu, syaitan itu bijak! Tapi, dia mahu buktikan yang manusia ciptaan Allah itu lebih bijak! Iblis dan konco-konconya akan sentiasa membisikkan kemungkaran dalam hati manusia. Wanita seringkali dijadikan senjata awal bagi syaitan untuk memesongkan kaum lelaki. Hanya dengan takwa dan rasa diperhati oleh-Nya mampu menepis bisikan syaitan itu.

Takwa itu perisai manakala iman itu pula cerminan diri. Said Ibn al-Musayyab pernah berkata : “Setiap kali syaitan berputus asa mengganggu seseorang, maka dia akan melancarkan gangguannya melalui wanita.”

Hana membiarkan mesej itu tidak berbalas. Dia tidak suka membalas mesej yang dirasakan tidak penting dan sia-sia! Hana terus memadam mesej tersebut. Makin dilayan nanti, pasti makin melarat dan memudaratkan diri sendiri. Muslim yang sebenar dan berkualiti itu adalah seseorang yang meninggalkan perkara sia-sia dalam hidupnya. Hana mahu berusaha untuk menjadi seorang muslimah yang berkualiti!

Daripada Abu Hurairah r.a. berkata, bahawa Rasulullah SAW bersabda : “Sebahagian daripada tanda baiknya (kualiti) keislaman seseorang ialah meninggalkan sesuatu yang tidak bermanfaat baginya.” (Riwayat al-Tirmizi, Ibn Majah, Ahmad dan al-Baihaqi)

Hana teringat pesan Syeikh Ali Tantawi kepada para muslimat. Antaranya adalah :-

Demi Allah! Jangan percaya kata-kata sebahagian lelaki, bahawa mereka memandangmu kerana akhlak dan adab. Berbicara denganmu seperti sahabat dan apabila mencintamu seperti teman akrab. Bohong! Bohong! Demi Allah dia berbohong. Seandainya engkau mendengar sendiri perbualan antara mereka, pasti engkau takut dan ngeri.

Wahai puteriku, lelaki yang baik dan soleh akan datang kepadamu, dengan segala kerendahan hati, memohon kemaafan, menawarkan kepadamu hubungan yang halal dan terhormat. Dia akan datang meminang dan mengahwinimu.

Pesanan itu benar-benar terkesan di hati setiap muslimah. Hana juga terkesan! Dia berpegang pada pesanan itu. Tidak sekali-kali dia menyerahkan janji dan hatinya pada jalan yang salah dan sesuatu yang tidak diredhai Allah!

Hana membuka mesej lagi satu. Dia ingin menyambung bacaan mesej Nurul Hakimah padanya tempoh hari.

“Kakak tahu tak? Bertahun adik simpan rasa sedih ini. Adik lalui semuanya sendiri. Dulu, bila adik rasa terteka, hanya menangis dan terus menangis yang adik mampu. Adik cemburu tengok kawan adik. Mereka hidup bahagia dengan keluarga. Setiap malam, adik menangis kenangkan keluarga adik .

Abang adik empat orang itu semuanya merokok. Adik selalu pesan janganlah merokok tapi langsung tak diendahkan. Abang pertama adik pernahlah bergurau. Dia cakap macam ini ” kau tak doakan aku sampai menangis macam mana aku nak berubah?” Sungguh, jauh di lubuk hati ini kakak, wallahi, adik selalu menitiskan air mata bila doakan mereka. Adik sebut sebaris nama penuh mereka .

Ada dua orang abang adik dulunya sekolah agama, tetapi perangai tak serupa lulusan agama pun. Tahu tak betapa adik cemburu tengok mereka. Abang pandai cakap Arab sedang adik ini bertatih untuk belajar hatta yang asasnya saja .

Abang yang ketiga pula, dia bercouple. Dulu, adik pernah cakap sama kakak yang dia couple . Adik cakap kalau betul dia sayangkan Allah tolong tinggalkan abang boleh tak ? Tapi dia tak mampu kot rasanya. Walaupun abang tak macam lelaki lain. Abang selalu jumpa mak ayah kakak itu bila mahu keluar tetapi bagi adik, adik tetap tak suka! Abang dan kakak itu pernah pegang tangan + panggil manja-manja. Adik tahu itu lumrah orang bercouple kan? Tetapi mereka berdua Islam, takkan tak faham apa hukumnya? Abang adik yang ini sampai sekarang solatnya belum sempurna. Bila mak ada di rumah barulah dia solat. Kalau mak tak ada, dia takkan solat .

Abang keempat adik pula, yang adik risaukan cuma dia ini merokok. Yang lain, syukur alhamdulillah. Tapi, walau merokok sekalipun adik tetap sedih sama sikap abang.

Dan yang terakhir, kakak adik pula. Memang kakak baik, sayang sangat sama adik .

Adik dapat rasakan sayang kakak pada adik. Bila kakak pulang rumah, kakak selalu peluk dan cium adik. Kami tidur sama-sama . Namun jauh di lubuk hati ini, adik rasa sedih sama kakak. Dah bertahun kakak tak mengalunkan ayat Al- Quran. Dah bertahun juga kakak tak solat . Bila mak suruh solat, adik tahu yang kakak sebenarnya hanya berpura-pura solat .”

Hanya air mata yang menemani Hana. Iman itu sememangnya bukan warisan. Dia cuba menguatkan matanya untuk terus kental membaca mesej itu. Ada sedikit saja lagi. Dia gagah untuk tahu!

Tahun lepas kakak bertunang. Tapi jujurnya adik tak suka! Adik tak suka dengan sikap bakal abang ipar adik. Sebelum bertunang pun, bila kakak keluar dengan abang itu, adik akan rasa tak sedap hati. Rasa mereka berdua ada lakukan sesuatu yang tidak elok. Dan, dugaan adik memang betul kakak! Adik pernah tergerak nak baca mesej kakak. Masa adik baca, luluh hati ini kakak! Adik dapat tahu yang kakak pernah ‘ringan- ringan’ sama abang itu. Masa itu badan adik menggigil, adik rasa sedih sangat. Kenapa kakak adik macam itu?

Dulu , masa awal Muharam, adik ada baca doa awal dan akhir tahun. Adik ajak kakak baca doa sama-sama, tapi kakak sibuk sms. Kakak cakap, kakak cuma ‘amin’kan doa yang adik baca. Adik rasa sedih kakak. Rasa berdoa itu tak sama bila kita sekadar meng’amin’kan. Adik tetap pujuk kakak supaya baca doa itu. Sampailah azan maghrib yang menandakan waktu bacaan akhir tahun dah habis. Perasaan adik masa itu, hanya Allah yang tahu . Buat pertama kalinya adik menangis depan kakak. Hati adik berkecai sebab kakak adik tak sempat baca doa itu.

Sungguh dan sesungguhnya..
Adik sangat sayangkan mereka.. sayang abah , emak , abang , kakak.
Walaupun mereka seperti itu, adik tetap sayangkan mereka.

Kakak tahu tak?
Adik dah lama tak doakan kesihatan adik. Adik lebih suka bila adik jatuh sakit kakak. Sebabnya, adik rasa hati ini lebih dekat sama Allah.

Kakak..

 Andai untuk melihat mereka berubah, nyawa adik jadi galang gantinya, sungguh adik sanggup kakak!
Adik nak sangat tengok mereka berada di jalan Allah yang sebenar-benarnya!
Adik harap, saat hembusan nafas adik yang terakhir, adik berpeluang lihat keadaan itu!
 

Terima kasih kakakku sayang! 

******** 

Cuti Hana berbaki lagi seminggu. Hana cuba mencari kelapangan waktu untuk menziarahi guru kesayangannya, ustazah Rafizah. Hubungan Hana dengan ustazah itu amat akrab. Dia selalu berhubung dengan gurunya itu. Ustazah Rafizah juga selalu bertanya khabar ceritanya. Guru itu merupakan guru kelas adik lelakinya, Faiz, yang bakal menghadapi peperiksaan SPM tahun ini. Hana bersama adiknya itu dan dua sahabat karibnya, Farahin dan Syazwani, menaiki motor untuk melawat guru tercinta mereka yang baru sahaja berpindah ke rumah baru.

Kedatangan mereka disambut dengan senyuman bahagia ustazah Rafizah. Hana, Farahin dan Syazwani bersalaman sambil berpelukan dengan ustazah mereka. Faiz hanya tersenyum dan menyalami suami gurunya itu. Selepas borak-borak bertanya khabar dan bertukar cerita, ustazah Rafizah menghidangkan menu masakannya. Laksa, nasi himpit, sambal kacang dan lontong menjadi santapan mereka petang itu. Alhamdulillah, kenyang sungguh! Terbaik!

Usai makan, mereka berlima duduk di sofa. Anak-anak ustazah Rafizah duduk di sebelahnya. Suaminya mendukung anak lelaki yang masih kecil, berusia dua tahun mungkin.

“Kamu ambil ijazah dekat universiti berapa tahun ya?” Tanya ustazah pada Hana, Farah dan Syazwani.

“Empat tahun zah..” Hana menjawab.

“Empat tahun. Bunyi macam lama, tapi sebenarnya sekejap saja. Kamu jangan nak cari-cari pakwe ya dekat sana! Sibukkan diri dengan belajar dulu.” Ustazah Rafizah memulakan mukadddimah tazkirahnya. Farah dan Syazwani tergelak sambil menggeleng saja. Hana juga. Mereka memasang telinga mahu mendengar bingkisan peringatan yang dirindui mereka oleh guru itu.

“Empat tahun kamu dekat universiti, banyak perkara yang ibu bapa kamu tak tahu. Banyak perkara yang kamu boleh tipu ibu bapa kamu. Ibu bapa kamu bulat-bulat percaya yang anaknya belajar dekat universiti. Tapi, mereka tak tahu yang setiap malam anaknya pergi disko, pergi lepak dekat pawagam, pergi sana sini menghabiskan duit dan banyak kes lagi. Semua ni pernah berlaku. Ustazah pun ada pengalaman menempuh hidup di universiti.Memang banyak dugaan dan godaan. Kita kena pandai jaga diri sendiri. Kita kena pandai berdikari.

Bersyukurlah sebab kamu bertiga ada ruang dan peluang belajar di univerisiti. Ada orang, dia ada peluang, tapi tak punya ruang. Dia dapat tawaran belajar, tapi dia tak ada duit. Jadi, tak berpeluang. Kamu kena hargai apa yang kamu dapat ni. Tumpukan perhatian kamu pada pelajaran. Biar dapat keputusan yang terbaik! Biar dapat puaskan hati sendiri lepas dah penat lelah kamu study!” Pesan ustazah Rafizah. Faiz hanya mengangguk. Hana, Farah dan Syazwani juga mengangguk sambil terus mendengar dengan tekun.

Tepat jam 5.30 petang, mereka berempat meminta diri untuk beransur pulang. Mereka bersalaman dan mengucapkan ribuan terima kasih pada guru yang sangat baik hati itu.

Malamnya, Hana bersama beberapa orang sahabat melakukan aktiviti yang digelar ‘bulatan gembira mendekat pada-Nya’ di masjid. Ia juga digelar sebagai usrah yang bertujuan mendekatkan dan mengingatkan diri pada Allah. Pengisian pada malam itu mengupas tajuk ‘Persahabatan Dalam Kehidupan’.

cccc

“Secara jujur, aku nak jadi seorang sahabat yang bila korang tengok aku, korang akan teringat Allah. Dan aku tahu, kita semua nak jadi macam tu. Kita semua nak jadi salah satu asbab yang menyebabkan orang lain teringat akan Allah. Aku mahu kita semua jadi sahabat. Bukan sekadar sahabat akan tetapi sahabat sejati. Sahabat adalah dia yang ingin bersama sahabatnya ke Syurga. Sahabat sejati datang bersama kebaikan. Ingin sama-sama menuju ke Syurga Ilahi. Sahabat sejati takkan biar kita sendirian. Ingin sama-sama mengejar cinta dan redha Ilahi.” Hana memulakan mukaddimahnya.

“Aku pun harap, kalau aku ada buat salah dan silap, sila-silalah tegur aku ya.” Sambung Farahin.

“Erm.. Macam mana kita nak tegur kawan kita dengan berhikmah ya?” Soal Yuni.

“Mungkin, bergantung pada apa yang kita nak tegur. Paling penting untuk aku, kita kena bina jambatan hati dengan kawan-kawan kita. Maksudnya, kita kena isi kekosongan dan lompong-lompong yang ada dalam jiwa mereka tu dengan sikap prihatin dan kasih sayang kita. Sebab, bila dia dah selesa dengan kita, lagi senang kita nak menegurnya. Teguran tu pula, perlu secara berperingkat. Tak boleh terus nak marah-marah! Ustaz Munir pernah beritahu, kalau kita nak tegur seseorang, buatlah macam burger. Kalau burger, roti, daging dan roti. Kalau kita, puji, kritik dan puji dia kembali. Jangan asyik kritik dan ikut rasa amarah saja. Tak jadi juga nanti. Takut dia makin menjauhkan diri daripada kita. Wallahua’lam.” Jawab Hana dengan nada yang bersemangat.

“Tapi kan, kadang-kadang, orang yang rapat dengan kita merupakan golongan yang paling sukar kita nak tegur. Takut sakitkan hati dia. Takut dia tinggalkan kita.” Yuni meluahkan rasa. Shila mengangguk tanda setuju.

“Ya. Betul tu! Nak buat macam mana ya?” Soal Syazwani pula.

“Aku jawab pertanyaan kau dalam bentuk cerita ya. Hehe. Contoh, aku tegur kawan yang aku paling rapat. Aku tegur dia pasal aurat. Dia satu course dengan aku. Dia selalu pergi kelas dengan tudung pendek yang jarang. Bajunya pun menampakkan bentuk badan. Aku belikan dia tudung labuh 50 inci. Aku bagi dia sebagai hadiah. Dalam tudung tu, aku selitkan satu surat cinta. Aku beritahu tentang keistimewaan wanita. Aku juga beritahu dia yang tertutup itu lebih indah. Di akhir surat tu, aku tulis, “Peliharalah auratmu kerana-Nya. Dirimu begitu berharga.” Satu hari, dia jumpa aku. Dia marah. Tudung yang aku bagi, dia buang katanya. Dia kata, dia tak suka cara aku tegur dia. Dia kata aku pengecut sebab tak berani tegur dia secara terus-terang dan tegur melalui surat.

Aku pun jawab. Aku bagi dia surat sebab senang dan mudah untuk kita saling beringat. Manusia kan pelupa. Allah bagi kita al-Quran untuk kita baca dan ambil tahu isinya. Rasulullah SAW tinggalkan kita hadis sebagai rujukan. Aku bagi dia surat supaya bila dia lupa, dia boleh tengok surat tu. Lagipun, surat itu merupakan peringatan untuk diri aku juga. Aku sekadar mahu berkongsi. Islam ada banyak cara. Dan, itu juga merupakan salah satunya. Sejak tu, aku dengan dia dah tak rapat macam dulu. Aku cuba juga mesej dia. Tapi, dia balas nak tak nak sahaja. Pernah aku menangis sebab dia. Tapi, aku tak pernah rasa menyesal sebab aku tegur dia. Aku tak pernah rasa menyesal dengan teguran tu, dia dah tak rapat dengan aku. Aku akan rasa lebih menyesal kalau aku lembat tegur dia. Kisah Nabi tercinta jadikan aku kuat semula. Nabi pernah dipulau oleh insan-insan sekelilingnya. Baginda pernah dijerut. Penderitaan Baginda dalam berdakwah lagi hebat kalau nak dibandingkan dengan kisah aku ni. Jadi, teruskan tersenyum dan teruskan melangkah! Biar tujuan kita kerana Allah, bukan kerana manusia. Tak semua suka dengan cara kita dan tak semua benci dengan tingkah  kita. Buatlah sesuatu kerana Allah, nescaya kita takkan bersedih lama.

Lagi satu, doa kita untuk dia jangan sesekali dilupa. Bila dah usaha, doa itu perlu kita iringkan bersama.” Akhiri Hana dengan sebuah renungan yang mendalam. Mata Yuni sudah mula berkaca. Mereka berlima berpeluk mesra. Rindu di jiwa Hana makin membara terhadap sahabat karibnya yang berada di Jordan. Moga Allah sampaikan rindu itu pada si dia.

********

Telefon bimbit Hana berbunyi. Tanda mesej masuk. Dia meletak sebentar buku ‘Penenang Jiwa’ oleh Imam al-Ghazali. Dia bangun mencapai handphone.

Doakan semoga keputusan STAM aku cemerlang!

-Haikal-

Hana tersenyum sambil membalas mesej tersebut.

Insya-Allah, apa yang kau usahakan, itu yang akan Allah bagi. Doakan aku juga di universiti ni.

-Hana-

Mengikut pangkat keluarga, Haikal merupakan anak saudaranya. Umurnya sebaya dengan kakak Hana, 24 tahun. Tetapi, dia bertekad mahu menyambung ke peringkat Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM). Pertempuran Haikal menghadapi peperiksaan itu sudah pun selesai. Kini, menanti natijahnya sahaja.

Tidak ada manusia yang tidak punya sejarah jahiliah dalam melalui masa silamnya. Tidak ada insan suci yang tidak mempunyai masa lampau dan tidak ada insan berdosa yang tidak mempunyai masa depan.  Hana juga punya sejarah jahiliah yang tidak mahu diulanginya! Hidayah yang menerpa jiwanya waktu dia berada di tingkatan 4, tidak disia-siakannya! Bila rasa taubat mula menjelma, dia tidak melambat-lambatkannya. Gusar rasa itu semakin hilang dan takkan kembali. Haikal juga begitu. Haikal merupakan seorang lelaki biasa yang memiliki seorang kekasih hati dan tidak punya pengetahuan agama yang tinggi. Entah bagaimana, sejak dia mula menghadiri ceramah seorang ustaz, dia menanam tekad untuk berhijrah. Berhijrah ke arah kebaikan! Dia mula join usrah di tempat ustaz itu. Kekasih hati diketepikan dek kerana ingin mencari cinta Ilahi yang kian berputik di hati.

Hingga suatu hari, dia datang menemui Hana di rumah. Masa tu, Hana baru selesai peperiksaan STAM.

“Aku nak tanya ni. Apa syarat nak sambung STAM?”

“Syarat? Entahlah. Huhu. Kena ada sijil SPM tak silap aku. Kenapa? Kau nak ambil STAM macam aku juga ke?”

“Aku rasa aku nak ambil STAM. Apa pendapat kau?”

“Okey saja! Bagus sangatlah tu! Alhamdulillah.”

“Aku tengah nak usahakan ni. Tapi, swasta punyalah. Doakan ya.”

“Insya-Allah. Kalau tak faham apa-apa pasal subjeknya nanti, boleh tanya aku. Tapi, aku ni taklah hebat sangat. Mana yang aku tahu, aku cuba tolong.”

“Okay, terima kasih.”

Hana dapat menjangka bahawa Haikal sudah mula hendak mendalami ilmu agama. Dia sudah mula mahu berubah ke arah yang lebih baik. Hana teringat kata-kata Imam al-Mawardi : “Bila kita tidak mungkin mendapatkan semua ilmu, maka tumpukanlah semua perhatian kita kepada ilmu yang terpenting. Pusatkan perhatian kita kepada ilmu yang paling utama untuk dipelajari. Ilmu yang paling utama tidak lain adalah ilmu agama. Dengan ilmu agama,manusia boleh mendapat petunjuk. Tanpa ada bimbingan daripada ilmu ini, pastilah manusia akan tersesat.”

Tiba-tiba, ingatan Hana beralih kepada seseorang. Hana amat cemburu akan insan itu. Dia baru saja menamatkan pengajian di peringkat sijil selama setahun setengah di Darul Quran. Dia kini menyambung pengajiannya di sebuah universiti tempatan. Sepupu yang sebaya dengannya itu, Salman, sudah pun bergelar hafiz. 30 juzuk terpasak di dadanya. Dia merupakan abang kepada Farhan. Orangnya nampak sempoi saja dan boleh masuk dengan semua jenis manusia. Kadang-kadang, dia agak ‘gila-gila’ tapi, bila masuk bab agama, dia serius! Al-Quran dan Sunnah menjadi pegangan hidupnya. Dari hari ke hari, dia sentiasa berusaha mensolehkan dirinya dan berusaha mengulang hafazannya. Salman juga cuba untuk mengislahkan orang di sekelilingnya, mengikut caranya yang tersendiri.

Salman merupakan salah seorang sepupu lelaki yang dia kagumi. Kebanyakan sepupu-sepupu perempuannya, baik di sebelah bapa atau sebelah ibu, sering mengabaikan aurat mereka. Mereka bertudung tetapi memakai t-shirt lengan pendek. Mereka bertudung tetapi tudungnya disilangkan hingga menampakkan leher dan dada. Mereka bertudung tetapi jarang. Mereka bertudung tetapi di hadapan khalayak orang ramai saja. Di hadapan sepupu, mereka selalunya akan mem’buang’ tudung mereka. Inilah kesilapan kaum wanita yang sering berlaku. Ramai yang tidak sedar atau mungkin tidak tahu bahawa sepupu merupakan seseorang yang bukan mahram. Jadi, batasan aurat tetap perlu dijaga dan dipelihara sebaik mungkin kerana-Nya.

Kadang-kadang, Hana bersa sangat kesal. Dia kesal kerana dirinya masih lemah! Imannya masih belum cukup teguh untuk menegur insan-insan di sekelilingnya yang masih tidak menutup aurat, yang masih mengumpat dan sebagainya. Hati Hana sering menangis dalam sendiri. Dia tidak mahu pentingkan diri dengan membiarkan orang lain mendapat dosa. Namun, apa yang terdaya, dia cuba usaha dan lakukan. Hana berdakwah secara senyap melalui pergaulannya dan pemakaiannya. Dia tetap tersenyum dan berkongsi cerita bersama mereka yang masih jahil agama itu. Dia tidak menjauhi mereka. Malah, dia cuba dekati dan bermesra. Bila Hana duduk bersama kaum Hawa, dia akan ‘gila-gila’ juga. Akan bergurau senda dan ketawa bersama. Dia tidak pernah cuba mensyadidkan orang lain. Bagi Hana, syadid hanya untuk dirinya sendiri. Hana sememangnya sudah bertekad untuk istiqamah dalam pemakaiannya. Tudung labuh bulat menjadi identitinya sebagai pelindung mahkota diri sentiasa membuat dirinya berasa aman dan selesa. Stoking dan hand sock juga tak dilupakannya. Dia bukanlah mahu menunjuk baik! Tetapi, dia mahu menjadi baik!

Memang kadang-kadang, Hana diperli. Kata mereka, “Alamak, ada ustazahlah! Tak boleh nak gelak kuat-kuat. Hehe.” “Weh, ada ustazah! Pasang ayat-ayat al-Quran saja, tak boleh pasang lagu dalam kereta ni! Haha.”

Hana hanya mampu diam dan terus tersenyum. Walau dalam hati, ada sekelumit sakit yang terbit. Kadang, hati dia akan membalas, “Kalaulah korang tahu yang tudung labuh bukan milik ustazah saja, tapi, milik semua muslimah!”

Hana yakin. Dia percaya bahawa Allah itu Maha Tahu. Hana mahu menjadi seseorang yang dapat menyambung perjuangan Nabi Muhammad SAW. Bercita-cita ingin menjadi penyambung kepada perjuangan Rasulullah SAW bererti mempertaruhkan diri untuk menerima cacian, perli, kutukan dan pelbagai lagi. Saban hari, ada saja mehnah yang bertandang. Hendak menguji sebuah ketabahan dan kesabaran. Hidayah itu milik Allah. Namun, adakah diri berusaha untuk mencarinya? Atau sekadar menanti sebuah hidayah? Hana selalu berdoa agar insan-insan kesayangannya akan dilembutkan hati dan mula menutup aurat mereka. Doa juga merupakan salah satu wasilah dalam berdakwah. Kerana tanpa doa, putus asa mungkin akan mengakhiri perjuangan ini.

********

Usia Hana sudah pun menginjak ke 20 tahun. Segalanya mungkin terjadi. Perjalanan sebagai penuntut ilmu di bumi universiti tempatan itu tetap menjadi keutamaan dalam dirinya. Dia tidak mahu membazirkan usia mudanya dengan longgokan dosa dan noda. Ramai yang makin hari makin sibuk nak cari teman di hati. Nak cari kekasih pengubat duka lara di jiwa. Nak cari keseronokan dalam bermesej dengan ajnabi dan bergurau senda bersama di dalam telefon. Kata mereka, “Aku sunyi. Kawan aku semua dah ada yang punya. Aku pun nak juga.”

Andai itu matlamat utamanya, lupakanlah.Utamakan yang lebih utama. Jauhi dan elakkan daripada melakukan sesuatu yang sia-sia. Sesuatu yang memungkinkan syaitan untuk menodai sekeping hati. Rapatkan hati dan diri dengan Allah Yang Maha Esa. Untuk ‘mencari’, sepatutnya diri perlu terlebih dahulu ‘menjadi’.

532642_572643082753182_1790240536_n

Imam hidup.

Putera agama.

Itu matlamat utama sebuah pencarian cinta. Mahu cinta yang halal dan diredhai Ilahi. Di saat diri sudah mampu dan bergerak ke arah sedia. Orangnya kaki masjid, bukan kaki lepak dan suka berfoya-foya. Calon suami yang bertakwa, dia yang berpotensi memimpin kita ke Syurga.

Hana tidak mahu pencarian pasangan hidup yang sering dilakukan  dan mendapat sambutan oleh para pelajar di universiti mencuri tumpuannya. Walau dirinya sudah memiliki beberapa list nama dan karakter agama yang diingini sebagai calon suami, namun itu bukanlah termasuk perkara terpenting buat masa ini. Itu bukan keutamaannya!

Hana mahu bersungguh-sungguh dalam menggarap sebanyak mungkin ilmu di universiti itu dahulu. Mencari cinta Ilahi dan menggapai redha-Nya merupakan fokus utama hati! Meskipun liku hidupnya sentiasa dihiasi air mata, namun, itulah jalan yang dipilihnya.

15215_398376836906112_2033297336_n

Ketahuilah bahawa hidup ini memang sentiasa akan menguji. Menguji diri, iman, tabah dan sabar serta banyak perkara lagi yang ingin diuji-Nya. Kerana, Dia amat sayang akan hamba-Nya. Air mata itu kadang-kadang menjadi penyebab untuk kita lebih akrab dengan-Nya. Air mata itu juga kadang-kadang menjadi penyebab untuk kita mohon kekuatan-Nya. Pandangan manusia cuba diketepikan lantaran memfokuskan diri pada pandangan Yang Maha Mengetahui. Syurga itu dipagari dengan segala kepayahan. Neraka itu dilingkari dengan segala keseronokan.

Kini, Hana meneruskan langkah hidupnya. Dia terus berjalan tanpa henti. Dia sentiasa berusaha untuk berhati-hati. Tidak mahu tersungkur lagi! Moga bidadari lindungan Ilahi itu akan terus istiqamah dengan jalan yang diterangi cahaya kebenaran itu. Moga Allah redha dalam setiap hembusan nafas dan setiap derap kaki yang melangkah! Bismillah…..!

****TAMAT****

 

PENCARI CINTA ILAHI

wana93.wordpress.com

 

HARI GURU, HATINYA SAYU

Published May 16, 2012 by wana93

Amin gembira hari ini. Esok merupakan hari yang dinantinya. Hari guru! Dia sudah selesai membalut sebuah hadiah istimewa khas untuk guru kesayangannya, ustazah Syahila. Ustazah itu mengajar subjek Bahasa Arab untuk tahap 2. Ustazah itu merupakan ustazah baru di sekolahnya. Berumur dalam lingkungan 20 tahun. Ustazah itu sudah hampir 5 bulan mengajar. Namun, ustazah itu tidak lama khidmatnya. Dia bakal berhenti tak lama lagi.

Amin melangkah ke sekolah dengan sebuah tekad. Dia mahu menggembirakan hati guru kesayangannya itu. Tidak sabar rasanya hendak menunggu hari esok! Amin merupakan murid tahun 5, kelas pertama. Dulu, Amin memang susah untuk belajar. Dia lebih gemar bersikap acuh tak acuh. Namun, setelah guru baru itu masuk mengajar sebagai guru ganti, Amin mula menampakkan perubahan. Dia semakin rajin belajar terutama subjek Bahasa Arab.

Masa untuk subjek Bahasa Arab tiba juga. Amin cuba memfokuskan dirinya meskipun sering diganggu oleh rakan sebelahnya.

“Amin..! Buku tulis kamu mana? Ustazah kan suruh jawab latihan ni dalam buku tulis..” Ustazah Syahila menegur. Amin mengangkat wajahnya. Dia memandang ustazah itu.

“Saya buat dalam buku teks dulu zah, baru tulis dalam buku tulis..” Jawab Amin sambil tersenyum. Ustazah Syahila menggelengkan kepala sambil tersenyum. Tak kisahlah, asalkan Amin buat kerja. Sedang ustazah Syahila dan para pelajar berbincang jawapan, ada beberapa pelajar yang cuba menganggu konsentrasi ustazah itu. Pelajar-pelajar itu berperang mulut. Saling kutuk-mengutuk.

“Kau diamlah..dahlah gemuk!”

“Ahh..kau lah diam! Dahlah hitam!”

“Weh! Sudahlah!”

Ustazah Syahila mendiamkan diri. Dia kaku berdiri di hadapan kelas. Matanya tajam memerhati pelajar-pelajar itu. Tak sampai dua minit, kelas mula diam. Hanya kedengaran bunyi kipas yang sedang rancak berpusing.

“Dah puas dah kutuk? Nak kutuk lagi? Kalau tak puas, pergi kantin, ambil pisau! Tikam saja kawan kamu ni! Nak? Ustazah bagi peluang ni..” Ustazah Syahila mula menyindir. Semua mulut seakan kaku untuk berbicara. Hanya mampu memasang telinga, menadah bicara daripada ustazah mereka.

“Kamu tahu tak, hari-hari sikap kamu macam ni, amatlah berpotensi nak bagi guru memiliki penyakit. Penyakit darah tinggi! Ustazah dah lama tak ‘check’ darah. Entah-entah, dah ada darah tinggi dah sekarang! Kamu nak sangat ya ustazah mati?” Ustazah Syahila bertanya. Mata para pelajar mula memandang ustazah itu.

“Tak nak..” Jawab mereka.

“Yelah tu! Okey, kamu bayangkan ya. Balik ni, ustazah pergi ‘check’ darah dekat klinik. Ustazah tiba-tiba menghidap penyakit darah tinggi. Malam ni, ustazah pengsan. Esok pula, ustazah dah tak ada. Ustazah meninggal. Kamu semua mesti suka kan?” Ustazah Syahila cuba menahan air mata yang sudah dirasa makin bertakung. Dia cuba relaks. Beristighfar di dalam hati berkali-kali.

“Tak..” Jawab mereka. Amin sudah mula rasa pilu. Sampai hati guru kesayangannya cakap begitu?? 😦

“Kamu nak belajar ke nak bergaduh?” Tanya ustazah Syahila. Mukanya serius!

“Nak belajar..” Jawab ‘anak-anak’ tercintanya itu.

Ustazah Syahila teruskan mengajar. Alhamdulillah, mereka memberi kerjasama yang jitu.

“Ustazah! Saya dah siap!” Amin tersenyum riang. Ustazah Syahila hanya mengangguk sambil tersenyum meraikan kerajinan anak didiknya yang seorang itu.

Sebelum keluar kelas, ustazah Syahila selalu berkata begini,

“Okey, kita jumpa lagi kalau tak mati..”

Sebelum balik, Amin masuk ke bilik guru. Ustazah Syahila tiada. Inilah peluangnya! Dia meletakkan sehelai kertas di atas meja guru kesayangannya itu. Meja ustazah itu bersebelahan meja Uminya.

*****

Syahila berjalan menuju ke bilik guru. Matanya baru saja membasah secara diam. Hatinya terasa sakit. Hari ini, dia sendiri keliru. Kenapa hatinya hari ini sangat lemah?

Ya Allah! Kuatkan aku!

Hanya doa itulah yang terus dipohon oleh sekeping hati milik Syahila. Kakinya baru saja melangkah keluar dari kelas darjah 5. Kelas terakhir. Sememangnya, kelas terakhir amatlah menduga sabar seorang guru.

“Okey, dah siap? Kita bincang jawapan ya?” Syahila bertanya pada anak-anak didiknya. Pelajar perempuan mengangguk setuju. Pelajar lelaki, ramai yang buat-buat tak tahu. Syahila masih bersabar. Dia meneruskan agenda berbincang  jawapan bersama pelajarnya.

Masih ada 20 minit lagi sebelum kelas tamat. Pelajar lelaki sudah mula buat hal sendiri. Mereka berkumpul dan ada yang berlari dalam kelas. Makin didiamkan, makin menjadi-jadi! Syahila mula memandang satu persatu. Pandangannya tajam! Namun, mereka seakan tidak mengerti. Malah, mereka semakin aktif beraktiviti sendiri. Sudahlah tidak menyalin nota dan langsung tidak buat latihan ulangkaji yang diberi!

Tahap sabar dalam diri Syahila sudah sampai kemuncaknya! Sebelum ini pun, dia sendiri sudah mencuba pelbagai cara untuk menarik minat anak muridnya itu belajar. Cara lembut sudah, cara keras pun sudah.

Syahila menggenggam kotak pensel kainnya. Kotak pensel itu penuh dengan alat-alat tulis. Dia meluru ke arah pelajar yang sedang leka berbual dan bergelak tawa.

“Paaaaapppp!!”

Lengan seorang demi seorang dipukul oleh Syahila dengan menggunakan kotak pensel kainnya itu. Ada yang cuba melarikan diri. Semakin tercabar Syahila. Dia membaling kotak pensel kainnya itu dan tepat terkena pada murid yang melarikan diri.

“Lari lagi! Pandai buat salah, tapi, pengecut!” Syahila menarik nafas dalam. Mukanya sudah mula memerah. Bahang amarah.

Semua pelajar diam membatu. Duduk di tempat masing-masing. Ada yang baru sibuk hendak mencari buku dan kertas untuk menyalin nota dan latihan.

“Ustazah diam, kamu lagi suka kan! ‘Best’ sangat ke kena pukul? Tolonglah…ustazah tak nak pukul-pukul, marah-marah kamu. Tolong sayang diri kamu!” Bebel Syahila. Dia berusaha ingin menyedarkan hati ‘anak-anak’ itu. Barulah kelas terkawal. Dia meneruskan sesi mengajar. Syahila membaca dan mereka mengikut. Ramai antara mereka yang masih tidak tahu membaca walaupun sudah berada di tahun 5.

Usai kelas tamat, Syahila singgah di satu kelas kosong. Dia cuba menanangkan jiwa yang semakin gundah gulana. Entah kenapa, hari ini, Syahila berasa amat lemah. Air matanya laju mengalir dalam sendiri.

“Hai ustazah comel!” Satu suara menyapa dari luar pintu kelas. Syahila kenal suara itu. Itulah suara Akil, pelajar tahun 2. Syahila memalingkan wajah ke belakang dan mengesat air mata cinta yang mengalir. Kemudian, dia menghadiahkan senyuman manis pada si kecil itu.

“Kenapa mata ustazah merah? Ustazah menangis ya?” Tanya Akil. Syahila semakin sayu. Tapi, dia bersyukur kerana si kecil ini hadir di saat dirinya memerlukan secebis penyembuh luka.

“Eh! Tak adalah! Ustazah mengantuk. Tu yang mata merah ni.” Jawab Syahila sambil mencubit pipi comel Akil. Seorang pelajar tahun 1 pula muncul secara tiba-tiba.

“Ustazah! Nak baca Muqaddam ni boleh?” Tanya Aidil sambil tangannya memegang Terjemahan Al-Quran milik Syahila.

“Ini bukan Muqaddam lah sayang. Ini Al-Quran.” Syahila menerangkan pada si comel itu. Aidil hanya tersenyum sambil mengangguk ceria.

Sampai di bilik guru, Syahila menghela nafas panjang. Dia terpandang sehelai kertas yang comel di atas meja miliknya. Perlahan-lahan, Syahila mula membuka surat itu. Dia tersenyum membaca isi surat itu.

Ustazah, doakan saya dapat mumtaz!

Ustazah, macam ni tau, ^_^ jangan macam ni, 😦

Ustazah, senyum selalu tau!

Sebab saya suka senyum! (^_^)

 

For : Ustazah Syahila..

Syahila tersenyum panjang. Dia tahu dan kenal dengan tulisan pengirim surat cinta itu meskipun tidak tertera namanya. Dia tergelak kecil. Kemudian, dia menegur ustazah di sebelah mejanya, ustazah Insyirah.

“Ustazah..cuba baca apa yang anak ustazah tulis ni..hehe..” Syahila menghulurkan surat cinta itu pada ustazah Insyirah, ibu kepada pengirim surat tersebut. Ustazah Insyirah turut tersenyum membaca dan melihat tulisan anak lelakinya yang seorang itu.

“Syahila, Amin bagi ke ni? Dia ni, macam-macam..”

“A’ah.. Dia ‘study’ tak dekat rumah? Saya tengok sekarang, dia macam dah ada perubahan. Tadi nampak dia dekat perhimpunan, siap pegang buku Bahasa Arab lagi.” Syahila tergelak kecil. Rasa terhibur dengan sikap Amin yang sudah mula ada perasaan. Dulu, Amin seakan tidak punya perasaan. Bila ditegur, dia suka buat-buat tak tahu. Bila orang senyum, dia tak balas pun. Mukanya serius dan tegang saja. Tapi kini, dia sudah berubah. Berubah ke arah yang lebih baik. Dia suka menegur Syahila. Dia juga sudah mula belajar tersenyum ketika berada di dalam dan di luar kelas.

“Itulah Amin.. Dia rajin juga belajar dekat rumah sekarang. Terutamanya, Bahasa Arab. Alhamdulillah dia dah mula tunjuk rasa minat pada subjek tu. Kalau dulu, nak pegang buku pun susah!” Jelas ustazah Insyirah.

“Alhamdulillah ustazah. Dia pernah cakap dengan saya yang dia nak usaha dapatkan Mumtaz dalam peperiksaan pertengahan tahun ni.” Syahila tersenyum ceria. Duka nestapa yang melanda diri sebentar tadi seakan sudah hilang.

“Oh iya ke? Baguslah kalau macam tu. Kita tengok sajalah nanti keputusan dia macam mana. InsyaAllah.”

Syahila menuju ke motornya untuk pulang. Dia disapa oleh seorang pelajar lelaki, tahun 3.

“Ustazah! Hari guru bila?” Tanya Yaser.

“Hari guru? Esok! Tapi, sekolah kita sambut minggu depan. Kenapa? Kamu nak bagi ustazah hadiah ke?” Syahila sengaja menyakat.

“Ooo.. Tak laaa..” Jawab Yaser selamba.

“Tak?” Syahila membuat reaksi muka sedih. Hatinya terhibur!

“Eh, bukan. Maksud saya, saya bagi ustazah hadiah minggu depanlah. Sebab tu saya tanya.” Yaser tersenyum.

“Haha. Okeylah. Ustazah tunggu hadiah kamu ya!” Syahila tersenyum manis.

Hari ini, Syahila menghadiahkan anak-anak murid kelasnya, tahun 6, kelas pertama dengan hadiah coklat. Ternyata ‘anak-anak’ Syahila gembira. Ada beberapa yang mengucapkan ‘Selamat Hari Guru’ pada Syahila. Baginya, itu sudah cukup.

“Ustazah! Ustazah suka Angry Bird kan?” Tanya seorang pelajar perempuan kelasnya.

“Haa? Kenapa?” Tanya Syahila kehairanan.

“Ala zah.. ustazah cakap sajalah suka.. kan?” Pelajar itu seakan memaksa dalam serius.

“Aduhai.. Iyalah.. Kenapa?”

“Hehe. Tak ada apa ustazah. Bye!”

Syahila hanya menggelengkan kepala dengan sikap ‘anak’nya itu. Macam-macam!

Takkan nak bagi aku hadiah Angry Bird kot? Haha..

Syahila tergelak sendiri memikirkan monolognya itu.

Syahila tahu, sebagai guru, adalah normal dan perkara biasa jika kita sedih dengan sikap para pelajar yang terkadang semakin menjadi-jadi. Mereka semakin lupa akan rasa hormat yang dipelajari. Mereka semakin suka membalas kata-kata murabbi. Namun, adalah sesuatu yang tidak wajar jika kita sebagai guru, pendidik dan murabbi tidak meredai mereka. Syahila sentiasa sematkan sabar di dalam tindak tanduknya. Dia cuba berpositif. Sekolah hendaklah dijadikan seperti ladang pahala, pasti kita takkan bersedih lama. Guru ini memang sensitif hatinya, amat mudah tersentuh tetapi jangan sesekali lupa bahawa guru juga mudah memaafkan tanpa dipinta. Itulah guru! Hatinya sarat dengan kasih sayang!

*****

16 Mei 2012. Amin sudah selesai menulis puisi buat guru kesayangannya. Puisi itu diselit bersama hadiah istimewa. Amin tersenyum riang di pagi ini. Dia tidak sabar hendak memberi hadiah istimewa pada ustazah Syahila. Meskipun sekolahnya menyambut sambutan Hari Guru pada minggu hadapan, Amin tetap mahu memberi hadiah itu hari ini juga!

Sampai di sekolah, Amin duduk di kantin. Dia seakan menanti kehadiran guru kesayangannya. Ustazah Syahila akan ‘parking’ motor berhampiran kantin. Amin terus menanti. Sehingga perhimpunan sudah bermula.

Usai perhimpunan, pelajar masuk ke kelas seperti biasa. Ramai antara mereka sempat mengucapkan Selamat Hari Guru pada guru-guru mereka. Termasuklah Amin. Amin mengatur langkah di pagi itu untuk bertemu dengan guru kesayangannya. Hadiah yang sudah cantik dibalut didakap erat. Kakinya terus menapak.

Perhatian kepada semua pelajar dan guru. Untuk makluman semua, ustazah Syahila sudah kembali ke rahmatullah pada pagi tadi. Al-Fatihah.

Amin berhenti melangkah! Dia seakan tidak percaya dengan apa yang baru didengarnya sebentar tadi. Hatinya bermonolog,

Ya Allah! Benarkah ustazah Syahila sudah tiada?!

Hadiah yang didakap erat terlepas dari dakapan! Jatuh! Matanya mula membasah. Manik jernih semakin laju mengalir! Amin sudah tidak tahan! Dia memaut kembali hadiah yang jatuh itu dan terus berlari menuju bilik guru.

“Umi! Ustazah Syahila dah tak ada ke?” Amin duduk di tempat ustazah Syahila sambil menangis. Ustazah Insyirah mula mendapatkan Amin. Dipeluk erat tubuh itu untuk meredakan sanubarinya yang sedang kuat menangis.

“Sabar ya sayang. Ustazah Syahila sayang sangat dengan Amin. Umi pun baru dapat tahu. Ustazah Syahila meninggal sebab tekanan darah tingginya tiba-tiba menaik mendadak.” Ustazah Insyirah juga sudah tersedu-sedan menahan sebak.

“Umi! Amin nak bagi dia hadiah! Amin nak bagi dia baca puisi Amin! Ustazah kan muda lagi. Kenapa boleh meninggal awal pula?” Ujar Amin seakan memberontak. Dia menangis di meja ustazah Syahila.

“Amin, jangan cakap macam tu ya. Tak baik. Mati tu tak kenal usia. Tua ke, muda ke, kalau ajal kita dah sampai, kita tetap akan mati. Amin doakan ustazah Syahila ya.” Ustazah Insyirah terus memujuk anak itu.

Pada hari ini, hati Amin sungguh pilu. Pada Hari Guru, jiwanya terasa amat sayu tanpa guru kesayangan, ustazah Syahila. Ustazah Insyirah  membuka hadiah yang dibalut kemas dan membaca puisi hasil nukilan hati anaknya sendiri, Amin.

Ustazah..

Saat ustazah gelisah, maka tersenyumlah..

Kerana saya yakin, kita kan ada Allah..

 

Ustazah..

Saat ustazah bersedih, maka tenanglah..

Kerana saya yakin, ustazah sangat tabah..

 

Ustazah..

Saat ustazah tegur saya, saya bahagia..

Kerana saya percaya, ustazah prihatin akan anak didiknya..

 

Ustazah..

Saat ustazah marah,  saya tak terasa pun dekat ustazah..

Sebab saya tahu, saya memang salah..

 

Ustazah..

Saat ustazah berceramah, telinga saya sentiasa menadah,

Sebab saya gembira, ustazah ingatkan kami tentang Allah..

 

Ustazah..

Saat ustazah ceria, saya bertambah suka..

Sebab saya suka tengok ustazah tersenyum bahagia..

 

Ustazah..

Terima kasih atas segala jasamu..

Selamat Hari Guru..

 

Saya sayang ustazah! ^_^

From : Amin..

Air mata ustazah Insyirah semakin deras mengalir. Betapa sayangnya Amin terhadap gurunya itu. Sungguh! Ustazah Syahila mendapat tempat yang sangat istimewa di hati Amin sebagai guru yang penyayang. Semoga Amin terus belajar dan semoga ustazah Syahila bahagia di sisi-Nya.

***TAMAT***

> Kepada para pelajar : Hargai guru anda! Jaga hati mereka! Jaga adab dan tingkah anda dengan mereka!

> Kepada para guru : Selamat Hari Guru! Teruskan usaha mencorak “kain putih”! Allah sentiasa bersamamu.. ^__^

KELAKARNYA CINTA

Published March 16, 2012 by wana93

Tahun 2012, genaplah umurnya kini sebagai seorang lelaki matang yang berusia 25 tahun. Abu Sufian menarik laci mejanya. Buku ‘Rancangan Masa Depanku’ diambil. Dia menyelak helaian demi helaian. Matanya fokus terhadap rancangan ke-8 iaitu memiliki pasangan hidup. Isteri.

Impiannya, ingin memiliki bukan hanya seorang isteri tetapi lebih daripada itu. Bukanlah bermaksud mahu kahwin lebih daripada satu. Tapi, dia ingin isterinya itu menjadi sahabat karibnya, di kala suka dan duka, susah dan senang. Dia ingin isterinya itu menyayangi ibu dan adik perempuannya. Dia ingin isterinya itu selalu ada di sisi menemani langkah dakwahnya.

“Astaghfirullah…” Terlantun lafaz itu dari mulutnya. Panjangnya angan-angan!

Matanya kembali merenung buku di hadapannya itu. Dia mengamati satu persatu.

Rancangan masa depanku :

1)      SPM ( / ) – 8A 2B

2)      Degree – Jordan ( / )

3)      Pensyarah – UIA ( / )

4)      Kereta Saga FL ( / )

5)      Motor Ego untuk adik perempuan dan LC untuk adik lelaki ( / )

6)      Master – UIA ( On The Way )

7)      Memasak dan Menjahit – ( / )

8)      Pencarian Isteri dan bina keluarga sendiri – (On The Way)

9)      Hafaz quran – ( Always On The Way )

Abu Sufian termenung panjang. Segalanya sudah dicapai. Syukur pada Allah kerana sentiasa memberi kemudahan pada dirinya. Bab hafalan, dia sudah masuk juzuk 15. Dia akan teruskan lagi. Insya-Allah. Kini, misinya fokus pada angka 8. Ibunya sudah mula bising. Asyik tanya pasal calon sahaja. Telinganya masih terngiang-ngiang betapa bingitnya suara ibunya semalam kerana di‘paksa’ untuk mencari jodoh secepat mungkin.

“Ibu tak peduli! Tahun ni, anak tunggal lelaki ibu ni mesti kahwin. Ibu nak juga merasa timang cucu sebelum ibu tutup mata. Ibu nak kau cari bini sendiri. Pastikan calon kau tu kuat agama. Sejuk mata memandang. Ibu nak dia pandai masak dan pandai menjahit! Ingat tu!” Itulah ‘amaran’ ibunya. Dia takkan sesekali lupa!

Banyak betul syarat ibunya itu. Sebagai anak, dia hanya mendengar dan taat saja. Bagi empunya diri, cukuplah calon isterinya nanti seorang yang kuat agama. Pasal memasak dan menjahit, dia tidak pernah kisah. Kalau pun calon isterinya nanti tak pandai semua tu, dia sendiri yang akan mengajarnya. Ya! Abu Sufian sebenarnya seorang lelaki yang mempunyai pakej lengkap sebagai seorang suami. Bab suri rumah, serah saja padanya. Segalanya serba boleh.

Abu Sufian selalu memikirkan satu soalan ini. Adakah dirinya sudah bersedia untuk mencintai orang lain sedangkan dia selalu mengecewakan Tuhannya? Adakah dirinya sudah bersedia untuk bertemu dengan-Nya? Ada manik jernih yang tiba-tiba singgah di pipinya. Hiba.

******

Shida menghubungi sahabat-sahabat perempunnya. Zafhan yang menyuruhnya kerana reunion untuk kelas 5 Abu Bakar akan diadakan esok, setelah 8 tahun tidak bertemu. Lokasinya di sebuah restoran Arab, Shah Alam.

Shida segera menjalankan tugasannya. Dia menelefon sahabat baiknya dahulu, Hanila.

“Assalamualaikum, esok jangan lupa datang ya dekat alamat yang saya baru mesej tadi.” Shida bersuara penuh girang.

“Insya-Allah Shida. Kalau tak ada apa-apa, saya datang.” Lembut saja suara Hanila menjawab. Dia cuba meyakinkan sahabatnya itu.

“Okey, tak sabar nak jumpa! Awak tahu, esok pengantin baru pun ada tau.” Gelak Shida kedengaran.

“Oh..Siti dengan Fikri ya?” Duga Hanila.

Absolutely! Rindu kan…” Mata Shida mula berkaca. Rasa rindu pada sahabat tercinta semakin membuak di dadanya.

“Saya pun rindu. Ada jodoh, esok kita jumpalah ya.” Suara Hanila juga sayup-sayup sahaja.

“Insya-Allah, assalamualaikum..” Talian dimatikan. Shida mengesat sisa manik jernihnya. Dia menghubungi sahabat yang lain pula.

Rindu di benak kalbu makin mendalam. Terasa dada semakin sesak dihimpit pelbagai rasa yang mula menjengah. Rindu, suka dan duka semuanya berkumpul. Esok adalah kemuncaknya. Mudah-mudahan, Allah melancarkan segala urusan di bawah reda-Nya.

******

Hari yang dirancang untuk pertemuan reunion muncul jua. Syukur! Zam Zam Arabic Restaurant, itulah tempat pertemuan bekas pelajar kelas 5 Abu Bakar. Dua tempat khas yang sudah ditempah diduduki ramai penghuni. Muslimin dan muslimat. Kaki Abu Sufian terus melangkah ke arah port kaum muslimin.

Zafhan tersenyum dari jauh. Tangannya didepakan sedikit. Pelukan rindu dua sahabat bertamu. Abu Sufian mendakap sahabatnya itu. Mereka bersalaman sambil mata saling memandang. Ada aura rindu yang tersembunyi. Kemudian, Abu Sufian bersalam dengan sahabat muslimin yang lain.

“Makin sihat kau.” Usik Abu Sufian. Ditujukan khas untuk Zafhan. Badannya sedikit berisi.

“Biasalah bro. Kerja kuat, makan pun kenalah kuat.” Zafhan tergelak. Kerjanya memang memerlukan banyak tenaga. Zafhan berjaya menjadi seorang arkitek yang menjadi impian dirinya suatu ketika dahulu.

Tak lama kemudian, berpasang-pasang mata melihat ke arah pintu masuk restoran. Pengantin baru sudah mari! Siti dan Zikri baru diijab kabulkan pada minggu lepas. Berseri-seri muka mereka. Merah memadam kerana malu. Ramai yang memandang. Ada juga usikan-usikan nakal yang kedengaran.

“Piwiiiittt..!!”

“Dia datang..dengan lenggang lenggoknya..”

Tangan yang digenggam erat dilepaskan. Siti menuju ke tempat duduk muslimat sementara Zikri melangkah ke tempat muslimin. Masing-masing bahagia dan melepaskan rindu yang terpendam. Bukan Siti dan Zikri saja yang sudah berumah tangga, malah, ada beberapa pasangan lagi. Amir, Rosli, Huzaimi, Sarah, Miza, Tikah dan Elly juga sudah berumah tangga. Amir dan isterinya, Saadah, sudah pun beranak dua. Begitu juga dengan Sarah dan pasangannya, Zul. Miza dan suaminya, Mujahid pula sudah masuk tiga. Yang lain, masih dalam mood berbulan madu agaknya. Sambil menanti rezeki dari Ilahi.

Sambil menikmati hidangan, Shida dan Hanila sempat bergurau senda mengenakan Siti. Terukir senyum bahagia di bibir mereka.

“Hanila, tolong cucikan tangan anak saya boleh? Sinki dekat sana tu. Saya tak habis makan lagi ni. Nak suap lagi seorang ni.” Sarah sibuk menyuapkan nasi ke mulut anak kecilnya itu. Tak menang tangan dibuatnya.

“Boleh, jom sayang.” Hanila tersenyum sambil memimpin tangan anak perempuan Sarah, Zulaikha. Usianya baru mencecah 3 tahun. Comel betul! Geram!

“Dah..pandai pun..kejap ya..” Hanila menggosok-gosok celah jarinya dengan air sabun. Zulaikha mengatur langkahnya. Dia berlari anak menuju ke lokasi lain.

“Eh, kejap..ish budak comel ni..” Hanila mengomel sendirian. Dia memaksimumkan kelajuan kakinya untuk ‘menangkap’ tubuh kecil itu. Zulaikha terus berlari.

“Auuu..!!” Si comel itu terlanggar seseorang. Terjelepok dia ke lantai. Dia mendongak. Lelaki itu tersenyum manis. Zulaikha terus menangis.

“Sayang..ssshhh..tak nak nangis dah ya..” Hanila duduk mencangkung sambil mendakap erat tubuh si kecil.

“Erm.. Maaf.. Saya tak perasan dia lari tadi. Mungkin sakit sebab terlanggar kaki yang keras ni.” Abu Sufian bersuara. Serba salah jadinya.

Hanila hanya membisu. Hendak tergelak pun ada.  Kakinya keras? Kaki orang lain lembut sangatlah ye. Haha.

“Tak apa. Dia dah okey dah ni. Sekejap je nangisnya.” Hanila mendukung Zulaikha. Dia mengusap pipi si comel itu. Dia terus melangkah.

Abu Sufian kaku di situ. Rasa bersalahnya masih bersisa. Kasihan anak sahabatnya itu. Dia akan minta maaf sebelum balik nanti.

“Saya minta maaf pasal tadi. Buat anak awak menangis.” Suara itu bergema.

Hanila mengangkat keningnya. Dia menoleh. Lelaki tadi? Anak aku? Haha.

“Eh, tak apa. Erm, maaf, itu anak Sarah la, bukan saya.” Hanila terus berjalan memasuki perut keretanya.

Abu Sufian menepuk dahi. Agak malulah juga.

“Hai..” Sapa Suraya tiba-tiba.

“Errr…” Abu Sufian buntu. Dia memang tidak tahu nak cakap apa. Dia memang macam tu. Kalau tak ada perkara penting dengan insan bernama perempuan, dia takkan sesekali mulakan apa-apa.

Sejak di Jordan dahulu, dia memang sudah diasuh untuk tidak terlalu bersosial dengan perempuan tanpa ada sebarang urusan. Kerana, dia mengaji ilmu agama. Hatinya perlu dijaga dengan penuh rapi. Ilmu hanya akan memasuki hati yang bersih saja. Hati yang dipenuhi tompok hitam bukan tempat duduk ilmu pengetahuan lebih-lebih lagi bab agama. Sebenarnya, sejak di bangku sekolah agama lagi dia sudah didedahkan semua tu. Cuma, praktikalnya Abu Sufian manfaatkan bila berada di kejauhan sana. Maklumlah, zaman dulu, dia masih jahil.

“Apa cerita? Sihat?” Suraya memulakan bicara. Hujung tudungnya jatuh. Dia segera menyilangkannya semula. Terdedah bahagian depannya.

“Erm.. Alhamdulillah..” Abu Sufian membuang pandangan ke luar.

“Saya pergi dulu. Ada hal. Assalamualaikum.” Abu Sufian terus menapak. Mulutnya terkumat-kamit melantun istighfar. Dia memang tidak selesa! Suraya terkebil-kebil dalam sendiri.

******

Terangnya bulan malam itu, terang lagi sekeping hati milik Shida. Jiwanya terasa lapang setelah seharian meluangkan masa bersama sahabat-sahabat tercintanya yang sudah 8 tahun tidak bersua muka.

Dan, petang tadi, selepas dia pulang dari reunion itu, ada kejutan istimewa untuknya. Ya! Dia sangat terkejut! Zafhan bersama ibu bapanya datang untuk melamar sekuntum bunga bernama Shida. Mereka sekeluarga duduk di ruang tamu. Shida bersama ibu bapanya juga turut serta bersama.

“Jadi, apa keputusan pakcik? Sudi tak terima saya?” Zafhan cuba menjadi lelaki ‘gentle’ yang meminang Shida melalui bapanya.

“Apa pula pakcik? Bukan pakcik yang nak kahwin dengan kamu.” Pak Kamal tergelak besar. Ditepuk-tepuk belakang Zafhan. Bertambah malu Zafhan dibuatnya. Tak keruan!

“Err..Shida..? Awak setuju ke tak? Kalau awak dah ada yang punya, tak apa, saya tak paksa awak terima saya.” Zafhan mengangkat sedikit mukanya. Ingin melihat reaksi Shida.

Dalam hati Shida, betapa bahagianya dia dilamar! Ya Allah! Lelaki ini pernah menjadi insan kecintaanku suatu ketika dulu. Tapi, disebabkan belum bersedia dan masih muda, dibiarkan saja rasa itu. Lama-lama, terkubur sendiri. Kemudian, rasa itu datang lagi! Terima kasih Allah!

“Insya-Allah, saya sudi. Saya terima. Saya setuju kalau emak dan ayah dah suka.” Merah padam muka Shida. Malu, tapi mahu!

“Emak dengan ayah okey saja. Tak gitu bang?” Emak Shida, Abidah, tersenyum gembira. Pak Kamal mengangguk tanda setuju.

Segalanya berjalan dengan lancar. Alhamdulillah. Cincin merisik pun disarung ke jari Shida. Menurut permintaan kedua-dua belah pihak, mereka mahu Zafhan dan Shida terus disatukan. Tak perlu majlis bertunang kerana ingin mengelakkan pembaziran dan ingin menyegerakan pernikahan. 5 bulan dari sekarang, mereka bakal disatukan. Zafhan memang sudah bersedia dari segi kewangan. Shida juga ada menyimpan untuk masa depannya. Shida bekerja di Jabatan Agama Islam Selangor sebagai Pembantu Tadbir.

Shida mencapai telefon bimbit kesayangannya. Rasa bahagia di jiwa ingin dikongsi bersama sahabat baiknya, Hanila.

“Assalamualaikum..Hanilaa..!!”

“Waalaikumussalam Shida.. Sakit telinga dengar awak jerit.. Kenapa ni?”

“Saya dah nak kahwin. Seronoknya!”

“Yeke? Tahniah. Kalau boleh tahu, dengan siapa?”

“Awak mesti tak percaya. Sebab, saya sendiri pun masih tak percaya. Hehe.”

“Maksud awak? Siapa?”

“Zafhan! Ketua kelas kita!”

“Alhamdulillah. Semoga jodoh berpanjangan hingga ke Syurga.”

“Amin. Terima kasih. Awak bila lagi?”

“Saya? Haha. Tak tahulah. Bila tiba masanya, adalah nanti. Awak doakan saya ya.”

“Amin. Okey, saya nak sambung kerja. Assalamualaikum.”

“Waalaikumussalam..” Talian sudah pun dimatikan. Betapa bahagianya nada suara Shida sebentar tadi. Akhirnya, sahabat baiknya itu bakal disatukan dengan ketua kelasnya. Terbaik!

******

“Ustazah ni comellah.” Puji salah seorang murid perempuannya, Hawa. Darjah tiga. Hanila tersenyum manis.

“Ustazah bila nak kahwin?” Tanya seorang murid lagi, Fadhli. Hanila tergelak kecil. Begitulah kerenah murid-murid darjah 3. Kadang-kadang, hilang sabar juga dengan perangai ‘gila’ mereka. Tapi, Hanila tetap sabar. Terima dengan akal, bukan dengan emosi.

“Anak-anakku sayang, nak dengar cerita tak?” Hanila berdiri di hadapan papan tulis.

“Naaaaaakkkk..”Jawab mereka serentak.

“Ustazah sebenarnya tengah rindu dekat seseorang. Seseorang yang tak pernah ustazah jumpa. Seseorang yang tak pernah muncul depan ustazah. Seseorang yang sangat sayangkan ustazah dan kita semua.” Hanila tersenyum melihat gelagat mereka. Fokus benar nampaknya.

“Siapa orang tu ya? Siapa nak jawab?” Sambung Hanila lagi.

“Boyfriend!” Jerit Adam. Hanila menggeleng.

“Suami ustazah ya?” Arsyad pula menjawab. Hanila menggeleng lagi.

“Habis tu..siapa?” Tanya Hanani seperti sudah give up.

“Tekalah lagi..”

“Allah..!” Laung Thaqifah dari belakang.

“Seseorang tu manusia la sayang..bukan Tuhan kita..” Hanila cuba menerangkan.

“Alaaaa…ustazah bagitau jela..” Lagi sekali, Hanani lekas berputus asa. Kasihan. Hanila terpaksa mengalah.

“Baiklah..jawapannya..Nabi kita..siapa nama Nabi kita?”

“Nabi Muhammad s.a.w….” Serentak mereka menjawab. Hanila tersenyum lagi.

Ahsantum! Pandai anak-anak ustazah ni.. kita sambung belajar ya..” Hanila mencapai bukunya. Anak-anak muridnya khusyuk memberi tumpuan.

“Ustazah..maaf ganggu..” Cikgu Laila membantutkan pembelajaran anak-anak kesayangannya. Kakinya menapak ke luar pintu kelas.

“Ada apa ya cikgu?” Tanya Hanila.

Cikgu Laila memberitahu bahawa esok akan ada seorang murid baru. Perempuan. Namanya Raihan.

“Baiklah, terima kasih ya cikgu.”

Hanila masih baru di sekolah rendah agama itu. Dia baru sahaja berpindah tempat mengajar lantaran jarak yang tidak mengizinkannya untuk terus mengajar di tempat lama. Soal gaji, dia tidak berapa peduli sangat. Hanila masih duduk bersama ibu bapanya. Pada sebelah malam, Hanila menjadi guru tahfiz untuk para hafizah ‘kecil’ di sebuah masjid yang terdiri daripada umur 7-12 tahun. Dia telah dilantik oleh imam masjid itu untuk menjadi sebahagian daripada tenaga pengajar.

Mengajar sekolah rendah sebenarnya merupakan satu cabaran baginya. Pasti banyak kerenah mereka. Pasti lebih dahsyat kenakalan mereka. Entahkan mampu, entahkan tidak untuk Hanila menghadapinya. Itulah yang sering bermain di fikirannya. Tapi, hatinya cuba untuk bersikap positif. Insya-Allah, boleh!

******

Fatimah, satu-satunya adik perempuan Abu Sufian, sedang khusyuk menumpukan perhatiannya pada makanan yang terhidang di depan mata. Umurnya baru 17 tahun. Dia bersekolah di sebuah sekolah menengah agama. Adik bongsu Abu Sufian itu juga merupakan seorang anak dan adik yang manja. Adik kedua Abu Sufian, Zulfiqar, berumur 20 tahun. Dia sedang meneruskan langkahnya di Universiti Kebangsaan Malaya. Manakala adik bongsunya, Hanafi, berumur 12 tahun.

Fatimah dan emaknya, Puan Maisarah, selesai menjamah hidangan. Abu Sufian baru sampai ke rumah. Mukanya beraut penat. Betapa laparnya perut! Asyik menangis minta diisi. Dia menarik kerusi. Fatimah mengaut nasi untuk abang kesayangannya itu. Abu Sufian tersenyum manis. Ucapan terima kasih diluah sebagai tanda penghargaan buat adik perempuan kecintaannya. Hanafi sedang khusyuk membuat latihan Sirah dan Bahasa Melayu. Itulah ‘buah tangan’ daripada murabbinya.

“Dah jumpa ke?” Emak tiba-tiba bersuara menyoal. Pandangannya fokus ke arah anak sulungnya. Abu Sufian mengerutkan dahi.

“Jumpa siapa mak?” Nasi berlaukkan siakap tiga rasa disuap ke dalam mulut. Alhamdulillah, sedapnya! Nasi digumpal lagi.

“Calon menantu maklah.” Emak tersengih mengharap. Tersedak Abu Sufian. Nasi yang digumpal dileraikan. Dia meneguk sedikit air. Fatimah hanya memerhati gelagat dua beranak itu. Tergelak kecil dibuatnya.

“Calon menantu? Siapa mak?” Soal Abu Sufian.

“Ish! Orang tanya dia, dia tanya orang balik!” Emak menggeleng sambil langkahnya menuju ke luar rumah untuk mengangkat kain sidaian. Tak kuasa hendak melayan anaknya yang buat-buat tak faham tu! Abu Sufian meneruskan sesi makannya. Fatimah pula khusyuk menonton televisyen.

Usai makan, Abu Sufian mengimamkan solat Maghrib bermakmumkan emak dan adik-adiknya. Kemudian, mereka bertadarus bersama menunggu masuknya waktu Isyak. Usai solat Isyak, empat  beranak itu berkumpul di hadapan televisyen. Hanafi tidak lama di situ. Dia segera masuk ke bilik untuk melelapkan mata yang sudah mula mengantuk. Fatimah merajinkan diri membuat kerja-kerja sekolah pemberian gurunya. Dia cuba fokus. Andai ada persoalan, dia akan segera bertanya pada Abu Sufian.

“Errr..mak..nak cakap sikit boleh?” Abu Sufian mula bersuara. Sambil menolong emaknya melipat kain, dia ingin berbincang sesuatu bersama emak tercintanya itu.

“Haaa..kenapa?”

“Macam mana kalau calon isteri Abu nanti tak tahu memasak ya? Tak tahu menjahit? Tapi dia ada agama. Dia baik. Ibu okey?” Abu Sufian cuba menyusun kata. Dia memberanikan dirinya.

“Erm..Kenapa? Kau tak nak isteri yang pandai masak dan pandai menjahit ke? Dah ada calon ke?” Puan Maisarah memandang tepat ke arah wajah tenang Abu Sufian.

“Err.. Belum ada lagi. Saja tanya dulu. Hehe. Bukan tak nak mak, tapi, rasanya, tak perlulah kita nak tetapkan ciri-ciri tetap yang perlu ada pada calon tu nanti. Bukan apa, Abu kahwin sebab nak lengkapkan hidup dan nak ikut sunnah. Err..Bukan ke kena saling melengkapi? Kalau dia nanti tak tahu masak, tak apa, Abu tahu. Abu boleh ajar dia. Bukan ke memasak itu pun sunnah? Tolong isteri masak, kan..” Abu Sufian cuba berhati-hati dalam percakapannya. Tidak mahu hati wanita istimewa itu terguris. Emak hanya memandang. Menanti kata seterusnya.

“Err..Lagipun, Nabi s.a.w. tak meletakkan syarat yang sebegitu tetap. Asalkan ada empat perkara asas seperti yang disebutkan baginda, cukuplah calon menantu emak dan isteri Abu nanti seorang yang beragama dan baik akhlaknya. Itu yang lebih utama. Bukankah sebaik-baik perhiasan adalah wanita solehah? Abu cuma bagi pendapat saja. Supaya senang nak mencari. Harap emak tak terasa hati ya.” Akhiri Abu Sufian. Panjang lebar penerangannya. Dihiasi dengan senyuman manja.

Emak diam seketika. Wajahnya tidak mencorakkan apa-apa reaksi. Kemudian, sebaris senyuman menjelma di bibir wanita yang sudah berumur dalam lingkungan 50-an itu.

“Iyelah. Ikut suka kau. Mak ni, mana tahu sangat bab-bab agama ni. Harapkan kau sajalah yang dapat bimbing keluarga ni. Mak cuma nak isteri yang terbaik untuk kau.” Berkaca mata emak. Begitu tulus kasih seorang ibu.

“Mak..Insya-Allah. Kalau seseorang tu dah ada agama yang baik, pasti dia boleh jadi isteri yang baik juga. Mak doakan anak mak ni cepat bertemu jodoh ya.” Abu Sufian merapati emaknya. Dia mengesat manik jernih yang berjuraian di pipi emaknya. Satu kucupan sayang singgah di dahi Abu Sufian. Fatimah bahagia melihat aksi romantik itu. Antara anak dan ibu.

Abu Sufian memiliki wajah yang tampan dan sering menjadi buruan para dara. Abu Sufian selalu buat endah tak endah, acuh tak acuh apabila bersama insan bernama perempuan. Dia tidak suka mata perempuan ajnabi asyik memandangnya dan pada hatinya, itu adalah sebagai dugaan dan ujian. Pandangan mata selalu menipu! Dia lebih suka bersahaja dan menundukkan pandangan bila berbicara dengan perempuan. Bukanlah sampai tak pernah bercakap langsung dengan perempuan. Tipu sangatlah tu kan!

Cuma, dia acapkali berhati-hati dalam membataskan pergaulannya bersama perempuan ajnabi. Tidak mahu ada sebarang cinta atau rindu memutik di kalbu kerana dirinya masih belum bersedia. Tapi sekarang, Abu Sufian sudah bersedia. Hanya gadis solehah idamannya saja belum memunculkan cinta dan rindu dalam sukmanya. Gadis pilihan-Nya, itulah pilihan dia!

******

Assalamualaikum. Apa khabar? Lama tak dengar cerita. Buat apa sekarang?

Sender : Aiman

Hanila membaca mesej tersebut tanpa wujud sebarang rasa. Tidak terbit rasa teruja mahupun senyuman menerima seungkap mesej daripada seniornya itu. Aiman 2 tahun tua daripadanya. Memang sudah lama dia tidak mendengar khabar si Aiman. Pelik juga tiba-tiba dia mesej.

Waalaikumussalam. Alhamdulillah, sihat. Sekarang, menjadi guru. Maaf, ada kerja. Wassalam.

Sender : Hanila

Hanila membalas ringkas. Memang begitu sikapnya bila berhadapan dengan mesej yang tidak penting oleh si ajnabi. Tak sampai dua minit, Aiman membalas lagi.

Sebenarnya, saya ada sesuatu nak beritahu kamu. Saya dah fikir masak-masak. Boleh kita jumpa? Saya nak melamar awak jadi teman hidup saya. Isteri saya. Please!

Sender : Aiman

Tergamam. Hanila mendengus dalam hati. Dia sudah agak. Pasti ada sesuatu kenapa si Aiman tiba-tiba mesej dia. Hanila hanya tergelak. Gelakan sinis untuk lelaki itu. Lelaki itu pernah digelar ‘playboy’ suatu ketika dahulu. Hingga kini. Hanila sendiri pernah melihat lelaki itu berjalan berdua dan berpegangan tangan dengan seorang perempuan baru-baru ini. Di sebuah pusat membeli belah. Dia memang tidak yakin akan agama yang ada pada lelaki itu. Ada ke nak melamar kena jumpa? Ape daaa! Jumpalah dengan wali, bukan jumpa dengan mawar berduri! Layakkah dia digelar mawar berduri?? Hurmm.. Namun, itulah impian empunya diri!

Nalurinya menutur sesuatu. Begitulah lelaki. Bila hendak berseronok, akan dicarinya perempuan yang senang diajak keluar, mudah dipegang-pegang, tapi, bila hendak kahwin, pasti akan dicari yang baik-baik, yang pakai tudung dan berakhlak. Hampeh!

Maaf. Lebih baik awak kahwin dengan perempuan yang awak dah pernah pegang-pegang tangannya. Lebih molek awak kahwin dengan perempuan yang telah awak taburkan janji-janji manis awak untuknya. Pulihkan dan sembuhkan semula dosa-dosa silam awak tu. Saya dah ada pilihan. Pilihan saya adalah lelaki soleh yang tidak pernah berpegangan tangan bersama ajnabinya. Sekian, dimaklumkan. Wassalam.

Sender : Hanila

Hanila berasa sedikit lega selepas menghantar sebaris ungkapan mesej sebuah pendirian itu. Semoga ianya cukup untuk menyedarkan kesalahan dan kelalaian seniornya itu. Semoga hati itu akan lembut dengan teguran yang dirasakan masih berhikmah. Andai kata Aiman mahu berubah dan ingin berubah berbimbingkan Hanila, maaf! Hanila bukan orang itu! Kerana dirinya sendiri pun masih jahil dan memerlukan bimbingan. Begitulah tegasnya prinsip hati seorang hamba yang seringkali berhati-hati. Dalam soal hati, dia memang kena bertegas! Agar hatinya tidak mudah luntur dengan kalam cinta palsu!

Hanila tidak mahu merunsingkan hati dan fikirannya dengan perkara-perkara lagha seperti ini. Bukan sanubarinya menolak fitrah. Namun, dia harus berwaspada agar fitrah itu tidak menjadi fitnah! Dia segera mencapai kalamullah. Sebelum menyentuh mashaf itu, dia segera untuk berwuduk. Ingin menyucikan diri. Ingin membersihkan jasad daripada dosa-dosa silam. Usai mentadabbur al-quran, Hanila terus mengadu pada Yang Maha Mendengar. Dia tidak lupa untuk menyalurkan rasa rindu pada pemilik nyawanya itu.

Hanila tidak mahu hatinya terus melayan virus cinta palsu! Cinta apa namanya andai dasarnya bukan kerana Allah?! Syaitan pasti akam mentertawakannya kerana mengikut jejak langkah mereka ke Neraka! Ahh! Dia tak semudah itu! Iman oh iman! Bangkitlah! Jangan terus rebah!

Dont worry, be happy!! 🙂

******

“Ustazah! Saya dah hafaz! Nak tasmi’ sekarang boleh?” Soal Hanafi penuh kesungguhan. Hanila nampak aura kesungguhan dalam diri pelajarnya yang satu itu. Dia hanya tersenyum sambil mengangguk.

“Nama sebenar Abu Bakar As-Sidik ialah ‘Abdullah Bin Abi Quhafah Attamimi. Beliau digelar ‘As-sidik’ kerana sentiasa membenarkan perkataan dan perbuatan Nabi Muhammad s.a.w. Beliau wafat pada tahun 13 hijrah ketika berumur 63 tahun.” Hanafi berhenti menghafaz. Matanya tertumpu pada sekujur tubuh yang sedang berdiri di luar pintu kelasnya. Hanila turut membuang pandangannya ke luar pintu kelas. Pelik!

“Assalamualaikum ustazah. Maaf ganggu. Saya nak jumpa adik saya sekejap. Penting!” Abu Sufian melangkah masuk ke dalam kelas. Hanila agak tergegau! Lelaki itu lagi!

“Ooo..Okey..” Jawab Hanila ringkas. Dia berjalan menuju ke belakang kelas untuk mentasmi’ pelajar lain pula. Abu Sufian dan Hanafi keluar daripada kelas sebentar. 5 minit kemudian, mereka berdua melangkah masuk kembali. Hanafi duduk di atas kerusi miliknya. Buku matapelajaran Sirah terus dibelek-belek. Abu Sufian menuju ke belakang kelas untuk mengucapkan terima kasih pada ustazah muda itu.

“Errr…ustazah….” Perlahan-lahan Abu Sufian menutur. Dia seperti ingat-ingat lupa akan wajah itu. Seperti sahabatnya pun ada.

“Ermm..Hanila..!” Ringkas Hanila membalas. Dia sedikit tunduk kerana berasa malu. Jantungnya berdegup pantas. Ya Allah! Tundukkanlah hatiku ini!

“Oh.. Hanila.. Baru teringat. Maaflah ya ganggu kelas. Terima kasih. Tak sangka Hanila mengajar di sini.” Abu Sufian melontarkan sedikit senyuman untuk menutup rasa gusar dalam hatinya.

“Ye..takpe..sama-sama..dah-dah, aku nak sambung mengajar ni..” Hanila menapak ke hadapan kelas semula. Terkeluar perkataan ‘aku’ dalam pertuturan dia. Biarlah! Abu Sufian sedikit terkedu dengan respon sahabat lamanya itu. Ya! Dia mengerti!

“Terima kasih ya ustazah!” Abu Sufian sempat menunjukkan tabik spring pada Hanila sebelum melangkah keluar dari kelas. Ada senyuman terukir di bibir manisnya. Hanya Dia Yang Maha Mengetahui.

Semua murid di dalam kelas itu memandang Hanila dengan senyuman nakal di bibir masing-masing. Ada yang berbisik-bisik sesama mereka. Hanila beristighfar di dalam hati.

“Ooo..abang Hanafi tu pakwe ustazah ya?” Usik Nadia.

“Hensemlah pakwe ustazah tu..” Suara Akmal pula mengusik. Hanafi pun tersenyum-senyum melihat gelagat rakan-rakannya yang mengusik ustazah muda itu.

Hanila diam sebentar. Keningnya dikerutkan. Serius!

“Apa pakwe-pakwe? Tu saja yang kamu tahu? Ustazah suruh menghafaz, ramai lagi yang tak dapat. Kamu nak periksa ke nak main-main? Dah tak sabar-sabar nak kahwin?” Tajam tusukan pandangan mata Hanila. Tepat mengenai setiap mata anak-anak muridnya. Semua terkedu. Diam seribu bahasa. Tunduk memandang ke bumi. Garangnya ustazah itu!

“Lelaki tadi cuma kawan lama ustazah saja. Ustazah tak suka kamu usik-usik ustazah. Ustazah nak kamu hafaz dan rajin belajar. Boleh? Tak payah sibuk nak pakwe makwe! Belajar dulu! Kamu nak periksa PSRA tahun ni kan?! Buat yang terbaik! Boleh??” Hanila cuba membangunkan semangat pada jasad-jasad di hadapannya itu.

“Bolehhh…” Jawab mereka serentak. Semangat!

Suasana malam sungguh menenangkan kalbu. Memandang keindahan bulan nun jauh di sana merasakan diri teramat kerdil dan jahil di sisi-Nya. Betapa banyaknya dosaku!

“Hmmm….” Panjang keluhan Hanila. Dia merasa sesuatu hari ini. Entahlah. Sukar untuk diterjemah. Dia rindukan seseorang. Rindu sangat! Hanila melangkah ke dalam bilik. Dia melabuhkan dirinya di atas tilam empuk. Mulutnya mula terkumat-kamit melantun selawat dan lafaz istighfar.

Ingatan Hanila mula mengimbau memori petang tadi. Seorang sahabat lamanya, Saidatul, menghantar pesanan ringkas (sms) dari jauh. Saidatul kini berada di Kedah. Menetap, belajar dan bekerja di sana. Hanila tersenyum sendiri. Sahabatnya itu bertanyakan pendapat berkenaan isu kahwin. Mungkin, sahabat-sahabatnya itu sudah diseru untuk berumah tangga. Dirinya? Hanya Allah saja yang tahu.

“Hanila, ada seorang hamba Allah ni, lelaki. Dia suka usik aku bila dekat tempat kerja. Aku tak adalah layan sangat. Tapi, entahlah. Aku rasa selesa. Dia ada cuba-cuba nak ngorat aku. Aku buat-buat tak tahu saja. Erm, patut ke aku bagi dia peluang? Dia biasa-biasa saja orangnya. Nak kata kuat agama, taklah sangat. Biasa-biasa saja. Apa pendapat kau? Kalau aku kahwin cepat? Haha.” Begitu ceritera hati Saidatul.

Hanila mengerti perasaan sahabatnya itu. Hati wanita memang begitu. Mudah sangat luluh dengan tingkah baik dan budi insan bernama lelaki. Namun, tidak Hanila! Dia selalu tegaskan diri bila dengan lelaki. Sebab tu, pernah sahabat lelakinya melabelkan Hanila sebagai muslimah garang! Biarlah. Itu lebih baik daripada terus membiarkan hati lembut dibuai fantasi cinta palsu. Hanila cuba menyusun kata bertazkirah untuk menyuntik jiwa sahabat baiknya itu.

“Dah sampai seru nak kahwin ke ni? Hehe. Ya. Saya faham. Satu saja sebagai peringatan untuk diri saya dan kita semua. Kahwin ni bukan perkara remeh. Kahwin ni ibarat kita nak bina akhirat kita. Kita kena pilih betul-betul bakal imam untuk kehidupan kita. Bukan saja menemani suka duka kita, tapi, menjadi ketua dan sentiasa membimbing serta menegur salah silap kita di samping bekerjasama menuju ke Syurga-Nya. Agama dalam diri seorang lelaki itu amat penting dalam pemilihan calon imam dalam hidup kita. Lelaki sibuk suruh kita handal memasak di dapur, tapi, bolehkah dia jadi imam?? =.=

Kita kena buat pilihan dengan betul. Tak boleh main cuba-cuba. Sekali kita mulakan, kena habiskan. Lelaki takpe, diorang masih ada baki lagi 3. Huhu. Tapi kita ni, kalau boleh, nak kekal sampai ke Syurga. Tak nak kahwin-cerai kahwin-cerai! Memanglah tak salah nak memimpin seorang lelaki berbimbingkan kita. Tapi, kalau boleh dan sebolehnya, kita nak yang memang kuat pegangan ilmu agamanya. Supaya boleh pimpin kita ke Syurga. Tak gitu? Tak ada insan yang sempurna. Yang ada, saling melengkapi untuk menyempurnakan diri. Begitu juga soal suami isteri. Hati ni, kadang-kadang kena tegas sikit. Tak boleh selalu berlembut turutkan nafsu semata-mata. Terpulang pada awak. Solatlah istikharah. Kosongkan hati tu dulu. Dia lebih mengetahui apa yang terbaik untuk kita. Apa yang penting, usaha kita dalam mendidik dan mentarbiah diri itu mesti ada. Sebab itu juga sebahagian daripada tanggungjawab.” Panjang lebar utusan sms yang dibalas oleh Hanila. Hanila berasa dia sedang berbicara dengan dirinya sendiri. Sedang mentazkirah diri sendiri!

******

“Baiklah, terima kasih ya tuan!” Lafaz terima kasih terungkap dari bibir Abu Sufian. Permohonan untuk mengikuti kursus kepimpinan selama  sebulan 7 hari di negara China telah berjaya. Dia semakin tidak sabar hendak ke sana. Ingin mengutip pengalaman di samping menambahkan ilmu pengetahuan di dada. Dia ingin mengembara! Mentafsir alam ciptaan-Nya!

Jam menunjukkan pukul 2.00 petang. Usai solat zohor, Abu Sufian bergegas ke sekolah adiknya, Hanafi dan Fatimah. Keretanya menunggu di bawah pokok di seberang jalan. Sekolah Fatimah dan Hanafi bertentangan jalan. Hanafi masih bersekolah rendah manakala Fatimah sudah bersekolah menengah. Abu Sufian terus mengatur langkah menuju ke sekolah rendah kerana Fatimah pulang petang. Fatimah menaiki motor sendiri. Katanya, ada kelas tambahan.

Abu Sufian duduk menunggu di bangku kantin sementara adiknya, Hanafi dan pelajar-pelajar lain sedang menunaikan solat fardhu Zohor. Abu Sufian melemparkan pandangannya ke arah pintu pagar sekolah. Pelajar tahap 1 sudah melepasi pagar. Masing-masing ingin cepat pulang ke rumah.

Tiba-tiba, telinga Abu Sufian menangkap suara perbualan antara adiknya, Hanafi bersama seorang muslimah bertudung labuh. Dia tidak dapat melihat siapakah gerangan ustazah itu. Dia beranikan diri untuk menghampiri jasad adiknya. Abu Sufian termangu.

Hanila pula terpaku. Mulutnya seakan terkunci. Mukanya turut merona merah. Malu!

“Errmm..Maaf…Okeylah Hanafi, ustazah balik dulu ya. Jangan lupa pesan ustazah tadi. Assalamualaikum.” Akhiri Hanila sambil kakinya mengatur langkah untuk pulang. Dia berjalan kaki hari ini. Sengaja tidak mahu menaiki motor skuternya. Sekali-sekala bersenam, okey juga rasanya.

“Eh, ustazah tu jalan kaki je ke? Rumahnya dekat mana?” Soal Abu Sufian bertubi-tubi. Rasa ingin tahunya tiba-tiba berfungsi. Hanafi menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal.

“Abang ni, okey ke tak? Manalah orang tahu rumahnya dekat mana. Ustazah tu baru dipindahkan ke sini. Tak kenal sangat lagi pun. Kenapa? Abang dah terpikat ke?” Hanafi tergelak kecil. Abu Sufian tersengih.

“Abang tanya je la. Tadi borak apa dengan ustazah tu?” Abu Sufian ingin tahu lagi. Mukanya bergaya selamba.

“Laaa..itu pun abang nak cemburu ke? Ustazah tu suruh pesan dekat kawan-kawan sekelas, esok hantar buku nota dan latihan Sirah. Okey? Haha.” Hanafi tergelak lagi. Pelik dengan sikap abangnya itu.

Muka Abu Sufian sudah mula merona. Dia cepat-cepat mengatur langkah untuk pulang.

“Dah-dah! Jom balik!”

Abu Sufian dan Hanafi berjalan seiringan untuk melintas ke seberang jalan. Selesai melintas, Abu Sufian membuka pintu kereta. Baru sahaja dia hendak menghidupkan enjin kereta, tiba-tiba, cermin tingkapnya disapa seseorang.

“Abu Sufian, saya nak tumpang awak boleh? Tak sangka jumpa awak dekat sini.” Suraya tiba-tiba muncul untuk menumpang kereta Abu Sufian.

Dahi Abu Sufian dikerutkan. Dia bermonolog.

Macam mana perempuan ni boleh ada dekat sini? Ya Allah, aku nak buat apa ni?

“Sekejap ya. Nanti saya keluar.” Jawab Abu Sufian. Dia ingin mengalihkan perhatian Suraya. Abu Sufian menoleh ke sebelah. Memandang wajah adiknya. Mata mereka bertentangan. Abu Sufian mengangkat keningnya tanda inginkan jawapan daripada Hanafi. Hanafi mengerutkan dahi sambil menggeleng. Abu Sufian tersenyum. Alhamdulillah, adiknya tak setuju!

Abu Sufian keluar dari keretanya. Dia berasa amat segan untuk menuju ke arah Suraya. Tapi, dirinya terpaksa!

“Err, Suraya, maaf ya. Saya..saya ada hal lepas ni. Ada mesyuarat. Saya nak kena cepat. Saya terus bawa adik saya ke sana. Maaf. Saya balik dulu.” Abu Sufian mengatur bicara. Penuh berhati-hati.

“Kalau saya ikut awak ke mesyuarat sekali tak boleh ke?” Tanya Suraya lagi dengan nada manja sambil cuba membuat senyuman yang menggoda. Abu Sufian memang tidak selesa. Hatinya melantun istighfar berkali-kali ketika berhadapan dengan perempuan itu. Ya Allah, ampunilah aku!

“Maaf! Saya pergi dulu.” Abu Sufian terus melangkah masuk ke kereta. Laju saja keretanya meluncur pergi dari situ. Jantungnya turun naik. Tidak stabil. Mulutnya terkumat-kamit dengan istighfar.

“Kawan abang ke tu? Seksinya! Pakai tudung tapi nampak itu nampak ini! Hampeh!” Luah Hanafi tanda tidak puas hati dengan penampilan bertudung perempuan tadi. Abu Sufian hanya tersengih sambil menggeleng.

“Dah tahu seksi, tak payahlah pandang!” Jawab Abu Sufian sambil membetulkan duduknya.

“Habis tu, abang siap keluar kereta pergi jumpa dia tu, boleh pula ya?” Balas Hanafi. Sinis bunyinya. Abu Sufian mengerutkan dahi.

“Abang bukan dating  pun! Abang cuma cakap yang abang tak boleh nak tumpangkan dia. Dia pun satu! Entah dari mana muncul.” Panjang penjelasan Abu Sufian untuk mempertahankan kebenaran dirinya.

Daripada Abu Hurairah r.a., Nabi s.a.w. bersabda : “Tujuh golongan dilindungi Allah SWT di bawah lindungan-Nya pada hari yang tidak ada perlindungan selain perlindungan-Nya ; 1) Imam (pemimpin) yang adil. 2) Pemuda yang hidup dalam beribadat kepada Allah. 3) Orang yang mengingati Allah ketika bersendirian lalu menitis air matanya. 4) Orang yang hatinya tergantung pada masjid. 5) Dua orang yang saling berkasih sayang kerana Allah semata-mata. 6) Lelaki yang digoda oleh perempuan yang cantik tetapi dia mengatakan “aku takutkan Allah”. 7) Orang yang bersedekah dan menyembunyikannya sehingga tangan kirinya tidak tahu apa yang dibuat oleh tangan kanannya.” (Hadis riwayat Al-Bukhari)

******

“Hanilaaa..” Suara tenang abah menyeru sebaris nama itu. Hanila yang sedang sibuk menanda buku tulis di dalam kamarnya bergegas menapak ke perkarangan ruang tamu. Panggilan itu segera disambutnya.

“Ada apa abah?” Tanya Hanila. Dia mengambil tempat di sebelah abah tercintanya itu sambil tangannya membelek surat khabar. Sengaja ingin mengatahui isu sensasi masa kini.

“Kamu dah bersedia ke nak kahwin?” Soal abah kembali. Hanila memandang tepat ke arah abahnya. Biar betul! Salah dengarkah telinganya itu? Hanila cuba menstabilkan emosinya. Relaks!

“Apa abah? Kahwin? Haha. Lawaklah abah ni.” Hanila tergelak sambil menepuk peha abahnya. Sengaja ingin menghilangkan rasa gundah yang melanda jiwa kecilnya. Malu! Ibu tiba-tiba muncul dengan sebaris senyuman.

“Bang, tengoklah anak awak ni. Orang serius, dia boleh gelak-gelak.” Ibu meluahkan rasa di jiwanya. Hanila menghentikan gelak tawanya. Dia hanya melemparkan sekuntum senyuman bersama gelengan kepala.

“Tadi Pak Daud ada telefon abah. Katanya, si Shafiq tu berkenan dengan hang. Dia nak datang meminang minggu depan. Hang dah bersedia ke?” Ayah memandang ke arah anak perempuannya itu dengan wajah serius. Hanila tersenyum kelat. Dia diam membatu. Kemudian, senyumannya menguntum kembali. Ibu dan ayah mengerutkan dahi mereka. Pelik dengan sikap anak perempuannya yang seorang itu. Hanila merupakan anak bongsu daripada 6 adik-beradik. Dia memiliki 5 orang abang. 3 sudah pun mendirikan rumah tangga. Dua lagi sedang menanti penuh pasti. Termasuk dirinya!

“Betul ke abah? Betul ke ibu? Haha. Nanti abah dan ibu jangan lupa beritahu dia ya!” Ucap Hanila sambil mengenyitkan mata. Kenakalannya memang sukar ditafsir.

“Beritahu apa?” Soal ibu.

“Beritahu Shafiq yang Hanila ni tak pandai masak sangat. Menjahit pun tersangkut-sangkut lagi. Lepas tu, kita tengok reaksi dia macam mana. Okey?” Gelak Hanila makin galak. Entah apa yang digembirakan sangat!

“Kamu beritahulah dia sendiri. Malu abah nak cerita dekat orang yang satu-satunya anak perempuan dalam rumah ni tak pandai masak. Apa daaaa…” Abah hampir tergelak. Dia mencubit pipi anak perempuan kesayangannya itu.

“Itulah dia bang. Itulah taktik tak nak bagi orang meminang dia. Hang ni nak kahwin ke tak nak sebenarnya?” Tanya ibu sambil menggenggam erat tanganku. Hanila tersenyum. Dia menarik nafas panjang-panjang sebelum menuturkan bicara.

“Ibu, abah, mestilah Hanila nak kahwin. Kalau ada jodoh sekarang, sekarang juga Hanila nak kahwin. Hehe. Tapi, bukan dengan Shafiq. Ya, Shafiq memang ada segalanya. Tapi, agama yang ada dalam dirinya masih belum cukup menenangkan hati dan jiwa yang memandang ni. Hanila belum ada siapa-siapa lagi. Sabar ya. Hehe.” Sempat Hanila mencium pipi ibu tercintanya itu. Sayang!

“Hang ni, cerewet! Umur hang tu dah sesuai sangat nak bernikah. Habis tu, kamu nak tunggu siapa?” Soal abah pula. Suaranya agak serius. Namun, Hanila tetap bersahaja. Seakan tidak terkesan dengan keadaan.

“Hanila nak tunggu putera agama! Hehe. Abah, mestilah kena cerewet. Hanila tak nak perkahwinan Hanila ni terburu-buru. Hanila tak nak buat keputusan atas dasar nafsu yang suka melulu. Hanila tak nak perkahwinan anak perempuan tercinta ibu dan abah ni berakhir dengan tragedi pilu seperti seorang sahabat ni. Sedih tau. Memanglah kita tak tahu masa depan kita bagaimana, tapi, setidak-tidaknya, Hanila berusaha untuk dapatkan yang terbaik.” Bicara itu terlafaz jua oleh hati yang sarat mencari reda-Nya.

“Tragedi apa yang berlaku dekat sahabat hang tu?” Tanya abah. Ibu juga mengangguk tanda ingin tahu perkara yang sama.

“Kawan Hanila baru saja bercerai. Baru 4 tahun dia membina mahligai cinta bersama suaminya tu. Kawan Hanila ni, dah 3 kali mengandung dan dah 3 kali juga gugur. Dia reda. Pasrah dengan takdir-Nya. Mungkin, belum ada rezeki untuk dia dan suami memiliki anak sendiri. Dia tekad untuk mengambil anak angkat. Suatu hari tu, ibu kawan Hanila ni sakit. Suaminya pula, tiba-tiba ajak dia pindah rumah masa tu juga. Suaminya memaksa. Kalau dia tak ikut suaminya pindah waktu tu juga, dia akan diceraikan. Kawan Hanila sangat terkejut. Mana taknya, dia tersepit. Terpaksa pilih satu antara dua pilihan. Dan akhirnya, dia memilih menetap di rumah ibunya untuk menjaga ibunya yang sedang sakit tenat itu. Suaminya terus melafazkan talak 1.

Hati mana yang tak luluh ibu, abah. Hanila menangis dengar keluhan dia. Hanila memang tak setuju dengan tindakan suaminya tu. Tak matang betul! Tiba-tiba nak bercerai disebabkan tak ikut pindah rumah waktu tu! Ada ke mak tengah sakit suaminya suruh dia tinggalkan maknya? Hampeh betul!” Ujar Hanila. Matanya berkaca. Bergetar suaranya. Syahdu! Ibu dan abah juga turut menitiskan manik jernih mereka.

“Bagi Hanila, suaminya tu sengaja cari alasan untuk bercerai. Bukan sebab pindah rumah atau apa, tapi sebab dah 4 tahun kahwin dan masih belum mempunyai cahaya mata. Tak patut betul! Sebab tu Hanila banyak cekadak bila masuk bab kahwin ni. Ya. Memang Hanila rasa tak sabar-sabar nak kahwin tapi pada masa yang sama, Hanila rasa takut! Serius!” Sambung Hanila lagi. Dia mengesat manik jernihnya. Ibu memeluk tubuh anak perempuannya itu.

“Hanila, ibu dan abah faham. Kami takkan paksa hang.” Abah melontarkan senyumannya. Betapa bahagianya atma Hanila. Alhamdulillah!

******

“Abang! Berhenti dekat depan tu ya!” Hanafi tiba-tiba menjerit. Abu Sufian sedikit tergegau.

“Kenapa?” Tanya Abu Sufian kehairanan.

“Tu.. Ustazah Hanila.. Kenapa motor dia tak gerak-gerak tu? Kesian dia bang.. Jom kita tolong!” Ujar Hanafi. Abu Sufian berfikir berkali-kali. Hendak berhenti atau tidak? Hari ini, Abu Sufian menaiki motor sahaja. Nak tumpangkan Hanila? Tidak mungkin sama sekali! Tolong tengokkan motornya? Dia bukanlah reti sangat! Aaarrgghhh! Akhirnya, Abu Sufian akur dengan arahan adiknya itu.  Dia memberhentikan motornya di sebelah motor milik Hanila.

Hanila membulatkan matanya.

Ya Allah!

“Ustazah, motor ustazah rosak ke?” Tanya Hanafi tanda prihatin akan ustazahnya itu. Hanila berasa teramat malu. Bukan malu dengan anak muridnya itu, tapi, malu dengan Abu Sufian. Dia cuba menenangkan gelora di hati.

“Errr.. Ha’ah.. Entah, tiba-tiba motor ni berhenti. Tak boleh start. Takpelah, rumah ustazah dekat sana tu saja. Kejap lagi ustazah tolak sendiri. Kamu pergilah balik ya.” Arah Hanila sambil hendak menolak motor Ego miliknya itu. Hanafi memandang abangnya. Abu Sufian mengerutkan keningnya. Berfikir sesuatu. Kemudian, dia mengangguk.

“Err..ustazah.. Biar saya dengan Hanafi yang tolak motor ni ya. Ustazah naiklah motor skuter kitorang ni. Okey ya?” Ujar Abu Sufian selamba. Posisinya menuju ke arah motor milik Hanila. Dia dan Hanafi segera menolak motor itu. Hanila termangu sendirian. Hatinya berbolak.

Ya Allah! Apa semua ni? Patut ke aku naik motor dia ni? Dia tolak motor aku dan aku naik motor dia? Ya Allah! Jahatnya aku!

“Errr… Abu Sufian!! Tunggu!!” Laungan itu tidak dihiraukan. Abu Sufian tahu, Hanila pasti akan menolak. Sebab itu, dia dan Hanafi meneruskan perjalanan menolak motor Hanila. Telinganya sengaja dipekakkan.

Tak sampai 10 minit, kaki Abu Sufian sudah menapak ke perkarangan rumah milik ibubapa Hanila. Dia terasa sesuatu! Berulangkali kalimah istighfar meniti di bibir dan lubuk hatinya. Dia gusar!

Hanila juga selamat sampai ke rumahnya menaiki motor skuter Abu Sufian. Dirinya dihimpit rasa bersalah yang amat! Ya Allah!

“Err..terima kasih ya! Terima kasih Hanafi! Terima kasih Abu Sufian!” Hanya kalimah itu yang mampu diucap oleh bibir Hanila. Dia ingin mempelawa masuk kedua mereka untuk menghilangkan dahaga namun, dia tidak berupaya. Gusar akan ibubapanya akan salah faham.

“Sama-sama ustazah..” Jawab mereka berdua serentak.

“Eh, jemputlah masuk dulu!” Suara abah Hanila tiba-tiba bergema. Terkejut bukan kepalang Hanila dibuatnya! Abah tersenyum nakal. Ibu juga. Hanila menjadi bertambah malu.

“Err.. Takpelah pakcik. Lain kalilah. Saya dengan adik saya ni, membantu saja.” Abu Sufian dan Hanafi menghulurkan tangan untuk bersalaman bersama abah Hanila. Abahnya menarik tubuh Abu Sufian ke dalam dakapannya. Abu Sufian terpaku! Dia terasa sesuatu! Ya Allah!

Hanila terpempan dengan aksi dua lelaki di hadapannya itu. Bertambah malu dibuatnya! Abah terus ‘memaksa’ Abu Sufian dan Hanafi singgah masuk ke dalam rumah. Mereka berdua terpaksa akur.

Hanila hanya mengurung diri di dalam biliknya. Entah apalah yang diborakkan abah dan ibunya dengan mereka itu. Ya Allah! Betapa malunya diri ini untuk berhadapan dengan lelaki bernama Abu Sufian itu. Apa semua ni?? Hanila tidak mengerti. Dia tidak mahu mengerti pun!

******

“Bro! Jadilah imam.” Saran seorang sahabat untuk Mubasyir. Dia hanya menggeleng. Kemudian, dia menyeru nama Hakim pula. Hakim juga tidak mahu. Dia memberi mandat imam kepada Danial. Abu Sufian hanya menggelengkan kepala melihat gelagat sahabat-sahabatnya itu. Dia segera menapak ke hadapan.

“Sudahlah! Biar aku jadi imam. Bro! Aku nak pesan satu saja. Pesanan ni daripada kawan aku juga. Kalau suruh jadi imam pun payah, jangan haraplah nak dapat isteri yang solehah.” Sentap teguran itu. Menusuk ke kalbu.

“Pergghh bro! Hebatlah kau! Insya-Allah, kau bakal dapat isteri yang solehah.” Mubasyir tersenyum.

“Amin. Hehe. Dah-dah! Fokus! Sekarang, cinta yang satu, Allah!” Tegas Abu Sufian.

Usai menunaikan solat Asar, Abu Sufian, Mubasyir, Hakim dan Danial meluangkan sedikit masa untuk berusrah.

“Apa topik kita hari ni bro?” Soal Hakim. Dia membelek-belek mini al-quran berwarna hijau itu. Sedang mencari sesuatu.

“Cuba kau cari maksud ayat 16-17 surah Ibrahim..” Pinta Abu Sufian. Tenang saja wajahnya. Bercahaya dengan nur iman.

“Di hadapannya ada neraka Jahanam dan dia akan diberi minuman dengan air nanah, diminumnya air nanah itu dan hampir dia tidak bias menelannya dan datanglah (bahaya) maut kepadanya dari segenap penjuru, tetapi dia tidak juga mati, dan di hadapannya masih ada azab yang berat..” Hakim meneguk liurnya. Takut!

“Aku tak dapat bayangkan macam mana keadaan kita bila kita minum air nanah yang mendidih..seram!” Mubasyir bersuara getar. Ada keinsafan yang mengalir. Masing-masing tertunduk menghayati makna ayat tersebut.

“Semoga kita dijauhkan daripada azab tersebut. Aku harap, kita dapat muhasabah diri kita semula. Setiap hari. Apakah langkah kita selama ini menuju ke Syurga atau Neraka? Semoga Allah lindungi kita.” Ringkas tazkirah Abu Sufian. Namun, menyentap jiwa-jiwa insan yang ada di situ.

Hari ini cuti. Abu Sufian terus bergerak menuju ke rumahnya. Ibu, Fatimah dan Hanafi khusyuk menonton televisyen.

“Bila kamu bertolak ke Cina?” Tanya ibu sambil tangan kanannya menyelaj helaian surat khabar. Matanya focus pada isi di dalam surat khabar itu.

“Erm..Lusa ni, insyaAllah..” Tersenyum lebar atmanya. Bahagia ingin menerokai negara itu. Ibu hanya mengangguk. Abu Sufian terus mengatur langkah untuk ke kamarnya. Dia merebahkan diri. Penat! Dia ingin berehat seketika bersama tilam empuknya!

Hanafi memberi salam dari luar pintu bilik abangnya. Dia masuk setelah diberi keizinan.

“Abang..abang tak nak beritahu ustazah Hanila ke?” Hanafi tersengih nakal. Abu Sufian tergelak kecil sambil memandang siling biliknya. Bibirnya menguntum senyum.

“Buat apa? Abang ni bukan siapa-siapa pun pada dia. Biarlah. Kalau ada jodoh, tak ke mana. Haha.” Abu Sufian memejamkan mata. Dia ingin lena sebentar. Namun, Hanafi mengganggu konsentrasinya untuk tidur.

“Kalau abang betul dah suka dekat ustazah tu, abang beritahulah ibu. Nanti boleh terus masuk meminang. Kan senang..” Cadang Hanafi. Dia seakan senang dengan ustazahnya itu.

“Ishh..kau tu budak lagi. Tak tahu apa-apa. Ingat senang ke? Masuk meminang ingat terus dapat? Relakslah! Abang kena curi hati ibu bapa dia dulu. Lepas tu, baru curi hati dia sikit-sikit. Kena perlahan-lahan. Jangan terburu-buru. Dah-dah, abang nak tidur.”  Abu Sufian terus menutup mukanya dengan bantal. Matanya dipejamkan. Mindanya perlukan rehat.

“Hanila, kawan lelaki hang tu dah tak datang sini ke? Abah rindu pula dengan dia.” Abah tiba-tiba menyoal. Spontan! Hanila tersengih kecil.

“Haaa?? Buat apa dia nak datang sini lagi?? Abah ni, merepek sajalah. Baik abah rindu dengan anak lelaki abah yang dah sebulan tak balik rumah. Sibuk dengan kerja saja.” Hanila cuba menukar topik.

“Dengan abang hang tu memanglah abah rindu. Tapi, dengan kawan hang tu pun abah rindu juga. Mana tahu, tak lama lagi, dia pun bakal jadi anak abah kan..” Abah tergelak kecil. Nakal bunyinya. Hanila hanya menggeleng berkali-kali. Ada senyuman kecil yang terukir di bibir mulusnya.

“Entah kenapa..abah rasa suka pula pada dia. Baik saja orangnya. Sopan santun lagi. Sejuk mata abah memandangnya. Kamu tak rasa apa-apa ke?” Abah sudah mula merisik hati anak perempuannya itu. Hanila cuba menyelindungkan rasa gundah yang bertandang. Relaks! Ya, memang pada pandangan hatinya, Abu Sufian itu seorang yang ada pakej agama. Memang atmanya terasa tenang dan sejuk memandang seraut wajah itu. Sebab itu dia selalu berusaha untuk menundukkan pandangannya. Tidak mahu ada ruang-ruang yang membolehkan syaitan menodai sekeping hati pinjaman-Nya.

“Macam-macamlah abah ni. Okeylah, Hanila masuk bilik dulu ya. Nak menaip soalan ujian untuk murid-murid.” Hanila mengundur diri dan terus menapak ke dalam bilik. Jari-jemarinya mula menari di atas keyboard laptop untuk menyiapkan soalan-soalan ujian yang bakal dihadapi oleh anak-anak muridnya tidak lama lagi

******

Sudah sebulan Abu Sufian bermusafir di negara Cina itu. Terlalu banyak pengalaman yang diperolehnya. Dia melihat kesungguhan penganut Islam di bumi itu yang amat rajin ke masjid. Setiap kali masuk waktu solat, masjid-masjid akan dipenuhi dengan tetamu-tetamu Allah. Jarang dia melihat suasana sebegitu di Malaysia. Di sana, masjid hanya akan penuh pada waktu-waktu tertentu sahaja. Contohnya, pada awal-awal bulan Ramadhan. Kemudian, sepi. Bilangan makmum boleh dikira dengan jari.

Abu Sufian juga melihat dan cuba merasai kesusahan segelintir masyarakat Cina yang serba kekurangan. Kekurangan makanan, pakaian dan kadang-kadang keputusan bekalan api dan air. Mereka tetap cekal. Mereka tetap tabah dan berusaha untuk memberi sesuap suapan makanan ke dalam mulut anak-anak kecil mereka.

Abu Sufian mengasingkan diri sebentar. Dia baru sahaja menelefon ibu tercintanya. Rindu!

“Hanila..” Bibirnya menutur sebaris nama itu. Secara tiba-tiba. Kemudian, dia tersenyum sendiri. Dia mengeluarkan telefon genggamnya semula. Jarinya menekan sebaris nombor.

“Assalamualaikum..pak cik, kenal saya lagi tak?” Abu Sufian cuba mengembalikan ingatan Encik Zulkifli, ayah kepada Hanila.

“Waalaikumussalam..ni siapa ya? Pakcik tak cam suara kamu.”

“Saya Abu Sufian, kawan kepada Hanila. Saya pernah datang rumah pakcik.” Abu Sufian memperkenalkan dirinya. Ingatan Encik Zulkifli masih mantap. Dia masih ingat akan sebaris nama itu. Nama itulah yang sering disebut-sebut dan ditanya kepada anaknya, Hanila.

Abu Sufian berborak dan bertanya khabar Encik Zulkifli sekeluarga. Mereka semakin mesra. Hampir setengah jam juga masa yang diperuntukkan untuk beramah mesra bersama bakal bapa mertuanya. Bakal bapa mertua? Insya-Allah! Dia akan berusaha. Untuk dapatkan sesuatu, kita memang perlu berusaha. Bukan hanya dengan bertawakkal semata-mata. Usaha pula mestilah seiring dengan terma dan syarat-syarat yang telah digariskan-Nya. Itulah yang sedang Abu Susfian lakukan.

Hari ini, Hanila tewas dengan emosinya. Air mata mengalir juga! Dia hanya menyepikan diri di dalam bilik. Kejadian di sekolah pada pagi tadi, masih segar di ingatannya.

“Okey, salin soalan yang ustazah dah tulis ni ya. Nanti kita akan bincang sama-sama jawapannya. Tulis cepat.” Hanila memerhati gelagat anak muridnya itu. Pelajar perempuan rajin menulis. Pelajar lelaki yang duduk di bahagian hadapan juga fokus menulis. Pelajar-pelajar lain yang duduk di belakang sibuk bermain dan ada yang buat hal sendiri. Hanila berjalan ke belakang.

“Keluarkan buku cepat. Salin! Asyik nak main saja! Kamu dah besar kan, ustazah tak nak marah-marah dah. Cepat!” Tegas aura suara Hanila. Mereka masih tidak mendengar kata. Malah, semakin galak untuk bergelak tawa. Entah apa yang dilucukan. Muka Hanila semakin mencuka. Dia bercekak pinggang.

“Cepatlah salin, keluarkan buku. Kejap lagi kita nak bincang jawapan. Kamu ni, nak periksa ke tak nak tahun ni?” Mata Hanila tajam memandang. Mereka mula mengeluarkan buku tulis. Tetapi, tangannya masih galak mencuit kawan. Tangannya masih keras untuk menulis apa yang tertera di papan putih. Hanila kembali duduk di tempatnya di hadapan kelas. Matanya terus memerhati gelagat pelajar-pelajar terlebih aktif tu. Masih tidak berlaku sebarang perubahan sikap.

“Kamu ni..kenapa susah sangat nak dengar cakap ustazah? Ustazah suruh buat kerja, bukan main, buat bising! Susah sangat ke nak menulis?” Kolam matanya sudah bergenang. Hanila keluar dari kelas. Kakinya laju bergerak ke bilik air. Air matanya sudah mula melimpah. Dia tersedu-sedan di luar pintu bilik air. Sendirian.

Kadang-kadang, kehidupan menjadikan kita lebih kuat dan luar biasa untuk terus berjuang hadapi hidup di masa hadapan. Kadang-kadang, kehidupan yang sama ini juga menjatuhkan semangat kita dan menghalakan jiwa kita ke arah untuk berputus asa. Lemahnya kita! Lembiknya kita! Ya Allah! Sungguh! Hamba-Mu amat-amat memerlukan kekuatan!

Hanila cuba membina sebuah ketabahan untuk menghabiskan sisa kelas. Digagahkan juga diri untuk bertempur dengan emosi dalam diri sendiri. Mukanya mendung! Kakinya menapak juga ke kelas itu kerana masa mengajar masih belum tamat. Kuatkan hatimu, duhai Hanila! Mukmin yang kuat itu tidak ada dalam kamus hidupnya erti ‘putus asa’!

******

Hari ini, Encik Zulkifli membawa isteri dan satu-satunya anak dara tercintanya, Hanila ke sebuah taman. Taman permainan. Hanila amat suka bermain buaian. Itu hobinya. Sengaja Encik Zulkifli berbuat demikian. Ada udang di sebalik batu sebenarnya. Hanya diri dan ibu Hanila saja yang mengetahui tentang agenda selepas ini. Mudah-mudahan, segalanya berjalan lancar.

“Abah! Jom main buaian dengan anak comel abah ni..” Hanila tersenyum bahagia. Tanpa segan silu, dia enak membuai diri di buaian mainan itu. Seronoknya! Mujurlah pagi itu tidak ada budak-budak. Kalau tak, mesti malu kot!

Encik Zulkifli dan isteri, Puan Jamilah, duduk di bangku berdekatan. Melihat gelagat anak perempuannya itu. Tak ubah seperti dahulu. Masih ada gaya kanak-kanak ribena. Namun, mereka bersyukur. Anak mereka itu amat prihatin akan dirinya sendiri. Amat menitikberatkan soal agama dalam meniti sebuah perjalanan kehidupan.

“Assalamualaikum pakcik..” Suara lelaki itu menyapa telinga Encik Zulkifli. Suara itu amat menggetarkan jiwa seorang Hanila. Dia berpaling ke belakang. Matanya dibulatkan! Tergegau!

Abu Sufian??!! Dengan maknya??!!

Dia duduk termangu sendiri di atas buaian mainan itu. Kakinya menjadi kaku untuk bergerak menyalami ibu Abu Sufian. Arrgghh! Dia berpura-pura tidak perasan. Dia kembali berpaling ke hadapan. Memandang kosong!

Ayah dan ibu Hanila berborak mesra bersama Abu Sufian dan Puan Maisarah. Wajah Abu Sufian kelihatan berseri dengan cahaya cinta dari Ilahi.

Hanila cuba memasangkan telinga. Dia ingin tahu apakah semua ini kebetulan atau pun rancangan mereka? Ya! Memang rancangan Dia.

“Pakcik, dia okey ke?” Soal Abu Sufian sambil telunjuk jarinya menuding ke arah Hanila. Encik Zulkifli hanya tersenyum.

“Entahlah. Pakcik belum tanya dia lagi. Kamu pergilah beritahu sendiri. Kami okey saja.” Encik Zulkifli berseloroh. Hanila sudah membahang. Malu yang amat!

Ya Allah!!

“Mak, Abu pergi sana sekejap ya. Dekat saja tu. Mak pun boleh dengar perbualan saya mengorat dia. Hehe.” Abu Sufian tersipu. Puan Maisarah hanya mengangguk. Senyumnya masih belum surut. Bahagia agaknya!

“Assalamualaikum ya ustazah..!” Abu Sufian memberi salam sambil duduk di buaian mainan sebelah Hanila. Pandangan matanya hanya ke hadapan. Malu untuk menoleh ke sebelah!

“Err..waalaikumussalam warahmatullah..pergilah sana! Buat apa dekat sini? Sebok saja!” Tegas suara itu berkumandang dari mulut Hanila. Dalam hati, hanya Tuhan saja yang tahu. Malu!

“Wali awak yang suruh saya ke sini…” Ringkas jawapan Abu Sufian. Hanila berasa agak kekok. Dia bingkas bangun dan menuju ke bangku berdekatan untuk menyalami ibu Abu Sufian, Puan Maisarah. Puan Maisarah memeluk erat bakal menantunya itu. Hanila terpinga sebentar!

“Pergilah sana..abah suruh dia beritahu hang sesuatu..” Arah abah Hanila. Hanila memuncungkan bibir. Seakan merajuk! Dia menapak semula ke pangkuan buaian mainannya. Diam. Bisu.

“Kau nak apa sebenarnya? Suka muncul tiba-tiba!” Hanila tidak menoleh ke sebelah. Bicaranya bernada tegas. Abu Sufian cuba menyusun bait bicara. Sopan tingkahnya.

“Aku bukanlah seorang penyair yang boleh mengungkapkan sebuah madah berwarkah biru untuk mencairkan hati kecilmu. Aku  juga bukanlah seorang pelukis yang pandai untuk menghasilkan sebuah potret indah khas untukmu. Aku hanya manusia biasa. Hamba pada Yang Maha Esa. Hanya mampu berdoa dan meminta pada-Nya. Saya datang ke sini kerana Dia menggerakkan hati dan langkah saya untuk melamar sang mawar yang sangat garang seperti singa ini. Bak kata adik saya. Hehe.” Abu Sufian tergelak kecil. Hanila menjeling tajam. Jauh di sudut hati, ada rasa kelakar! Hendak turut sama tergelak!

“Dah tahu garang macam singa, tak payahlah!” Hanila masih bertegas. Seakan tidak mahu!

“Suka hati saya kan? Huhu. Sedangkan Umar Al-Khattab yang garang macam singa pun boleh lembut hati dengan bacaan quran daripada adiknya, inikan pula awak. Hehe. Nak dengar tak bacaan saya?” Abu Sufian hanya tersengih. Rasa malu tetap ada!

“Takpelah. Tak nak! Aku tak pandai masak sangatlah. Menjahit baju pun merangkak-rangkak lagi. Aku tak sesuai dengan kau. Percayalah. Ini amaran terakhir! Pergi cari orang lain sajalah ya.” Bernada tegas dalam sayu getar suara itu. Ada manik jernih yang singgah di pipi comel Hanila. Terharu dengan sikap Abu Sufian. Baik! Sungguh!

“Hanila, makcik cuma harapkan yang beragama. Yang lain tu, tak mengapa. Anak makcik boleh imamkan Hanila bukan saja di bilik solat tapi di dapur dan di bilik jahitan.” Puan Maisarah muncul dengan senyuman manis. Dia mengusap belakang Hanila. Hanila makin sayu.

Kenapa diorang baik sangat ya Allah??Hati mana tak luluh..

“Haaa..dengar tu! Hehe.” Riang suara Abu Sufia meraikan jawapan emak tercintanya. Terima kasih emak!

“Lagi satu, kenapa baru nak melamar hari ni? Sebab Valentine Day ke?” Hanila mengajukan soalan cepumas untuk Abu Sufian. Abu Sufian mengerutkan keningnya. Pelik!

“Ish awak ni! Saya tak tahu pun yang hari ni Valentine Day. Kalau tahu pun, saya tak sambutlah. Haram! Tu bukan perayaan kita pun! Saya kan outstation. Takkan nak beritahu awak dalam telefon? Seganlah! Tak gentle! Kira okeylah saya beritahu ayah awak. Saya telefon dari kejauhan. Hehe.” Akhirinya dengan sebuah senyuman yang tak lekang-lekang.

******

Dua hati bersatu atas kehendak-Nya.. ^^

3 bulan kemudian…

Alhamdulillah. Selesai sudah majlis pernikahan Abu Sufian dan Hanila. Usai saja lafaz ijabkabul, Abu Sufian memimpin erat tangan isteri tercintanya. Ingin menunaikan solat sunat bersama di dalam bilik mereka. Semua tetamu tersenyum gembira. Bahagia melihat pasangan bagai pinang dibelah dua itu. Murid-murid Hanila juga turut hadir bersama untuk menghidupkan barakah. Mereka turut bahagia.

“Kenapa tangan awak panas?” Tanya Hanila dengan nada serius selepas menyalami suaminya itu. Gusar.

“Sebenarnya, saya demam sikit. Hehe. Tapi tak apa, Allah dah bagi saya ubat-Nya. Ada awak sebagai penyembuh.” Abu Sufian hanya tersenyum. Hanila semakin jatuh cinta dengan suaminya itu. Benarlah, cinta selepas nikah adalah lebih barakah dan terasa indahnya. Subhanallah!

“Awak kemas barang-barang awak sekarang boleh?” Abu Sufian menatap isteri tercintanya dengan pandangan yang mencurahkan kasih. Tenang jiwanya memandang potret indah ciptaan-Nya. Comel.

“Nak pindah hari ini juga ke?” Tanya Hanila dengan reaksi sebak. Matanya tertunduk. Awalnya! Terlalu awal untuk dia berpisah dengan ibu bapa tercinta.

“Haha. Relakslah! Jangan sedih-sedih. Saya nak ajak awak tengok rumah kampung saya. 2 jam saja dari sini. Hari ini pergi, esok kita baliklah semula. Sebulan kita tinggal dekat rumah awak, sebulan tinggal dekat rumah emak saya. Lepas tu, baru pindah rumah baru kita dekat Putrajaya. Okey sayangku?” Abu Sufian mencubit pipi comel Hanila. Asyik tersenyum.

“Ooo..cakaplah awal-awal. Hehe. Okey. Saya ikut saja cakap suami saya ni.” Hanila mencubit lembut pipi Abu Sufian.

“Tapi, saya macam mana? Sekolah? Hurmm..” Hanila bersuara lagi. Inginkan kepastian dari suami.

“Oh ye, lupa. Saya nak tanya. Kalau kita dah pindah ke Putrajaya nanti, boleh tak awak berhenti mengajar? Kalau awak setujulah. Kalau awak nak teruskan mengajar, tak apa. Saya tak kisah. Awak boleh tinggal sini dulu. Hujung minggu atau ada masa terluang lepas kerja, saya balik ke sini.” Panjang lebar penerangan Abu Sufian. Tangannya menggenggam erat jemari Hanila. Semakin sayang!

“Ermm.. Saya faham keadaan awak. Terima kasih sebab memahami. Insya-Allah, saya akan teruskan mengajar dulu. Sayanglah dengan budak-budak tu! Hehe. Lagipun, saya baru saja pindah. Relakslah dulu ya! Hehe. Kalau nak saya berhenti, tunggulah kita dapat baby dulu ya. Lepas tu, saya akan menetap di rumah bersama anak dan suami saya ni.” Hanila tersipu. Dia mengucup tangan suaminya yang sedang hangat kerana demam.

“Baiklah sayang. Saya setuju yang bab dapat baby tu. Okey.” Abu Sufian tergelak kecil. Sememangnya, nikah bukanlah kerana cinta semata-mata. Tapi, lebih kepada sunnah untuk membina ummah. Ya, itulah sebenarnya cinta. Cinta yang disalurkan untuk Allah dan Rasulullah.

Dia memimpin isterinya untuk keluar dari bilik.

“Jom sayang..”

Perjalanan ke Sekincan, Kuala Selangor mengambil masa memandu lebih kurang 2 jam untuk sampai ke sana. Abu Sufian memiliki homestay di kampungnya itu. Dia sengaja ingin membawa isteri tercinta ke situ. Ingin menikmati cinta halal bersama keindahan padi tanpa dikerumuni hiruk piruk bandar duniawi yang sentiasa busy. Dia lebih suka akan suasana sunyi dan sepi. Mudah untuk hati menghadam sebuah perasaan suci yang kian bersemi. Berpandukan kebesaran Ilahi.

“Dah sampai..” Luah Abu Sufian.

“Alhamdulillah..” Lafaz itu muncul di bibir Hanila. Syukur!

Abu Sufian dan Hanila mengangkat beg barangan mereka di rumah kampung itu. Papan. Sederhana saja binaannya. Abu Sufian memang banyak bersederhana dalam setiap aspek hidupnya. Itulah yang membuat Hanila selesa sepanjang mengenali jejaka itu.

Jam tepat mengalih ke arah 5 petang. Mereka berdua bergegas untuk berwuduk dan menunaikan solat fardu Asar bersama. Abu Sufian menjadi imam. Hanila sebagai makmumnya. Indah!

Usai solat, Abu Sufian terus mengatur langkah untuk menjayakan agenda seterusnya. Ingin ber’dating’ bersama Hanila. Dia ingin menikmati cinta bersama insan itu di tepi padi. Suhu dalam badan Abu Sufian semakin meninggi. Itu yang sedang dirasanya. Arrgghh! Dia abaikan saja. Fokusnya kini, ingin menikmati keindahan ciptaan Ilahi bersama Hanila.

Mereka berdua berjalan seiringan menyusuri batas padi-padi itu untuk menuju ke palong sambil tangan saling berpaut mesra. Abu Sufian dan Hanila duduk berdua di tepi palong yang bertakung air itu. Terukir senyuman bahagia di bibir masing-masing. Bunga-bunga cinta juga kian mekar dan bercambah saat ini. Rasa resah dan gundah sebelum ini sudah kian kelam. Cinta yang dibina atas dasar kerana-Nya telah meresapi hingga ke lubuk jiwa mereka.

“Seronok tak?” Tanya Abu Sufian sambil menjengahkan mata melihat ke arah isterinya. Hanila mengangguk sambil tersenyum. Mestilah bahagia. Ber’dating’ bersama suami. Segalanya sudah halal. Siapa yang tidak seronok kan? ^^

Matahari seakan memahami cuaca hati mereka berdua. Pancarannya hari ini tidak sehebat semalam. Tidak seterik selalu. Redup saja pemandangan hari ini. Hanila merebahkan kepalanya ke bahu Abu Sufian. Terasa tenang mengalir ke dalam jiwa. Subhanallah! Indahnya cinta-Mu!

“Awak okey ke ni? Panasnya tangan awak..”  Hanila terus menggenggam tangan hangat itu. Berharap, agar sentuhannya mampu mendinginkan suasana yang dirasai oleh sekujur tubuh itu.

“Orang demam, biasalah panas. Kan? Saya okey. Sebab awak ada di sisi saya. Saya harap, selamanya kita akan bersama. Sampai ke Syurga.” Abu Sufian mengucup jemari isterinya. Dia memejamkan mata untuk menjiwai rasa yang sedang marak dalam jiwanya. Hanila mendiamkan diri. Matanya tertumpu ke arah padi yang terbentang luas di depan mata. Abu Sufian juga membisu.

“Awak nak tahu satu perkara tak?” Abu Sufian mula bersuara. Manja.

“Apa dia?”

“Sebelum kita nikah dulu, saya ada cuba untuk sentuh awak…”

Hanila bingkas menegakkan kepalanya dari terus bersandar di bahu Abu Sufian. Dia sedikit terkejut. Mukanya serius! Matanya tajam memandang tepat ke arah Abu Sufian. Keningnya berkerut!

“Sentuh saya? Apa maksud awak? Awak cuba nak ambil kesempatan? Macam tu?!” Tangan yang digenggam erat dilepaskan dengan serta merta. Kasar! Hanila bingkas bangun untuk beredar dari situ. Abu Sufian terpaku sebentar. Salahkah bicaranya? Dia menarik perlahan tangan isterinya itu. Tidak mahu Hanila pergi dari situ.

“Sayang..dengar dulu, saya tak habis cakap lagi..” Pujuk Abu Sufian sambil menarik lembut tangan Hanila. Dia duduk merapati isterinya yang kuat merajuk itu. Cuba memujuk.

“Selalu saya dengar orang cakap. Sesuatu yang belum halal disentuh dengan tangan, sentuhlah hatinya dengan doa. Saya cuba sentuh hati awak dengan doa. Macam tu. Ada faham?” Abu Sufian tersenyum mesra sambil mengenyitkan matanya. Nakal. Abu Sufian sememangnya seorang yang rajin bertahajud di hening hari. Dia kerap melakukan solat sunat istikharah seusai mengerjakan solat sunat Taubat dan Hajat.

“Awak ni..jahatlah!” Hanila memukul dada suami tersayang. Mukanya makin tersipu. Ada manik jernih yang tiba-tiba mengalir.

“Sudahlah, saya tak nak tengok air mata awak. Hanafi pernah cerita, dia kata, awak dah banyak mengalirkan air mata sebab murid-murid awak nakal dan tak dengar kata. Suka melawan cakap. Saya tak nak awak sedih. Senyum saja ya, tak perlu kata apa-apa. Hehe.” Abu Sufian mengesat air mata yang mengalir di pipi Hanila.

“Alah, biasalah tu. Hehe. Tapi, ni air mata bahagia. Takpe kan. Awak tahu, saya bahagia sebab awak pilih dan terima saya seadanya. Saya ni, taklah cantik, comel tu ada kot. Hehe. Saya tak kaya dan tak pula pandai dalam bab kerja-kerja orang perempuan ni. Terima kasih tau sebab sudi pilih saya. Saya tak pernah sangka akan dapat suami sekacak awak ni. Saya harapkan seorang imam yang soleh. Sebab saya juga sedang berusaha untuk mensolehahkan diri. Tapi, awak lebih dari tu. Saya bersyukur sangat.” Lembut suara itu bergema di gegendang telinga Abu Sufian. Hanila tersenyum manja.

Dia sejujurnya tidak mengharapkan seorang jejaka yang kacak rupawan. Apa yang diharap, biarlah jejaka itu kacak peribadi dan akhlak serta ilmu agamanya untuk menjadi imam dan pembimbing dalam hidupnya. Itu saja yang boleh meyakinkan dan menggetarkan hati seorang muslimah sepertinya.

“Saya yang patut berterima kasih dekat awak sebab awak sudi terima saya. Kan saya dah cakap, saya pilih sebab nak yang beragama. Saya tak pernah ada niat nak pilih isteri yang cantik zahir semata-mata dan kaya dengan harta dunia sahaja. Ini semua milik-Nya. Bukankah manusia adalah sebaik-baik kejadian? Saya tak lengkap tanpa awak. Betul! Serius! Oh ye, bab memasak dan menjahit, jangan risau! Saya sedia jadi imam awak untuk di dapur dan di bilik jahitan!” Tergelak Hanila melihat aksi lucu suaminya itu. Abu Sufian bersemangat wajar sambil menggayakan aksi ‘macho’ di hadapan isteri tersayang. Mereka berdua ketawa gembira.

NIKAH ITU SUNNAH.. NIKAH ITU INDAH..

Usai solat Isyak, tubuh Abu Sufian diselubungi dengan selimut. Dia kesejukan! Badannya terlampau hangat. Demamnya semakin memuncak! Hanila bertambah gundah. Dia dihimpit rasa bersalah kerana mengabaikan kesihatan suaminya itu.

Ya Allah! Sembuhkanlah suamiku!

Abu Sufian melelapkan mata. Kudratnya sangat tidak bermaya saat ini. Isterinya mengambil sehelai kain kecil. Kemudian, merendam kain itu ke dalam air. Diletakkan kain yang sudah diperah ke atas dahi Abu Sufian. Biar dahi suaminya itu sejuk.

Hanila menuju pula ke dapur untuk memasak bubur. Mujur, dia masih ingat bagaimana hendak menyediakan santapan bubur. Alhamdulillah, selesai! Menjadi!

“Awak..awak..bangun sekejap. Saya masak bubur ni..” Hanila cuba mengejutkan suaminya yang sedang lena itu. Mata Abu Sufian terbuka sedikit demi sedikit. Hanila membantunya untuk duduk.

“Awak masak bubur? Kata tak pandai masak. Suka tipu!” Abu Sufian bersuara perlahan. Suaranya agak tenggelam.

“Setakat bubur, yang senang-senang, saya tahulah. Kalau yang sedap-sedap macam masak lemak cilia api, siakap tiga rasa tu, manalah saya reti sangat. Dah-dah! Makan! Bismillah..!” Hanila menyuap bubur nasi ke dalam mulut Abu Sufian menggunakan sudu. Lembut. Penuh kasih.

“Alhamdulillah, sedap! Terima kasih!”  Dikucupnya pipi comel milik Hanila itu. Makin tersipu si Hanila. Gembira!

“Sayang, nak tahu tak? Awak ada 4C dalam diri awak yang saya nampak.”

“Apa dia?” Soal Hanila semula.

“Cantik, comel, cute and caring. Hehe.” Abu Sufian mencubit mesra pipi isteri tercintanya itu.

Usai makan, Abu Sufian menyambung lenanya. Matanya berpinar. Kepalanya semakin terasa pusing. Dia rebah di atas katil empuk. Hanila masih belum mahu lena. Matanya tidak mahu lelap meskipun tubuhnya sudah mula terasa lelah. Dia meluangkan sedikit masa untuk membaca ayat-ayat cinta Allah. Agar cintanya terhadap Pencipta makin mekar dan bertambah kukuh!

Kemudian, barulah dia merebahkan diri di sebelah suami tercinta. Hanila sempat menghadiahkan sebuah kucupan mesra di pipi Abu Sufian. Sungguh! Dia mencintai Abu Sufian kerana-Nya!

******

“Sayang..bangun..jom kita tahajud sama-sama..” Kejut Abu Sufian. Hanila mengesat matanya. Terang cahaya lampu membuatkan matanya silau.

“Err..awak dah okey ke?”

“Insya-Allah, saya masih boleh nak imamkan awak. Jom!”

Abu Sufian berusaha untuk melaksanakan tugasnya sebagai seorang hamba kepada Yang Maha Esa. Dia cuba menguatkan kudratnya yang sedang dilanda demam untuk menghadap-Nya. Dia ingin merebut ganjaran istimewa daripada-Nya. Dia ingin menapak ke Syurga bersama isteri tercintanya, Hanila. Dia ingin menjadi hamba kesayangan Ilahi dengan rajin bertahajud.

Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud : “Allah s.w.t sayang kepada lelaki yang bangun malam kemudian mengerjakan sembahyang dan akan membangunkan isterinya dan kalau isterinya enggan, dipercikkan air di wajahnya. Dan Allah s.w.t sayangkan perempuan yang bangun malam kemudian mengerjakan sembahyang dan membangunkan suaminya dan jika suaminya enggan, dipercikkan air di wajahnya.” (Riwayat Abu Daud)

“Terima kasih ya sebab kejutkan saya.” Muncul lafaz itu di bibir Hanila setelah tangan suami dikucupnya.

“Sama-sama.” Tersenyum empunya diri itu.

Paginya, Abu Sufian menyediakan sarapan pagi. Hasil masakannya sendiri. Sedap! Lazat!

“Awak, sedaplah nasi goreng kampung awak ni. Nak lagi!” Hanila tergelak kecil. Abu Sufian hanya tersengih sambil tangannya menghulurkan permintaan permaisuri hatinya itu.

“Air teh yang awak buat ni pun sedap..” Puji Abu Sufian. Hanila tersenyum saja.

“Oh ye, harap awak tak menyesal kahwin dengan saya.” Hanila menambah bicara. Spontan sahaja rekasinya.

“Kenapa pula cakap macam tu? Tak ada makna saya nak menyesal. Saya lagi suka!”

For your information, saya ni, kuat makan orangnya. Hehe.” Jujur Hanila. Dia tersenyum manja. Terserlah keayuannya.

“Oh.. For your information pula, saya ni, suka memasak orangnya. Haha.” Abu Sufian tergelak besar. Kelakar dengan sikap isterinya itu. Macam-macam perangai ada!

So sweet kan?? ^^

“Untunglaa.. Ni yang saya bertambah sayang dekat awak ni! Mmuuaah..!” Hanila melayangkan flying kiss untuk kekasih halalnya. Abu Sufian hanya tersenyum. Atmanya terasa amat tenang dengan melihat wajah penuh seri itu. Dia bahagia. Moga cinta ini terus kekal selamanya hingga ke Syurga. Dia amat cintakan Hanila. Dia cintakan Hanila kerana-Nya.

“Awak, nanti kita pergi taman permainan ya. Saya nak main buaian dengan awak. Rindu!” Hanila tergelak. Dia cuba memerli Abu Sufian. Kenangan terindah di buaian takkan sesekali dia lupakan! Abu Sufian hanya mengangguk sambil merenung wajah isterinya itu. Tenang! Subhanallah!

Mereka berdua ingin melakar sejarah cinta tersendiri. Yang akarnya dibina atas dasar cinta kepada Ilahi. Agar terus teguh dan kukuh. Tidak mudah runtuh dek ujian sebagai pelengkap kehidupan. Meskipun hidup ini bukanlah untuk cinta semata-mata, namun, rasa itu merupakan salah satu rencah dalam menjelajahi rimba kehidupan ini. Tanpa cinta kepada Pencipta, mustahil seorang hamba akan mentaati perintah Tuhannya.

Seringkali kebahagiaan terpamer pada bibir yang tulus mengukir sebaris senyuman. Ya. Sememangnya cinta bukanlah bahan jenaka. Namun, itulah hakikat, kelakarnya cinta. Tak semua cinta berakhir dengan duka. Tak semua cinta bermula dengan bahagia.

Itu semua aturan-Nya. Kita hanya mampu merasa sebuah perasaan bahagia. Kelakar bila diimbas semula. Kerana rasa itu sering buat kita tersenyum dan tertawa. Kala sendirian, kala dalam khayalan, kita sering ketawa. Kerana cinta itu bahagia. Bahagia itu satu anugerah. Jadi, bersyukurlah!

Semoga akar ukhuwah kita adalah cinta kerana-Nya, agar senyuman dan kebahagiaan dek kelakarnya cinta menjadi milik kita bersama, hingga ke Syurga. ^^

***TAMAT***

SEINDAH HUSNUL KHATIMAH

Published November 22, 2011 by wana93

Senyumnya meleret mencapai telinga. Fikirannya ligat melayang. Hatinya berbunga riang mengalahkan orang yang sedang asyik dilamun cinta. Wajahnya girang dihiasi cahaya rindu pada seseorang. Matanya asyik menatap tulisan emel. Emel dari Mesir itu benar-benar memutik rasa bahagia dalam atmanya . Bukan sahaja Siti Nor Aisyah yang bahagia, malah, kedua ibu bapanya juga turut merasai tempiasnya.

Salam rindu buat Umi, Abi dan adik-adikku yang dikasihi Ilahi..

Maafkan abang sebab tidak menghubungi kalian selama 6 bulan. Abang tahu, Umi dan Abi risau. Maafkan abang sebab buat Umi dan Abi resah. Maafkan abang juga sebab tak sempat untuk membalas mesej-mesej rindu di emel daripada adik abang,Aisyah. Abang tak pernah lupakanmu wahai adikku sayang. Abang amat merindui kalian.

Bukan abang tak nak berhubung, tetapi, disebabkan beberapa masalah teknikal di sini, abang tak dapat menghubungi kalian. Ditambah pula dengan kesibukan abang dalam talaqqi, masa seakan tidak mengizinkan abang untuk meluangkan bicara bersama kalian. Tetapi, jangan risau. Kalian tetap abang doakan. Segalanya sudah selesai. Alhamdulillah, semuanya berjalan dengan lancar dan mudah. Ini semua berkat doa dan restu kalian. Abang berjaya juga menggenggam segulung ijazah. Insya-Allah, abang akan pulang ke tanah air kita pada minggu hadapan. Hari Khamis, 10.00 pagi. Tunggu abang di KLIA ya.

Abang Shukri, Kaherah, Mesir..

 

Segar di ingatan Aisyah, abangnya itu merupakan salah seorang pelajar cemerlang dalam Sijil Tinggi Agama Menengah (STAM). Shukri berjaya mendapat pangkat Mumtaz Sofi. Abi dan Umi berasa amat bahagia dengan kejayaan anak mereka. Rasa bahagia di jiwa semakin membara apabila abang Shukri mendapat tawaran untuk menyambung pelajarannya di Universiti Al-Azhar, Mesir. Itulah cita-cita abang Shukri sejak di tingkatan 1 lagi.

Aisyah mempunyai seorang lagi abang dan dua orang adik lelaki, Amri dan Zakri. Hanya dia satu-satunya puteri dalam mahligai itu. Yusri adalah keluaran Timur Tengah. Abang Yusri telah berjaya mendapat 10A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan mendapat tawaran belajar di Universiti Yarmouk,Jordan. Sekarang, dia menabur bakti pada ummah demi agama yang dicintainya. Abang Yusri kini bergelar ustaz. Dia menjadi tenaga pengajar di sebuah sekolah menengah agama dan sering menjadi jemputan untuk ceramah dan tazkirah di masjid dan surau. Penangan isi ceramah abang Yusri sering menjelira ke dalam jiwa-jiwa yang merindui kebenaran dan hidayah serta mengharap reda Ilahi.

Sebagai adik kepada dua orang abang produk keluaran Timur Tengah, ditambah pula dengan ketinggian ilmu agama yang dimiliki mereka, Aisyah berasa amat bersyukur kerana abang-abangnya itulah yang sering memberi suntikan kata-kata perangsang untuk memuhasabah dirinya. Sebagai manusia, dia memang sering lalai dengan kehidupan duniawi. Kedua abangnya itulah yang selalu menegur salah dan silapnya. Walaupun pada pandangannya, abang Yusri agak tegas berbanding abang Shukri, namun, kedua-duanya tetap menjadi abang kecintaannya.

*******

Saatnya sudah tiba. Akhirnya, Shukri selamat sampai di KLIA. Tetapi, pendaratannya awal sejam. Pukul 9.00 pagi, kakinya sudah berpijak ke bumi kelahirannya,Malaysia. Shukri menghirup udara segar pagi itu. Terasa nyaman sekali. Sejuk dan dingin pagi menusuk hingga ke rongga hati. Dia amat merindui Malaysia kerana sudah 4 tahun kakinya tidak bertapak di negara sendiri. Sepanjang  4 tahun berada di Mesir, dia sanggup tidak pulang keMalaysiakerana tidak mahu membebankan ibu bapanya. Dia hanya fokus untuk belajar dan menamatkan pengajiannya dalam Fakulti Syariah Wal Qanun di bawah Jabatan Syariah Islamiah.

“Shukri, jom makan!” Nizam mengajak Shukri kerana perutnya perlu diisi. Sedari tadi, bingit telinganya mendengar lagu keroncong hasil dendangan perut yang sedang kelaparan. Dia amat merindui makanan tempatan. Nizam merupakan sahabat seperjuangan Shukri di Mesir. Dia baru sahaja menamatkan pengajiannya dalam Fakulti Usuluddin. Mereka berdua menuju ke café untuk menjamah makanan. Sambil menjamah, Shukri melihat sekeliling untuk memastikan ibu bapanya sudah sampai atau belum. Dia sabar menanti. Matanya tidak lekang dari memerhati.

Usai makan di café, Nizam segera pulang sendiri menaiki teksi. Dia tidak mahu membebankan orang tuanya. Dia hanya memberitahu adiknya, Azzam, agar ibu bapanya menunggu kepulangannya di muka pintu rumah. Azzam satu-satunya adik yang Nizam ada. Azzam hanya belajar di peringkat Sijil. Kemudian, dia bekerja sebagai kerani di sebuah syarikat dengan berpendapatan sebanyak RM1 500 sebulan. Dia memang tidak minat untuk belajar. Namun, Azzam amat sayang dan bertanggungjawab terhadap kedua orang tuanya. Dialah yang menjaga ibu bapanya semasa ketiadaan Nizam. Umurnya baru mencecah 20 tahun. Masih muda dan gagah perkasa.

Shukri sabar menanti kedatangan keluarganya. Jam hampir menunjukkan pukul 11.00 pagi, namun, kelibat mereka masih belum kelihatan. Shukri tetap menanti. Menanti penuh pasti. Dia mundar-mandir tanpa tujuan. Perasaannya semakin bergelora. Rindu pada keluarga makin meresahkan jiwa. Sekejap ke sana, sekejap ke sini. Duduknya tidak senang.

“Abang Shukri!!” Siti Nor Aisyah menjerit tanda terkejut dengan apa yang ada di hadapannya. Shukri tersentak. Lalu tersenyum gembira. Dia terus menuju ke arah Umi dan Abinya. Pelukan erat melekat antara mereka. Pelukan rindu antara ibu bapa dan anak. Berkali-kali kucupan singgah di pipi Shukri. Umi mengucup pipi anak lelaki yang dirinduinya itu dengan penuh rasa cinta. Abi juga. Shukri membalas kucupan rindu di pipi mereka dengan perasaan kasih menggunung tinggi. Aisyah menghulurkan tangan untuk bersalam dengan abangnya itu. Dia mengucup tangan abangnya itu dengan limpahan air mata rindu. Shukri terharu bercampur bahagia. Kemudian, Amri pula. Amri menyalami Shukri dan memeluknya dengan erat. Zakri seakan tidak punya perasaan. Dia hanya melihat dari jauh.

“Zakri tak nak peluk abang ke?” Shukri mendekati adik lelakinya.

Zakri hanya menghulurkan tangan tanpa sepatah kata. Shukri menepuk-nepuk bahu Zakri. Adik lelakinya yang seorang itu memang agak keras kepala dan sukar mendengar kata.

“Abang rindu dengan Zakri.” Luah Shukri dengan senyuman. Zakri beredar dari situ dan menuju ke kereta.

“Dia memang macam tu. Abang jangan ambil hati ya.” Pujuk Aisyah. Shukri hanya mengangguk. Mereka menuju ke kereta untuk pulang ke rumah.

“Abang Yusri kirim salam dekat abang. Dia tak dapat datang sebab ada hal. Insya-Allah, malam nanti abang Yusri datang dekat rumah. Dia nak jumpa abang. Rindu katanya.” Aisyah menyampaikan pesan abang Yusri.

Shukri amat bersyukur kerana kerinduan selama 4 tahun akhirnya berbalas dengan pertemuan indah pada hari ini.

Alhamdulillah.

Hatinya tidak henti-henti bertahmid pada Ilahi. Betapa Allah itu Maha Penyayang!

*******

 Usai solat Maghrib, Siti Nor Aisyah sekeluarga menjamu selera sambil menunggu kedatangan Yusri. Zakri dan Amri tidak turut serta kerana asyik bermain PS2 di dalam bilik mereka. Shukri tidak lekang dengan senyuman manis di bibirnya. Rasa bahagianya terpancar dari mata yang bergenang dengan badai rindu.

Alhamdulillah! Sedap masakan Umi. Terima kasih ya.” Shukri merapati Umi. Umi hanya tersenyum sambil mencubit mesra pipi Shukri.

“Sama-sama sayang. Umi tahu,anak Umi rindu masakan Umi kan? Sebab tu Umi masak special hari ni.” Balas Umi. Mereka berborak di ruang tamu utama sambil menonton TV. Abi dan Umi asyik mengusik Shukri tentang calon isteri. Aisyah asyik tergelak melihat gelagat abangnya yang pemalu itu. Pipi Shukri merona merah. Berkali-kali Shukri mempertahankan dirinya bahawa dia masih belum punya calon.

“Assalamualaikum…” Suara Yusri muncul jua. Dia datang bersama keluarga tercinta. Shukri terus menuju ke arah abangnya itu. Mereka bersalaman dan berpelukan. Isteri Yusri, Norlia, hanya tersenyum bahagia melihat gelagat dua beradik yang dilanda gelora rindu itu.

“Kalau ya pun Shukri, bagilah kakak ipar dengan baby masuk dulu. Kesian cucu Umi. Kesejukan.” Tegur Umi.

Shukri mempersilakan mereka masuk. Aisyah ‘menculik’ baby kakak iparnya. Comel sungguh! Umi juga mengucup pipi cucunya itu sambil mengusap-usap rambut nipisnya.

Yusri dan Norlia telah membina mahligai bahagia semasa usia mereka 24 tahun. Kini, perkahwinan mereka sudah berusia 6 tahun dan dikurniakan 3 cahaya mata termasuk baby yang baru beberapa bulan lahir untuk melihat indahnya dunia ciptaan Tuhan ini. Dua puteranya dan seorang puteri iaitu baby Humaira’ adalah harta yang paling berharga kurniaan Allah kepadanya. Kedua-dua putera abang Yusri, Rifki dan Razali, terus meluru ke dalam bilik Zakri dan Amri untuk bermain PS2 bersama sebaik saja sampai di rumah nenek mereka.

“Macam mana? Apa khabar? Lama sangat kita tak jumpa kan..” Yusri meluahkan rasa rindunya. Mereka duduk berhadapan di luar rumah. Umi sedang menyediakan minuman untuk anak-anaknya itu sambil dibantu oleh menantu sulungnya, Norlia. Aisyah pula sendirian mendukung baby Humaira’.

Alhamdulillah,sihat. Okey. Lepas ni, nak cari kerja sajalah. Jadi ustaz macam abang ke kan.. best tak jadi ustaz?” Tanya Shukri.

Yusri hanya tersenyum sambil menjawab,

“Okey. Biasalah, kena layan kerenah budak-budak. Tapi alhamdulillah. Seronok sebab dapat kongsi ilmu dengan mereka. Kerja gurukan kerja yang mulia. Elok sangatlah kalau kau nak jadi ustaz juga. Dah ada tempat ke?”

Insya-Allah. Rezeki Allah ada di mana-manakan? Minggu depan ada temuduga dengan Kementerian Pelajaran. Doakanlah ya.”

Alhamdulillah kalau macam tu. Apa cerita 4 tahun dekat sana? Dah ada calon? Bila nak kahwin ni?” Yusri sengaja mengajukan soalan cepumas untuk Shukri. Shukri tersipu-sipu sambil menggelengkan kepala.

“Haha. Mana ada. Lambat lagilah. Kerja dulu, baru fikir semua tu.”

“Baguslah kalau macam tu. Tapi, jangan lambat sangat tau. Menyesal kalau kau kahwin lambat. Terurus sikit hidup bila dah kahwin ni. Seronok! Ada yang tolong gosok baju, kemas rumah, masak dan sediakan semua keperluan kita.Untung! Lagipun, ni kan perkara sunnah. Jangan dilambat-lambatkan.”

Insya-Allah bang…”

Umi dan Norlia berjalan seiringan menuju ke luar rumah sambil membawa minuman dan keropok lekor. Umi tersenyum dari jauh. Kelihatan bahagia.

“Kenapa muka kamu merah ni Shukri? Ni mesti kena usik dengan Yusri. Yusri, kamu buat apa dengan anak Umi ni?” Umi menepuk-nepuk bahuYusri.

“Saja usik dia Umi. Yusri tanya pasal calon isteri. Umi suruh dia kahwin cepat-cepat tau. Betul tak sayang?” Norlia hanya tersenyum menjawab persoalan suaminya itu.

“Umi tak kesah. Tapi biarlah adik kamu ni berduit dulu. Kalau dah ada duit, kerja, baru boleh sara anak orang.”

“Betul tu! Hehe.”  Shukri menyokong kata-kata Umi.

Suasana yang kecoh bertambah riuh dengan gemersik teriakan tangis Humaira’. Aisyah bergegas ke luar untuk mencari kakak iparnya.

“Kak, tiba-tiba dia menangis. Aisyah tak buat apa-apa pun.” Ngadu Aisyah.

“Dia dah mengantuklah. Dah lapar ni. Jom teman kakak masuk bilik. Nak tidurkan Humaira’.” Ajak Norlia.

“Abang, Lia masuk bilik dulu ya. Nak tidurkan Humaira’ ni.” Norlia meminta izin daripada suaminya untuk masuk ke bilik dahulu bersama Aisyah. Yusri hanya mengangguk lantas bangun untuk mencium puterinya itu.

“Malam ni kamu tidur sinilah. Esok kancuti. Dah pukul 9.00. Tidur sinilah ya.” Pujuk Umi.

“Baiklah Umiku sayang.” Yusri akur dengan kehendak Uminya itu. Abi pula keluar.

“Dah. Masuk. Jom kita solat berjemaah. Shukri, Abi nak kamu jadi imam boleh?” Abang Shukri tersenyum sambil mengangguk tanda setuju.

Usai solat berjemaah, Abi, abang Yusri dan Shukri menonton TV bersama. Mereka menonton perlawanan bola sepak. Umi terus ke bilik untuk merebahkan diri. Terasa otot-ototnya mula lucut meminta istirahat.

Budak-budak lelaki yang lain masih melayan permainan PS2. Mereka berhenti sebentar untuk solat berjemaah sahaja tadi. Aisyah bersama kakak iparnya, Norlia, berborak mesra di dalam bilik. Humaira’ telah lama lena diulit mimpi indah.

Telefon bimbit Norlia berbunyi tanda mesej masuk. Dia segera membaca.

Selamat malam, sayang… 🙂

Sender : My Hubby

Norlia tersenyum sambil tangannya ligat membalas mesej tersebut.

“Siapa kak? Sampai tersenyum tu.” Usik Aisyah.

“Abang kamu. Hantar mesej selamat malam.”

“Aik? Macam orang dah lama tak jumpa saja.”

“Apa salahnya kan? Perkara-perkara macam inilah yang akan membuat cinta antara kami makin mekar. Semua kasih yang dicurahkan kini adalah halal.” Norlia tersipu malu.

“Kak,nak tanya sikit boleh?”

Norlia hanya mengangguk.

“Macam mana abang Yusri dengan akak boleh bersatu ya? Maksud Aisyah, pertemuan akak dengan abang. Maaflah kalau menyebuk. Saja nak tahu. Abang Yusri tak nak cerita.”

Norlia hanya tersenyum sambil menjawab,

“Entahlah. Semua ini ketentuan Allah, dik. Masa tu, kami belajar dekat Jordan. Universiti sama. Tapi kami tak pernah kenal satu sama lain. Pertemuan kali pertama kami semasa semester akhir. Tak tahu macam mana boleh tersangkut. Hehe. Alhamdulillah, masa tu dah habis belajar pun. So, taklah ganggu pembelajaran kami. Tunggu nak balikMalaysia saja.”

“Lepas tu? Takkan terus kahwin?” tanya Aisyah lagi. Matanya dibulatkan tanda tak puas hati dengan jawapan yang diberikan oleh kakak iparnya itu.

“Eh, tak. Balik Malaysia taklah terus kahwin. Cari kerja dulu. Hampir dua tahun bekerja, barulah kami kahwin.”

“Tadi kata tak kenal. Habis tu, akak takde keluar dating dengan abang ke?”

“Hish! Takdelah! Buat apa? Buat tambah dosa saja. Memanglah tak kenal. Kenal macam tu saja. Mesej pun kalau ada hal penting. Nak berjumpa, jauh sekali dan tak pernah pun. Kadang-kadang, abang Yusri hantar mesej tazkirah. Kadang-kadang, akak pun balas mesej tazkirah tu. Ibu bapa pun tahu. Kami cubajaga hubungan kami ni sebaiknya. Sepanjang kami berkawan, tak pernah ada mesej-mesej cinta dan rindu yang dihantar kerana kami tak mahu terjebak dalam perangkap syaitan durjana. Alhamdulillah, dah 6 tahun kami bersama. Akak bersyukur sangat tau. Lepas dah nikah, barulah kami pulun bercinta. Hehe.”

So sweet! Abang Yusri garang tak? Apa yang membuatkan akak terpikat dengan abang Yusri?” Aisyah terus menyoal seperti wartawan. Kakak iparnya tidak jemu-jemu melayan kerenahnya.

“Mana ada garang. Kalau garang pun, garang bertempat. Akak suka dengan agama yang ada pada abang kamu. Dia rajin ke masjid, hafaz quran, bagi tazkirah, mengimamkan solat dan lain-lain lagi. Akak suka bacaan doa dan bacaan quran abang Aisyah. Merdu dan menusuk hingga ke perdu hati. Itu yang akak cair kot. Hehe. Akak pandang agamanya dulu, yang lain, akak terima seadanya.”

“Aisyah pun suka dengan sikap abang-abang Aisyah. Abang Yusri pernah beritahu, dia pun terpikat dengan agama yang ada pada diri akak. Pakai tudung labuh, sopan, tundukkan pandangan dan pandai dalam pelajaran. Sebab tu abang selalu suruh Aisyah jadi wanita solehah supaya kelak, akan ada lelaki soleh yang meminang Aisyah. Hehe.”

“Baguslah. Semoga adik akak ni dapat suami soleh. Jaga diri baik-baik ya sayang.”

Insya-Allah. Jomlah tidur kak.”

“Jom!” Akhiri mereka. Lampu pun ditutup.

*******

Yusri sekeluarga sudah pulang ke rumah mereka. Shukri sedang membantu Abi membasuh kereta dan motor. Umi pula sedang duduk berehat sambil membaca majalah Solusi. Siti Nor Aisyah dan adiknya, Amri sedang tekun mengulangkaji pelajaran di kamar masing-masing. Zakri pula, tidak berganjak bermain PS2 sedari Subuh tadi.

“Bosannya!” Keluh Zakri. Dia menghubungi sahabatnya, Ridhuan dan Rahim untuk diajak berlepak di tempat biasa.

“Bro! Macam biasa, jom!”

Setelah semua sahabatnya setuju, Zakri mempersiapkan diri. Dia terus meluru keluar untuk mencapai motor. Motor yang baru saja dibasuh oleh Shukri digunakannya tanpa mempedulikan sesiapa. Telinganya dipekakkan.

“Zakri! Nak ke mana tu? Abi tanya ni!” Suara Abi menjerit langsung tidak diendahkan. Motor yang dipandu Zakri terus meluncur laju.

“Sabar ya Abi. Duduk dulu.”  Shukri cuba menenangkan Abi. Abi mengurut dadanya dengan perlahan.

“Tak tahu nak jadi apa dengan adik kamu tu. Perangai makin hari makin teruk. Tengoklah tadi! Pagi-pagi lagi dah keluar, mesti balik malam ni! Pergi mana pun Abi tak tahulah. Kamu dah balik ni, tolong tengok-tengokkan adik tu ya.” Luah Abi penuh kesal. Shukri hanya mengangguk.

“Boleh abang masuk?” Shukri meminta izin dari luar pintu bilik Aisyah yang tertutup rapat.

“Masuklah bang. Pintu tak kunci tu.” Jawab Aisyah sambil tangannya khusyuk menulis.

“Tengah study ke? Abang ganggu tak?”

“A’ah. Tak pun. Kenapa bang?”

“Saja. Dah lama tak borak dengan puteri kesayangan abang ni.”

“Rindu kan? Aisyah pun rindu sangat dengan abang.”

“Ya? Abang pun rindu. Abang nak tanya sikit ni. Sejak bila Zakri berubah sampai jadi macam tu? Abi tanya tadi, dia buat tak tahu saja. Kasihan tengok Abi.”

“Entahlah bang. Ni semua mesti sebab pengaruh kawan-kawan dia tu. Abang baru nampak yang hari ni. Banyak lagi yang abang tak nampak. Lagi teruk.”

“Yeke? Apa lagi yang dia buat?”

“Dia pernah baling bekal yang Umi bagi. Selalunya, sebelum pergi sekolah, Umi bagi kami bertiga bekal yang Umi masak. Zakri pernah baling bekal tu sebab katanya bosan asyik makan makanan dalam rumah saja. Umi sedih sangat. Dah banyak Umi bazirkan air mata disebabkan dia.”

Astaghfirullah. Sampai macam tu sekali? Tahu tak dia selalu lepak dekat mana?”

“Tak tahulah bang. Susah nak intip dia. Syukurlah si Amri tak terpengaruh dengan abang dia tu. Amri okey. Aisyah selalu dekat dengan dia.”

Alhamdulillah. Tapi, abang risau dengan Zakri ni. Takut dia jadi liar. Senang terpengaruh dengan gejala negatif. Abang Yusri tahu tak?”

“Tahu. Dia takut kalau abang Yusri balik. Sebab tu semalam dia tak keluar, ada dekat rumah sampai malam. Abang Yusri balikkan. Abang Yusri pernah rotan dia sebab dia melawan cakap Abi. Abi suruh solat, tapi, dia buat tak tahu saja. Asyik main PS2 saja. Dah kena rotan dengan abang Yusri, barulah nak bangun. Lepas tu, menangis. Padan muka!”

“Garangnya abang Yusri! Zakri menangis? Itu petanda baik. Hatinya masih ada kelembutan. Insya-Allah, kita sama-sama bimbing dia ya.”

“Lembut hati? Abang tak tahu, Aisyah pernah tegur dia sebab asyik bergayut dekat telefon dengan awek. Abang tahu dia buat apa? Dia kata Aisyah ni cemburu dan dengki sebab takde lelaki nak bergayut dekat telefon dengan Aisyah. Bukan tu saja, dia bengang, dia koyakkan buku latihan Aisyah. Tak pasal-pasal, Aisyah kena marah dengan cikgu.”

“Kasihannya puteri abang ni. Sabar ya sayang. Nanti abangcubapula. Bila periksa SPM?”

“Abang kenalah tegas sikit macam abang Yusri tu. Erm.. Tak lama,lagi dua bulan..”

“Ooo..Kenapa? Abang ni lembut sangat ke? Haha.”

“Bukanlah lembut tapi baik sangat. Memanglah Aisyah suka dapat abang yang baik sangat ni tapi abang kenalah tegas sikit dengan orang yang macam Zakri tu. Tahun ni dia periksa PMR. Risau juga tengok dia asyik main saja.”

“Okeylah puteriku. Kita sama-sama doa agar adik kita tu lembut hatinya untuk hadam nasihat dan tazkirah kita nanti ya. Sambunglah belajar. Abang keluar dulu. Terima kasih ya.”

Shukri tahu, dia sekarang perlu menggalas tanggungjawab yang telah tergendala selama 4 tahun. Tanggungjawab untuk membimbing dan mentarbiah adik-adiknya. Dia tidak boleh mengharapkan Abi, Umi dan abang Yusri semata-mata untuk melaksanakan tanggungjawab ini. Dia juga mesti berganding bahu bersama mereka. Sepakat membawa berkat!

*******

Jam menunjukkan pukul 10.00 malam. Abi dan Umi sudah tidur. Siti Nor Aisyah dan Amri juga sudah lena di bilik masing-masing. Shukri masih menunggu kepulangan adiknya, Zakri. Dia mundar-mandir di ruang tamu.

Shukri mencapai al-quran. Dia mengulangi hafalannya sambil duduk di atas sofa lembut. Sesekali, bacaannya tersangkut, dia merujuk kepada al-quran. Kemudian, dia menyambung kembali. Matanya memandang ke arah jam. Jarum jam menunjukkan hampir ke nombor 11. Hati Shukri semakin tidak senang. Dia bermonolog sendirian.

Ya Allah, lindungilah adikku, Zakri. Lembutkan hatinya. Jauhkanlah dia daripada segala gejala negatif. Lembutkan jiwanya.

Bunyi enjin motor menghentikan monolog Shukri. Dia menuju ke muka pintu. Pintu dikuak oleh Zakri.

“Dari mana ni? Kenapa balik lambat?” Tanya Shukri dengan lembut.

“Tak payah sibuklah. Orang nak tidur.” Jawab Zakri sambil kakinya terus menapak ke bilik.

“Jawab dulu pertanyaan abang. Dari mana ni? Zakri merokok ke?” Shukri mencapai tangan Zakri untuk memberhentikan langkahnya. Deria baunya seakan mengesyaki bahawa Zakri merokok.

“Aaarrgghh! Baru balik Mesir dah sibuk hal orang!” Zakri menarik tangan sambil masuk ke bilik. Pintu bilik dihempas kuat. Aisyah tersedar dari tidurnya.

“Jangan lupa solat dulu!” Sempat Shukri melaung dari jauh.

Hati Shukri seakan terguris oleh tindakan adik lelakinya itu. Dia amat merindui Zakri yang dahulu. Zakri yang dahulu tidak seganas ini, tidak sebiadab ini dan tidak sekeras ini. Dia beristighfar berkali-kali. Dia akan cuba juga untuk memperbaiki adiknya itu.

“Abang okey?” Sapa Aisyah sambil matanya digosok-gosok.

Shukri hanya tersenyum.

“Okey, dah, pergi tidur ya. Abang pun nak tidur ni. Selamat malam.” Shukri melangkah lesu ke arah biliknya. Aisyah tahu bahawa hati abangnya terluka dengan sikap ganas Zakri.

*******

Seminggu sudah pun berlalu. Hari ini, Shukri bersiap sedia untuk menghadapi temuduga di Kementerian Pelajaran. Diacubaberfikiran positif dan berlapang dada. Segala kelengkapan telah disediakan dua hari sebelum temuduga. Harapan di hati, semoga semuanya berjalan dengan lancar. Doa pada Yang Maha Esa tidak pernah dilupakannya.

Temuduga telah pun selesai. Bibir Shukri menguntum bunga sambil bertahmid pada Ilahi. Dia diterima untuk bekerja sebagai guru di sebuah sekolah menengah agama. Kebetulan, sekolah itu adalah tempat yang sama di mana Yusri bekerja. Nampaknya, dua beradik keluaran Timur Tengah akan menyebarkan ilmu agama mereka di sekolah yang sama. Terbaik!

Jam di tangan Shukri menunjukkan pukul 1.30 petang. Dia mamper ke masjid terdekat untuk menunaikan solat Zohor. Usai solat, Shukri mencapai butir-butir tasbih. Lafaz cinta berbentuk tahmid, istighfar dan takbir mengalir bersama jiwa yang sentiasa rindu akan Syurga Ilahi. Pipinya terasa hangat dengan titisan air mata yang tiba-tiba menjelma. Gelora di hati semakin menemui ketenangan. Kesedihan di kalbu semakin terubat. Benarlah, hanya dengan mengingati Allah, hati menjadi tenang.

AlhamdulillahAllahu akbarSubhanallahAstaghfirullah..”

Shukri sampai di rumah tepat pukul 3.00 petang. Amri sedang mengaji bersama Umi di ruang tamu. Abi pergi keluar sebentar kerana ada hal. Siti Nor Aisyah sedang membaca novel di atas sofa empuk. Sesekali, bibirnya mengukir senyuman. Sesekali, keningnya dikerutkan. Zakri pula, menghilang lagi.

KRING!! KRING!! Telefon rumah berkumandang. Aisyah segera bangun dan menjawab panggilan itu.

“Assalamualaikum..Hello..”

“Aisyah ya?”

“Ya. Ezza Atilia ke ni?Ada apa?”

“A’ah. Esok balik lambat sikit nak? Kita buat usrah. Dah lama kita tak usrah bersama.”

“Okey. Insya-Allah.”

“Terima kasih. Jumpa esok. Assalamualaikum..”

“Waalaikumussalam.”

Aisyah gembira kerana esok dia akan punya kesempatan untuk berhalaqah membuat usrah bersama sahabat-sahabat karibnya. Usrah bagi dirinya amat penting. Dengan usrah, hati akan selalu diingat, jiwa akan dekat dengan Pencipta dan rasa boleh dikongsi bersama. Andai ada masalah, sama-sama mencari penyelesaiannya. Dengan usrah juga, diri akan lebih mengenal Allah dan bisa mengukuhkan ukhuwah fisabilillah. Itulah keistimewaan usrah bagi dirinya. Tanpa usrah, hidup memang tak lengkap kerana hati dan jiwa akan merasa kosong.

“Umi, Zakri mana?” Tanya Shukri. Umi hanya menggelengkan kepala tanpa sepatah kata.

“Aisyah, esok ada masa lapang tak?” Shukri ingin mendapatkan kepastian daripada Aisyah. Dia ingin mengajak adiknya ke suatu tempat  istimewa esok.

“Esok Aisyah balik lambat sikitlah bang. Abang ambil Aisyah petang boleh? Kenapa?”

“Okey. Boleh. Zakri balik dengan Aisyah sekali kan?”

“A’ah.”

“Abang nak bawa Aisyah dengan Zakri dekat satu tempat ni. Mesti Aisyah suka.Ada program remaja dekat tempat tu esok. Ceramah tentang cinta remaja.” Shukri tersenyum.

Aisyah membalas senyum abangnya itu sambil mengangguk setuju.

“Umi, Shukri balik malam untuk esok boleh? Ceramah tu mula lepas maghrib.” Shukri meminta kebenaran daripada Umi pula. Umi hanya mengangguk tanda setuju.

“Nak ikut juga!” Amri menyampuk. Shukri mendakap adik kecilnya yang berusia 11 tahun itu sambil mencium pipi mulusnya.

“Tak boleh. Tempat tu ramai orang, nanti Amri kena culik, kasihan Umikan? Amri ikut abang lain kali ya? ” Shukri cuba memujuk. Amri hanya mengangguk. Dia meneruskan pembacaan al-qurannya.

*******

“Ezza! Maaflah tak jumpa kau masa rehat tadi.” Siti Nor Aisyah mendakap erat sahabat karibnya itu. Seperti yang mereka janji, usrah mereka berjalan di musolla sekolah.

“Tak apa. Aku faham. Kita tunggu lagi dua orang lagi kawan kita  ya.” Balas Ezza Atilia.

5 minit kemudian, Syifa’ dan Dayana muncul dengan lambaian dari muka pintu. Kelajuan kaki dimaksimakan untuk segera sampai ke destinasi.

“Maaflah, lambat. Dah lama ke tunggu?” Syifa’ bersuara manja.

“Tak lama pun. Adalah dalam setengah jam.” Ezza menjawab dengan nada bergurau. Mereka terhibur.

“Dah, kita mulakan usrah kita hari ni dengan Al-Fatihah.” Aisyah memulakan bicara.

“Okey, kita nak bincang apa hari ni?” Tanya Aisyah inginkan kepastian.

“Soal hati ke, soal cinta..nak tak? Huhu.” Dayana menjawab sambil tergelak. Syifa’ turut ketawa bersama. Ezza hanya tersenyum.

“Tak habis-habis lagi ke? Hati siapa pula kali ni?” Aisyah menggelengkan kepala.

“Apa pandangan korang tentang couple?” Jujur soalan Syifa’.

Couple bermakna berpasangan. Berpasangan tak salah. Tapi, zaman sekarang ni, berpasangan dah disalaherti dan disalahgunakan. Mereka fikir keseronokan semata-mata. Pernikahan tak pernah terlintas di fikiran mereka. Nak bercinta, berdating dengan orang lain tapi kahwin pun nak dengan orang lain.” Dayana mengutarakan pendapatnya sambil mencebik bibir tanda geram.

Ezza pula bersuara, “Betullah tu. Bila kita dah masuk ke perangkap Syaitan, kita memang tak fikir panjang. Apa yang kita tahu, seronok. Seronok dapat berbual lama-lama dengan bukan mahram, seronok dapat pegang-pegang dengan bukan mahram dan lain-lain lagi. Kita kena ingat, syaitan tu bijak. Perkara maksiat ni memang selalunya menyeronokkan. Na’uzubillah.”

“Remaja zaman sekarang, memang tak ramai yang masih berfikiran waras antara halal dan haram, nikmat dan azab. Cinta bukan saja buta, tapi, tak mengenal batas halal dan haram juga. Yang nikmat itu tidak semuanya halal tetapi yang pasti, halal itu lebih nikmat. Nikmat bercinta selepas kahwin lebih manis berbanding sebelum kahwin. Macam kakak ipar dengan abang aku, mereka bercinta bagai nak rak selepas kahwin. Alangkah indahnya!” Akhiri Aisyah sambil tersenyum.

“Betul betul betul! Aku sokong pendapat kawan-kawan aku ni. Aku nak ta’kidkan lagi dengan firman Allah yang bermaksud ;Dan janganlah kamu mendekati zina; sesungguhnya zina itu adalah suatu perbuatan yang keji dan suatu jalan yang buruk. (Surah al-Israa’ : 32)” Respons Syifa’.

“Oh ye! Malam ni abang aku nak ajak aku pergi dengar ceramah. Pasal cinta remaja. Jangan cemburu ya!” Sampuk Aisyah.

Bestnya! Nanti kongsi-kongsilah ilmu ya.” Semangat sungguh Ezza bersuara.

“Tak ada masalah. Mesti. Insya-Allah.” Aisyah hanya tersenyum.

“Okey. Mak aku dah tunggu dekat bawah tu. Balik dulu. Assalamualaikum. Sayang kamu semua!” Dayana bergegas untuk pulang. Dia sempat melayangkan flying kiss untuk sahabat-sahabatnya.

*******

Usai solat Maghrib, ceramah pun bermula. Siti Nor Aisyah tidak menanggalkan telekungnya. Dia mengambil tempat yang sesuai untuk mendengar ceramah tersebut. Ceramah tentang ‘Cinta Remaja’ itu berlangsung di Masjid Shah Alam. Ustaz Iskandar menjadi penceramah pada hari itu. Aisyah semakin tak sabar untuk mendengar ceramah itu kerana tajuknya amat-amat menarik hati sang remaja.

Shukri dan Zakri duduk di baris hadapan. Reaksi muka Zakri menzahirkan bahawa dia amat tidak selesa berada di masjid ini. Hatinya meraung ingin keluar dari situ. Benci!

“Abang! Bila kita nak balik? Bosanlah!” Tanya Zakri dengan nada yang agak tinggi.

Shukri hanya tersenyum sambil menjawab,

“Baru nak mula ni, sabarlah sikit. Lepas solat Isyak kita balik ya.” Zakri mencebikkan bibir tanda tidak puas hati dengan jawapan abangnya itu.

“Assalamualaikum semua. Alhamdulillah, kita dapat berhimpun sama-sama di sini. Terima kasih yang tak terhingga kepada para remaja kerana sudi hadir untuk perkongsian ilmu tentang ‘Cinta Remaja’. Pastinya tajuk ceramah hari ini menjadi magnet yang menarik kuat diri anda sekalian untuk hadir ke sini, bukan? Alhamdulillah. Tanpa buang masa, kita mulakan ya. Remaja zaman sekarang menganggap couple itu satu keperluan. Betulkah?” Ustaz Iskandar memulakan persoalannya.

“Remaja yang menganggap begitu selalunya memiliki ego yang tinggi. Kenapa saya cakap begitu? Sebab mereka sering terikut-ikut dengan pengaruh rakan sebaya. Apabila kawan-kawan semuanya sudah memiliki pasangan, diri tercabar dan ingin memiliki pasangan juga bagi membuktikan kesejatian mereka. Itu adalah keperluan bagi mereka. Percintaan monyet yang dianggap keperluan itu makin disalaherti apabila sang kekasih sudah mula berdating dan meluahkan rasa cinta melalui naluri yang telah dikuasai nafsu dan syaitan. Cinta itu ada banyak. Ramai remaja sering menggunakan istilah cinta kerana Allah, tapi, hakikatnya, jauh terpesong daripada syariat Islamiah.” Sambung beliau.

Fikiran Aisyah cuba menghayati setiap kalam yang diluahkan oleh ustaz tersebut. Dia cuba menghadam isi yang diutarakan satu per satu.

“Remaja memang sukakan perhatian. Sikap sang jejaka yang terlebih prihatin kepada perempuan telah menyebabkan si perempuan tadi asyik melayan perasaan. Begitu juga halnya dengan lelaki. Sebab itulah, Islam membataskan pergaulan antara lelaki dan perempuan. Islam hanya membataskan bukan menghalang seratus peratus.

Islam mengambil alternatif mencegah lebih baik daripada mengubati. Lebih baik kita mencegah diri daripada melakukan perkara maksiat yang boleh menghanyutkan diri kita sendiri seperti zina,arak dan dadah. Saya teringat isi kandungan dalam sebuah novel untuk remaja. Penulis menyebut bahawa syaitan itu licik dalam menipu manusia. Terutama sang kekasih yang sedang mabuk rindu dan cinta.

Orang yang ber‘sms’ dengan kekasihnya beralasan, alah, mesej je,tak dengar suara pun!

Orang yang ‘call’ mendengar suara pula berkata, alah, tak berjumpa pun!

Orang yang berjumpa dengan kekasihnya memberi alasan, alah, tak pegang-pegang pun! Orang yang berpegang-pegang pula berkata, alah, bukannya berzina pun!

Orang yang berzina pula masih ada alasan, takdelah sampai mengandung!

Begitulah liciknya syaitan! Nauzubillah..!” Ustaz Iskandar  mengambil sedikit masa untuk mengikis dahaganya dengan meminum segelas air.

Zakri mendengus dalam hati.

Eleh! Suka hati akulah nak bercinta ke tak nak. Ada kau susah? Ish! Bila nak balik ni?!

“Ditambah pula dengan kecanggihan teknologi pada masa kini, ruang untuk kita bermaksiat semakin terbuka luas. Peluang untuk menambahkan dosa juga semakin cerah. Sebab itulah kekuatan dan kekentalan iman yang tinggi amat diperlukan tatkala kita berada di dalam dunia tanpa sempadan. Dunia maya hari ini menghimpunkan kita dengan pelbagai dosa dan maksiat. Andai kita lupa dan lalai, pasti kita akan lemas dan hanyut.

Bila bercinta,remaja sering tertipu dengan media teknologi hari ini. Internet digunakan sebagai penghubung, telefon bimbit berfungsi untuk mendengar suara sang kekasih dan tempat untuk melihat gambar yang dihantar. Bukan itu saja, telefon genggam itu juga digunakan sebagai media untuk meluahkan rasa rindu yang terbuku di kalbu. Dari situ saja, sudah berapa agaknya calit hitam yang telah bertompok di hati kita wahai remaja??

Ingat, janganlah cinta kita berlebihan sehingga melampaui batas halal dan haram. Allah s.w.t. berfirman dalam surah Al-Taubah, ayat 24 yang bermaksud : Katakanlah: “Jika bapa-bapa, anak-anak, saudara-saudara, isteri-isteri, kaum keluargamu, harta kekayaan yang kamu usahakan, perniagaan yang kamu khawatiri kerugiannya, dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai, adalah lebih kamu cintai daripada Allah dan Rasul-Nya dan (dari) berjihad di jalan-Nya, maka tunggulah sampai Allah mendatangkan keputusan-Nya.” Dan Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang fasik.

Tidak ada cinta yang lebih agung dan abadi selain cinta kepada Pencipta diri kita, Allah Yang Maha Esa.” Ustaz Iskandar ingin mengakhiri ceramahnya kerana waktu solat Isyak semakin tiba.

“Sebagai kesimpulannya, khas untukmu wahai remaja sekalian, jaga dan peliharalah diri anda sebaiknya. Andalah penyambung pejuang di jalan Allah. Jangan sesekali mencampakkan dan membinasakan diri anda ke lembah kehinaan dan kemaksiatan. Ingatlah, tidak ada kebahagiaan dan ketenanangan dengan melanggar perintah-Nya dan melupakan-Nya. Fokuslah pada pembelajaran anda. Ingat segala keringat ibu bapa untuk kita. Bersabar dan teruskanlah usaha untuk memburu cinta sejati iaitu cinta pada Allahurabbi. Itu sahaja. Mari kita solat Isyak. Wassalam.” Akhiri ustaz Iskandar.

Isi ceramah itu benar-benar menginsafkan jiwa Aisyah. Hati Aisyah menangis hebat kerana sedar akan dirinya yang sudah semakin karat dengan dosa dan noda. Dia beristighfar berkali-kali.

*******

“50 hari lagi. Erm….” Siti Nor Aisyah mengeluh sendirian di dalam bilik. Dia sedang mengemaskini jadual hariannya sambil countdown hari peperiksaan SPM.

“Kak! Pinjam RM 10!” Zakri tiba-tiba menyerbu bilik Aisyah. Tanpa rasa bersalah dan segan, dia meminta 10 ringgit dengan suara yang agak kasar. Aisyah menjeling tajam.

“Nak buat apa? Telefon awek lagi? Cubalah berjimat sikit.”

“Sibuklah kau! Aku nak pinjam RM 10 ringgit saja! Bukan RM 100! Cepatlah!”

Bukan Aisyah tak nak bagi, tapi, dia tahu, duit RM 10 itu akan dihabiskan oleh adiknya dengan hanya berbalas mesej dan telefon awek saja. Dia tidak mahu bersubahat melakukan maksiat!

“Aku tak ada duit. Kredit aku pun tak topup lagi ni.” Aisyah cuba bersikap tegas.

“Kau ni kedekut kan dengan aku!” Zakri bengang. Dia mencapai buku-buku Aisyah dan mencampakkannya ke muka Aisyah.

“Aduh! Sakitlah!” Aisyah menjerit kesakitan. Biliknya bersepah. Buku bertaburan di atas lantai bumi.

“Padan muka!” Zakri mengambil wang RM 10 di dalam tabung Aisyah di atas meja. Dia terus melangkah keluar dari situ tanpa mempedulikan tangis hiba Aisyah.

“Isk…isk…sampai hati kau, Zakri.” Aisyah menangis perlahan, tersedu-sedan. Tangan lembutnya segera menyeka air mata yang berjurai di permukaan pipi. Hatinya terasa sayu sekali.

Shukri berdiri tegak di hadapan pintu bilik Aisyah. Dia masuk dan mengutip buku-buku hasil lemparan Zakri pada puteri kesayangannya itu. Buku-buku tersebut disusun rapi di atas meja. Shukri berjalan perlahan menuju ke arah Aisyah yang masih menitiskan air mata pilunya. Dia harus menenangkan adiknya kerana Abi, Umi dan Amri tiada di rumah. Mereka keluar membeli barang keperluan.

Shukri mula mengambil posisi selesa untuk duduk di sebelah adiknya itu. Dia cuba menghilangkan lara di jiwa Aisyah dengan ungkapan penuh hikmah.

“Sudahlah tu. Banyakkan bersabar ya. Ini semua dugaan. Sebab Allah sayangkan Aisyah, Dia bagi Aisyah dugaan ini. Dugaan yang menitiskan air mata cinta kepada-Nya. Mungkin, Allah rindu dengan rintihan suara Aisyah.

Kita kena terus berdoa supaya Allah lembutkan hati Zakri dan beri hidayah padanya. Abang akan cuba sedaya upaya untuk betulkan si Zakri tu. Ya,mungkin,abang taklah segarang macam abang Yusri tu, tapi, abang pun tegas juga. Tegas bila tiba masanya. Aisyah nak tengok abang tegas tak?” Mata Shukri menjenguk mata Aisyah di sebelahnya.

“Maksud abang?” Aisyah mengerutkan dahinya.

“Iyalah, Zakri dah buat Aisyah macam ni. Nanti dia balik, abang akan bagi dia pengajaran.”

“Abang nak buat apa? Rotan?”

“Ish! Rotan tu macam dia dah biasa saja. Kalau dia tak solat, bolehlah abang rotan dia. Abang ni, lain sikit. Abang akan sorokkan PS2 dia. Biar dia tak main. Lagipun, PMR dah dekat kan. Umi pun risau tengok Zakri asyik main PS2 saja.”

“Kalau dia marah abang macam mana?”

“Abang diam sajalah. Kalau dia buat perangai lagi, tahulah abang nak buat apa pula lepas ni. Aisyah doakan abang ya. Dah,jangan menangis lagi. Senyum sikit.” Usik Shukri sambil tangannya mengesat sisa-sisa air mata Aisyah. Aisyah mengukir senyum untuk abang Shukri yang sangat baik itu.

“Aisyah risaulah bang. SPM pun dah makin hampir. Kalau hari-hari emosi macam ni, tak fokuslah nak belajar. Tapi Aisyah tak nak duduk asrama. Tak boleh urus diri. Ramai orang, susah juga nak fokus. Hmmm…” Keluh Aisyah.

“Cuba Aisyah bincang dengan Umi. Rumah abang Yusri dekat dengan sekolah Aisyah kan? Apa kata Aisyah duduk dekat rumah abang Yusri sampai peperiksaan tamat?” Cadang Shukri penuh semangat.

“Erm,boleh kot. Tapi, kena bincang dengan Abi, Umi dan abang Yusri dulu. Kalau okey, Aisyah ikut saja cadangan bernas tu. Tapi…”

“Tapi apa lagi dik?”

“Abang macam mana? Abang seorang kena tengok-tengokkan Zakri. Takpe ke?”

“Ooo.. Jangan risau. Abi dan Umi kan ada. Sekarang, fokus dekat peperiksaan Aisyah dulu. Abang pun nak fokus dengan pembelajaran Zakri. Kalau dia malas juga, rotanlah jawabnya.”

“Okey, Aisyah ikut saja apa yang abang cadangkan. Ingat tau, abang kena garang dengan Zakri tu.”

“Haha. Iyalah Aisyah. Tapi abang nak cuba cara lembut dulu. Kalau garang atau kasar sangat, takut dia jadi lebih agresif dan makin jauh dengan abang. Dalam surah Ali-imran, ayat 159, Allah ada sebut ; sekiranya kamu bersikap keras lagi kasar, tentulah mereka menjauhkan diri dari sekelilingmu.. Faham kan maksud ayat ni?”

“Ya, Aisyah faham bang. Tapi, Zakri tu lain bang. Macam mana pun, abang kena garang sikit dengan dia. Dia tu jenis yang susah nak makan nasihat.”

Insya-Allah. Abang garang bertempat. Hehe. Oh ye, lepas ni, nak sambung ke mana? Dalam ke luar negara?” Shukri menukar topik perbincangan. Duduknya beralih ke hadapan Aisyah.

“Entahlah bang. Umi macam berat hati nak lepaskan Aisyah jauh-jauh macam abang dan abang Yusri. Aisyah teringin juga nak main salji dekat Jordan. Ada laut mati lagi. Mesir pun kalau boleh Aisyah nak pergi. Nak tengok piramid firaun. Paling Aisyah nak tengok, Sungai Nil dan universiti al-Azhar.” Aisyah tersenyum manja.

“Amboi! Panjang angan-angan ya. Buat betul-betul untuk SPM ni. Boleh pergi Jordan. Kalau nak ke Mesir, kenalah ambil STAM macam abang dulu. Mungkin, Umi berat hati sebab Aisyah kan satu-satunya puteri kesayangan dalam rumah ni. Mestilah Umi risau.”

“Aisyah tahu. Tapi, entahlah. Tak kesahlah dalam ke luar ke, asalkan ada tempat untuk Aisyah nak sambung belajar. Betul tak bang? Hehe.”

“Betul. Okeylah, pergi sambung belajar. Abang nak simpan PS2 Zakri sebelum dia balik ni.” Shukri melangkah pergi menuju ke bilik Zakri. Aisyah mengambil wuduk sebelum memulakan ulangkajinya. Dia berdoa dan mengulangkaji dengan penuh khusyu’. Semoga ilmu di dada semakin hari semakin bertambah dan dapat difahami dengan mudah.

*******

“Abi! PS2 Zakri mana??!!” Zakri tiba-tiba muncul di hadapan Abi yang sedang menonton televisyen bersama Umi dan Shukri. Abi mengerutkan dahi.

“Mana Abi tahu.” Ringkas jawapan Abi. Umi melihat Zakri dengan pandangan sayu. Sikap anaknya itu yang mengukir perasaan sayu di dalam jiwa seorang ibu. Setiap ibu pasti mendoakan kebaikan dan kesejahteraan anak-anaknya. Umi selalu berdoa agar Zakri dilembutkan hati dan dapat memperbaiki peribadinya sebagai seorang anak dan hamba Allah.

“Abang yang ambil. Tak payah nak marah-marah Abi.” Shukri menjawab dengan nada tegasnya. Namun, masih dengan cara lembutnya.

“Apehal pula abang ambil? Itu Zakri punya kan??!! Bagi balik!!” Zakri mula meninggikan suara. Jiwa remajanya memberontak keras.

“Abi yang beli, bukan Zakri. Abang nak Zakri fokus dengan PMR yang dah semakin hampir ni. Dapatkan 6A ke atas, baru abang pulangkan balik PS2 Zakri. Kalau tak, abang bagi orang lain.”

“Abang siapa nak tentukan semua ni? Umi! Tengoklah ni! Dia baru balik, dah sibuk hal orang!”

Umi hanya membisu. Abi juga diam seribu bahasa. Mereka mahu memberi Zakri pengajaran juga.

“Pergi ulangkaji. Periksa tinggal lagi sebulan lebih saja. Tolonglah rebut masa yang ada ni. Rebut sementara ada kesempatan, jangan menunggu sehingga kesempitan.” Suara Shukri sedikit tinggi.

“Aaaarrrgghhh! Suka hati akulah!” Zakri menapak laju ke biliknya. Dia menghempas kuat pintu biliknya. Abi dan Umi berkali-kali istighfar di dalam hati. Shukri menghembuskan nafas panjangnya. Dia cuba mengukir kata.

“Abi, Umi, maafkan Shukri ya.”

“Kamu tak salah. Zakri memang macam tu. Memang kena tegas sikit. Abi memang nak bagi dia pengajaran. Abi tak kesah kamu nak buat apa lepas ni. Tapi, hati-hatilah ya.” Abi cuba mengerti perasaan anak lelakinya itu. Umi mengesat air mata pilunya. Shukri mengatur langkah menuju ke bilik Amri. Dia mahu merawat hati yang duka dengan meluangkan masa belajar bersama Amri. Amri memang budak baik dan mendengar kata.

Siti Nor Aisyah terkedu mendengar perbalahan yang berlaku sebentar tadi. Suara Zakri yang kuat itu menyelinap masuk ke gegendang telinganya. Sakit berbisa bekasnya masih dirasa. Kasihan abang Shukri. Aisyah melangkah keluar dari bilik dan menuju ke ruang tamu.

“Abi, Umi, Aisyah nak cakap sikit boleh?”

Abi dan Umi hanya mengangguk. Aisyah terus menyusun kata untuk berbicara.

“Peperiksaan SPM Aisyah berbaki lebih kurang dua bulan saja lagi. Aisyah tak boleh fokus nak ulangkaji disebabkan perangai Zakri yang mengganggu emosi Aisyah dan kita semua. Boleh tak kalau Aisyah nak duduk dekat rumah abang Yusri sampai tamat peperiksaan?” Lembut bicara Aisyah.

“Kenapa tak nak duduk asrama?” Soal Abi.

“Asrama pun ramai orang. Aisyah tak boleh fokus. Lagipun, rumah kita taklah jauh sangat dari sekolah. Hanya yang tinggal jauh saja layak diterima untuk duduk di asrama.” Jawab Aisyah dengan penuh keyakinan di dadanya.

“Umi okey saja. Nanti Aisyah tanyalah dengan abang Yusri ya. Umi nak masuk bilik dulu. Pening ni. Umi nak rehat.”

“Okey, Umi.”

Aisyah masuk ke biliknya semula dan mencapai telefon genggamnya. Nama abang Yusri segera dicari untuk didail. Jumpa! Butang panggilan terus ditekan.

“Assalamualaikum abang. Maaflah kalau mengganggu. Nak bincang sikit boleh?”

“Waalaikumussalam. Ada apa Aisyah?”

“Erm.. Boleh tak kalau Aisyah nak duduk dekat rumah abang sampai Aisyah tamat peperiksaan SPM? Dekat sini, Aisyah tak boleh fokuslah bang. Zakri asyik buat hal saja. Boleh tak bang?”

“Dah tanya Abi dan Umi? Boleh saja. Abang tak kesah pun.”

“Dah. Okey, terima kasih. Sayang abang!”

“Zakri buat hal apa?”

“Entahlah, banyak sangat. Dia asyik melawan saja cakap abang Shukri. Aisyah kasihan tengok abang tu.”

“Erm.. Bila nak abang ambil Aisyah?”

“Terpulang pada abang. Aisyah ikut saja.”

“Okey, insya-Allah, cuti hujung minggu nanti abang ambil Aisyah ya.”

“Okey bang, terima kasih. Assalamualaikum.”

“Waalaikumussalam.”

Jiwa Aisyah terasa lapang dengan jawapan positif abang Yusri. Dia bersyukur sangat. Semoga segalanya berjalan dengan lancar. Semoga Allah memberi kekuatan dan kesabaran pada abang Shukri untuk membantu Zakri.

*******

Siti Nor Aisyah melangkah masuk ke dalam sekolah dengan membisikkan kata semangat dan tekad menuntut ilmu kerana Allah di dalam atmanya. Setiap hari, dia akan cuba untuk memperbaiki dan meningkatkan sahsiah dirinya. Dia sedar, sebagai seorang muslim, seseorang itu mestilah menjadikan “hari ini lebih baik dari semalam” sebagai moto dalam setiap liku hari-hari yang dilalui. Walau dihujani mehnah, walau dibanjiri musibah, di dalam hati perlu sematkan tabah, sabar dan mohon bantuan Allah. Kerana hanya Dia tempat kembali segala masalah.

Hari ini, sekolah Aisyah mengadakan program khas untuk calon-calon yang akan menghadapi peperiksaan SPM. Program motivasi yang bertajuk ‘Aku Pelajar Satria’ itu dilaksanakan di dalam dewan yang tersergam indah dengan hiasan bunga yang berwarna-warni. Slot program pada hari itu diterajui oleh ustaz Zakuan. Beliau merupakan ketua panitia untuk subjek Pendidikan Al-Quran dan Al-Sunnah. Tepat jam 8 pagi, program rancak bermula. Ustaz Mahmud selesai membacakan doa pembuka majlis.

“Assalamualaikum semua. Alhamdulillah. Terima kasih sebab kamu semua hadir ke sekolah pada hari ini. Anda adalah insan pilihan Allah. Anda bertuah. Bersyukurlah. Motivasi kita pada hari ini menekankan konsep seorang pelajar yang memikul tanggungjawab sebagai seorang hamba Allah dan anak kepada kedua ibu bapa.” Ustaz Zakuan memberi penjelasan umum sebagai mukaddimah untuk para pelajarnya.

“Cuba fokus dan hayati betul-betul apa yang ingin saya katakana ni. Sebagai seorang hamba yang hina dan diselubungi dosa, kita perlu sentiasa ada rasa malu terhadap Allah s.w.t. Malu untuk melakukan maksiat pada-Nya, malu meninggalkan suruhan-Nya dan malu untuk tidak bersyukur atas segala kurniaan nikmat-Nya ke atas diri kita. Kita harus patuh dan taat pada-Nya. Jangan sampai murka Allah menampar diri dan membinasakan kita.

Apa yang penting, kita mestilah membina pahala sebanyak mungkin di dunia ini untuk memenangi reda dan rahmat dari-Nya. Semoga dengan rahmat-Nya kelak, kita akan tergolong dalam golongan ahli-ahli Syurga. Ingatlah, Syurga Allah itu tidak murah dan sangat mahal. Ia tersedia buat diri yang tabah dan sabar dengan ujian dan dugaan-Nya. Dengan sabar, jiwa akan lebih tegar. Dengan tabah, hati akan lebih dekat dengan Allah.” Ustaz Zakuan memberhentikan kata sebentar.

Lagu Cahaya Hati yang dilaungkan oleh Opick menjadi hidangan gegendang telinga. Liriknya yang mendalam dengan nada lembut bisa memukau dan mencairkan jiwa seorang hamba. Usai lagu dimainkan, ustaz Zakuan kembali bersuara.

“Sebagai seorang anak pula, kita memiliki tanggungjawab yang perlu dipikul. Tanggungjawab terhadap kedua ibu bapa kita. Allah memerintahkan kita dalam surah Al-Ankabut ayat 8 yang bermaksud ; Dan Kami wajibkan manusia (berbuat) kebaikan kepada dua orang ibu bapanya. Dan jika keduanya memaksamu untuk mempersekutukan Aku dengan sesuatu yang tidak ada pengetahuanmu tentang itu, maka janganlah kamu mengikuti keduanya…

Kita juga mestilah menjaga setiap tutur kata bicara yang diucapkan kepada mereka. Jangan sesekali menengking dan memarahi mereka sesuka hati kita. Allah s.w.t. mengingatkan kita dalam surah Al-Israa ayat 23 yang bermaksud ; …janganlah kamu mengatakan kepada keduanya perkataan “ah” dan janganlah kamu membentak mereka dan ucapkanlah kepada mereka perkataan yang mulia.

Dan jangan sesekali kita lupa bahawa Syurga itu di bawah tapak kaki ibu. Reda Allah juga bergantung di atas reda ibu bapa terhadap kita.” Akhiri ustaz Zakuan dengan suasana yang menginsafkan.

Aisyah pulang dari sekolah dengan jiwa dan hati yang telah dicuci dan dijirus dengan air mata keinsafan. Insaf akan segala dosa dan noda terhadap Umi, Abi dan pencipta diri, Allah Yang Maha Esa. Insaf dengan lafaz istighfar dan zikir pada Yang Maha Pengampun.

*******

Shukri bahagia dengan kerja barunya sebagai ustaz. Dia mengajar pelajar tingkatan 4 dan 5 untuk subjek al-Azhar. Dia juga mengajar pelajar-pelajat tingkatan 6 STAM untuk subjek Insya’ Mutolaah dan Hifz Quran Tajwid. Rasa bahagia yang dirasa makin bertambah saat dia bertemu dengan Nizam. Nizam juga mengajar di sekolah yang sama. Dua sahabat kembali bertamu mengukuh sebuah ukhuwah yang telah terikat kerana Allah.

Yusri mencari masa terluang untuk bertemu dengan adiknya, Shukri. Usai makan tengahari, dia pantas menuju ke bilik Shukri.

“Macam mana kerja? Okey?” Tanya Yusri penuh prihatin.

“Alhamdulillah, okey. Suasana sekolah ni pun nampak menyelesakan dengan islamiknya.” Jawab Shukri dengan sopan.

“Ya, tapi, tak semua pelajarnya baik-baik. Kalau dah jahat, memang betul-betul jahatnya. Pernah ada kes, pelajar rosakkan motor dan kereta cikgu. Tapi, setakat ni, masih terkawal. Itu kes dulu-dulu.” Terang Yusri.

“Kena hati-hati jugalah kan. Abang ada perkara penting ke ni? Sampai sanggup datang ke bilik Shukri. Hehe.”

“Abang nak tanya sikitlah pasal Zakri. Apa cerita dia?”

“Erm. Macam itulah juga. Shukri tengah cuba nak ajar dia kuasai subjek untuk PMR. Dia tu payah sikit nak dengar kata. Tapi, lama-lama, insya-Allah, akan lembut kot.”

“Harap-harap macam itulah. Abang nak tegur cara lembut tak pandai sangat kalau dengan dia tu. Asyik nak melawan saja. Mungkin, dengan kau, dia okey kot.”

“Eh, tak juga bang. Dia pun melawan juga. Tapi, Shukri ada buat sesuatu. Shukri ambil PS2 dia dan akan pulangkan semula bila dia berjaya dapat 6A ke atas.”

“Dia tak marah ke? Itulah permainan kesayangannya selepas iPhone dia tu.”

“Marah juga bang. Tapi, takde cara lain. Mungkin, lepas ni, giliran iPhone dia pula kot. Tengok keadaanlah. Umi risau juga dia asyik main sampai abaikan pelajaran. PMR dah semakin hampir.”

“Ya, abang tahu. Abang harap kau berjaya ajar dan lembutkan hati dia. Banyakkan bersabar. Abang cuba tolong apa yang patut nanti. Okey, abang pergi dulu. Selamat bekerja.” Yusri keluar dari bilik Shukri dan menuju ke kelas 3 Abu Bakar untuk mengajar subjek Bahasa Arab Komunikasi.

Shukri menuju ke kantin untuk mengisi perutnya yang sedang berkeroncong tanda lapar. Dia memesan menu nasi goreng ayam bersama teh ‘o ais sebagai hidangannya.

Saat dia leka dengan makanannya, Shukri disapa oleh beberapa orang murid perempuan. Mereka kelihatan dalam lingkungan tingkatan 4. Mereka memberi salam dan cuba mengusik Shukri. Suara-suara manja mula terdengar.

“Ustaz, tak nak ajak kami makan sekali ke? Boleh ustaz belanja.”

“Ustaz dah kahwin ke belum?”

“Ustaz ni baru lagi kan? Umur ustaz berapa ya?”

Shukri agak terganggu dengan sapaan mereka. Lebih-lebih lagi dengan murid yang tidak dikenalinya. Mukanya mula terasa hangat dan merah tanda malu yang menguasai diri. Dia hanya menjawab salam dan tersenyum. Dia menundukkan pandangan dan mempercepatkan sesi makannya. Dia beredar dari situ meninggalkan mereka. Telinganya masih menangkap suara-suara berbaur kutukan daripada mulut mereka.

“Sombonglah ustaz tu. Kita tanya, dia buat tak tahu saja.”

“Kita ni cantik sangatlah sampai ustaz tu tak sanggup nak pandang kita kan. Haha.”

Shukri hanya menggelengkan kepala. Bukan kerana cantiknya murid-murid perempuan itu dia menundukkan pandangan. Bukan kerana sombong dia beredar dari situ. Tapi kerana, dia ingin menjaga dan membatasi hati dan dirinya daripada dikuasai nafsu dan bisikan syaitan. Lebih baik digelar sombong daripada melayan secara berlebihan sehingga boleh menimbulkan fitnah ke dalam dirinya. Itulah prinsip seorang hamba Allah yang bernama Shukri.

*******

Cuti hujung minggu telah pun tiba. Siti Nor Aisyah sudah bersiap menunggu kedatangan abang sulungnya, Yusri. Dia sempat meluangkan masa bersama nota kecilnya untuk mengingat semula apa yang telah dipelajari malam semalam. Hampir 30 minit juga Aisyah menunggu kehadiran abangnya itu. Masih belum kelihatan.

Pintu bilik Aisyah disapa dengan ketukan. Umi memanggil tanda abang sulungnya sudah sampai untuk menjemputnya. Aisyah segera ke ruang tamu. Yusri datang seorang diri.

“Dah siap?” Tanya Yusri.

“Dah, 30 minit yang lepas.” Jawab Aisyah dengan berseloroh.

“Maaflah, lambat. Abang singgah kedai tadi. Beli barang dapur sikit.”

“Aisyah gurau sajalah. Hehe. Takpe.”

“Zakri mana?”

“Ada dekat dalam bilik dia tu. Kenapa?”

“Abang nak jumpa dia sekejap. Pergi angkut barang dalam kereta dulu ya.” Yusri mengatur langkah menuju ke bilik Zakri.

“Zakri, tengah buat apa tu?”

Zakri yang sedang leka membalas sms aweknya cepat-cepat menyembunyikan iPhone miliknya di bawah bantal. Dia memandang Yusri. Dia cuba menyusun jawapan.

“Takde buat apa. Kenapa bang?”

“Percubaan PMR dapat berapa hari tu? Abang lupa nak tanya.”

“Erm…tak banyak, sikit saja.” Jawab Zakri dengan nada perlahan. Takut dimarahi Yusri.

“Iyalah, berapa?”

“Erm..2A..”

“Yang lain?”

“Erm..3B,2C,1D..”

“Subjek apa yang D tu?”

“Bahasa Arab Komunikasi.”

“Bahasa Arab dapat D? Lepas ni, belajar betul-betul. Abang Shukri nak tolong tu. Cuba dengar cakap dia. Jangan asyik nak melawan saja. Berdosa. Kalau abang dapat tahu Zakri buat hal lagi, siaplah. Jangan harap nak ada iPhone lagi.” Yusri cuba memberi amaran sebagai perangsang. Zakri hanya mengangguk. Jauh di lubuk hatinya, dia memberontak.

Aaaarrggghhh! Tension aku kalau macam ni!

Yusri keluar dan mencari kelibat adiknya, Shukri.

“Shukri, nanti ajar Zakri betul-betul ya. Abang dah cakap dengan dia. Subjek Bahasa Arab Komunikasi dia dapat D masa percubaan. Payah tu. Yang lain, kena tekankan juga.”

Insya-Allah, bang. Ada masa lagi, Shukri akan cuba.” Shukri hanya tersenyum. Yusri bersalaman dengan Shukri, Umi dan Abi. Amri merapati Yusri dan menyalaminya. Yusri mencubit mesra pipi Amri yang mulus itu. Lama juga dia tidak meluangkan masa  bersama Amri.

“Amri, maafkan abang ya kalau tak bawa Amri jalan-jalan. Bila-bila ada masa nanti, kita pergi jalan-jalan ya.”

Aisyah berpelukan dengan Uminya. Seakan hendak berpisah jauh. Dia menghulurkan tangan untuk bersalam dengan Abi dan abangnya, Shukri.

“Abang,semoga berjaya ya didik Zakri tu. Banyakkan bersabar tau. Kalau ada apa-apa, call Aisyah ya.” Sempat Aisyah memberi pesanan terakhir kepada Shukri. Shukri mengangguk sambil tersenyum. Prihatin sungguh adiknya itu.

Aisyah dan abang sulungnya, Yusri, berbual mesra di dalam kereta. Bermacam-macam cerita yang dikongsikan Aisyah. Yusri menjadi pendengar yang setia. Yusri juga tidak melepaskan peluang untuk berkongsi pendapat dan sempat memberi tazkirah untuk Aisyah.

“Perempuan memang kena banyak menjaga. Kena jaga aurat dan pergaulan dengan lelaki ajnabi. Kena ada malu dan rasa takut pada Allah, barulah senang nak membataskan diri. Ingat, hilang malu, hilanglah maruah dan harga diri kita.” Pesan Yusri.

*******

“Zakri, jom pergi masjid. Abi dah tunggu dekat luar tu. Amri pun ikut sekali.” Shukri mengajak Zakri dengan senyuman yang berseri-seri.

“Balik dari masjid, abang nak ajar Zakri subjek Bahasa Arab Komunikasi. Jom!” Sambung Shukri lagi.

Zakri memandang dengan pandangan yang bersahaja. Songkok dicapainya dan dia terus melangkah menuju ke luar rumah. Langsung tidak memberi respon berupa kata kepada Shukri. Shukri tersenyum sahaja. Sekurang-kurangnya, Zakri mahu ikut ke masjid.

Alhamdulillah!

Pulang saja dari masjid, Shukri terus ke bilik Zakri.

“Jom, abang ajar.”

“Erm.. Bahasa Arab ni susahlah! Belajar Bahasa Melayu sajalah.”

“Eh, mana boleh macam tu. Bahasa Melayu Zakri dah pandai. Dapat A kan? Kenalah tumpu dekat subjek yang lemah macam Bahasa Arab ni pula. Barulah seimbang keputusan PMR nanti. Ingat, 6A ke atas. Banyak tu, bukan senang. Kena usaha lebih.” Shukri sengaja mengingatkan Zakri untuk menyuntik semangat belajarnya.

“Okey, fine!” Zakri mengalah. Dia mengeluarkan buku nota dan latihan Bahasa Arab Komunikasi. Shukri mengajar asas Bahasa Arab dahulu supaya Zakri mudah memahami dan menguasai. Syukur, segalanya dipermudahkan-Nya!

Siti Nor Aisyah juga sedang mengulangkaji subjek Bahasa Arab Tinggi bersama abang sulungnya, Yusri. Kakak iparnya, Norlia, sedang sibuk menguruskan Humaira’. Anak-anak buah Aisyah juga sedang khusyu’ membuat latihan. Rajin sungguh. Ini semua hasil didikan Yusri. Dia memang tegas, namun, penyayang dan memahami.

Yusri tak pernah merotan anaknya lagi kerana Razali dan Rifki masih mudah untuk menunaikan solat. Mereka juga mendengar kata dan tak pernah melawan cakap. Sesekali, memang ragam mereka membuatkan Yusri terpaksa banyak bersabar. Dia cuba bersabar dalam mendidik anak-anaknya. Sabar itu indah jika pandai mempraktikkan dan kena pada tempatnya.

*******

Pintu bilik Aisyah dikuak oleh kakak iparnya, Norlia. Jam tepat menunjukkan pukul 4.30 pagi. Yusri meminta isterinya mengejutkan Aisyah untuk qiamulail bersama. Aisyah gagahkan diri untuk membuka mata yang seakan tidak mahu terbuka. Sejak kebelakangan ini, memang payah bagi dirinya untuk segar bertahajud di hening pagi. Puncanya, dia pun tak ketahui.

Usai qiamulail bersama abang sulung dan kakak iparnya, Aisyah tidak tidur semula. Dia meluangkan masa untuk membaca al-quran. Kemudian, menyambung ulangkaji. Yusri meminta izin untuk masuk ke bilik Aisyah. Dia begitu prihatin terhadap Aisyah.

“Dekat rumah, Aisyah selalu tak bangun untuk qiamulail?”

“Erm…ada, tapi, tak selalu. Kadang-kadang.”

“Peperiksaan dah makin dekat kan, jadi, Aisyah kena dekatkan diri dengan Allah juga. Jangan disebabkan kesibukan mengulangkaji pelajaran mengenepikan segala urusan kita dengan Tuhan. Tanpa Dia, kita tak mampu nak dapat keputusan yang cemerlang. Kena ingat tu.”

“Aisyah faham bang. Aisyah cuba untuk istiqamah qiamulail. Terima kasih ya bang sebab selalu ingatkan Aisyah.”

“Lepas ni, bangun dan tahajud sendiri. Jangan lupa, buat alarm. Masa-masa berharga macam inilah kita dapat mengadu dan luahkan semua yang kita nak dekat Allah. Dia Maha Mendengar. Kita kena selalu mohon keampunan dan bertaubat pada Allah. Nabi yang ma’sum pun selalu beristigfar dan bertaubat, inikan pula kita, manusia biasa yang sentiasa melakukan dosa.

Dalam sebuah hadis, daripada al-Aghar bin Yasar al-Muzani r.a berkata,Rasulullah saw bersabda yang bermaksud : “Wahai sekalian manusia, minta ampunlah (istighfar) kepada Allah SWT. Sesungguhnya aku meminta ampun & bertaubat kepada Allah SWT 100 kali setiap hari.” (Riwayat Muslim)” Bijak sungguh Yusri menyusun kata.

Insya-Allah, bang. Aisyah akan buat. Abang doakan ya!” Aisyah menanam tekad. Yusri mengangguk sambil tersenyum.

*******

Hari ini, Umi dan Abi meluangkan masa bersama untuk pergi ke taman bunga. Siti Nor Aisyah, Zakri dan Amri masing-masing bersekolah seperti biasa. Shukri dan Yusri pula sedang menikmati hidangan lazat di kantin sekolah.

Zakri mempunyai agenda yang sangat penting pada pagi ini. Dia cuba meloloskan diri dari sekolah. Berjaya! Dia berjaya memanjat pagar belakang sekolah tanpa pengetahuan sesiapa. Kakinya laju menuju ke suatu tempat. Di situ, seseorang sudah lama menunggunya.

Pen di tangan Shukri diletakkan sebentar di atas meja kerana telefon bimbitnya berbunyi tanda panggilan masuk. Tertera nombor yang tidak dikenalinya. Dia menjawab panggilan tersebut.

“Assalamualaikum..ini abang Zakri ke?”

“Waalaikumussalam..ya saya, Shukri, abang Zakri. Ada apa ya? Ni siapa?”

“Saya guru kelas Zakri, cikgu Hamidah. Maaf kalau saya menganggu. Kenapa Zakri tak datang ke sekolah? Dia tak sihat ke? Hari ini sekolah ada buat bengkel khas untuk pelajar-pelajar yang akan menduduki peperiksaan PMR. Rugi siapa tak datang.”

Shukri terdiam sebentar. Timbul tanda tanya dalam dirinya. Bukankah Zakri pergi ke sekolah? Dia yang menghantar Zakri. Pasti ada yang tak kena ni.

“Oh, yeke? Saya tak tahu pula ada bengkel PMR hari ini. Maaf ya cikgu. Esok dia datang sekolah. Insya-Allah.”

“Tapi, ada kawan nampak dia pagi tadi. Saya rasa, dia ponteng kelas.”

“Ya, saya yang menghantar dia ke sekolah. Takpe cikgu, nanti saya cuba cari dia. Esok, Zakri akan ke sekolah juga. Saya akan pastikan. Maaf sekali lagi ya cikgu.”

“Baiklah, maaf ya. Tapi awak kena bagi perhatian yang lebih dekat Zakri tu sebab dia banyak buat perangai di sekolah.”

“Saya faham. Terima kasih ya cikgu.”

“Okey, assalamualaikum.”

“Waalaikumussalam..” Shukri tergamam.

Kenapa Zakri sanggup ponteng kelas? Kenapa Zakri sanggup menipu dia, Umi, Abi dan cikgunya?

Ya Allah…..

Shukri meluahkan keluhannya. Dia rancak berfikir. Perlukah dia beritahu perkara ni pada Abi dan Umi? Pada abang Yusri? Dia pasti, Yusri akan mengamuk bila dapat tahu yang Zakri ponteng dan selalu buat hal di sekolah. Shukri mula buntu. Dia ingin menolong Zakri, tapi, Zakri yang tidak mahu ditolong.

Shukri bergegas menuju ke keretanya. Dia ternampak kelibat Yusri sedang menghampirinya. Dia cuba berkelakuan seperti biasa agar tidak menzahirkan keresahan yang bertakhta di jiwa.

“Shukri, nak balik dah ke? Awalnya! Baru pukul 12 tengahari. Ada hal penting ke?”

“Takde apa bang. Ada hal sikit. Lagipun, lepas ni, dah takde kelas dah. Pergi dulu ya! Assalamualaikum.”

“Okey, kirim salam dekat Abi dan Umi. Waalaikmussalam.”

Shukri meneroka lorong-lorong berhampiran dengan sekolah Zakri menaiki keretanya. Dia tidak nampak sebarang petanda bahawa Zakri ada di situ. Tak mungkin Zakri ponteng untuk lepak di lorong-lorong berhampiran dengan sekolahnya.

Shukri menuju ke bandar pula. Kebiasaannya, tempat membeli belah di bandar menjadi fokus utama para remaja untuk ponteng sekolah dan lepak di situ. Mereka lebih gemar membuang masa bersama teman-teman daripada menuntut ilmu yang lebih tinggi nilai dan kebaikannya.

Mata Shukri berasa perit dan sakit dengan pemandangan di sekelilingnya. Lakaran pemandangan yang berlatarkan maksiat semakin berleluasa. Bukan saja para remaja, bahkan, dari semua golongan. Para wanita dewasa juga semakin membuka dan menayangkan aurat di tempat awam. Tidakkah mereka berasa malu dengan anak kecil yang lalu di sini dengan pakaian sempurna dan menutup aurat?

Shukri beristighfar berkali-kali. Kelajuan kaki dimaksimakan untuk mencari sekujur badan milik Zakri. Dia berhenti sebentar. Sudah setengah jam pencarian, namun, dia gagal untuk mengesan Zakri. Dia duduk sebentar sambil tekaknya dihidangkan air milo sejuk. Terasa segar!

Mata Shukri terpana apabila melihat Zakri sedang berpegangan tangan bersama seorang perempuan yang juga berpakaian sekolah dan bertudung! Dia cuba mengesat matanya berkali-kali. Seakan tidak percaya dengan apa yang dilihatnya! Namun, itulah realiti yang perlu diterimanya. Zakri dan seorang perempuan sedang berjalan beriringan sambil tangan mereka berpaut. Mereka menuju ke panggung wayang. Barangkali  hendak menghabiskan masa bersama dengan menonton filem yang baru ditayangkan.

Shukri berlari untuk mendapatkan Zakri. Segera dia menarik tangan adik lelakinya itu.

“Zakri! Jom balik!” Shukri tegas. Zakri agak terkejut. Dia tidak menyangka bahawa abangnya berjaya menemuinya dalam keadaan sebegini. Banyak mata yang memandangnya. Perempuan di sebelah Zakri menarik tangannya daripada terus digenggam oleh tangan Zakri.

“Abang buat apa dekat sini?” Soal Zakri dengan nada yang agak tinggi. Seakan mahu melawan cakap abangnya lagi.

“Abang yang patut tanya soalan tu dekat Zakri! Kenapa ponteng sekolah? Dah! Jom balik!” Shukri terpaksa menarik telinga Zakri lantaran adiknya itu berkeras untuk tidak mahu balik.

Sampai di kereta, Zakri mula berang dengan sikap abangnya itu. Telinganya merah kesakitan.

“Sakitlah! Abang ni tak malu ke semua orang tengok tadi??!!” Bentak Zakri.

“Abang yang patut rasa sakit sebab Zakri sanggup tipu abang, Umi dan Abi. Sanggup ponteng sekolah dan buat maksiat dekat sini. Tak malu ke dengan Allah??!!” Suara Shukri semakin meninggi. Kali ini, dia betul-betul marah. Zakri terus terdiam tanpa sepatah kata. Dia terus masuk ke perut kereta. Suasana menjadi sunyi sepi.

Shukri juga kelihatan tegang pada wajahnya. Dia hanya diam seribu bahasa. Zakri mula berasa takut melihat muka tegang abang Shukri. Dia tidak memandang lagi. Matanya difokuskan pada pemandangan di luar tingkap kereta.

Shukri cuba meredakan perasaan marah yang cuba membakar dirinya sebentar tadi. Dia beristighfar berkali-kali. Dia yakin dengan tindakannya yang menarik telinga Zakri kerana adiknya itu berkeras dan mahu melawan kata saja. Ini merupakan hukuman berbentuk fizikal yang pertama. Shukri teringat pada satu kisah.

Rasulullah s.a.w. pernah melakukan perkara sedemikian kepada Abdullah bin Burs al-Mazini ketika kanak-kanak. Abdullah menceritakan bahawa ibu pernah menyuruhnya membawa setangkai anggur untuk diberikan kepada Baginda. Kemudian, beliau makan sebahagian daripadanya, selebihnya diserahkan kepada Rasulullah. Rasulullah menarik telinganya sambil berkata : “wahai anak yang tidak amanah.”

Tindakan Rasulullah s.a.w. ini memberi sedikit kesakitan yang diharapkan dapat memberi peringatan kepadanya. Akibat melakukan kesalahan, dia memang layak dikenakan “pelajaran” sedemikian.

*******

Shukri tidak mengajar Zakri pada malam itu. Dia hanya mengurung diri di dalam biliknya. Bukan dia tak mahu, tapi, hatinya sudah terluka dengan sikap Zakri. Dia cuba ingin memberi pelajaran pada Zakri.

Zakri menunggu kedatangan abangnya, namun, tetap tidak kelihatan. Entah kenapa, Zakri berasa amat bersalah terhadap abang Shukri. Ya, dia sedar, selama ini dirinya memang sering menyakiti abangnya itu namun, tak pernah abang Shukri memarahinya seperti hari ini. Perlukah dia meminta maaf? Zakri terpaksa mengalah dengan egonya lantaran diri yang diselaputi rasa terlalu bersalah terhadap Shukri. Dia memulakan langkah menuju ke bilik abangnya itu.

“Abang, Zakri minta maaf.”

“Untuk apa?”

“Erm..pasal tadi..”

“Buat apa minta maaf dekat abang? Zakri langsung takde buat salah dekat abang. Zakri sepatutnya minta maaf dekat Abi dan Umi. Minta ampun dekat Allah. Itu yang lebih penting.”

Jiwa Zakri terasa bagai ada getar yang tiba-tiba menyelinap masuk. Dia begitu terharu dengan sikap abangnya yang terlalu baik itu.

“Abang nak Zakri buat apa?”

“Zakri buatlah apa yang Zakri rasa betul dan tak berdosa di sisi Allah.”

Shukri melangkah lesu keluar menuju ke ruang tamu. Dia menyampaikan salam abangnya, Yusri kepada Abi dan Umi. Zakri tiba-tiba muncul. Dia bersuara dengan penuh sayu. Dia ingin membuat pengakuan jujur yang datang dari hati yang sarat dengan sesalan.

“Abi, Umi, Zakri minta maaf. Zakri ponteng sekolah hari ini. Zakri pergi dating dengan perempuan dekat bandar. Zakri tahu, Zakri salah. Selama ni, memang Zakri banyak buat salah pun. Zakri minta maaf banyak-banyak dengan abang Shukri.”

Abi dan Umi tercengang mendengar pengakuan jujur daripada anak lelakinya itu. Shukri juga terkejut. Tak sangka Zakri berani buat confession seperti itu. Zakri menuju ke arah Abi, Umi dan abang Shukri. Dia menyalami ketiga-tiga mereka dengan linangan air mata yang mengharapkan keampunan dan kemaafan. Zakri masih teringat peristiwa petang tadi. Sebelum dia dan abang Shukri pulang ke rumah. Sempat abang Shukri membawanya ke sebuah tempat yang tinggi dan luas. Cantik!

“Abang nak Zakri jerit nama Allah sekuat hati.” Shukri bersuara perlahan.

“Kenapa?”

“Jerit sekuatnya. Buat saja!”

Zakri diam seketika. Dia cuba mencari tenaga dalamannya.

“Allah…………!!!! Allah……….!!! Allah………!!!” Zakri melaungkan nama pencipta alam semesta beberapa kali. Tiba-tiba, pipinya terasa hangat dengan jernih air mata dosa.

“Ada rasa getar tak dalam hati Zakri?” Tanya Shukri dengan lembut.

Zakri mengangguk lemah.

“Bersyukurlah, sebab dalam hati Zakri masih ada iman pada Allah.” Akhiri Shukri.

Umi dan Abi memeluk Zakri. Akhirnya, hati Zakri terbuka dan lembut juga untuk menghidu haruman hidayah dan berjaya menundukkan egonya. Shukri bangga dengan adik lelakinya itu. Dia menceritakan segala yang berlaku pada adik perempuannya, Siti Nor Aisyah melalui telefon. Aisyah berasa sungguh bahagia dan terharu. Begitu juga dengan Yusri.

Zakri mula bersungguh-sungguh untuk mengulangkaji pelajaran kerana baru dia sedar, peperiksaan PMR semakin hampir. Labih kurang 20 hari saja lagi. Dia perlu buktikan pada keluarganya bahawa dia seorang yang cemerlang dan boleh berjaya. Itu tekad di dalam hati seorang Zakri. Hati yang dulunya musim sentiasa ego dan penuh kebencian, kini telah bertukar kepada musim kasih dan sayang.

Aisyah juga semakin sibuk melayan kerenah buku-buku latihannya yang semakin hari semakin banyak. Dia juga perlu bersungguh-sungguh untuk peperiksaan SPM yang bakal dihadapinya tak lama lagi. Dia mengimpikan pencapaian yang cemerlang untuk membolehkannya menyambung pelajaran di Jordan pada tahun hadapan. Dia ingin mengikut jejak langkah abang-abangnya yang telah berjaya menggenggam segulung ijazah dari Timur Tengah.

*******

6 bulan kemudian…

Siti Nor Aisyah menyambung pelajaran di sebuah sekolah agama menengah yang menawarkannya tingkatan 6 STAM. Sekolah itu jugalah tempat di mana abang-abangnya menabur bakti sebagai guru. Dia menerimanya dengan penuh gembira. Walaupun mendapat tawaran ke UNISZA, namun, dia lebih berminat dengan STAM kerana lebih jimat masa untuk menyambung ke peringkat Ijazah nanti. Di samping itu, Aisyah masih menyimpan harapan untuk ke Timur Tengah.

Memang perasaan Aisyah agak kecewa kerana dengan keputusan SPM sebanyak 6A, tidak melayakkannya untuk menyambung pelajaran di Jordan. Ditambah pula, subjek Bahasa Arab Tinggi, dia hanya mampu mencapai B+ walaupun subjek Pendidikan Al-Quran Sunnah dan Pendidikan Syariah Islamiah mendapat A. Syarat untuk menyambung pelajaran ke Jordan, mestilah mendapat A untuk subjek Bahasa Arab Tinggi, Pendidikan Al-Quran dan Sunnah dan Pendidikan Syariah Islamiah. Aisyah pasrah dan tidak berputus asa. Dia percaya, segalanya ada hikmah.

Zakri pula telah berjaya mendapat keputusan cemerlang. 8A 1B menjadi miliknya setelah penat lelahnya berusaha dan berdoa pada Allah dengan bersungguh-sungguh. Dia juga tidak menyangka bahawa dirinya akan memperoleh keputusan secemerlang itu. Zakri berjaya  menyambung pelajarannya di SBP (Sekolah Berasrama Penuh) KISAS.

Shukri menunaikan janjinya untuk memulangkan PS2 Zakri. Zakri bahagia kerana sudah berjaya mendapatkan kembali permainan kesayangannya. Cuti hujung minggu menjadikan harinya lebih indah dan seronok.

“Kak, jom main PS2!” Ajak Zakri.

“Boleh juga. Jom! Akak nak main Naruto tau!” Aisyah bersemangat. Kemesraan di antara mereka mula berputik. Semakin hari semakin bercambah. Amri menjadi penonton setia mereka berdua.

“Amboi! Bukan main lagi ya! Abang pun nak!” Shukri duduk berhampiran mereka untuk bermain bersama.

“Okey. Abang lawan dengan Aisyah ya. Hehe.” Aisyah cuba mencabar abang Shukri. Kemesraan mereka membuatkan Abi dan Umi tersenyum lebar dan terasa lapang di dalam hati. Syukur ke hadrat Ilahi.

Yusri dan sekeluarga datang ke rumah untuk melepaskan rindunya pada Abi dan Umi. Keadaan rumah bertambah riuh dan kecoh. Aisyah segera mengundur diri daripada terlibat dengan permainan PS2 kerana hero-hero lelaki abang sulungnya sudah tiba.

“Dah hafaz surah Rum belum?” Yusri mula bertanya soalan cepumas. Aisyah hanya tersenyum.

“Erm, belum lagi bang. Baru habis hafaz surah Sajadah. Surah Luqman pun tak habis-habis lagi. Hehe.” Jawab Aisyah dengan selamba.

“Habiskan cepat-cepat. Nanti senang. Sepuluh hadis hafalan dah hafaz?”

Insya-Allah. Oo..sepuluh hadis tu dah! Alhamulillah.”

“Nasib baik dah hafaz. Kalau tak, memang kenalah. Dahlah subjek abang tu. Shukri, suruh si Aisyah ni cepat-cepat habiskan hafalan untuk 3 surah tu. Banyak lagi yang perlu dihafaznya. Kalau habis cepat, senang sikit.”

Shukri hanya tersenyum.

“Aisyah tengah cuba la tu kan..?”

“Betul tu. Sayang abang Shukri! Hehe. Tiap-tiap hari abang Shukri tasmi’kan Aisyah lepas solat tau. Kan bang?”

Shukri mengannguk tanda menyokong kata-kata Aisyah. Bibirnya hanya mampu menguntum senyum.

“Iyalah, sayang abang Shukri saja.” Nada Yusri seakan merajuk.

“Ala abang ni..  Aisyah sayang abang Yusri jugalah. Abang kan ada kak Norlia, lagi untung. Abang Shukri ni, entah bilalah nak ada isteri yang sayang kalau bukan adiknya, Aisyah kan..?? Haha.” Aisyah berseloroh. Shukri mula terasa malu. Sengaja Aisyah membangkitkan isu perkahwinan.

“Haha. Betul tu. Shukri, bila lagi?” Tanya Yusri sambil menyakat. Abi dan Umi memandang Shukri dengan penuh harapan. Shukri makin dihimpit rasa malu.

“Erm, Abi dan Umi carikanlah. Boleh?” Shukri menjawab dengan yakin dan tenang.

“Kenapa tak nak cari sendiri macam abang Yusri kamu tu?” Abi pula menyoal. Pelik dengan permintaan Shukri. Tak ramai anak yang meminta ibu bapa mencarikan jodoh untuk mereka di zaman mutakhir ini.

“Erm, saja. Pilihan Abi dan Umi, pilihan Shukri juga. Mesti Abi dan Umi nak menantu yang solehah juga kan? Shukri pun idamkan isteri yang solehah. Jadi, apa salahnya kalau Abi dan Umi yang carikan?” Shukri tersenyum manja.

“Okey juga tu Abi. Dah dia nak macam tu. Abi dan Umi carikan saja. Dah dapat, cepat-cepat nikah. Senang sikit hati Shukri tu. Hehe.” Sokong Yusri.

Insya-Allah.” Jawab Umi. Shukri gembira mendengar jawapan Umi. Baginya, biarlah Abi dan Umi yang tentukan pasangan hidupnya. Mereka lebih berhak dan mereka lebih berpengalaman. Setiap ibu bapa inginkan yang terbaik untuk anak-anaknya, pasti Abi dan Umi juga inginkan yang terbaik untuk dirinya. Dia percaya, andai sudah bersedia, jodohnya pasti tiba.

*******

Siti Nor Aisyah dihimpit rasa rindu. Bukan rindu yang melalaikan terhadap lelaki ajnabi, bukan rindu yang mengasyikkan pada sang kekasih, tetapi rindu pada seorang teman karibnya, Ezza Atilia. Ezza Atilia berjaya melanjutkan pelajarannya di Universiti Yarmouk, Jordan dalam bidang Syariah Islamiah. Sudah lama dia tidak mendengar gelak tawa sahabat karibnya itu. Walaupun jarak memisahkan, namun, hubungan cinta yang telah dijalin atas nama-Nya itu tidak pernah luput dan hilang dari ingatan seorang sahabat. Aisyah dan Ezza tetap berhubung melalui mesej di telefon bimbit dan Facebook.

Sahabat baiknya yang lain seperti Syifa’ dan Dayana, menyambung pelajaran ke peringkat Diploma di Universiti Sultan Zainal Abidin (UNISZA) dalam bidang masing-masing.

Aisyah membuka laman Yahoo Messenger. Ada 5 orang sahabatnya yang sedang online termasuk Syifa’. Dia segera menyapa sahabatnya itu.

Aisyah : Assalamualaikum..Syifa’ apa khabar? Lama tak dengar cerita kan..

Syifa’ : Waalaikumussalam. Aisyah, aku rindu sangat dengan kau. Maaflah tak contact kau sebab aku agak sibuklah dekat sini. Aku alhamdulillah, sihat. Kau pula macam mana?

Aisyah : Aku pun sihat. Apa cerita di sana? Mesti dapat ramai kawan baru kan? Dayana sihat ke? Apa cerita dia? Untunglah korang berdua sama-sama dekat sana. Huhu.

Syifa’ : Erm, Dayana sihat juga. Entahlah, kawan tu ramai, tapi, nak cari kawan yang sebenar yang boleh bawa kita ke arah kebaikan tu susah. Bila dah masuk universiti ni, memang kena pandai-pandai bawa diri. Kalau tak, boleh berubah macam si Dayana tu.

Aisyah : Kenapa dengan Dayana? Berubah? Maksud kau?

Syifa’ : Ya, dia dah berubah. Dah lama aku dengan dia tak keluar sama-sama. Aku ada tegur dia, tapi, dia buat tak tahu saja. Macam tak pernah kenal aku dah. Dia sekarang dah ada geng baru. Aku tak kesah kalau dia ada ramai kawan tapi masalahnya, kawan-kawan dia tu semuanya yang suka bersosial. Tu yang dia pun ikut sekali. Aku bukan nak burukkan kawan sendiri, tapi, itu realitinya. Dayana bukan Dayana kita lagi. 😦

Aisyah : Astaghfirullah, yeke? Sosial macam mana tu? Teruk sangat ke?

Syifa’ : Tudung makin lama dah makin singkat. Sekarang, dah pandai keluar dengan lelaki. Alasannya bila aku tegur, belajar sama-sama. Tapi, keluar berdua. Mesej pula yang jiwang-jiwang. Sekarang ni pun, dah lama tak nampak dia. Yelah, kos pun lain.

Aisyah : Kita kena tolong kawan kita tu. Betul cakap orang, 5 tahun kita bersekolah agama takkan dapat jamin diri kita kekal beragama selepas dah keluar nanti. Na’uzubillah. Bukan senang nak mencapai darjat husnul khatimah. Takut pula aku rasa bila memikirkan keadaan dekat universiti nanti. Kau hati-hatilah ya.

Syifa’ : Okey, maaflah, aku nak sambung buat kerja ni. Doakan aku di sini kuat ya. Doakan aku tak terpengaruh dengan gejala negatif. Assalamaualaikum.

Aisyah : Sama-samalah ya kita doa yang terbaik. Okey, jaga diri dan jaga iman baik-baik. Waalaikumussalam.

Aisyah segera mencapai telefon bimbitnya. Dia mencari nama sahabatnya, Dayana. Dia ingin menghantar pesanan untuk sahabatnya itu. Jumpa! Dia segera menaip dan menghantar pesanan tersebut pada Dayana.

“Katakanlah kepada wanita yang beriman: “Hendaklah mereka menahan pandangannya, dan memelihara kemaluannya, dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya, kecuali yang (biasa) nampak daripadanya. Dan hendaklah mereka menutupkan kain tudung ke dadanya, dan janganlah menampakkan perhiasannya….” (Surah Al-Nur : 31)

Sender : Siti Nor Aisyah

Dayana pelik membaca mesej tersebut. Seolah-olah ayat itu ditujukan kepadanya. Dia menekan butang “padam” untuk memadam mesej berbentuk tazkirah yang dihantar oleh Aisyah.

*******

Hari ini, Zakri terpaksa pulang ke asramanya. Usai menghantar Zakri ke asrama, Shukri dan adik perempuannya menghadirkan diri ke teratak sahabatnya, Nizam. Sahabatnya itu baru sahaja diijabkabulkan seminggu yang lalu. Kenduri dibuat secara sederhana untuk mengejar keberkatan bukan kemewahan dan kemegahan. Oleh kerana kesibukan yang melanda, Shukri tidak sempat untuk menghadiri kenduri mereka.

Nizam dan isterinya, Siti Suhaila menyambut kedatangan Shukri dan adiknya, Siti Nor Aisyah dengan penuh mesra. Aisyah menyalami tangan isteri ustaznya itu. Ustaz Nizam merupakan guru yang mengajarnya subjek Tauhid Mantiq.

Aisyah berasa bahagia kerana ustaznya sudah pun mendirikan rumah tangga. Bila pula giliran abangnya, Shukri? Dia pun tak tahu. Abi dan Umi sedang memulakan pencarian jodoh untuk abang Shukri.

Nizam rancak berbual dengan Shukri. Siti Suhaila pula terpaksa mengundur diri kerana khidmatnya diperlukan di dapur. Aisyah turut serta. Aisyah cuba beramah mesra bersama isteri ustaznya itu. Aisyah cuba membuat tafsiran sendiri di benak mindanya.

Mesti isteri ustaz Nizam ni peramah. Sebab ustaz tu agak pendiam juga orangnya.

Tiba-tiba, Aisyah tergelak sendiri. Firasatnya menafsir lagi.

Haha. Betullah kata orang, pasangan hidup kita ni saling melengkapi. Seorang pendiam, seorang peramah. Seorang agak gelap kulitnya, seorang lagi putih. Memang saling melengkapi! Seronoknya! Semoga jodoh mereka berkekalan di dunia dan akhirat.

“Kenapa Aisyah senyum seorang-seorang ni?” Tegur Siti Suhaila yang sedang mengelap meja dapur. Aisyah tersentak seketika.

“Tak ada apa-apalah kak, eh, ustazah. Hehe.” Jawab Aisyah sambil tersenyum.

“Ustazah mengajar kan? Seronok tak?” Tanya Aisyah memulakan bicara.

“Ya, seronok. Sebab dapat pengalaman mendidik anak-anak bangsa seagama. Cita-cita Aisyah nak jadi apa?”Giliran Siti Suhaila pula untuk bertanya.

“Aisyah pun teringin juga nak menabur bakti. Mungkin cikgu atau pensyarah. Doakan Aisyah ya.”

Insya-Allah, semoga Aisyah berjaya mencapai apa yang Aisyah nak.”

“Erm, ustazah dulu belajar sama dengan ustaz ke? Dekat Mesir?” Soal Aisyah lagi.

“Ya, kami dulu satu sekolah. Ustaz tu senior saya. Entah macam mana, aturan Allah, akhirnya, kami dijodohkan juga. Universiti kami di Mesir dulu tak sama. Jauh sikit.” Jawab Siti Suhaila dengan senyuman manis di bibirnya. Mukanya yang putih mula bertukar merah tanda malu.

“Wah! Ustazah ambil kos apa dekat sana?”

“Syariah Islamiah. Seronok tau belajar dekat sana. Aisyah tak nak ke sana?”

Insya-Allah. Niat tu dah ada, tapi, wallahua’lam.”

Perbualan mereka terhenti dengan sapaan Nizam.

“Maaflah ya Aisyah kalau menyusahkan kamu. Susah-susah saja tolong dekat dapur ni.” Bicara Nizam.

“Tak apa. Biar dia belajar nak jadi suri rumah. Hehe.” Sampuk Shukri.

“Ish abang ni! Tak ada susahlah ustaz. Seronok dapat berborak dengan isteri ustaz ni. Peramah orangnya.” Aisyah tersenyum ke arah Siti Suhaila.

“Borak apa la tu kan? Lama benar. Haha. Dah, jom kita balik. Nizam, terima kasih ya. Barakallah. Mabruk!” Shukri memeluk sahabatnya itu. Aisyah juga menghulurkan tangan untuk bersalam dengan isteri ustaznya itu.

“Tahniah ya ustazah. Terima kasih. Assalamualaikum.” Aisyah melambaikan tangan dan masuk ke perut kereta bersama abangnya, Shukri.

Sempat ustaznya itu berpesan,

“Jangan lupa belajar dekat rumah. Rajinkan diri untuk buat latihan.”

*******

Malam yang gelap bertambah gelita tanpa kehadiran bulan yang selalu menyimbah cahaya untuk menerangi segenap ruang alam maya. Jam menunjukkan pukul 11.00 malam. Siti Nor Aisyah baru sahaja selesai mengulangkaji subjek lemahnya, Nahu Sorf. Otaknya memang sudah terasa penat. Dia merebahkan diri di atas katil empuknya.

Bayangan Ezza Atilia tiba-tiba muncul di kamar hati. Rindu pada Ezza juga semakin membuak apinya. Dia segera mencapai laptop dan broadband untuk membuka laman Facebook. Mana tahu, Ezza juga sedang online saat ini.

Ya! Firasat Aisyah betul lagi. Dia terus memulakan bicara untuk menyapa sahabat karibnya itu.

Aisyah : Assalamualaikum Ezza! Rindu sangat!

Ezza Atilia : Waalaikumussalam. Samalah! Aku pun rindu sangat dengan kau! Apa khabar? Kawan-kawan macam mana?

Aisyah : Alhamdulillah, semua sihat-sihat belaka. Kawan-kawan? Macam itulah juga. Hehe. Aku seorang saja dekat sekolah ni. Syifa’ dan Dayana ada dekat UNISZA.

Ezza Atilia : Ala, sedihnya ceritamu. Hehe. Nak dengar cerita dari Jordan tak? Huhu.

Aisyah : Okey. Silakan, nak juga. Hehe.

Ezza Atilia : Kau tahu tak, minggu lepas, aku dengan seorang kakak senior kena kejar dengan pak Arab. Dalam hujan pula tu. Memang aku dengan kakak tu berlari sampai menangis. Banyak betul dugaan dekat sini. Tapi, seronok! Hehe.

Aisyah : Yeke? Ish  ish.. seronok kena kejar dengan pak Arab? Haha. Peliklah kau ni. Jaga diri baik-baik tau dekat sana.

Ezza Atilia. : Lagi satu. Pernah ada helikopter berwarawiri dekat Jordan ni. Kakak senior tu beritahu aku, itu helikopter Israel. Memang masa tu, aku pasrah. Tak tahu apa yang akan berlaku. Doakan keselamatan aku dan penuntut ilmu yang lain ya.

Aisyah : Ya Allah! Yeke? Seramnya! Takpe, tabahkan hati ya. Insya-Allah, Allah akan melindungi kau dan yang lain. Doakan aku dan kawan-kawan kita semua dikekalkan hidayah dan diberi petunjuk untuk terus berjuang menempuh ujian dan dugaan hidup.

Ezza Atilia : Insya-Allah. Amin. Doakan juga kejayaan kita bersama ya! Okey, aku ada kelas ni. Assalamualaikum.

Aisyah : Insya-Allah. Waalaikumussalam.

Jam sudah menunjukkan pukul 11.30 malam. Aisyah segera melelapkan mata kerana esok dia harus gagahkan diri untuk bangun bertahajud pada Ilahi. Dia ingin cuba untuk istiqamah melakukan qiamulail seperti yang dipesan oleh abang sulungnya dahulu.

*******

Norlia dan anak kecilnya, Humaira’, demam. Norlia demam rindu pada kedua ibu bapanya di Kelantan. Yusri memahami kerinduan isteri tercintanya itu. Dia mengambil cuti seminggu untuk pulang ke kampung Norlia. Abi dan umi ingin turut bersama kerana sudah lama juga mereka tidak bersua muka dengan besan di sana. Shukri memikul tanggungjawab untuk menjaga adik-adiknya. Siti Nor Aisyah, Zakri dan Amri tidak ikut bersama kerana sekolah masih beroperasi seperti biasa. Perjuangan menuntut ilmu masih perlu diteruskan. Cuti pertengahan tahun masih belum menjelma.

Perjalanan ke Kelantan memerlukan masa yang panjang untuk sampai ke destinasinya. Lebih kurang 9 jam masa yang diambil oleh Yusri untuk bertemu dengan keluarga mertuanya. Pinggangnya cuba direnggangkan. Terasa sedikit lega. Norlia memaut Humaira’ dan menidurkannya di ruang tamu rumah.

Abi dan Umi berpelukan dengan besan masing-masing. Abi melapangkan tangannya untuk memeluk Abah menantunya, Norlia. Umi pula memeluk Ibu Norlia dengan air mata terharu. Sudah lama benar mereka tidak bertemu. Namun, tautan cinta antara dua buah kelurga sentiasa membuat jiwa mereka terasa bahagia dalam rahmat-Nya. Hidup terasa indah andai Allah sebagai teman.

Mereka meluangkan masa bersama dengan bertanya khabar, berkongsi cerita dan sebagainya. Yusri bahagia melihat sebaris senyuman manis terukir di bibir isterinya yang sedang demam rindu itu. Sisa penat yang masih melekat di badan terasa semakin menghilang dengan melihat senyuman manis itu. Semoga Norlia cepat sembuh. Semoga Humaira’ juga akan kembali sihat dan girang seperti biasa.

“Amacam? Dah sihat?” Yusri menegur isterinya sambil mencubit mesra pipi mulus milik Norlia. Norlia terasa malu kerana perbuatan Yusri itu dilihat oleh Abahnya. Abah hanya tersenyum. Bahagia melihat anak perempuannya tersenyum dengan suami tercinta. Norlia membalas manja cubitan di pipi suaminya.

“Semakin sihatlah. Terima kasih ya bang.” Pasangan suami isteri itu hanya tersenyum. Cinta di dalam hati mereka semakin hari semakin berputik mesra.

*******

Hari ini, matahari tinggi dan semakin marak menyimbah bahang kehangatnnya.Budak-budak bersekolah seperti biasa. Razali dan Rifki membuat cuti sendiri kerana Yusri membawa kedua-dua anak lelakinya itu pulang ke kampung. Dia tidak mahu membebankan adiknya, Shukri. Yusri bersiap untuk menghadirkan diri ke masjid. Dia ingin mendengar dan mengutip tazkirah yang berupa hikmah dan cahaya dalam hati seorang insan yang sering alpa. Ustaz-ustaz di sini, ilmunya lebih mantap dan banyak yang mereka ingin kongsikan bersama rakyat di bumi Kelantan. Setiap hari, akan diadakan usrah di masjid. Yusri tidak mahu ketinggalan memandangkan dia tidak sering menjejakkan kaki di serambi Mekah ini lantaran kesibukan bekerja dan jarak jauh yang memisahkan. Abi dan Umi juga ikut bersama. Bapa dan ibu mertua Yusri juga turun padang sama. Hanya Norlia dan anak-anaknya yang menjaga di rumah.

Alhamdulillah, dapat juga saya ikut program usrah di sini.” Umi meluahkan rasa tahmidnya pada besannya, Norjihah.

“Syukurlah. Saya pun, tak selalu dapat peluang untuk berusrah bersama mereka di masjid ni. Kalau ada kelapangan masa saja, saya akan ke sini.” Ibu pula meluahkan bicaranya pada Umi.

Usrah pun bermula. Para lelaki yang hadir duduk berjemaah di hadapan ustaz Azhari. Para wanita pula duduk berjemaah di barisan belakang. Tirai dibuka untuk memudahkan komunikasi apabila tiba giliran soal jawab nanti.

Umi berjaya menumpukan seluruh perhatiannya pada usrah yang bertajuk ‘Barakah Dalam Kehidupan’. Fikiran Umi teringat pada anak-anaknya yang sedang berada di Selangor. Sudah makankah Shukri, Aisyah, Zakri dan Amri? Apa khabar mereka? Perasaan rindu tiba-tiba memenuhi ruang di jiwa Umi.

“Makcik, ada orang panggil makcik.” Satu suara lembut menganggu lamunannya. Umi tersedar. Usrah sudah pun berakhir. Besannya, Najihah yang menyuruh gadis itu memanggilnya.

“Terima kasih ya nak.” Umi tersenyum. Gadis yang bersuara lembut itu lantas menghulurkan tangan untuk menyalami Umi. Dia membalas senyum Umi dengan mengukir sebaris senyuman dihiasi cahaya ikhlas di hatinya. Dia segera mengundur diri untuk pulang ke rumah. Gadis manis itu berjalan seiring dengan seorang wanita yang agak berumur. Barangkali, itu ibunya.

Entah kenapa, sejuk mata Umi memandang gadis itu. Bukan suara lembut yang membuatkan Umi terpaut. Tapi kecantikan gadis itu dalam berpakaian. Gadis itu memakai jubah berwarna hitam dan bertudung labuh putih. Wajahnya berseri-seri dengan cahaya keimanan. Umi teringat akan anaknya, Shukri. Bibirnya mengukir senyum. Hanya Umi yang mengerti.

Umi menceritakan perihal gadis yang ditemuinya di masjid itu kepada Abi. Besannya juga turut memasang telinga. Yusri dan Norlia hanya mendengar dari beranda rumah. Anak-anaknya sedang bermain basikal di halaman rumah.

“Sejuk mata saya memandangnya, bang..” Umi cuba mengukir sebuah harapan.

“Yelah, kalau awak dah berkenan dengan peribadinya, pandai-pandailah nak merisik dia.” Abi memberi respon positif.

“Awal lagi tu, bang. Saya nak berkenalan dengan ibunya dulu.” Cadang Umi.

“Ikut awaklah. Baik untuk awak, baik untuk saya. Baik juga untuk anak kita.” Abi tersenyum tanda memahami.

“Eloklah tu Umi dah jumpa calon untuk Shukri. Semoga dia cepat-cepat akad nikah.” Sampuk Yusri.

“Kalau menjadi ni, dua-dua menantu Umi dari Kelantan lah jawabnya.” Kata Umi dengan nada bergurau. Abi hanya melemparkan senyum manisnya.

*******

Seminggu sudah pun berlalu. Hari ini, Umi dan Abi akan pulang. Perasaan Shukri berasa bahagia bercampur terharu kerana kini, dia sudah pun bertunang. Ya! Shukri sudah bertunang dengan pilihan ibu bapanya. Calon isterinya itu lulusan ijazah Syariah Islamiah dari Universiti Sains Islam Malaysia (USIM). Dia tidak pernah melihat wajah calon isterinya itu, apatah lagi mendengar suaranya. Biarlah, dia tidak pernah kisah akan rupa ataupun kecantikan yang ada pada calon yang telah memikat hati ibu bapanya itu. Apa yang dia mahu, calonnya itu seorang yang beragama. Alasan itu sudah cukup kukuh untuk menjadi sebab mengapa ibu bapanya memilih si dia untuk dirinya. Segala urusan pertunangan diuruskan oleh ibu bapanya. Shukri hanya mengikut rentak mereka sahaja.

“Shukri, ada surat untuk kamu. Dari calon isteri kamu.” Umi menghulurkan sampul berisi surat kepada Shukri. Shukri terdiam.

“Umi bacalah isi dalam surat ni dulu.”

“Jangan risau, Umi dah baca. Calon isteri kamu yang suruh Umi baca surat ni dulu. Ambillah ya. Umi masuk dalam bilik dulu.” Umi tersenyum. Shukri juga tersenyum. Dia tidak menyangka bahawa calon isterinya sebegitu pandai mengatur strategi. Shukri bertambah yakin akan agama yang ada pada calon isterinya itu. Shukri menapak ke dalam bilik. Dia membuka sampul yang berada di tangan. Dia menatap isi surat itu.

Khas untukmu : Calon suamiku, Shukri…

 

Assalamualaikum…

Apa khabar imanmu hari ini? Bercambahkah ia atau semakin layu dengan noda-noda palsu duniawi?

Sudahkah air wudhuk membasuh dosa-dosamu yang lalu? Sudahkah air wudhuk itu menggilap iman di wajahmu?

 

Aku menukil surat ini bukan untuk melalaikan hati dan jiwamu..

Aku tak ingin meminta cinta,rindu,kasih dan sayang yang belum tentu layak jadi milikku yang halal..

Aku tak ingin berkasih dalam murka-Nya..

Aku tak ingin bercinta dalam Neraka-Nya..

 

Surat ini ku tulis khas buatmu sebagai perkenalan kita sebagai tunangan..

Aku hanya ingin menyegarkan kembali ingatanmu terhadap amanah yang sedang kau pikul saat ini..

Amanah yang akan bertambah tanggungjawabnya saat engkau melestarikan sebuah akad pada bulan hadapan..

Sudahkah engkau bersedia??

 

Aku ingin kau tahu bahawasanya Allah amat mencintaiku..

Dia menghadirkanmu dalam hidupku setelah Dia mengambil ayah tercintaku..

Dia mengujiku agar aku kuat, tabah dan sabar dalam menempuh dugaan..

Dia menemukan aku dengan sebuah keluarga yang lengkap setelah Dia mengetahui bahawa hatiku merindui kasih seorang ayah..

 

Hingga saat ini,aku masih menjadi asuhan ibuku..

Doaku, semoga aku dapat menjadi anak yang solehah untuk ibu dan ayahku..

Agar aku bisa menjadi tabungan keduanya di akhirat kelak..

Namun, setelah selesai sebuah akad pada bulan hadapan, prinsip taatku akan bertukar..

Dan aku juga perlu bersedia untuk mentaatimu..

Aku memang seorang wanita yang memiliki rasa cemburu yang tinggi..

Namun, aku akur andai Allah dan Rasulullah lebih kau cintai..

Aku juga berharap yang sama akan diriku..

Aku ingin mencintai Allah dan Rasulullah lebih daripadamu..

Aku harap kau juga bersetuju dengan prinsipku..

 

Aku yakin bahawa Allah juga amat mencintaimu..

Aku yakin, Dia sedang mentarbiah dirimu untuk menjadi seorang mujahid yang akan mempertahankan agama-Nya..

Aku yakin, Dia ingin kau menjadi seorang yang soleh agar kelak kau akan memiliki pendamping yang solehah..

Insya-Allah..

Jangan kau harapkan kecantikan dariku kerana hanya sia-sia akan kau dapati nanti..

Aku yakin, Dia mengetahui segalanya..

Aku masih dahagakan ilmu..

Namun, berbekalkan ilmu yang ku ada saat ini, aku akan cuba untuk menjadi yang terbaik untukmu kelak..

Aku tahu,ilmu pengetahuan agamamu lebih mendalam dariku..

Aku harap, kelak, bila sudah terungkai sebuah akad, kau tidak lokek untuk berkongsi ilmu bersama aku..

Ajari aku dengan qudwah Rasulullah..

Ingatkan aku dengan ayat-ayat Allah..

 

Aku ingin ingatkan diriku dan dirimu..

Jadikan Allah cinta teragung dalam hidup kita..

Jadikan Rasulullah cinta yang indah dalam hati kita..

Jadikan ibu bapa cinta yang menenangkan jiwa gelisah kita..

Semoga bila sudah terlerai sebuah akad nanti, aku dan kau dapat berkongsi rasa cinta yang sememangnya anugerah dari-Nya..

Semoga cinta kita nanti adalah cinta atas dasar kerana-Nya..

Kekalkanlah agama dalam dirimu dan tingkatkan iman dalam hatimu..

Sesungguhnya, Allah sentiasa bersamamu..

 

Daripada : Calon isterimu, Wan Norazlin…

Pipi Shukri terasa hangat dengan air mata keinsafan. Bibirnya melafaz istighfar berkali-kali. Perasaan Shukri berbaur. Dia berasa bahagia, terharu, hina di sisi Allah dan macam-macam lagi. Tapi, dia bersyukur kerana Allah menganugerahkannya calon isteri yang sebegini. Semoga aturan Allah akan menemukan dirinya dan calon isterinya dalam sebuah pertemuan indah pada bulan hadapan. Itu doa dari hati Shukri.

*******

Siti Nor Aisyah leka melihat sekeping gambar milik bakal kakak iparnya. Abi dan Umi juga sedang berbincang tentang pernikahan Shukri pada bulan hadapan. Semuanya hampir selesai. Syukur pada Allah kerana memudahkan segala urusan.

“Umi, Abi, terima kasih ya. Nak tanya sikit boleh?” Shukri muncul sambil duduk merapati orang tuanya.

“Ada alamat dia tak? Shukri nak hantar surat ni. Umi dan Abi bacalah dulu ya.”

“Aisyah nak baca boleh??” Sampuk Aisyah.

“Eh,tak boleh. Ni hal orang dewasalah. Hehe.” Shukri tersenyum malu.

“Ni alamatnya. Umi dan Abi percaya dengan Shukri. Malaslah kami nak baca. Cukuplah surat calon isteri kamu tu Umi dah baca.” Umi menghulurkan sehelai kertas yang tertera alamat Wan Norazlin.

“Betul Umi tak nak baca? Mana tahu Shukri mengarut ke dalam ni? Hehe.” Usik Shukri.

“Umi kenal anak Umi.” Jawab Umi sambil mencubit mesra pipi Shukri.

“Okey, terima kasih ya Umi.” Ringkas Shukri membalas.

“Abang! Nak tengok tak muka bakal isteri abang ni? Cun!” Sampuk Aisyah lagi.

Shukri hanya tersenyum sambil menggelengkan kepalanya.

“Takpelah, Aisyah sajalah yang tengok. Cun ke, tak cun ke, abang tak pernah ambil kesah sangat, yang penting, ada agama yang cun, abang terima.”

“Kenapa tak nak tengok? Biarlah kamu berpuas hati dengan pilihan kami.” Abi berbicara pula.

“Shukri yakin dengan pilihan Abi dan Umi. Sengaja Shukri tak nak walaupun Nabi kita beri kebenaran untuk melihat siapa calon isteri kita. Shukri cuma tak nak hati Shukri ni tertarik dengan si dia disebabkan kecantikan atau selainnya. Biarlah Shukri tenang menerima agama yang ada pada dirinya. Ada agama, dah cukup bagi Shukri. Yang lain, Shukri sedia terima seadanya.” Shukri tersenyum lagi. Yakin dengan jawapan hatinya. Abi dan Umi hanya mengangguk. Aisyah juga tersenyum tanda bangga dengan jawapan abangnya itu.

“Aisyah, sini sekejap. Cuba baca apa yang abang nak tulis ni.” Shukri menulis sesuatu di atas sehelai kertas.

“…Jika wanita solehah dan beragama = 1
Jika dia cantik; tambah 0 kepada 1 =10
Jika dia kaya; tambah lagi 0 = 100
Dan jika dia dari keluarga baik-baik, tambah lagi 0 = 1000
… Tetapi jika yang “1” tiada, maka tiada apa yang tersisa pada wanita tersebut kecuali sekelompok “0”…..”

“Ooo..Aisyah dah faham. Terima kasih ya bang!”

“Sama-sama. Abang harap, Aisyah dapat jadi wanita yang dapat markah 1 tu. Agama yang paling penting.” Shukri mengingatkan Aisyah.

“Untunglah kak Azlin dapat abang. Hehe.” Aisyah mengeyitkan matanya. Shukri tersipu malu. Dia hanya tersenyum dengan usikan adik perempuannya itu.

Shukri keluar untuk menghantar surat tersebut ke tempat pos berhampiran.

Aisyah terasa bosan tanpa adiknya, Zakri. Sudah lama juga dia tidak berjumpa dengan Zakri. Minggu depan, barulah adiknya itu dapat pulang dari asramanya. Tak sabar hendak bermain PS2 bersama.

“Kak, jom jalan-jalan naik motor.” Ajak Amri. Barangkali, dia juga kebosanan.

“Jom!” Laju jawapan Aisyah. Dua beradik itu makin hari makin mesra dengan keakraban yang dibina oleh tali kasih sayang mereka.

*******

Syifa’ baru pulang dari kelasnya. Dia merebahkan diri di atas katil. Kepalanya terasa berdenyut-denyut. Pening mula melilit tempurung kepalanya. Dia cuba memejamkan mata untuk tidur, namun, usahanya gagal. Matanya sukar dipejamkan.

“Mak, duit Rina memang dah nak habis. Tinggal berapa puluh saja lagi. Banyak lagi buku yang Rina kena beli. Peperiksaan dah dekat ni. Minggu depan, mak tolong bank in RM200 tau!” Suara Erina jelas kedengaran dari dalam bilik Syifa’. Syifa’ menapak keluar. Kepalanya yang masih berdenyut diabaikannya sebentar. Dia ingin menjenguk room mate yang berada di ruang tamu itu.

Yes! Berjaya! Haha.” Erina ketawa bahagia sambil melambai ke arah Syifa’.

“Kenapa ni Erina? Bahagia saja.” Tanya Syifa’ tanda prihatin.

“Aku berjaya tipu mak aku. Minggu depan, dapatlah duit nak keluar dating dengan boyfriend aku. Haha. Aku nak pergi tengok wayang, karaoke, pergi makan dekat KFC dan nak shopping! Yahoo!” Jawab Erina tanpa ada terpalit rasa serba salah.

Syifa’ terkedu mendengar jawapan Erina.

“Tak baik buat macam tu tau.” Syifa’ cuba menegur.

“Baik tak baik, ada aku kisah? Haha. Yang penting, dapat keluar dating dengan boyfriend aku. Aku tahu, kau mesti jealous kan. Yelah, kau single lagi. Takde siapa nak dating dengan kau. Okeylah,aku nak keluar ni. Bye!” Erina melangkah keluar dengan pakaiannya yang agak ketat dan menampakkan bentuk tubuhnya. Selendang yang dipakainya juga tidak menutup bahagian dadanya. Syifa’ beristighfar berkali-kali.

Dia tidak pernah makan hati dengan apa yang Erina cakap tentang dirinya. Syifa’ bukannya cemburu kerana dia masih single. Dia bukan cemburu sebab tak dapat dating dengan lelaki macam yang Erina katakan sebentar tadi. Syifa’ bahagia dengan dirinya yang single kerana dia masih belum bersedia untuk berumah tangga. Syifa’ gembira dia tidak berpeluang untuk berdating dengan lelaki ajnabi kerana dia hanya ingin berdating bersama suaminya yang halal nanti.

Syifa’ tak pernah rasa cemburu dengan orang-orang yang berbuat dosa dan maksiat. Tapi, Syifa’ cemburu dengan sahabatnya seperti Aisyah kerana dia seorang yang kuat pegangan agama. Dia tidak pernah melayan mesej-mesej perkenalan daripada lelaki yang menginginkannya. Dia tidak pernah bergaul dengan lelaki ikut sesuka hatinya. Dia tidak pernah berbicara dengan lelaki tanpa sebarang urusan. Sahabatnya itu selalu menjaga hati dan pandangannya. Sahabat karibnya itu selalu bangun di sepertiga malam dan sering mengejutkannya. Syifa’ cemburu dengan insan-insan yang sering membina pahala dan amalan untuk dibawa menghadap-Nya suatu hari nanti.

Syifa’ masih ingat apa yang Aisyah pernah beritahunya soal hati. Saat itu, mereka berdua membuat pertemuan di Masjid Negeri, Shah Alam.

“Hati kita memang selalu diuji dengan lelaki. Sebab tu kita kena jaga pandangan. Dari mata, turun ke hati. Dari situlah kita kena hati-hati.” Beritahu Aisyah.

“Kau dah ada calon ke? Hehe.” Tanya Syifa’.

“Aku? Entahlah. Aku cuba tak nak fikir semua tu. Aku takut hati aku ni lalai. Calon? Aku cuma listkan saja. Aku tak nak berharap dan memberi harapan. Cukuplah aku serahkan semuanya pada Allah. Dia yang mengatur hidup kita. Jodoh pertemuan ada dalam perancangan-Nya.” Jawab Aisyah sambil tersenyum.

“Wah! Dah berapa orang setakat umur 18 tahun ni? Aku pun ikut cara kau juga. Aku nak listkan saja. Aku pun tak nak berharap dan memberi harapan. Insya-Allah.” Syifa’ tersenyum manja.

“5 orang kot. Haha. Tapi, rasanya, aku tak layak untuk calon-calon yang aku list tu. Agama diorang semua mantap-mantap. Aku ni, hampeh!” Jawab Aisyah dengan nada kesal.

“Jangan risau. Kita masih ada peluang untuk merealitikan diri menjadi seorang wanita beragama dan solehah. Walaupun aku tahu, darjat wanita solehah itu terlalu tinggi, tapi, setidak-tidaknya kita ada usaha ke arah itu. Betul tak?” Syifa’ mengangkat keningnya.

“Betul tu! Aku setuju! Terima kasih ya Syifa’!” Aisyah memeluk sahabat karibnya itu.

“Aku yang patut berterima kasih dekat kau. Kau banyak bimbing aku. Terima kasih juga!” Syifa’ dan Aisyah berpelukan erat. Pelukan kasih sebuah ikatan persahabatan.

*******

“Azlin! Ada surat untuk kamu ni. Dari Selangor.” Puan Norjihah memanggil anaknya dengan nada ceria. Wan Norazlin bergegas ke ruang tamu. Bibirnya mengukir senyum. Hatinya berdebar-debar.

“Ibu bacalah surat tu.” Azlin bersuara malu.

“Tak kuasa ibu nak membaca surat kamu yang berjela-jela ni. Takpe, ibu percaya dekat bakal menantu ibu ni. Ibu yakin dengan anak ibu.” Ibu tersenyum manis sambil menghulurkan surat itu kepada puterinya, Wan Norazlin.

Azlin mengambil posisi yang sesuai di ruang tamu itu untuk membaca warkah yang baru diterimanya. Jantungnya berdegup kencang. Dia sendiri tidak tahu apakah makna dan punca kencangnya degupan jantungnya hari ini. Dia beristighfar berkali-kali sebelum membuka warkah tersebut.

Istimewa untukmu : Calon isteriku, Wan Norazlin…

 

Waalaikumussalam warahmatullahi wabarakatuh..

Terima kasih atas warkahmu pada tempoh hari..

Terima kasih kerana mengingatkan aku akan tanggungjawabku..

Terima kasih pada Allah kerana menggerakkan hatimu untuk mengingatkan aku..

Terima kasih pada dirimu kerana sudi menerimaku seadanya..

 

Aku membalas suratmu ini bukan untuk melalaikan hati dan jiwamu..

Aku menulis bukan untuk mendamba rindu dan kasih daripadamu yang belum pasti lagi menjadi milik halalku..

Aku menukil bukan untuk menambahkan resah di jiwamu..

Aku menulis untuk mengingatkanmu tentang tanggungjawabmu sebagai seorang wanita..

 

Aku hanya ingin kau tahu..

Aku tidak pernah mengharapkan kecantikan daripadamu..

Aku tidak pernah mengharapkan harta setinggi gunung datang daripadamu..

Aku tidak pernah mengimpikan insan yang sempurna..

Kerana aku sedar, manusia itu tidak pernah bersifat sempurna..

Yang ada, hanyalah cacat cela dan serba kekurangan..

Tapi, itu bukanlah untuk kita sesali tapi untuk diperbaiki..

Aku pasti kau mengerti..

 

Aku cuma ingin kau tahu..

Aku tidak pernah ingin menjadi seperti mereka..

Jika mereka memilih untuk bertemu..
Aku memilih untuk tidak bertemu..
Jika mereka memilih untuk kerap berhubung..
Aku memilih untuk tidak berhubung..
Jika mereka memilih untuk saling mengingati..
Aku memilih untuk tidak mengingatimu..
Jika mereka memilih untuk saling merindui..
Aku memilih untuk tidak merinduimu..

Jika mereka memilih untuk saling bermanja..

Aku memilih untuk tidak bermanja denganmu..

 

Kerana apa pilihanku berbeza dengan mereka?
Kerana kau belum tentu jadi milikku..

Belum pasti itu aturan-Nya untuk kita..

Aku lebih rindukan Penciptaku Yang Maha Agung..
Aku lebih senang bertemu dengan Pelindungku Yang Maha Kuat..
Aku lebih suka bermesej dengan Kekasihku dengan hanya berdoa..
Aku lebih selesa mengingati Dia yang sering mengingatiku..

Benar! Aku lebih sayangkan Dia..
Terima kasih kerana memahami caraku..

 

Aku juga ingin kau tahu..

Maruah diri dan auratmu adalah nilai sebuah Syurga..

Jangan sesekali kau buang fitrah malu dalam dirimu..

Jangan sesekali kau gantungkan harapanmu padaku..

Tapi gantunglah harapan itu pada Yang Maha Mengetahui..

Hanya apabila sebuah akad suci dilafazkan olehku..

Barulah sah cinta itu menjadi milik kita..

Kita sama-sama ingin berkasih sayang di Syurga-Nya..

Oleh itu, sama-samalah kita memelihara sebuah pertunangan ini daripada dicemari oleh bisikan syaitan durjana..

Biar rindu ini bersarang di jiwa, semoga kelak kita akan dipertemukan-Nya..                 

Biar diri menempuh derita di sana, semoga kelak akan dihadiahkan ganjaran Syurga-Nya..                                                                                                                                

Biar kita terpisah jauh beribu batu, semoga kelak kau akan temui bahawa Dia sentiasa akan melindungimu..                                                                                                                    

Biar kita menangis menempuh duri yang berliku, semoga kelak kita akan temui erti sebenarnya sebuah mujahadah menuju reda-Nya..

Daripada : Calon suamimu, Shukri…

 

Air mata Azlin tiba-tiba mengalir deras. Dadanya terasa sebak. Dia beristighfar berkali-kali. Ibu kehairanan melihat air mata anaknya itu. Dia menghampiri Azlin. Azlin memeluk kudrat  ibunya.

“Kenapa ni Azlin? Calon suami kamu tulis apa dalam tu sampai kamu menangis ni?” Soal ibu tanda risau akan kedaan anaknya.

“Ibu! Terima kasih sebab pilihkan dia untuk Azlin! Azlin sayang ibu!”

“Kenapa kamu menangis? Bukan ke kamu patut rasa bahagia sebab kamu suka dengan pilihan ibu?”

“Azlin menangis sebab isi surat ni, ibu. Dia banyak bagi Azlin peringatan. Dia banyak sedarkan Azlin. Dia tak macam lelaki lain, ibu. Dia lain. Azlin suka dengan agamanya. Azlin sayang ibu!” Azlin seakan tidak mahu melepaskan pelukannya. Ibunya mengusap manja kepala anaknya itu. Doanya sebagai seorang ibu, semoga anaknya berbahagia di dunia dan akhirat.

*******

Jam menunjukkan pukul 4.30 pagi. Yusri mengesat matanya. Dia cuba gagahkan diri untuk berjumpa dengan Pencipta alam semesta. Dia ingin berjumpa kekasih agungnya. Dia mengejutkan isterinya, Norlia yang sedang lena tidur sambil tangannya memeluk tubuh kecil Humaira’.

“Sayang, bangun. Jom kita solat.” Kejut Yusri penuh mesra. Mata Norlia terbuka. Bibirnya menguntum senyuman.

“Terima kasih ya bang sebab kejutkan.” Ucap bibir Norlia.

“Sama-sama. Dah, jom bangun, solat!” Balas Yusri sambil mengucup dahi isteri tercinta.

Malam mereka sentiasa disinari dengan solat di sepertiga malam. Jika Yusri yang terjaga, dia akan mengejutkan isterinya. Jika Norlia terjaga, dia pula yang akan membangunkan suaminya. Mereka ingin merebut sayang dari Allah. Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud : “Allah s.w.t sayang kepada lelaki yang bangun malam kemudian mengerjakan sembahyang dan akan membangunkan isterinya dan kalau isterinya enggan, dipercikkan air di wajahnya. Dan Allah s.w.t sayangkan perempuan yang bangun malam kemudian mengerjakan sembahyang dan membangunkan suaminya dan jika suaminya enggan, dipercikkan air di wajahnya.” (Riwayat Abu Daud)

Usai qiamulail, Yusri dan isterinya berdiskusi soal masa depan anak-anaknya.

“Bang, sayang risaulah dengan keadaan dunia sekarang ni. Macam-macam ada. Dah banyak sangat gejala negatif yang menular dalam kalangan masyarakat hari ini.” Norlia meluahkan kegelisahannya terhadap dunia hari ini.

“Ya,abang pun dapat rasa apa yang sayang rasakan. Abang pun risau. Yelah, anak-anak kita makin hari makin membesar. Sebab tu abang nak kita mula didik agama dalam diri mereka sejak kecil lagi ni. Nanti bila dah besar, senang sikit.

Lagi satu, sayang kena tengok juga saluran dan cerita apa yang sesuai untuk Razali dan Rifki tu. Abang tak selalu dapat perhatikan anak-anak abang tengok tv. Sekarang, macam-macam dah ada dekat tv. Paling banyak, hiburan yang melalaikan. Penayangan aurat sana sini. Kena perhatikan juga budak-budak tu tengok cerita apa.” Yusri berbicara sambil memberi cadangan. Cadangan untuk memelihara akhlak islamiah anak-anak mereka.

Insya-Allah. Sayang memang selalu perhati apa yang budak-budak tu tengok dekat tv. Abang pun kena selalu ajak Razali dan Rifki solat berjemaah dekat masjid. Biar hati mereka melekat di rumah Allah.” Respon Norlia.

Insya-Allah, kita sama-sama berusaha ya.” Akhiri Yusri dengan sebuah senyuman.

*******

Akhirnya, Zakri dapat pulang ke rumah. Dia berasa bahagia kerana dapat meluangkan masa bersama bersama keluarga tercintanya. Abang Yusri juga pulang bersama keluarga bahagianya. Zakri semakin gembira apabila mendapat tahu bahawa abangnya, Shukri bakal menamatkan zaman bujangnya tak lama lagi.

“Abang, tahniah! Orang mana bakal isteri abang tu?” Ucap Zakri sambil mengangkat keningnya.

“Belum lagi, hehe. Orang Kelantan.” Jawab Shukri sambil tersipu.

“Zakri sihat? Iman di hati apa khabar?” Soal Shukri pula.

Alhamdulillah. Zakri sihat, iman di hati pun sihat. Abang, nak tanya boleh?”

“Tanyalah. Apa dia?”

“Boleh ke mahar dalam bentuk ayat al-quran?”

“Boleh. Ada dalam hadis. Seorang perempuan telah datang kepada Rasulullah s.a.w. lalu baginda bersabda, “Siapakah yang mahu mengahwininya?” Lalu seorang lelaki berdiri seraya berkata, “Aku.” Lalu Nabi s.a.w. berkata kepadanya: Berikanlah mahar kepadanya walaupun sebentuk cincin daripada besi. Lalu lelaki itu menjawab, “Aku tidak mempunyainya.” Kemudian Rasulullah s.a.w. bersabda, “Kini aku kahwinkan kamu dengan perempuan itu dengan mahar ayat-ayat al-Quran yang ada pada diri kamu. (Riwayat Ibn Majah)

“Ooo..okey, terima kasih.”

“Kenapa tiba-tiba tanya soalan macam dia pula yang nak nikah. Hehe.”

“Saja. Zakri pernah baca dalam novel. Nak tahulah betul ke tak.”

Shukri hanya tersenyum.

“Abang, malam ni, Zakri nak jadi imam boleh tak? Kita solat berjemaah sekeluarga.” Zakri meminta kebenaran untuk mengimamkan solat Maghrib dan Isyak pada malam ini.

“Boleh!” Ringkas jawapan Shukri. Shukri kini lebih bahagia dengan perubahan sikap positif yang ditunjukkan Zakri.

“Abang, apa ciri-ciri orang yang mati dalam keadaan beriman?” Tanya Zakri lagi.

“Erm, seseorang tu berjaya mengucapkan kalimah syahadah sebelum meninggal. Yang paling abang harapkan, mati dalam keadaan sujud di hari Jumaat pada bulan puasa. Itu cita-cita abang.”

“Zakri pun nak macam tu. Arwah ustaz Zakri meninggal dalam keadaan sujud.”

“Sebab tu selalu di akhir solat, bila berdoa, kita kena selalu memohon pada Allah agar Dia matikan kita dalam keadaan kita beriman dan semoga pengakhiran hidup kita dalam kebaikan. Mudah-mudahan.”

“Husnul khatimah kan bang?”

“Ya, husnul khatimah. Bukan dalam keadaan su’ khatimah iaitu pengakhiran yang buruk.” Akhiri Shukri.

Yusri sedang rancak berbual dengan Umi dan Abi sambil mendukung puteri kecil kesayangannya, Humaira’. Shukri meminta keizinan Yusri untuk mendukung anak kecilnya itu. Shukri mencium pipi mulus Humaira’.

“Tengoklah tu, Umi. Dia dah tak sabar nak ada anak.” Usik Yusri. Abi dan Umi ketawa bahagia.

“Ish! Orang saja nak dukung anak buah sendiri. Salah ke? Comel Humaira’ ni.” Tungkas Shukri membela diri.

“Hahaha. Tahu takut!” Yusri tergelak.

“Abang Yusri ni, tak baik. Haha.” Sampuk Aisyah.

“Ala, tinggal berapa hari saja lagi. Apa perasaan kau Shukri?” Tanya Yusri.

“Entahlah. Bahagia. Gementar dan takut pun ada. Macam-macamlah.” Jawab Shukri.

“Biasalah tu. Abang dulu pun macam tu. Tapi, sekejap saja. Lama-lama, kita rasa seronok. Betul tak Abi?” Yusri cuba menenangkan perasaan Shukri.

“Ya, betul. Masa nak lafaz akad nikah lagi gementar.” Sokong Abi.

“Doakanlah semoga Shukri dipermudahkan urusan oleh-Nya dalam reda-Nya.” Shukri hanya tersenyum.

Insya-Allah.” Yusri juga tersenyum.

*******

Hari yang dinanti muncul jua. Shukri dan keluarganya sudah berada di bumi Kelantan. Majlis akad nikah akan dilakukan di masjid berhampiran dengan rumah Wan Norazlin. Jiwa Shukri semakin dilanda badai resah. Selepas ini, statusnya akan berubah. Dia akan menjadi suami dan imam kepada sebuah keluarga yang dibinanya sendiri. Semoga dirinya mampu untuk mengemudi kapal mahligainya di bawah naungan reda Ilahi.

Mata Shukri bertemu dengan mata Azlin. Mata itu sungguh menyejukkan kalbunya. Hati mereka saling merenung.

Subhanallah!

Hati Shukri memuji Allah. Jantung mereka berdegup kencang. Jiwa nurani mereka bergema lagu cinta. Sentuhan lembut tangan Azlin membuatkan Shukri semakin resah di dada. Pipinya merona merah. Rasa malu bercampur bahagia melilit dirinya.

Azlin juga merasakan bagai ada arus elektrik yang tiba-tiba menyelinap masuk ke dalam relung jiwanya. Dia terasa kaku saat bersalaman dengan suami tercinta seusai lafaz akad nikah yang diwalikan oleh bapa saudaranya. Bibirnya mengukir sebaris senyuman terindah untuk kekasih halal yang berada di hadapannya. Pengantin baru itu tidak lupa untuk melakukan solat sunat sebagai tanda syukur pada Allah.

Rasa syukur yang mendalam akan selalu mampu membuat diri merasakan nikmat yang makin lama makin bertambah. Syukur itu melapangkan hati untuk menerima hidup, sedangkan kufur itu menyempitkannya.

“Terima kasih bang..” Ucap bibir Azlin dengan lembut. Shukri hanya tersenyum girang. Dia bersyukur kerana Allah mempertemukan dia dan jodohnya, Wan Norazlin.

Kenduri perkahwinan mereka dibuat secara sederhana di rumah pengantin perempuan. Shukri membawa isterinya, Wan Norazlin menaiki kereta miliknya sendiri. Di dalam kereta, masing-masing meluahkan rasa.

“Sayang….” Shukri memulakan bicara cinta di hatinya. Azlin tersenyum malu.

“Ya bang….” Lembut suara Azlin menyahut panggilan suami tercinta.

“Terima kasih sebab beri abang peringatan.” Bibir Shukri menguntum senyum.

“Abang pun, terima kasih.”

“Dengan rasminya hari ni, bersaksikan rumah Allah yang penuh barakah tadi, cinta itu dah pun jadi milik kita. Kita bercinta ya lepas ni?” Shukri cuba mengusik isteri tercinta.

“Abang ni, malu lah. Abang…saya sayang abang!” Luah Azlin dengan sepenuh ketulusan jiwanya.

“Abang cinta sayang!” Shukri membalas ringkas.

“Yang penting, kita sama-sama cintakan Allah dan Rasulullah lebih dari kita cintakan cinta ni.”

“Betul! Abang setuju!” Shukri menumpukan perhtiannya terhadap pemanduannya. Keretanya meluncur laju menuju rumah mertuanya.

*******

Hari ketiga, kenduri di rumah Shukri pula dibuat secara sederhana. Shukri menjemput sahabat-sahabat dan anak-anak murid lelakinya. Dia berasa malu untuk menjemput anak-anak murid perempuannya. Nizam dan isterinya, Siti Suhaila, datang dengan membawa hadiah khas untuk pasangan pengantin baru.

“Shukri, tahniah!” Nizam memeluk sahabat seperjuangannya itu. Shukri mengucapkan terima kasih atas kehadiran mereka. Siti Suhaila dan Wan Norazlin juga sempat berborak memperkenalkan diri.

“Ustaz! Tahniah! Selamat pengantin baru.” Ucap Zulhelmi, anak didiknya. Anak-anak muridnya yang lain juga mengucapkan ucapan yang sama. Shukri tersipu malu. Dia tersenyum sambil mengucapkan terima kasih.

“Abang ni, pemalu betul kan. Nak tergelak sayang.” Usik Azlin sambil tergelak kecil melihat gelagat suaminya yang pemalu itu. Pipi suaminya asyik merona merah lantaran malu.

“Abang memang seorang yang pemalu.” Beritahu Shukri dengan nada berbisik. Mereka tersenyum mesra.

“Abang! Zakri nak peluk abang boleh?” Zakri tiba-tiba muncul. Shukri tersenyum sambil mengangguk. Zakri mendakap erat tubuh Shukri. Ada air mata yang mengalir di atas pipi Shukri. Dia berasa terharu.

“Zakri okey tak ni? Lain macam saja.” Tanya Shukri.

“Okey,abang jangan risau. Zakri sayang abang. Terima kasih ya bang. Tahniah!” Ceria wajah Zakri pada pagi itu. Wajahnya berseri-seri dengan sinaran iman.

“Kak, untung akak dapat abang Shukri ni. Dia baik sangat.” Zakri tersenyum. Azlin juga tersenyum sambil memandang Shukri. Lagi sekali, Shukri dibelit rasa malu.

Memang penat seharian melayan tetamu yang hadir. Namun, apa yang Shukri harapkan, semoga dengan kehadiran tetamu-tetamunya itu tadi dapat menambahkan keberkatan pernikahannya. Dia dan isteri melangkah masuk ke dalam bilik untuk merehatkan diri.

“Abang nak minum?” Tanya Azlin dengan suara manjanya.

“Abang tak nak minum. Abang nak sayang. Sini sekejap boleh? Ada sesuatu yang abang nak beritahu.” Shukri mengambil posisi di tepi hujung katil. Azlin duduk di sebelah suaminya.

“Buku ni khas untuk sayang.” Shukri menghulurkan sebuah buku kepada isterinya.

“Bercinta Sampai Ke Syurga?” Azlin tersenyum.

“Ya. Abang dah baca. Sayang pun bacalah ya. Abang harap kita akan bercinta sampai ke Syurga.” Shukri mencapai lembut jari-jemari isterinya dan mengucup jemari itu dengan penuh rasa kasih.

“Terima kasih bang.. sayang abang!” Azlin mencium pipi suaminya. Pipi Shukri berubah merah. Dia malu. Azlin tergelak kecil.

“Suka usik abang kan. Tak baik tau.” Shukri mencubit hidung isterinya.

“Sayang, lagu ni khas untuk sayang.” Shukri memasang lagu ‘Duhai Pendampingku’ dendangan Edcoustic di telefon genggamnya untuk isteri tercinta. Azlin hanya mampu tersenyum bahagia. Dia terharu dengan ketulusan suaminya. Semoga kemesraan yang terjalin itu disirami dengan reda-Nya.

*******

Hari ini hari Jumaat, matahari bersinar dengan terik sekali. Pagi yang sungguh indah. Siti Nor Aisyah mencari kelibat adiknya, Zakri. Dia ingin mengajak Zakri keluar menemaninya ke taman bersama Amri. Abi, Umi, Ibu dan Shukri serta isterinya sedang bersarapan. Wan Norazlin kelihatan ceria. Wajahnya girang sahaja. Barangkali, itulah seri pengantin baru. Begitu juga dengan Shukri. Bersinar-sinar wajahnya dengan cahaya cinta. Cinta yang halal tanpa sebarang dosa dan noda.

Aisyah mencari Zakri di dalam bilik. Zakri sedang solat. Solat Dhuha agaknya kerana jam menunjukkan pukul 9.00 pagi. Aisyah sabar menanti di luar bilik. Amri sudah bersiap untuk ke taman.

“Kak! Cepatlah sikit.” Amri menjerit dari luar rumah.

Sudah 10 minit Aisyah menunggu. Dia masuk ke dalam bilik Zakri. Zakri sedang bersujud. Lama sujudnya. Barangkali, Zakri sedang khusyuk berdoa pada Allah. Waktu sujud termasuk salah satu waktu doa kita dimakbulkan. Aisyah bergerak ke luar rumah untuk menjenguk Amri.

“Sekejap, abang Zakri dah nak habis solat dah tu.” Beritahu Aisyah. Jam di tangannya mempamerkan 5 minit sudah berlalu. Aisyah terpaksa masuk ke bilik Zakri lagi.

Lamanya Zakri ni..tidur ke dia?

Aisyah mengeluh sendirian. Dia menunggu Zakri sambil memperhatikannya. Lama. Jantung Aisyah mula terasa kencang. Berdebar. Dia cuba menghampiri Zakri yang masih lagi dalam sujud.

“Zakri?? Zakri, bangun. Tidur ke dik? Lama betul sujud.” Aisyah bertanya. Tidak ada sebarang reaksi daripada Zakri. Aisyah makin tidak sedap hati. Dia menolak bahu Zakri dengan perlahan.

Zakri jatuh. Lemah. Badannya kaku, putih dan sejuk.

“Abang……….!!!” Aisyah menjerit sekuat hati memanggil abangnya. Shukri dan yang lain segera menuju ke bilik Zakri apabila mendengar jeritan Aisyah.

“Kenapa dik?” Tanya Shukri kehairanan.

“Abang….Zakri….” Lidah Aisyah kelu untuk menyambung kata.

Shukri tergamam. Abi dan Umi segera mendapatkan tubuh Zakri.

Innalillahi wa inna ilaihi raji’un..” Lafaz bibir Abi. Aisyah menangis dalam pelukan Umi. Azlin juga menangis bersama pelukan Umi dan Aisyah. Shukri terkedu. Dia teringat akan kata-kata Zakri tempoh hari yang membicarakan tentang pengakhiran hidup.

“Aisyah, macam mana Zakri boleh…..” Pertanyaan Shukri terhenti.

“Tadi dia tengah sujud. Lama sujudnya. Aisyah tolak bahu dia, terus jatuh..” Jawab Aisyah dengan suara terketar-ketar. Air mata Shukri mengalir hebat. Dia memeluk Amri yang sedang teresak-esak menangis.

“Abang Zakri dah tak ada. Takde siapa nak main PS2 dengan Amri nanti.” Luah si kecil Amri.

“Abang Shukri kan ada. Nanti kita main sama-sama ya.” Shukri mendakap erat adiknya yang paling kecil itu. Air matanya semakin mencurah. Zakri meninggal pada hari Jumaat dalam sujudnya. Dia berjaya mencapai cita-citanya.

Shukri segera mendail nombor abangnya, Yusri. Yusri terkejut bukan kepalang dengan berita tersebut. Dia dan sekeluarga bergegas pulang.

*******

 Sebulan kemudian…

Siti Nor Aisyah sedang melayan perasaan rindunya pada Zakri dengan menyelak gambar-gambar kenangan mereka bersama. Dia teringat segala suka duka bersama adik lelakinya itu.

Semoga berjaya – menjadi gadis terindah – dalam khusyuk sujudmu..
Semoga berjaya – menjadi gadis terindah – dalam damai zikirmu..
Semoga berjaya – menjadi gadis terindah – dalam tenang jiwamu
Semoga berjaya – menjadi gadis terindah – dalam sempurna keredaanmu..
Semoga berjaya – menjadi gadis terindah – dalam deras air mata cintamu kepada-Nya. Semoga berjaya – menjadi gadis terindah – dalam manis senyumanmu..


Walau dalam hati, badai sedang bergelora, namun, tetap tenang, kerana limpahan rahmat..
Senyuman paling manis, adalah ketika Allah memberimu ujian, dan kamu berkata..
Inna Lillahi Wa Inna Ilaihi Raji’un..                                                                                                                                                        Sender : Ezza Atilia                                                                                                                   

Mesej yang dihantar oleh sahabatnya yang berada di Jordan itu benar-benar membuatnya terharu. Dia akur, Allah lebih sayangkan adiknya, Zakri. Walaupun Aisyah masih dilanda duka, namun, jauh di sudut hatinya, dia berasa bahagia kerana Zakri menghadap Ilahi dalam keadaan husnul khatimah. Saat jiwa adiknya mula menghidu haruman hidayah Allah, langkahnya juga sudah banyak berubah. Dia lebih kenal akan Pencipta dirinya. Dia semakin dekat dengan Allah. Coretan kenangan bersama Zakri akan sentiasa terpahat dalam memori sanubarinya.

Aisyah teringat akan sahabat-sahabatnya. Ramai yang sudah berubah. Aisyah semakin risau. Dia risau dengan pengakhiran hidupnya. Permulaan yang baik tak semua akan berakhir dengan kebaikan. Begitu juga dengan lumrah kehidupan. Aisyah mula mengalunkan ayat-ayat Allah untuk menenangkan jiwa laranya.

Abi, Umi dan Ibu sudah reda dengan pemergian Zakri. Yusri juga sentiasa mendoakan yang terbaik untuk adiknya itu. Adiknya pergi dalam usia muda. Dia teringat kata-kata Imam Hassan al-Banna : “…kewajipan yang perlu kamu lakukan lebih banyak daripada masa yang kamu ada.”

Shukri memuhasabah dirinya. Dia sedar, mati itu pasti. Mati tidak mengenal usia. Dia masih mengimpikan sebuah kematian menemui Ilahi pada hari Jumaat, bulan puasa dan saat dia sedang bersujud. Dia akan cuba mempersiapkan bekal untuk dibawa ke sana. Selagi jasad masih bernyawa, selagi kudrat masih terdaya, tak ada alasan untuk kita tidak bersedia menghadapi kematian. Dia akan memimpin semangat juangnya bersama isteri tercinta, Wan Norazlin untuk meraih sebuah husnul khatimah.

Aisyah mengorak langkahnya semula. Dia cuba membina keyakinan yang seakan sudah runtuh dan pergi bersama adiknya, Zakri. Dia bermula dari awal. Dia akan berusaha bersungguh-sungguh untuk peperiksaan STAM yang bakal dihadapinya tak lama lagi. Masa yang ada berbaki 4 bulan. Dia akan cuba dan berusaha sedaya upayanya. Shukri dan Yusri juga menggagahkan diri untuk terus maju dalam kerjaya mereka. Abi, Umi dan Ibu semakin hari semakin bercambah iman di hati. Amri juga sudah mula menampakkan kematangan dalam setiap tindak-tanduknya.

Harapan di hati mereka, semoga setiap langkah hidup ini akan menjadi bekal untuk di hari akan datang di hadapan Yang Maha Esa. Semoga pengakhiran hidup ini seindah husnul khatimah yang akan membawa ke Syurga-Nya dan bertemu dengan Allah. Setiap insan mengimpikan sebaik-baik kematian dalam iman, namun, apakah langkah hidup memenuhi kelayakan untuk insan itu menghuni Syurga-Nya?

***TAMAT***