KEMATIAN ITU SATU PERINGATAN

Published June 8, 2017 by wana93

Hampir dua bulan menyepi daripada berkongsi di laman blog tercinta saya ini. Maaf, banyak perkara yang perlukan fokus dan komitmen diri. Saya tetap aktif di laman Facebook. InsyaAllah.

Jiwa saya terasa kuat untuk ‘update’ sesuatu pada malam ini kerana saya ingin kongsikan satu peringatan buat diri saya sendiri dan kita semua yang masih hidup dan sedang membaca ini, tentang kematian.

Yang selalu kita anggap kita ini muda lagi, sihat lagi, lambat lagi nak mati dan pelbagai lagi.

Sebelum Ramadhan muncul, sahabat baik saya telah kehilangan ayah tercintanya. Ayahnya meninggal asbab penyakit kronik yang semakin membarah dalam diri ayahnya. Hampir dua minggu di ICU, sebelum menghembuskan nafas terakhir.

Semalam, (7/6/2017) kita dikejutkan dengan seorang si kecil, Syahid, bintang syurga. Setelah lelah berlawan dengan penyakit kanser, si kecil, anak kepada Bazli Hazwan UNIC itu, menghembuskan nafas yang terakhir. Moga Syurga buatmu Syahid. Siapa yang ikuti dari awal si kecil itu sakit hingga dia menutup mata selamanya, pasti akan terasa tempias sedih dan duka. Namun, redha. Andai itu takdir-Nya. Sangat tabah si ibu dan si bapa kepada arwah Syahid ini. Banyak yang boleh kita pelajari daripada qudwah mereka berdua, sebagai ibu dan bapa.

18893289_10154414714781607_3291048249844235543_n

Saudara Bazli memeluk anaknya, Syahid, saat doktor beritahu akan pemergian ‘bintang syurga’nya itu. 

Pagi tadi, lepas dah selesai kerja-kerja di rumah, saya pun buka WhatsApp. Dapat lagi berita tentang kematian. Sungguh, kematian itu sangat dekat dengan kita!

Kehilangan insan kesayangan, memang akan memilukan kita. Perlukan masa untuk emosi kembali stabil. Doa dikirim sentiasa. Gambar-gambar kenangan akan selalu dibelek dan kadang, kita tiba-tiba menangis sendiri dalam sepi. Kerana sebuah rindu.

Saat itu, akan terngiang kata-kata cinta dan nasihatnya di telinga kita. Saat itu, akan teringat saat kita menyalami tangannya dan memeluknya.

Itu yang diri pernah rasa dan alami, saat kehilangan abah, 6 tahun yang lepas. Sedalam-dalam rindu, tidak pernah jemu muncul untuk insan bergelar abah itu.

Namun, tetap redha. Kita semua milik-Nya, akan kembali pada-Nya, bila-bila masa saja yang Dia mahu. Takziah buat sahabat sekelas dan sekuliah di USIM, Syafawani, atas pemergian ayah tercinta.

Perginya di bulan mulia. Semoga dia kuat dan tabah, untuk menguatkan ibu dan adik-beradiknya yang lain. Semoga arwah ditempatkan bersama golongan orang-orang soleh dan beriman.

Al-Fatihah.

Syafawani antara sahabat yang saya rapat semasa di USIM. Kami berdua selalu digelar ‘twin’. Bukan sekali, bukan dua kali, senior tersalah panggil nama. Junior juga. Saya amat sedih atas berita itu, dan tak mampu berada di sisinya, saat-saat dia sedang diuji sebegini. Hanya doa yang mampu saya kirimkan.

DSC_0440.JPG

Saya dan Syafawani. Kenangan semasa kami di Korea, program Lawatan Antarabangsa pada tahun 2015. 

Bila terima berita kematian tentang bapa kepada sahabat, terus teringat ini. Antara tajuk yang ada pada buku ‘Hidayah Di Balik Gerigi Besi & Shameless’, buku sulung Hamare. Tajuk Abi Habibi ini, berada di bahagian belakang buku, bahagian buku Shameless, karya Siti Nor Hayati.

18920354_10207308349706754_5883804782157170850_n

Abi Habibi

Salah satu inspirasi kisah benar yang ada dalam buku ini, adalah Abi Habibi. Kisah penulis sendiri, saat kehilangan ayah tercinta beliau.

Kisah seorang Qasrun, meniti usia remaja dan ayahnya pergi meninggalkan dia sekeluarga, buat selamanya. Kembali pada Ilahi.

Nukilan puisi yang ada di situ, amat menyentuh hati. Lagi-lagi, apabila yang membaca itu, pernah alami situasi yang sama. Kehilangan Abi Habibi.

Abi, hadirmu dalam hidupku sekejap cuma. Dikau terlalu banyak menabur jasa dan bakti, demi kelangsungan hidup permata-permata hatimu.

Abi, akan ku ingat segala jerih perihmu. Membanting tulang mengerah tenaga, demi sesuap nasi anak-anakmu.

Abi, dikau pergi tatkala anak-anakmu sedang menuju dewasa. Tatkala anak-anakmu mulai berjasa, tatkala anak-anakmu mulai mengenal erti hidup. Namun dikau tidak pernah merasa, dirimu tidak mengenal erti kesenangan dunia.

Abi, Selamat menempuh alam baru. Aku yakin dikau bahagia di sana. Doaku dikau bersama golongan Al-Muqorrobin, bersama para solihin. Inilah doa dari anak-anakmu yang merinduimu, mencintaimu, selama-lamanya, duhai Abi.

Al-Fatihah.

Hargai insan-insan kesayangan yang ada di sekeliling kita. Kita dan mereka ini hanya pinjaman sementara. Bila-bila masa, akan kembali padaNya. Entah kita dulu, entah mereka dulu.

Hargai.
Selagi masih ada.
Berbakti.
Selagi masih ada.

Jom sama-sama kita usahakan diri kita untuk jadi seorang anak yang soleh dan solehah buat ibu dan bapa kita. InsyaAllah.

Daripada Abu Hurairah r.a., Nabi s.a.w. bersabda yang bermaksud : “Apabila seseorang mati, terputuslah daripadanya amalannya melainkan tiga ; sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat dan anak soleh yang berdoa kepadanya.” (Riwayat al-Tirmizi) 

Dunia ini hanyalah persinggahan kita. Bukan selamanya kita hidup di dunia ini. Kematian itu sudah pasti. Hidup kita ini saja, tidak pasti lagi, entah sampai bila. Semoga sama-sama kita teruskan langkah, kuat kerana Allah.

Mati

Boleh baca untuk ambil apa yang bermanfaat daripada tulisan saya, saat saya kehilangan abah tercinta saya : Kita Milik-Nya. Boleh baca juga saat saya kehilangan nenek saya, di saat-saat akhir keuzurannya : Menjaga Hingga Hujung Nyawa.

Daripada Abu Hurairah r.a., Nabi S.A.W. bersabda : “Perbanyakkanlah mengingati pemusnah kelazatan (mati).” (Riwayat al-Tirmizi dan al-Nasa’i) 

Hidup ini singkat. Jom sebarkan manfaat.

Wallahua’lam.

@Rumahku Syurgaku,

10.50 pm,

8/6/2017.

 

2 comments on “KEMATIAN ITU SATU PERINGATAN

  • Leave a comment