ANAK YANG MUDA VS IBU BAPA YANG TUA

Published September 28, 2017 by wana93

Alhamdulillah.

Masih diberi ruang dan peluang untuk menaip di dalam blog tercinta diri ini. Sebenarnya, agak sibuk sikit minggu ni, mengejar tarikh akhir untuk final edit isi dalam buku dan persediaan untuk program pada minggu hadapan. Namun, hati kuat nak menaip, nak berkongsi juga.

Hari ini, terasa ingin berkongsi sesuatu. Tentang ibu bapa dan kita, sebagai seorang anak yang masih muda, kuat dan bertenaga.

Terasa ingin berkongsi ‘ibrah yang diri dapat hari ini. Dalam hati, menangis sendiri. Bab ibu bapa, memang hati ini mudah luluh. Hati mereka, jiwa mereka, sangat mudah terasa berbanding kita yang masih muda ni. Sensitiviti mereka, melebihi sensitif daripada kita. Kita kena lebih memahami.

Saya suka dan selalu dengar dan ulang kuliah ustaz Fawwaz Mad Jan, berkaitan taat pada ibu bapa. (Boleh tengok di page FB Kuliah Ustaz Fawwaz Mad Jan)

Antara poinnya adalah :

  • Tolong jangan buat lebih kurang dengan mak ayah kita, dengan mak khususnya. Jaga mereka elok-elok. Jangan bergaduh dengan mereka.
  • Orang lelaki, sampai mati kena taat dengan mak ayah, mak khususnya. Sebelum kahwin ke, selepas kahwin ke, Allah ‘ikat’ dirinya dengan mak dia. Jangan takut bini saja.
  • Orang perempuan kalau belum berkahwin, Allah ‘ikat’ dirinya dengan mak ayah dia. Kena dengar cakap mak ayah. Bila dah berkahwin, Allah ‘ikat’ dirinya dengan suami.
  • Balasan anak derhaka, Allah bagi ‘cash’ dekat dunia, sebelum si anak meninggal dunia.

Perkongsian kali ini, saya bukanlah nak cerita tentang anak derhaka, nak cari salah sang anak semata-mata. Tidak!

Ada mesej penting yang ingin saya sampaikan, buat kita yang bergelar anak. Anak yang muda dan sihat, anak kepada ibu bapa yang dah semakin uzur, dimamah usia dan ketandusan perhatian dan kasih sayang. Mesej ini juga peringatan khusus buat diri saya sendiri sebenarnya.

21993108_10208015093774914_6855958971031526932_o

SAAT IBU BAPA KITA MUDA, KITA JUGA SANGAT MUDA

Masihkah kita ingat saat kita dilahirkan di dalam dunia ini? Masihkah kita sempat membelek album dan gambar-gambar lama yang merakam memori saat kita bergelar bayi?

Waktu itu, usia kita tersangatlah muda. Sebulan, dua bulan, setahun, dua tahun dan semakin menginjak dewasa. Waktu itu juga, umur ibu bapa kita masih muda. Masih 20-an dan masih 30-an.

Saat kita masih bayi, ibu bapa kita sibuk mencari nafkah dan rezeki. Untuk ibu kita, untuk adik-beradik kita, untuk keluarga ibu dan bapa kita juga. Sibuk-sibuk mereka, mereka masih sempat ambil tahu perkembangan sihat dan sakit kita, sempat bawa kita jalan-jalan pusing-pusing kampong dan Bandar, sempat bermain dengan kita, sempat ajar kita mengaji, sempat belanja kita makan, sempat melayan kerenah kita nak itu nak ini, sempat tegur salah silap kita, sempat belikan kita apa-apa yang kita nak, sempat sekolahkan kita sampai ke peringkat kolej, universiti, sempat bawa kita balik kampong jumpa atuk dan nenek, sempat bergambar bersama dan banyak lagi.

Mereka juga masih sempat tersenyum gembira bersama kita, walau jiwa mereka mungkin sedang dalam gundah dan sedih dengan ujian yang kadangkala kita sendiri tak tahu, mereka masih sempat masak makanan kegemaran kita, mereka masih sempat menunjuk qudwah yang baik kepada kita, saat mereka setia menjaga ibu bapa mereka iaitu atuk dan nenek kita, saat usia atuk dan nenek kita semakin bertambah dan semakin uzur.

SAAT KITA MENGINJAK REMAJA DAN DEWASA, IBU BAPA KITA SEMAKIN DIMAMAH USIA

Namun, dalam kita sedar, dalam kita tak sedar, umur kita yang tadinya bayi, yang tadinya berusia satu dua tahun, sekolah tadika, semakin menginjak remaja dan dewasa.

Kita semakin sibuk dengan hidup diri kita sendiri. Kita sibuk dengan dunia belajar kita, sibuk dengan mencari cinta lain untuk mengisi kekosongan jiwa, sibuk mengejar cinta yang tak halal, sibuk bekerja dan bekerja, pagi petang siang malam untuk menambah pendapatan, sibuk ke sana ke sini setiap masa, sibuk berhibur, tengok wayang, main bowling dengan kawan-kawan sekolah, kawan-kawan university dan kawan-kawan pejabat kita, sibuk dengan media sosial, sibuk dengan gosip-gosip artis, sibuk dengan keluarga sendiri, anak-anak sendiri. Saat kita sudah berjaya dalam hidup, saat itu ibu bapa kita semakin tua, semakin uzur. Mereka sudah 50-an, 60-an, 70-an.

Hingga kita terlupa. Ibu bapa kita rindukan kita di kampung sana, ibu bapa kita menanti panggilan telefon daripada kita, ibu bapa kita ternanti-nanti kepulangan kita, ibu bapa kita rindu nak dengar suara kita, ibu bapa kita rindu nak kita cium tangan dan pipinya, ibu bapa kita teringin nak berjalan-jalan luang masa dengan kita, ibu bapa kita rindu nak bermanja dan bercerita panjang dengan kita, ibu bapa kita rindu nak meluah rasa dengan kita, ibu bapa kita rindu nak duduk makan semeja dengan kita dan banyak lagi.

Sibuk-sibuk kita, hingga tak sempat kita nak ambil tahu perkembangan sihat dan sakit mereka, tak sempat kita nak bawa mereka jalan-jalan pusing-pusing kampung dan bandar, tak sempat berborak mesra dengan mereka, tak sempat kita nak belanja mereka makan, tak sempat melayan kerenah mereka tatkala umur semakin tua, tak sempat kita nak belikan apa-apa untuk mereka, tak sempat kita bawa anak-anak kita balik kampung jumpa mereka, tak sempat kita nak bergambar bersama mereka dan banyak lagi.

Kita juga tak sempat nak sebarkan senyuman tatkala diri kita sedang sedih dilanda musibah, tak sempat kita nak tunjuk qudwah kita sebagai anak terhadap ibu bapa kita kepada anak-anak kita, tak sempat nak jaga sihat dan sakit mereka.

*Dengarkan juga kuliah ustaz Abdullah Khairi berkenaan Tanggungjawab Anak Kepada Ibu Bapa : Ceramah Ustaz

SEGALANYA MEMANG PERLUKAN DUIT, TAPI, PERCAYALAH, DUIT BUKAN SEGALANYA!

Hari ini, ramai anak yang berpendapat,

“Walaupun aku tak balik kampung, setiap bulan aku kirim duit dekat mak ayah aku.”

“Sibuk-sibuk aku pun, aku kirim duit dengan mak ayah di kampung. Bukan tak berbakti langsung.”

Ya bagus. Betullah tu. Memang betul. Memang baik anak yang seperti itu, yang kirim duit belanja tiap-tiap bulan pada ibu bapanya. Memang terbaik!

Namun, ada lagi yang lebih baik! Jika jauh, telefonlah mereka selalu. Seminggu sekali pun tak apa. Jika mereka tak sihat, ziarahlah. Luangkan masa.  Bukan sekadar kirim duit untuk ibu bapa kita pergi ke klinik atau hospital sendiri.

Daripada Abu Hurairah r.a., Nabi s.a.w. bersabda : “Apabila seseorang mati, terputuslah daripada amalannya melainkan tiga perkara : Sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat dan anak soleh yang berdoa kepadanya.” (Riwayat al-Tirmizi)

Apa yang mereka mahukan daripada kita, bukanlah duit semata-mata. Mereka mahukan kasih sayang, perhatian dan keprihatinan seorang anak terhadap ibu bapanya. Saat mereka makin uzur, perlukan bantuan untuk mengurus diri, saat itulah tanggungjawab seorang anak. Membantu mereka uruskan diri.

Siapa tak sedih bila dengar ungkapan sebegini muncul di bibir orang-orang tua yang sudah uzur?

“Kita ni bang, dah tua dah, dah tak macam dulu. Dah kencing dah busuk, dah kena pakai pampers, tak ada yang nak dekat dah.”

Saat itu, hati ini sangat luluh. Lupakah kita saat kita bayi dahulu, saat waktu kecil kita dahulu, ibu bapa kita yang selalu sudi membantu membasuh kencing berak kita? Pakaikan kita pampers.

Tapi kini, bila tiba saat mereka, kita jadi lupa diri. Kita jadi tak selesa nak jaga orang tua. Mahukah kita, andai suatu hari nanti, anak-anak kita juga bersikap sebegitu dengan kita? Saat kita dimamah usia nanti, saat kita dah uzur, anak-anak kita pula jijik nak uruskan kita. Geli nak dekat dengan kita. Abaikan kita. Mahukah kita?

Semestinya tak nak, bukan?

Jadi, itulah tanggungjawab kita. Menjaga mereka, hingga hujung nyawa. Bukan menjaga di waktu sihat sahaja. Bila sakit, kita pun mula beralasan, mula mengeluh, mula marah-marah mereka. Mula mengharap cucu-cucu mereka yang jaga akan mereka. Anak-anak kita akan jaga mereka ke, andai mereka lihat kita sendiri sebagai anak tidak menjaga ibu bapa kita sendiri?

Pernah saya lihat dalam satu video. Tentang adik-beradik bergaduh. Masing-masing tolak tak nak jaga ibu mereka. Masing-masing beralasan sibuk, tak ada masa, takut tak terjaga dan banyak lagi. Hingga salah seorang daripada mereka bersuara,

“Kalau semua tak nak jaga, biar mak tinggal dengan aku!”

Kata-kata yang dilontar oleh seorang anak perempuan. Dia punya seorang anak lelaki, kecil lagi. Dia membawa ibunya tinggal bersamanya. Dia menjaga sepenuh hatinya. Hidupnya taklah senang dan kaya seperti adik-beradik lain, namun, dia berusaha cukupkan keperluan ibunya dahulu. Anak lelakinya yang kecil itu, selalu membantu dan melihat tingkah ibunya yang amat menjaga neneknya itu.

Hingga tiba saat nafas terakhir neneknya itu, si anak lelaki kecil tadi, peluk ibunya dan berkata,

“Abang janji abang akan jaga ibu macam mana ibu jaga nenek. Abang sayang ibu! Abang sayang nenek!”

Begitulah lebih kurang kisahnya. Anak akan ikut dan buat seperti apa yang kita sebagai ibu bapa ni buat. Tunjuklah teladan yang baik, agar anak-anak kita mampu buat baik juga.

Dan Tuhanmu telah memerintahkan supaya kamu jangan menyembah selain Dia dan hendaklah kamu berbuat baik pada ibu bapakmu dengan sebaik-baiknya. Jika salah seorang di antara keduanya atau kedua-duanya sampai berumur lanjut dalam pemeliharaanmu, maka sekali-kali janganlah kamu mengatakan kepada keduanya perkataan “ah” dan janganlah kamu membentak mereka dan ucapkanlah kepada mereka perkataan yang mulia. Dan rendahkanlah dirimu terhadap mereka berdua dengan penuh kesayangan dan ucapkanlah: “Wahai Tuhanku, kasihilah mereka keduanya, sebagaimana mereka berdua telah mendidik aku waktu kecil”. (Surah Al-Israa : 23-24)

Ramai orang boleh tukar lampin baby, tapi tak ramai yang mampu tukar lampin untuk orang tua. Ramai yang boleh berbakti pada kedua ibu bapanya ketika sihat, tapi tak ramai yang mampu berbakti pada kedua ibu bapanya saat mereka semakin uzur. Buktinya, lihatlah di rumah-rumah kebajikan dan rumah-rumah orang tua. Mereka tidak dijaga oleh anak mereka, sebaliknya dijaga oleh pekerja-pekerja di sana.

Doalah banyak-banyak, semoga kita mampu untuk jadi seorang anak yang mampu menjaga orang tua kita, Berbakti Pada Ibu Bapa , Menjaga Hingga Hujung Nyawa.

Semoga kita sama-sama berusaha menjadi anak yang soleh dan solehah, tidak sekadar mengharap agar kita dikurniakan anak yang soleh solehah. Tidak sekadar kita ucap dalam doa dan lafaz di bibir saja, namun, dibuktikan melalui tingkah kita terhadap ibu bapa kita juga.

Jom dengarkan sebuah nasyid yang menyentuh jiwa kita, Cinta Istimewa.

Kongsikan. Semoga bermanfaat buat kita yang bergelar anak dan buat bacaan serta muhasabah buat insan-insan lain juga.

Wallahua’lam.

p/s : Sangat rindu akan arwah abah. Al-Fatihah. ❤

@Rumahku Syurgaku, 8.45 pm.

 

Leave a comment