BERBAKTI PADA ORANG TUAMU

Published October 16, 2013 by wana93

Alhamdulillah. Cuti saya sempena Hari Raya Aidil Adha bakal berakhir tak lama lagi. Cuti hanya seminggu. Itupun, lepas ni, bakal ada banyak kelas dan kuliah ganti. Terbaik! ^^

Cuti yang sekejap ini banyak memberi saya pengajaran. Petang tadi, saya kongsi sesuatu di FB saya. Di sini, saya nak kongsikan perkara yang sama. Cuma, saya nak tambah sesuatu sebagai pedoman dan pengetahuan kita semua.

doa ibu bapa wallpaper

~Ibrah~

Nenek (belah ibu) makin hari, makin dimamah usia. Baru-baru ni, kakinya sakit dan tak mampu nak berjalan seperti biasa hingga sekarang. Jadi, ibu yang paling banyak membantu nenek (lap badan, tukar lampin dll). Nenek memang tinggal di rumahku. Hujung minggu saja, nenek akan ke rumahnya, di mana dia tinggal berdua bersama makcikku yang bekerja sebagai guru. Makcik-makcik ku yang lain turut membantu sama. Bila diorang free, diorang akan datang. Saya dan adik-beradik yang lain, membantu ibu, ambilkan itu ini untuk nenek dll. Tadi, masa ibu tengah tukar lampin nenek, saya perhatikan saja sambil termenung.

“Macam ni lah ko jaga mak bila dah tua nanti..”

Tersedar saya mendengar suara ibu. Saya pun jawab, “Haa..”

“Yelah, kita bukan selamanya sihat..kenalah belajar nak jaga orang tua dari sekarang ni..” Sambung ibu.

Ibu dah tunjukkan kami qudwah terhadap orang tua. Walau penat dan lelah, ibu masih menjalankan tanggungjawabnya sebagai seorang anak. Tanggungjawabnya terhadap anak-anak juga tak pernah terabai. InsyaAllah, moga-moga suatu hari nanti, kami adik-beradik mampu menjaga ibu, dengan sebaiknya. :’)

Ramai orang boleh tukar lampin baby, tapi tak ramai yang mampu tukar lampin untuk orang tua. Ramai yang boleh berbakti pada kedua ibu bapanya ketika sihat, tapi tak ramai yang mampu berbakti pada kedua ibu bapanya saat mereka semakin uzur. Buktinya, lihatlah di rumah-rumah kebajikan dan rumah-rumah orang tua. Mereka tidak dijaga oleh anak mereka, sebaliknya dijaga oleh pekerja-pekerja di sana.

Sayangi orang tuamu, selagi mereka masih di sisimu.. :)

*Semoga nenek saya (belah arwah abah) di kampung, sihat.. Cucumu selalu mendoakanmu.. :”)

Allah perintahkan kita untuk berbuat baik kepada kedua ibu bapa kita. Bilamana ia perintah daripada Allah, maka, wajib untuk kita mentaati perintah-Nya.

“..berbuat baiklah terhadap kedua orang ibu bapa..” (Surah Al-An’aam : 151)

“Sembahlah Allah dan janganlah kamu mempersekutukan-Nya dengan sesuatu pun.Dan berbuat baiklah kepada dua orang ibu bapamu, karib-kerabat, anak-anak yatim, orang-orang miskin, tetangga yang dekat dan tetangga yang jauh, teman sejawat, ibnu sabil dan hamba sahayamu. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang sombong dan membangga-banggakan diri,” (Surah Al-Nisaa’ : 36)

Sesetengah kita terkadang terlupa, leka dan alpa dengan keseronokan dalam mengejar dunia sahaja. Ada suami yang lupa bahawa ibu lebih utama daripada isteri. Ada isteri yang lupa bahawa suami lebih utama daripada ibu. Ada ibu bapa yang lupa bahawa anak perempuan mereka perlu mengutamakan suaminya lebih daripada ibu bapa. Ada isteri yang lupa bahawa suami perlu mengutamakan ibunya sendiri melebihi isterinya. Ada anak lelaki yang lupa bahawa tanggungjawab menjaga ibu dan bapa tergalas di bahu mereka dan bukan pada anak-anak perempuan. Ada anak perempuan yang lupa bahawa dia lebih terikat dengan tanggungjawab kepada suami dan ibu bapa suami lebih daripada ibu bapa kandungnya sendiri.

Lelaki sejati! Moga kita mampu seperti ini.. :')

Lelaki sejati! Moga kita mampu seperti ini.. :’)

Dan Tuhanmu telah memerintahkan supaya kamu jangan menyembah selain Dia dan hendaklah kamu berbuat baik pada ibu bapakmu dengan sebaik-baiknya. Jika salah seorang di antara keduanya atau kedua-duanya sampai berumur lanjut dalam pemeliharaanmu, maka sekali-kali janganlah kamu mengatakan kepada keduanya perkataan “ah” dan janganlah kamu membentak mereka dan ucapkanlah kepada mereka perkataan yang mulia. Dan rendahkanlah dirimu terhadap mereka berdua dengan penuh kesayangan dan ucapkanlah: “Wahai Tuhanku, kasihilah mereka keduanya, sebagaimana mereka berdua telah mendidik aku waktu kecil”. (Surah Al-Israa : 23-24)

Ya. Kita manusia. Kadang-kadang, kita terlupa. Sebab itu kita kena sentiasa peringatkan diri. Supaya kita tidak terus hanyut dibuai arus dunia semata. Ada satu kisah benar. Saya tak pasti saya pernah tulis pasal kisah ni ke tak.

Ada seorang pakcik yang umurnya sudah lanjut dan dia semakin uzur. Dia memiliki 10 orang anak. Tetapi, sayangnya, kesemua anak-anaknya langsung tidak mahu menjenguk apatah lagi menjaga makan minum pakainya. Semuanya tinggal di rumah yang selesa dan mewah. Tetapi, pakcik yang uzur itu tinggal di rumah lamanya yang sudah usang, seakan menanti untuk tumbang. Pakcik itu seakan sudah nyanyuk dek kerana penyakit tuanya. Suatu hari, pakcik itu rindu sangat dengan seorang anak lelakinya. Dia pun pergi ke rumah anak lelakinya itu.

Dia memberi salam dan memanggil nama anak lelakinya. Tiba-tiba, menantu perempuannya keluar. Dia memarahi dan menghalau pakcik tersebut walaupun pakcik itu adalah bapa mertuanya! Pakcik itu kecewa dan sedih. Dia tersangat mahu berjumpa dan mahu dijaga oleh anak-anaknya. Hari demi hari, pakcik itu terus meniti hidup dengan sendiri. Tanpa ada yang menemani, tanpa anak-anak kandung di sisi.

Seorang lelaki terdetik hatinya mahu melawat pakcik tua yang uzur itu. Terkadang, dia simpati dengan nasib si tua itu. Lelaki itu mengintai rumah usang pakcik tersebut. Hidungnya terhidu satu bau yang kurang enak dinikmati aromanya. Dia bergegas masuk menuju ke teratak lama itu. Dilihatnya, pakcik tersebut seakan sudah lama pergi meninggalkan dunia yang fana’ ini. Pakcik tersebut meninggal tanpa ada seorang anak pun yang memandikan dan mengkafankan serta menyembahyangkan jenazahnya!

Di mana 10 orang anak tadi? Setelah selesai jenazah diuruskan, barulah mereka munculkan wajah muram dan sayu!

Semoga kita tidak menjadi ‘anak derhaka’ pada kedua orang tua kita. Memang penat dan lelah menjaga dan melayan kerenah orang tua, lebih-lebih lagi yang sudah uzur. Banyak kesabaran dan ketabahan diperlukan untuk menghadapi situasi tersebut. Namun, itu bukanlah alasan untuk kita meletak dan men’campak’ ibu bapa kita ke rumah-rumah kebajikan dan rumah-rumah orang tua! Sukakah kita andai suatu hari nanti, anak-anak kita pula meletakkan men’campak’ diri kita ke rumah-rumah kebajikan tersebut? Semestinya tidak suka kan?! Jadi, jangan sesekali kita mengkhianati kasih ibu bapa kita.

Percayalah! Banyak pahala yang mengalir pada diri seorang anak yang berbakti pada kedua orang tuanya. Bilamana kita banyak kerja sekolah, banyak assignment perlu disiapkan dan peperiksaan semakin hampir, jangan sesekali kita bermalas-malasan untuk membantu dan berbakti pada ibu bapa kita. Apa yang kita mahu adalah redha Allah. Kita mahukan keberkatan dalam setiap urusan hidup kita. Jadi, adakalanya, dengan meringankan tulang membantu ibu bapa, kita akan dapat keberkatan di situ. Yakinlah! ^_^

Daripada Abu Hurairah r.a., Nabi s.a.w. bersabda : “Sesiapa yang menyenangkan orang yang susah, Allah akan menyenangkannya di dunia dan akhirat. Sesiapa yang menutup keburukan seorang Muslim, Allah akan menutup keburukannya di dunia dan akhirat. Dan Allah akan menolong seorang hamba selagimana ia berusaha untuk menolong saudaranya.” (Riwayat Muslim)

Akhir sekali, suka saya ingatkan diri saya dan kita semua. Hidup ini takkan ada ertinya kalau kita derhaka pada kedua orang tua kita kerana tanpa redha mereka, redha Allah takkan memayungi kita.🙂

Sama-sama kita jaga ibu bapa kita baik-baik. Dengar cakap mereka selagimana tidak bertentangan dengan syariat. Cuba sedaya upaya penuhi permintaan mereka, andai itu boleh memberinya senyuman bahagia. Senyumlah selalu di hadapan mereka! Berbakti pada keduanya, kerana Allah Ta’ala. Sama-sama kita usaha untuk jadi soleh dan solehah pada kedua ibu bapa kita. Yang masih ada, jangan sia-siakan ibu bapa kita. Gunakan masa dan tenaga kita untuk berbakti dan buat baik pada mereka, sebaik dan semampu kita. Sebelum mata mereka tertutup selamanya, buktikan sayang dan cinta kita pada mereka, sementara kita masih melihat mereka. :’)

Arwah Haji Abdul Hamid Bin Haji Arasat. Abah saya. Doakan beliau tenang di alam sana. :')

Arwah Haji Abdul Hamid Bin Haji Arasat. Abah saya. Doakan beliau tenang di alam sana. :’)

Saya sudah tidak punya abah tercinta. Saya cuma ada ibu saja sekarang ini. Ibu saya pula ada dua ibu iaitu ibu kandung dan ibu mertua. Jadi, kalian yang masih punya kedua ibu dan bapa serta yang punya ibu dan bapa mertua, sama-samalah kita jalankan tanggungjawab kita sebagai seorang anak. Jika kita sudah tidak punya salah seorang atau keduanya, maka, hulurkanlah doa. Elakkan pergaduhan dan jauhi maksiat.  Jadilah seorang anak yang soleh dan solehah supaya doa kita makbul di sisi-Nya. Jadilah pencen kubur untuk mereka.  :’)

Daripada Abu Hurairah r.a., Nabi s.a.w. bersabda : “Apabila seseorang mati, terputuslah daripada amalannya melainkan tiga perkara : Sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat dan anak soleh yang berdoa kepadanya.” (Riwayat al-Tirmizi)

Renung-renungkan dan sama-sama kita amalkan! InsyaAllah! Moga Allah redha kita!  :D

Meh tengok dan hayati video nasyid kegemaran saya, Ahmed Bukhatir – Ya Ummi.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: