HIMPUNAN 355 : USAHA MENYOKONG KEBENARAN

Published February 19, 2017 by wana93

Alhamdulillah. Syukur ke hadrat Ilahi, kerana diri ini diberi rezeki, ruang dan peluang untuk turun dan hadir bersama di dalam Himpunan RUU 355 di Padang Merbok, KL pada 18/2/2017.

Saya pergi bersama geng para pemuda, pemudi dan belia bersama sebuah bas. Kali pertama hadir di dalam himpunan besar seperti ini. Niat di hati, cuma satu. Ingin ambil tahu lebih lagi soal isu pindaan akta 355 ini dan pastilah ingin menyatakan hasrat menyokong apa-apa yang baik untuk ummah.

Apakah itu RUU 355?

RUU ialah singkatan daripada Rang Undang-Undang 355. Ia merupakan usul persendirian yang dicadangkan oleh Ahli Parlimen Marang iaitu Yang Berhormat Tuan Guru Abdul Hadi Awang. Ia bertujuan memperkasakan peranan Mahkamah Syariah.

Bila majlis diisi juga dengan hiburan yang tidak melalaikan. Ada nasyid daripada kumpulan Shoutul Amal, NowSeeHeart dan lain-lain lagi. Bila majlis juga diisi dengan sesi soal jawab bersama Ustaz Azhar Idrus yang disertai bersama oleh Hafiz Hamidun dan ustaz Haslin Bollywood yang berkerusi roda. Beliau baru beberapa belas hari keluar dari hospital setelah hampir 3 bulan lebih terlantar di hospital.

16831610_10206587877175391_850286921_n

Sesi soal jawab bersama Ustaz Azhar Idrus

Di sana, saya melihat sesuatu yang amat menakjubkan. (Maklumlah, baru pertama kali dapat sertai himpunan besar seperti ini). Antaranya, saya tertanya-tanya sendiri,

‘Kenapa ada warga tua yang bertongkat dan berkerusi roda sanggup datang ?

Kenapa ada ibu yang bawa bayi ikut suami sanggup datang ?

Kenapa ramai anak muda yang turun datang ?

Kenapa ibu bapa bawa anak-anak mereka datang ?

Kenapa ramai yang sanggup duduk di tepi bukit, tepi jalan, parking jauh-jauh, jalan kaki dan sebagainya ?

Kenapa ramai yang masih berkumpul walau hujan lebat saat Maghrib hingga ke Isyak ?

Kenapa ramai yang sanggup datang walau dari jauh, Kedah, Kelantan, Terengganu dan lain-lain lagi ?’

Jawapan yang boleh saya simpulkan, berdasarkan pemerhatian tingkah mereka,

“Ingin melihat Islam didaulatkan. Ingin buktikan usaha pada Allah. Ingin lihat masa depan Islam dengan melihat anak-anak muda yang turun padang. Ingin nyatakan sokongan terhadap kebaikan umat Islam. Inginkan penjelasan terhadap isu yang dibangkitkan. Ingin berada di majlis ilmu bersama agamawan yang turut hadir.”

Teruja bila saya sendiri mendengar wakil Persatuan Penceramah Bukan Islam, orang India, memberi ceramah yang begitu berisi sekali! Dikoreknya isi buku Sejarah dan diceritakan perihal Sirah Baginda S.A.W. Tidak usik langsung perihal orang bukan Islam, jadi, kenapa takut sangat? Maksudnya, pindaan akta ini tidak akan mengganggu gugat hak-hak orang bukan Islam. Tapi, ada antara mereka yang tetap membantah dan menentang. Hingga wakil daripada persatuan ini memberitahu, beliau berkata, kalau ada yang tak faham lagi, boleh jumpa beliau untuk penjelasan. Power!

Saya juga merasa teruja apabila melihat sendiri suasana di mana semua parti politik datang untuk menyatakan sokongan terhadap cadangan pindaan RUU 355. Tak kira hijau dan biru dan lain-lain lagi. Setelah hampir 33 tahun tidak diubah dan ditambah baik. Isu ini jangan kita sempitkan dengan politik sahaja. Isu ini adalah isu ummah, untuk semua, khususnya orang Islam.

Saat hujan lebat, dalam waktu Maghrib ke Isyak, saya bersama sahabat berada di Masjid Bukit Aman. Hujan berhenti lebih kurang jam 9 lebih tak silap. Baru saya ke padang semula.

Pidato ringkas juga melibatkan banyak perwakilan daripada pimpinan parti, wakil pertubuhan, wakil NGO yang pelbagai tampil menyatakan sokongan mereka terhadap pindaan akta ini.

16809755_10206587876495374_1823022313_n

Mufti Wilayah Persekutuan, Dr. Zulkifli Mohammad Al-Bakri juga turut serta memberi kata sokongan.

“Memperkasakan syariat Islam ini adalah tanda seseorang menzahirkan kehambaan kpd Allah S.W.T.

Saya berharap, walau apa keadaan sekalipun bila kita bertemu ayat Allah maka kita dengar dan kita taat.” (FB MUFTI WILAYAH PERSEKUTUAN)

Menteri Besar Kelantan dan Presiden PAS sendiri turun ke lapangan untuk memberi kata harapan dan penerangan. Yang tak tahu, boleh jadi tahu. Yang tak jelas, sudah diperjelas. Yang salah faham, sudah tidak ada salah faham.

Bilamana ada pemidato yang beritahu bahawa gejala sosial, anak luar nikah semakin meningkat, hampir 150 – 500 ribu anak luar nikah yang wujud sejak tahun lepas dan 10 tahun lepas. Bagaimana 10 tahun akan datang ini? Ada yang agak terkejut bilamana disebutkan sebegitu. Mungkin sebab diri dah biasa dengan gejala yang baik-baik, ambil tahu perkara yang baik-baik dan sebagainya.

Jika ingin tahu, realiti ummah kita hari ini, suka saya syorkan buku kami, buku sulung Hamare yang mengumpulkan 13 cerpen inspirasi kisah benar. Kisah tentang isu sosial remaja dan kehidupan sang remaja. Saya menyentuh kisah berkaitan LGBT, anak luar nikah, hiburan melampau anak muda dan beberapa lagi. Manakala sahabat saya menyentuh tentang liku hidup sang remaja, yang berkait dengan persahabatan, keluarga dan beberapa lagi. Antara tajuknya, boleh rujuk gambar di bawah ini.

15107201_1824033127872810_3382852939901265481_n

Buku dua dalam satu yang ditulis oleh saya dan sahabat. Buku sulung kami. Sumbangan kecil kami buat ummah. InsyaAllah.

Saya juga syorkan agar kita membaca buku-buku yang berkaitan dan ambil cakna seperti buku ‘Suami Gay Isteri Maknyah’, buku ‘Budak Cliche’ yang memuatkan tentang perkara yang berkaitan dengan pelbagai isu anak muda, novel ‘Semusim Di Barzakh’ yang juga merupakan inspirasi kisah benar. Banyak kisah yang perlu kita baca dan ambil cakna, selain daripada gosip dan artis, selain daripada menyalahkan dan mengkritik saja. Pupuk minat membaca dengan belikan anak-anak remaja kita bahan bacaan yang berkualiti. Komik juga ada kualitinya. Bukan semata hiburan. Sudah banyak buku dan komik yang terbit untuk menyebarkan manfaat dan kebaikan serta ingin menjadi solusi. Tinggal kita saja, mahu pilih itu atau ini.

Sekurang-kurangnya, ini merupakan usaha kecil untuk menyampaikan. Usaha kecil untuk menjadi solusi daripada asyik mengutuk, mengeluh dan mengkritik saja.

Mahasiswa juga turut turun bersama. Wakil pidato daripada mahasiswa juga ada iaitu saudara Presiden Gamis (Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia), Muhammad Syukri bin Alimar Shidi. 

“Kita diberi ruang oleh Allah, diberi kehidupan oleh Allah, nyawa kita diberikan oleh Allah kepada kita, maka apa yang kita mahu berikan kepada Allah semula? Kalau bukan untuk tegakkan Islam di muka bumi ini.” (FB GAMIS OFFICIAL)

Sama juga seperti himpunan ini, ia hanya usaha kecil untuk memberitahu kebenaran setelah ditentang hebat oleh beberapa pihak. Saya juga baru tahu, saat di perhimpunan itu, ada juga rupanya pihak yang membuat program Bantahan Pindaan Akta 355 itu.

Apa yang boleh kita lakukan seterusnya? Sama ada usul pindaan akta ini akan diluluskan atau tidak pada bulan Mac nanti, di parlimen, tugas kita adalah menyampaikan kebenaran. Jika perkara itu adalah kebaikan dan kebenaran, maka, sama-sama kita sampaikan. Dengan kefahaman, bukan dengan ikut-ikutan semata.

  1. Boleh baca secara lebih terperinci berkaitan dengan pendapat Mufti Wilayah Persekutuan berkaitan dengan isu cadangan pindaan akta 355 ini. Boleh dapatkan buku beliau sendiri.

    16708336_743598085804977_6472626873287118662_n

    Beli, baca dan fahamkan ia. InsyaAllah. Saya pun baru nak beli online. Semalam tak jumpa pula jualan buku ini. Tak perasan mungkin.

  2. Dalam kenyataan sama, Zulkifli menyatakan ahli parlimen bukan Islam pula perlu menyokong pindaan tersebut.“Pindaan ini sama sekali tidak terpakai kepada golongan bukan Islam kerana akta itu sendiri menjelaskan bahawa ia hanya melibatkan orang Islam sahaja. Akta itu sudah sedia ada wujud dan hanya akan dipinda dan diberi penambahbaikan.

    “Ia bukan satu usaha jalan belakang ke arah perlaksanaan hudud kerana pemerkasaan sistem kehakiman Islam secara menyeluruh adalah yang sangat diperlukan oleh umat Islam dan Malaysia,” katanya.

    Dalam pada itu, beliau berpendapat, mana-mana pihak menentang perkara kebaikan bukan daripada fitrahnya yang baik tetapi nafsu yang cuba menafikan akan hakikat kebenaran.

    Justeru itu katanya, apabila ada pihak yang membina kebaikan, semua pihak perlulah menyatakan sokongan.

    “Kami menyeru agar ahli parlimen menyokong RUU pindaan Akta 355 kerana ia dibentang oleh wakil rakyat yang membawa aspirasi para pengundi Islam yang mahukan pemerkasaan Mahkamah Syariah di Malaysia.

    “Kami juga menyeru agar ahli parlimen sekalian menyokong pindaan ini untuk menunjukkan tanggungjawab seorang ahli parlimen yang juga mewakili keperluan dan kebajikan rakyat beragama Islam di kawasan Parlimen masing-masing,” katanya.

    Tambahnya, “sekali lagi kami tegaskan bahawa melihat kepada maslahat untuk membina sebuah negara yang maju dan berdaya saing adalah menjadi tuntutan utama kepada kita semua menyokong pindaan Akta 355.”

    Cadangan pindaan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (Akta 355) adalah untuk memperkasa mahkamah syariah yang ketika ini dibataskan kuasa hukuman kepada kadar maksimum penjara tiga tahun, denda RM5,000, enam kali sebatan syar’ie. Ini antara yang tercatat di dalam media Sinar Harian .

  3. Memberitahu rakan atau jiran kita yang bukan beragama Islam agar tidak salah faham dan berasa terancam dengan isu cadangan pindaan akta ini. Juga kepada orang Islam sendiri. Ini 10 salah faham terhadap pindaan akta 355.
  4. Menambahkan kecaknaan kita pada isu sosial anak muda dan remaja serta belia. Banyakkan pembacaan buku-buku yang bermanfaat dan ada kebaikan. Belikan buku terbaik untuk anak-anak remaja kita.
  5. Rujuk yang tidak jelas pada yang ‘ahli’, bukan sekadar menurut nafsu semata.
  6. Sama-sama kita amalkan Islam dalam diri dan buktikan dengan tingkah kita sebagai seorang Muslim, Mukmin. Islam takkan tertegak, selagi Islam dalam diri tak tertegak!

Semoga Malaysia terus aman dan damai serta terus mendaulatkan Islam sebagai yang tertinggi. Bila tengok keadaan ini (ramai yang hadir menyatakan sokongan kepada cadangan untuk pindaan akta 355) ramai sebenarnya yang sayang akan Islam. Doakan yang baik-baik insyaAllah.

Ini hanya sekadar coretan cakna. Moga Allah redha kita semua. Wallahua’lam.

Seorang hamba, 10.58 pm, 19/2/2107 @ Rumahku Syurgaku.

Leave a comment